August 13th, 2013

Merangsang kesepaduan melalui Aidilfitri

Perselisihan, sengketa lemahkan ummah

Hari ini umat Islam di Malaysia masih bersemangat menyambut Aidilfitri yang sudah masuk hari kelima. Tradisi kunjung-mengunjung dan penganjuran rumah terbuka selama sebulan kekal menjadi budaya masyarakat yang ada manfaatnya selagi tidak membazir atau mengurangkan produktiviti amanah dan tanggungjawab yang lain.

Namun di sebalik kemeriahan Aidilfitri ini, umat Islam yang beriman tentunya tidak akan rasa selesa dalam hatinya untuk terus berpesta tatkala umat Islam di tempat lain masih dirundung kemelut dan konflik pertelingkahan berdarah khususnya di Syria, Mesir, Palestin dan lain-lain.


Kelemahan umat Islam yang begitu ketara masa kini turut mengundang perlakuan biadab segelintir yang cuba menangguk di air yang keruh sehinggakan umat dilihat begitu mudah diperkotak-katikkan dan diperlakukan sewenang-wenangnya.

Perselisihan, perpecahan

Antara punca utama titik kelemahan umat Islam hari ini amat terkait dengan senario perselisihan dan perpecahan yang begitu kuat membarah dalam kalangan mereka. Malah jika diperhalusi, kita akan dapati bahawa perpecahan yang melanda umat berakar umbi kepada penyimpangan dan penyelewengan terhadap ajaran sebenar agama.

Sebab itulah, Allah SWT sentiasa memberi penegasan terhadap kepentingan berpegang teguh kepada akidah yang benar bagi mengukuhkan kesatuan umat (Ali-Imran:103 dan Al-An’am:153). Dalam satu hadis Nabi SAW, seorang sahabat bernama Abu Najih Al-Irbadh bin Sariyah RA pernah diriwayatkan berkata: Rasulullah SAW telah menyampaikan nasihat yang menggentarkan hati dan mencucurkan air mata kami.

Lalu kami berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, nasihat ini bagaikan seseorang yang ingin mengucapkan selamat tinggal. Lantaran itu berilah kami suatu wasiat”. Maka baginda SAW bersabda: “Saya berwasiat kepada kamu agar sentiasa bertakwa kepada Allah Azzawajalla serta teguh menurut perintah dan taat, walaupun orang yang memerintahkan kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya orang yang masih hidup dalam kalangan kamu nanti akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka ketika itu hendaklah kamu berpegang teguh kepada jalanku dan jalan para Khulafa Ar-Rasyidin yang beroleh petunjuk (daripada Allah), gigitlah ia dengan gerahammu. Awaslah kamu daripada perkara yang diada-adakan. Sesungguhnya setiap bidaah itu menyesatkan”. (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi).

Ini merupakan antara hadis terakhir Rasulullah sebelum baginda wafat. Hadis itu jelas membayangkan realiti umat Islam akhir zaman yang berhadapan dengan pelbagai penyimpangan dan pertelingkahan.

Sememangnya senario perpecahan dalam Islam bagaikan roda pusingan dan pasang-surut alunan ombak. Ada ketika umat berada di kemuncak walaupun masih wujud riak-riak perselisihan tetapi ada kalanya kerajaan Islam hancur lebur akibat penyelewengan dan perpecahan.

Lihat saja sorotan sejarah sejak zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin hinggalah kepada sejumlah besar empayar ternama seperti kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah, Islam Andalusia dan Uthmaniah, semuanya tidak terlepas daripada mengalami natijah pasang-surut kegemilangan dan kehancuran.

Sayyid Muhammad Rasyid Ridho didalam tafsirnya Al-Manar menggariskan empat punca utama yang mencetuskan perpecahan hingga terlahirnya pelbagai firqah atau kelompok di dalam Islam. Ini termasuk soal politik dan perebutan kuasa, pembelaan kepada keturunan dan warisan, pertelingkahan mazhab dalam soal-soal usul mahupun cabang dan mengolah isu agama dengan hanya menurut kepada rasional akal semata-mata.

Kemasukan unsur asing

Profesor Hamka dalam tafsir Al-Azhar pula menyimpulkan bahawa punca perpecahan sebenarnya amat terkait dengan sikap sesetengah pihak yang cuba membawa masuk unsur-unsur asing ke dalam agama. Lebih buruk lagi apabila timbul taksub dan melampau mempertahankan pendirian sehingga akhirnya mencetuskan pertentangan hebat sesama Islam.

Telahan Hamka memang ada benarnya kerana jika diterokai sejarah, pelbagai penyimpangan akidah dan aliran pemikiran seperti Khawarij, Syiah, Muktazilah dan banyak lagi kelompok lain pada hakikatnya terbina atas premis politik dan kerakusan untuk berkuasa. Ini termasuk ajaran yang diharamkan kerajaan Malaysia seperti Al-Arqam atau pernah dijelmakan semula dalam jenama baru seperti Rufaqa Corporation dan Global Ikhwan.

Kebanyakan kelompok penyimpangan ini cuba mengenengahkan idea pelik dan asing daripada kerangka Islam sejati. Pemimpin kumpulan yang berkepentingan pula memanfaatkan kejahilan umat hingga tergamak memperdaya pengikutnya dengan mencipta hujah dan mengolah doktrin pemikiran tersendiri termasuklah dalam perkara yang membabitkan akidah mahupun ibadah.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua YADIM Berita Harian Online Rencana 13/08/2013

Pengajaran di sebalik kehidupan serangga

Lebah, semut, saling bekerjasama dalam komuniti menunjukkan kepentingan berjemaah

Terdapat haiwan atau serangga istimewa disebut dalam al-Quran menjadikannya makhluk Allah yang istimewa lagi bermanfaat terutama bagi manusia yang mahu berfikir antaranya si kecil lebah dan semut.
Lebah disebut dalam surah An-Nahl sebagai serangga yang wujud dengan seribu satu kelebihan. Madunya bukan sekadar sumber makanan berkhasiat bahkan turut berfungsi sebagai penawar bagi pelbagai penyakit.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Buatlah sarang-sarang di bukit, di pohon kayu dan di tempat yang dibikin manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Rabbmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi orang yang memikirkan.” (Surah an-Nahl, ayat 68-69)

Keistimewaan lebah

Keistimewaan lebah bukan saja diangkat darjatnya oleh Allah SWT, malah turut disebut dalam hadis Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan yang dihinggapinya.” (Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Al-Bazzar)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Kesembuhan dari penyakit itu dengan melakukan tiga hal: berbekam, minum madu dan dibakar dengan besi panas. Tetapi aku melarang umatku membakar dengan besi panas itu.” (Riwayat Shahih Bukhari)

Sementara itu, sang semut pula telah diabadikan kisahnya dalam surah An-Naml, “(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Waadin-Naml, berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.”

Disebabkan keistimewaan makhluk kecil ini, komuniti kajian saintifik turut mengambil manfaat daripada kewujudannya dan ini terbukti dengan terhasilnya pelbagai teknik optimisasi diinspirasikan daripada tingkah laku sosial lebah dan semut.

Antaranya, Artificial Bee Colony (ABC) yang lahir pada 2005, hasil kajian ilmuwan Turki dan Ant Colony Optimization (ACO), hasil kajian saintis Itali pada 1995. Tenik ini turut dikelaskan sebagai kepintaran kawanan atau lebih dikenali sebagai Swarm Intelligence (SI).

SI adalah disiplin ilmu yang diinspirasikan daripada haiwan atau serangga dalam menyelesaikan masalah koloni seperti pencarian sumber makanan, mencari jalan terdekat ke sumber makanan dan lain-lain.

Ia dikelaskan sebagai SI hasil daripada beberapa ciri-ciri yang wujud dalam koloni serangga antaranya bagaimana populasi itu berinteraksi sesama mereka, mengendalikan tugas mudah akhirnya menghasilkan satu sistem yang kompleks dan teratur.

Proses interaksi dalam koloni lebah mencetuskan sesuatu yang bernas untuk difikirkan dan menarik diadaptasikan dalam ruang lingkup rutin harian manusia. Contohnya, serangga hidup secara berkumpulan, mereka bersatu padu mewujudkan budaya kerja berdisiplin mengumpul hasil makanan.

Sentiasa berada dalam jemaah

Hal ini dapat kita lihat dengan saranan dalam Islam hendaklah sentiasa berada dalam jemaah.

Sesungguhnya dengan jemaah kita akan kuat berbanding berseorangan. Apa yang menariknya, budaya kerja lebah dan semut tidak seperti budaya kerja segelintir manusia yang memerlukan penyeliaan tinggi demi meminimumkan budaya makan gaji buta atau curi tulang.

Pedih bukan apabila manusia yang punya akal dan diangkat sebagai makhluk Allah paling mulia ini dibandingkan dengan lebah dan semut yang tidak berakal yang letak duduknya bukanlah dalam rumah mewah, namun di mana-mana, baik di gua, tanah mahupun dahan pokok.

Kelebihan teknik optimisasi berasaskan serangga dapat dilihat dengan kebolehan teknik ini menyelesaikan masalah. Pasti tersembunyi seribu satu hikmah kenapa serangga kecil ini disebut dalam Kalamullah, disebut juga oleh Rasulullah SAW.

Pastinya bukan sekadar sumber makanan, sumber penawar (bagi lebah) atau sekadar teknik optimisasi yang aplikasinya telah menyumbang kepada lahirnya lambakan kertas kajian ilmiah. Pastinya si kecil ini mempunyai seribu satu keistimewaan yang hanya menunggu masa untuk dibongkar sepenuhnya. Jika tidak, masakan ia dinamakan kepintaran daripada al-Quran.


Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Berita Harian Agama Online 13/08/2013

Raikan Aidilfitri dengan ikhlas bermaafan

Ziarah di pada Syawal adalah suatu kelaziman bagi masyarakat Islam di Malaysia. Ia tradisi yang yang unik dan berjalan kadang-kadang lebih sebulan lamanya. Konsep ziarah untuk maksud silaturahim dan mahabbah adalah dianjurkan oleh Islam.

Saudara berjauhan, sahabat handai yang sekian lama tidak dikunjungi, kenalan taulan yang sudah lama tidak berhubung akan berasa gembira ziarah itu. Apalagi kalau ziarah itu membawa ole-ole tanda ingatan seadanya akan menyebabkan ziarah itu lebih bermakna.

Lebih-lebih lagi dorongan ziarah itu untuk bermaafan kerana kesilapan lalu, ketelanjuran pekerti yang ditunjukkan, kekasaran bahasa yang terucap dan dendam kerana perbezaan fahaman. Apa maknanya kita umat Islam sekiranya hati kita masih keras dan degil untuk saling memohon kemaafan dan menerima kemaafan.

Apa makna kita berpuasa sepanjang Ramadan, sedangkan kita gagal mengekang nafsu amarah, jiwa bengis, prasangka melulu terhadap orang lain, tiada perasaan kasih sayang sesama Islam, sering hilang pertimbangan kerana perbezaan fahaman dan pendapat dan lebih rela bermusuh dan tidak bertegur sapa walaupun sesama anggota keluarga. Persaudaraan sebenar bermula dalam keluarga.

Kalau sesama anggota keluarga perseteruan dan permusuhan terus terjadi kaedah agama yang mana satu membenarkan ini berlaku.

Manusia tidak sempurna

Manusia tidak sempurna. Orang lain juga ada silap salahnya seperti kita juga. Islam mengajar umatnya berjiwa besar. Seperti hebatnya Rasulullah SAW seorang yang hebat pemaafnya. Apalah kita manusia kerdil yang keras hati dan kuat dendam kesumatnya sehingga berasakan diri tidak bersalah dan salah itu hanya pada orang lain.

Kesilapan dan dosa kita kepada Allah SWT boleh mohon diampun terus daripada-Nya. Silap dan dosa kita sesama manusia bagaimana. Ia memerlukan ziarah dan pertemuan, lafaz dan pelukan dan paling tidak dengan alat komunikasi supaya terucap kata-kata keramat itu iaitu kemaafan. Kalau tidak dosa yang ditanggung oleh kita dan dosa yang ditanggung oleh orang lain akan dibawa ke kubur.

Rumah terbuka yang kita hadiri dan ziarah yang kita lakukan harus datang daripada hati yang ikhlas. Saudara mara di kampung yang lama tidak dikunjungi akan berasa amat bahagia sekiranya kunjungan ke teratak mereka terjadi. Sahabat taulan yang terlantar kerana uzur dan tua akan berlinangan air mata menerima ziarah kita di samping sedikit pemberian untuk mereka. Paling tidak kesunyian dan kesepian yang dialami sekian lama mati sejenak dengan ziarah yang bermakna.

Bayangkan seorang ibu yang kematian suami tinggal seorang diri tidak diziarahi oleh anaknya yang merantau tertunggu-tunggu kalau-kalau hari raya yang mulia dia dikunjungi oleh anak-anak.
Bayangkan anak yatim yang sudah ketiadaan ibu bapa yang tersayang berasa amat hiba kerana saudara mara yang ada tidak menziarahi mereka. Bayangkan juga orang tua di rumah perlindungan akan berasa lebih terharu kerana mempunyai anak-anak yang sudah senang tetapi tidak mempedulikan ibu ayahnya. Mereka adalah orang yang tidak bernasib yang perlu kita ziarah.

Harus ada keinsafan

Hanya kita harus ingat suatu perkara. Kita juga akan tua seperti mereka. Kita belum tahu nasib kita bagaimana. Apa yang berlaku kepada orang tua kita terbiar dalam kesunyian dan kesepian boleh berlaku kepada kita suatu hari nanti. Apa yang berlaku kepada anak-anak yatim boleh berlaku kepada kita juga.

Harus ada keinsafan yang tinggi dan rasa yang tulus ikhlas bahawa semua kita akan kembali bertemu dengan Allah. Harta yang banyak di dunia akan tinggal. Pangkat dan darjat tidak dibawa pergi. Hadis Rasulullah SAW memberikan tiga asas hubungan antara yang pergi dengan yang tinggal.

Pertama, amal jariah yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Kedua, ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkan dan ketiga ialah anak yang solih dan mendoakan kedua ibu bapanya.

Melupai ibu dan ayah ketika hidupnya, tidak dipanjangkan rezeki kepada mereka walaupun kita mampu, menghina orang miskin dan daif tanpa mengambil tahu kehidupan mereka, berlagak sombong dengan harta kekayaan dan pangkat yang ada bukanlah gambaran anak yang soleh, sebaliknya pekerti anak yang toleh.

Aidilfitri yang membawa makna hari kemenangan menuntut ziarah supaya keikhlasan ziarah menjadikan kita ini sedang kembali kepada fitrah. Lucutkan jiwa haiwani supaya menjadi lebih manusiawi dengan kembali semula kepada fitrah diri dengan perasaan kasih sayang, belas kasihan yang penuh simpati. dan sentiasa berasakan bahawa orang lain adalah manusia juga yang mempunyai perasaan untuk dikunjungi dan diziarahi supaya kita terbimbing ke jalan yang dirahmati Allah bukan sebaliknya.

Sidek Baba ialah Profesor Pendidikan di UIAM Berita Harian Online Rencana 08/08/2013

Cabaran Muslim Rusia berpuasa

APABILA tiba detik 1 Ramadan, umat Islam di seluruh dunia mula berpuasa bagi memenuhi salah satu rukun Islam. Tidak terkecuali juga umat Islam di Rusia.

Islam merupakan agama kedua terbesar di Rusia selepas Kristian dan populasi penduduk Rusia yang menganuti agama Islam ialah seramai 14.5 juta orang.

Islam tersebar di Rusia bermula daripada abad kelapan iaitu hanya kira-kira 200 tahun Nabi Muhammad SAW menerima wahyu.

Kebanyakan umat Islam di Rusia berasal dari wilayah-wilayah seperti Ingushetiya, Chechnya, Dagestan, Kabarduno-Balkaria, Karachaevo-Cherkessiva, Bashkortostan dan yang paling ramai di Tatarstan.

Tidak jauh beza dari Malaysia, Ramadan di Rusia juga disambut dengan sangat meriah oleh umat Islam di sana. Malah ramai Kristian juga mengetahui mengenai amalan ini dan menghormati orang Islam yang berpuasa.

Ramai juga para pemimpin Moscow termasuk Vladimir Putih akan menyertai umat Islam berbuka puasa.

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh umat Islam di Rusia ialah jika bulan Ramadan jatuh pada musim panas, di sesetengah tempat orang Islam terpaksa berpuasa sehingga 20 jam lamanya.

Cuba anda bayangkan jika anda mula berpuasa pada pukul 5 pagi dan hanya dapat berbuka puasa pada pukul 1 pagi? Tentulah ini satu cabaran yang sangat besar.

Terdapat juga fatwa yang memberi kelonggaran kepada umat Islam untuk berbuka selepas tempoh masa 12 jam. Namun masih ramai yang memegang erat ajaran Islam dan berpuasa penuh 20 jam.

Pendapat lain pula mengatakan, ini adalah sesuatu yang adil memandangkan umat Islam di kawasan ini hanya perlu berpuasa dua jam sehari jika Ramadan jatuh pada musim sejuk.

White Night

Selain itu, satu lagi cabaran ialah bagi umat Islam yang berada di bahagian utara Rusia di mana mereka akan menghadapi satu fenomena yang dikenali sebagai White Night atau Malam Putih, di mana mereka akan menghadapi siang yang panjang tanpa malam selama beberapa minggu.

Dalam keadaan berlakunya Malam Putih seperti ini, umat Islam di tempat sebegini akan berpuasa mengikut waktu wilayah terdekat yang tidak mempunyai fenomena itu.

Berbeza pula di wilayah selatan Rusia di mana umat Islam akan berpuasa dengan cuaca yang sangat panas melebihi 40 darjah Celsius.

Keadaan panas dan kering seperti itu akan membuatkan penduduk di kawasan terbabit berasa sangat dahaga, sehingga ada yang mengalami kekurangan air dalam badan.

Walau apa pun cabaran yang dihadapi, umat Islam tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam dan meneruskan ibadat berpuasa.

Pada hari pertama Ramadan, puluhan ribu umat Islam akan berkumpul di Masjid Katedral di Moscow untuk berbuka puasa dan menunaikan solat terawih secara berjemaah.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/08/2013

Falsafah Aidilfitri perlu dihayati

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa tersebut.

Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya tersebut, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang telah diwarisi secara turun-temurun daripada datuk nenek mereka terdahulu.

Lalu Rasulullah SAW telah menyatakan kepada masyarakat Arab Madinah bahawa Islam telah menggantikan dua hari raya yang diraikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau disebut Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu merupakan satu ibadat.

Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang-orang yang telah dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana telah berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga kemenangan kerana seseorang yang telah mengerjakan puasa tersebut dengan sendirinya dapat menghalang diri daripada melakukan apa jua perkara yang dilarang. Sekiranya dilakukan juga maka akan terbatallah puasanya.

Kerana itulah Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan tersebut. Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah, iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal, Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ini dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan esok adalah hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat."

Pada pagi hari raya biasanya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya berlebih-lebih atau melampaui batas dalam menyambut apa sahaja perayaan.

Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya pada hari raya dengan pakaian yang mahal dan kuih-muih yang terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, telah datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat menyambut hari raya Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki tersebut pun berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru." Rasulullah kemudiannya bertanya beberapa sahabat yang lain, agar sesiapa yang mempunyai baju yang baru dapat kiranya diberikan kepada lelaki tadi.

Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa sahaja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru untuk dipakai pada hari tersebut.

Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa sahaja kepada orang-orang yang tidak berupaya.



WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/08/2013

Umpama berpuasa seumur hidup

SETELAH berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan dan merayakan Hari Raya Aidilfitri umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari di bulan Syawal bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan semasa hari raya.

Puasa enam hari di bulan Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada segala godaan nafsu.

Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal , berturut-turut atau terpisah-pisah asal tidak sampai melewati bulan tersebut. Manakala pada hari raya pertama dilarang berpuasa.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari dalam bulan Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup. (riwayat Muslim).

Rasulullah SAW tidak menjelaskan apakah puasa enam hari dalam bulan Syawal ini dilaksanakan secara berturut-rurut atau secara berselang-selang. Oleh itu puasa enam hari yang dimaksudkan oleh hadis di atas boleh dilakukan berturut-turut mahupun berselang-selang, yang penting cukup enam hari.

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud: "Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun." (riwayat ad-Darimi).

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan-kekurangan yang terdapat dalam bulan Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga sahaja. Sedangkan perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa "telinga" , "lidah" dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu.

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan-amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat.

Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib.

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh. Atau tidak berpuasa di bulan Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal.

Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia. Kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dahulu.

Imam Al-Ghazali daripada kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan tentang tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara.

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada kedua-duanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga sahaja. (riwayat Al Bukhari).



DR AMINUDIN MANSOR adalah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/08/2013

Umrah dan ziarah Madinah

MAHA Suci-Mu wahai Allah , jemputlah kami mengerjakan haji dalam waktu yang terdekat penuh ketenangan. Ya Rahman kurniakan kami kesempatan yang berulang kali ke tanah suci-Mu menunaikan umrah penuh kedamaian. Ya Rahim, anugerahkan kami solat yang khusyuk, kemabruran dalam manasik, jua kebahagiaan hidup penuh keimanan, matikan kami dalam keampunan-Mu Ya Ghaffar Ya Tawwab.

Apakah doa kita hari ini, kalau bukan untuk diampunkan dosa dan diberi rahmat-Nya. Akhirnya kita berpeluang mengulangi doa itu disebaik-baik tempat di bumi kelahiran Rasulullah SAW kekasih Allah buah hati kita iaitu di Mekah.

Dialah Allah yang mensyariatkan ibadah manasik umrah dan haji untuk kita menikmatinya, bergembira dengan musafir yang berkat, mengecapi nikmat beribadat para Anbia dan jejak orang soleh yang telah melaluinya dan mendapat keredaan-Nya.

Itulah ibadah umrah yang telah disyariatkan, para graduannya berpeluang meneguk Maghfirah-Nya yang Maha Luas.

Nabi Muhammad SAW bersabda daripada Abu Hurairah ra, "Umrah ke umrah yang lain adalah menghapuskan dosa di antara keduanya. Haji yang mabrur itu tidak ada balasannya melainkan syurga."

Menurut Ibnu Abbas ia juga adalah kawan seiring dengan manasik haji. (rujuk al-Baqarah: 196) Maka, janganlah kita bertangguh kerana menurut Imam Ahmad dan al-Syafe'i, hukum umrah adalah wajib.

Walau bagaimanapun ulama Malikiyah dan Hanafiyah mengatakan ibadah umrah ini hukumnya sunat muakkad. Perbezaan pendapat ini terjadi akibat daripada perselisihan pemahaman mengenai makna amar (kalimat perintah) di dalam ayat di atas.

Mengenai bilangan umrah, para ulama menyatakan wajib itu sependapat bahawa wajibnya hanya sekali seumur hidup, seperti halnya dengan ibadah haji.

Tetapi, memperbanyakkan umrah termasuk amalan yang sangat besar dan utama, lebih-lebih dalam bulan Ramadan.

Rasulullah SAW telah menjelaskan keutamaan itu seperti disebutkan dalam hadis bermaksud: "Bahawa mengerjakan umrah di bulan Ramadan seumpama mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku."

Ibadah umrah boleh dilaksanakan pada semua masa, bahkan sepanjang tahun. Namun jika dikaitkan niatnya dengan ibadah haji, ia dikenali sebagai Haji Qiran. Mengandungi beberapa rukun penting bagi tercapainya fiqh manasik ini sama seperti ibadah lain dimulai dengan niat serta qasad lillah.

Lafaz niat dapat membantu hati untuk berazam menyempurnakan ibadah ini. Sebelum itu jemaah disunatkan mandi ihram dan diwajibkan mengenakan pakaian ihram.

Sebaik sahaja berniat maka wajib memelihara 13 larangan ihram sehingga selesai rukun umrah. Di sepanjang perjalanan selepas melepasi miqat, jemaah akan terus bertalbiyyah sehingga hendak memulakan rukun yang kedua iaitu tawaf mengelilingi Kaabah dengan syarat-syaratnya.

Jemaah umrah mestilah dalam keadaan taharah dan suci daripada sebarang hadas dan najis juga menutup aurat.

Kerjakan solat sunat tawaf dua rakaat di belakang maqam Ibrahim dan berdoa, kemudian minumlah air zam-zam sebelum bergerak ke Bukit Sofa bagi memulakan rukun berikutnya, Saie.

Ibadah Saie ialah perbuatan berulang alik dari Bukit Sofa ke Marwah sebanyak tujuh kali pusingan dengan niat kerana Allah SWT. Apabila tiba di lampu hijau disunatkan bagi jemaah lelaki untuk berlari anak di tiga pusingan yang pertama dan berjalan seperti biasa di baki pusingan sehingga berakhir Saie di bukit Marwah.

Kemudian bertahallul umrah di situ sebagai menyempurnakan rukun umrah sambil berdoa munajat agar diterima ibadah di sisi Allah SWT.

Ziarah Madinah

Dalam perjalanan menyempurnakan manasik umrah ini juga, jemaah berpeluang bertamu di bumi Madinah yang sangat dicintai oleh Nabi SAW. Tujuan kita ke bumi ini ialah berziarah Masjid Nabawi dengan memakmurkannya menerusi solat fardu juga beriktikaf.

Selama di sini, jemaah berpeluang untuk menziarahi Maqam Rasulullah dan dua sahabat yang besar dan utama iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab.

Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa menziarahi baginda adalah sebesar-besar usaha mendekatkan diri kepada Allah dan sebaik-baik ketaatan.

Orang yang menziarahi juga hendaklah berniat menziarahi masjid baginda kerana baginda telah bersabda bahawa sembahyang di dalamnya lebih baik daripada 1,000 sembahyang di tempat yang lain melainkan Masjidil Haram.

Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW: "Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga buah masjid: Masjidil Haram, masjidku ini dan Masjidil Aqsa).

Selepas itu ambil juga peluang menziarahi Perkuburan Baqi' dan tempat-tempat bersejarah sekitar bandar Madinah seperti berziarah dan bersolat di Masjid Quba', Masjid Qiblatain, lokasi berlakunya peperangan Uhud, perang Ahzab. Kemudian menikmati pemandangan indah di kebun tamar dan merasai pelbagai jenis tamar terutamanya kurma Nabi.



MOHD. HASNIL ABU BAKAR ialah pembimbing ibadah hajiUtusan Malaysia Online Bicara Agama 09/08/2103

Syiah simbol kepincangan Islam

KEADAAN yang wujud dalam negara ini masa kini merupakan simbol kepincangan umat Islam dalam menghadapi dilema yang berunsurkan akidah dan syariah Islam. Perkara ini berlaku disebabkan oleh sikap umat Islam yang terlalu lalai menghayati konteks ajaran Islam yang sebenarnya.

Sikap para pemimpin parti politik umat Islam dalam negara ini yang terlalu ghairah dengan kuasa adalah punca utama perpecahan umat di mana ukhuwah sesama umat Islam adalah berdasarkan kepada parti politik bukan kepada pemahaman akidah dan syariah seperti dituntut oleh Islam.

Sikap terlalu taksub kepada parti politik menyebabkan pemimpin parti politik dan penyokongnya mengetepikan prinsip perjuangan Islam yang dituntut Allah SWT. Kuasa dan kedudukan merupakan objektif perjuangan sehingga mereka kabur melihat realiti, konteks dan implikasi berpolitik tanpa berdasarkan kepada etika berpolitik dalam Islam. Keangkuhan yang dipertonjolkan oleh mereka digambarkan dalam pelbagai bentuk yang tersasar sama sekali dengan perjuangan politik dalam Islam.


Pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak menunjukkan gambar dan dokumen 'Mazhab Syiah' yang di rampas selepas menahan seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah di Taiping, Perak, baru-baru ini. -BERNAMA

Parti politik yang melaungkan perjuangan Islam lebih mirip kepada sikap dan mentaliti golongan Kharijites di mana setiap individu yang bukan ahli dan penyokong parti politik mereka adalah dianggap kafir dan disisihkan walaupun individu itu beragama Islam dan mempunyai pertalian keluarga. Ideologi golongan Kharijites dianuti dan diamalkan oleh golongan parti politik ini sudah sampai ke tahap serius. Apabila pemikiran politik sudah disebatikan dengan ideologi Kharijites maka strategi politik mereka adalah sama dengan golongan Kharijites. Oleh itu golongan ini digelar sebagai kumpulan neo-Kharijites.

Apabila prinsip perjuangan tidak berdasarkan kepada etika berpolitik dalam Islam maka sikap dan pemikiran para pemimpin dan penyokong parti politik sering berubah-ubah mengikut perubahan masa dan keadaan sehingga mereka tidak menyedari sikap dan cara mereka mengendalikan urusan politik amat berbahaya kepada masa depan umat Islam. Ini realiti yang jelas ditonjolkan sejak 1980an sehingga kini.

Pada pertengahan abad ke-7 masihi golongan Kharijites tidak bergabung dengan golongan Syiah kerana mereka mempunyai pemahaman dan perjuangan politik berbeza. Dalam abad ke-21 golongan Syiah menyerap masuk dalam parti politik bercirikan ideologi Kharijites demi untuk mendapat kuasa dan kedudukan dalam politik. Ketika ini baru disedari golongan Syiah sudah mempengaruhi ahli-ahli politik golongan ahlu Sunnah wal-Jamaah kerana keghairahan berpolitik menyebabkan mereka sukar menilai kefahaman akidah para pemimpin dan ahli politik mereka.

Apabila kuasa politik dijadikan sebagai objektif kehidupan maka sikap dan tingkah laku mereka juga berubah. Jika pada peringkat permulaan perjuangan dalam arena politik menonjolkan kejituan perjuangan Islam sehingga memukau dan membangkit semangat memperjuangkan Islam di kalangan belia dan graduan kolej dan universiti kenapa dalam perjuangan politik masa kini lebih menjurus kepada perjuangan golongan pluralisme? Sikap begini bukan sahaja boleh menghakis kepercayaan tauhid dalam kalangan masyarakat Islam malah ia boleh memperkukuhkan perjuangan golongan liberalisme di negara ini. Apabila suasana begini wujud maka umat Islam sukar mempertahankan akidah dan syariah walaupun agama rasmi negara adalah Islam.

Islam adalah agama yang universal dan setiap individu yang berada dalam negara Islam mempunyai hak untuk menikmati kekayaan dan pembangunan negara. Realiti yang wujud dalam dunia masa kini ialah setiap parti politik yang dianuti oleh sesuatu bangsa mereka lebih menjurus untuk mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa dan agama mereka. Hak dan keistimewaan yang ingin dikongsi sepatutnya perlu diseimbangkan supaya tiada satu golongan yang terlalu banyak berkorban hak dan kedaulatan tanah tumpah darah datuk nenek moyang mereka demi berkompromi dengan bangsa lain.

Hakikat yang dapat dilihat oleh umat Islam masa kini dalam negara ini ialah umat Islam perlu banyak berkorban untuk hidup bersama masyarakat lain sehingga ke tahap pengorbanan agama dimana apabila umat Islam ingin melaksanakan sesuatu hukum hakam syariah berkaitan umat Islam maka masyarakat beragama lain juga begitu berani menunjukkan penentangan terhadap perlaksanaan undang-undang tersebut. Persoalannya kepada kesemua para pemimpin parti politik umat Islam dalam negara ini ialah apakah hasil yang diperolehi oleh mereka dalam pergolakan dan perebutan kuasa sesama sendiri?

Akibat daripada pergolakan parti-parti umat Islam masa kini maka pergerakan-pergerakan ajaran sesat dan Syiah bergerak begitu aktif untuk menyebarkan ajaran mereka. Remaja Islam yang berminat terhadap ajaran Islam dan menghadapi kekosongan jiwa mengalih haluan mereka kepada pergerakan tersebut. Golongan ulamak yang dianggap ulamak muktabar sibuk berpolitik sehingga menganuti ideologi Kharijites menghukum orang Islam yang tak sokong mereka sebagai binatang, kafir dan sebagainya.

Individu yang terlalu ghairah berceramah agama lebih mirip memperjuangkan parti politik sehingga kurang menekankan aspek kerohanian dan inti sari ajaran Islam yang boleh menyerap hati nurani umat Islam. Tambahan pula terdapat penceramah agama yang tidak terdedah kepada pengajaran ilmu wahyu secara mendalam ghairah memberi fatwa yang mana bertentangan dengan konteks ajaran Islam. Perkara ini berlaku disebabkan sikap umat Islam sendiri yang terlalu menyanjungi penceramah agama yang terkenal tanpa melihat latar belakang ilmu pengetahuan penceramah tersebut.

Para cendekiawan Islam yang memperjuangkan parti bercirikan liberal dan pluralisme lebih gemar menonjolkan kehebatan ilmu mereka dengan membicarakan pelbagai istilah-istilah akademik yang sukar difahami oleh masyarakat awam. Hasilnya berlaku perdebatan dalam isu-isu berkaitan keagamaan dimana perdebatan begini memberi peluang kepada para ilmuan bukan Islam menyertainya. Akhirnya masyarakat Islam ketandusan ilmu wahyu dan konteks ajaran sebenar. Suasana yang wujud masa kini sepatutnya membuka mata semua umat Islam bermuhasabah tentang kesilapan mereka. Pemimpin politik, cendekiawan Islam dan ulamak sepatutnya bermuhasabah dan berfikir sejauh manakah mereka menyumbang perkhidmatan dan ilmu kepada masyarakat Islam.



PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 12/08/2013

Rumah terbuka bukan medan berpolitik

ORANG politik akan gunakan apa sahaja kesempatan yang ada bagi meraih pengaruh atau mencapai tujuan. Rumah terbuka sempena Aidilfitri pada tahun ini menjadi sedikit meriah kerana ada orang politik menjadikannya sebagai medan untuk "mempromosi diri", terutamanya yang berhasrat bertanding merebut jawatan dalam parti.

UMNO misalnya, sudah mula menaja majlis rumah terbuka Aidilfitri kerana bermula Oktober ini hinggalah kepada minggu pertama Disember akan diadakan pemilihan kepimpinan parti, dari peringkat cawangan hinggalah ke peringkat Pusat.

Kecenderungan segelintir ahli politik yang mempromosi diri untuk "menawarkan diri" bertanding menggunakan kesempatan menganjurkan rumah terbuka kelihatan begitu kuat dipengaruhi "kempen" dengan alasan yang mudah dipercayai. Ada yang memberikan alasan, sudah tiba masanya kepimpinan parti melakukan perubahan kerana parti tidak boleh kekal dengan status quo dan cabaran semasa adalah lebih kritikal berbanding sebelumnya.

Kepimpinan parti memerlukan golongan muda yang boleh membawa semangat baharu, kerana survival politik masa depan adalah lebih dipengaruhi oleh sokongan orang muda. Atas alasan itulah ramai pemimpin muda yang berlatar belakangkan kerjaya professional sanggup terjun ke dalam politik setelah melihat sebahagian besar kepimpinan lama masih dipengaruhi dengan nilai-nilai nostalgia, yang tidak pula mampu merungkaikan kaedah penyelesaian persoalan semasa.

Malaysia yang mempunyai sebahagian besar penduduk dalam kalangan generasi muda memerlukan peluang pekerjaan dan penempatan yang lebih besar, kerana merekalah yang akan hidup lebih lama untuk meneruskan pembangunan bangsa dan negara. Golongan yang sudah berusia, walaupun dari sudut perangkaannya menunjukkan peningkatan besar kesan keupayaan jaminan kesihatan yang lebih baik, tidak bermakna perlu mendominasi penguasaan politik. Malaysia memerlukan gabungan strategik antara kepimpinan lama dan kepimpinan baharu kerana perspektif masa depan adalah berbeza, persoalan yang sekian lama menjadi taboo sudah mula dipersoalkan bahkan digesa agar dirobohkan tembok pemisahnya.

Apatah lagi dengan nilai-nilai sistem politik penaungan yang besar, sistem politik yang melihat penguasaan generasi terdahulu seakan-akan menjadi mutlak dan berpaksikan hubungan interpersonal, kekeluargaan yang tidak berteraskan ideologi.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 misalnya, faktor ideologi menyumbang kepada tergelincirnya dokongan besar ke atas keyakinan pengundi muda terhadap kepimpinan politik yang bersifat naungan dan tradisi. Kegelinciran pengaruh dan sokongan ke atas MCA dan Gerakan membawa makna kedua parti yang dahulunya menjadi dominasi pengundi bukan Melayu perlu melaksanakan perubahan yang lebih serius kalau terus mahukan mengembalikan kegemilangannya.

Keyakinan masyarakat bukan Melayu keatas Gerakan dan MCA banyak ditentukan oleh sejauhmanakah kepimpinan politik yang ada dapat menterjemahkan ideologi orang muda yang menginginkan lebih kebebasan dan kepimpinan terbuka. Persoalan tersebut turut menjadi kupasan dalam kalangan pemimpin politik, termasuk ketika menilai potensi sebahagian pemimpin baharu yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan sebelum akhir tahun ini. Meskipun perbincangan berfokuskan kepada kepimpinan politik bukan Melayu, ia tidak bermakna kepimpinan politik Melayu terlepas daripada arus perubahan dari bawah yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Dalam tradisi rumah terbuka sempena Aidilfitri yang sedang berlangsung kini, ia turut menjadi warna-warni dalam proses pemilihan pucuk pimpinan parti. Apa yang diharapkan, rumah terbuka yang sepatutnya menjadi penyatuan atau saling mengukuhkan ikatan persaudaraan, tidak sepatutnya bertukar menjadi medan politik yang boleh membunuh semangat setiakawan dan saling menghormati kepelbagaian beragama.

Usaha mendisiplin atau memberikan ingatan keras kepada mereka yang terbabit perlu diberikan kepada pihak berkuasa berdasarkan peraturan yang ada, tetapi, ia bukanlah dilihat sebagai tindakan hanya sekadar 'melepas batuk di tangga'. Pihak yang menentukan keputusan itu perlu memberikan pertimbangan saksama, kerana tindakan itu boleh membawa kepada sengketa yang lebih besar dan kembali kepada falsafah sesuatu undang-undang itu diadakan, iaitu sebagai langkah pencegahan daripada terus menimbulkan petaka yang lebih besar. Malah ada sesetengah pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat dan kedudukan politik kepuakan. Seharusnya, semangat rumah terbuka ia dibina berdasarkan nilai persaudaraan, menghormati perbezaan dan menjadi forum yang sangat efektif menjalin hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak dalam kalangan ahli-ahli politik itu sendiri.

Konsep rumah terbuka di Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga. Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menimbulkan perpecahan.

Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu.

Dengan menolak pentafsiran semula sejarah negara berdasarkan pertimbangan hawa nafsu (nafsu politik sempit) itu bermakna kita telah berupaya membebaskan pemikiran kita dari segala bentuk penjajahan minda dan unsur-unsur taghut.

Suasana kemeriahan rumah terbuka dan dalam semangat patriotisme yang turut ada dalam diri kita hendaklah dikekalkan sebagai momentum untuk menjayakan dasar dan cita-cita murni negara. Jangan kita biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan kesejahteraan negara.



PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Malaysia Online Rencana 12/08/2013

Perpaduan jawapan kepada penyelewengan akidah

FAHAMAN yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah bersandarkan Mazhab Shafie perlu ditentang oleh umat Islam di negara ini. Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi perlu mempertahankan status tersebut demi kelangsungan agama suci ini di negara yang 66 peratus berbangsa Melayu beragama Islam.

Namun dalam kita istiqamah mengamalkan agama Islam mengikut fahaman Ahli Sunnah telah wujud fahaman-fahaman lain yang cuba menyesatkan umat Islam demi menimbulkan suasana perpecahan dan kacau-bilau dalam masyarakat Islam di negara ini.

Bibit-bibit penyimpangan akidah fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah menyebabkan suasana tidak harmoni secara diam-diam. Ini semua berpunca daripada amalan Islam berdasarkan fahaman ikut-ikutan dari warga negara asing sama ada yang datang belajar di negara ini atau datang dengan tujuan berniaga.

Sudah menjadi resmi rakyat negara kita yang mudah menerima sesiapa saja yang datang mencari makan seterusnya bikin wilayah di negara kita. Namun setiap penerimaan perlu ada had agar negara kita tidak terus bertukar rupa dari segi lanskap sosial dan politik hingga ada cubaan menukar agama anutan orang Melayu di negara kita. Biarlah pahit untuk ditelan kenyataan ini, namun percayalah jika ia tidak disebut ia akan menjadi duri dalam daging kepada keharmonian masyarakat.

Senario pengembangan fahaman syiah atau apa saja cubaan menghina agama Islam oleh pihak tertentu menggunakan media sosial sebenarnya dipantau secara rapi oleh rakyat negara ini walau hanya sekadar mengeluh atau mengomel. Tindakan dari pihak berkuasa yang sejak dari dulu hanya memberi amaran perlu menjadi tindakan memberi saman pula setiap kali perkara tersebut berlaku. Kalau penghinaan melibatkan binatang yang haram dimakan dan disentuh di sisi Islam seperti khinzir (bak kut teh) dan anjing (video YouTube) maka kecelaan yang nyata tersebut perlu tindakan drastik oleh pihak berkuasa.

Hari ini kita sedang mengalami suatu ketidaktentuan dalam masyarakat yang kita tidak pasti apakah puncanya hingga Islam dan orang Melayu dicabar jiwa raga mereka. Mungkin ia disebabkan ada pemimpin yang sanggup menyokong pluralisme agama dan kebebasan bersuara secara total.

Penghasilan filem bertajuk New Village yang dikatakan cuba mengangkat imej Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira perlu diharamkan dari ditayangkan di negara ini. Membenarkan tayangannya sama seperti membenarkan pertubuhan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan untuk kembali tumbuh di negara ini.

Di dalam kita menghadapi cubaan menyemarakkan fahaman yang merosakkan Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah hanya satu formula yang mampu untuk menyelesaikan kecelaruan tersebut. Umat Islam di negara ini perlu bersatu padu tanpa syarat sama ada politik mahupun ganjaran wang. Perpecahan akibat politik sempit sesetengah pemimpin perlu ada titik penamat.

Cukup-cukuplah kita membicarakan parti mana yang bagus atau pemimpin mana yang bersih. Pada masa ini perpaduan antara parti politik yang mempunyai fahaman berlainan dari segi prinsip politik perlu diwujudkan demi memastikan Islam sebagai agama rasmi negara terus dipertahankan. Hari ini pihak berkuasa agama negeri terlalu mengutamakan soal tuntutan zakat dan kebajikan hingga gagal menangani isu akidah yang lebih penting.

Tanpa akidah yang kukuh tidak guna kita menjadi institusi agama yang kaya-raya tetapi kualiti akidah ummah masih di tahap rendah. Ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah perlu lebih tampil dan serius dalam ceramah mereka. Kurang-kurangkanlah elemen gelak ketawa ditakuti ajaran Islam dianggap perlu disampaikan secara lelucon dan lawak jenaka baru ia dinamakan ajaran yang syumul.

Justeru, umat Islam dan pihak berkuasa agama negeri perlu menggerakkan agenda ummah secara lebih sistematik dan tanpa memilih bulu. Perpecahan ummah akibat berebut menjadi jawatankuasa masjid perlu dihindari. Hari ini jawatankuasa masjid seakan dikuasai kelompok tertentu yang hanya cenderung kepada puaknya sahaja. Sepatutnya jawatankuasa masjid dilantik oleh jabatan agama mengikut personaliti bukan parti kerana ia boleh merosakkan perpaduan ummah itu sendiri.

Jika jawatankuasa surau dan masjid dari semua latarbelakang maka perpaduan akan menjurus kepada agenda masyarakat bukan untuk pertubuhan dan individu tertentu. Apabila perpaduan wujud maka agenda ummah seperti penyerapan fahaman lain dari Ahli Sunnah dapat dibanteras. Apa yang pasti pra- syarat kepada agenda perpaduan tersebut kesemua jawatankuasa surau dan masjid adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika sudah bersatu padu jangan pula ada agenda peribadi.

Ayuh umat Islam lupakan sengketa, campakkan ke tepi fahaman politik yang hanya menguntungkan pihak tertentu. Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa jika dia sendiri tiada inisiatif untuk mengubahnya. Hanya kita yang mampu menjaga akidah kita bukan orang lain. Insya-Allah.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 13/08/2013

Perkahwinan bukan eksperimen

PERNIKAHAN dan perkahwinan adalah antara kemuncak dan sisi manis dalam kehidupan setiap insan. Secara fitrahnya, tidak ada individu yang tidak mahu mempunyai pasangan hidup untuk berkongsi kegembiraan hidup berkeluarga dan mengembangkan zuriat.

Malah, Islam sendiri amat menggalakkan umatnya berkahwin sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat-umat lain". (riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalam zaman moden dan canggih sekarang, kebanyakan pasangan yang mendirikan rumah tangga adalah hasil pilihan sendiri. Bukan seperti zaman dahulu di mana ibu bapa menentukan jodoh anak-anak.

Malangnya statistik yang dilaporkan oleh Bernama, Sabtu lalu bahawa terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini, ternyata menggusarkan.

Menurut Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal, maklumat itu diperolehi daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2011.


Sebahagian daripada 20 pasangan pengantin memotong kek perkahwinan ketika majlis persandingan beramai-ramai pada majlis Ijab Kabul Mega sempena Festival Belia Putrajaya 2013 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, pada Mei lalu. - Gambar hiasan

Katanya, secara purata, terdapat 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara.

Di mana silapnya? Walhal perkahwinan itu rata-rata adalah atas dasar suka sama suka. Realitinya ramai pasangan yang bercinta bertahun-tahun lamanya sehingga dikatakan sudah mengenali luar dalam hati budi satu sama lain.

Inilah yang perlu kita perhalusi bagi mencari jalan bagaimana dapat menyelamatkan rumah tangga yang dibina daripada berakhir dengan perceraian. Para suami harus faham yang isteri dan anak-anak itu adalah amanah Allah dan mereka akan dipertanggungjawabkan tentangnya di akhirat kelak.

Sukar untuk memahami bagaimana rumah tangga yang dibina dengan kasih sayang yang dipupuk sejak bertahun-tahun semasa bercinta itu kasihnya boleh pudar hanya selepas dua atau tiga tahun usia perkahwinan?

Bayangkan kesedihan yang ditanggung oleh ibu bapa apabila penat lelah mengurus majlis perkahwinan masih belum hilang, rumah tangga anak mereka sudah berantakan sehingga membawa kepada perceraian. Lebih malang, jika perceraian itu berpunca daripada hal atau perkara kecil dan remeh temeh.

Perkahwinan bukan suatu eksperimen, sebaliknya ia adalah permulaan kepada satu episod baharu membina kehidupan dengan pasangan masing-masing mengecapi kebahagiaan dan nikmat yang Allah kurniakan semasa hayat.

Ini sebagai mana ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al- Rum: 21)

Untuk itu, amat penting kepada mereka yang mahu mendirikan rumahtangga mengikuti nasihat Rasulullah SAW dalam memilih jodoh. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Ringkasnya, untuk menjamin kebahagiaan hidup dunia dan akhirat, hendaklah kita mencari jodoh orang yang mempunyai pengetahuan agama. Jangan kita diperdayakan dengan rupa paras yang cantik semata-mata sekiranya individu tersebut tidak pernah mencecah dahinya ke tanah untuk solat.

Sememangnya hidup berumahtangga tidak sunyi daripada wujudnya perselisihan faham dan kadang kala pertengkaran. Cuma suami dan isteri perlu mengamalkan sikap tasamuh atau bertolak ansur. Perkara yang kecil jangan diperbesarkan. Jangan kerana tidak bubuh belacan dalam masakan (seperti dialog filem Seniman Bujang Lapuk) menjadi punca pertengkaran sehingga membawa perceraian.

Tidak ada manusia yang sempurna. Justeru, kita perlu bersedia menerima kekuatan dan kelemahan yang ada pada pasangan masing-masing. Sepatutnya, setiap suami isteri melihat dan mencari kekuatan yang ada pada pasangan masing-masing untuk menambah ceria dan bahagia hidup berumah tangga. Janganlah kemanisan berpacaran yang wujud semasa bercinta terhenti apabila selesai majlis akad nikah. Sepatutnya, rasa cinta dan kasih itu makin membara selepas kita sah bergelar suami dan isteri.

Ini antara aspek yang perlu diperbetulkan dalam majoriti golongan muda Islam. Sepatutnya, rasa kasih dan cinta sejati itu dicurahkan selepas menjadi suami isteri. Bukannya semasa menjadi pasangan kekasih waima sudah bertunang sekalipun.

Islam sebagai agama yang sesuai dengan fitrah membenarkan perceraian jika itu adalah penyelesaian terbaik selepas semua proses rundingan dan sulh (perdamaian) menjadi buntu.

Allah SWT pula ada berfirman yang maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci (disebabkan tingkah lakunya) janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu. (an-Nisa': 19)

Bagaimanapun, dalam kebanyakan perceraian, anak-anak dan bekas isteri menjadi mangsa akibat bekas suami mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah. Ini menunjukkan pentingnya kefahaman agama itu bukan sahaja pada saat kita mencari jodoh. Sebaliknya, ia juga mustahak ketika berlaku perceraian supaya kehidupan bekas isteri dan anak-anak tidak terabai gara-gara liatnya bekas suami membayar nafkah.



Mohd. Radzi Mohd. Zin pengarang@utusan.com.myUtusan Malaysia Online Rencana 13/08/2013

Jadilah insan yang mulia!

PERKAUMAN sudah menjadi satu perkataan yang biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia kini. Orang perseorangan, media, dan pihak tertentu dituduh dan dikatakan bersikap perkauman. Namun, sebelum kita menuding jari pada orang lain, marilah kita tanya pada diri kita sendiri, - "Adakah saya bersifat perkauman?''

Di bulan Ramadan yang sangat mulia pada rakan-rakan Melayu, adakah kita bersalaman dengan mereka dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Adakah kita memanggil atau menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanyakan khabar. Kita harus tanya pada diri sendiri, adakah saya sayang pada manusia sejagat, apakah pendirian saya terhadap pada perpaduan antara kaum ataupun, saya hanya pentingkan diri sendiri, dan keluarga sahaja?

Memang lumrah kehidupan, semua orang sibuk mencari nafkah untuk hidup. Ayah dan ibu bekerja siang dan malam untuk memberi yang terbaik untuk keluarga. Anak-anak ditinggalkan di rumah asuhan kerana mahu menambahkan pendapatan untuk keluarga.

Namun kita lupa satu perkara asas dalam hidup untuk menghormati dan menunjukkan kasih sayang kepada orang lain tanpa menghiraukan warna kulit, agama dan bangsa. Bila azan kedengaran, ada yang merungut bising, tapi bila perayaan Tahun Baru Cina, kita tidak kisah pula dengan bunyi mercun dan bunyi gong yang mengiringi tarian singa. Tatkala Thaipusam pula, dengan bunyi-bunyian alat muzik tradisional, kita berarak di jalan raya, trafik menjadi perlahan kerana memberi laluan untuk perarakan, ramai merungut bila kaum lain menjalankan ibadah atau adat resam mereka.


Sebahagian daripada orang ramai yang terdiri daripada pelbagai bangsa ketika menghadiri
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya, baru-baru ini. - Utusan/Mohd. Ismail Isnin

Pada tahun 70an, tidak ada beza Cina, India dan Melayu. Yang beza cuma lelaki dan perempuan. Kita hidup bersama. Bila Hari Raya, kita pergi ke rumah kawan-kawan Melayu untuk makan rendang dan ketupat, raya Cina, kita menziarahi, rumah rakan-rakan Cina, sambil makan kacang, buah oren dan tidak lupa untuk mengutip ang pau, Ketika Deepavali pula, kita pergi ke rumah kawan-kawan beragama Hindu, makan tosei dengan kari ayam. Masa itu tidak ada sentimen perkauman. Lagi hebat, kawan-kawan Melayu yang tinggal di estet boleh berbahasa Tamil dengan begitu fasih, lagi fasih daripada anak-anak India di bandar sekarang.

Kini, semua itu tinggal kenangan, saban hari, pemimpin bercakap pasal perpaduan, malah diwujudkan laman web "Saya anti- perkauman", namun nasi bagaikan sudah menjadi bubur, sikap perkauman kini telah begitu menebal. Sikap perkauman itu kini sudah disemai dalam hati anak-anak dan generasi muda di sekolah sudah mula menampakkan sifat perkauman yang tebal.

Lepas sekolah sahaja, ada kumpulan pelajar India bergaduh dengan dengan kumpulan pelajar Melayu. Kumpulan pelajar Melayu pula menunggu untuk menerkam kumpulan pelajar Cina. Kini sekolah pula menjadi tempat membiaknya semangat perkauman. Dan sikap perkauman ini dibawa ke kem-kem Khidmat Negara, di mana berlaku pergaduhan antara pelatih yang pelbagai kaum. Mereka lupa bahawa darah yang mengalir di setiap tubuh itu berwarna merah, tiada darah Melayu, tiada darah Cina dan darah India.

Jadi apakah yang harus kita lakukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan perpaduan kita itu, keadaan di mana semua kaum hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Sebenarnya setiap agama itu baik, mengajar kita hidup bersatu- padu, tiada agama yang mengajar kita untuk hidup bermusuhan. Jika seseorang itu hidup bersendirian dan bersikap bermusuhan dengan agama lain, maka pastinya orang tersebut tiada pegangan agama yang teguh. Kalau rakyat Malaysia ada agama, ada budaya, pasti mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh mengugat kesejahteraan masyarakat.

Politik juga merupakan salah satu senjata yang seringkali menggunakan sentimen perkauman untuk kepentingan. Namun kita sebagai masyarakat berakal tidak harus terpengaruh dengan tipu dakyah mereka yang sengaja menimbulkan pelbagai sentimen untuk kepentingan diri sendiri. Kita orang yang berakal haruslah mempunyai prinsip hidup yang mengutamakan kesejahteraan manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Malah kita harus menghormati warga asing seperti orang Bangladesh atau Indonesia yang datang bekerja untuk kesenangan kita.

Di bulan yang mulia ini, kita perlu membuka mata kita dan minda supaya kita dapat menjadi rakyat Malaysia yang mementingkan perpaduan, mementingkan kesejahteraan. Tanpa kesejahteraan, kita tidak dapat mengecapi kemajuan. Hanya tinggal tujuh tahun lagi untuk mencapai wawasan 2020, tetapi kita pula sibuk berpolitik siang dan malam, sambil melaga-lagakan pelbagai kaum di Malaysia. Tempoh hari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala telah menulis sebuah artikel yang bertajuk "Time and tide waits for no man." (Star, 8 Julai 2013, di mana beliau menyeru masyarakat Malaysia melupakan kemelut pilihan raya yang lepas, sibuk berbicara pasal perdamaian (reconciliation) dan terus bekerja keras untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

Memang tidak dapat dinafikan, seringkali berlaku beberapa insiden yang boleh melemahkan dan menyebabkan kita kehilangan semangat untuk terus maju namun seperti yang dikatakan oleh Idris, masa dan pasang surut tidak menunggu sesiapa, kini kita telah melangkah ke bulan Ogos dan tinggal ¼ bulan lagi untuk sampai ke gerbang tahun 2014 dan tujuh tahun lagi untuk sampai ke 2020.

Kita sebagai manusia biasa telah diberi anugerah oleh Tuhan untuk memberi yang terbaik untuk keluarga, bangsa dan negara. Pertamanya, kita harus menyemai rasa cinta kita kepada negara Malaysia, biarlah cinta pertama itu kembali berputik lagi. Semangat untuk mencintai tanah air, tempat lahir kita. Kita lahir di bumi Malaysia, dan seharusnya bangga menjadi rakyat Malaysia. Sungguhpun banyak rakan yang telah bermigrasi ke negara seperti Australia dan Singapura demi kepentingan pelajaran dan masa depan mereka. Biarlah, itu pilihan mereka. Namun kita yang masih di Malaysia seharusnya, terus berusaha untuk memajukan negara. Dalam pada itu, semangat kemalaysiaan itu harus tebal dan bukan semangat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan, kita sama-sama harus menghadapi ombak dan badai demi kemajuan negara yang tercinta.

Baru-baru ini saya terbaca sebuah kisah di internet di mana seorang rakyat Malaysia berbangsa India yang sedang menunggu untuk membayar di kaunter bayaran di sebuah pasar raya telah menunjukkan teladan yang harus dicontohi oleh semua rakyat Malaysia. Ketika itu azan kedengaran, sudah tiba waktu untuk berbuka puasa. Ketika itu, cuma ada satu kaunter yang dibuka, dan orang ramai sedang berbaris untuk membuat pembayaran. Kebetulan pekerja di kaunter tersebut merupakan seorang perempuan Melayu. Bila tiba giliran Raven Murugesan untuk membayar. Dia pun bertanya sama ada perempuan Melayu itu berpuasa. Selepas membuat pembayaran, Raven terus membuka bekas plastik biskut dan menghulurkan biskut dan air minuman yang dibelinya kepada perempuan Melayu tersebut. Dia meminta kebenaran kepada orang yang berdiri di belakangnya supaya memberi sedikit masa untuk perempuan Melayu itu untuk berbuka puasa. Perempuan Melayu itu makan biskut tersebut dan minum air yang diberi oleh Raven. Dalam 30 saat itu, dia sudah habis berbuka puasa dan kembali ke kaunter untuk terus melayani pelanggan lain. Sambil itu, air matanya bercucuran di pipi terharu dengan perbuatan Raven yang nampak kecil tetapi begitu mulia. Sikap sensitif itu telah meninggalkan kesan yang mendalam pada diri perempuan Melayu tersebut dan pelanggan-pelanggan lain yang sedang menunggu giliran untuk membayar.

Kita tidak perlu menjadi Mother Teresa untuk menunjukkan kasih sayang kepada manusia sejagat, sekadar ber hati perut, sudah memadai. Kita tidak perlu menderma berjuta- juta ringgit untuk kebaikan sekadar sekeping roti dan seteguk air untuk yang memerlukan sudah cukup bererti bagi seseorang insan.

Di bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia melupakan segala perasaan perkauman, kebencian sesama kaum, dan terus fokus kepada kebenaran, kesejahteraan manusia sejagat tanpa menghiraukan perbezaan warna kulit, agama dan bangsa. Di hari yang mulia ini, kita menghulurkan bantuan kepada keluarga miskin tidak kira kaum, kita berbaik dengan saudara asing kita, orang Afrika, Bangladesh dan orang-orang yang yang datang ke negara ini untuk belajar dan mencari makan. Kita menghormati mereka dan berkongsi berkat kita bersama mereka.

Dalam pada itu, janganlah kita lupa membantu ibu-ibu tunggal serta anak-anak yatim piatu yang tiada keluarga. Pada suatu hari nanti, bila kita sudah meninggal dunia dan mayat kita berada dalam keranda, biarlah orang di sekitar keranda kita itu menitiskan air mata mengenangkan segala perbuatan dan kebajikan yang kita telah buat kepada manusia sejagat ibarat, "harimau meninggalkan belang, manusia meninggalkan nama."



Selvarani P. Kovil Pillai ialah Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.Utusan Malaysia Online Rencana 13/08/2013