August 15th, 2013

Dulu masjid, kini universiti tersohor

AL-AZHAR asalnya merupakan sebuah masjid sebelum berubah menjadi universiti terbesar dan termasyhur di dunia Islam, terletak di kota Kaherah, Mesir. Masjid Al-Azhar dibangun oleh penguasa Dinasti Fatimiyah pada 970 Masihi. Kemudian, bangunan tersebut juga berfungsi sebagai tempat belajar hingga peringkat universiti.

Sepanjang usianya yang sudah lebih 1,000 tahun, Al-Azhar telah beberapa kali mengalami pelbagai perkembangan, baik dari segi bangunan mahupun isi dan sistem pengajaran yang diaplikasikan. Kini masjid dan universiti itu menjadi salah satu pusat dan rujukan terpenting bagi kehidupan keagamaan dan kebudayaan kaum Muslim di seluruh dunia. Banyak mahasiswa, termasuk Malaysia, menimba ilmu di sini.

Pembangunan Al-Azhar bermula ketika Jauhar as-Siqilli, panglima perang Mu'izz Lidinillah (khalifah Fatimiyah) merancang membangun kota al-Qahirah (Kaherah), dengan sebuah masjid baru sebagai pusat peribadatan bagi khalifah al-Mu'izz dan pengikutnya.


Pada 998 Masihi, Al-Azhar berkembang menjadi sebuah universiti Islam.

Setelah selesai dibangun, masjid ini diberi nama Jami' al-Qahirah. Luasnya mencakupi setengah dari Masjid Al-Azhar ketika ini. Setelah beberapa lama, nama masjid ini diubah menjadi al-Azhar, yang dinisbahkan kepada nama Fatimah az-Zahra, puteri Rasulullah SAW.

Sejak pembangunannya, Masjid al-Azhar menjadi tempat pelaksanaan solat Jumaat secara besar-besaran. Penduduk berduyun-duyun datang untuk melaksanakan solat Jumaat dan mendengarkan khutbah daripada penguasa Fatimiyah.

Sesuai dengan aliran Syiah yang dianut, maka bentuk azan dan khutbah di Masjid al-Azhar pada masa itu mengikuti model yang berkembang dalam Islam Syiah. Masjid ini juga menjadi pusat perayaan hari-hari besar Islam oleh penguasa Fatimiyah.

Darul Hikmah

Pada 1005 Masihi, Khalifah al-Hakim memerintahkan pembangunan masjid yang kemudian diberi nama Masjid Al-Hakim. Bersamaan dengan itu, ia juga mengarahkan pembangunan sekolah dengan nama Darul Hikmah yang khusus mengajarkan doktrin Syiah. Dengan adanya sekolah ini, corak sectarian berkurang dalam pendidikan di Al-Azhar. Sebagai gantinya, Al-Azhar diubah menjadi tempat pendidikan yang bersifat umum. Di sini ajaran-ajaran bukan Syiah juga diajarkan.

Setelah Al-Azhar dibangun, al-Mu'izz memerintahkan kadinya, Ali bin al-Nu'man untuk membentuk halaqah (kelompok belajar) yang mempelajari fikh Syiah Ismailiyah. Halaqah pertama bermula pada 975 Masihi.

Pada 998 Masihi, Al-Azhar berkembang menjadi sebuah universiti Islam.

Khalifah Al-Aziz bersetuju dengan usul Ibnu Killis, salah seorang menteri untuk menstruktur pendidikan di Al-Azhar. Ia mengusulkan pelantikan guru-guru tetap sebagai pengajar.

Calon-calon guru dididik langsung oleh Ibnu Killis. Sistem ini bakal menjadi pendidikan akademi di Al-Azhar. Selain itu, guru-guru ini mengikuti kurikulum yang sudah disusun rapi dan menerima gaji tetap daripada pemerintahan Fatimiyah.

Pada masa kekuasaan Dinasti Ayubiyah (1174 M - 1252 M) peranan tradisional Al-Azhar tidak lagi berjalan kerana Salahuddin Yusuf al-Ayyubi, penguasa Ayubiyah daripada aliran Sunni, menghapuskan pengaruh Fatimiyah yang disebarkan melalui Al-Azhar.

Ia membangun banyak madrasah lain yang mengajarkan Islam Sunni, sehingga peranan Al-Azhar menjadi amat merosot. Walaupun demikian, pengembangan pengajian di Al-Azhar tetap berjalan, meski lebih banyak bergantung pada usaha peribadi dan orang-orang yang simpati dengan pendidikan agama.

Ijazah

Konsep pemberian ijazah kepada para mahasiswa di Al-Azhar dimulai ketika Al-Azhar di bawah Dinasti Mamluk. Ijazah itu dibahagi kepada tiga jenis. Yang pertama adalah ijazah yang menunjukkan bahawa seseorang sudah dapat memberikan fatwa atau mengajar.

Kedua adalah ijazah yang diberikan kepada seseorang yang sudah dapat menghafal dan memahami suatu kitab secara menyeluruh.

Ketiga adalah ijazah yang diberikan oleh seorang sarjana Al-Azhar terkenal kepada sarjana lain yang tinggal di luar Mesir setelah kemampuannya diuji.

Pada 1896, untuk pertama kali dibentuk Idarah al-Azhar (Dewan Pentadbiran al-Azhar). Langkah pertama dewan ini ialah mengeluarkan peraturan yang membahagi masa belajar di al-Azhar menjadi dua masa: pendidikan dasar dengan ijazah asy-syahadah al-ahliyah (ijazah kelayakan) serta pendidikan menengah dan tinggi dengan ijazah asy-syahadah al-alimiyah. Masa belajar untuk masa pertama berlangsung selama lapan tahun dan masa kedua enam tahun.

Sultan Baybars

Pada masa Dinasti Mamluk, al-Azhar yang telah tidak begitu aktif selama hampir satu abad dibuka kembali. Berkat Sultan Baybars (1260 Masihi - 1277 Masihi) dan wakilnya yang amat menonjol, Izuddin Aidmur, Al-Azhar kembali bangkit dan menempatkan diri sebagai salah satu pusat terpenting dalam pendidikan Islam.

Di atas saranan Izuddin, Sultan Baybars mengumpulkan segala sumber daya dan dana untuk membangun kembali Al-Azhar, baik masjid mahupun pusat pendidikannya. Solat Jumaat dan perayaan hari-hari besar Islam kembali dilaksanakan dengan kehadiran sultan.

Dalam beberapa dekad terakhir, Al-Azhar juga mulai memperhatikan hasil-hasil yang telah dicapai oleh sarjana-sarjana ketimuran dalam bidang pengajian keIslaman dan keAraban. Al-Azhar mulai memandang perlunya mempelajari sistem penelitian yang dilakukan universiti-universiti Barat dan mengirim alumninya yang dianggap mampu untuk belajar ke Eropah dan Amerika. Pengiriman ini dilakukan dengan tujuan untuk mengikuti perkembangan ilmiah di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1962, Al-Azhar membuka pintunya bagi kaum perempuan dengan dibukanya fakulti perempuan yang ditempatkan di gedung-gedung baru dengan jumlah mahasiswi lebih daripada 3,000 orang.

Mahasiswa Malaysia

Sejak awal berdirinya, sistem pendidikan al-Azhar selalu terbuka bagi semua orang dari seluruh pelosok dunia yang ingin belajar. Biasanya mereka tinggal bersama guru-guru di tempat pemondokan, khusus di sekitar Al-Azhar yang disebut ruaq dan harah. Banyak mahasiswa dari Malaysia pergi belajar ke al-Azhar dan dari sana lahir banyak pemimpin Muslim di Malaysia.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/08/2013

Hayati Ramadan, raikan Syawal

BERSYUKUR kita ke hadrat Ilahi kerana atas kehendak-Nya kita selesai menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan dan dapat kita merayakan Syawal, hari kemenangan bagi semua yang telah berjaya menjalani ibadah puasa dengan sabar dan tertib.

Bagi kanak-kanak, hari raya paling istimewa terutama apabila mereka mula memahami kegembiraan berhari raya bersama ibu bapa dan keluarga.

Kegembiraan bagi kanak-kanak ialah membeli baju dan kasut raya, juadah yang pelbagai, berkunjung dari rumah ke rumah sambil mengutip duit raya.

Zaman saya kecil dahulu, memasang pelita dan bermain mercun, bunga api atau meriam buluh serta bertakbir dari rumah ke rumah. Kegembiraan mereka juga ialah apabila dipuji kerana telah berjaya berpuasa setengah hari dan kemudiannya sepenuh hari, sekali gus diganjari upah atas kejayaan itu.

Yang pasti, kegembiraan merayakan hari raya sangat bergantung kepada bagaimana ibu bapa mendidik kanak-kanak ini mengenai puasa dan raya.


MELENTUR buluh biarlah daripada rebung, begitulah juga dengan aspek didikan kepada anak-anak. - Gambar hiasan
Macam kenai saja oghang dalam gambag ni ....

Sebagai Muslim, semua orang mempunyai pengalaman sendiri mengenai berpuasa dan berhari raya. Semua ibu bapa mempunyai cara sendiri melatih anak-anak mereka berpuasa. Ibu bapa saya melatih saya berpuasa dengan memastikan semua orang dalam rumah bangun sahur tanpa mengira umur.

Ibu akan memasak nasi panas, menggoreng sayur dan ikan masin dan biasanya gulai lemak cili api dimasak lebih untuk membolehkan kami memakannya semasa sahur.

Kami juga minum milo panas atau teh susu panas. Makan sahur kami seperti kami makan malam atau makan tengahari.

Saya masih ingat berpuasa setengah hari dan kemudiannya sehingga pukul 3 petang dan akhirnya berjaya menghabiskan puasa satu hari.

Walaupun sangat letih saya berusaha sedaya upaya menghabiskan puasa kerana mahu ayah dan ibu bangga.

Ayah sering mengingatkan saya perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau yang mengurangkan pahala puasa.

Apabila pulang dari sekolah, ayah mengajak kami solat dan kemudian bercerita sirah nabi atau membaca hadis mengenai puasa dalam bahasa yang kanak-kanak boleh faham. Ini juga sebagai satu cara untuk kami tidak memikirkan soal lapar.

Sebagai imam, ayah juga mengutip fitrah dan zakat dan biasanya ada di masjid pada waktu Asar.

Kami sering mengikutnya ke masjid. Kadang-kadang kami berjalan keliling kampung kerana ayah menghantar beras atau bantuan kepada fakir miskin, ibu memasak juadah berbuka puasa.

Jika kami duduk di rumah biasanya kami tidur. Saya masih ingat, bagaimana saya dan adik sering membuka peti sejuk untuk melihat makanan yang disimpan sambil menyejukkan muka. Ada juga kami terlupa tentang puasa dan terus meneguk air di peti sejuk. Saya ingat ayah ketawa dan berkata: "Tidak mengapa, terlupa dimaafkan."

Lumrah perangai kanak-kanak, yang sengaja terlupa dan berpura-pura berpuasa untuk mendapat upah di hujung Ramadan. Waktu berbuka adalah waktu paling seronok bagi saya kerana keluarga kami besar. Dengan lapan adik-beradik bersama ibu dan bapa, kami berbuka beramai-ramai.

Menjadi tradisi kakak-kakak yang telah berkahwin akan berbuka bersama pada hujung minggu. Ada kalanya, kami pula pergi ke rumah kakak untuk berbuka, terus solat Maghrib, Isyak, terawih dan witir berjemaah. Dari kecil juga kami ke masjid menunai solat terawih dan membawa moreh dari rumah.

Kami bukan dalam kalangan orang berada tetapi ayah selalu membawa makanan dari rumah untuk moreh. Sebaik mencapai umur yang boleh membantu di rumah, kami membantu ibu membuat kuih atau memasak di dapur. Ayah juga suka membuat bubur lambuk, bubur kacang sebagi moreh.

Apa pun cara berpuasa, ramai di antara kita yang menjalankan ibadah puasa seperti mana kita dididik. Saya mula mendidik dua anak untuk berpuasa dari umur lima tahun dan pada usia enam tahun, kedua-dua anak saya telah berpuasa penuh sama seperti saya dahulu.

Semasa mereka kecil, mereka juga bangun sahur walaupun tidak berpuasa lagi tetapi dibiasakan dengan Ramadan dan menghormati orang berpuasa. Bezanya, ibu memasak juadah berbuka dan sahur, sedangkan saya lebih banyak membeli tetapi masih memasak makanan bersahur.

Sebab itu, setiap kali Ramadan menjelang, saya akan mengingati keindahan dan keseronokan Ramadan bersama keluarga. Walaupun sibuk dengan tugas masing-masing, kami adik-beradik masih berbuka beramai-ramai bersama anak-anak dan cucu-cucu.

Kami juga berterawih bersama. Amalan ini mengerat hubungan kekeluargaan dan kami menghayati Ramadan seperti kami dididik oleh ayah.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/08/2013

Antara adat dan ibadat

IBADAH puasa di bulan Ramadan diibaratkan suatu ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa. Bukan sahaja menahan lapar dahaga tetapi mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa.

Malah disiplin madrasah ini amat tinggi sehinggakan bukan sahaja di hadapan orang umat Islam berpuasa tetapi apabila bersendirian juga amalan ini masih utuh. Inilah kejayaan Islam dalam mendidik peribadi yang mulia dan amanah.

Setelah sebulan mengikuti madrasah Ramadan, masyarakat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri pada minggu lepas. Jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat di dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini. Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari tersebut.

Dari segi bahasanya ‘aid al fitri’ bermakna kembali kepada fitrah. Kita sebenarnya kembali kepada fitrah kita sendiri iaitu suci dan bebas daripada dosa sebagaimana anak yang baru dilahirkan. Tatkala Aidilfitri, umat Islam adalah suci daripada dosa kerana madrasah Ramadan telah membersih segala dosa kita.

Namun tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal mendapat ‘ijazah’ daripada madrasah Ramadan ini. Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada ‘fitrah’ mereka. Mereka kembali kepada kehidupan yang penuh dengan dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal-haramnya dan menindas golongan yang lemah. Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT.

Pada hari kemenangan ini jangan dilupa golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga setelah berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat.

Mungkin ada yang masih di kampung kerana kebetulan cuti persekolahan yang panjang ketika ini. Ambillah kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim antara kita dan pulanglah nanti dengan suatu tekad untuk memperjuangkan agama Allah ini. Islam amat memerlukan kita bagi meneruskan kelangsungan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.

Aidilfitri bukanlah suatu upacara adat semata-mata tetapi merupakan ibadat yang berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, amatlah molek sekiranya Hari Besar ini dipenuhi dengan ibadat-ibadat yang dituntut oleh Allah.

Bukanlah tidak boleh berseronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah-menziarahi tetapi mengeratkan silaturahim, ia tidak hanya berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiyah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan yang memerlukan dan sebagainya. Pembaziran pula bukanlah suatu yang digalakkan oleh Islam tetapi merupakan amalan syaitan.

Sebagaimana lazimnya seperti tahun-tahun yang lalu, bulan Syawal akan dipenuhi dengan program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makanan pun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika kita kaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis-majlis berkenaan.

Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan ia diberhentikan serta merta tetapi biarlah dalam semua tindakan kita itu dibuat dengan berpada-pada, bersederhana dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan.

* DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainulrijal @abubakar.my Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/08/2013

Waspada ancaman akidah umat Islam

BAGAIKAN bergerak mengikut peredaran arus semasa, pelbagai budaya dan fahaman songsong luar baru dilihat kian rancak memasuki segenap penjuru negara dari semasa ke semasa.

Ajarannya bukan sahaja berjaya mempengaruhi mentaliti golongan berpendidikan rendah, tetapi fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam itu dikatakan telah menular kepada golongan berpelajaran dan juga berpengaruh.

Pelbagai usaha telah diambil banyak pihak dalam mengekang ancaman akidah itu dari terus berleluasa, namun malangnya ia seperti tiada noktah dan kesudahan apabila hanya berakhir dengan sia-sia.

Perkara tersebut yang membabitkan isu penyelewengan akidah dan semakin membimbangkan itu dikhuatiri memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu tetapi dipercayai mampu mencetuskan kebinasaan terhadap negara.

Itulah yang diketengahkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Perasmian Seminar Pemurniaan Akidah 2013 di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang meluahkan rasa bimbang dengan keadaan yang berlaku itu berkata, inilah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh badan bertanggungjawab untuk memantau dan mengelakkannya daripada terus berleluasa.


Semua pihak terutama umat Islam perlu bersatu padu dalam menegakkan kesucian Islam. - Gambar hiasan oleh AIZZUL A.MAJID

Ini kerana katanya, sekiranya ajaran-ajaran penyelewengan akidah itu tidak dapat ditangani daripada peringkat akar umbi, ia akan membawa kebinasaan yang serius kepada masyarakat dan berkemungkinan mengancam masa depan negara.

"Jika kita lihat pada masa ini, pelbagai fahaman yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam ahli Sunnah wal Jamaah semakin menular dan kuat dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini yang merupakan serangan terbesar umat Islam dilihat semakin bahaya kerana sudah hampir sampai kepada tahap teras.

"Apabila, serangan ke tahap teras yang dirancang secara halus oleh golongan-golongan sesat ini berjaya dilakukan, maka mati dan rosaklah keseluruhan pohon (individu) yang terasnya telah dipengaruhi dengan fahaman tersebut," katanya.

Bukan sahaja menyelewengkan akidah individu, malah Wan Zahidi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan pelampau ini boleh bertindak ganas dengan menubuhkan pasukan militan.

"Antaranya apa yang kita bimbang adalah kumpulan ini jika dibiar mengembangkan pengaruh, ia akan bertindak ganas sebagai contoh fahaman Syiah yang turut dikhuatiri akan menubuhkan pasukan militan yang berkemungkinan memberi ancaman terhadap negara," ujar beliau.

Justeru, Wan Zahidi yang juga Pengerusi Panel Kajian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berharap perkara itu dapat dibendung melalui pendedahan dan merungkai kekeliruan akidah dalam kalangan masyarakat dari peringkat awal.

Seminar sehari anjuran Jabatan Mufti Wilayah dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (Yapeim) itu bertujuan memberi pencerahan dan pendedahan mengenai kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar dan menjelaskan implikasi aliran sesat kepada akidah dan bahayanya kepada masyarakat.

Seminar bertemakan 'Manhaj Quran dan Sunah dalam Memelihara Akidah itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin. Turut serta Wakil Yapiem, Mohd Yusof Abd Rahman dan Mufti Sabah, Aziz Jaafar.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan pada seminar itu disampaikan oleh tokoh pemikir Islam antarabangsa dari Lubnan dan Australia.

Pada majlis sama, Razali turut menyempurnakan pelancaran buku berjudul Melihat Dari Jendela Islam tulisan Wan Zahidi dan Islam dan Pluralisme Agama oleh Dr. Khalif Muammar A. Harris.

Punca perbalahan

Dalam pada itu, seorang pembentang, Dr. Syeikh Jamal Saqr al-Husainiyy dalam kertas kerjanya bertajuk, 'Ahli Sunnah Wal Jamaah Golongan yang Terselamat' berkata, pergolakan yang berlaku di negara-negara Asia Barat sehingga mengorbankan ribuan nyawa dipercayai adalah disebabkan wujudnya perbezaan fahaman oleh golongan pelampau.

Ia menurutnya berlaku apabila penyebaran fahaman sesat yang menghalalkan pertumpahan darah dan melakukan apa saja demi menyebarkan pengaruh dan kuasa mendapat semakin kukuh di negara tersebut sehingga tidak dapat dibendung.

"Cubaan untuk menyebarkan ajaran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah ini berlaku di seluruh dunia. Golongan ini cuba menyesatkan umat Islam dalam apa cara sekali pun sehingga menghalalkan darah manusia yang tidak ingin mengikuti fahaman mereka.

"Sasaran kumpulan ini adalah kepada golongan berpengaruh seperti para pemimpin. Jika tidak berjaya, mereka sanggup menghasut rakyat untuk memberontak bagi menggulingkan kerajaan kerana tidak mengikut petunjuk mereka.

"Inilah yang berlaku di beberapa negara Islam di Asia Barat yang sedang mengalami pergolakan hanya disebabkan perbezaan fahaman sehingga mengakibatkan ribuan nyawa tidak berdosa terkorban," katanya.

Tambah pensyarah, Universiti al-Masyari al-Khairiyyah al-Islamiyyah, Beirut, Lubnan itu, diibarat bom jangka, golongan sesat yang berselindung di sebalik nama Islam dan jihad ini menyebarkan fahaman mereka bukan kerana ajaran sahaja tetapi untuk mendapatkan kuasa.

"Fahaman mereka ternyata jauh berbeza dan sebaliknya dengan ajaran Islam sebenar yang menitikberatkan kesederhanaan dan berkasih sayang. Dan mereka ini adalah golongan yang menentang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Ia dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: "Ketahuilah bahawa orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada 72 kumpulan dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 (kumpulan), 72 daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah. (riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)," katanya.

Beliau turut menasihatkan agar umat Islam di Malaysia terus berpegang teguh dengan kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jamaah demi mengekalkan keamanan di negara ini.

"Menjadi kewajipan kepada para ulama dan badan yang bertanggungjawab untuk terus memantau perkembangan fahaman dan ajaran sesat selain Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada terus berleluasa di negara ini.

"Di samping itu, kita juga harus memperbetulkan kembali akidah golongan yang telah terpesong daripada jalan kebenaran agar ia tidak menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara ini suatu hari nanti," katanya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/08/2013