August 16th, 2013

Perkhidmatan pakej haji

BAGI bakal haji yang telah terpilih untuk menunaikan haji tahun ini mereka boleh membuat pilihan untuk menunaikan secara Muassasah yang dikendalikan oleh Tabung Haji (TH) sepenuhnya atau menggunakan perkhidmatan pakej haji yang ditawarkan oleh 19 agensi pelancongan yang diluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji 1434 Hijrah (PJH) dan juga TH Travel & Services Sdn. Bhd. (TH Travel), iaitu anak syarikat milik penuh TH.

Senarai 19 PJH 1434 Hijrah ini dan TH Travel telah diiklankan di dalam akhbar Mingguan Malaysia dan New Sunday Times pada keluaran 24 Februari lalu dan juga di dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia pada hari Sabtu, 18 Mei lalu.

Poster senarai agensi pelancongan yang diluluskan lesen PJH ini juga dipaparkan di papan kenyataan di semua Pejabat TH Negeri, Pejabat TH Cawangan, Pejabat Mini TH dan di masjid-masjid. Senarai ini juga boleh didapati di lawan web TH di alamat www.tabung haji.gov.my

Sekiranya bakal haji didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai wakil atau agen kepada syarikat yang diluluskan lesen PJH bagi Musim Haji 1434 Hijrah dan menawarkan pakej perkhidmatan haji, bagi mengelakkan daripada tertipu, sila pastikan bahawa wakil atau agen yang berkenaan mempunyai surat pelantikan yang sah yang menggunakan kepala surat (letter head) PJH yang berkenaan. Sekiranya terdapat sebarang keraguan, sila berhubung terus dengan PJH yang dinyatakan.

Setiap PJH ada mengeluarkan Brosur Tawaran Perkhidmatan Pakej Haji (Brosur) masing-masing. Di dalam brosur tersebut ada dinyatakan bayaran yang dikenakan, perkhidmatan penginapan dan makan minum serta perkhidmatan kebajikan yang disediakan. Brosur ini adalah merupakan satu perjanjian di antara PJH dengan jemaah haji.

Selaras dengan bayaran tambahan yang dikenakan, jika dibandingkan jemaah haji Muassasah, jemaah haji yang memilih perkhidmatan pakej haji akan mendapat perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah seperti berikut:

l Bangunan penginapan yang lebih dekat dengan Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi dan keadaan dalam bilik yang lebih selesa,

l Makan dan minum yang disediakan secara bufet, termasuk sarapan pagi,

l Nisbah petugas yang lebih ramai untuk menjaga kebajikan dan memberi perkhidmatan kepada jemaah haji.

Sekiranya PJH yang gagal memenuhi janji-janji perkhidmatan seperti yang dinyatakan di dalam Brosur semasa di Tanah Suci, jemaah haji boleh membuat aduan terus kepada petugas TH di Pusat Perkhidmatan Maktab Pengelola Jemaah Haji, di Bangunan Ibu Pejabat TH, Mekah atau di Pusat Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji, di Hotel Al Haram, Madinah.

Perlu diingatkan bahawa sebarang aduan hendaklah dibuat dengan segera, iaitu ketika jemaah haji masih berada di Tanah Suci. Ini adalah untuk membolehkan petugas TH untuk membuat siasatan bagi mendapatkan bukti-bukti ke atas aduan tersebut semasa masih berada di Tanah Suci.

Semua jemaah haji PJH adalah juga jemaah haji TH. Semasa berada di Tanah Suci mereka boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh TH seperti perkhidmatan pengeluaran wang dan perkhidmatan perubatan tanpa dikenakan sebarang bayaran seperti mana jemaah haji Muassasah.



MAT ADMARA ALANG AZIZDIN PENULIS ialah Pengurus Besar (Agensi Haji), Lembaga Tabung Haji. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/08/2013

Kelebihan bersilaturahim

ALHAMDULILLAH, pada ruangan kali ini dalam artikel tafsir, penulis ingin mengemukakan berkaitan pentingnya menjaga hubungan silaturahim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa': 1)

Pada hujung ayat ini, seperti yang ditafsirkan oleh Syeikh al-Maraghi: Takutlah kamu kepada Allah SWT yang menjadi tempat kamu meminta iaitu apabila seseorang berdoa. Aku mintakan untukmu kepada Allah SWT supaya kamu dapat memenuhi hajat.

Oleh yang demikian mereka mengharapkan agar Allah SWT mengkabulkan doanya. Maksud "meminta kepada Allah" ialah meminta untuk beriman kepada-Nya dengan dengan mengagungkan-Nya, iaitu dengan sebab seperti itu aku meminta kamu untuk berbuat seperti itu.

Takutlah kamu kerana mensia-siakan hak ahli keluarga. Oleh itu sambungkanlah tali kekeluargaan itu melalui perbuatan yang baik dan janganlah kamu memutuskannya.

Sebagai penguat betapa mulianya hubungan silaturahim, penulis menukilkan daripada Ibnu Abbas R.A berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tertera di dalam kitab Taurat: Siapa yang suka usianya panjang dan rezekinya bertambah, maka hendaklah menyambung silaturahim." (riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/160) dan pada sanadnya daif)

Antara pengajaran dan inti pati yang dapat kita ambil antaranya adalah:

l Silaturahim adalah satu perkara yang amat dituntut untuk dihubungkan. Tanpanya sudah pasti institusi kekeluargaan akan menjadi pincang dan runtuh seterusnya mengakibatkan tergugatnya keharmonian.

l Allah SWT memerintahkan kita supaya menghubungkan silaturahim sesama kaum keluarga yang dekat mahupun yang jauh.

Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan persoalannya, juga di dalam hadis-hadis Nabi SAW terutama sekali hadis-hadis Qudsinya yang sangat memberikan perhatian terhadap persoalan ini.

Kaum Muslimin sewajarnya mengambil berat terhadapnya, terutama sekali dalam zaman moden ini, masing-masing dengan dirinya sendiri, sehingga ramai daripada kalangan anak buah tidak kenal dengan kalangan anak buah yang lain.

Bagaimana keturunan kaum yang seumpama ini akan menjaga pertalian kerabatnya di masa akan datang nanti?

Antara bentuk menyambung silaturahim ialah:

l Saling ziarah menziarahi

l Bantu-membantu

l Menolong tatkala kesempitan

l Melawat ketika sakit

l Mengambil sikap cakna terhadap saudara mara

l Melaksanakan amar makruf dannahi munkar

l Mendidik dan mentarbiah mengikut acuan syariat Islam

Penulis menukilkan pesan yang cukup bernilai wasiat ulama dan salafussoleh antaranya adalah:

Ja'far al-Sadiq RA berkata kepada anaknya: Jangan kamu bersama dengan tiga golongan manusia ini, kerana Allah murka terhadap mereka ini, mereka ini adalah:

l Jangan kamu bergaul dengan orang yang bermaksiat kepada Allah, kerana dia telah memutuskan tali antara dia dengan Allah.

l Jangan kamu bergaul dengan orang yang derhaka kepada ibu bapanya, kerana dia orang yang terlaknat.

l dan jangan kamu bergaul dengan pendusta, kerana dia akan mendekatkan yang jauh bagimu dan menjauhkan yang dekat daripadamu.

Justeru, marilah sama-sama kita menyambung dan mengikat tali silaturahim agar benar-benar mantap dan mendapat keredaan Allah SWT.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/08/2013

Hayati kandungan al-Quran

AL-QURAN bukan hanya dibaca tetapi penurunan kitab suci itu perlu dihayati dengan mendalam setiap ayat dan perkataan agar kita lebih memahaminya kerana ia mengandungi pelbagai pengajaran termasuk suruhan dan larangan Allah SWT.

Namun tidak semua insan mampu memahami maksud isi al-Quran hatta sekalipun seorang huffaz yang dikatakan menghafal keseluruhan ayat-ayat kitab suci tersebut.

Hasil daripada kegagalan tersebut, maka lahirlah umat Islam yang hanya tahu membaca al-Quran tetapi tidak mengetahui isi kandungannya dan akhirnya misi penghayatan kitab suci itu tidak tercapai.

Sehubungan itu, bagi menerangkan isi kandungan al-Quran kepada orang ramai khusus terhadap para huffaz, Sekolah Menengah Islam IQ Kuala Lumpur (IQKL) menerbitkan Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir yang lengkap dengan perbendaharaan bahasa Arab.

Pengerusi Projek Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, usaha itu merupakan kali pertama di Malaysia dengan penglibatan sebuah sekolah tahfiz iaitu IQKL yang bertujuan untuk melatih para huffaz memahami isi kandungan selain menghafalnya.

Jelas Zulkifli, pihaknya mendapati ramai dari kalangan huffaz al-Quran hanya tahu menghafal tetapi gagal untuk memahami isi kandungan lalu menyebabkan mereka tidak mengetahui makna tersurat dan tersirat sesuatu perintah Allah SWT.

Beliau yang merupakan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menambah, apabila situasi itu berlaku, maka mesej yang disampaikan oleh Allah melalui al-Quran kepada umatnya akan gagal.

Oleh itu, jelas Zulkifli, kewujudan Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir adalah sesuai pada masanya di saat umat Islam kini dihimpit pelbagai masalah akibat gagal mendapat panduan dan petunjuk kerana tidak memahami isi kandungan al-Quran.

"Sebagai contoh, masalah perpaduan yang berlaku dalam kalangan umat Islam hari ini disebabkan mereka tidak memahami isi kandungan ayat al-Quran sedangkan dalam Imam ketika solat membaca ayat 213 surah al-Baqarah.

"Maka penerbitan Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir merupakan langkah jangka panjang kami dalam melahirkan ahli perniagaan, pemimpin dan sebagainya yang menjadikan ayat-ayat sebagai rujukan dalam setiap urusan mereka," terang Zulkifli ketika majlis pelancarankitab itu baru-baru ini.

Majlis pelancaran Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir disempurnakan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan dihadiri oleh Wakil Lembaga Pengelola IQKL, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Pengetua IQKL, Nor Azimah Mohd. Ghazali.

Zulkifli berkata lagi, sehingga kini pihaknya telah menyiapkan dua jilid, di mana setiap satu mengandungi tiga juzuk dan projek ini dijangka sempurna pada hujung tahun hadapan.

"Alhamdulillah kita berjaya hampir menyiapkannya walaupun dimaklumi masing-masing sibuk dengan tugas, namun masa hujung minggu digunakan empat pentashih untuk meneliti dan menyemak usaha yang dilakukan oleh warga pendidik IQKL," kata beliau.

Selain Zulkifli, tiga anggota pentashih adalah Rektor Kolej Universiti Islam Selangor, Prof. Madya Dr. Ab. Halim Tamuri; Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Wan Nasyruddin Wan Abdullah dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Ammar Fadzil.

Dalam pada itu, Wan Mohamad dalam ucapannya berkata, Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir merupakan terbitan pertama IQKL akan dijadikan sebagai silibus pembelajaran sekolah berkenaan bermula awal tahun lalu.

Ujar beliau, Kitab Al-Hafiz Fil Al-Tafsir yang lengkap dengan terjemahan ayat-ayat al-Quran bertujuan untuk membantu para pelajar memahami isi kandungan yang dihafal selain dimuatkan dengan mufradat iaitu makna dalam bahasa Melayu secara ringkas untuk membantu mereka menambah perbendaharaan bahasa Arab.

Tambah Wan Mohamed lagi, projek penulisan tafsir ini telah dimulakan pada 2011 dan telah disusun oleh sekumpulan tenaga pengajar IQKL dan kemudiannya disemak oleh sekumpulan pentashih yang terdiri pakar al-Quran dan pensyarah universiti tempatan.

"Kita juga menyasarkan orang ramai agar kitab ini dapat dimanfaatkan dengan menjadikannya sebagai bahan bacaan atau panduan dalam sesuatu perkara," jelasnya.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/08/2013

Pertahankan kesucian Islam

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Pengiktirafan kedudukan agama Islam dalam undang-undang yang paling tertinggi di negara kita menunjukkan betapa agama rasmi Persekutuan ini perlu dipelihara, dijaga, dimartabatkan, dihormati dan terus dipertahankan walaupun anutan agama lain terus dibenarkan tanpa sebarang halangan.

Maka sebagai warga yang bertanggungjawab sama ada kita beragama Islam mahupun sebaliknya, adalah menjadi kewajipan untuk kita bersama-sama berganding bahu memelihara kesucian agama Islam. Tidak boleh ada kompromi dalam hal sensitif seperti ini kerana ia melibatkan kerukunan hidup masyarakat majmuk negara kita selama ini. Perkara ini juga telah menjadi antara asas utama pembentukan kontrak sosial yang menjadi panduan hidup masyarakat majmuk negara kita sekian lama.

Namun beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini seolah-olah menggambarkan adanya usaha licik pihak tidak bertanggungjawab untuk meragut kesucian agama rasmi Persekutuan ini. Walaupun kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup jelas, malah Malaysia juga terus diiktiraf sebagai negara Islam oleh masyarakat antarabangsa, apa yang berlaku mutakhir ini menimbulkan persoalan yang cukup merisaukan iaitu apalah nasib Islam di negara Islam ini.

Hal ini penting untuk dihayati oleh setiap warga negara ini secara serius kerana ada dalam kalangan kita sendiri yang cuba meragut kesucian agama Islam di bumi Islam ini.

Insiden demi insiden yang didedahkan, terutamanya kerakusan segelintir rakyat kita menggunakan laman sosial seperti facebook untuk mencemar agama Islam mahupun mengaibkan umat Islam walaupun pada bulan mulia seperti bulan Ramadan yang lalu, bukan sahaja mengejutkan tetapi juga cukup mengecewakan.

Mengajak umat Islam berbuka puasa dengan hidangan khinzir, beraya dengan anjing dan terkini surau digunakan untuk upacara keagamaan oleh penganut agama lain adalah antara perbuatan dan tindakan yang cukup keterlaluan dan boleh dikatakan mencabar kedudukan agama Islam seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah sebelum ini isu azan juga turut dijadikan polemik oleh segelintir rakyat kita. Apakah ini yang dikatakan sebagai hak asasi dan hak kebebasan bersuara walaupun dengan jelas melanggar peraturan, mencabar undang-undang serta merosakkan keharmonian dan perhubungan kaum di negara kita?

Sekali lagi, apalah nasib Islam di negara Islam bernama Malaysia ini andai perbuatan seumpama ini terus berlarutan? Apakah selamat dan terpelihara kedudukan Islam jika insiden seperti ini dijadikan sebagai ukuran?

Saya rasa cukup sedih mengenangkan nasib Islam di negara ini dan rasa cukup kecewa dan terkilan dengan tindak tanduk warga kita sendiri yang cuba merosak dan menghancurkan jambatan perpaduan kaum yang telah kita bina atas platform kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.

Generasi muda terutamanya perlu segera bangkit dari lamunan. Jangan terus leka dan lalai dengan pelbagai gajet serta ketagihan terhadap laman sosial, sebaliknya perlu mengambil tahu dan mengambil berat dengan apa yang sedang berlaku di sekitar kita.

Generasi muda perlu menjadi benteng dalam mempertahankan jambatan perpaduan di negara kita. Sama ada Melayu, Cina mahupun India perlu memahami semangat dan roh kontrak sosial serta Perlembagaan Negara.

Kesucian Islam perlu dipertahankan tanpa sebarang kompromi oleh semua kaum terutamanya penganut agama lain. Marilah bersama-sama kita pertahankan kedudukan dan maruah agama rasmi Persekutuan ini. Jangan sama sekali kita membiarkan sebarang usaha untuk mencemarkan nama dan kedudukan Islam terutamanya oleh warga kita sendiri.

Umat Islam negara ini juga perlu segera lupakan segala sengketa dan pertelagahan seterusnya bersatu atas nama Islam. Kerapuhan perpaduan sesama umat Islam telah menjadi senjata utama pihak yang cuba menangguk di air yang keruh untuk mencemarkan Islam selama ini.

Jangan kita menyesal kemudian hari andai satu hari nanti anak cucu kita hanya akan mengetahui bahawa Islam pernah menjadi agama rasmi negara ini melalui buku sejarah semata-mata.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED Padang Rengas, Perak. Utusan Malaysia Online Forum 14/08/2013