August 20th, 2013

Beribadah tanpa mengira musim

Teruskan puasa sunat, solat witir secara konsisten walaupun di luar Ramadan

Ramadan baru saja berlalu. Semoga proses didikan yang dilalui pada Ramadan mampu menjadikan kita manusia yang lebih tinggi iman dan takwanya di sisi Allah SWT berbanding sebelumnya.

Amat rugi jika proses didikan hati dan juga roh yang dilalui itu tidak mampu memberi kesan ke dalam jiwa dan sanubari manusia. Lebih merugikan amalan puasa dan qiyam Ramadan yang ditunaikan hanya memperoleh rasa penat dan dahaga semata-mata tanpa mendapat rahmat dan pengampunan daripada Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barangkali orang yang berpuasa itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Barangkali juga orang yang bangun solat malam itu tidak memperoleh sesuatu pun daripada qiamnya kecuali rasa mengantuk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Tanda amalan Ramadan diberkati

Antara tanda sesuatu amalan semasa Ramadan itu diterima oleh Allah SWT dan mendapat keberkatan-Nya ialah apabila amalan kebaikan tersebut masih berterusan dan dilaksanakan di luar daripada Ramadan. Alangkah sedihnya apabila seseorang hamba Allah yang melalui didikan dalam bulan Ramadan yang lalu tidak lagi meneruskan kerancakan amal ibadahnya pada bulan lain.

Sesungguhnya konsep perhambaan kepada Allah SWT perlulah dilakukan secara konsisten dan juga berterusan tanpa terikat mengikut musim tertentu saja. Janganlah seseorang manusia dianggap hamba Allah hanya pada Ramadan saja, tetapi jadilah hamba Allah pada setiap masa dan ketika.

Semasa Ramadan kita diwajibkan untuk berpuasa. Di luar Ramadan sewajarnya ibadah puasa itu diteruskan iaitu dengan melakukan puasa sunat. Bagi mereka yang mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah maka ibadah puasa sunat tidak boleh dipandang remeh. Antara puasa sunat yang besar nilainya bagi seseorang Muslim ialah amalan puasa sunat enam hari dalam Syawal.

Rasulullah SAW menerangkan ganjarannya dengan sabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa selama setahun.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sepanjang Ramadan yang lalu umat Islam menghidupkan malamnya dengan ibadah solat sunat Terawih dan solat sunat yang lain. Selepas keluar daripada Ramadan, seseorang Muslim itu perlu meneruskan serta memperbanyakkan ibadah solat sunat tanpa mengabaikan ibadah solat fardu. Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajud iaitu solat pada tengah malam.

Qiamullail latih jiwa kental, sabar

Sesungguhnya qiamullail yang dilaksanakan secara berterusan mampu melatih jiwa seseorang Muslim itu supaya lebih kental dan sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Malah Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan ibadah solat malam secara sengaja. Nabi SAW akan menghidupkan malam dengan ibadat solat tanpa mengira musim mahupun bulan yang tertentu.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah kamu pada waktu malam kecuali sedikit daripadanya. (Atau) separuh malam mahupun kurang sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 3).

Kesabaran Nabi Muhammad SAW dalam melakukan ibadah solat sunat pada waktu malam ini jelas terserlah walaupun Baginda SAW adalah manusia yang maksum iaitu yang terlindung daripada dosa dan cela.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering kali menunaikan solat pada tengah malam sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Maka Aisyah ra bertanya kepada Baginda mengapakah Baginda bersusah payah menunaikan solat sehingga sedemikian rupa sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosa oleh Allah SWT? Maka jawab Rasulullah SAW: “Apakah tidak boleh untuk aku gemar menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya).

Daripada hadis ini jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW tidak hanya sama sekali bersolat pada malam Ramadan, tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam Ramadan. Malah, solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada Ramadan, tetapi turut sama dilakukan di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Umat Islam dianjurkan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran bukan hanya dalam Ramadan, tetapi juga bulan lain. Amat menyedihkan apabila ada sesetengah individu yang mengenali dan membaca al-Quran hanya pada Ramadan. Perlulah disedari bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi seluruh umat Islam. Malah membaca al-Quran hanya pada Ramadan memperlihatkan kelemahan iman apabila tiada penerusan dalam bulan lain.

Kesimpulannya perjalanan ibadah dan amalan soleh tidak hanya berlaku hanya pada bulan Ramadan yang kita lalui, tetapi perlulah turut sama berterusan dan istiqamah di luar daripada Ramadan. Jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Nya tanpa mengira musim mahupun waktu yang tertentu.

Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan Berita Harian Online Agama 20/08/2013

Konsep mudah, sederhana tegakkan syiar Islam

Sesungguhnya Allah SWT tidak bertujuan memberi kesusahan kepada hamba-Nya dalam melaksanakan ibadah. Setiap perintah berkaitan ibadah berdasarkan apa yang termampu dilakukan. Ini kerana konsep ibadah bukan satu hukuman atau satu bentuk penyeksaan.

Dalam Islam menekankan perkara yang mudah dan mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199).

Kemudahan, kelonggaran dalam beribadah

Sebenarnya perintah Allah SWT dalam semua suruhan memperlihatkan kemudahan dan kelonggaran. Tidak ada satu pun ibadah yang boleh dikategorikan sebagai sukar untuk dilakukan. Jauh sama sekali perintah melakukan ibadat yang boleh mendatangkan bahaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78).

Ibadah puasa pada Ramadan umpamanya mempunyai kelonggaran yang diberikan kepada mereka menghadapi kesukaran atau keperluan yang diharuskan, meninggalkan ibadah yang diwajibkan itu.

Ini membuktikan Islam tidak mahu mendatangkan kemudaratan dalam melaksanakan ibadah. Sebab itu, dalam keadaan yang boleh menimbulkan mudarat, maka wajib seseorang tidak berpuasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (boleh berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari dia berbuka) itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 184).

Kelonggaran itu jelas memberi kemudahan dalam pelaksanaan ibadah puasa. Islam mementingkan keselesaan kepada umatnya untuk melakukan ibadah dengan tenang, selesa, ikhlas dan selamat.

Justeru, sesiapa melihat pelaksanaan ibadah dalam Islam dari sudut yang sukar sebenarnya tidak memahami Islam secara menyeluruh. Amalan wasatiyyah dan istiqamah adalah lebih penting berbanding sikap ekstrem dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu.

Rasulullah SAW sentiasa menekankan kepentingan kesederhanaan dalam semua perkara, termasuklah dalam seruan dakwah.

Ketika mengutuskan Muaz bin Jabal dan Abu Musa al-Asyari ke Yamam, Rasulullah SAW berpesan yang bermaksud: “Berikan kemudahan (kepada orang) dan janganlah menyusahkan mereka, berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadikan mereka menjauhkan diri (daripada Islam).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Beri alternatif mudahkan ibadah

Konsep mudah dan memudahkan memberi alternatif untuk membolehkan sesuatu maksud dilaksanakan biarpun dalam keadaan ketiadaan sumber asal.

Sebagai contohnya, dalam soal menyucikan diri, ketika ketiadaan air atau air yang ada lebih penting untuk kegunaan lain, penyucian boleh dilakukan dengan tanah atau debu secara tayamum.

Firman Allah SWT bermaksud: “Lalu jika tiada air, hendaklah kamu tayamum dengan tanah yang bersih, iaitu sapu mukamu dan tanganmu dengan (tanah itu). Allah tidak hendak menyulitkan kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maidah, ayat 6).

Jelaslah tidak ada perkara sukar untuk dilaksanakan oleh setiap umat Islam dalam apa hal sekalipun. Sebab itu Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan melakukan perkara mudah yang mampu dilakukan tanpa berlebih-lebih.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Ahmad bermaksud: “Sebaik-baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah.”

Mengambil perkara mudah bukan pula bermakna tidak mempedulikan atau mempermainkan hukum agama. Sesuatu ketetapan hukum perlu dilaksanakan dengan sempurna dan ikut keperluan.

Perkara ini diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Aisyah: “Apabila Rasulullah SAW diberi pilihan, maka Baginda akan memilih perkara lebih mudah selama mana bukan perkara dosa." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentunya kita dapat perhatikan amalan dalam Islam tidak ada yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap ibadah yang diperintahkan mempunyai banyak kebaikan yang memberi kebaikan kepada manusia sendiri.

Maka, tidak ada alasan untuk manusia ingkar daripada melaksanakan setiap ketentuan yang ditetapkan oleh agama.

Sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui mengenai keupayaan manusia dan tentunya tidak akan menyusahkan hamba-Nya dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan.

Firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 28 bermaksud: “Allah sentiasa hendak meringankan bebanan hukum-Nya daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”

Bahkan Allah SWT menegaskan bahawa Dia ingin memberi kemudahan dan bukannya kesukaran kepada manusia. Maksud firman Allah SWT: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, ayat 185)


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 20/08/2013

Ramadan dan Syawal merenung diri ke arah perpaduan

RAMADAN dan Syawal kali ini amat menuntut setiap umat Islam merenung ke dalam diri dan bertanya ke mana akhirnya perjuangan umat kalau perpecahan dan perseteruan yang terjadi tidak dileraikan.

Banyak sebab perpecahan terjadi. Sejak dulu lagi isu pelantikan Saidina Abu Bakar dipertikai sehingga ada yang beranggapan Saidina Ali sepatutnya menggantikan Rasulullah SAW sehingga kemudiannya menghasilkan ajaran Syiah dan didapati bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan membawa kepada pertumpahan darah sehingga kini.

Perpecahan juga berlaku akibat fahaman politik yang berbeza. Demokrasi yang menjadi wasilah politik umat Islam kini tidak menjadi suatu maslahah untuk menyelesaikan masalah sebaliknya menjadikan pertentangan sesama warga umat semakin tajam.

Perbezaan pendapat tidak dileraikan secara adabul ikhtilaf atau etika perbedaan sebaliknya didekati secara emosi dan persepsi yang negatif sehingga menyebabkan kesediaan bermuzakarah tidak terjadi.

Hal ini ditambah burukkan lagi oleh sikap tidak bersyukur umat Islam terhadap rahmah dan limpah kurnia Allah bagi sesebuah negara dan percaya gaya Arab Spring itu yang terbaik sebagai jalan keluar membangun negara Islam tanpa menyedari di sebalik Arab Spring ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan seperti yang berlaku di Mesir kini.

Yang mendapat untung dari perpecahan ini ialah Zionis Israel dan kuasa-kuasa besar yang mempunyai kepentingan dalam mencaturkan perpecahan dalam kalangan umat untuk kepentingan mereka.

Umat Islam harus lebih bijaksana dengan jebak yang dipasang oleh pihak-pihak berkepentingan kerana mereka tahu apabila umat Islam mula bermusuh agak mustahil mereka berbaik semula. Mereka akan terus bermusuhan sehingga berlaku pertumpahan darah.

Musuh Islam tidak perlu mengatur agenda untuk berhadapan dengan orang Islam kerana sesama Islam saling melemahkan satu dengan yang lain dan sesama Islam sudah hilang percaya sesama mereka.

Zahirnya ibadah mereka hebat, batinnya sudah tertanam perasaan dendam kesumat membenci sesama seagama dan ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam secara jangka pendek dan panjang.

Sewajarnya tarbiyyah Ramadan dan keraian Syawal membawa kita merenung dengan mendalam apakah jalan yang kita pilih ini selari dengan roh Ramadan dan Syawal yang mendukung jiwa muttaqeen dan jiwa kemenangan.

Bayangkan saudara-saudara seagama di Syria, Iraq, Libya dan Mesir, sepanjang Ramadan bertempur sesama sendiri dan sepanjang Syawal akan terus bertempur yang akhirnya meletakkan umat Islam di mana-mana hilang nilai wahdahnya.

Wahdah atau perpaduan ini hanya tinggal suatu impian kini. Jiwa jamaah yang mendukung maksud ruku dan sujud supaya rasa kehambaan kepada Allah hanya kelihatan secara zahirnya di masjid tidak diterjemahkan di luar masjid sehingga Islam tidak ditertibkan sebagai Suatu Cara Hidup yang membawa kepada wahdah atau kesatuan.

Bayangkan kalau generasi dewasa dan tua tidak memperlihatkan contoh terbaik dalam wahdah apakah harapan yang dapat diwarisi kepada generasi hari depan. Teladan yang ada kini adalah teladan yang hodoh yang tidak boleh menyebabkan generasi hari depan memiliki kecenderungan mengkaguminya.

Bagi umat Islam di Malaysia belum terlalu lewat untuk menginsafi bahawa nasib umat bergantung kepada sumber teladan yang ada pada kita kini.

Kalau perpecahan yang kita pilih, dendam kesumat yang dianut, kebencian yang kita suburkan, menolak pentingnya muzakarah dengan jiwa dai' dan murabbi yang kerdil dengan kebimbangan Ramadan berlaku tetapi tidak membawa kesan wahdah dan Syawal dirayakan tanpa membawa perubahan diri.

Kita juga harus reflektif kepada kisah dan sejarah silam. Apa yang berlaku kini mengulangi jejak Zaman Muawiyyah dengan Ali, gerak kerja Khawarij yang merosakkan dan kecenderungan mengembangkan ajaran sesat yang bercanggah dengan akidah dan syariat Allah.

Semoga masih ada dalam kalangan kita yang masih cintakan wahdah atau perpaduan dalam kalangan umat kerana Ramadan mendidik kita menjadi orang yang muttaqeen dan Syawal bulan yang diraikan untuk meningkatkan ukhuwah dan persaudaraan supaya umat Islam insaf harga perpaduan adalah terlalu mahal untuk menghasilkan contoh bagi generasi terkemudian.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/08/2013

Ulama Sunni syok sendiri?

SEJAK Ramadan lepas, kisah Syiah di Malaysia menjadi sensasi. Walaupun khabar kewujudan Syiah di Malaysia sudah lama berlegar di ruang awam dan alam maya sejak beberapa tahun lalu, isu Syiah kembali mendapat perhatian arus perdana.

Ini apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir memutuskan untuk mengharamkan Syiah di Kedah.

Hampir setiap hari, isu Syiah mengisi dada akhbar. Malah, banyak forum diadakan, cuba memberi penerangan kepada orang awam tentang kesan ajaran Syiah kepada masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang kepada ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah(ASWJ).

Namun begitu, apa yang gagal disedari oleh banyak pihak, jelas daripada khabar yang diberikan sama ada melalui media arus perdana, ceramah, mahupun laman sosial, hampir semuanya diceritakan oleh pihak luar daripada ajaran Syiah, iaitu ulama Ahlul Sunnah sendiri. Sudah tiba masanya untuk kita mengarus perdanakan isu ini supaya penyebaran Syiah akan terus terhenti di Malaysia.

Bantahan oleh seorang ahli politik yang membantah usaha mengarus perdanakan isu ini ternyata tidak faham atau sengaja mengambil ringan akan isu ini. Ini berbeza dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersikap tegas dan berani mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia salah di sisi undang-undang dan adalah sebuah pertubuhan haram.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim, satu usaha besar yang boleh dilakukan ialah dialog terbuka antara ulama Ahlul Sunnah dengan wakil Syiah di Malaysia.

"Walaupun sudah dilakukan oleh beberapa pihak secara kecil-kecilan, kali ini elok rasanya diadakan dialog secara terbuka melalui media arus perdana. Dialog ini dicadangkan disiar secara langsung melalui stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Astro, radio, dan kemudiannya teks dialog tersebut dibukukan dan diedarkan dengan usaha sama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Satu kesan besar daripada usaha ini, kata Ahmad Faris, ialah masyarakat Malaysia dapat mendengar sendiri daripada mulut penganut Syiah. Kemudian, mereka boleh menilai sendiri betapa menyimpangnya Syiah daripada ajaran sebenar ASWJ.

Kata beliau: "Di samping itu, satu perkara yang perlu diambil perhatian, golongan yang banyak terpengaruh dengan ajaran Syiah ini terdiri daripada orang muda. Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan, generasi muda zaman sekarang lebih dikenali sebagai Generasi Y tidak suka hanya disogok dengan maklumat.

"Cara yang paling sesuai untuk mendepani generasi Y ini ialah memberikan hujah daripada kedua-dua belah pihak. Menggunakan medium yang disenangi anak muda, dengan izin Allah, pintu hati mereka akan terbuka untuk menerima kebenaran."

Malah, dalam satu rancangan wawancara Ancaman Syiah di siaran RTM, beberapa minggu lalu, Dr. Asri Zainal Abidin ada menyatakan kesediaan untuk berdialog secara terbuka dengan penganut Syiah di Malaysia.

"Sekarang kita sudah ada ulama yang berani, kalau mahu dibandingkan dengan ramainya di luar sana yang hanya syok sendiri menghentam Syiah di pentas ceramah.

"Lebih jelas lagi betapa syok sendirinya ustaz di Malaysia ini, sumber-sumber yang digunakan hanyalah sekitar sumber dengar-dengar cakap orang. Jarang sekali kedengaran ceramah oleh para ustaz yang mengambil terus daripada kitab Syiah sendiri. Kalau sekadar ada dengar cakap orang, ustaz seperti ini layaknya ditempatkan di kedai kopi untuk sembang kosong sahaja," katanya.

Kata Ahmad Faris lagi: "Golongan agama seperti inilah yang akan membuatkan generasi muda melarikan diri daripada wawancara Syiah dan akhirnya terpengaruh dengan ajaran ajaran ini.

"Sumber-sumber rapuh oleh penyampai akhirnya menggambarkan seolah-olah ASWJ sudah ketandusan hujah untuk menangkis hujah daripada golongan Syiah. Ayuh jadi pemberani. Kita bentangkan hujah dengan kemas dan teratur berdasarkan al-Quran dan Hadis sahih."

Kata beliau, antara persoalan yang pernah timbul daripada isu Syiah yang kurang memuaskan hati anak muda atau dikenali sebagai Generasi Y ini ialah perihal al-Quran yang diubah suai oleh penganut Syiah.

Kemudian, kata Ahmad Faris, hal yang hangat lagi ialah perbuatan sujud di atas tanah. Pelbagai hujah telah diberikan oleh pihak Syiah.

"Malangnya, ustaz-ustaz kita banyaknya hanya bermain dengan spekulasi yang tidak berpijak kepada hujah ilmu yang sebenar. Perbuatan sambil lewa ustaz dan ulama di Malaysia ini yang menjadi faktor Generasi Y mudah menerima ajaran Syiah kerana pada hemat mereka, hujah orang Syiah itu lebih berisi daripada cakap kosong orang kita.

"Penyebaran yang semakin berleluasa menjadi bukti ulama kita ramainya hanya syok sendiri," katanya.

Seperti yang sering diuar-uarkan, Syiah itu sendiri terdiri daripada pelbagai aliran. Antaranya, Syiah Immamiyah, Syiah Zaidiyah, dan Syiah Ismailiyah. Persoalannya sekarang, tidak dapat dipastikan aliran Syiah yang mana yang berkembang mekar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Melalui dialog secara terbuka, barangkali negara dapat mengenal pasti aliran utama yang wujud di tanah air. Ini sangat penting kerana ada aliran Syiah yang terlalu melampau dan ajaran yang berlebih-lebihan seperti ini tidak wajar dibiarkan merebak ke dalam masyarakat harmoni di tanah air ini.

"Mereka yang melampaui batas inilah yang akan mengganggu-gugat keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Tuntasnya, melalui dialog terbuka, kita dapat memahami dengan lebih jelas situasi penyebaran Syiah di Malaysia sekarang.

"Bukankah orang Melayu sendiri mempunyai ramai graduan daripada universiti pengajian Islam ternama seperti Al-Azhar dan Universiti Madinah? Apa gunanya ramai graduan dari sana namun bila tiba masanya untuk mempertahankan Ahlul Sunnah wal Jamaah, masing-masing hanya selesa berceramah satu hala dan tidak berani berdepan dengan golongan Syiah secara bersemuka. Inilah yang dimaksudkan sebagai syok sendiri," katanya.

Ustaz dan ulama banyaknya yang terdiri daripada generasi sebelumnya. Mereka sudah terbiasa dengan jenis penyampaian satu hala. Semangat anak muda zaman sekarang yang mahukan perbincangan secara interaktif membuatkan kebanyakan mereka melihat ustaz dan ulama generasi lama kaku dan kurang relevan pada zaman sekarang.

Kata Ahmad Faris: "Antara contoh yang dapat dipetik di sini ialah Ustaz Fathul Bari, Dr Asri Zainal Abidin, dan Ustaz Azhar Idrus.

"Tiga nama ini merupakan nama ulama yang berpengaruh dalam kalangan anak muda. Kalau diperhatikan, ceramah mereka biasanya diisi dengan sesi soal jawab. Sesi yang tidak kaku seperti inilah yang digemari oleh generasi muda."

Terdapat beberapa nama yang telah dikenal pasti sebagai penganut Syiah, cenderung kepada Syiah, atau paling tidak, simpati kepada nasib komuniti Syiah dalam kalangan ahli politik mahupun ahli akademik.

Beberapa nama yang agak pernah disebut dalam perbincangan isu Syiah ialah Ustaz Abdullah Hassan, Ustaz Muhd Kamil Zuhairi Abdul Aziz, dan Prof. Dr. Lutfi Ibrahim.

Oleh hal yang demikian, tidak ada banyak halangan untuk mencari pembahas untuk mewakili komuniti Syiah Malaysia sekiranya dialog terbuka diadakan.

Mari, kita realisasikan dialog ini.



ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/08/2013