August 23rd, 2013

Gopoh itu kerja syaitan

BERGOPOH-GAPAH atau dalam bahasa Arab disebut sebagai isti'jal dikira sebagai satu daripada penyakit kalbu yang berbahaya. Lawan bagi sikap gopoh-gapah ialah ana-ah, iaitu sifat tenang, berhati-hati serta berhemah dalam melaksanakan sesuatu urusan hidup.

Sikap gopoh-gapah boleh menjatuhkan seseorang ke lembah maksiat serta meluputkan pahala bagi segala kebajikan yang dikerjakan.

Imam al-Ghazali mentafsirkan gopoh-gapah sebagai sejenis penyakit kalbu yang merentap hati agar melakukan sesuatu secara tergesa-gesa atau segera sebaik ia terlintas di benak fikiran tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dahulu. Ia dilaksanakan mengikut apa yang diperibahasakan sebagai 'terburu nafsu.'

Dalam Islam, hanya lima perkara dibenarkan bergopoh-gapah atau melaksanakannya tanpa bertangguh, manakala yang lain, anda dikira melakukan 'tindakan syaitan' jika melakukannya tanpa perancangan dan berhati-hati.

Ini selaras hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan, kecuali dalam lima perkara, iaitu mengahwinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan jenazah, melayan tetamu dan bertaubat daripada dosa." (riwayat Muslim)

Di manakah bahayanya tindakan gopoh-gapah? Contoh pertama mengenai gopoh-gapah ialah melakukan amal ibadat dalam keadaan tergesa-gesa, kononnya untuk mencapai makam atau martabat tertinggi dalam tempoh cepat.

Individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah seperti itu biasanya akan melakukan banyak kesilapan dalam ibadatnya. Malah mungkin menyeleweng daripada syariat.

Individu berkenaan juga mungkin terkena penyakit hati yang lain, iaitu riak dan takbur. Lidahnya juga mungkin akan menuturkan perkataan dan pengucapan keji serta sia-sia, malah menggelincirkan akidahnya.

Dalam hal ini, akhlak lisan yang ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW patut dijadikan teladan.

Allah SWT berfirman bermaksud: Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut nafsunya. Tiada yang dicakapnya melainkan apa yang diwahyukan Allah kepadanya. (an-Najm: 3)

Individu yang mengerjakan amal kebajikan secara tergopoh-gapah kerana mahu mencapai martabat tertinggi dalam tempoh segera juga mungkin akan terjerumus ke dalam kesilapan beribadat.

Orang yang bersungguh-sungguh beribadat seperti itu biasanya hanya akan mengerjakan ibadatnya pada peringkat awal secara bersungguh-sungguh, kemudian ia mula menurun, malah terhenti langsung beberapa ketika selepas itu.

Selain itu, individu yang mengerjakan ibadat secara tergopoh-gapah semata-mata kerana mahu hajatnya dipenuhi Allah SWT, sama ada dari segi kerjaya dan perniagaan, biasanya akan mudah 'luntur' dan berhenti mengerjakan ibadat setelah hajatnya tercapai atau dia mula kecewa kerana hajat yang dihasratkannya tidak tercapai dalam masa yang dijangka atau diharapkan.

Akhirnya, individu berkenaan 'terkulai layu' meninggalkan matlamat ibadatnya dan tidak kekal istiqamah dalam amal kebajikannya. Ini berbahaya. Syaitan gembira melihat kerenah gopoh-gapah individu seperti ini.

Tindakan tergopoh-gapah juga bahaya kerana ia akan memungkinkan seseorang individu Muslim terjebak memakan dan meminum barangan haram atau daripada sumber haram seperti rasuah. Perkara lain yang turut tergolong dalam tindakan tergopoh-gapah ialah mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau orang lain.

Ini bertepatan firman Allah SWT bermaksud: Dan manusia mendoakan kejahatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah. (al-Isra': 11).



MAHAINI MUHAMMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22/08/2013

Apabila ibadat jadi adat

Sepanjang Ramadan, masjid atau surau sentiasa dipenuhi dengan umat Islam yang sentiasa hadir untuk menunaikan ibadah selain dilihat masing-masing tekun melakukan amalan.

Tetapi sesudah Ramadan melabuhkan tirai, ruang-ruang rumah Allah kosong dan tidak lagi meriah seperti sebulan sebelumnya dan hanya tinggal imam, bilal mahupun tok siak serta sebilangan kecil jemaah yang tidak sampai 10 orang.

Di manakah jemaah lain yang setiap kali azan berkumandang mereka sentiasa memenuhi saf masjid sepanjang Ramadan? Adakah amalan tadarus al-Quran hanya berlaku pada penghulu segala bulan itu sahaja?

Situasi sama juga berlaku terhadap anak-anak yatim apabila mereka hanya mendapat perhatian dalam bulan Ramadan tetapi dalam bulan-bulan lain, kebajikan golongan itu dikesampingkan.

Bukan hendak menafikan atau mempertikaikan amalan-amalan itu, apatah lagi setiap ganjaran dan keikhlasan semuanya dihitung oleh Allah dan tidak siapa boleh mempersoalkan. Namun dikesalkan adalah ia berlaku secara bermusim atau disimpulkan sebagai ‘ibadah bermusim’.

Ketika diajukan persoalan berkenaan kepada Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sukki Othman merumuskan bahawa situasi berkenaan berlaku apabila umat Islam menjadikan ibadat sebagai adat.

Jelas Mohd. Sukki lagi, amalan memuliakan bulan Ramadan sudah semestinya mendapat ganjaran besar daripada Allah. Tetapi jika dijadikan adat, umat Islam akan meninggalkannya sesudah Ramadan berlalu.

Beliau menegaskan, ibadah akan berterusan atau istiqamah sehingga bila-bila masa kerana merebut keredaan Allah yang dijadikan sebagai satu sandaran berbanding adat.

“Apabila dijadikan sebagai adat atau tradisi yang bersifat sementara, maka ibadah dilakukan dalam tempoh singkat bukan berpanjangan. Soal sama terjadi dalam bulan Ramadan.

“Amalan yang dilakukan itu diumpamakan peribahasa ‘hangat-hangat tahi ayam’. Maka boleh dikatakan proses didikan Ramadan terhadap golongan itu adalah gagal," ujar Mohd. Sukki.

Sehubungan itu, tambah Mohd. Sukki, Rasulullah SAW mengajak umat Islam untuk berpuasa enam dalam bulan Syawal seperti mana dijelaskan oleh sepotong hadis diriwayat oleh Imam Muslim bermaksud: Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Ramadan, ganjaran seperti puasa setahun penuh.

Ketika menjelaskan objektif penganjuran puasa enam, Mohd. Sukki berpendapat ibadat itu bertujuan untuk mengajak umat Islam istiqamah dalam beribadat walaupun Ramadan telah berakhir.

“Sebagai satu kesinambungan daripada bulan Ramadan, puasa enam bererti betapa istiqamahnya amalan puasa tidak terhenti begitu sahaja, bahkan ia sebagai usaha berterusan.

“Maka sebab itu Rasulullah mengatakan ganjaran amalan sunat berkenaan seperti berpuasa selama setahun walaupun berlangsung selama enam hari. Ia seolah-olah menunjukkan kita beribadat bukan kerana kewajipan tetapi kerana bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada-Nya," jelas Mohd. Sukki.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22/08/2013

Kejahatan terlalu banyak boleh hancurkan ummah

Daripada Ummul Mu’minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW) beliau berkata, “Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, ‘La ilaaha illallah’. Binasa bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini sudah terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini (Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk menjadi bentuk seperti bulatan. Saya (Zainab) lalu bertanya: “Ya Rasulullah. Apakah kami akan binasa sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda: “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kejahatan terlalu banyak

Berdasarkan hadis berkenaan, Rasulullah menyatakan ‘jikalau kejahatan sudah terlalu banyak’, maka kebinasaan akan menimpa kepada bangsa Arab.

Baginda mengaitkan kemunculan kejahatan dan bangsa Arab itu susulan mukjizat dikurniakan kepadanya yang mampu melihat perkara ghaib iaitu hal ‘lubang pada dinding yang membelenggu Yakjuj dan Makjuj semakin besar’.

Perlu diketahui bahawa persoalan Yakjuj dan Makjuj serta tembok yang mengurung mereka disebut dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96.

Dalam surah al-Kahfi, Yakjuj dan Makjuj dijelaskan sebagai orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum berkenaan memohon kepadanya supaya dibina tembok penghalang daripada serangan mereka.

Manakala dalam surah al-Anbiya pula, Yakjuj dan Makjuj dijelaskan akan turun dengan cepat dari tempat tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda semakin dekatnya janji Allah SWT, iaitu hari kiamat.
Persoalannya kini, adakah hanya bangsa Arab saja yang akan mengalami kebinasaan manakala bangsa lain terselamat tidak mengalami sebarang kerosakan yang dicetuskan Yakjuj dan Makjuj.

Dalam hadis berkenaan, walaupun disebutkan secara khusus adalah bangsa Arab tetapi dalam realiti kehidupan manusia hari ini, kebinasaan itu bukan saja dialami bangsa Arab tetapi apa juga bangsa yang ada di dunia ini.

Bangsa Arab disebut secara khusus kerana Nabi Muhammad SAW adalah dari kalangan mereka dan pada waktu itu, mereka yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya bangsa Arab dan sedikit sekali bangsa lain.

Akan tetapi, hubungan di antara bangsa Arab dengan bangsa lain amat berkait rapat. Bangsa Arab amat sinonim dengan agama Islam. Dalam Islam, bahasa Arab diangkat sebagai bahasa rasmi kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab.

Hari ini, kemajuan dan kemunduran umat Islam dipengaruhi dengan kuat apa yang berlaku pada bangsa Arab seperti yang berlaku pada hari ini.

Pergolakan di Mesir, Syria beri kesan

Negara Arab seperti Mesir dan Syria mengalami pergolakan dan ia bukan saja memberi kesan secara langsung kepada negara berkenaan serta bangsa Arab saja, bahkan negara serta bangsa lain turut terkena tempiasnya.

Dapat difahami di sini, apabila suatu tempat atau negeri berlaku banyak kejahatan, kemungkaran dan mungkin juga peperangan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu.

Tidak hanya kepada orang jahat saja, tetapi orang yang soleh juga akan terkena tempiasnya. Justeru, hadis ini sebenarnya menyeru umat manusia supaya sentiasa berusaha membasmi dan menghalang sebarang bentuk kerosakan, kejahatan dan kemungkaran daripada berlaku di sekeliling mereka.

Berita Harian Online Agama 23/08/2013

Khutbah Jumaat: Tiga waktu dilarang ziarah

Kunjungan pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam tak sesuai kerana ia masa beristirahat

Pada bulan Syawal yang mulia ini, umat Islam masih dengan kehangatan menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Dalam keghairahan menyambut Syawal, pelbagai aktiviti disusun untuk memeriahkan sambutan seperti amalan berziarah, mengadakan kenduri, rumah terbuka dan sebagainya.

Amalan berziarah amat dituntut dalam Islam, apatah lagi dalam bulan Syawal sempena sambutan hari raya ini. Bahkan, Aidilfitri memberi peluang dan ruang yang luas untuk kita mempraktikkan ajaran Islam melalui konsep berkenalan dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama Muslim.


Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Oleh yang demikian, amalan ziarah bukan saja untuk mengeratkan hubungan sesama Muslim, tetapi ke arah pembentukan semangat perpaduan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Satu-satu kaum itu tidak dapat bersatu padu sekiranya tiada semangat perpaduan dan tidak wujud perasaan hormat-menghormati sesama Muslim atau bukan Muslim.

Nabi SAW menggambarkan bagaimana rapatnya hubungan antara individu Muslim dengan orang lain. Keimanan seorang Muslim itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dan tidak dapat dipisahkan dengan kasih sayang antara mereka.

Jika tidak wujud kasih sayang antara anggota masyarakat, sudah pasti sukar untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Malah, perasaan kasih sayang sesama Muslim akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama mereka.

Amalan ziarah dapat merapatkan hubungan yang renggang, mendekatkan yang jauh, mendamaikan antara individu yang bersengketa, mempertautkan kasih-sayang, mengikis perasaan benci dan menghilangkan segala hasad dengki.

Walaupun demikian, sudah menjadi lumrah anak dibiarkan oleh ibu bapa untuk menonton televisyen di rumah berbanding diajak bersama untuk menziarahi sanak saudara.

Sedangkan tindakan itu, bukan saja menjauhkan anak kita daripada mengamalkan sunnah Nabi SAW, malah secara tidak langsung merenggangkan hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain.

Kurang ambil berat renggang hubungan

Bahkan menyebabkan anak-anak juga tidak memandang berat mengenai hubungan kekeluargaan serta menyisihkan diri daripada bergaul dengan orang lain.

Oleh itu, peranan ibu bapa amatlah penting bagi mendidik anak-anak supaya memandang berat soal hubungan silaturahim sesama ahli keluarga dan sanak-saudara.

Jika orang sihat pun disuruh untuk menziarahi apatah lagi orang yang sakit. Apabila amalan ini dipraktikkan, sudah pasti individu yang sakit itu akan merasakan bahawa dirinya diingati dan dihargai.

Dengan lahirnya perasaan gembira di dalam hati pesakit sudah pasti boleh membawa kepada ketenangan jiwa dan cenderung kepada kesembuhan daripada penyakit yang dialami.

Bukankah banyak hadis Nabi SAW yang menceritakan mengenai galakkan untuk menziarahi orang yang sakit?

Bukankah dengan berziarah kita sebenarnya menyempurnakan hak yang patut diperoleh oleh saudara kita?

Hayatilah hadis ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, bermaksud: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima iaitu: menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan atau jemputan dan mendoakan orang yang bersin”.

Adab dalam memenuhi tuntutan ziarah

Dalam memenuhi tuntutan menziarahi, kita perlulah memelihara adabnya supaya pelaksanaan tuntutan itu sejajar dengan kehendak syariat. Antaranya, Pertama: Meletakkan niat ziarah kerana Allah SWT untuk mengeratkan lagi hubungan, silaturahim tidak kira antara orang kaya ataupun miskin.

Menghubungkan silaturahim itu adalah satu tuntutan dan mempunyai banyak kelebihannya. Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik ra berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim”.

Kedua, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah sama ada menziarahi orang sakit, jiran tetangga, adik-beradik atau sahabat handai. Elak daripada mengunjungi pada awal pagi, tengah hari dan tengah malam.

Hal ini kerana pada kebiasaan waktu tersebut adalah waktu beristirahat atau persiapan untuk keperluan ahli keluarga. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 58:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa (iaitu) sebelum sembahyang Subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah solat Isya’, itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya).

Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) dan (Ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ketiga, apabila bertemu dengan tuan rumah, digalakkan untuk mendahului dengan mengucapkan salam dan seterusnya berjabat tangan dengan tuan rumah, dalam hadis riwayat Abu Daud, daripada al-Barra’ ra, Rasulullah bersabda:

“Tidaklah dari kalangan dua orang Islam yang bertemu, lalu berjabat tangan bersalaman kecuali kedua-dua mereka diampunkan dosa sehingga sebelum mereka berpisah”.

Keempat, bertanya khabar dan tidak bercakap perkara yang mencemarkan kesucian menyambut Aidilfitri sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang yang dikunjungi.

Kelima, memelihara diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu atau tidak disenangi oleh tuan rumah.

Keenam, elakkan daripada bersikap sombong, riya’, takabbur dan bongkak. Sewajarnya perasaan bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk kesenangan yang ada.

Khutbah dipetik dari laman web Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Berita Harian Online Agama 23/08/2013