August 27th, 2013

Rahsia di sebalik huruf basmallah

UCAPAN basmalah berasal daripada ayat yang berbunyi Bismi Allah ar-Rahman ar-Rahim. Ayat ini biasa diertikan 'dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang".

Basmallah merupakan satu daripada tiga bahagian al-Quran. Dua bahagian yang lainnya adalah surah al-Fatihah dan isi al-Quran itu sendiri secara keseluruhan yang berjumlah 113 surah, daripada surah al-Baqarah sehingga surah an-Nas.

Atas dasar pembahagian itu, maka ada mufassir dan ulama yang menyebut basmalah sebagai ayat tunggal. Jika surah al-Fatihah disebut oleh para mufassir dan ulama sebagai intisari al-Quran, maka basmalah disebut sebagai intisari al-Fatihah. Dengan demikian dalam ayat basmallah terkandung intisari al-Quran.

Setiap pekerjaan yang baik, sunat dimulai dengan membaca basmallah. Hal ini didasarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: "Setiap perbuatan baik yang tidak dimulai dengan basmalah adalah kurang berkat."

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Apabila hamba-Ku memulai pekerjaannya dengan menyebut nama-Ku, maka menjadi kewajiban-Ku untuk menyempurnakan seluruh pekerjaannya serta Ku-berkati seluruh keadaannya."

Ada ulama yang berpendapat bahawa basmallah bukan bahagian daripada surah al-Fatihah, melainkan ayat tersendiri. Kerana itu, di Mekah dan Madinah, imam yang mengetuai solat tidak membaca basmallah ketika membaca al-Fatihah.

Pendapat itu didasarkan kepada riwayat Imam Malik bahawa para sahabat Nabi SAW tidak membaca basmallah ketika membaca surah al-Fatihah.

Pandangan serupa dikemukakan Imam Abu Hanifah yang menilai sahih beberapa hadis yang memberitakan bahawa Nabi SAW dalam mengerjakan solat tidak mendengar membaca basmallah.

Pandangan yang kemudian dianut secara rasmi oleh Mazhab Hanafi adalah bahawa basmalah boleh dibaca dalam solat tetapi tidak dengan suara nyaring.

Sebahagian ahli tafsir, seperti Ibrahim al-Biqa'i, menyatakan bahawa huruf-huruf dalam basmallah yang berjumlah 19 itu memiliki rahsia tersendiri.

Di antaranya adalah sebagai simbol penghindaran seseorang daripada ancaman para penjaga neraka yang menurut al-Quran jumlahnya 19 malaikat (rujuk al-Muddaththir: 30).

Dengan demikian, jika kita sering membaca basmalah, kita akan terhindar daripada azab neraka. Ucapan untuk menolak perkara yang buruk, iaitu la haula wa la quwwata illa bi Allah, juga terdiri daripada 19 huruf.

Ketika membaca surah-surah dalam al-Quran, dianjurkan untuk memulainya dengan basmallah, kecuali membaca surah at-Taubah.

Basmallah pada surah at-Taubah dibaca di tengah surah atau beberapa ayat setelah ayat pertama.

Hal ini kerana surah at-Taubah berisi kemarahan Tuhan dan pernyataan perang kaum Muslim terhadap orang-orang musyrik, sedangkan bacaan basmalah mengandung perdamaian dan cinta kasih Allah SWT.

Pendapat lain mengatakan bahawa para sahabat tidak dapat memastikan apakah surah at-Taubah merupakan surah tersendiri atau bahagian daripada surah al-Anfal.

Pemisahan yang kemudian dilakukan menjadi surah sendiri adalah hasil kompromi para mufassir ketika penyusunan mushaf Uthmani.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/08/2013

Apabila meletakkan semua kesalahan pada orang lain

APABILA Adam a.s dan isterinya dihalau keluar dari syurga kerana memakan buah larangan, kedua-duanya mengakui kesalahan masing-masing dan menyalahkan diri sendiri terhadap kesalahan yang dilakukan. Mereka tidak menyalahkan iblis kerana merancang komplot yang mendorong mereka melakukan kesalahan itu, dan Adam tidak menyalahkan isterinya kerana mengheretnya ke dalam masalah itu.

Sebaliknya, kedua-duanya mengakui bahawa mereka telah menzalimi diri sendiri kerana membiarkan hawa nafsu menguasai pertimbangan mereka sehingga akhirnya mereka melanggar batas yang ditetapkan Allah SWT.

Kisah Adam dan Hawa disebut dalam al-Quran sebagai pengajaran kepada manusia keseluruhannya. Setiap anak Adam pasti akan melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah yang banyak bertaubat. Perbezaan antara Adam dengan iblis adalah iblis enggan bertaubat terhadap kesalahan dirinya bahkan enggan mengakui kesalahannya. Dengan sebab kesombongannya itu maka tertutuplah kepadanya pintu kebaikan dan jadilah ia makhluk terkutuk.

Taubat adalah asas kepada perubahan, sama ada perubahan yang kita maksudkan itu menyentuh soal perubahan diri peribadi seorang manusia ataupun perubahan masyarakat, bangsa dan negara secara keseluruhannya.

Sekiranya kita mahu melakukan islah terhadap masyarakat, bangsa dan negara kita, perkara pertama yang mesti dilakukan adalah bertaubat, iaitu masyarakat, bangsa dan negara itu hendaklah mengenalpasti kesalahan diri, mengakuinya, menyesalinya dan mengambil tindakan-tindakan yang wajar agar tidak mengulanginya lagi. Semua itu memerlukan kebijaksanaan, keberanian dan tawaduk.

Kesemua sifat yang disebutkan itu, walaubagaimanapun, sudah hampir tiada lagi dalam diri kaum Muslimin hari ini yang begitu parah dilanda krisis makna diri.

Justeru, sudah menjadi kebiasaan mereka untuk menyalahkan orang lain terhadap masalah dan krisis yang melanda dunia Islam. Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Barat kebiasaannya menjadi sasaran kecaman mereka apabila berlaku sesuatu krisis dalam negara-negara Islam.

Yang tidak pernah kita dengar adalah kecaman terhadap diri sendiri. Ia adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan. Lebih mudah mengecam anasir-anasir luar sebagai punca segala masalah dan krisis, namun tiada apa yang dapat diselesaikan dengan cara itu.

Memang tidak dinafikan kemungkinan ada pihak luar yang menghasut dan mengadu-domba sehingga berlaku permusuhan dan pertumpahan darah sesama Islam. Namun begitu, bukankah kesalahan sebenar tetap terletak kepada diri sendiri? Kenapakah begitu mudah untuk kita mendengar hasutan dan fitnah orang lain? Tidakkah itu menunjukkan bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dengan diri kita sendiri, dan dengan cara kita memahami dan menangani masalah yang kita hadapi?

Islah hanya boleh berlaku apabila ada perubahan dalaman, iaitu perubahan yang berpunca dari kehendak sendiri, kerana kita tidak boleh mengubah orang lain agar tidak berkomplot dan menimbulkan masalah kepada kita. Yang kita boleh lakukan adalah mengubah diri, dan dengan cara itu secara perlahan-lahan masyarakat keseluruhannya akan turut berubah sedikit demi sedikit. Perubahan yang kita maksudkan itu merujuk kepada keinsafan dan kefahaman yang mendalam terhadap hakikat diri, kehidupan dunia dan nasib akhir di akhirat.

Perubahan diperlukan hanya kerana perkara-perkara berkenaan telah dikelirukan makna dan pengertiannya sehingga membawa kepada pensekularan dan kecintaan melulu terhadap kehidupan dunia. Perubahan sebenar hanya akan berlaku melalui pendidikan yang dirancang dengan baik sehingga berupaya menyampaikan ilmu yang benar, yang seterusnya mengeluarkan manusia dari kejahilan makna diri.

Perubahan secara perlahan-lahan, berhemah dan terancang, walaubagaimanapun, tidak begitu menarik untuk dibincangkan, apatah lagi diusahakan. Para aktivis politik mahukan perubahan segera, dan yang mereka maksudkan adalah perubahan pucuk pimpinan negara, tidak kira apa caranya sama ada secara demokrasi mahupun secara revolusi. Mungkin yang mereka andaikan bahawa pemimpin negara itulah punca segala masalah dan kezaliman, maka harapan mereka adalah pemimpin baru yang dilantik akan berupaya menyelesaikan segala masalah yang mereka hadapi.

Sekiranya pemimpin itu juga gagal, dia juga akan dijatuhkan dan pemimpin baru dinaikkan sehinggalah bertemu pemimpin yang sesuai. Yang mungkin tidak mereka sedari adalah kerugian jangka panjang akibat krisis politik yang tidak sudah-sudah. Tanpa kestabilan politik tidak mungkin dapat dirancang pembangunan ekonomi dan diselenggarakan pendidikan. Bahkan nyawa, harta benda dan kedaulatan negara pun mungkin terancam. Pendek kata maslahah umat menjadi pertaruhan pihak-pihak yang berkepentingan.

Di Mesir perubahan pucuk pimpinan negara diusahakan melalui peti undi manakala di Syria jalannya adalah melalui muncung senjata. Walau apa pun alasan yang diberikan, ternyata kepada yang melihat dan berfikir bahawa di kedua-dua negara berkenaan, perubahan yang berlaku adalah perubahan ke arah yang membinasakan (fasad), bukan ke arah kebaikan seperti yang dikehendaki dari islah.

Seperti biasa, apabila demokrasi tidak menjadi, manakala revolusi membawa kepada pertumpahan darah yang tak sudah, yang disalahkan adalah 'musuh Islam', yang tidak mahu melihat Islam ditegakkan! Itulah retorik yang dimainkan di seluruh dunia Islam bagi meraih simpati terhadap apa yang kononnya adalah perjuangan Islam.

Sampai bilakah kita akan terus memperbodohkan diri sendiri dengan meletakkan kesalahan kepada orang lain? Sejahat-jahat musuh, menurut sebuah hadis, adalah hawa nafsu yang berada dalam diri seseorang itu. Hawa nafsu inilah yang menjadi punca segala kejahatan, maksiat dan kerosakan. Melalui hawa nafsu inilah iblis memperdaya manusia dengan berbagai-bagai cara yang pada zahirnya kelihatan baik tetapi hakikatnya keji dan menjijikkan.



Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politk, Institut Kefahaman Islam (IKIM) Utusan Malaysia Online Rencana 27/08/2013

Rumah terbuka hidupkan budaya ziarah dalam masyarakat

UDAH menjadi suatu tradisi yang lazim bagi umat Islam di Malaysia mengadakan rumah terbuka meraikan kedatangan bulan Syawal sehingga penghujungnya.

Tradisi silam di kampung-kampung berlakunya ziarah sahabat handai dan rakan taulan. Ia berlaku untuk beberapa hari saja.

Proses perbandaran yang berlaku, semakin banyak penghijrahan bertumpu di pinggir bandar, bertambahnya kelompok kelas menengah dalam kalangan umat Islam menyebabkan hari terbuka tidak saja disambut di rumah tetapi juga di dewan orang ramai atau pun di hotel-hotel.

Perubahan sosial yang membawa perubahan nilai dan budaya menjadikan rumah terbuka baik secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran berlaku. Mengadakan rumah terbuka memudahkan rakan taulan, para sahabat dan juga kenalan datang serentak. Datang yang sifatnya runcitan bagi yang sibuk dengan urusan kerja tidak akan mempunyai masa.

Ziarah di rumah terbuka bukan sekadar ziarah. Kanak-kanak sangat suka hadir ke majlis ini kerana akan diberi angpau oleh tuan rumah. Tetapi orang muda dan dewasa harus melihat rumah terbuka ini sebagai peluang mengeratkan silaturrahim, berkenal-kenalan, meraikan jemputan dan membolehkan rasa persaudaraan dibina.

Rumah terbuka dan undangan terbuka ini harus diterima dengan hati yang terbuka juga. Hati yang terbuka membolehkan sifat saling memaafkan terjadi di samping mengukuhkan hubungan mahabbah dan ukhuwah berlaku. Asas ini penting kerana kita memberi makna rumah terbuka bukan sekadar majlis makan-makan saja.

Rumah terbuka harus diberikan makna yang lebih murni supaya ia jadi tempat berhimpun dan bertemu sahabat dan kawan lama dan dalam masa yang sama mengenang kembali kisah silam di samping memeriksa diri terhadap peristiwa yang lalu.

Terdapat sahabat yang kita temui pada rumah terbuka tahun lalu telah kembali bertemu Penciptanya dan ini membawa kesedaran bahawa giliran kita akan sampai akhirnya. Darinya lahir cetusan bahawa kita tidak selamanya sihat dan muda tetapi akhirnya akan mengikuti jejak-jejak orang yang telah pergi.

Hati yang terbuka bermaksud ziarah di rumah terbuka dengan hati yang ikhlas. Kesibukan harian sama ada bisnes dan bekerja pada hari selain bulan Syawal menyebabkan perhubungan berlaku dengan alat telekomunikasi saja.

Hadir di rumah terbuka tidak saja kita raikan tuan rumah tetapi bertemu dengan orang lain dan menyebabkan silaturrahim terjadi . Pertemuan interaktif boleh berlaku, pertukaran alamat perhubungan mengambil tempat dan ia memanjangkan lagi silaturrahim.

Semangat rumah terbuka dan saling merai ini harus berlaku juga di bulan-bulan lain bila kesempatan mengizinkan. Tradisi ziarah sahabat handai dan rakan taulan harus membudaya bukan hanya pada waktu Syawal saja.

Dalam interaksi harian sepanjang hidup kita banyak perkara yang berlaku dan banyak kisah yang terjadi. Rasa ambil tahu yang positif terhadap orang lain dan sifatnnya saling membantu perlu subur dalam amalan. Darinya kita tidak hanya memikirkan diri kita tetapi memikirkan juga orang lain.

Di sinilah amat perlu tradisi ziarah dan saling mengunjungi mengambil tempat tidak hanya tunggu diundang pada hari rumah terbuka. Sasaran ziarah tidak semestinya dalam kalangan kelompok kita semata tetapi lanjutkan tradisi ziarah ke rumah anak yatim, pusat perlindungan orang tua dan juga rumah sakit supaya kita menjadi manusia yang lebih memahami dan mengerti.

Kalau tidak kita akan menjadi seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Beri masa dalam rutin hidup kita ini melakukan ziarah. Perhubungan cara berkomunikasi dengan teknologi tidak sama bila berhadapan satu sama lain.

Ada masanya dalam kehidupan kita disebabkan terlalu sibuk, kita tidak bersedia untuk melakukan ziarah kerana perbezaan pendapat dan fahaman. Ia juga berlaku kerana perbezaan kedudukan dan darjat. Ia juga boleh berlaku kerana kita berada di kota atau pinggir kota sedangkan saudara mara dan sahabat taulan berada di ceruk-ceruk desa.

Aidilfitri dengan rumah terbuka seharusnya juga dikembangkan ziarah yang berterusan sebagai budaya kehidupan masyarakat Islam supaya ziarah menjadi penghubung yang bermakna sesama warga umat supaya ikatan persaudaraan dan persahabatan tetap menjadi teguh dan utuh sepanjang masa.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/08/2013