August 28th, 2013

Orang beriman itu bersaudara

KEHIDUPAN di dunia ini ibarat suatu bangunan mengukuhkan antara satu sama lain. Umat Islam diseru supaya sentiasa bersatu dengan berpegang kepada tali Allah SWT iaitu dengan takwa dan keimanan yang kukuh. Tanpa kekuatan iman dan perpaduan yang kuat, umat Islam dengan mudah akan dikalahkan oleh musuh-musuh Islam.

Sikap benci-membenci dan juga berpecah-belah ini bukan sahaja melemahkan kekuatan ummah malah boleh menghancurkan perpaduan dan kekuatan Islam. Perpaduan dan kekuatan ummah ini mestilah dibina daripada keluarga yang bahagia, masyarakat yang sejahtera dan negara yang aman serta makmur.

Rasulullah SAW melarang beberapa sikap yang boleh membawa permusuhan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Sikap tersebut ialah dengki, menipu, benci-membenci, bermusuhan, menjual atas jualan orang lain dan menghina sesama Islam.

Malah adalah haram bagi seseorang Islam menjatuhkan maruah atau kehormatan saudaranya kerana perbuatan tersebut membawa keburukan kepada individu dan masyarakat Islam seluruhnya.

Berkaitan hal ini, sabda Nabi SAW yang bermaksud: Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi saudaranya dan tidak mengecewakannya (membiarkannya menderita) dan tidak merosakkannya (kehormatan dan nama baiknya). (riwayat Muslim).

Antara faktor yang boleh memecah-belahkan umat Islam termasuklah dengki (Al-Hasad). Benci-membenci (Al-Ghadab), berpaling muka, menipu (An-Najasyu) dan jual beli di atas jualan orang lain.

Al-Hasad ialah perasaan dengki, iri hati atau kurang senang dengan kelebihan orang lain atau berharap nikmat tersebut hilang dan berpindah kepadanya. Orang yang dengki berharap orang yang menerima nikmat mendapat bala.

Islam melarang umatnya berhasad dengki kerana hasad dengki akan menghilangkan segala amal kebajikan yang dilakukan. Nabi SAW bersabda: "Berwaspada terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (riwayat Abu Daud).

Selain itu, sifat ini boleh menimbulkan pergaduhan dalam kalangan orang Islam. Seterusnya, wujud suasana benci-membenci antara satu dengan yang lain. Akhir sekali, menyebabkan jiwa dan perasaan seseorang itu resah, tidak tenteram dan benci melihat kesenangan orang lain.

Benci-membenci pula ialah perasaan marah dan tidak menyenangi orang lain. Perasaan ini lahir daripada sifat angkuh dan sombong yang mendorong seseorang itu memfitnah, menghina dan menyakiti orang lain.

Sikap saling membenci sesama Islam mendatangkan akibat buruk terhadap individu dan masyarakat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Paling kuat tali hubungan keimanan ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah." (riwayat Ath Thabrani)

Islam turut melarang umatnya berpaling muka antara satu sama yang lain. Orang yang berpaling muka hidup mementingkan diri sendiri, tidak bertegur sapa, megah diri dan tidak menghiraukan orang lain sangat dibenci oleh Islam.

Perbuatan menipu dilarang kerana bersikap tidak jujur dalam menjalankan muamalat, sama ada melalui tutur kata atau tingkah laku. Perbuatan ini hanya bertujuan untuk menyusahkan orang lain. Sikap menipu juga akan menyebabkan orang lain menjauhkan diri dengan si penipu.

Jual beli di atas jualan orang lain dilarang kerana ia membatalkan suatu jualan atau pembelian orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Jual beli cara ini mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang lebih murah kepada pembeli yang sedang berurusan dengan penjual yang lain.

Orang Islam adalah bersaudara. Setiap orang mempunyai hak dan kewajipan terhadap saudaranya yang lain. Ini kerana setiap Muslim tidak boleh dizalimi, didustai, dihina dan sebagainya.

Oleh itu, sifat kasih sayang mesti dipelihara bagi mewujudkan ikatan persaudaraan yang teguh dalam kalangan orang Islam.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat-Nya. Peringatan ini seharusnya dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Barang siapa mengikuti Allah dan rasul-Nya dan takut kepada Allah serta bertakwa, mereka itulah orang yang menang. (an-Nur: 52).



DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/08/2013

Isu dialog Sunnah-Syiah

Sukacita saya merujuk kepada rencana bertajuk Ulama Sunni Syok Sendiri? Utusan Malaysia, Selasa 20 Ogos 2013, yang berdasarkan pandangan Datuk Ahmad Faris Abdul Halim.

Setelah membaca rencana tersebut saya membuat kesimpulan bahawa Ahmad tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai sejarah dan ajaran agama Syiah serta psikologi penganutnya, lantas dia mencadangkan supaya diadakan dialog antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penganut Syiah.

Dialog antara Ahli Sunnah dengan Syiah bukan perkara baru. Dia menuduh ustaz-ustaz Sunni tak berani berdepan dengan puak Syiah.

Dialog seperti cadangan Ahmad itu pernah dibuat di zaman klasik Islam lagi, kemudian di zaman moden ini, diusahakan oleh Muhibuddin al-Khatib di Mesir sekitar tahun 1950-an, kemudian di India dan beberapa tahun lepas, dialog antara Syaikh Yusuf al-Qardhawi dengan Rafsanjani bekas Presiden Iran, di TV Al Jazeera.

Semua dialog itu gagal! Sebab apa? Sebabnya premis mereka berbeza daripada premis Sunni dan lagi, perangai mereka seperti Yahudi iaitu berbohong, putar belit dan khianat kepada persetujuan!

Saya ingin bertanya Ahmad. Dalam dialog itu, kita nak mula daripada premis apa? Sudah tentu sebagai seorang Muslim kita wajib bertolak dari premis 'Aqaid dalam semua struktur, dimensi dan perspektif.

Mungkin Ahmad atau orang lain akan berkata, dalam sesuatu dialog, kita tidak boleh kenakan sebarang syarat. Perlu diingat, ini bukan dialog politik tetapi dialog agama, maka mesti dikenakan syarat, sebab puak Syiah mendakwa ia sebahagian dari Islam.

Sama seperti kita berdialog dengan penganut ajaran sesat yang lain seperti Arqam, Ayah Pin, Qadyani dan lain-lain. Kita mesti dikenakan syarat. Antara syaratnya ialah mereka mesti menerima para Sahabat dan para isteri Nabi SAW sebagai sumber dan faktor dominan Islam kerana merekalah sebenarnya yang membina epistemologi al-Islam yang berteraskan kepada al-Hadith al-Nabawiyyah yang menjadi dasar al-Islam bersama al-Quran.

Satu perkara yang Ahmad lupa mengenai perangai ulama Syiah ialah mereka ini pembohong dan pemutar belit. Cuba anda lihat kepada kes dialog menerusi surat menyurat antara Syaikh Salim al-Bisyir, bekas Rektor al-Azhar dengan Musavi Syiah Lebanon tidak dahulu. Selepas kematian Salim al-Bisyir, Musavi menerbitkan buku bernama al-Muraja'at berdasarkan surat menyurat tersebut.

Kenapa selepas kematian Bisyir? Sebabnya, Musavi yang kalah dalam berhujah itu membuat manipulasi dan mengubah isi kandungan surat-menyurat tersebut sehingga menampakkan kepada ramai bahawa al-Bisyir kalah dalam berhujah dan dia menang.

Adalah tidak masuk akal yang sihat, Rektor al-Azhar boleh kalah hujah. Yang sebenarnya Musavi mahu tutup malu oleh sebab kekalahannya dengan membuat penipuan dan manipulasi. Itu adalah perangai ulama Syiah - menipu. Menipu menjadi doktrin agama mereka yang bernama taqiyyah dan kitman.

Ahmad menuduh ustaz-ustaz Sunni syok sendiri dan tidak dapat berhujah dengan mantap dan tidak menggunakan sumber-sumber Syiah sendiri. Adakah Ahmad sudah meneliti semua hujah yang diberi oleh ustaz-ustaz Sunni?

Jika diteliti kenyataan-kenyataan bertulis dalam media khususnya Utusan Malaysia misalnya, ustaz-ustaz kita itu berhujah cukup mantap kecuali bagi orang Syiah. Seperti kaum Musyrikin Mekah, mereka menolak hujah Nabi SAW walaupun hujah tersebut seperti terangnya matahari di tengah kepala!

Memanglah puak Syiah hilang daya intelektual dan ilmiah mereka kerana berpegang kepada dalil khurafat daripada buku-buku Kulayni atau Khomeini yang penuh dengan tahayul dan khayalan.

Dalam berhujah, ustaz-ustaz Sunni memang memetik daripada kitab-kitab muktabar Syiah seperti Usul al-Kafi dan juga karya Khomeini sendiri. Kitab mana lagi dari literatur penting Syiah yang Ahmad hendak ustaz-ustaz kita itu rujuk? Tolong senaraikan.

Mualana Nu'mani misalnya, merujuk sekitar 200 buah kitab Syiah sekadar mahu menghasilkan sebuah buku yang tebalnya kira-kira 100 helai sahaja! Tulisan Maulana Nu'mani ada diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan golongan Sunni terbitkan dalam tahun 1980-an.

Dalam suatu seminar pada tahun 1980-an dahulu, Ahli Sunnah membongkar kesesatan ajaran Syiah berdasarkan karya autentik mereka sendiri. Ustaz-ustaz kita tidak dengar cakap orang semata-mata seperti dakwaan Ahmad.

Saya percaya Ahmad tidak mengikuti perkembangan wacana mengenai kesesatan Syiah yang dibuat sejak tahun-tahun 1980-an lagi di serata ceruk Malaysia atau Ahmad termakan umpan Syiah?

Ahmad amat keliru mengenai al-Quran versi Syiah. Dia menuduh ustaz-ustaz Sunni membuat spekulasi kerana mengambil daripada sumber dengar cakap. Jika Ahmad ulang tengok dalam akhbar Utusan Malaysia, mengenai kesesatan ajaran Syiah, jelas penulis rencana tersebut menyebut sumber rujukan yang diambil dalam membuat kenyataan yang Quran Syiah berbeza daripada al-Quran pegangan kaum Muslimin. Sila Ahmad rujuk Utusan Malaysia beberapa minggu lepas.

Yang pasti Ahmad tidak membaca literatur-literatur Syiah berkaitan dengan al-Quran ini. Saya cadangkan Ahmad baca wasiat Khomeini dan di sana, anda akan dapati Khomeini sedang menunggu Mushaf Fatimah yang akan dibawa keluar oleh imam mereka yang kedua belas itu. Sila baca juga kitab besar Syiah seperti Usul al-Kafi karya Kulayni dan Fasl al-Khitabkarya Husin al-Tabarsi kalau nak tahu lebih lanjut, apa yang mereka kata kepada Mushaf 'Uthman pegangan orang Islam.

Ahmad berkata perlu kita kenal pasti aliran Syiah mana yang berkembang di Malaysia, yang melampau dan yang akan mengganggu-gugat keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Perlu disedari bahawa, semua Syiah adalah bersifat melampau dan mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat Islam terutamanya dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Ulama Islam tidak membezakan jenis-jenis Syiah kecuali Syiah Mufaddaliyyah atau firqah Zaidiyyah yang tidak mengkafirkan Sahabat. (Bukan semua Zaidiyah diterima kerana ada firqah Zaidiyah yang ditolak).

Elok Ahmad meneliti kitab klasik Sunni seperti Maqolat Islamiyyin, al-Farq baynal Firaq, Tabsir fi'd-din dan lain-lain. Bahkan sila Ahmad tengok sendiri buku Khomeini al-Hukumah al-Islamiyyah yang meletakkan ketinggian imam mereka melebihi para Nabi. Bukankah ini melampau? Ini sebenarnya suatu penghinaan kepada para Nabi.

Ahmad benar-benar tidak faham mengenai ajaran-ajaran Syiah apabila dia menyentuh perbuatan sujud di atas tanah yang dikatakannya pelbagai hujah telah diberi oleh Syiah. Bukan sahaja sujud atas tanah Karbala, bahkan banyak lagi perbuatan dan iktikad Syiah yang mereka kata berdasarkan hujah.

Memang benar mereka kemukakan dalil dan hujah tetapi perlu difahami bahawa ajaran sesat di Malaysia pun memberi dalil dan hujah tetapi dalil dan hujah mereka itu adalah berdasarkan tahyul dan khurafat semata-mata.

Saya suka tegaskan sekali lagi bahawa dialog dengan Syiah adalah tidak berfaedah. Justeru tidak perlu diadakan, memandangkan mereka mempunyai sistem akidah dan Syariah tersendiri seperti Kristian, Baha'i, Ahmadiyah dan lain-lain. Dan juga kerana sifat kedegilan mereka untuk menerima hujah dan kebenaran.

Kita guna pakai peraturan sedia ada dalam menangani isu penyebaran ajaran Syiah ini dan dalam masa yang sama, kita perkasakan wacana keilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


SMAIL MINA AHMAD ialah Presiden Muafakat. Utusan Malaysia Online Rencana 28/08/2013

Universiti al-Azhar di Malaysia, suatu berita gembira

BENARKAH pendapat mengatakan “Berbangkitnya Islam adalah di Malaysia".

Daripada Tsauban r.a dia berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, akan datang Panji-Panji Hitam (kekuasaan) dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka (pendukung-pendukung) umpama kepingan-kepingan besi (jiwa yang berani). Barang siapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbai’atlah kepada mereka sekalipun harus merangkak di atas salji. (Dikeluarkan oleh Al Hafiz Abu Naim)

Negara Timur tempat perjuangan pemimpin tersebut terletak di pertemuan tiga buah laut.

Saya tidak mahu ulas panjang mengenainya, tetapi berdasarkan beberapa bacaan, “negeri yang terletak di pertemuan tiga buah laut" itu ialah Semenanjung Malaysia yang kita duduki ini.

Mungkin kerana itu ada antara negara kuasa-kuasa besar berlumba-lumba mahu mengikat perjanjian dengan kita, yang dibimbangi oleh Tun Dr. Mahathir sebagai satu unsur “penjajahan baru" ke atas negara kita. Allahualam.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah keputusan Sheikhul al-Ahzar, Syeikh Dr. Ahmed al-Tayyib membenarkan Universiti al-Azhar mendirikan kampus cawangan pertamanya di luar kota raya Kaherah dan di luar Mesir. Mengikut Perlembagaan universiti itu, ia hanya dibenarkan didirikan di sekitar Kaherah atau di Mesir sahaja. Jika ada pun di luar negara ialah program berkembar dan bukan kampus cawangan.

Namun, kini kampus cawangan pertamanya di dunia akan terletak di sebuah negara di Timur, iaitu Malaysia.

Oleh itu tidak sia-sia Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh diutuskan oleh Kabinet ke Mesir untuk mengeluarkan pelajar Malaysia dari negara yang bergolak itu.

Pelajar pun boleh dikeluarkan dan perjanjian pun termeterai untuk mendirikan kampus di negara ini.

Turut hadir bersama-sama rombongan Idris ialah Datuk Yahya A. Jalil, seorang usahawan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Gerbang al-Azhar Sdn. Bhd., syarikat yang memperoleh lesen daripada universiti itu untuk mengendalikan institusi itu.

Syukur alhamdulillah, Malaysia mencatat sejarah gembira kerana universiti tertua di dunia itu akan mewujudkan kampus cawangan yang pertama (kampus tetap) di negara ini.

Ia akan dikenali sebagai Universiti al-Azhar Kampus Tuanku Muhriz, Malaysia terletak di Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sementara menunggu pembinaannya siap, para pelajar akan ditempatkan di kampus sementara di Pajam, Mantin, Negeri Sembilan.

Yahya ke Mesir bersama-sama rombongan itu kerana mewakili DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan selaku Penaung Diraja Universiti al-Azhar Kampus Tuanku Muhriz, Malaysia.

Yahya, selaku ahli Lembaga Pengarah, membawa perutusan dan berbincang mengenai penubuhan dan pelaksanaan Universiti al-Azhar di Malaysia.

Dengan persetujuan Sheikhul al-Azhar itu, satu jawatankuasa bersama telah diwujudkan semasa perbincangan tersebut.

Ini adalah satu kejayaan yang amat besar dan berita gembira bagi kedua-dua pihak iaitu universiti dan negara Malaysia.

Kewujudan Universiti al-Azhar di Kuala Pilah itu akan menawarkan pendidikan kepada sebilangan besar pelajar dalam negara bahkan pelajar dari seluruh dunia Islam khususnya dari dunia sebelah Timur.

Saya sempat bertanyakan dengan Yahya, yang juga seorang sahabat lama, apa yang membuka hati Sheikhul al-Azhar bersetuju dengan cadangan itu?

Yahya berkata, tiga perkara yang membuka hatinya menerima cadangan itu. Pertama, wujudnya persefahaman ukhwah yang lama antara universiti dan negara ini; kedua, keupayaan Gerbang al-Azhar Sdn. Bhd. untuk melaksanakannya dan ketiga, pendekatan kerajaan Malaysia yang mengamalkan dasar Wasatiyyah atau Kesederhanaan yang juga diterapkan oleh universiti itu.

Kita juga, katanya mengamalkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang turut sealiran dengan universiti itu.

“Malaysia ialah negara yang tepat, ekonomi adalah baik, aman dan sejahtera," kata Yahya memetik kata-kata Sheikhul al-Azhar itu.

Cadangan itu merupakan initiatif syarikat itu sejak tiga tahun lalu apabila Presiden Universiti al-Azhar memeterai MoU sambil disaksikan Tuanku Muhriz di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan kira-kira dua tahun lalu.

Ia juga adalah idea bersama Tuanku Muhriz yang melakukan lawatan ke universiti itu dan bertemu dengan para sarjana dan juga Sheikhul al-Azhar.

“Sejak itu kerja-kerja asas diatur sehinggalah kepada persetujuan sepenuhnya hari ini.

“Ini adalah hadiah paling gembira buat rakyat Malaysia, kerajaan dan seluruh bakal pelajar dari rantau ini," katanya.

Yahya berkata, buat permulaan sebanyak 300 pelajar akan diambil untuk jurusan Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab dan jumlahnya menjadi sekitar 1,000 orang dalam tempoh tiga tahun ini.

Kampus tetap di Ulu Bendul, Kuala Pilah ialah seluas 200 ekar.

Mengikut sejarahnya, Universiti al-Azhar (atau juga al-Azhar al-Shareef bermaksud Azhar yang Mulia), adalah sebuah institusi pendidikan tinggi ulung di Mesir, dan terkenal di dunia sebagai pusat kesarjanaan dan pendidikan.

Mula dibina pada 969 SM, ia merupakan universiti yang kedua tertua ditubuhkan yang masih beroperasi selepas Universiti al-Qarawiyin di Fes, Maghribi.

Universiti al-Azhar dibina oleh kerajaan Fatimiyyah (memerintah 909-1171) yang menjadikan Kaherah sebagai pusat pemerintahannya. Universiti ini asalnya dibina sebagai Masjid al-Azhar. Pada masa dulu, masjid merupakan pusat pelbagai aktiviti orang Islam termasuklah pendidikan.

Dinasti Fatimid di Mesir, keturunan Fatimah, anak perempuan Rasulullah SAW. Fatimah dikenali sebagai Az-Zahra (yang pintar), dan universiti ini mengambil nama tersebut sebagai penghormatan kepada beliau.

Pengajian bermula di al-Azhar pada bulan Ramadan, 975 SM. (Jami‘ah) Universiti memiliki fakulti dalam Undang-undang Islam dan perundangan (jurisprudence), nahu Arab (Arabic grammar), Ilmu Falak (Islamic astronomy), falsafah awal Islam, dan logik.

Pada abad ke-12, dengan kejatuhan dinasti Shia Fatimid, Sultan Saladin (pengasas Dinasti Ayyubid Sunni) menukar al-Azhar menjadi pusat pembelajaran Sunni Shafi‘ite.

Pada 1961, al-Azhar dirombak kembali di bawah kerajaan Presiden Mesir kedua, Presiden Gamal Abdel Nasser dan beberapa fakulti sekular ditambah ke universiti tersebut, seperti perubatan, kejuruteraan, dan pertanian. Fakulti wanita Islam turut ditambah pada tahun yang sama.

Syabas Malaysia!



Zaini Hassan Utusan Malaysia Online Rencana 28/08/2013