September 7th, 2013

Setiap amalan baik dikira sedekah

Allah SWT berjanji tidak akan mempersia-siakan setiap amalan baik yang telah dilakukan hamba-Nya bahkan perbuatan baik akan mendapat ganjaran setimpal malah lebih baik daripada apa yang dilakukan iaitu hidup selamat di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal salih (baik), sama ada lelaki ataupun perempuan, dalam keadaan beriman, sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami balas kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Perbuatan baik yang boleh memberi kepuasan dan membahagiakan hati orang lain ternyata banyak antaranya amalan suka bersedekah. Amalan ini tidak dapat dilakukan jika hati berjerebu, penuh dengan kebakhilan dan sukar untuk bersyukur kepada Allah SWT.

Ada segelintir yang cetek fahamannya menganggap sedekah itu hanya dalam bentuk wang atau benda. Sedekah justeru semua perbuatan yang dapat memberi manfaat atau faedah kepada orang lain.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sendi di tubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, kamu menolong orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan ke masjid untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengeluarkan kata yang baik seperti memberi nasihat, mengajar ilmu bermanfaat bersumber daripada al-Quran atau hadis, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat perkara melanggar syariat juga adalah sedekah.

Mengawal lidah

Orang yang boleh mengawal lidahnya daripada tergelincir akan mendapat balasan baik daripada Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia lain) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 114)

Inilah sebenarnya antara ciri-ciri seorang Muslim beriman, selalu mengeluarkan kata-kata yang baik dan tidak suka mengeluarkan kata tidak berfaedah, berbohong, menabur fitnah yang hanya merosakkan ikatan silaturahim dan perpaduan ummah.

Sabda Rasulullah SAW: “Manusia tidak akan teguh imannya, sebelum hatinya teguh dan tidak akan teguh hatinya sebelum lidahnya teguh.” (Riwayat Ahmad)

Justeru, kita hendaklah sentiasa melakukan apa saja bentuk kebaikan seperti sedekah demi menjaga kebajikan orang lain kerana amalan itu sangat dituntut. Lakukan sekadar kemampuan yang ada sebaik-baiknya dan penuh ikhlas serta mengharapkan keredaan Allah SWT.

Sesungguhnya orang yang melakukan kebaikan pasti menerima ganjaran pahala daripada Allah SWT manakala orang yang enggan berbuat demikian kerana terperangkap dengan ajakan nafsu termasuk golongan orang yang rugi serta mendapat kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, apakah Kami akan beritahu kepadamu mengenai orang yang paling merugi perbuatannya? Iaitu orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)

Mohd Adid Ab Rahman Berita Harian Online Agama 07/09/2013

Bertafakur bina kekuatan diri insan

Tatkala Allah SWT menciptakan alam ini, segala isinya terdiri daripada manusia, binatang, galian, tumbuhan dan lain-lain diciptakan dengan sukatan serta perkiraan yang tepat. Oksigen, kadar kepanasan, kesejukan, suhu untuk mendapat kelangsungan hidup serta kesuburan maksimum.

Ilmuwan fizik berpendapat jika matahari tidak diciptakan dengan ukuran seumpama hari ini, nescaya tiada tumbuhan yang akan hidup di bumi.

Segala-galanya sudah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami anugerahkan kepada tiap-tiap sesuatu dengan kadar yang seimbang.” (Surah al-Qamar, ayat 49)

Imam Fakhrurrazi mengulas bahawa ciptaan ini seolah-olah menzahirkan ilmu dan hikmah Allah SWT sehingga segala-galanya dapat membiak untuk kepentingan manusia. Di sinilah letaknya satu ibadat yang sering dilupakan umat manusia iaitu ibadat tafakur dan meneliti setiap ciptaan Allah SWT.

Tafakur jana kemajuan

Ulama mengumpamakan berfikir sejenak (tafakur) adalah lebih baik daripada beribadat seribu tahun kerana berfikir sejenak (tafakur) akan melonjakkan pemikiran serta menjana kemajuan. Namun, Islam menunjukkan tafakur sebenar adalah sesuatu yang mendorong kepada Allah SWT.

Allah SWT sudah merumuskan segala-galanya melalui surah Ibrahim yang dimulakan dengan kata-kata meminta si pembaca mengamati dengan teliti akan ciptaan Allah SWT. Maksud penelitian pada ciptaan Allah SWT yang membawa kepada ilmu dan hikmah.

Asas kepada ibadat ini sudah didedahkan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah SWT dalam keadaan, berdiri, duduk dan berbaring, serta berfikir terhadap kejadian langit dan bumi.” (Surah al-Imran, ayat 191)

Baginda SAW bersabda: “Alangkah rugi dan celaka orang yang membaca ini dan tidak memikir dan merenungkan kandungan ertinya.” Menunjukkan bahawa berfikir terhadap ciptaan Allah SWT adalah setaraf dengan zikrullah yang lain dan mendapat perhatian daripada Baginda SAW.

Inilah ibadat yang memartabatkan manusia kepada kedudukan hampir dengan Allah SWT. Nabi Muhammad SAW sentiasa bertafakur di gua Hira’ di mana Baginda SAW menerima wahyu pertama dan seterusnya menjadi penutup sekalian Nabi serta Rasul.

Begitu juga Maryam yang mendapat nikmat luar biasa daripada Allah SWT sehingga namanya diabadikan dalam al-Quran pada surah Maryam. Beliau memilih tempat istirahat yang menampakkan keindahan cahaya matahari yang mendorong kepada mengingati Allah SWT.

Segala-galanya mendorong Maryam untuk rukuk dan sujud kepada Allah SWT. Maka diangkat darjat Maryam dengan kemuliaan daripada Allah SWT dengan gelaran ketua wanita cawangan Baitul Maqdis.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT telah memuliakanmu dan membersihkan kamu seterusnya memilih kamu sebagai wanita pilihan.” (Surah al-Imran, ayat 42)

Akhirnya beliau dilimpahkan rahmat dan rezeki yang tidak pernah putus-putus daripada Allah SWT serta mendapat kemuliaan dengan kandungan yang melahirkan seorang Nabi iaitu Isa. Diulangi nama beliau dalam al-Quran sebanyak 33 kali yang menyamai sujud dalam solat. Jelas menunjukkan bahawa bertafakur akan menjadikan seseorang lebih berjaya.

Lebih baik daripada ibadat 70 tahun

Satu hari seorang sahabat Baginda SAW iaitu Miqdad Ibnu Al-Aswad berjumpa dengan Abu Hurairah lalu beliau mengkhabarkan kepada Miqdad: “Aku mendengar Rasulullah memberitahu kepadaku, sesiapa yang berfikir satu saat maka itu terlebih baik daripada beribadat setahun.”

Miqdad berlalu dan berjumpa pula dengan Ibnu Abbas, lalu dikhabarkan kepada Miqdad: “Aku mendengar bahawa Rasulullah SAW memberitahu kepadaku, barang siapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat tujuh puluh tahun.”

Miqdad keliru dengan perkhabaran dua sahabat tadi, kerana apa yang disampaikan oleh kedua-duanya berbeza. Lantas beliau mengadukan hal ini kepada Nabi SAW. Baginda SAW mengarahkan supaya memanggil Abu Hurairah dan Ibnu Abbas berjumpa dengannya.

Baginda SAW bertanya kepada Abu Hurairah: “Bagaimana cara engkau berfikir? Jawab Abu Hurairah: Aku memikirkan mengenai tujuh petala langit dan bumi (mendatangkan rasa keagungan kepada Allah dalam diri). Maka jawab Baginda SAW: Benar, engkau mendapat berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun. Sabdanya lagi: Telah turun al-Quran kepadaku, rugilah bagi mereka yang membaca al-Quran tapi tidak memikirkannya.

Baginda SAW bertanya pula kepada Ibnu Abbas apa yang difikirkannya. Jawab Ibnu Abbas: “Aku memikirkan kematian dan huru-haranya ketika itu. Lalu baginda menjawab: Benar, berfikir begitu maka engkau mendapat kelebihan sesaat berfikir maka terlebih baik daripada beribadat 70 tahun.

Menunjukkan bahawa hakikat sebenar pemikiran manusia akan membawa kepada pengiktirafan terhadap kekuasaan Allah SWT dan akhirnya mereka akan tunduk dan patuh dengan perintah-Nya.

Tafakur juga akan membantu menghasilkan kesempurnaan kepada peringkat muhasabah diri. Apabila segala proses tafakur dan muhasabah berjalan lancar, maka manusia akan tunduk dan sujud kepada Allah SWT.

Kesan daripada ibadat tafakur dapat menjana dan membentuk kekuatan baru dalam kehidupan. Ingatlah bahawa hari akhirat adalah tempat yang hakiki dan Allah SWT adalah matlamat utama yang perlu dicari.

Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 07/09/2013

Amanat pengurusan LTH

IBADAT haji merupakan ibadat yang perlu dilaksanakan bagi setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa.

Hampir 3.5 juta umat Islam seluruh dunia berkumpul setiap tahun untuk melaksanakan ibadat ini. Mereka datang dari pelbagai pelosok dunia, bangsa dan budaya berhimpun pada satu waktu di Mekah al-Mukarramah.

Kepelbagaian budaya dan adat resam inilah menuntut keimanan yang tinggi, kesabaran yang jitu dan sifat pengorbanan serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain lahir daripada ketakwaan seseorang Muslim itu.

Pada bakal haji yang terpilih bagi menunaikan haji, ini merupakan jemputan daripada Allah SWT sebagai tetamu-Nya.

Justeru, bakal-bakal haji perlulah membuat persediaan sama ada dari segi ilmu, rohani, jasmani dan spiritual. Bakal haji perlulah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu ibadat haji dan umrah melalui kursus dan bahan penerbitan TH.

Selain memahami proses-proses urusan haji di Tanah Suci dan menyediakan keperluan, sama ada daripada segi pakaian, peralatan dan memperoleh maklumat berhubung keadaan di Mekah dan Madinah agar dapat melakukan ibadat haji dalam keadaan tenang dan mengharapkan keredaan Allah.

Apabila bakal-bakal haji menjejakkan kaki di sana, mereka perlulah mengikut panduan dan arahan yang diberikan oleh petugas-petugas haji bagi memudahkan pergerakan mereka.

Bakal-bakal haji hendaklah mengambil berat akan maklumat yang disampaikan oleh petugas-petugas TH demi melancarkan pergerakan dan keselamatan jemaah haji.

Bergeraklah secara berkumpulan serta sentiasa memakai gelang dan lencana pengenalan haji sebagai pengenalan diri jika ada berlaku kesulitan seperti tersasar, sakit dan lain-lain.

Jika bakal haji ada keraguan tentang ibadat haji dan umrah pula, rujuklah pada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) supaya segala ibadat haji dapat dilaksanakan dengan betul dan sempurna sebelum kembali ke Tanah Air.

Bagi meningkatkan lagi perkhidmatan kepada jemaah haji daripada segi penyelesaian kemusykilan hukum-hakam ibadah haji, TH telah menyediakan satu Talian Ibadat di Tanah Suci atau ringkasnya TAIB dengan talian 02-5706161.

Talian ini memberi kemudahan kepada bakal-bakal haji untuk membuat pertanyaan mengenai hukum-hakam ibadat haji dan umrah melalui talian telefon pada ketika permasalahan timbul, tidak kira di mana mereka berada.

Selain itu, TH turut menyediakan Pusat Bantuan Tanah Suci. Jemaah haji boleh memohon bantuan jika menghadapi kesulitan dengan menghubungi Pusat Bantuan Tanah Suci di talian 02-5704433. TH dengan barisan petugas mereka yang ada akan cuba membantu para jemaah haji berkenaan.

Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah sentiasa menjaga akhlak dan nama baik negara kerana jemaah dari Malaysia sangat dipandang tinggi oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai jemaah haji contoh.

Mereka hendaklah sentiasa mengikut peraturan dan nasihat daripada TH serta mengelak daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan nama baik negara seperti demonstrasi dan melanggar peraturan Kerajaan Arab Saudi.

Semasa berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina, jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar, bertolak-ansur dan tolong-menolong sesama jemaah haji. Ilmu kendiri dan pengurusan diri amatlah berguna semasa di Masya'ir. Ini kerana pergerakan hampir 3.5 juta manusia pada masa yang sama dan menuju ke destinasi yang sama tentunya akan menyebabkan berlaku kesesakan di jalan raya dan masalah-masalah lain. Jemaah perlu berdoa agar perjalanan hajinya dapat dilakukan dengan sempurna dan dipermudahkan.

Di samping itu, kemudahan yang terhad di Mina memerlukan kesabaran, sikap bertolak-ansur dan pengurusan kendiri yang baik. Selain itu semasa aktiviti melontar, jemaah haji hendaklah keluar melontar mengikut jadual yang ditentukan oleh Kementerian Haji. Bergeraklah dalam kumpulan dan mengikut panduan daripada pengurus-pengurus maktab agar ia dapat berjalan dengan baik dan selamat.

Bagi mereka yang ingin menghantar barang mereka ke tanah air selain bersama dengannya dalam kapal terbang, jemaah haji boleh menggunakan kemudahan khidmat bagasi yang disediakan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh TH.

Akhir kata, bakal haji perlulah bersiap sedia dengan maklumat perjalanan, barang-barang keperluan dan buku-buku panduan sebagai persediaan menghadapi perjalanan haji ini. Ingatlah perjalanan ini adalah perjalanan ibadat bukan perjalanan lawatan pelancongan. Satu perjalanan menuju Ilahi.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat menunaikan haji. Semasa kembalinya tuan-tuan dan puan-puan nanti ke tanah air seolah-olah kembalinya itu seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya, suci bersih dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.

DATUK SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN PENULIS ialah Pengurus Besar Kanan (Haji) Uutusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130906

Berbakti kepada ibu bapa

DINYATAKAN di sini dalam ruangan tafsir berkenaan dengan kelebihan serta tanggungjawab seorang anak kepada ibu bapa dengan melakukan ihsan.

Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa seperti yang dinaskan dalam al-Quran yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. (al-Isra': 23)

Ihsan yang dimaksudkan adalah penghormatan dan pengagungan yang berkaitan dengan peribadi.

Sedang bila yang dimaksudkan dengan memberi manfaat material, maka kalimah yang digunakan adalah li, dan demikian dengan ayat ini lebih menekankan kebaktian pada penghormatan dan pengagungan peribadi kepada kedua-dua orang tua.

Walaupun berbeza, namun pada akhirnya mesti difahami ihsan kepada orang tua yang diperintahkan agama Islam adalah bersikap sopan kepada kedua-duanya dalam ucapan dan perbuatan sesuai dengan adat kebiasaan masyarakat. Sehingga mereka merasa senang terhadap kita serta mencukupi keperluan-keperluan mereka yang sah dan wajar sesuai dengan kemampuan kita sebagai anak.

Rujuklah kembali tafsiran al-Quran di dalam surah al-Nisa' pada ayat 34 yang bermaksud untuk memperoleh informasi yang lain tentang batas-batas bakti kepada orang tua.

Pernah suatu ketika, Abdullah bin Amr mengisahkan yang bermaksud: "Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW, lalu ia meminta kebenaran daripadanya untuk berjihad. Maka Baginda bertanya kepadanya: Adakah ibu bapa engkau masih hidup? Dia menjawab: Ya! Baginda bersabda: Maka hendaklah berbakti pada keduanya dikira engkau berjihad." (riwayat al-Bukahri (3004) dan Muslim (6668))

Antaranya pengajaran yang boleh di ambil berdasarkan nas dan hadis di atas adalah:

l Kelebihan jihad dan berbuat baik kepada ibu bapa. Berbuat baik kepada ibu bapa lebih baik daripada jihad.

l Sayid Qutub berkata: "Hubungan pertama selepas hubungan akidah ialah hubungan keluarga. Oleh kerana itu, penjelasan ayat ini menghubungkan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa dengan kewajipan menyembah Allah untuk menerangkan betapa tingginya nilai berbuat baik kepada ibu bapa itu di sisi Allah SWT."

Antara cara dan adab berinteraksi dengan ibu bapa telah dinaskan di dalam al-Quran iaitu yang bermaksud: Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra': 23-24)

Sayid Qutub berkata: "Fitrah semula jadi yang mendorong kedua-dua ibu bapa berusaha membela anak-anak mereka dan membuat mereka sanggup berkorban apa sahaja walaupun diri mereka sendiri."

Jika tunas tumbuhan yang hijau menyedut segala makanan yang terdapat pada biji benih hingga akhirnya menjadi hancur.

Jika anak ayam dalam telur itu menyedut segala makanan yang terdapat dalam telur hingga akhirnya tinggal kulit, maka begitulah juga anak-anak manusia menyedut segala madu, kesihatan, daya usaha dan perhatian ibu bapa mereka hingga akhirnya mereka meningkat usia emas jika kedua-duanya dipanjangkan umur, namun begitu kedua-duanya tetap merasa bahagia dan senang hati.

Justeru, para ibu bapa tidak perlu berpesan supaya anak-anaknya menjaga dan membela anak-anak mereka, malah anak-anaklah yang perlu dibangkitkan kesedaran mereka dengan bersungguh-sungguh supaya mereka mengingatkan kewajipan mereka terhadap ibu bapa yang telah memberi seluruh madu kepada mereka hingga tua.

Di sinilah diterangkan perintah supaya berbuat baik kepada ibu bapa dalam bentuk keputusan daripada Allah SWT yang mendokong pengertian perintah yang wajib setelah menerangkan perintah yang wajib supaya menyembah Allah.

Al-Hafiz al-Bazzar dengan sanadnya daripada Buraidah daripada bapanya berkata: "Ada seorang lelaki sedang bertawaf sambil mengendongkan ibunya, lalu dia bertanya kepada Nabi SAW: Adakah hamba telah menunaikan haknya (hak ibunya)? Baginda menjawab: Tidak! Tidak dengan hanya sekali pandang sahaja."

Dengan menekuni sejarah salafussoleh, jelas menujukkan kepada kita bahawa terlalu banyak mereka yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Antara contoh yang hebat yang berlaku kepada Usamah bin Zaid. Begitu juga kisah Saad Bin Abi Waqas dengan ibunya.

Sebenarnya, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa tidak hanya dibataskan dengan hanya sambutan untuk Hari Ibu dan Hari Bapa sahaja. Akan tetapi sewajarnya ia dilangsungkan sepanjang masa keranA ibu bapalah menjadi penyebab kelahiran kita dan hidupnya kita dengan seadanya ini. Marilah sama-sama kita berbakti kepada kedua ibu bapa dengan bersungguh-sungguh.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL- BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130906

Persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci

IKHLAS dalam berbuat ketaatan adalah indikator utama kepada penerimaan ibadah di sisi Allah SWT. Oleh itu para tetamu Allah yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini seharusnya memurnikan niat ke Tanah Suci sejak awal-awal lagi.

Elakkan daripada mencampuradukkan niat dengan tujuan-tujuan duniawi kerana dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada kesempurnaan kerja-kerja haji juga ibadah yang lain semasa di Tanah Suci.

Ini kerana ada yang pergi haji kerana berniaga sehingga kesempatan beribadah diabaikan. Ada juga yang ke sana hanya untuk bergelar haji dan hajah. Ada pula yang seronok berbelanja sehingga banyak masa diperuntukkan untuk berkunjung dari satu kedai ke satu kedai lalu terlepas peluang solat berjemaah, beriktikaf dan melakukan banyak amalan sunat yang pahalanya dilipatgandakan.

Diriwayatkan daripada Jabir r.a.; bahawa Rasulullah SWT bersabda maksudnya "Satu sembahyang di masjidku lebih afdal daripada 1,000 sembahyang di masjid lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdal daripada 100,000 sembahyang di masjid-masjid yang lain".

Para tetamu Allah turut dinasihatkan supaya membersihkan hati daripada kekotoran dalaman yang mazmumah. Sebaliknya sifat tawaduk, tidak menyombong diri, sentiasa bersabar dan saling bertolong-tolongan dalam melakukan ketaatan adalah sesuatu yang terpuji dan mulia dipraktikkan.

Ini kerana tiada perbezaan di sisi Allah melainkan siapa yang paling bertakwa dan banyak melakukan ketaatan kepada-Nya. Malah falsafah di sebalik pelaksanaan ibadah haji sendiri jelas menunjukkan nilai persamaan antara sesama manusia.

Perhatikan bagaimana dalam keadaan berihram semua diwajibkan memakai dua helai kain ihram yang tidak berjahit, bermula dari pada hari ke lapan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan tawaf ifadah dan saie haji, semua jemaah melakukan kerja-kerja haji yang sama malah matlamat juga sama iaitu beroleh ganjaran haji yang mabrur.

Selain itu segala perbelanjaan yang diperuntukkan untuk ke Tanah Haram juga hendaklah benar-benar dipastikan datang daripada sumber yang halal. Ini kerana Allah SWT tidak menerima kecuali yang baik-baik yakni yang halal lagi diberkati.

Perlu juga diingat bahawa segala wang yang dibelanjakan di Tanah Suci, tidak habis begitu sahaja malah akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik di sisi Allah SWT sama ada ketika di dunia mahupun di hari akhirat.

Berikutan dengan kerja-kerja pembesaran Kompleks Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya yang giat dilakukan pada ketika ini, kemungkinan penginapan jemaah haji juga agak jauh berbanding musim haji sebelum ini. Malah bangunan Masjidil Haram kini boleh dilihat dengan jelas dari Hotel Abraj Al-Janadiriah yang merupakan penginapan terbesar jemaah haji Malaysia. Ini kerana banyak hotel terutama yang berdekatan dengan kawasan Saie sudah dirobohkan sekali gus memerlukan kudrat dan kekuatan fizikal yang mantap untuk berulang alik ke masjid setiap hari.

Ibadah haji merupakan suatu bentuk jihad yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan untuk menggapai kurniaan haji mabrur yang tentu sahaja diberikan kepada golongan yang bersusah payah dan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Tidak cukup dengan itu setiap hambanya boleh sahaja diuji dengan pelbagai cara sebagai satu bentuk ujian untuk menilai sejauh mana mereka benar-benar ikhlas dalam menyahut seruan dan panggilan haji.



MOHD ALI MUHAMAD DON PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru Utusan Malaysia Online Rencana 20130906