September 8th, 2013

Sifat pemaaf mampu redakan kemarahan

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan serulah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)

Ketika ayat ini turun, Nabi SAW ditanya oleh sahabat mengenai kesempurnaan memberi maaf lalu Baginda bersabda: “Ya Allah di mana letaknya kemarahan?” Ertinya, bagaimana memberi maaf dan tidak memarahi sesiapa pun?”

Masalah akhlak

Kemudian Jibril datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Memaafkan orang yang menzalimi kamu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskan hu-
bungan dan memberi sesuatu kepada orang yang menolak memberimu dan berlaku baik kepada orang yang berbuat jahat kepadamu.”

Allah SWT mengajarkan kepada kita soal keimanan yang besar. Orang yang menentang ajaran Allah akan menderita dalam agamanya, merugikan dirinya dan kehidupan akhiratnya. Allah menyuruh kita menolong orang yang menderita fizikal dan lemah tubuh.

Kita hendaklah membantu orang tua yang akan menyeberang jalan, begitu juga dengan orang buta yang sedang berjalan. Ia hendaklah diselamatkan daripada terjatuh di dalam lubang yang membahayakan. Bukankah penderita dalam masalah akhlak, jiwa dan akhiratnya lebih patut untuk kita maafkan?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran, ayat 134).

Apabila orang berbuat jahat kepada anda, pasti anda akan terpengaruh. Pengaruh dari luar ini pasti akan menimbulkan tindakan.

Elak balas dendam

Ada orang yang mampu menahan diri, menyimpan dan meredakan kemarahan tetapi ada yang tidak sehingga meledak menjadi suatu tindakan balasan.

Menahan marah bererti menyimpan di dalam hati tanpa melahirkan suatu reaksi. Sama seperti mengisi belon dengan udara dan menyimpannya. Ada yang mampu menahan diri dan menghilangkan marah dari hatinya dengan memaafkan orang yang berbuat jahat kepadanya serta membalasnya dengan perbuatan baik. Inilah contoh orang yang disukai oleh Allah SWT.


Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama 08/09/2013

Timba pengalaman daripada tamadun silam

Pembinaan ‘suffah’ pada zaman Rasulullah di Madinah melahirkan ahlus suffah yang diraikan dengan asas ilmu dan pendidikan. Membangunkan para abid sekali gus dengan jiwa ilmu membolehkan faktor madani berkembang. Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar adalah lambang terbinanya ukhuwah dan persaudaraan atas ikatan tauhid yang menjadi cabaran umat manusia sepanjang zaman.

Ukhuwah yang terbina itu amat murni tujuannya sehingga perbezaan faktor latar kabilah atau etnik bukanlah asas menyebabkan umat dan manusia harus bertelagah. Termeterainya Piagam Madinah adalah satu pencapaian besar menjadikan sebuah perlembagaan rujukan semua dalam realiti masyarakat berbilang.

Bukan faktor penghalang

Kemajmukan masyarakat bukanlah faktor penghalang ke arah membina tamadun madani tetapi faktor ‘litarafu’ atau kekenalan dalam erti kata luas serta wujudnya semangat kesalingan yang tinggi menyebabkan asas tamadun terbina. Tamadun madani yang dipimpin Rasulullah SAW menjadi model atau landasan utama membangunkan tamadun seterusnya berjaya meletakkan Model Madani model hidup sepanjang zaman.

Kedinamikan tamadun madani tidak bermakna tidak wujudnya perkembangan dan perubahan yang memperkayakan asas tamadun itu. Perubahan pada bentuk dan maksud asasi dan fungsi bentuk tidak banyak berubah. Umpamanya bagi melahirkan abid yang berilmu, as suffah dibangunkan, tradisi majalis (mengaji) diwujudkan dan akhirnya tradisi halaqah menjadi resam amalan.

Tradisi ini terus berkembang pada zaman terkemudian dengan berkembangnya tradisi quttab, nizamiyyah, madrasah dan lain-lain. Tradisi ini melahirkan ilmuwan terbilang dan menjadi tonggak terbangunnya tamadun Islam yang sifatnya menyumbang kepada umat manusia.

Zaman Madinah umpamanya, jenis kenderaan ditunggangi ialah kuda, keldai dan unta. Muamalah atau jual beli barangan berasaskan kaedah tukaran. Kini masyarakat dunia menggunakan kenderaan canggih tetapi maksud atau fungsi kenderaan masih tidak berubah. Kenderaan ialah mempermudah dan mempercepatkan perjalanan dan mempermudah pengangkutan dan penumpangan.

Apa yang perlu ditimba daripada pengalaman tamadun silam ialah roh dan prinsipnya. Metodologinya sentiasa dinamik kerana faktor ilmu dan teknologi membantu canggihnya mekanisme bersifat sezaman. Contohnya amalan riba ditegah pada zaman Rasulullah SAW.

Dalam konteks Bank Islam dan Takaful Islam di Malaysia umpamanya bentuk mekanisme dalam muamalah berubah dengan mengekal roh tanpa riba dan prinsip meningkatkan kualiti urus niaga bagi maksud kesejahteraan lebih tinggi. Bank Rakyat umpamanya memikat orang bukan Islam melabur dan meminjam. Dua faktor menyebabkan keuntungan dan kestabilan. Apabila institusi seperti ini memikat yang bukan Islam ia petanda baik bagi faktor patuh syariah bakal berkembang dalam sistem ekonomi suatu hari nanti.

Oleh kerana sifat zaman dinamik berubah, roh al-masajid hasil terbangunnya jiwa rukuk dan sujud bakal menghasilkan ahli ibadah (dalam erti kata yang luas) meneroka landasan membangun sistem supaya lahir kepemimpinan dan kepengikutan terarah dan suatu corak kehidupan yang memiliki roh al-solat yang memimpin umat menghasilkan yang makruf dan menjauhi kemungkaran dan beriman kepada Allah. Inilah sebaik-baik umat yang bakal memimpin diri dan umat manusia.

Roh al-masajid mampu diterjemahkan di luar masjid dalam konteks mujahadah amal yang menampilkan peribadi yang mengurus sistem. Amalan berjemaah, ada imam dan makmum, jiwa rukuk dan sujud harus terpancar di luar masjid. Solat berimam dan bermakmum adalah simbolik pentingnya faktor kepemimpinan dan kepengikutan dalam kehidupan.

Dimensi kehambaan

Jiwa rukuk dan sujud harus memberikan dimensi kehambaan supaya sifat taat sentiasa menjadi disiplin dalam pengurusan diri dan sistem, sifat tunduk kepada kebenaran, sifat akur menjadikan al-Quran sebagai sumber dalam menghadapi cabaran dan sifat patuh yang mendasari disiplin diri terhadap keadilan dan kebenaran.

Jika ini terjadi umat Islam berada dalam ikatan ukhuwah yang tinggi. Muzakarah akan sentiasa berlaku, sifat kasih sayang dan sabar sering terserlah, memahami satu dengan lain dan pengorbanan dan tolak ansur menjadi cerminan gelagat dan tabiat. Masjid secara simbolik menjadi sumber kekuatan umat tetapi kalau masjid hanya meraikan kegiatan rohaniah yang tidak dihubungkan hal di luar masjid, perubahan ke arah sistem Islami sukar berlaku. Ia hanya rutin rohaniah bukan tempat membina hati dan ilmu untuk maksud di luar masjid.

Sidek Baba ialah Profesor Pendidikan di UIAM Berita Harian Online Rencana 05/09/2013

Adil, jamin hak semua kaum

NEGARA bagaikan satu jasad dan perlembagaan pula dianggap sebagai roh kepada sesebuah negara yang memerlukan di antara satu sama lain.

Tanpa roh, jasad tidak bermaya dan tanpa jasad pula roh langsung tidak berguna. Itulah yang boleh diumpamakan Perlembagaan Malaysia kepada tanah air yang tercinta ini.

Penulis buku Sejarah Perlembagaan Malaysia, Datuk Abd. Manaf Ahmad berkata, setiap negara di dunia pasti mempunyai perlembagaannya yang tersendiri bagi mentadbir dan mengurus negara dengan lancar, aman serta damai.

"Perlembagaan amat penting bagi membolehkan negara itu mencapai kemerdekaan dan ia bukanlah perkara yang baharu kerana telah wujud ribuan tahun lalu," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Mengikut sejarah, perlembagaan bertulis pertama di dunia adalah Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad S.A.W pada tahun pertama penghijrahan dari Mekah ke Madinah.


ABD. Manaf Ahmad menunjukkan salinan laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957
yang dikeluarkan oleh Her Majesty's Stationery Office London.

Menurut Manaf, ia adalah antara perkara pertama yang dilakukan oleh Baginda untuk menyatukan penduduk Madinah atau dikenali dengan Ansar serta kaum Muhajirin yang datang dari Mekah.

Tidak dilupakan juga kaum-kaum lain seperti Yahudi dan Nasrani serta kaum-kaum lain yang menetap di Madinah tetapi tidak memeluk agama Islam.

"Itu menunjukkan betapa pentingnya perlembagaan yang digubal bagi menjadikan ia sebagai panduan masyarakat di sesebuah kawasan itu agar dapat hidup dengan harmoni.

"Ia telah berlaku ribuan tahun lalu dan sehingga kini perlembagaan masih menjadi alat terpenting bagi sesebuah negara untuk mencapai kemerdekaan dan menyatukan mereka dalam satu persekutuan," jelasnya.

Begitu juga dengan sejarah Perlembagaan Malaysia yang digubal melalui proses berperingkat-peringkat dalam memberi hak kepada semua rakyat negara ini.

Sebelum merdeka, masyarakat di Tanah Melayu mengikuti peraturan dan undang-undang negeri di bawah kuasa raja-raja dan pentadbiran British bagi Negeri-negeri Selat.

Dalam membentuk sebuah negara, kerajaan pusat perlu dibentuk bagi menyatukan seluruh negeri-negeri Tanah Melayu dalam sebuah kerajaan pusat.

Proses itu telah berjaya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 selepas penentangan terhadap Malayan Union oleh masyarakat Melayu pada ketika itu.

Sehinggalah UMNO menggabungkan parti MCA yang mewakili kaum Cina dan MIC mewakili kaum India dalam satu perikatan yang dinamakan Parti Perikatan bagi meneruskan agenda kemerdekaan.

"Pungutan suara yang diadakan pada tahun 1955 dimenangi oleh Parti Perikatan dengan kelebihan 51 kerusi berbanding 52 yang dipertandingkan bagi membolehkan mereka merangka jalan untuk kemerdekaan negara," katanya.

Bagi merealisasikan tujuan itu, sebuah suruhanjaya bebas dibentuk yang dinamakan Suruhanjaya Reid sempena nama pengerusinya iaitu Lord William Reid.

Untuk mengekalkan kebebasan dan tidak menyebelahi mana-mana pihak, suruhanjaya itu turut diwakili oleh lima wakil lain dari Australia, India, Pakistan dan Kanada.

"Dari situlah wujudnya perlembagaan yang diguna pakai sehingga hari ini yang bebas daripada sebarang sentimen dan memberi hak kepada semua masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu," jelasnya.



Artikel Penuh: Utusan Malaysia Online Rencana 20130907

Konspirasi dan fitnah kalimah syirik

KONSPIRASI gerakan Kristianisasi global sedang bergerak dengan begitu agresif termasuk di Malaysia. Paling mutakhir tuntutan mereka untuk diberi hak menggunakan kalimah Allah di dalam kitab dan penerbitan mereka! Apakah kesan yang akan terjadi kelak jika kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam negara kita?

Apakah nanti kita boleh menjamin apabila anak kita mengucapkan "La ila ha illalah - Tidak ada Tuhan melainkan Allah"; adakah kita yakin anak kita sedang merujuk kepada Allah sebagaimana yang difahami umat Islam sebagai Allah Maha Esa? Atau dia sedang merujuk kepada Allah Triniti Tiga dalam Satu yang cuba disogok kepada kita oleh missionari Kristian - Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Roh Kudus!

Inilah yang perlu kita fahami. Itulah kesan secara langsung yang akan berlaku jika pihak Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam negara ini. Dalam satu insiden perkahwinan artis terkenal di sebuah negara jiran, pengantin lelakinya beragama Islam manakala wanitanya beragama kristian. Lalu si wanita ditanya apakah dia akan memeluk agama Islam menuruti bakal suaminya. Jawapan wanita pelakon terkenal lagi jelita ini wajar menjadi iktibar dan pengajaran buat kita:

Apa perlu saya menukar agama! Bukankah tuhan saya dan tuhan dia sama - Allah! Na'uzubillah minzalik!

FIRMAN Allah SWT, "Sesungguhnya Yahudi dan Kristian selama-lamanya tidak akan sekali-sekali reda dan setuju dengan kamu (wahai umat Islam) selagi kamu tidak menurut cara kehidupan dan agama mereka. Katakanlah, sesungguhnya petunjuk Allah (yakni al-Quran) adalah benar dan cukup bagi kami. Tetapi jika kamu masih mahu menuruti mereka sedangkan sudah sampai kepada kamu ilmu kebenaran (yakni al-Quran), maka tidak akan ada bagimu pelindung dan pertolongan daripada Allah" (Al-Baqarah: 120)


TUNTUTAN TITULAR ARCHBISHOP KUALA LUMPUR

Kemelut isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh Titular Archbishop Kuala Lumpur (Gereja) masih berterusan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember 2009 yang membenarkan pihak Gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka bernama The Herald.

Asas kepada keputusan itu antara lain adalah kerana kalimah Allah sudah diguna pakai oleh kristian di Sabah dan Sarawak buat sekian lama. Maka berdasarkan Artikel 3 dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, pihak gereja, kata Mahkamah, sewajarnya dibenarkan dan dijamin kebebasan menggunakan kalimah Allah dalam menjalankan amalan agama mereka.

Saya tidak bercadang mengupas kes ini kerana ia masih di peringkat rayuan yang akan didengar pada 22 September ini. Kita akan memberi ruang dan peluang supaya Mahkamah Rayuan dan sistem kehakiman Malaysia dibenarkan mendengar rayuan ini menurut lunas undang-undang sedia ada.

BIBLE AL-KITAB

Bagaimanapun, saya berpeluang membaca secara sepintas lalu sebuah terjemahan Bible dalam bahasa Melayu yang dipanggil Al-Kitab. Memandangkan ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, maka saya berhak untuk mengulas dan membuat komen yang sepatutnya tanpa bermaksud menghina atau memperlekeh agama kristian.

Satu perkara fundamental yang saya dapati setelah membaca Bible Al-Kitab versi Melayu ini ialah sebenarnya ia bukan Kitab Injil seperti yang umat Islam fahami. Ia sebenarnya adalah terjemahan kitab yang dipanggil Bible daripada versi bahasa Inggeris.

Selain al-Quran, kita umat Islam dituntut mempercayai kitab Taurah (Nabi Musa a.s), Injil (Nabi Isa a.s) dan Zabur (Nabi Daud a.s). Malah mempercayainya adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Kita percaya sebagaimana al-Quran, kitab Taurah, Injil dan Zabur adalah wahyu daripada Allah. Sebab itu kita memanggil mereka yang beriman dengan kitab-kitab itu sebagai ahli kitab, dan kepercayaan mereka disebut sebagai agama wahyu.

Bagaimanapun, kita umat Islam mempercayai Kitab Taurah dan Injil yang asal sudah tidak ada, malah apa yang ada hari ini kita percaya telah diselewengkan. Saya tidak bercadang untuk membahaskan isu ini kerana menumpukan kepada isu kalimah Allah. Mungkin kita akan bahaskannya di forum yang lebih bersesuaian.

Yang kita tahu, apa yang dipanggil Bible oleh penganut Kristian sebenarnya adalah gabungan dua buah buku yang dipercayai kitab suci oleh umat kristian iaitu Old Testament (Kitab Perjanjian Lama) dan New Testament (Kitab Perjanjian Baru).

Kitab Perjanjian Lama dijadikan kitab suci bagi penganut agama Yahudi (selain Tsalmud dan lain-lain). Kitab Perjanjian Lama ini adalah kitab bagi penganut Yahudi dan masih kekal digunakan oleh mereka dalam bahasa Hebrew atau Ibrani.

Kitab Perjanjian Baru pula adalah buku yang dikatakan ditulis oleh seorang pendeta Kristian berbangsa Roman bernama Saul (nama beliau dipopularkan sebagai Paul sekarang ini). Buku asal yang dipanggil Kitab Perjanjian Baru tulisan Saul ini adalah dalam bahasa Greek.

Pihak gereja Kristian kemudiannya telah menggabungkan kedua-dua Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baru ini dan diberi label sebagai Bible. Kitab Perjanjian Lama diterjemahkan ke bahasa Inggeris lama daripada teks asal bahasa Ibrani, manakala Kitab Perjanjian Baru diterjemahkan ke bahasa Inggeris lama daripada bahasa asal Greek.

Maknanya Bible versi bahasa Inggeris yang ada pada masa ini adalah terjemahan ke bahasa Inggeris daripada bahasa Hebrew (bagi Perjanjian Lama) dan bahasa Greek (bagi Perjanjian Baru). Gabungan kedua-dua kitab ini dipanggil Bible.

Kitab Bible versi bahasa Inggeris inilah yang menjadi sumber kepada penterjemahan ke bahasa Melayu-Indonesia yang dipanggil Bible Al-Kitab. Saya tidak bercadang mengupas tentang kewujudan begitu banyak Bible yang berlainan versi. Ini telah dikupas dengan begitu baik oleh Allahyarham Sheikh Ahmad Deedat dan rujukan boleh dibuat kepada kupasan beliau.

BIBLE ASAL

Apa pun, kita perlu sedar bahawa Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s adalah berbangsa Yahudi. Oleh itu kitab asal yang diturunkan kepada mereka sudah tentu dalam bahasa Yahudi; iaitu bahasa Hebrew Aramaic atau Ibrani.

Bermakna yang boleh dan layak dipanggil kitab suci ialah teks dalam bahasa Ibrani, iaitu bahasa yang diguna pakai oleh Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s. Itulah kitab yang sepatutnya menjadi autoriti. Sebagaimana al-Quran dalam bahasa Arab bagi umat Islam.

Maka dalam membahas persoalan kalimah ketuhanan dalam fahaman dan kepercayaan agama Kristian, kita wajib merujuk semula kepada kitab-kitab asal ini.

Bermakna apabila terjemahan ke bahasa Melayu-Indonesia dibuat, ia sudah melalui tiga terjemahan - Ibrani - Greek - Inggeris lama - Inggeris baru - Melayu-Indonesia!

Ini bermakna Bible Al-Kitab versi bahasa Melayu-Indonesia tidak layak dipanggil kitab suci asal, sebaliknya ia hanyalah sebuah terjemahan.

Sebagaimana terjemahan teks asli al-Quran dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Inggeris oleh Yusuf Ali, atau ke dalam bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih atau Buya Hamka.

Kita umat Islam tidak boleh memanggil terjemahan Yusuf Ali, terjemahan Sheikh Abdullah Basmeih atau terjemahan Buya Hamka sebagai al- Quran. Ia hanya terjemahan al-Quran, sebab itu memegangnya tidak perlu berwuduk; malah jika dalam keadaan hadas besar pun masih boleh memegang dan membaca terjemahannya.

Sekurang-kurangnya terjemahan al-Quran dibuat berdasarkan dan bersumberkan terus daripada teks asal al-Quran berbahasa Arab, dengan teks asal Arab sebagaimana yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW tetap ditulis dalam terjemahan tersebut. Sebaliknya terjemahan Bible Al-Kitab versi Melayu-Indonesia langsung tidak disertai dengan teks asal bahasa Ibrani.

Jadi dakwaan menyatakan Bible atau Al-Kitab terjemahan bahasa Melayu-Indonesia sebagai kitab suci asal dan asli adalah tidak berasas sama sekali. Ia hanyalah satu terjemahan!



Zulkifli Noordin Utusan Malaysia Online Rencana 20130908