September 12th, 2013

Anak sudah berkeluarga tak boleh abai ibu bapa

Islam memerintahkan agar anak menghormati dan kasih sayang terhadap kedua-dua ibu bapa. Tuntutan itu sesuai dengan pengorbanan yang dilakukan ibu bapa dalam memberi nafkah, mendidik dan menjaga mereka.

Banyak firman Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW menyebut mengenai hubungan keimanan dan ketakwaan dengan perasaan kasih sayang terhadap ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sembahlah Allah, dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapamu, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga sama ada yang dekat atau yang jauh, rakan karib dan ibnu sabil, serta hamba sahaya." (Surah an-Nisa, ayat 36).

Kisah dan laporan di televisyen dan akhbar mengenai sikap derhaka anak terhadap ibu bapa yang semakin bertambah sekarang ini sepatutnya tidak berlaku sekiranya anak memahami tuntutan agama.

Rapuh pegangan agama

Fenomena itu membayangkan betapa rapuhnya pegangan agama mereka yang terjebak dengan perbuatan tersebut.

Anak derhaka kepada ibu bapa sebenarnya tidak memahami betapa besar pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Berbuat baik terhadap ibu bapa mengatasi semua individu atau pihak lain. Justeru, setiap anak perlu memastikan setiap perbuatan yang dilakukan dapat membahagiakan ibu bapa.

Sekiranya tidak dapat berbakti kepada ibu bapa disebabkan kesempitan kewangan, janganlah pula melakukan perbuatan yang menyusahkan mereka.

Islam tidak membeza-bezakan dalam memberi kasih sayang terhadap ibu dan bapa, walaupun dinyatakan keutamaan perlu dilebihkan kepada ibu.

Maksud lebih diutamakan itu ialah apabila berlaku keadaan di mana pilihan atau keutamaan perlu dibuat. Banyak sebab mengapa ibu lebih diutamakan untuk mendapat kasih sayang daripada anak.

Keperitan dan tanggungjawab ibu terhadap anak lebih berat jika dibandingkan dengan bapa. Ibu menanggung keperitan bermula ketika mengandung, kemudian menempuh saat genting antara hidup dan mati ketika melahirkan anak. Menyusukan dan seterusnya mengasuh sehingga dewasa.

Allah SWT menjelaskan tentang peritnya penderitaan ditanggung oleh ibu yang disabitkan mengapa ibu berhak mendapat kasih sayang dan bakti daripada anak.

Firman-Nya yang bermaksud: Allah memerintahkan kepada manusia supaya berbakti dan berbuat baik serta menghormati terhadap ibu bapanya, kerana ibu telah mengandungkannya dengan menanggung kesulitan serta penderitaan silih berganti dari semasa ke semasa hingga tamat tempoh penyusuan selama dua tahun. Sebab itu, hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada ibu dan bapa kamu, dan ingatlah kepada Aku sebagai tempat kembali. (Surah Lukman, ayat 14).

Selain itu, dalam kes perceraian, hak penjagaan anak lebih diutamakan kepada ibu. Ini memberi gambaran bertapa hak ibu terhadap anak lebih besar berbanding bapa.

Utamakan ibu

Maka, sewajarnyalah ibu lebih diutamakan untuk mendapat hak daripada anaknya berbanding bapa dalam keadaan di mana pilihan perlu dibuat.

Berbuat baik terhadap ibu bapa merangkumi semua perbuatan atau pertuturan yang baik-baik. Setiap tingkah laku dan tutur kata terhadap ibu bapa perlu dijaga agar tidak mendatangkan perasaan tidak menyenangkan di hati mereka. Hati ibu bapa mudah tersentuh dengan perbuatan anak-anak.

Anak yang sudah berkahwin tidak sepatutnya membelakangkan ibu bapa disebabkan mengasihi suami atau isteri. Biarpun dijelaskan isteri perlu taat kepada suami, menjadi tanggungjawab suami pula perlu memahami bahawa isterinya juga wajib mentaati ibu bapa.

Sebab itu, suami perlu memberi peluang dan ruang untuk isteri berbakti kepada ibu bapa seperti meluangkan masa menziarahi, menghulurkan bantuan dan sebagainya.

Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 12/09/2013

Struktur perlembagaan berpaksikan Islam

KEKELIRUAN sering timbul apabila seseorang itu bercakap tentang Perlembagaan. Bukan sahaja di kalangan rakyat awam tetapi ada juga sesetengah golongan yang mempunyai latar belakang perundangan masih kabur dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang utama negara, ia tidak hanya harus dibaca secara tersurat tetapi perkara tersirat juga memainkan peranan penting di dalam memahami Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan ini sebenarnya mengabsahkan susun atur masyarakat sebelum kemerdekaan lagi. Ia bukan wujud secara kebetulan sahaja. Ia juga merupakan dokumen toleransi antara kaum di Malaysia berdasarkan prinsip 'jus soli'.

Malah Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan ini menerima banyak memorandum daripada segenap lapisan masyarakat menyuarakan hak yang mereka inginkan dalam sebuah negara merdeka.

Selagi Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa, setiap rakyat Malaysia perlu menerima keluhurannya mengikut kerangka dan skema yang ada berdasarkan kepada tafsiran-tafsiran yang telah diputuskan mahkamah dari semasa ke semasa.

Sebelum Perlembagaan itu sendiri wujud sebenarnya telah ada undang-undang sama ada yang berkuatkuasa sebelum kedatangan penjajah ataupun yang digubal semasa penjajahan itu sendiri oleh pihak penjajah.

Beberapa peruntukan yang khusus mengenai undang-undang Islam juga telah terlaksana di Tanah Melayu. Sebagai contohnya Undang-Undang 99 Perak dengan tegas menyatakan jika didirikan hukum Quran dengan undang-undang di dalam negeri nescaya amanlah isi negeri.

Malah barang siapa yang tidak mengikut hukum tersebut hendaklah di luar negeri atau di dalam hutan. Pemerintah pula hendaklah memakai al-Quran sebagai panduan dan kegagalan menggunakannya tidak boleh memerintah negeri.

Menurut pakar undang-undang Perlembagaan tanah air terdapat tujuh struktur asas yang menjadi tulang belakang kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu;

l Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

l Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan

l Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan

l Pengasingan kuasa eksekutif, parlimen dan kehakiman

l Raja berperlembagaan

l Demokrasi berparlimen

l Badan kehakiman yang terpisah daripada penguasaan parlimen dan eksekutif.

Ketujuh-tujuh ciri asas ini tidak boleh dihakis daripada Perlembagaan kerana ia akan merosakkan teras Perlembagaan itu sendiri.

Sebarang usaha untuk menyahkan ciri asas ini akan dilihat sebagai menongkah arus dan membawa negara kepada kekacauan kerana kerangka Perlembagaan itu sendiri telah dipersetujui sejak dahulu lagi.

Pemansuhan ciri asas ini perlulah mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat seperti Raja-Raja Melayu, Kerajaan dan juga rakyat pelbagai kaum terutamanya orang Melayu yang merupakan anak watan negara.

Jika diteliti, sebenarnya terdapat begitu banyak peruntukan yang berkaitan dengan Islam dan hak orang Melayu disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Antaranya ialah Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan agama Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidangkuasa negeri.

Islam bukan sekadar agama rasmi sahaja tetapi ia adalah agama bagi Persekutuan. Implikasi agama bagi Persekutuan ini adalah berbeza dengan agama rasmi. Hal yang demikian dijelaskan oleh Hakim Mohd. Noor di dalam penghakimannya di dalam kes Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi yang berbunyi: "Islam adalah agama bagi Persekutuan tapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan…"

Di dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula Hakim Ahmad Fairuz memutuskan, "Islam itu bukan suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman…"

Jelaslah di dalam kedua-dua penghakiman di atas kedudukan Islam adalah jelas tersurat. Oleh itu konsep negara sekular sebagaimana yang dicanangkan oleh sesetengah pihak adalah tidak berlandaskan kepada Perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi perkataan sekular itu sendiri tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Berbanding dengan kes terdahulu yang sering dirujuk bagi menyokong dakwaan Malaysia adalah negara sekular di dalam kes Che Omar bin Che Soh mlwn PP yang telah dipinggirkan oleh penghakiman-penghakiman yang lebih terkini.

l Zainul Rijal Abu Bakar  ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130912

Dilayan bagai VIP

PENGURUSAN haji di Malaysia merupakan yang terbaik di dunia dan kejayaan itu telah menyebabkan Tabung Haji mendapat pengiktirafan dalam kalangan negara Islam berkaitan pengurusan dan pengendalian urusan haji.

Hal berkenaan diakui menerusi beberapa penghormatan oleh kerajaan Arab Saudi dalam kelonggaran beberapa peraturan selain menerima jemputan negara lain untuk menjadikan pengurusan haji Malaysia sebagai panduan.

Ketika diberi peluang untuk membuat liputan penerbangan pertama haji Malaysia Airlines (MAS) baru-baru ini, penulis diberi kesempatan untuk melihat pengurusan dan layanan yang dilakukan oleh Tabung Haji dan syarikat penerbangan utama itu.

Layanan terhadap para tetamu Allah umpama orang kenamaan (VIP) telah menyebabkan penulis senada dengan pengiktirafan diterima Malaysia dalam menguruskan jemaah haji.


Dalam penerbangan Saudi Airlines 5 October 2011 dari album Labbaik Allahumma Labbaik SV5101

Mereka yang dibawa menaiki bas dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya diiringi Polis Diraja Malaysia (PRDM) sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kemudian masuk terus ke kawasan pelepasan kapal terbang.

Setibanya di kawasan itu, para bakal haji kemudian turun lalu berehat seketika di ruang menunggu sebelum dipanggil untuk menaiki pesawat.

Pada saat itu, kelihatan para petugas Tabung Haji dan MAS membantu beberapa jemaah haji, sama ada yang uzur atau warga emas untuk menuju ke pesawat.

Apabila tiba di pesawat, para pramugari menanti dengan wajah mesra kehadiran para bakal haji lalu ditunjukkan mereka tempat duduk dan terdapat juga dalam kalangan mereka memimpin tangan jemaah yang uzur ke dalam pesawat.

Layanan itu sesuai dengan jolokan 'Malaysian Hospitality' yang diterima MAS dalam mengendalikan operasi penerbangan bertaraf dunia.

Menurut seorang bakal haji, Shahrin Jantan, 51, ketika ditemui Mega Utusan Malaysia menyatakan tanda penghargaannya terhadap layanan mutu perkhidmatan terbaik yang diterimanya sepanjang perjalanan ke Tanah Suci.

Jelas pengurus syarikat itu, tiada satu pun rungutan masalah yang boleh dinyatakan kerana semuanya adalah yang terbaik.

"Setibanya di sini, kami tidak perlu melakukan apa-apa kerana semua diurus oleh petugas Tabung Haji dan MAS. Kami hanya tunggu seketika sebelum dipanggil terus menaiki pesawat," jelas Shahrin yang telah menunggu giliran haji selama 10 tahun.

Dalam pada itu, isterinya, Zarinah Abd. Aziz, 49, turut menyatakan perasaan sama berkata layanan umpama karpet merah itu menyebabkan beliau terharu dan menghargai segala perkhidmatan berkenaan.

"Bukan senang untuk menguruskan ribuan jemaah haji, tetapi saya lihat tugas itu berjaya dilakukan para petugas kerana kemungkinan disebabkan oleh pengalaman mereka sebelum ini.

"Malah respons para petugas melayani kerenah kami dengan baik walaupun pada hakikatnya terpaksa melayani ribuan jemaah lain," kata suri rumah itu.

Selain itu, layanan kelas pertama terhadap warga tua turut tidak diabaikan oleh para petugas. menurut Shaharudin Abdullah, 38, mereka memimpin tangan ibunya yang uzur ke dalam pesawat.

Juruteknik berkenaan menambah, keadaan ibunya dilihat menyulitkan tetapi menerusi bantuan dihulurkan oleh para petugas termasuk anak kapal MAS, urusan itu menjadi mudah.

"Saya ucapkan terima kasih kepada para petugas yang banyak membantu kami sebentar tadi. Hanya Allah dapat membalas jasa mereka," ujar Shaharudin.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130912

Asam garam dalam operasi haji MAS

Panggilan haji

Telah tiba lagi

Menunaikan ibadah

Panggilan Baitullah

Tanah Suci Mekah

Ya Makkatul Mukarramah

Tanah Suci Mekah

Ya Makkatul Mukarramah

JIKA terdengar lagu Panggilan Haji di atas yang sering kali didendangkan dalam corong-corong radio, sudah semestinya anda mengetahui bahawa musim haji hampir tiba tidak lama lagi.

Namun paling penting di sebalik bait-bait lirik itu adalah pengertian ibadah haji yang cukup besar kepada umat Islam apabila tuntutan berkenaan merupakan salah satu kewajipan perlu dilaksanakan sekiranya cukup syarat-syaratnya.

Bahkan jika diteliti takrifan haji, ia merupakan satu pengembaraan ke tanah suci untuk menunaikan segala perbuatan seperti mana diperintahkan Allah demi mengharapkan keredaan-Nya mengikut syarat dan masa tertentu.

Malah perkataan 'pengembaraan' sudah cukup menggambarkan haji merupakan satu perjalanan jauh ke Tanah Suci Mekah dalam mengharapkan keredaan dan keampunan Allah SWT.


Kenangan di Hotel Madinah Movenpick dalam menyambut panggilan Haji 5 Oct 2011
dari album Labbaik Allahumma Labbaik SV5101

Dalam menuju pengembaraan jauh ke Tanah Suci Mekah, setiap umat Islam khususnya di Malaysia perlu berhadapan pelbagai prosedur. antaranya mereka perlu mempunyai wang mencukupi dalam akaun Tabung Haji, mendapat keizinan suami dan majikan, menunggu giliran dan sebagainya.


Membawa para jemaah haji adalah satu usaha murni dalam membawa mereka menyahut seruan ilahi.
- Gambar hiasan
oleh MOHD. NOOR MAT AMIN dan ABD. RAZAK ABD. LATIF

Yang pastinya Lembaga Tabung Haji (TH) memainkan peranan besar sejak 50 tahun lalu dalam mengepalai amanah untuk mengurus perjalanan haji negara ini.

Sebalik itu, ramai juga tidak mengetahui bahawa Malaysian Airlines (MAS) yang merupakan syarikat penerbangan utama negara turut berperanan besar dalam membawa bakal haji ke tanah suci.

Jika dahulu menggunakan kapal laut dan terpaksa menempuhi tempoh agak lama, menerusi khidmat penerbangan haji MAS, masa perjalanan sebelum ini memakan masa berbulan-bulan akhirnya disingkatkan antara lapan atau sembilan jam sahaja.

Ketika menerangkan peranan MAS dalam perkhidmatan itu, Naib Presiden (Haji dan Sewa Khas) MAS, Yazid Mohamed, berkata penerbangan haji berbeza berbanding operasi komersial.

Hal ini terang Yazid kerana operasi haji mempunyai keunikan tersendiri selain ia merupakan perjalanan berbentuk ibadah dan para penumpangnya terdiri daripada pelbagai profil.

Sehubungan itu, Yazid berkata adalah menjadi satu keutamaan MAS memberikan khidmat layanan istimewa kepada para bakal haji sepanjang perjalanan, sama ada menuju atau pulang dari tanah suci.

Usaha berkenaan menyebabkan MAS melakukan pelbagai persediaan sebelum penerbangan pertama dengan seluruh pihak diberikan taklimat operasi termasuklah kursus haji kepada anak kapal.

"Perjalanan ini lebih kepada keperluan berbentuk agama, jadi sensitiviti itu perlu ada kepada setiap anak kapal dengan mereka akan dijadikan rujukan berkaitan ibadah haji ketika penerbangan.

"Walaupun sebelum berlepas para bakal jemaah haji telah diberikan kursus oleh TH, apabila tiba hari pelepasan, mereka kadang-kadang keliru atau terlupa, contohnya dalam berniat miqat. Jadi pada masa itu kepada individu akan dirujuk, sudah tentunya anak kapal," terang Yazid.

Persediaan fizikal

Selain keperluan berbentuk keagamaan, antara perkara penting adalah persediaan fizikal iaitu memberi khidmat perubatan kepada para bakal haji.

Memandangkan rata-rata bakal haji terdiri daripada warga emas dan kurang upaya, Yazid berkata persediaan itu perlu ada kepada setiap anak bakal sekiranya berlaku sebarang kemungkinan ketika penerbangan.

Dalam pada itu, kualiti menjadi keutamaan MAS sejak syarikat penerbangan itu beroperasi enam dekad lalu. Setiap perkhidmatan diteliti dan termasuklah proses penyediaan makanan kepada para bakal haji.

Hal itu jelas Yazid, menyebabkan MAS dan TH mengadakan perbincangan pemilihan menu bersama Brahim iaitu pembekal makanan syarikat penerbangan itu dengan mengikut selera para bakal haji berdasarkan lokasi pelepasan mereka.

"Jika penerbangan dari pantai timur, kita menyajikan makanan ala kawasan berkenaan. Begitu juga sebaliknya jika dari lokasi lain," kata Yazid.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130912