September 13th, 2013

Mahkamah syariah makin diterima masyarakat luar

Hampir 15 tahun, penyeragaman mahkamah syariah di seluruh negara dengan menjadikannya setara dengan mahkamah sivil berjaya meningkatkan keberkesanannya dalam penyelesaian kes, sekali gus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bertanggungjawab memartabatkan institusi kehakiman syariah dalam sistem kehakiman dan perundangan negara, turut melakukan pelbagai usaha mempromosikan mahkamah syariah di peringkat antarabangsa dengan penekanan kepada sistem sulh atau perantaraan.

Lebih menarik, peranan mahkamah syariah negara kini diperkenalkan ke negara bukan Islam termasuk menerusi kunjungan hormat pegawai JKSM ke luar negara, pembentangan kertas kerja dalam seminar dan penyertaan dalam persidangan antarabangsa.

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM, Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata jabatan itu juga menyertai pembentangan kepada agensi luar negara serta kajian yang dilakukan penuntut Sarjana, Ijazah Doktor Falsafah atau kajian dijalankan pelajar luar negara.

Katanya, pengalamannya sendiri ketika dilantik sebagai felo di Universiti Oxford selama sembilan bulan membuka peluang menerangkan dengan lebih jelas peranan mahkamah syariah walaupun pada peringkat permulaan persepsi pengamal perundangan keluarga di Britain dan Amerika Syarikat adalah negatif.

Mahkamah kangaru

"Sebilangan besar mereka mendapat pengetahuan baru mengenai pentadbiran keadilan, kerana selama ini mereka beranggapan mahkamah syariah lebih kepada `mahkamah kangaru' iaitu mahkamah yang tidak mempunyai sistem dan peraturan," katanya ketika ditemui pada Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-15 di Kuching, Sarawak baru-baru ini.


Mohd Na'im berkata, beliau turut menjelaskan mengenai mahkamah syariah di Malaysia yang bertindak sebagai agensi persekutuan bagi menyelaras seluruh isu mahkamah syariah di negara ini.

"Saya menerangkan kepada mereka kedudukan mahkamah syariah ini sebelum pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan pada Julai 1998, di mana sebelum itu keputusan hakim mahkamah syariah akan disemak dan dibatalkan oleh hakim mahkamah sivil.

"Bagaimanapun, apabila pindaan dilakukan pada Julai 1998, kedudukan mahkamah syariah itu setara dengan mahkamah sivil. Jadi tidak timbul isu di mana kes keputusan mahkamah syariah boleh dibatalkan oleh mana-mana hakim mahkamah sivil,” katanya.

Menyentuh mengenai sistem sulh atau pengantara, Mohd Na'im berkata sistem yang diperkenalkan di mahkamah syariah turut menarik minat pengamal undang-undang negara luar berikutan mampu mengurangkan bebanan kerja mahkamah.

Sebelum ini, katanya, jika ada kes yang difailkan di mahkamah syariah, kes itu terus akan dibawa ke hadapan hakim yang akhirnya mendorong kepada berlakunya lambakan kes sebab terlalu banyak kes yang mungkin sepatutnya boleh didamaikan.

Tetapi disebabkan tidak ada unit yang boleh membawa pasangan bermasalah itu untuk berdamai, katanya, kes berkenaan terus dibawa kepada mahkamah yang cenderung kepada perceraian.

"Di Oxford, saya jelaskan kepada cendekiawan dan tetamu, perbezaan agak ketara kerana di mahkamah syariah kita mempunyai `court centre mediation', ini bermakna unit sulh yang diwujudkan berada bersama-sama dengan mahkamah.

"Berbeza dengan Mahkamah Keluarga di sana dijalankan oleh pihak swasta dan tidak berada bersama-sama dengan mahkamah, malah perkhidmatan mereka berbayar.

"Jadi bagi mereka di sana yang hendak mengelak pertikaian di mahkamah, terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan," katanya.

Mohd Na'im turut berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Ketua Hakim Mahkamah Keluarga di Massachussets di Amerika Syarikat (AS) dan mengadakan perbincangan bersama hakim mahkamah keluarga di sana pada 16 Mei lalu.

Malah, beliau berkesempatan memberikan Syarahan Perdana mengenai perundangan syariah dan hukum Islam yang dikanunkan di Malaysia di Austin Hall, Harvard Law School di AS pada 3 April lalu.


Mohd Hamizar Hamid Berita Harian Online Agama 13/09/2013

Khutbah Jumaat: Mengekal jati diri ummah

Keamanan, kemakmuran negara boleh lenyap jika terpukau bayangan palsu

Satu perkara yang menjadi cabaran dalam sesebuah negara adalah memelihara kedaulatannya serta mengekalkan jati diri sesebuah ummah yang menghuni negara itu. Bagi Malaysia, terdapat beberapa cabaran harus bagi umat Islam hadapi dan pikul secara bersama.

Pertama, mempertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa Islam ialah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamal dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Perkara 3 Perlembagaan bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai satu-satunya agama diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

Pada masa sama, kita perlu menghormati rakyat bukan Islam yang hendak mengamalkan ajaran agama mereka kerana hak mereka dijamin di bawah negara Islam. Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW mentadbir Madinah Al-Munawwarah dari sudut praktis Islamnya dalam masyarakat majmuk.

Tidak guna kekerasan

Rasulullah SAW tidak sesekali menggunakan kekerasan, bahkan berlembut dengan penduduk Madinah yang bukan beragama Islam. Sekiranya terdapat penentangan secara jelas, barulah Rasulullah SAW bertindak tegas dalam mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam.

Kedua, pelaksanaan sistem pendidikan negara. Cabaran kedua ini ialah dari sudut pendidikan. Rasulullah SAW amat mengambil berat soal pendidikan dalam pemerintahannya. Misalnya apabila seruan jihad dilaungkan, Rasulullah SAW membahagikan umatnya kepada dua kelompok iaitu satu kelompok keluar berjihad di medan perang dan satu kelompok lagi kekal di Madinah untuk terus menuntut ilmu serta menjaga hal ehwal pentadbiran Madinah.

Ketiga, mengekalkan perpaduan rakyat. Perpaduan rakyat menjadi cabaran utama dihadapi kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah satu daripada sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.

Untuk mengekalkan perpaduan, ia sangat mencabar dan memerlukan suatu tempoh yang lama. Misalnya sekolah kebangsaan yang diilhamkan pemimpin negara sebagai wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. Ia dapat dijadikan tempat untuk generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain serta melahirkan rakyat setia dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Rasulullah SAW dan sahabat mengambil pengajaran daripada Surah Al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Keempat, peningkatan masalah sosial. Pembangunan pesat memberi impak negatif kepada negara. Pembangunan fizikal yang sangat pesat seperti di Kuala Lumpur menyebabkan penghijrahan beramai-ramai ke bandar. Natijahnya, kos sara hidup di bandar meningkat dan ada sebilangan yang tidak mampu menghadapinya.

Kesannya, peratusan kemiskinan meningkat, gejala sosial semakin teruk malah norma kehidupan bermasyarakat kian luntur khususnya dalam komuniti masyarakat majmuk di Malaysia. Selain itu, faktor kerohanian yang nipis juga menyebabkan berlaku kebejatan sosial ini.

Kelima, memastikan pembangunan negara seimbang duniawi dan ukhrawi. Hal yang berkaitan dengan negara bukan terhenti sekadar di dunia, bahkan ia akan dipersoalkan di hari akhirat. Kerana itu dalam membangunkan sesebuah negara yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi, beberapa panduan atau kriteria tertentu wajib menjadi keutamaan.

Kriteria imbangi duniawi, ukhrawi

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyenaraikan beberapa kriteria negara yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi iaitu Islam sebagai sumber rujukan, melindungi hak dan kebebasan individu, negara yang berprinsip dan berakhlak.

Melihat kriteria ini dalam konteks negara kita, ada sudut yang boleh dibanggakan kerana kita sudah memilikinya dan ada juga sudut yang kita perlu insafi, bermuhasabah serta memperbaikinya secara bersama demi memastikan Malaysia kekal menjadi negara Islam yang kuat dan kukuh.

Keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati saat ini mungkin boleh lenyap serta musnah jika kita terus terpukau dengan bayangan palsu dan imaginasi indah disajikan musuh Islam hingga akhirnya mengabaikan tanggungjawab kita untuk mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara.

Adakah kita mahu mewariskan kepada anak cucu kita sebuah negara yang hilang kedaulatannya? Sebuah negara yang agama Islam bukan lagi menjadi agama Persekutuan? Satu bangsa yang ditindas dan hilang maruahnya?

Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Imam at-Tabrani Rahimahullah daripada Abu Umamah RA berkata yang bermaksud: “Sesungguhnya akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah umpama perisai yang kamu berlindung di sebaliknya. Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan beroleh kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara yang tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya, manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.”

Rumusannya, kepatuhan dan kesetiaan kepada negara adalah satu tuntutan agama setiap rakyat. Kedua, umat Islam bertanggungjawab memartabatkan kedaulatan negara dengan memelihara keamanan dan kedamaian yang sedang dinikmati bersama hari ini. Ketiga, umat Islam perlu bersama memperkukuhkan jati diri sebagai rakyat dalam sebuah negara Islam bagi menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan impian negara.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’Raf ayat 3-5 bermaksud: “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya (iaitu pemimpin yang membawa kesesatan). Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya). Betapa banyaknya negeri yang Kami binasakan, maka datanglah seksaan Kami (menimpa penduduk) ketika mereka berada di malam hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari. Maka tidak adalah keluhan mereka di waktu datang kepada mereka seksaan Kami, kecuali mengatakan: Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”

Khutbah dipetik dari laman web Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Berita Harian Online Agama 13/09/2013

Menaja haji dengan wang zakat

Alhamdulillah, musim haji tiba lagi, mudah-mudahan mereka yang terpilih untuk bertamu sebagai pengunjung ke Baitullah dan menjadi dhuyufur rahman mendapat anugerah haji yang mabrur, Amin.

Dalam pada itu juga, memang timbul persoalan seperti ini dalam kalangan masyarakat awam. Tahniah juga kerana mempunyai kesedaran untuk menaja orang-orang yang kurang berkemampuan menunaikan haji ke Mekah.

Demi menjawab soalan ini, kita sepatutnya terlebih dahulu mengetahui apakah syarat-syarat wajib haji yang telah ditetapkan oleh Islam. Seseorang yang tidak mempunyai cukup syarat bagi menunaikan haji, maka di sisi Allah SWT mereka tidak dikira berdosa jika tidak dapat ke Mekah menunaikan haji.

Adapun syarat menunaikan haji ada lima, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Mampu (istita'ah). Apa yang perlu difahami, kewajipan haji ini tertakluk atas kemampuan individu berkenaan, yang mana antara kemampuan itu ialah, mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menyempurnakan haji dan juga biaya mereka yang ditinggalkan di tanah air.

Allah SWT tidak murka kepada orang yang tidak berkemampuan, seperti mana firman-Nya yang bermaksud: Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup (mampu) berjalan di antara mereka. (Ali Imran: 97)

Maka, secara umumnya jika orang Islam yang sudah sememangnya miskin, maka mereka tidak berdosa jika tidak dapat menunaikan haji. Melainkan jika mereka mampu, misalnya ada harta beku seperti tanah yang banyak, maka wajiblah mereka mencairkan harta berkenaan untuk menjadikan mereka mampu daripada aspek kewangan untuk ke sana.

Dalam hal ini, saudara menyatakan bahawa individu berkenaan adalah orang miskin, maka tidak berdosa dia tidak menunaikan haji. Namun, bolehkah kita menyalurkan wang zakat kepadanya untuk ke Mekah?

Suka saya paparkan perbincangan fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab Ensiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, susunan Dr. Abdul Karim Zaidan, ada dinyatakan bahawa terdapat ulama yang membolehkan orang-orang yang mahu menunaikan haji, diberikan wang zakat atas nama fisabilillah agar mereka dapat menunaikan hajat berkenaan.

Dinyatakan oleh Imam Ahmad seperti berikut: "Ibadah haji merupakan bahagian daripada perjuangan fisabilillah, sehingga orang fakir dapat diberi bahagian zakat ini untuk melaksanakan ibadah haji, sebagaimana orang-orang yang kehabisan bekal dalam menunaikan haji dapat diberikan bantuan untuk menyempurnakan ibadah haji yang dilakukannya.' (rujuk hal. 147)

Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak bersifat muafakat dalam kalangan fuqaha, kerana ramai yang menyanggahinya, bahkan menurut Ibnu Qudamah, Imam Ahmad juga pernah mengeluarkan pendapat bahawa zakat atas nama fisabilillah tidak boleh diberikan kepada orang yang mahu menunaikan haji.

Janganlah kita terkejut jika ulama yang sama mengeluarkan pandangan kedua yang berbeza dengan pendapat awal, kerana adakalanya wujud keperluan dan rasional yang melahirkan pendapat kedua berkenaan dan ia selalunya lebih menepati keperluan.

Imam Syafie sendiri penah menyatakan kadar zakat harta ma'din (galian) adalah 2.5 peratus dan kemudian pendapat keduanya adalah 20 peratus, dan penulis melihat pandangan kedua ini lebih sejalan dengan fuqaha yang lain serta lebih kuat dalilnya.

Bahkan Ibnu Qudamah turut memperkuatkan pandangan berkenaan, atas alasan ia disepakati oleh fuqaha lain misalnya Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah, at-Tswari dan lain-lain. Mereka selanjutnya menyatakan, bahawa pendapat yang paling tepat mengenai tujuan fisabilillah, adalah merujuk semata-mata bagi tujuan peperangan menegakkan Islam.

Nota: Jawapan disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my



Hamizul Abdul Hamid Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130913

Yakin dengan rencana Allah

NABI Ibrahim AS merupakan bapa para anbia yang memiliki segala kisah inspiratif yang mengandungi jutaan hikmah di dalamnya. Gelaran bapa para anbia itu dimulai ketika Ibrahim AS ingin memiliki keturunan. Kisahnya bermula ketika Ibrahim berkahwin dengan Siti Sarah yang jelitawan. Di usia perkahwinannya yang sudah cukup lama, Ibrahim dan Sarah masih belum dikurniakan seorang anak. Keinginan mempunyai keturunan begitu menggebu-gebu dalam hatinya. Tidak hairan, setiap pasangan pasti ingin mempunyai keturunan yang akan meneruskan perjuangan dakwahnya.

Nabi Ibrahim AS dan Siti Sarah hanya boleh pasrah. Kerana bagaimanapun di atas sana ada Zat Yang Maha Mengetahui segalanya. Ibrahim dan Sarah menganggap itu sebagai ujian di dalam perkahwinan mereka.

Suatu hari, Ibrahim dan Sarah berhijrah ke Mesir. Ketika itu Mesir dipimpin oleh raja yang zalim yang hobinya suka kepada wanita. Kedatangan Ibrahim dan Sarah diketahui oleh sang raja. Lebih-lebih lagi Sarah yang membuat sang raja ingin memilikinya. Sang raja pun memaksa Ibrahim menyerahkan Sarah.

Ujian kembali menimpa Ibrahim AS. Kedatangan pertamanya ke Mesir harus disambut dengan perlakuan yang tidak pantas seorang raja. Sarah pun berdoa. Ketika itu sang raja merasa lehernya tiba-tiba tercekik. Merasa ketakutan, akhirnya Ibrahim dan Sarah diminta pergi oleh raja. Sebelum pergi, raja memberikan seorang hamba sahaya kepada mereka. Namanya Siti Hajar.

Doa Ibrahim pun terjawab, daripada perkahwinannya dengan Hajar, lahirlah seorang anak tampan bernama Ismail. Memang sekilas pandang menyakitkan bagi Sarah. Anak pertama Ibrahim AS bukan berasal daripada dirinya. Sarah pun ingin mempunyai anak.

Tapi kisahnya tidak berhenti sampai di situ. Tidak lama kemudian, Allah SWT mengurniakan anak daripada Sarah. Anak itu diberi nama Ishaq. Kedua putera Ibrahim ini diutus Allah menjadi nabi, pembawa risalah Islam. Doa Ibrahim dan Sarah terjawab sudah.

Senario dan perancangan Allah memang hebat dan indah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak reda terhadap ketentuan-Ku dan tidak sabar atas musibah daripada-Ku, maka carilah Tuhan selain Aku. (hadis qudsi, riwayat Bukhari dan Muslim)

Berbahagialah menjadi seorang Muslim.

Di saat cubaan datang bertubi-tubi, seorang Muslim diajarkan bagaimana mengurus hatinya sehingga hatinya tetap sabar dan yakin akan hadirnya sentuhan hangat tangan Sang Khaliq.

Di saat nikmat turun dari langit, seorang Muslim diajarkan bagaimana mengelola hati sehingga hatinya sentiasa bersyukur dan menepis jauh kemungkinan munculnya hasad dengki.

Terkadang kita selalu berfikir, mengapa sering kali terjadi hal-hal yang tak sesuai dengan harapan kita. Plot cerita yang telah dirancang sebelumnya sering kali tidak berjalan lancar oleh kerana hadirnya hal-hal di luar kendalian kita. Pun begitu, di sebalik itulah letak nikmat daripada ujian-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130913

Ilmu lebih utama daripada amal

ALLAH SWT akan mengangkat darjat orang yang beriman dan orang yang berilmu sebagaimana firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah: 11)

Ketahuilah bahawa ilmu lebih utama daripada amal. Amal ibadah tidak diterima kecuali dengan ilmu. Ibnu Ruslan dalam kitab Zubadnya menulis syair yang bermaksud, setiap orang yang beramal tanpa ilmu, maka amalnya ditolak dan tidak diterima.

Ilmu pengetahuan adalah kawan yang setia ketika sepi, pembimbing ke jalan petunjuk agama dan modal dalam perjuangan untuk mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

Orang yang malas mencari dan menambah ilmu pengetahuan bagaikan lampu kehabisan minyak dan dia akan hidup dalam kegelapan.

Hidup akan cemerlang jika dibekalkan dengan ilmu pengetahuan.

Teman

Al-Jahiz berpesan supaya banyak membaca agar dapat mengusir kesedihan yang kamu rasakan. Beliau berkata: Buku adalah teman yang tidak dapat mengusirmu, sahabat yang tidak menyesatkanmu dan sahabat yang tidak memberatkanmu.

Buku adalah seperti orang yang tidak dapat meletihkanmu, tetangga yang tidak membuatmu kesal, sahabat yang tidak ingin mengeluarkan apa yang kamu miliki dengan rayuan, tidak memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak menipumu dengan kemunafikan dan tidak memperdayamu dengan pembohongan.

Buku merupakan barang yang jika kamu melihatnya, maka akan semakin menambahkan kesenanganmu, buku dapat mengasah otakmu, menyederhanakan pembicaraanmu sehingga mudah difahami, dapat memperbaiki tugas-tugasmu, mengagungkan ucapanmu, menjadikan dirimu nyaman, memanjangkan umurmu, menghadiahkan penghargaan besar bagimu daripada orang awam dan dapat menjadikanmu sebagai kepercayaan penguasa.

Dengan buku, dalam jangka waktu sebulan kamu dapat mengetahui sesuatu hal yang tidak dapat diketahui daripada orang lain selama hidupmu. Dengan buku kamu selamat daripada kerugian, kerja keras dan berlama-lama menunggu pelajaran yang sebenarnya dapat kamu pelajari sendiri.

Dengan buku juga kamu akan menjadi orang yang paling mulia akhlaknya dan paling mulia keturunannya di antara orang-orang yang ada di sekitarmu. Kamu juga akan selamat daripada orang yang membencimu ketika duduk bersama mereka.

Hakikatnya menerusi pembacaan, seseorang itu akan memperoleh banyak manfaat apatah lagi sekiranya mengkaji sebuah buku. Antaranya;

l Menghilangkan perasaan was-was, gelisah dan sedih.

l Menjauhkan seseorang dari berbuat kejelekan.

l Dapat menyibukkan diri seseorang dari kegiatan para penganggur.

l Memperbaiki dan melatih ucapan seseorang, menjauhkannya daripada kesalahan berbicara dan menghiasinya dengan kata-kata yang indah ketika berbicara dengan orang lain.

l Mengembangkan akal, meningkatkan pemikiran, dan menjernihkan hati.

l Dengan membaca seseorang dapat memperolehi ilmu yang berlimpah serta pelbagai pemahaman dari satu masalah.

l Dapat memperolehi manfaat dan percubaan yang dilakukan oleh orang lain dan kesimpulan para ulama.

l Dengan membaca dapat membentuk kemampuan untuk memecahkan suatu ilmu yang masih menjadi perkara misteri di samping menelaah kebudayaan-kebudayaan yang berpengaruh terhadap kehidupan manusia.

l Dapat menambahkan keimanan, terutama ketika membaca buku-buku yang berkaitan dengan Islam. Ini kerana, buku itu seperti penasihat, pemberi peringatan yang terpenting, pencegah yang terbesar dan hakim yang paling adil untuk memutuskan sesuatu perkara.

l Kitab dapat menyelamatkan fikiran manusia, menyelamatkan hati daripada kehancuran dan menyelamatkan masa daripada kesia-siaan.

l Dengan membaca, seseorang dapat menetapkan suatu kalimat yang diambil, dipakai, membentuknya, mengetahui maksud dari suatu ibarat dan dapat mengetahui rahsia-rahsia hikmah yang terkandung di dalam suatu bacaan.

Selain itu terdapat lima kemahiran yang amat perlu bagi generasi pelajar membangunkan dirinya supaya mampu menjadi modal insan yang menyumbang ke arah pembangunan negara dan pembangunan umat manusia.

Selama ini kita menjadi umat pengguna dan umat penciplak terhadap keunggulan orang lain. Kita belum mampu menjadi umat penyumbang terhadap pembangunan umat dan pembangunan umat manusia.

Oleh itu, beberapa asas kemahiran yang penting dan utama perlu dikuasai oleh umat Islam atau pelajar di samping memiliki kecemerlangan akademik. Asas kecerdasan berfikir (IQ) harus dapat diseimbangkan dengan keteguhan emosi (EQ) dan menjadi ketangkasan rohaniah (SQ) sebagai pedoman utama dalam melakukan sesuatu amal.

Antara lima kemahiran itu adalah;

l Kemahiran ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem.

l Kemahiran berfikir.

l Kemahiran berorganisasi.

l Kemahiran berstrategi.

l Kemahiran berkomunikasi.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL- BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130913