September 17th, 2013

Ingat mati bendung nafsu, bisikan jahat

Setiap yang hidup pasti mati. Itulah hakikat yang benar dan tiada siapa mampu melarikan diri daripada dijemput maut. Atas sebab itulah kita diingatkan supaya sentiasa mengingati mati yang akan memantapkan iman dan takwa.

Imam Al-Ghazali berpesan, mengingati mati menghasilkan kemanisan iman, sekali gus menguatkan rasa bertuhan dan taqarrub kepada Allah SWT.

Mengingati mati itu juga akan memandu kita supaya menelusuri penghidupan berpaksikan ajaran dan tuntutan agama selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Memadailah kematian itu menjadi penasihat.” (Riwayat At-Tabrani dan Al-Baihaqi)

Sabda Nabi SAW: “Ingatlah kematian. Demi diriku yang berada di dalam genggaman-Nya, jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Riwayat Ibnu Abu Dunya)

Begitulah pentingnya kita sentiasa ingat akhir kenikmatan dunia iaitu mati. Orang yang sentiasa ingat pada Allah SWT pada waktu sihat, maka ketika sampai ke penghujung hayat pasti mudah baginya untuk terus mengakhiri riwayat hidup secara mulia dan mendapat rahmat Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya, itulah yang kamu selalu lari daripadanya.” (Surah Qaf, ayat 19)

Bekal diri dengan amalan

Kedua-dua firman Allah SWT itu mengingatkan kita supaya tidak terpesong daripada kehendak agama kerana pada akhirnya kita akan dihadapkan berjumpa-Nya. Justeru, manusia perlu membekalkan diri dengan amalan yang boleh mengisi tabung amalan akhirat.

Biarlah setiap langkah kaki kita menjadi pengisian bermanfaat untuk tabung akhirat, begitu juga seluruh anggota tubuh badan dan hati kita menjadi peneraju kepada penjanaan sumber mengisi tabung akhirat.

Usah tangguh buat kebajikan

Sehari umur kita meningkat maka semakin dekat kita kepada tarikh luput kehidupan dunia iaitu kematian. Janganlah ditangguh-tangguhkan kerja berkebajikan kerana mati itu tiba-tiba. Penuhi diari kehidupan dengan warna-warni penghidupan yang berbentuk amal makruf dan nahi mungkar.

Sebagai umat terpilih, ingatlah juga yang kita semua pastinya akan dipanggil untuk kembali kepada-Nya. Selepas itu, amalan ketika di dunia menjadi ‘talian hayat’ yang akan menerangi alam barzakh dan memayungi kita ketika berhimpun di Mahsyar nanti.

InsyaAllah segala usaha amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan itu akan menjamin kebahagiaan di akhirat kelak.

Menantu Baginda Rasulullah SAW, Saidina Ali Abi Talib banyak menasihatkan kita sentiasa ingatkan Allah SWT dan selalu berwaspada dengan tipu daya kehidupan dunia yang melalaikan.

Antara lain, Saidina Ali berkata, “Apabila kematian semakin dilupai, ia membawa sama lupa terhadap reda dan cinta Allah serta Rasul, turut lupa dan lalai terhadap larangan, tegahan dan arahan Ilahi.”

Seterusnya, beliau ada berpesan yang katanya, “Sesungguhnya dua hal yang sangat aku takutkan mengenai kamu, pertama, perasaan masih jauh dari mati dan yang kedua kamu tunduk kepada nafsu.”

Khalifah zuhud, Umar Abdul Aziz begitu takut kepada Allah SWT, justeru setiap amal gerak laku yang dilaksanakannya sentiasa dirasakannya Allah SWT sedang memerhatikannya.

Jadi, kita mampu mematikan kehendak nafsu liar dan bisikan jahat syaitan dalam hati dengan sentiasa ingatkan mati. Pastinya jiwa kita dapat dibersihkan dari sifat mazmumah seterusnya menjernihkan jiwa dan karakter zahir dengan akhlak yang murni sejajar menurut tuntutan agama.


Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 17/09/2013

Perpaduan lahir tamadun bangsa hebat

Masyarakat kena pupuk semangat saling membantu erat kasih sayang

Seberkas lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi. Begitulah perpaduan dalam masyarakat akan mewujudkan kekuatan dan kehebatan, manakala masyarakat yang selalu bertelagah, berpecah akan hanya menelurkan kelemahan serta kemunduran.

Lantaran itu, Islam amat membenci suasana perpecahan dalam masyarakat yang tentunya membawa kepada kebinasaan. Larangan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersengketa, kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu.” (Surah Al-Anfal, ayat 46)

Sebaliknya, kita dituntut bersungguh-sungguh membina perpaduan masyarakat yang nanti akan mencipta sejarah kemajuan dan mampu membentuk tamadun bangsa yang hebat, disegani bahkan digeruni.

Perpaduan tidak mungkin wujud jika kita masih bersikap sombong dan mementingkan diri tanpa menghiraukan keadaan masyarakat sekeliling, ibarat ‘enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’.

Di samping itu, perpecahan juga boleh berlaku apabila tidak bijak mengawal lidah seperti suka menabur fitnah, berbohong dan menipu. Ini berlaku kerana tidak dapat membezakan antara dosa dan pahala disebabkan ceteknya pengetahuan mengenai ajaran Islam.

Menjaga lidah

Seorang Muslim yang tidak menjaga lidahnya dianggap sebagai orang tidak berkualiti yang dibenci masyarakat. Ada sahabat bertanyakan Baginda Rasulullah SAW mengenai Mukmin yang bagaimana paling berkualiti di sisi Allah.

Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang berkualiti ialah mereka yang menjaga kesejahteraan orang Islam yang lain daripada kejahatan lidah dan tangannya.” (Riwayat Bukhari)

Perbuatan suka mendedahkan keburukan dan merendah-rendahkan orang lain, menghina serta mengumpat disebabkan lidah sepenuhnya dikendalikan oleh nafsu. Tidak dinafikan hal ini menjadi kelaziman faktor berlakunya pergaduhan dan permusuhan serta perpecahan dalam masyarakat.

Memang fitrah manusia, tidak rela kesilapan dan keburukannya diketahui umum kerana ia adalah hal yang mengaibkan serta menjatuhkan maruah. Lantaran itu, Islam melarang orang Islam mengintip dan mengumpat sesama sendiri kerana boleh mencetuskan perbalahan dan terputusnya silaturahim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain dan janganlah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Hayati ajaran Islam

Islam mementingkan suasana hidup bahagia, damai dan bersatu padu. Semua ini memerlukan semangat saling bantu-membantu atas dasar kasih sayang dan keikhlasan dengan menghayati sepenuhnya ajaran Islam secara istiqamah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (Islam) dan jangan kamu bercerai-berai.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Apabila umat Islam tidak berpegang dengan agama, enggan memperjuang risalah agama maka jalan menuju persatuan dan perpaduan akan tertutup rapat.

Perkara ini diingatkan oleh al-Quran dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), sebab jalan-jalan itu (dapat) mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.” (Surah Al-An’am, ayat 153)

Jika kita sudah mengetahui keburukan perpecahan, maka hendaklah dijauhi segera segala bentuk tindak-tanduk yang boleh memporak-perandakan perpaduan dan menuju ke arah hidup yang penuh kedamaian.

Persekitaran aman dan sejahtera yang dapat dikecapi hari ini datangnya daripada perpaduan hidup masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kebudayaan.

Anugerah Allah SWT yang sangat besar ertinya ini seharusnya dijaga supaya terus kekal sampai bila-bila. Suasana aman membolehkan kita mempergiat lagi usaha dakwah di samping membangun negara hingga mencapai tahap lebih maju dan bermaruah di mata dunia.

Mohd Adid Ab Rahman Berita Harian Online Agama 17/09/2013

Misteri langit milik Allah

DALAM kesedaran keagamaan umat Islam, langit adalah suci kerana difahamkan sebagai tempat asal turunnya wahyu Allah. Kesucian langit juga jelas daripada pemahaman bahawa Allah SWT berada di atas langit.

Dalam sebuah riwayat diterangkan bahawa Nabi Muhammad SAW membenarkan pendapat seorang wanita tua yang menyatakan bahawa Allah SWT berada di langit. Ditambah lagi kisah Mikraj, iaitu perjalanan ke langit ketujuh untuk bertemu Allah SWT yang bersemayam di atas arasy, iaitu di atas langit (rujuk al-Ra'd: 2, al-Sajdah: 4 dan al-Hadid: 4).

Pada hari kiamat, langit akan digulung seperti gulungan kertas. Setelah itu, penciptaan langit akan diulang kembali sebagaimana penciptaan pertama (rujuk al-Anbiya: 104)

Tujuh lapis

Dalam al-Quran terdapat ungkapan "tujuh (lapis) langit" (rujuk al-Baqarah: 29; al-Mulk: 3; Nuh: 15 dan al-Naba': 12). Pendapat para ulama tentang ertinya berbeza-beza. Para ahli ilmu falak klasik mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'tujuh (lapis) langit' ialah tujuh planet dan tujuh lapisan yang mengelilingi bumi.

Ada juga berpendapat bahawa kata 'tujuh' itu adalah bilangan sebenarnya. Planet yang kita saksikan ialah bahagian daripada langit pertama, dan di atasnya ada enam lapis lagi.

Bintang ialah hiasan langit bagi yang memandangnya (rujuk al-Hijr: 16). Di tempat lain dinyatakan bahawa bintang ialah alat pelempar syaitan (rujuk al-Mulk: 5) yang cuba mencuri dengar berita daripada malaikat (rujuk al-Hijr: 17-18).

Al-Quran juga menggunakan kata 'langit' dengan maksud 'lapisan udara yang mengelilingi bumi' seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menjadikan langit itu sebagai bumbung yang terpelihara. (al-Anbiya': 32)

Hingga kini, langit dan segala isinya masih menjadi misteri dan cabaran besar bagi ilmu pengetahuan. Manusia kemudiannya mencipta teleskop untuk menyelidiki objek di langit.

Singgahsana Allah

Kata arasy banyak disebutkan di dalam al-Quran dan sering dimaksudkan sebagai singgahsana Allah SWT. Singgahsana Allah SWT meliputi langit dan bumi, sebagaimana disebut dalam firman-Nya: Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas 'Arasy…… (al-Furqan: 59)

Pekara itu juga ada disebut dalam firman-Nya: Sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (al-Nisa': 131).

Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya dan Dialah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Maidah: 120)

Al-Sama'

Al-Quran memberikan makna 'langit' (Arab: al-sama') dalam erti kata yang luas. Ada kata 'langit' yang bermakna 'arah atas yang berdekatan dengan bumi', seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Tidaklah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah SWT mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimat yang baik adalah sebagai pohon yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabangnya (puncak menjulang) ke langit. (Ibrahim: 24)

Kadang-kadang yang dimaksudkan dengan langit ialah kawasan yang jauh dari bumi. Seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (lautan) yang banyak faedahnya. (Qaf: 9)

Di tempat lain, kata 'langit' digunakan oleh al-Quran untuk menunjukkan planet lain, iaitu dalam firman Allah yang bermaksud: Kemudian Ia menunjukkan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap. (Fussillat: 11)

Sidratulmuntaha

Nabi Muhammad SAW pernah mengunjungi sidratulmuntaha, tempat paling tinggi di atas langit ketujuh, yang terletak dekat syurga (al-Najm: 14-15). Disebabkan sidratulmuntaha berada di tempat tertinggi, maka kunjungan itu disifatkan oleh para ahli tafsir sebagai menandakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah sampai pada kebijaksanaan tertinggi yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Buraq

Dalam peristiwa Mikraj, Nabi Muhammad SAW menaiki kenderaan seperti tangga yang bergerak naik seperti cahaya, iaitu buraq menembusi langit.

Baginda ditemani oleh Malaikat Jibrail untuk menghadap Allah SWT dekat pohon sidaratulmuntaha di atas langit ketujuh, dekat dengan syurga.

Allah SWT merperlihatkan kepada Nabi Muhammad SAW sebahagian daripada tanda kebesaran-Nya (al-Najm: 18)

Perjalanan menembusi langit itu sukar diterima akal, apalagi Nabi Muhammad SAW melakukannya hanya dalam satu malam. Hal tersebut hanya dapat dijelaskan melalui iman bahawa peristiwa seperti itu terjadi semata-mata kerana kehendak Allah SWT.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130917

Mengetengahkan orang agama dalam UMNO

SEPERTI hendak memilih pasangan hidup, Rasulullah SAW telah lama memperingatkan kita. Tidak salah pilih yang kaya. Tidak salah pilih yang cantik. Tidak salah pilih yang itu. Tidak salah pilih yang ini. Tapi pastikan dia seorang yang beragama. Syaratnya adalah agama.

Untuk itu adalah amat penting juga UMNO membariskan dalam saf kepimpinannya tokoh-tokoh agama. Jangan gunakan tokoh agama hanya pada waktu pilihan raya saja. Golongan agama perlu diberi tempat yang sewajarnya.

Kalau Pemuda, Puteri dan Wanita ada sayapnya dalam UMNO, maka sudah sampai masanya UMNO mewujudkan satu sayap khas untuk golongan agama.

Hari ini orang agama bagaikan tenggelam dalam UMNO. Peranan mereka bagaikan hilang.

Tidak dinafikan ada usaha untuk mengetengahkan orang agama dalam UMNO. Tapi dalam keadaan bagaikan takut dengan bayang-bayang.

Maka berlakulah sindrom divide and rules. Orang agama diletakkan dalam kotak-kotak tertentu saja. Keberadaan mereka tidak dirasakan. Kadangkala dilihat bagaikan berlaku semacam 'kekosongan'.

Dan situasi ini amat berbahaya kepada UMNO secara keseluruhannya. Jika ia terus dibiarkan, kesannya amat merugikan.

'Kekosongan' itu akhirnya dilihat perlu diisi. Siapa yang akan mengisi 'kekosongan' itu? Ia akhirnya diisi oleh orang yang pandai cakap macam orang agama. Oleh siapa lagi? Oleh orang yang berpakaian dan berketerampilan macam orang agama. Oleh siapa lagi? Oleh orang yang menjadikan aktiviti agama dan kebajikan sebagai alat untuk agenda tersembunyi mereka. Orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk populariti diri semata-mata; bagi mencapai matlamat jangka pendek dan jangka panjang mereka.

'Kekosongan' itu akan diisi. Oleh siapa lagi? Oleh orang agama. Tapi oleh orang agama yang ada agenda. Amat bertuah apabila agendanya adalah agenda yang betul dan baik. Agenda yang ikhlas , bersih dan positif.

Dan amat malang sekali kiranya agenda yang diperjuangkan di dalangi oleh agenda tersirat yang negatif. Agenda yang didominasi oleh kefahaman dan aliran pemikiran yang tidak selari dan tidak serasi dengan amalan dan akidah ahlus sunnah wal jamaah. Agenda untuk menerapkan fahaman-fahaman yang bertolak belakang dari al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias. Agenda yang cuba untuk membawa masuk fahaman dan aliran pemikiran untuk menggantikan apa yang telah di asas oleh ulamak kita terdahulu dan telah diterima pakai selama ini di Malaysia.

Mengapa UMNO? Kerana untuk ubah kefahaman dan pengamalan serta penghayatan agama rakyat; yang sudah berakar umbi dalam negara ini adalah amat sulit dan susah. Dan ia memerlukan masa yang panjang. Jalan pintas adalah berada di dalam UMNO. Isi 'kekosongan' yang ada. Dapatkan kepercayaan daripada ahli dan kepimpinan UMNO dan bila dapat UMNO, maka dapatlah negara. Bila dapat negara maka mudahlah untuk ubah apa yang dilihat pada persepsi fahaman dan aliran pemikiran yang dipegang oleh mereka sebagai 'bid'ah' , 'sesat' 'salah' dan 'tidak tepat'; yang selama ini telah menjadi amalan dan pegangan secara umum oleh umat Islam di Malaysia ini.

Kita tidak menolak perubahan. Kita tidak menolak islah dan transformasi. Tetapi janganlah masa dan tenaga dibuang kepada hal-hal yang cabang lagi furu'. Cukup-cukuplah.

Cukup-cukuplah kita selama ini berdebat pada hal-hal yang tak perlu diperdebatkan. Kita perlu fokus pada titik-titik temu antara kita. Bukan titik-titik beda antara kita. Kita perlu pandai membezakan yang mana satu alat. Yang mana satu matlamat.

Kita perlu fokus pada agenda yang lebih besar iaitu agenda ummah. Bukan agenda peribadi atau agenda berasas fahaman mengikut aliran pemikiran sempit yang dipegangi. Sila amal apa yang kita hendak amal; selagi ia tidak bertentangan dengan roh al-Quran dan roh al-Hadis. Wujudkan sikap saling menghormati apa yang dipegang dan diamal oleh orang lain. Wujudkan rasa kasih sayang dan sentiasa bersangka baik di antara kita.

Kita tidak nafikan di sana sini ada kelemahan. Ada kesilapan. Baiki dengan cara hikmah dan bijaksana. Berasaskan kepada rasa ukhuwah persaudaraan Islam. Ibarat memukul ular. Ular mati. Tanah tak lekuk. Galah tak patah.

Janganlah hendaknya ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Musafir lalu rumah ditinggalkan. Kera di hutan di susukan. Anak di pangkuan mati kehausan.

Sesungguhnya masih terdapat golongan agama yang ikhlas di dalam UMNO. Mereka terus dan akan terus berada didalam UMNO. Walau apa yang berlaku. Sama ada mereka dihargai atau tidak. Dipanggil mereka datang. Disuruh mereka pergi. Bahkan mereka bersedia dan sanggup mati sebagai orang UMNO.

Mereka terus bersama dengan UMNO bukan kerana UMNO. Mereka terus bersama dengan UMNO kerana semata-mata atas kepentingan dan kemaslahatan ALIF, BA dan TA. Dan mereka lakukan itu semata-mata untuk mendapat reda Allah SWT.

Semoga Allah sentiasa memberi kita petunjuk ke jalan yang lurus. Jalan yang akan membawa kita ke arah kecemerlangan. Kecemerlangan di dunia. Kecemerlangan di akhirat. Justeru, marilah kita jadikan UMNO sebagai asbab untuk kita bertambah dekat dengan Allah SWT.

Bukan bertambah jauh kita dengan Allah SWT. Marilah kita jadikan UMNO laksana sebuah hamparan sejadah yang luas untuk kita himpunkan sebanyak mungkin pahala bukannya dosa.



LONG KECHIK ialah bekas Presiden Kelab UMNO Pekan Baru, Riau, Indonesia, dan juga bekas Pengerusi Kelab-kelab UMNO Luar Negara Utusan Malaysia Online Rencana20130917