September 18th, 2013

Tak rugi berdoa untuk kejayaan orang lain

Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya di kampung lain. Kemudian Allah SWT menyuruh malaikat melindungi jalan-jalan yang dilalui lelaki itu.

Apabila lelaki itu melalui satu jalan, malaikat bertanya: “Tuan hendak ke mana?” Jawab lelaki itu: “Saya hendak ke rumah seorang saudara saya di kampung ini.” Malaikat bertanya lagi: “Adakah tuan mengharapkan sesuatu daripada saudara tuan itu?” Jawab lelaki itu: “Tidak, saya mengasihinya kerana Allah SWT.”

Malaikat berkata: “Percayalah, saya ini utusan Allah SWT yang disuruh menemui tuan. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi tuan seperti mana tuan mengasihi saudara tuan itu kerana Allah SWT.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita digalakkan menziarahi orang yang baik-baik, bergaul, bersahabat serta berkasih sayang dengan mereka. Malah, kita juga digalakkan memohon dan mendoakan kebaikan untuk mereka serta untuk kita.

Andainya semua makhluk di dunia ini sentiasa mengharapkan serta mendoakan yang terbaik untuk sesama mereka, pasti tidak berlaku permusuhan, saling dengki mendengki atau khianat mengkhianati seperti berlaku hari ini.

Cemburu lihat orang senang

Malangnya, kita hari ini tidak boleh melihat orang lain senang, akan timbul rasa cemburu malah hingga sanggup melakukan perkara yang boleh memusnahkan kesenangan dimiliki seseorang itu.

Sebenarnya, tidak rugi untuk kita berlapang dada melihat kejayaan dicapai orang lain malah digalakkan mendoakan supaya sahabat tadi terus berjaya kerana Allah SWT akan memberi ganjaran terhadap kebaikan (doa) yang dibuat kita untuk orang lain.

Adalah lebih baik jika kesenangan dimiliki saudara kita itu dijadikan penguat semangat untuk bersaing secara sihat supaya dengan cara itu kita juga boleh mencapai kejayaan.

Hendaklah ikhlas mengasihi saudara kerana Allah SWT bukan mengharapkan balasan bersifat keduniaan. Segala yang dilakukan manusia bermula dengan niat dan Allah SWT akan membalas berdasarkan niat seseorang itu.

Jika kasih sayang kerana Allah SWT pasti kita juga akan dikasihi Allah SWT malah hubungan sesama manusia lebih bermakna apabila didasari niat ikhlas bukan tersembunyi maksud selain mendapat keredaan Allah SWT.


Berita Harian Online Agama 18/09/2013

Poligami tak lupus hak harta sepencarian

Isteri boleh mohon pembahagian bersama selepas dimadukan

Kebanyakan pasangan suami isteri jarang memahami apakah yang dimaksudkan dengan harta sepencarian. Tiadanya kefahaman ini ada kala menyebabkan mereka tidak mendapat hak sewajarnya apabila berlaku musibah dalam rumah tangga seperti perceraian.

Harta sepencarian timbul apabila berlaku perceraian antara pasangan, namun berdasarkan peruntukan undang-undang, ia juga boleh dituntut apabila suami berpoligami. Ada isteri tidak faham atau tidak maklum bahawa isteri boleh menuntut harta sepencarian apabila suami berpoligami.

Harta sepencarian ditakrifkan sebagai harta yang diperoleh bersama suami dan isteri ketika perkahwinan mengikut syarat yang ditentukan hukum syarak. Suami atau isteri boleh menuntut harta sepencarian apabila terjadinya perceraian.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, “Mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.”

Peruntukan itu menjelaskan harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan antara pihak-pihak boleh dituntut berdasarkan beberapa perkara antaranya sumbangan dalam bentuk harta, wang atau kerja bagi memperoleh harta berkenaan.

Sumbangan moral

Faktor lain seperti sumbangan tidak langsung atau sumbangan moral pihak-pihak juga akan diambil kira dalam perolehan harta itu. Penilaian akan dibuat berdasarkan sumbangan pihak-pihak mendapatkan sesuatu harta secara satu persatu dan bukan secara keseluruhan semata-mata.

Bagaimanapun, tidak semua harta diperoleh dalam tempoh perkahwinan akan dikira sebaliknya perlu diperhalusi setiap satu persatu untuk memastikan ia diperoleh ketika dalam tempoh perkahwinan dan dikembangkan oleh pasangan.

Harta yang diwarisi boleh dikira sebagai harta sepencarian dan boleh dituntut jika ia dibangunkan atau dikembangkan dalam tempoh perkahwinan itu.

Menjurus kepada isu tuntutan harta sepencarian sebab berpoligami pula, Seksyen 23 (10) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, “Tiap-tiap mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan (b) untuk memerintahkan apa-apa aset yang telah diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.”

Mahkamah mempunyai kuasa untuk memberikan perintah pembahagian harta sepencarian kerana suami berpoligami tidak kira sama ada poligami itu mendapat keizinan mahkamah atau di buat tanpa kebenaran mahkamah.

Maknanya, isteri berhak memohon pembahagian harta sepencarian jika suami berpoligami melalui kebenaran mahkamah iaitu melalui prosedur perundangan yang ditetapkan. Isteri juga berhak membuat permohonan apabila pernikahan poligami suami di luar negara didaftarkan.

Hak isteri dalam harta sepencarian tidak akan terhapus dengan sebab perkahwinan poligami diadakan di luar negara. Ramai yang tidak sedar kewujudan hak ini dan akibatnya timbul perasaan tidak puas hati isteri hingga menyebabkan perceraian berlaku sedangkan ia boleh dielakkan.

Masyarakat perlu sedar bahawa hak harta sepencarian tidak akan hilang disebabkan poligami. Suami harus sedar dan faham bahawa hak itu perlu diberikan kepada isteri walaupun sumbangan isteri tidak sebanyak sumbangan suami dalam mendapatkan harta berkenaan.

Isteri pula perlu mendapatkan nasihat pakar untuk menangani permasalahan ini. Apabila mengetahui suami berpoligami, isteri hendaklah membuat permohonan mendapatkan hak terhadap harta sepencarian bagi memastikan hak mereka terpelihara.

Lindungi isteri mangsa poligami

Ia juga bertujuan melindungi isteri sedia ada daripada dianiaya suami atau isteri baru kerana undang-undang Islam sentiasa adil kepada semua termasuk memelihara hak isteri dalam mendapatkan harta sepencarian apabila suami mereka berpoligami.

Sebenarnya, harta itu bukan untuk isteri saja, malah boleh digunakan demi kebajikan anak-anak selain menjadi sumber pendapatan jika berlaku perkara tidak diingini kepada pasangan.

Perkara ini perlu diberi perhatian oleh isteri kerana isu berkaitan harta sepencarian tidak timbul hanya apabila berlaku perceraian sebaliknya ia boleh dibahagi mengikut hukum Islam apabila suami bernikah lain.

Jika hak ini ditunaikan di mana isteri mendapat bahagian daripada usaha sama sepanjang hidup bersama suaminya, nescaya ia sedikit sebanyak dapat mengelakkan prasangka buruk terhadap poligami.

Ia juga dapat mengelakkan wujudnya perceraian akibat poligami kerana isteri tidak berasa dianiaya apabila sumbangan mereka sepanjang hidup bersama suami tetap terpelihara dan diberi ganjaran sewajarnya.

Namun begitu, harus diingat bahawa mahkamah akan memutuskan berkaitan hak harta sepencarian jika ada permohonan daripada pihak-pihak. Jika tiada permohonan, hak itu tetap wujud namun tidak akan diputuskan oleh mahkamah.

Roshdan Sujak Rafie ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Berita Harian Online Agama 18/09/2013

Jahil agama punca ajaran sesat

AJARAN sesat didefinisikan sebagai sesuatu ajaran atau amalan dibawa oleh seseorang sama ada beragama Islam atau sebaliknya dan mendakwa ajaran tersebut adalah bersumberkan bukan ajaran Islam.

Ia bertentangan dengan al-Quran dan hadis serta bercanggah landasan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagi mengetahui perbezaan ajaran sesat, berikut adalah beberapa ciri berkaitannya:

1 Kepercayaan iman atau asas akidah yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di negara kita seperti mempercayai wujud kitab suci lain selain al-Quran dan menafikan mukjizatnnya atau mempercayai ada kiblat selain kaabah dan lain-lain lagi.

2 Mempertikaikan kebenaran al-Quran dan menolak hadis.

3 Mendakwa diri sebagai nabi terakhir atau sebagai Nabi Isa serta Imam Mahadi dan sebagainya.

4 Percaya bahawa agama yang harus dianuti oleh manusia adalah hasil gabungan semua ajaran agama terdapat pada hari ini.

5 Mendewakan diri sendiri, ketua atau kumpulan sebagai memiliki kelebihan seperti ahli syurga, boleh menebus dosa, boleh berkahwin lebih dari empat orang wanita dan sebagainya.

6 Mengadakan perkara bidaah dan pendapat baru yang bercanggah dengan dalil dalam al-Quran yang menjadi pegangan seperti mengatakan bahawa solat tidak wajib, sembahyang jumaat tidak diwajibkan, tiada puasa pada bulan Ramadan dan tidak menunaikan haji di Mekah.

7 Mentafsir dan menghuraikan al-Quran atau hadis sesuka hati tanpa sebarang ilmu.

Punca ajaran sesat

Punca kepada terjebak manusia ke dalam ajaran sesat adalah kejahilan individu itu sendiri dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Kejahilan ini ditambah pula dengan wujudnya anasir-anasir perosak akidah yang mungkin berselindung di sebalik imej Islam dengan tujuan menimbulkan perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat Islam itu sendiri.

Matlamat golongan ini hanya satu, iaitu melemahkan akidah dan mengajak mereka menyertai ajaran baru yang didakwa mereka lebih sistematik dan mudah tanpa melakukan pelbagai ibadat wajib yang dituntut oleh Allah Taala sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sebagai umat Islam, apabila timbul sebarang khilaf atau kekeliruan khususnya membabitkan akidah dan kefahaman Islam, segeralah merujuk kepada pihak berkemampuan untuk menghuraikan segala kekusutan yang timbul.

Kesedaran yang tinggi dalam agama adakalanya diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan fenomena baru dalam hidup beragama menurut kesesuaian ajaran yang diperkenalkan.

Usahlah kita mudah tertipu dengan sebarang ajaran sesat atau penyelewengan agama yang seringkali muncul dalam kehidupan hari ini.

Rebut kesempatan sementara masih hidup ini dengan memperbanyakkan usaha mendalami ajaran Islam sebenar termasuk mempelajari ilmu agama dengan mereka yang bertauliah dan benar-benar berilmu.



WAN MARZUKI WAN RAMLI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130918