September 22nd, 2013

Tujuh tanda taubat diterima

Secara jujurnya saya dulu banyak tinggal solat sebab sibuk mencari harta dan mungkin juga sebab kawan-kawan juga jenis yang tidak solat. Jadi, saya tidak ada motivasi untuk solat. Namun, sekarang saya sudah sedar dan sedaya upaya untuk tidak tinggal solat setelah mendengar beberapa ceramah. Saya difahamkan Allah SWT itu Maha Menerima taubat. Cuma saya bimbang adakah taubat saya diterima atau sebaliknya. Bagaimana saya tahu taubat saya telah diterima Allah SWT.

Bilal,Rawang, Selangor.

Taubat yang benar dan diterima Allah SWT itu ada tanda-tandanya yang dapat dilihat. Pertama, selepas bertaubat, dia lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Selalu menyesal

Kedua, hatinya selalu dihiasi rasa takut kepada Allah SWT, tidak pernah berpisah dengan-Nya siang dan malam sehingga ia mendengar malaikat berbicara pada ketika mencabut nyawanya seperti firman

Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Ketiga, selalu menyesal kepada Allah SWT, penyesalan yang datangnya dari lubuk hati, menghadap Allah SWT dengan rasa malu, takut dan hina. Keempat, merasa dan menyedari buruknya perbuatan dosa dan bahayanya.

Imam Ibn Qayyim memaparkan bahayanya perbuatan dosa dalam kitabnya Ad-Da’ wa Ad-Dawa’ dan al-Fawa’id. Antara bahaya itu ialah menyempitkan hati, wajah menjadi suram, urusan menjadi sulit, malas beribadat, dibenci oleh ramai manusia, badan menjadi lemah, terbiasa melakukan perbuatan dosa, hilangnya rasa malu, berkurangnya nikmat hidup, hidup sengsara, mati su’ul khatimah dan mendapat seksa di akhirat.

Kelima, menjauhi dan meninggalkan kawan-kawan yang berperangai buruk kerana seseorang akan selalu mengikuti kebiasaan temannya. Allah SWT mengingatkan akibat berkawan dengan mereka.

Firman Allah SWT: “Dan Allah ingin menerima taubatmu, sedangkan orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran).” (Surah an-Nisa’, ayat 27)

Justeru, berhati-hatilah dengan kawan-kawan yang berperangai buruk, berpalinglah dari mereka dan ikutilah selalu jalan orang soleh. Ibn Atha’illah berkata: “Janganlah kamu berteman dengan seseorang yang keadaannya tidak membuatmu terdorong untuk berbuat baik dan ucapannya tidak membimbingmu menuju Allah.”

Elak dosa kecil

Keenam, tidak menganggap remeh dosa-dosa kecil seperti melihat perempuan yang bukan mahram dan bersalaman dengannya. Bilal bin Sa’ad berkata: “Jangan kamu melihat kecilnya dosa yang kamu lakukan tetapi lihatlah pada besarnya yang kamu langgar perintah-Nya.”

Ketujuh, melenyapkan segala sesuatu yang menjadi sebab berlakunya maksiat seperti majalah lucah dan sebagainya. Jika tanda-tanda itu ada dalam diri saudara, Insya Allah taubat saudara diterima Allah SWT.

Berita Harian Online Agama 22/09/2013

Persoalan Agama: Tunai haji berulang kali bukan Sunnah

Apakah pandangan agama terhadap seseorang yang suka melakukan haji dan umrah berulang kali? Bagaimana jika seorang yang sudah menunaikan haji, kemudian dia melakukan maksiat, adakah hajinya batal.

Azmi, Serdang, Selangor.

Jawapan: Menunaikan haji dan umrah beberapa kali pun tidak ada larangan. Bahkan banyak muslimin yang melakukannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa mengerjakan suatu kebajikan (dengan kerelaan hati sendiri) maka sesungguhnya Allah Maha Mensyukuri kebaikan lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 158) Mengandungi hikmah

Ibadat umrah lebih kecil pahalanya berbanding haji. Umrah tidak terikat dengan waktu. Ibadah umrah dinamakan alhajjul asghar (haji kecil) kerana jemaah tidak pergi ke Arafah dan melempar jumrah di Mina. Ibadah haji dinamakan alhajjul akbar (haji besar) kerana haji terikat dengan waktu, tidak boleh dilakukan setiap masa.

Mencontohi Rasulullah SAW melakukan haji adalah paling baik dan mengandungi hikmah yang besar. Rasulullah SAW seumur hidup hanya sekali menunaikan haji. Hukum lebih dari sekali pergi haji adalah harus bukan sunnah.

Kita banyak melihat orang Islam miskin dan melarat. Alangkah baiknya jika wang yang digunakan untuk berulang-ulang pergi haji dimanfaatkan bagi beramal, menolong keluarga muslim yang memerlukan atau kepentingan dakwah Islam.
Apabila seorang melakukan kemungkaran padahal ia sudah menunaikan fardu haji, maka kemungkaran itu tidak membatalkan haji kerana perbuatan yang baik tidak dapat dibatalkan oleh keburukan, meskipun dapat menyebabkan kurang pahalanya.

Hal ini disebabkan Allah SWT menghisab seluruh perbuatan manusia, baik yang kecil dan besar, ketaatan atau kemaksiatan. Timbangan pada hari kiamat adalah hukum, pada ketika itu semua kebaikan diletakkan pada satu neraca sedangkan seluruh keburukan diletakkan pada neraca lain.

Tak rugi

Oleh itu, adakah seseorang itu termasuk dalam ahli kebaikan atau keburukan, akan terlihat pada neraca mana yang lebih berat. Berdasar-kan timbangan itu manusia diberi pahala dan seksa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya’, ayat 47)


Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama 22/09/2013

Merit pemimpin gerakan Islam

INDIVIDU yang faqih memahami al-Quran dan sunah mempunyai kedudukan tinggi dan mulia di sisi Allah dengan syarat disertai dengan takwa sebagaimana sabit dalam al-Quran dan al-Hadis. Rasulullah SAW bersabda:

''Sesiapa yang Allah mahukan untuk dirinya satu kebaikan maka Allah bagi kefaqihan (kefahaman mendalam) dalam agama.'' (Riwayat Bukhari)

Menjelaskan kedudukan dan kelebihan ulama secara umum sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis tidak bererti mensucikan individu yang alim daripada kelemahan dan kesilapan.

Ulama bukan jenama eksklusif milik golongan atau institusi tertentu seperti Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, persatuan-persatuan ulama, majlis-majlis ulama dan seumpamanya tetapi ia adalah sifat yang boleh dimiliki oleh sesiapa yang menguasai disiplin ilmu wahyu yang baik dengan kemampuan bahasa Arab yang mantap dan mampu merujuk kepada al-Quran dan hadis meskipun dia seorang peniaga, petani, kerani, ahli politik, doktor, jurutera dan sebagainya.

Mencadangkan Presiden dan Timbalan Pas dalam kalangan "ulama yang faqih dan memahami realiti semasa" adalah cadangan berasaskan merit dan kelayakan untuk diberi keutamaan (afdal dan lebih baik) untuk menjadi pemimpin iaitu ilmu agama di samping sifat kepimpinan yang lain seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah.

Cadangan tersebut tidak menafikan kelayakan untuk memimpin bagi individu-individu yang mempunyai sifat-sifat pemimpin seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah namun memiliki kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya.

Cadangan tersebut juga tidak menghalang mana-mana individu yang mempunyai sifat kepimpinan seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah tetapi masih kurang keilmuan dan kefaqihan agamanya, meskipun latar belakang pekerjaannya pelbagai tetapi masih tetap berkelayakan untuk menjadi pemimpin di semua peringkat parti sama ada cawangan, kawasan mahupun pusat. Dan itulah yang telah berlaku selama berdekad dalam Pas sejak awal penubuhannya.

Cadangan ilmu dan faqih agama sebagai merit kelayakan pemimpin utama gerakan Islam bukanlah cadangan yang undur ke belakang sebagaimana dakwaan sesetengah pihak kerana ia selari dengan Islam sebagaimana dicontohkan oleh para rasul dan Khulafa Rashidin. Kegemilangan mereka menjadi teladan kepada kita dalam mengemudi gerakan Islam pada masa kini.

Merit ini perlu turut digabungkan dengan sifat quwwah dan amanah yang menjadi sebahagian kriteria umum kepada sesebuah kepimpinan. Malah menentang cadangan tersebut adalah langkah mundur meninggalkan Islam yang menjadi asas rujukan gerakan Islam.

Gerakan Islam bermatlamat memandu manusia kepada Islam dan mendapatkan kuasa untuk memerintah dengan Islam. Usaha gerakan Islam adalah membentuk kerajaan yang berfungsi "menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama."

Justeru selayaknya dan sewajarnya keilmuan dan kefaqihan mendalam tentang Islam menjadi prasyarat dan merit tambahan untuk menjadi pemimpin utama gerakan Islam. Sebagaimana organisasi perubatan selayak dan sebaiknya dipimpin oleh mereka yang paling berkepakaran tentang perubatan tanpa menafikan kelayakan orang yang juga berada di bidang perubatan.

Seorang individu alim tetapi tidak memiliki sifat-sifat kepimpinan yang lain seperti beriman, bertakwa, bijak dan amanah sewajarnya tidak diberikan amanah kepimpinan.

Serangan berbentuk cemuhan dan tohmahan terhadap resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia ini dibimbangi hanya berasaskan emosi dan bukannya berasaskan ilmu. Ahli-ahli Pas tidak sewajarnya terikut-ikut dengan segelintir penulis maya yang berbahasa kotor, jijik dan sinis.

Rasulullah SAW bersabda:

''Bukanlah mukmin itu seorang yang terlalu suka mengecam dan membuat tohmahan, tidak juga yang terlalu suka melaknat, tidak juga berbahasa lucah dan tidak juga berbahasa kotor dan jijik. (hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Sikap memperbodohkan pandangan dan resolusi multaqa yang dibuat secara jemaah oleh ulama bukanlah sebahagian daripada akhlak Islam kerana ia gambaran keegoan dan keangkuhan pandangan. Jauh sekali menjadi akhlak kepada pendokong gerakan Islam. Dibimbangi akan termasuk dalam kategori peringatan Nabi Muhammad SAW:

''Yang paling saya bimbang terhadap kamu tiga perkara yang membinasakan; kebakhilan yang ditaati, nafsu yang diikuti dan kekaguman setiap individu yang memberikan pandangan dengan pandangannya. (Riwayat al- Bazzar dan al-Asbahani)

Tidak ada sebab untuk ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang Islam terasa dipinggirkan daripada kepimpinan gerakan Islam sekiranya mereka memahami fungsi dan matlamat perjuangan gerakan Islam.

Ia sepatutnya menjadi cabaran kepada setiap ahli gerakan Islam untuk berusaha menambahkan ilmu tentang Islam bagi melayakkan mereka juga mempunyai merit tambahan sebagai pemimpin gerakan Islam sementelah lagi mendalami Islam itu sememangnya tuntutan Islam dan tuntutan perjuangan.

Malah setiap ahli Pas boleh berperanan dan menyumbang untuk kemajuan dakwah dan perjuangan Pas dengan pelbagai cara berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh setiap orang kerana nilaian di sisi Allah pada kerja dan amal. Firman Allah SWT:

''Dan katakanlah oleh kamu semua; bekerjalah pasti nanti Allah melihat kerja kamu dan juga ia dilihat oleh Rasul-Nya dan orang beriman.'' - (At Taubah 105)

Perjawatan dalam gerakan Islam adalah amanah dan tanggungjawab membawa Islam dan bukannya kemuliaan yang menjadi rebutan individu yang menganggotainya. Resolusi multaqa mencadangkan merit kelayakan memikul amanah dan tanggungjawab bagi menjadi pertimbangan ahli dalam memilih pemimpin yang menggalas amanah.

Apatah lagi resolusi hanya menegaskan syarat tambahan itu khususnya untuk perjawatan presiden dan timbalan dan sebahagian naib presiden yang merupakan pengemudi utama gerakan Islam. Ia tidak merujuk kepada perjawatan-perjawatan lain.

Agenda

Tidakkah selama ini sejak awal penubuhan Pas, kuliah ilmu Islam dalam pelbagai bentuk merupakan sebahagian daripada agenda utama Pas. Maka selayaknya kefahaman agama menjadi nilaian dalam menentukan kepimpinan oleh ahli-ahli Pas. Atau adakah kerana leka berpolitik semata-mata menyebabkan ahli-ahli Pas tidak lagi melihat kefahaman agama mendalam sebagai suatu yang mendasar dan paksi dalam perjuangan serta nilai tambah kepimpinan?

Cadangan presiden dan timbalan dalam kalangan "ulama yg memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa" bukanlah satu bentuk "meminta jawatan" sebagaimana dakwaan sebahagian pihak.

Ia adalah penegasan prinsip dan kaedah penilaian kepimpinan. Multaqa Ulama mencadangkan sebagai satu kewajipan orang berilmu untuk menyatakan pandangan Islam dalam kepimpinan. Jika para alim ulama tidak menyatakannya, siapakah lagi yang diharapkan untuk menjelaskan prinsip tersebut. Malah ulama tidak perlu malu untuk bertindak sedemikian bahkan malu menyatakan kebenaran adalah usikan syaitan supaya ulama menyembunyikan kebenaran.

Jawatan dalam Islam tidak boleh diminta atau dituntut oleh individu Islam sebagaimana seseorang individu meminta dirinya dipilih menjadi presiden dan timbalan. Inilah penegasan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Resolusi Multaqa adalah resolusi jamaei secara beramai-ramai oleh ulama untuk menegaskan nilai tambah syarat kepimpinan iaitu "faqih" dan bukannya perlakuan meminta jawatan oleh individu untuk dirinya sendiri secara individu. Kekeliruan memahami hukum "meminta jawatan" ini perlu dirungkai supaya tidak berlaku kekeliruan hukum lalu menempelak ulama kononnya meminta jawatan.

Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) sangat yakin dengan perjalanan panjang Pas yang berusia 62 tahun, ia memiliki sangat ramai ahli yang mempunyai nilai tambah kepimpinan yang "faqih" tentang Islam dan realiti semasa meskipun ia belum dikedepankan lagi kepada ahli untuk alternatif pilihan dalam muktamar pemilihan.

DUPP menegaskan bahawa resolusi Multaqa agar presiden dan timbalan sewajarnya dalam kalangan ulama (orang berilmu) yang faqih tentang Islam (memahami dengan mendalam al-Quran dan sunah) dan realiti semasa (seperti isu politik semasa) adalah resolusi yang selaras dengan saranan Islam. Ia dilontarkan kepada seluruh ahli Pas untuk penilaian atas kesedaran bahawa perlembagaan Pas tidak meletakkan syarat tersebut sebagai syarat wajib maka ia terbuka untuk menjadi syarat nilai tambah kepada kelayakan berasaskan Islam.

Merit kefahaman agama mendalam sebagai kelayakan terbaik menjadi pemimpin sangat penting dan mendasar. Nabi Muhammad SAW bersabda:

Apabila amanah dipersiakan maka tunggulah kiamat. Sahabat bertanya; bagaimana amanah dipersiakan? Baginda menegaskan "apabila sesuatu urusan disandarkan kepada bukan ahlinya (tidak berkelayakan) maka tunggulah kiamat." - Hadis Bukhari.

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri ialah Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat. Utusan Malaysia Online Rencana 20130922