September 24th, 2013

Perkahwinan adalah separuh urusan agama

Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran kepada hamba-Nya mengenai hakikat perkahwinan dalam kehidupan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: Daripada tanda-tanda kebesaran-Nya, Dia telah menciptakan bagi kamu isteri-isteri untuk kamu hidup bersama mereka dan Dia telah jadikan antara kamu (daripada perkahwinan itu) rasa cinta dan kasih sayang.

Melalui ikatan suci ini maka lahirlah perasaan cinta serta kasih sayang antara suami isteri seterusnya melahirkan suasana harmoni dan bahagia. Sesungguhnya ikatan pernikahan ini adalah fitrah dalam kehidupan manusia yang ingin dikasihi, disayangi dan dicintai.

Segera urus perkahwinan jika mampu

Usia muda adalah tahap tertinggi bagi seseorang manusia itu untuk hidup secara berpasangan. Malah Rasulullah SAW sendiri telah menyatakan perkara ini dan memberi peringatan penting kepada pemuda supaya menyegerakan urusan perkahwinan bagi mereka yang berkemampuan.

Sabda Nabi SAW: Wahai pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mempunyai kemampuan maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya dengan berkahwin itu lebih menjaga pandangan dan juga mampu mengawal kemaluan (daripada dosa zina). Sesiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana sesungguhnya puasa itu penahan (baginya). (Hadis muttafaqun alaih)

Hikmah di sebalik syariat perkahwinan adalah bagi menjaga diri daripada dosa pandangan kepada perkara yang diharamkan oleh Allah SWT dan menjauhkan mereka daripada zina. Bagi pemuda yang sudah mampu berkahwin maka diwajibkan bagi mereka untuk berkahwin.

Kemampuan di sini meliputi kemampuan dari aspek keinginan berkahwin dan kestabilan kewangan. Pemuda yang tidak mampu berkahwin disebabkan masalah tertentu maka Islam menggalakkan mereka berpuasa kerana puasa mampu mengawal nafsu daripada melakukan kemaksiatan termasuklah dosa zina.

Sesungguhnya perkahwinan adalah separuh daripada urusan agama bagi seseorang Muslim. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang hamba itu telah berkahwin maka dia telah melengkapkan separuh daripada urusan agamanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah SWT pada separuh yang lainnya. (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syuab al-Iman dan dinilai Hasan oleh al-Albani)

Apabila seseorang manusia yang berkemampuan itu mendirikan rumah tangga, maka dia telah melengkapkan seperdua daripada keperluan agamanya. Malah dengan berkahwin juga mampu mengelakkan fitnah dunia terutama bagi pemuda.

Nabi SAW bersabda: Berkahwinlah kamu dengan wanita-wanita yang penyayang dan mampu melahirkan ramai anak kerana sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai. (Riwayat Imam Abu Daud)

Kelebihan berkahwin

Antara kelebihan bagi mereka yang berkahwin dan mempunyai zuriat ialah pengiktirafan serta kebanggaan Nabi SAW pada hari akhirat dengan ramainya umatnya yang beriman kepada Allah SWT.

Oleh itu, seseorang itu tidak akan termasuk dalam golongan ini jika mereka tidak berkahwin dan tidak berusaha mendapatkan zuriat.

Pemuda masa kini berada dalam suatu situasi mencabar iman dan keutuhan hati. Mereka berada dalam suasana yang mampu mengheret setiap jiwa yang lemah untuk hanyut dan lemas dalam arus dosa termasuklah dosa zina.

Amat membimbangkan apabila kita dapati keterlanjuran dosa zina yang berlaku kini bukan saja dalam kalangan pemuda malah yang dewasa serta remaja sekolah. Ia turut mengancam kanak-kanak yang dijadikan mangsa.

Bagi membendung masalah meruncing ini, kerajaan, masyarakat, ibu bapa perlu menyediakan pendidikan agama serta moral yang sempurna bagi remaja dan kanak-kanak disamping menyekat sebarang bentuk aktiviti mampu merosakkan akidah, akhlak dan iman.

Langkah terbaik untuk mengelak diri daripada anasir yang boleh membawa kepada kemaksiatan ialah dengan mempercepatkan urusan perkahwinan. Mungkin sebahagian daripada kita menyangka kedudukan kewangan yang tidak stabil menyebabkan hidup merana selepas berkahwin.

Pandangan ini berbeza dengan firman Allah dan juga sabda Rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kahwinkanlah mereka yang bujang dalam kalangan kamu dan juga orang soleh dari kalangan hamba-hambamu iaitu lelaki mahupun perempuan. Jika mereka orang yang miskin maka Allah akan kayakan mereka dengan kemuliaan-Nya dan Allah itu Maha Luas (rahmat) dan pengetahuan-Nya. (Surah al-Nur, ayat 32)

Berkaitan hal ini Nabi SAW bersabda: Nikahilah wanita sesungguhnya mereka akan datangkan untuk kamu (dengan perkahwinan itu) harta. (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Jelaslah terdapat keberkatan daripada ikatan murni sebuah pernikahan yang halal. Selain daripada menyelamatkan seseorang manusia daripada dosa zina ia juga mampu menambah keberkatan dan rezeki dalam kehidupan mereka dengan syarat beriman kepada Allah serta beramal soleh.

Kawal jiwa terjerumus maksiat

Maka digalakkan pemuda berkahwin pada seawal usia muda untuk mengawal jiwa daripada terjerumus ke lembah dosa. Pada masa sama, menjadi sesuatu yang tidak wajar apabila perkara ini diberatkan oleh ahli keluarga terutama dalam meletakkan hantaran dan belanja perkahwinan.

Islam mewajibkan umatnya berakhlak dengan sifat terpuji dan menggalakkan mereka memilih pasangan hidup yang teguh iman. Apabila seorang pemuda ingin memilih pasangan hidupnya maka pilihlah wanita yang kuat agama dan mempunyai maruah diri.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: Dinikahi wanita itu atas empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Tetaplah dengan memilih (wanita) yang mempunyai agama maka itu sudah cukup. (Hadis Muttafaq Alaih)

Sesungguhnya memilih pasangan yang tinggi nilai agama adalah pemilihan yang tepat dan Insya-Allah terdapat keberkatan daripada Allah SWT dalam kehidupan mereka. Malah wanita solehah adalah sebaik-baik hiasan Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya dunia ini adalah hiasan yang menyenangkan dan sebaik-baik hiasan dunia ialah wanita yang solehah. (Riwayat Muslim)


Imam Muda Asyraf Berita Harian Online Agama 23/09/2013

Musuh dalam selimut

SYIAH daripada segi bahasa bermaksud pengikut atau pendokong. Namun dalam sudut istilahnya adalah satu kumpulan lahir akibat pertikaian umat Islam ketika itu iaitu antara Ali dan Muawiyyah.

Walaupun daripada segi sejarahnya, kumpulan Syiah wujud akibat berlaku pertembungan politik antara Ali dan Muawiyyah, lama-kelamaan krisis berpanjangan itu menyebabkan lahirnya perpecahan mazhab akidah.

Namun krisis perbalahan berpanjangan antara golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah berlarutan sehingga ke hari ini sehingga mengakibatkan pertumpahan darah.

Istilah musuh dalam selimut juga muncul khususnya dalam kalangan pengikut Syiah yang beramal dengan rukun utama ajaran iaitu tarqiah (berpura-pura) khususnya ketika berhadapan dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Krisis pembunuhan umat Islam di Syria, Iraq, India dan beberapa negara lain adalah bukti golongan Syiah amat memusuhi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mengikut pandangan mereka, pihak yang sekongkol bersama para sahabat Nabi Muhammad SAW wajib ditentang.


Penerangan tentang bahayanya Syiah perlu dipergiatkan sama ada dianjurkan di masjid ataupun di mana-mana pusat pendidikan

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. Aizam Masod, salah satu sikap pura-pura pengikut Syiah adalah tawaran untuk berdamai dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau yang berpengalaman berdialog dengan pengikut Syiah Malaysia berkata, tawaran itu dikemukakan ketika mereka bersama-sama mengadakan perbincangan untuk mencari jalan kesepakatan bersama, namun pihaknya meletakkan beberapa syarat untuk ke arah itu.

Ujar Mohd. Aizam, antara syarat itu adalah meminta mereka menarik dan menghentikan perbuatan mengkafir dan menghina isteri Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

"Tetapi apabila diminta berbuat demikian, para pengikut Syiah enggan dengan memberikan 1,001 macam alasan sedangkan tawaran perpaduan telah dicadangkan oleh mereka sebelum ini.

"Mereka tidak mengaku pernah mengkafirkan Abu Bakar dan Umar. Sedangkan telah dijelaskan dalam kitab penulisan Syiah bahawa dua sahabat Rasulullah SAW itu wajib ditentang kerana mereka tidak melantik Ali sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

"Apabila diminta mengulas berkenaan kenyataan itu, mereka berdolak-dalik dengan mengatakan bahawa dua sahabat itu hanya kafir juz'e (separuh), bukan sepenuhnya," jelas Mohd. Aizam.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Ad-din bertajuk Bahaya Ajaran Syiah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Rahah, Kampung Kerinchi di ibu negara, baru-baru ini.

Mohd. Aizam yang kini ditugaskan berhadapan untuk menangani bahayanya Syiah di seluruh negara berkata, oleh sebab itu ulama tersohor, Dr. Yusof al-Qardhawi meletakkan beberapa syarat jika mereka ingin bersatu dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antaranya, meminta mereka berhenti mengutuk para sahabat Nabi Muhammad SAW dan menamatkan usaha menyebarkan fahaman Syiah di negara majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hina isteri nabi

Revolusi Iran pada 1979 sedikit sebanyak telah menambat hati umat Islam ekoran kejayaan kumpulan Syiah menjatuhkan kerajaan Shah Iran yang dikatakan cuba mendapatkan bantuan dari Amerika Syarikat.

Tetapi apakan daya, bantuan itu gagal dan akhirnya pemerintahan monarki, Shah Mohammad Reza Pahlavi tersungkur melalui revolusi rakyat yang didalangi pemimpin utama Syiah, Ayatollah Khomeini.

Menurut Mohd. Aizam, kejayaan itu telah menyebabkan ramai umat Islam termasuk beliau sendiri mengagumi Khomeini lalu berjaya menarik orang ramai daripada pelbagai lapisan untuk mendalami Syiah.

Tetapi jika diteliti kembali rentetan kejayaan, Mohd. Aizam berkata, ia ditunjangi oleh Syiah yang secara umumnya memusuhi Ahli Sunnah Wal Jamaah selain menisbahkan agama kepada Ahli Bait (keluarga Rasulullah SAW).

Tambah Mohd. Aizam, agama sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Malah kedua-dua panduan utama umat Islam itu mengiktiraf para sahabat dan tidak seperti sikap Syiah yang memusuhi mereka.

Sikap berdusta, menghalalkan pembunuhan ke atas golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bertelagah sesama Islam merupakan salah satu sebab Syiah wajib ditolak.

"Walaupun Khomeini dilihat cuba menghilangkan tanggapan bahawa Syiah menolak agama dengan mengaplikasikan ajaran kumpulan dalam hukum fikah seperti pelaksanaan solat Jumaat di Iran, tetapi soal itu tidak berjaya mengubah persepsi buruk terhadap mereka.

"Pelaksanaan hukum fikah yang bercelaru seperti nikah mutaah (kontrak), solat lima waktu dipendekkan kepada tiga dan lain-lain lagi adalah caturan agama berlandasan akal dan bukannya wahyu," ujar Mohd. Aizam.

Selain itu, Mohd. Aizam berkata, kenyataan kumpulan Syiah yang mendakwa jumlah pengikut mereka di negara ini mencecah hampir 300,000 adalah satu pembohongan dengan bertujuan menarik orang ramai menyertai ajaran itu.

Mohd. Aizam berkata mengikut data yang dikeluarkan oleh pihaknya hanya ada 1,500 pengikut Syiah dan penipuan itu bagi mengelirukan orang ramai dengan menyatakan adalah mustahil kumpulan itu sesat jika mempunyai penambahan pengikut setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau memperjelaskan bahawa Syiah bukannya satu mazhab seperti mana Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki, tetapi kumpulan itu merupakan firqah (perpecahan) hasil pertelagahan umat Islam.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Gambar HAFIZ JOHARI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130924

Mahabah Rabiatul Adawiyah

WACANA mahabbatullah dalam dunia tasawuf dipopularkan oleh seorang wanita suci yang menjadi kekasih Allah (Waliyyullah), Rabiah al-Adawiyah atau Rabiatul Adawiyah. Tampilnya Rabiah dalam sejarah tasawuf Islam, memberikan cinta tersendiri dalam menyetarakan gender pada dataran spiritual Islam.

Bahkan dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan 'melawan diri sendiri' dan seterusnya tenggelam dalam 'telaga cinta Ilahi', dinilai oleh kalangan sufi telah melampau 100 darjat orang soleh daripada kalangan lelaki.

Rabiah al-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman spiritualnya, iaitu mahabah atau penyerahan diri total kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperoleh bukan melalui guru tetapi daripada dirinya sendiri.

Jika sebelumnya ahli hadis dan fikh, Hasan al-Basri telah merintis kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan, maka Rabiah melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan. Cintanya kepada Allah SWT telah memenuhi seluruh jiwa raganya. Tidak menyisakan tempat di hatinya untuk mencintai sesuatu selain Allah.

Bagi Rabiatul Adawiyah, dorongan mahabah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi akhir keinginan Rabiah.

Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari ini ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun menjadi penghibur, suatu hari ketika menyanyi, Rabiah merasakan kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.

Sejak itu, dia menolak semua perintah tuannya untuk menyanyi dan menari sehingga tuannya marah. Bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap berdoa kepada Allah.

Maka Rabiah telah dijual kepada seorang sufi yang kemudian mengajaknya bernikah. Rabiah menolaknya kerana cintanya hanya kepada Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.

Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini: Aku mencintaimu dengan dua cinta; cinta kerana diriku, dan cinta kerana diri-Mu. Cinta kerana diriku adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu yang mengungkapkan tabir, sehingga Engkau kulihat. Baik untuk ini, mahupun untuk itu, pujianku bukanlah bagiku; bagi-Mulah pujian untuk semuanya. Buah hatiku, hanya Engkaulah yang kukasihi, berilah keampunan pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu. Engkaulah harapanku, kebahagiaanku, dan kesenanganku, hatiku enggan mencintai selain Engkau.

Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana itu, dia memilih hidup zuhud agar bebas daripada segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya, kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan.

Dia pernah memanjatkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan-Mu."

Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran untuk bernikah tetapi menolak kesemuanya. Mengenai cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dia berkata: "Aku cinta kepada Nabi SAW tetapi cintaku kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta kepada makhluk (segala ciptaan)."

Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan bukan kerana naluri kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwanya. Dia mencintai zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga suntuk memaknai segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.

Rabiah merelakan dirinya menjadi 'gadis abadi'. Dia tidak ingin bernikah bukan lantaran tidak ada yang meminangnya, dia memilih 'kegadisan abadi' kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.

Ketika Rabiah ditanya: "Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi'ah?" Dia menjawab: "Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati."

Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman.

Dalam pandangan Rabiah, cinta pada galibnya adalah kehidupan spiritual, cinta berasal daripada Allah dan untuk Allah.

Terilham rasa kasih yang dalam akan nasib kaumnya, Rabiah cuba meluruskan pandangan 'ubudiyyah mereka dengan bait syair:

"Mereka menyembah-Mu hanya kerana takut akan neraka-Mu

Kemenangan dan keselamatan bagi mereka

Adalah apabila terbebas daripada (niat seperti) itu.

Bagiku, masalahnya bukanlah pada syurga atau neraka-Mu

Aku tidak rela (Kau) Tuhanku diganti sembahan yang lain."

Apa yang ingin ditegaskan Rabiah di sini adalah (bahawa) perilaku cintanya kepada Allah adalah tulus, jujur dan murni, demi dan untuk-Nya semata-mata tanpa kepentingan apa pun kecuali mengharap reda-Nya.

Rabiah tidak ingin seperti yang lain, yang meniatkan sembahannya untuk tujuan dan keinginan tertentu, terlebih menghindarkan diri daripada sesuatu.

Cinta Rabiah adalah cinta kepada zat-Nya, dan kerinduannya adalah rindu pada sifat-sifat-Nya.

Dalam hal ini Rabiah telah jauh keluar orbit, menembus dimensi ruang dan waktu, dari epos sembahan kaumnya. Dia telah memfokuskan kepada satu titik Ilah (sembahan yang satu) yang patut dicintai.

Apa yang ia sosialisasikan dengan ritual ibadah murni adalah sebuah perilaku cinta dengan penyerahan dan kepasrahan yang tulus, jauh daripada rasa takut.

Allah berfirman yang bermaksud: …Barang siapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang solih, dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (al-Kahfi: 110)

Makna sufistik ayat di atas bagi Rabiah adalah, (bahawa) hendaknya seseorang jangan menyekutukan Allah dalam ibadahnya dengan berharap syurga-Nya atau agar terselamat dari neraka-Nya.

Seorang penulis riwayat hidup Rabiah yang berasal dari Parsi mengisahkan kematiannya sebagai berikut: "Pada masa menjelang akhir hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabiah meminta kepada mereka, "Bangkit dan keluarlah, berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!"

Maka semua orang bangkit dan keluar dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadat dan mereka mendengar sebuah suara, "… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah dengan-Nya. Maka masuklah bersama golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (al-Fajr: 27-30)

Sesudah itu, tidak terdengar lagi suara apa pun. Pada ketika orang itu masuk kembali ke bilik itu, Rabiah sudah meninggalkan dunia fana. Sesudah Rabiah menghembuskan nafas terakhir, segera para doktor yang berdiri di hadapannya meminta agar jasad wanita sufi ini segera dimandikan. Setelah jenazah wanita sufi itu dimandi dan dikafankan, mereka bersama-sama melaksanakan solat jenazah dan mengkebumikan jasad itu di tempat yang dia akan berada di sana selama-lamanya.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130924

Tertipu dalam ibadat ?

SUATU hari Hasan al-Basri menyuruh murid-muridnya untuk membantu hajat seseorang. Beliau berkata: "Ajak sekali Thabit al-Bunani bersama kalian."

Apabila Thabit didatangi, beliau tidak dapat pergi bersama kerana tengah beriktikaf.

Hasan berkata: "Tidakkah engkau tahu bahawa membantu hajat seorang Muslim lebih baik daripada melakukan haji sunat?"

Thabit lalu meninggalkan iktikafnya dan turut serta bersama mereka.

Antara sunat dan fardu

Seringkali kita tidak menyedari adanya tangga keutamaan dalam ibadat. Kita beribadat berasaskan selera sendiri sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih baik. Jika benar ibadat kita kerana Allah SWT, semestinya kita melakukan yang paling Allah SWT cintai, bukan yang paling kita sukai.

Pemahaman mendalam tentang tangga keutamaan beramal sangat penting dijadikan pegangan. Antara ibadah fardu dan sunat misalnya, kita mesti dahulukan yang fardu. Sebab amalan fardu lebih Allah SWT sukai daripada amalan sunat.

Dalam hadis Kudsi, Allah berfirman: "Tidaklah seorang hamba mendekat kepada-Ku dengan satu ibadat yang paling Aku sukai daripada ia melakukan perkara yang difardukan kepadanya." (riwayat al-Bukhari)

Justeru, sesedap apa pun perasaan kita ketika melakukan ibadah sunat, ia mesti segera ditinggalkan apabila tuntutan fardu telah menjelang.

Mendengar ceramah agama mesti ditinggalkan apabila suami memanggil. Mengaji al-Quran segera dihentikan sementara untuk menyahut seruan ibu bapa. Begitu seterusnya.

Para ulama berkata: "Jika kita berasa sedap dalam ibadat sunat, namun malas melakukan yang fardu, maka itu pertanda kita tertipu dalam ibadat."

Membantu fakir miskin

Antara ibadah sunat dan membantu orang yang memerlukan, sebenarnya membantu orang yang memerlukan itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: "Amalan yang paling baik ialah menggembirakan seorang Mukmin. Engkau memberinya pakaian, memberinya makan dan membantu hajat keperluannya." (riwayat al-Tabarani)

Selain menggembirakan orang lain, perbuatan baik yang kita lakukan akan memberi kedamaian dalam hati kita terlebih dahulu. Senyuman orang yang menerima sedekah kita akan membawa keberkatan dalam hidup kita.

Dan kesyukuran fakir miskin yang menerima bantuan kita akan membuat hidup kita lebih bermakna.

Oleh yang demikian, jangan lewatkan kesempatan melakukan ibadat yang sangat mulia ini. Membantu hajat orang yang memerlukan merupakan amalan ulama terdahulu yang membawa mereka ke darjat yang sangat tinggi di sisi Allah.

Suatu malam, Talhah bin Ubaidillah melihat Umar bin Al-Khattab memasuki rumah seorang wanita. Pada esok harinya, Talhah mendatangi rumah tersebut. Ternyata di dalamnya hanya terdapat seorang nenek tua yang buta dan lumpuh.

Talhah bertanya kepadanya: "Apa yang biasa dilakukan pemuda ini setiap malam di rumahmu?"

Wanita itu menjawab: "Pemuda itu sejak beberapa tahun lepas selalu menjaga keperluanku. Ia membawakan bagiku makanan dan mengeluarkan kotoran daripada rumahku."

Talhah berkata: "Celaka diriku. Adakah aku hendak mencari-cari kesalahan Umar?"

Kisah ini diceritakan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Jami' Ulum wal Hikam.

Semoga Allah SWT memberikan kita kemampuan untuk meniru amalan dan ibadat orang-orang soleh yang terdahulu.



UMAR MUHAMMAD NOOR PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130924