September 27th, 2013

Pemerintah wajib jaga akidah ummah

Maqasid al-Syariah jadi teras laksana tanggungjawab

Ketua negara atau pemimpin Islam digelar Khalifah, Imamatul Kubra (pemimpin utama atau tertinggi), al-Imam, Waliyyul Amr, Imaratul Mukminin atau Amirul Mukminin, imam al-Muslimin, Sultan dan al-Malik (Raja).

Maka menjadi beberapa dasar yang wajib dipikul dan dilaksanakan setiap pemimpin sesuai dengan kedudukan masing-masing seperti dinyatakan oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam As-Sultaniah wawilayatu ad-Diniyah.

Antaranya, memelihara Din al-Islam, asasnya yang tetap dan perkara telah disepakati oleh ulama. Melaksanakan hukum antara pihak yang bertelagah serta menyelesaikan setiap perselisihan yang timbul.

Menjalankan setiap hukum dan perintah yang Allah SWT amanahkan kepada manusia supaya hak Allah SWT tidak diabaikan dan dapat pula melindungi hak manusia daripada kerosakan serta kemusnahan.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepemimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepemimpinannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Namun, persoalan besar timbul di sini apakah teras kepada seseorang pemimpin dalam melaksanakan pemerintahan negara? Maqasid al-Syariah menjadi teras melaksanakan tanggungjawab kepada pemerintahan negara.
Kebaikan, kebajikan

Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan dan kebajikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan serta sistem hidup. Allah SWT menjelaskan di dalam al-Quran bahawa perutusan Nabi Muhamad SAW adalah untuk kebaikan dan rahmat bagi sekalian alam.

Maqasid al-Syariah yang ingin dicapai ini perlulah menjadi tonggak dan hala tuju dalam pensyariatan hukum serta ajaran Islam kerana itulah Imam Ibn Taimiyah pernah menyebut, maqasid yang wajib bagi pemerintah ialah memastikan kebaikan agama bagi manusia.

Manakala menurut Imam Ghazali dalam kitabnya al-Mustashfa’, lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri iaitu agama, diri, akal, keturunan dan harta.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)

Ulama telah membuat kajian terperinci mengenai tatacara hidup manusia. Justeru, agama Islam menggariskan dasar segala peraturan terutama sistem yang sangat diperlukan oleh kehidupan manusia bagi menjamin kelangsungan mendatangkan manfaat dan menjauhkan mudarat.

Lima kepentingan wajib dijaga

Dalam konteks ini, ulama Islam menggariskan lima kepentingan wajib dijaga pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya supaya umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran.

Menjadi kewajipan pemerintah meletakkan kepentingan agama di tempat teratas. Menurut al-Imam al-Juwaini, antara tanggungjawab pemerintah ialah memelihara akidah dan amalan umat Islam, menghapus kekeliruan oleh penyeleweng agama, membanteras amalan bidaah serta penganjurnya.

Justeru, segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Menjaga agama menjadikan seorang itu adil dan berintegriti, tidak membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral.

Haram pertumpahan darah jalan tak benar

Islam mengharamkan pertumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan hilang.

Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai mulia serta ilmu. Semua unsur menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah, filem yang merosakkan pemikiran wajib dibanteras dengan segera.

Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabii seperti perzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya, struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya runtuh dengan sendirinya.

Islam telah menggariskan prinsipnya iaitu al-adl wal ihsan dalam penjagaan harta. Pendekatan Islam menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek dan manipulasi pasaran.

Menjadi tanggungjawab pemerintah menjaga segala kepentingan berkaitan kehidupan dunia dan agama seperti keamanan negara, keselamatan nyawa dan harta benda, kebajikan rakyat, keselamatan akidah serta kemudahan menunaikan perintah agama.


Berita Harian Online Agama 27/09/2013

Kemanisan haji bagi yang ikhlas

MUSIM haji tiba lagi. Sebagaimana lazimnya, beribu-ribu lagi jemaah haji dari seluruh dunia mula berlepas dan bakal berkumpul di Tanah Haram Mekah bagi menunaikan salah satu daripada cabang Rukun Islam yang lima.

Kewajipan menunaikan fardu haji tidak boleh dipandang remeh oleh semua muslimin dan muslimat yang cukup perbelanjaan, sihat tubuh badan dan aman perjalanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia melaksanakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu kepada setiap orang yang mampu dan berdaya sampai ke sana. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekelian makhluk. (Al-Imran: 97)

Rasulullah SAW pula melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan al-Baihaqi telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia tidak menunaikan haji (hingga mati tanpa ada keuzuran) maka tiada halangan baginya mati sebagai Yahudi atau Nasrani (dari segi seksaan-Nya) kerana Allah telah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai ke sana."

Berdasarkan intipati daripada hadis dan firman Allah di atas, maka jelas hukumnya adalah menjadi kesalahan dan dosa jika ada di kalangan umat Islam yang telah memenuhi segala syarat yang ditetapkan tetapi dengan sengaja enggan menunaikan ibadat haji sebagaimana yang dituntut agama.

Justeru, ketiga-tiga Imam mazhab Hanbali, Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan adalah wajib menyegerakan perlaksanaan ibadat haji bagi mereka yang telah mampu, jangan bertangguh-tangguh lagi kerana dikhuatiri akan meninggal dunia sebelum ibadat tersebut dapat ditunaikan.

Bagaimanapun, Imam Syafie pula berpendapat, menunaikan haji tidak semestinya dengan keadaan yang segera.

Ibadat haji yang dilaksanakan di Mekah pada satu tempoh waktu yang dihadkan (bulan haji) menemukan umat Islam daripada pelbagai tempat atau negeri, berlainan warna kulit, bahasa dan kebudayaan.

Perhimpunan raksasa umat Islam sedunia ini adalah untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah dalam menghidupkan suasana persaudaraan Islam sejati berserta tekad dan keimanan yang bulat dan teguh terhadap Allah SWT.

Menerusi ibadat haji juga melahirkan tanggungjawab bersama bahawa manusia sebagai makhluk Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini, hendaklah bekerjasama antara satu bangsa dengan bangsa lainnya dalam menyusun perjuangan memanfaatkan hasil dari bumi Allah ini, selama mana mereka berada dalam neraca tauhid yang satu.

Dengan demikian tercerminlah hubungan antara manusia dengan segala macam warna kulitnya, perbezaan bahasa, bentuk tubuh badan serta kelainan watak pembawaannya.

Perbezaan ini kita lihat bukan untuk diterima pada keseluruhannya tetapi untuk diambil hikmatnya bahawa manusia itu sama sahaja, yang membezakan dalam darjat dan martabat adalah takwa kepada Allah SWT.

Perhimpunan pada musim haji ini turut membuktikan bahawa umat Islam semuanya adalah sebagai tetamu Allah. Berpakaian ihram putih melambangkan kesamarataan, tidak lagi dinilai pangkat, kekayaan dan keturunan seseorang apabila ia datang menunaikan ibadat haji.

Dengan berpakaian seragam putih menghapuskan segala perbezaan, lambang daripada ketiadaan perbezaan pangkat dan keturunan dalam pandangan Islam. Kecil besar, kaya miskin, berkulit putih atau hitam, semuanya adalah sama di sisi Allah yang sujud kepada-Nya.

Di tempat ini mereka memuji, berdoa dan mengagungkan kebesaran Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Daripada sudut lain, mengunjungi Baitullah atau rumah Allah ini adalah untuk menyaksikan sendiri bagaimana kesan perjuangan para rasul terutama Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as dan Rasulullah SAW dalam menegakkan syariat Allah di muka bumi ini.

Kedua-dua kota suci iaitu Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah diharuskan kepada mereka yang menunaikan haji mempelajari dan menyaksikan sendiri kesan tempat di mana baginda Rasullullah SAW berjuang menegakkan Islam. Kedua-dua tempat inilah Nabi SAW memancarkan Islam yang menerangi seluruh dunia.

Ibadat tawaf dan saie dilakukan dalam suasana khusyuk memberikan kegembiraan jelas terhadap keagungan dan kebesaran Allah. Bacaan-bacaan dilafazkan bagi menyucikan jiwa dan memberikan tafsiran bahawa muslimin hidup berdikari, selalu cergas dalam menempuh perjuangan hidup.

Bahkan, wukuf di Arafah yang merupakan salah satu rukun haji yang mana jemaah haji akan ditempatkan di satu kawasan padang pasir dalam khemah yang sama bentuk di tengah-tengah sinaran cahaya matahari tanpa kelengkapan yang sempurna seperti yang terdapat di rumah-rumah mereka sendiri.

Disifatkan oleh setengah ulama sebagai lambang perhimpunan manusia di akhirat kelak untuk menunggu pengadilan Allah atas segala perbuatan yang telah dilakukan di dunia.

Oleh kerana itu, ibadat haji diharapkan dapat melahirkan rasa keinsafan dalam kalangan umat Islam bahawa mereka pasti akan kembali menemui Allah suatu hari kelak dengan tidak akan membawa bersama harta, pangkat, anak-pinak kecuali iman, Islam, amal kebajikan dan takwa.

Para jemaah patut mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kesulitan dan ketidakselesaan semasa berada di Tanah Suci nanti dengan penuh sabar, tabah dan rasa syukur.

Ini kerana, apa jua perkara yang dihadapi adalah ujian kepada keimanan dan kesabaran dalam menyempurnakan perintah Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu berusaha, perlaksanaan adalah mengikut ketentuan Allah SWT.

Hikmat dan tujuan ibadat haji ini tidak akan dapat dirasakan oleh para jemaah yang menunaikan haji tanpa niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah.

Melaksanakan kewajipan haji yang difardukan bukanlah untuk mendapat panggilan sebagai haji atau hajah yang dijadikan kebanggaan duniawi dan juga bukan untuk bermegah-megah serta bertujuan untuk berniaga bagi mencari keuntungan material.

Semoga bakal-bakal jemaah haji kita akan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna serta memenuhi syarat dan rukunnya untuk mencapai tujuan dan hikmat haji yang difardukan.

WAN MARZUKI WAN RAMLI PENULIS ialah Guru Pendidikan Islam lepasan UKM dan kini bertugas di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130927

Solat mencegah kejahatan

Tatkala Allah SWT menyebutkan orang-orang yang beriman, Allah menyebutkan bahawa mereka adalah orang-orang yang mendirikan sembahyang. Dan apabila Allah menyebutkan orang-orang munafik, maka Allah SWT akan menyebutkan bahawa mereka adalah orang-orang yang melaksanakan sembahyang. Ini kerana orang Islam itu terbahagi kepada dua golongan:

* Adalah mereka yang mendirikan sembahyang.

* Adalah mereka yang melaksanakan sembahyang.

Oleh yang demikian, orang yang hanya melaksanakan sembahyang dan belum mendirikannya, sembahyangnya itu tidak akan dapat mencegahnya daripada perbuatan yang keji dan mungkar.

Sementara orang yang mendirikan sembahyang, maka sembahyangnya itu akan mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar.

Allah SWT berfirman Yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. (al-Ankabut: 45)

Kita mungkin akan mengatakan: Bagaimana dengan orang yang melaksanakan sembahyang, sementara dia aktif menghisap ganja, morfin dan sejenisnya? Bagaimana juga dengan orang yang melakukan sembahyang, tetapi dia tetap berzina dan mencuri? Maka jawapannya adalah kerana dia hanya melaksanakan sembahyang, belum sampai tahap mendirikan sembahyang.

Adapun yang dimaksudkan dengan mendirikan sembahyang, kerana sentiasa meresapi dan menghayati makna segala gerak-gerinya dalam sembahyang, mulai daripada khusyuk, tawaduk, wuduk (kebersihan), keikhlasan, ketika rukuk, ketika sujud dan ketika berzikir, begitu juga dengan rohnya (nyawanya) yang sentiasa hadir dalam sembahyang tersebut.

Seperkara lagi, suka dinyatakan di sini, beberapa hikmah solat seperti yang dinukilkan daripada Fiqh al-Manhaji. Antaranya:

* Solat menyedarkan manusia akan hakikat dirinya yang sebenar sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dia sentiasa menyedarinya setiap kali berhadapan dengan masalah hidup dan perhubungan dengan orang lain. Solat yang dilakukan akan mengingatkannya semula bahawa dia adalah hamba kepunyaan Allah SWT.

* Solat memantapkan keyakinan manusia bahawa tidak ada pembantu dan pengurnia nikmat sebenar-benarnya selain Allah SWT meskipun kelihatan di dunia banyak pihak dan sebab yang pada zahirnya membantu dan memberi nikmat. Tetapi pada hakikatnya hanya Allah SWT yang memastikan semua itu untuk kemudahan manusia.

Setiap kali manusia lupa dan hanyut kerana terpesona dengan keduniaan yang zahir, solat akan mengingatkannya bahawa penyebab yang sebenar hanyalah Allah. Dialah pembantu, pengurnia nikmat, yang menjadikan kesusahan, pemberi manfaat, yang menghidupkan dan mematikan.

* Dengan solat manusia dapat mengambil kesempatan menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya. Ini kerana manusia memang terdedah kepada banyak maksiat pada setiap waktu sama ada disedarinya ataupun tidak.

Maka solat yang dilakukan berulang-ulang dari semasa ke semasa akan membersihkannya daripada maksiat dan kesalahan-kesalahan tersebut.

Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara tersebut di dalam hadis, daripada Jabir bin Abdullah RA katanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Solat lima waktu umpama sungai yang airnya banyak mengalir di hadapan pintu rumah seseorang di kalangan kamu ayang akan mandi di dalamnya lima kali setiap hari". Kata al-Hassan: Dan apakah lagi kotorannya yang tinggal?"

Maksud kotoran di sini ialah kotoran maknawi, iaitu dosa-dosa. Maksud ini dijelaskan oleh riwayat Abu Hurairah RA: "Demikianlah umpamanya solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa."

* Solat merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Segala pesona dunia dan bisikan syaitan sememangnya menjadikan manusia lupa kepada akidah walaupun telah lama terterap dalam hatinya.

Kealpaan yang berterusan kerana menurut gelora nafsu dan rakan-rakan, akhirnya akan berubah menjadi ingkar. Ia umpama pokok yang kehabisan air, lambat laun akan layu dan mati kering menjadi kayu api.

Tetapi, solat yang dilakukan dengan tekun oleh seseorang Muslim akan menjadi santapan iman dan tidak mampu dilemahkan atau dimusnahkan oleh segala pancaroba dunia.

Semoga solat kita benar-benar dapat mencegah kita daripada perbuatan jahat. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20130927