October 3rd, 2013

Bercakap kosong, sombong, takbur sifat iblis

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi dalam kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong, malah ia berasa bangga dengan kesombongannya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah: Orang yang takbur.” (Riwayat at-Tarmizi) 

Orang berakhlak mulia dikasihi Rasulullah

Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah SAW dan diberi tempat paling dekat dengan Baginda pada hari kiamat nanti.

Bercakap-cakap kosong atau perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.

Islam juga melarang umatnya bersifat membanggakan diri, memandang rendah, menghina orang lain, tetapi hendaklah bersifat tawaduk, rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari kesombongan dan tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

Sebagai hamba Allah SWT, kita tidak boleh memiliki sifat sombong terutama di hadapan Allah SWT. Sungguh tidak ada apa-apa kehebatan pun pada kita jika hendak dibandingkan dengan kebesaran Allah SWT.

Kisah iblis sombong, takbur

Cukuplah seseorang itu dikatakan sombong jika menolak kebenaran dan suka merendahkan orang lain. Cerita kesombongan, takbur, selalu membanggakan diri adalah sebuah kisah yang lebih tua jika dibandingkan dengan permulaan kehidupan manusia di muka bumi ini.

Ia berlaku ketika Iblis enggan bersujud pada makhluk bernama Adam disebabkan rasa penciptaan dan statusnya yang lebih baik. Allah SWT melihat tingkah dan sikap Iblis ini dengan firman-Nya yang bermaksud: “Hai Iblis, apakah yang menghalangmu untuk bersujud kepada yang telah Kuciptakan. Apakah kamu menyombongkan diri (takbur) atau kamu merasa termasuk orang yang lebih tinggi? Iblis terus menjawab: Ya Allah, aku (memang) lebih baik jika dibandingkan dengan Adam. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan Adam, Engkau ciptakan dari tanah. Mendengar jawapan Iblis yang sombong, Allah berfirman: Keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir.”


Berita Harian Online Agama 03/09/2013

Keterbatasan ilmu bukan alasan abai keluarga

Bapa wajib melaksanakan tanggungjawab menjadi ketua keluarga untuk diteladani

Raja Ali Haji, dalam syairnya, Nasehat kepada Anak mengungkap nasihat, teguran dan panduan bermakna buat generasi muda. Nasihat itu berkisar mengenai lima perkara iaitu tanggungjawab sebagai pemimpin, keutamaan akhlak, budi bahasa, adab susila, galakan menuntut ilmu, selain kepentingan mengawal hawa nafsu.

Kelima-lima perkara itu merangkumi tanggungjawab dipikul dan cabaran akan dihadapi mereka sepanjang kehidupan. Syair pujangga Melayu-Bugis yang berasal dari Kepulauan Riau itu menunjukkan pentingnya nasihat dalam kehidupan seseorang remaja dan belia.

Diriwayatkan, Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, kami menjaga diri kami sendiri. Tetapi bagaimana pula kami dapat menjaga keluarga kami? Baginda SAW menjawab: Kamu melarang mereka daripada melakukan apa yang dilarang Allah dan memerintahkan mereka supaya melakukan apa yang diperintahkan Allah atas kamu. Yang demikian itu menjadi perisai antara diri mereka dengan neraka.”

Pemimpin keluarga teladan anak

Apatah lagi nasihat daripada seorang bapa yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Pemimpin yang dipandang tinggi dan dijadikan teladan oleh anak-anaknya dalam melayari kehidupan serba menguji.

Tanggungjawab besar dipikul bapa dijelaskan oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW dalam memelihara ahli keluarga daripada api neraka dengan kewajipan menggalakkan keluarga menunaikan solat serta tekun melakukannya.

Diriwayatkan, Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, kami menjaga diri kami sendiri. Tetapi bagaimana pula kami dapat menjaga keluarga kami? Baginda SAW menjawab: Kamu melarang mereka daripada melakukan apa yang dilarang Allah dan memerintahkan mereka supaya melakukan apa yang diperintahkan Allah atas kamu. Yang demikian itu menjadi perisai antara diri mereka dengan neraka.”

Ibn al-Munzir dan al-Hakim serta perawi lain meriwayatkan daripada Saidina Ali bahawa beliau mengatakan ayat itu menerangkan kewajipan mendidik diri serta anggota keluarga mengenai kebaikan.

Sebilangan orang bersungguh-sungguh melunaskan tanggungjawab itu kerana menyedari hakikat mereka akan dipersoal mengenai tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Mereka bukan sekadar bertanggungjawab menyediakan nafkah, makan dan minum serta keperluan lainnya sebaliknya perlu berusaha keras mendidik keluarga mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Tanggungjawab mendidik ahli keluarga

Justeru, setiap suami atau bapa perlu sentiasa bermuhasabah dan bersedia memperbaiki diri. Tanggungjawab mendidik ahli keluarga, khususnya anak-anak tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada orang lain seperti guru.

Jika kemampuan dan kekurangan ilmu selain keterbatasan waktu menjadi alasannya, maka haruslah permasalahan itu diatasi sedaya mungkin. Bapa harus menyedari keupayaan serta kewibawaan dirinya sebagai teladan dan pembimbing anak-anaknya perlu ditingkatkan.

Hal ini mengambil kira bahawa anak semakin dewasa dan dengan dunia semakin rencam dan cabaran pula semakin besar. Kerencaman dunia membawa bersama perubahan yang tidak terduga.

Perubahan secara fizikal itu turut melunturkan nilai mulia yang tersemai sekian lama dalam setiap keluarga dan masyarakat. Jika dulunya urusan dan permasalahan keluarga turut dibantu anggota keluarga yang besar, saudara serta jiran tetangga, kini nilai itu dirasakan begitu asing sekali.

Malah, tidak mustahil individu yang cuba menerapkannya kembali ditimpa kemudaratan tertentu. Niatnya yang luhur belum tentu dibalas secara setara.

Suami atau bapa juga tidak wajar sama sekali menyerahkan tanggungjawab mendidik dan menguruskan anak-anak kepada isteri semata-mata. Hal ini barangkali disebabkan tanggapan tanggungjawab menyediakan nafkah sudah memadai.

Malah, sudah terlalu berat untuk membolehkan ia melaksanakan tugas mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak. Dengan demikian, dibiarkan isterinya mengatur, merencana dan mengatasi apa juga permasalahan yang timbul.

Maka sudah tentulah si isteri dilanda kesulitan berganda kerana bebanan yang seharusnya dikongsi bersama akhirnya dipikul bersendirian. Realiti yang dapat dilihat ini membolehkan kita membuat rumusan tertentu. Antaranya, sistem pendidikan negara belum mampu melahirkan insan yang memiliki ilmu, kebijaksanaan dan berwibawa untuk memainkan peranan dengan berkesan termasuk sebagai ibu bapa.

Justeru, perubahan yang bakal dilaksanakan terhadap sistem pendidikan kini yang lebih berorientasikan peperiksaan benar-benar diharap dapat mengatasi kelemahan itu.

Sistem pendidikan yang lebih menumpukan pada garapan kemahiran tertentu diharap dapat melahirkan ibu bapa yang berkeupayaan melaksanakan tanggungjawab memberikan pendidikan asas, iaitu keimanan dan keagamaan.

Kemahiran ibu bapa

Menyampaikan pendidikan itu, sudah tentu nasihat dan peringatan sentiasa diselitkan. Hubungan erat telah terjalin antara bapa dengan anak berasaskan pendidikan, nasihat dan peringatan. Andai berlaku salah laku, anak tidak berasa janggal ditegur, dinasihati malah dihukum.

Apabila nasihat bapa mudah diterima, akhlak anak akan dibentuk, keperibadiannya diperkukuh dan nafsunya dididik untuk dilentur. Maka tidak asing baginya mendengar ungkapan nasihat.

Raja Ali Haji berkata, “Nasihat ayahanda anakanda fikirkan, keliru syaitan anakanda jagakan, orang berakal anakanda hampirkan, orang jahat anakanda jauhkan. Inilah nasihat ayahanda tuan, kepada anakanda muda bangsawan, nafsu yang jahat anakanda lawan, supaya kita jangan tertawan.”

Wan Roslili Abd Majid ialah Pegawai Penyelidik Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama 03/09/2013

Jasad dan roh terpelihara

PARA syuhada dalam peperangan Uhud di Madinah adalah mereka yang dekat dengan Rasulullah SAW. Allah SWT telah melapangkan dada mereka untuk masuk Islam, maka mereka beriman kepada risalah Baginda.

Mukjizat-mukjizat Baginda yang mereka lihat menambah keyakinan mereka. Dengan demikian kehidupan mereka pun berubah, mereka membentuk diri menjadi peribadi-peribadi baharu. Mereka tinggalkan setiap perkara yang menentang syariat Allah di atas jalan Islam yang mulia.

Kesenangan mereka adalah di dalam beribadat kepada Allah dan taat kepada Rasul-Nya. Tubuh mereka seperti tubuh kita, tersusun dari bahan yang sama. Tubuh kita dan tubuh mereka menjadi tempat hidupnya makhluk-makhluk Allah yang berupa organisma mikroskopik.

Namun roh mereka bersih dan jiwa mereka besar. Tubuh mereka bekerja keras untuk menggapainya. Hal itulah yang membuat mereka menjadi generasi istimewa. Mereka bagaikan para pendeta di waktu malam dan penunggang kuda di waktu siang.

Jika ada penyeru yang memanggil untuk berjihad, mereka tinggalkan segala sesuatu di belakang mereka untuk mentaati Allah yang menciptakan mereka, dengan penuh keyakinan bahawa pahala yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal.

Bahkan ada di antara mereka yang pergi berjihad dalam keadaan junub, mereka tidak sempat mandi janabah kerana kuatnya keterikatan mereka untuk segera memenuhi panggilan jihad.

Para sahabat mulia yang berlaku siddiq kepada Allah SWT itu mendapatkan ujian yang baik pada peperangan Uhud. Mereka berazam untuk mati syahid dengan penuh kejujuran dan beramal untuk mendapatkannya, maka Allah pun memilih mereka untuk diletakkan di sisi-Nya dan mengambil mereka sebagai syuhada dalam keadaan maju dan mundur di medan perang.

Mereka beruntung mendapatkan keredaan Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Mereka juga memiliki kemuliaan-kemuliaan yang besar, di antara kemuliaan itu ada yang biasa diketahui oleh manusia dan ada juga kemuliaan yang lebih besar yang tidak dapat dimengerti oleh manusia.

Jabir bin Abdullah RA berkata, Pada malam hari menjelang terjadinya Perang Uhud, aku dipanggil ayahku, beliau berkata, "Aku merasa bahawa aku akan menjadi orang yang pertama kali terbunuh di antara para sahabat Nabi SAW. Aku memiliki hutang, maka lunaslah hutang-hutang itu. Perlakukanlah saudara-saudara perempuan dengan baik. Benar, pada pagi harinya beliau menjadi orang pertama yang terbunuh (syahid). Beliau dikubur bersama orang lain dalam satu liang lahad. Namun aku merasa tidak nyaman membiarkan beliau dikubur bersama orang lain dalam satu liang lahad, maka enam bulan kemudian aku membongkar kuburnya dan aku mendapati keadaan jasadnya seperti ketika dahulu aku menguburkannya. (riwayat Bukhari)

Dalam riwayat Ahmad disebutkan, "Pada masa khalifah Muawiyah bin Abu Sufian, ada seseorang yang mendekatiku seraya berkata, "Wahai Jabir, para pekerja Muawiyah telah menggali kubur ayahmu hingga terlihat sebahagian jasadnya." Maka aku segera mendatanginya dan aku dapati keadaan jasad beliau sama seperti aku menguburkannya, tidak berubah sama sekali, maka aku menimbunnya kembali." (riwayat Ahmad)

Jabir bin Abdullah RA berkata lagi, "Ketika ayahku terbunuh pada Perang Uhud, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Wahai Jabir, mahukah aku beritahukan apa yang dikatakan Allah kepada ayahmu?" Jabir menjawab, "Ya." Baginda menyambung: "Allah tidak mengajak bicara seseorang kecuali dari bilik hijab kepada ayahmu. Allah mengajak berbicara ayahmu dengan berhadap-hadapan. Dia berfirman: "Wahai Abdullah, berazamlah, nescaya Aku penuhi." Abdullah menjawab, "Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku ke dunia sehingga aku terbunuh di jalan-Mu sekali lagi."

Allah berfirman: "Aku telah memutuskan bahawa seseorang yang telah mati tidak akan kembali ke dunia lagi." Abdullah berkata, "Wahai Tuhanku, kalau begitu khabarkanlah keadaanku kepada orang-orang yang ada di belakangku." Maka Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud: Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur (syahid) di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuhannya dengan penuh mendapat rezeki. (Ali-Imran: 169)

IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131002

Ibu bapa penentu syurga, neraka ?

PENDIDIKAN Islam yang menjurus kepada didikan akidah, ibadah dan akhlak sangat penting dilakukan sejak seseorang itu masih kecil hinggalah dewasa. Pendidikan agama yang sempurna akan menjadikan seseorang itu beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Didikan agama yang kurang sempurna yang diterima oleh anak sejak kecil daripada ibu bapa akan mempengaruhi sikap dan pemikiran mereka yang tidak mantap daripada segi penghayatan terhadap Islam.

Apatah lagi, sekiranya kedua-dua ibu bapa itu pula jahil dan lalai dalam melaksanakan didikan agama yang baik dan betul terhadap anak. Malah sistem pendidikan yang diterima oleh anak-anak di sekolah tidak seimbang dengan kehendak pendidikan Islam, sains, akhlak tatasusila yang dapat membentuk peradaban ummah yang gemilang dan cemerlang.

Pendidikan hari ini jauh berbeza dengan pendidikan zaman lampau. Didiklah anak mengikut zamannya, iaitu era globalisasi yang penuh cabaran.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW ditanya tentang peranan kedua-dua orang tua iaitu ibu bapa. Baginda lalu menjawab, "Mereka adalah (orang yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu." (riwayat Ibnu Majah)

Jikalau berbakti kepada kedua-dua ibu bapa akan masuk syurga dan kalau bersikap derhaka kepada mereka akan masuk neraka. Begitu juga, betapa besarnya peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak sehingga menentukan syurga dan neraka kepada anak-anak.

Oleh itu, sebagai ibu bapa ambillah tanggungjawab ini dengan penuh amanah untuk mendidik anak-anak berkaitan dengan pendidikan agama terutama berkaitan solat, mengaji al-Quran dan pendidikan budi pekerti serta ibadah yang lain yang seharusnya dititikberatkan sejak di rumah.

Falsafah dan matlamat Pendidikan Islam sangat jelas iaitu satu proses melahirkan manusia yang seimbang daripada segi intelek, emosi, jasmani dan rohani yang mampu bertindak dengan panduan batasan kerohanian. Keseimbangan ini bersebati dalam diri sehingga menyerlahkan peribadi mulia dan tinggi di sisi Allah SWT dan manusia serta alam kehidupan.

Pendidikan Islam bertujuan melahirkan khalifah Allah SWT yang mempunyai perkembangan yang seimbang berasaskan aspek kerohanian, kerana dengan kerohanian manusia dididik akan patuh dan taat kepada hukum yang disyariatkan oleh Allah SWT.

Proses membangunkan insan perlulah dilakukan secara menyeluruh daripada semua aspek kehidupan. Nabi SAW bersabda: "Warisan bagi Allah daripada hamba-Nya yang beriman ialah puteranya yang beribadah kepada Allah sesudahnya." (riwayat Ath Thabrani)

Hal ini menunjukkan pendidikan Islam akan melahirkan keimanan kepada anak-anak yang kemudiannya akan beribadat kepada Allah dan mendoakan kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Sebagai anak sewajarnya menghargai kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Sayangilah ibu bapa ketika mereka masih ada. Bantulah mereka ketika anda berkemampuan dan ketika mereka memerlukan. Layani emosi mereka dengan baik, hormati pendapat mereka.

Berhati-hati ketika mengeluarkan pendapat dan pandangan. Tidak meminta sesuatu di luar daripada kemampuan mereka. Balaslah budi mereka dengan akhlak yang baik dan pencapaian cemerlang dalam pelajaran.

Berkaitan hak anak terhadap ibu bapa pula, ini juga dijelaskan oleh Nabi SAW melalui sebuah hadis yang berkaitan dengan pendidikan. Seseorang datang kepada Nabi SAW dan bertanya, "Ya Rasulullah, apa hak anakku ini? Nabi SAW menjawab, "Memberinya nama yang baik, mendidik dengan yang baik dan memberinya kedudukan yang baik (dalam hatimu)." (riwayat Ath Thusi)

Justeru, sistem pendidikan mestilah berasaskan akidah dan nilai kemanusiaan sebenar bagi melahirkan insan soleh dan beriman. Pendidikan Islam adalah berasaskan kepada paradigma tauhid yang mengesakan Allah SWT kerana setiap perlakuan yang dilakukan oleh manusia mempunyai hubungan dengan Allah SWT.

Konsep tauhid ini menjadi asas kepada pengislaman sistem pendidikan umat Islam yang selama ini dipengaruhi oleh ideologi dan pemikiran Barat yang sekular-liberal.

Oleh itu, proses pengIslaman pendidikan mestilah dimulakan dengan konsep tauhid dan seterusnya dilaksanakan beberapa langkah yang sewajarnya.

Selain itu, ibu bapa juga berperanan sebagai pembimbing dan pemantau kepada anak-anak. Sentiasalah memantau siapa kawan rapat anak-anak.

Apa yang dilakukan olehnya pada masa lapang. Pantau juga penggunaan media baharu seperti Facebook, Twitter dan telefon pintar mereka. Ini kerana, wang dan kemewahan bukanlah segala-galanya yang menentukan kejayaan mereka yang berkekalan.

Mengawal anak-anak bukan bererti menyekat 100 peratus kebebasan mereka tetapi mengawal bagi mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka. Ini juga perlu dijelaskan kepada anak-anak supaya mereka faham peranan sebagai ibu bapa.

Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak terutama berkaitan dengan pendidikan akhlak dan ibadah yang boleh dilakukan di rumah melalui bimbingan, nasihat dan teladan yang baik.

Hala tuju pendidikan di rumah mestilah seiring dengan hala tuju pendidikan negara iaitu untuk memperkembangkan potensi individu melahirkan insan yang seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

Ini akan melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131003