October 6th, 2013

Belajar erti keikhlasan elak rasa riak

Saudari yang dimuliakan Allah SWT. Penyakit riak (berbuat sesuatu kerana mengharapkan supaya dilihat dan dipuji manusia, bukan reda Allah SWT) adalah penyakit berbahaya yang mengintai dan boleh terkena siapa saja, baik ulama mahupun orang awam.

Riak adalah syirik kecil tetapi termasuk perbuatan dosa. Seseorang yang berbuat kebaikan namun diiringi dengan riak, maka amalannya itu gugur, tidak berpahala malah ia mendapat dosa akibat perbuatan riak.

Lawan riak adalah ikhlas. Betapa berat dan sukarnya ikhlas ini, seorang ulama salaf pernah berkata: “Saya tidak pernah susah payah melebihi upayaku untuk sentiasa ikhlas.”

Bukan bererti ikhlas itu tidak boleh dicapai. Ia boleh dicapai oleh Muslim yang mahu berusaha sungguh-sungguh untuk mengikhlaskan niatnya. Dalam hal ini, ada beberapa hal yang perlu diperhatikan supaya dapat meraih keikhlasan itu.

Memahami dan sentiasa berusaha mengingati sah sesuatu amal bergantung kepada niat yang ikhlas. Tanpa keikhlasan, kebaikan yang telah diusahakan menjadi sia-sia khususnya dalam melakukan amalan fardu seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.

Sombong hampiri kekufuran

Fahami serta berusaha mengingati besar dan bahayanya dosa riak ini. Riak sangat dekat dengan bangga pada diri sendiri (ujub) dan sombong manakala kesombongan itu sangat dekat pada kekufuran.

Lihatlah iblis yang sombong dan enggan bersujud hormat kepada Adam. Ia akhirnya kufur dan dimurkai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada rasa sombong walaupun sebesar zarah.” (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Bergaullah dengan lingkungan dan rakan-rakan yang salih. Lingkungan dan rakan yang baik akan mendorong seseorang melakukan kebaikan serta malu melakukan keburukan, kemungkaran atau kemaksiatan.

Selain itu, ia juga dapat belajar daripada mereka erti keikhlasan kerana keikhlasan itu hendaklah dilatih dan dibiasakan. Seperti kata pepatah, ‘alah bisa tegal biasa’. Orang yang ikhlas dalam beramal meskipun dengan susah payah akan memperoleh ketenteraman dan ketenangan hati.

Boleh jadi dia tidak memperoleh tepuk tangan dan kekaguman manusia, bahkan mungkin dia diremehkan oleh orang lain. Namun, kelazatan iman dan keikhlasan membuatkan hatinya tenteram sehingga keimanannya makin kukuh serta yakin kepada Allah SWT.

Semoga kita dijauhkan Allah SWT daripada syirik, kufur, sombong dan riak dalam segala bentuknya. Semoga Allah mengurniakan kita keikhlasan dalam setiap perkataan dan perbuatan.


Ina, Johor Bahru, Johor. Berita Harian Online Agama 06/10/2013

Larangan pakai bauan menggoda

Pada asasnya wanita itu adalah perhiasan dunia yang diciptakan Allah SWT untuk melengkapkan kebahagiaan lelaki. Fitrah wanita adalah bersolek serta berhias kerana wanita memang perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.

Oleh itu, Islam membolehkan wanita untuk berhias dan memakai wangian ketika bersama suaminya. Perkara ini bahkan menjadi suatu kewajipan bagi seorang isteri tampil cantik dan menarik di depan suami tercinta.

Nabi tidak melarang

Ketika Aisyah hendak melakukan ihram, ia memakai wangi-wangian. Sebahagian perkataan Aisyah: “Kami (isteri-isteri Rasulullah SAW) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah SAW. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah SAW melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya Nabi SAW tidak melarang).” (Riwayat Abu Dawud)

Umaimah bt Raqiqah berkata: “Para isteri Nabi SAW memakai pembalut yang mengandung wars (tumbuhan berwarna kuning dan harum baunya yang digunakan untuk mencelup) dan za’faran (tumbuhan berwarna kuning untuk mencelup dan harum). Maka mereka membalut bahagian bawah rambutnya dari dahinya sebelum ihram, kemudian mereka melakukan ihram dengan keadaan seperti itu.” (Riwayat at-Tabarani)

Hadis di atas menunjukkan memakai haruman bagi seorang Muslimah hal yang disukai oleh Islam. Jika memakai wangian dan inai itu disukai bagi wanita ketika sebelum ihram, maka lebih disukai lagi memakainya di luar ihram sehingga si suami merasa senang hati kepada isterinya.

Tidak terlalu semerbak

Namun, jika seorang wanita hendak keluar rumah, disunnahkan memakai wangian yang tidak berbau semerbak tetapi berwarna supaya tidak tercium baunya oleh lelaki lain yang bukan mahram.

Hal ini seperti diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya wangian bagi kaum lelaki adalah sesuatu yang berbau harum semerbak namun tidak berwarna. Sebaliknya wangian kaum wanita adalah sesuatu yang berwarna dan tidak berbau harum semerbak.” (Riwayat Abu Dawud)

Mahfum mukhalafah hadis itu adalah seorang wanita dilarang memakai wangian ketika hendak keluar rumah lebih-lebih lagi jika melalui kaum lelaki kerana hal ini akan mengundang fitnah.

Ibn Jauzi dalam kitab Ahkam Nisa’ berkata: “Aku berpendapat bahawa dilarang wanita memakai wangi-wangian adalah dengan tujuan supaya lelaki tidak tergoda atau tertarik oleh wanita, lebih-lebih lagi ketika wanita keluar rumah.”

Pada asasnya wanita dilarang memakai sesuatu yang boleh menarik simpati atau dapat menggoda kaum lelaki. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah seorang wanita menghentak kakinya dengan tujuan supaya diketahui apa yang disembunyikan daripada perhiasan-perhiasan mereka.” (Surah an-Nur, ayat 31)

Maksud ayat ini adalah gelang kaki wanita tetapi Ibnu Aqil berpandangan boleh diqiaskan dengan gelang kaki iaitu sesuatu yang dapat berbunyi seperti loceng.

Abu Hurairah pernah bertemu seorang wanita yang memakai haruman lalu beliau bertanya: “Kamu mahu pergi masjid? Jawab wanita itu: Ya. Abu Hurairah berkata lagi: Ingatlah Rasulullah SAW pernah bersabda: Tidak ada wanita yang hendak ke masjid dengan memakai wangian kecuali Allah tidak menerima solatnya sehingga ia mandi seperti mandi junub. Kerana itu pulanglah ke rumah dan mandilah.”

Ketidakbolehan wanita memakai wangian ketika keluar rumah sebagai illat hukumnya supaya tidak tercium bau semerbaknya oleh lelaki sehingga menimbulkan fitnah. Jika keberadaan illat itu tidak ada iaitu wanita hanya bergaul sesama wanita saja, maka menggunakan wangian tidak dilarang.

Emi, Selayang. Berita Harian Online Agama 06/10/2013

Sejarah tilawah Al-Quran di Malaysia

Tidak banyak orang yang mengetahui sejarah tilawah Al-Quran di negara ini yang sudah mencecah 53 tahun. Tidak seperti tahun-tahun awalnya, tilawah Al-Quran tidak lagi menarik perhatian generasi baharu penonton TV. Pada peringkat awalnya tilawah Al-Quran merupakan suatu peristiwa TV yang penting yang ditunggu-tunggu setiap tahun. Malah pada peringkat awalnya radio menjadi wahana penting untuk menyiarkan tilawah Al-Quran.

Maka itu penerbitan buku 50 Tahun Tilawah Al-Quran oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sangat berguna. Buku ini diilhamkan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ia diterbitkan sempena 50 tahun tilawah Al-Quran di negara ini.

Buku setebal 229 halaman ini bukan sahaja bermuat sejarah tilawah tetapi juga banyak gambar penting yang sebahagian besarnya tidak tersiar di mana-mana. Ia bermuat pelbagai aspek sejarah tilawah itu termasuk nama-nama peserta, para hakim, pemenang juga sejarah astaka yang menjadi pentas tilawah itu diadakan.

Sayogia diingat perkataan ‘tilawah’ sebenarnya baharu diperkenalkan. Sebelum ini perkataan ‘pertandingan’ dan ‘musabaqah’ digunakan. Negeri Johor hari ini menggunakan majlis perujian membaca Al-Quran.

Adalah dipercayai bahawa tilawah Al-Quran yang pertama secara rasmi diadakan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR, nama asal UMNO) pada 4 September 1947 di Masjid Jamek, Johor Bahru. Pertandingan ini dibuka hanya untuk kaum lelaki.

Peringkat kebangsaan mula 1960

Almarhum Tunku Abdul Rahman memulakan peraduan membaca Al-Quran pada peringkat kebangsaan pada tahun 1960. Pada tahun berikutnya Malaya mengadakan tilawah Al-Quran pada peringkat antarabangsa. Adalah dipercayai ini merupakan tilawah Al-Quran yang pertama di dunia. Sewaktu berucap merasmikan tilawah peringkat kebangsaan yang pertama pada tahun 1960, Tunku berharap akan menjadikan Malaya negara yang hebat dengan mengambil semangat dan pemahaman kitab suci itu.

Pada tahun 1961 apabila tilawah peringkat antarabangsa diadakan buat pertama kalinya, Masjid Negara sedang dibina. Selama 22 kali, Stadium Merdeka menjadi tempat pertandingan kebangsaan dan 23 pertandingan antarabangsa. (Stadium bersejarah itu juga merealisasikan cadangan Tunku untuk menaikkan nama negara dalam bidang sukan dengan mengadakan Pesta Bola Merdeka setiap tahun). Sebuah astaka indah akan dibina dan setiap tahun akan diadakan peraduan bagi memilih seni bina astaka yang terbaik.

Pada tahun 1982, tilawah Al-Quran yang terakhir diadakan di Stadium Merdeka. Mulai 1981, tilawah antarabangsa diasingkan daripada peringkat kebangsaan.

Tilawah Al-Quran juga menampakkan bakat luar biasa orang Melayu dalam tradisi membaca kitab suci itu. Pada peringkat kebangsaan qari dari Kedah, Ismail Hashim menang sembilan kali dari tahun 1962 hingga 1975 sementara Faridah Mat Saman dari Kelantan menang lapan kali dan Rogayah Sulong dari Terengganu menang tujuh kali. Pada peringkat antarabangsa Ismail menang lapan kali, termasuk menjadi johan bersama dengan peserta dari Thailand, Manaf Saseelos pada tahun 1963.

Faridah merupakan pemenang tilawah antarabangsa wanita yang pertama pada tahun 1964. Beliau menang tujuh kali pada peringkat antarabangsa. Tiga kali yang terakhir (daripada tahun 1989 hingga 1991) dimenanginya setelah meninggalkan gelanggang selama 11 tahun. Rogayah pula menang empat kali pada peringkat antarabangsa, pertama kali pada tahun 1966 dan seterusnya pada tahun 1973, 1974 dan 1978.

Dominasi wakil Malaysia

Qari pertama menang tilawah antarabangsa adalah Ahmad Mat Som pada tahun 1961. Faridah pula menang pada tahun 1964 apabila tilawah peringkat antarabangsa dibuka kepada wanita. Malah apabila tilawah dibuka pada peserta-peserta negara Arab mulai tahun 1976, qari dan qariah Melayu masih menang banyak kali.

Pada tahun itu peserta dari Indonesia, M. Ali Yusni menang ketegori lelaki dan Faridah menang ketegori wanita. Walaupun ada qari dari Libya, Mesir dan Kuwait pernah menang tetapi jumlah mereka sedikit. Bagi qariah pula selain pemenang dari Indonesia, Brunei dan Thailand yang memecahkan kelangsungan kemenangan, selebihnya merupakan qariah Malaysia.

Ada satu aspek menarik mengenai etika berpakaian para peserta, khususnya kaum wanita. Pada zaman Faridah, Rogayah dan lain-lain qariah hanya memakai selendang sewaktu membaca. Hanya pada tahun 1978, qariah pertama bertudung datangnya dari Perak. Hal ini ada kaitannya dengan kebangkitan baru Islam pada tahun-tahun 1970-an.

Buku ini penuh maklumat dan memberikan perspektif yang jelas makna tilawah Al-Quran bagi umat Islam di negara ini. Ia perlu dibaca bagi memahami matlamat sebenar tilawah itu seperti yang dibayangkan oleh Almarhum Tunku – menjadikan negara ini progresif melalui pemahaman kitab suci Al-Quran yang sepatutnya menjadi teras kekuatan ummah.

Twitter: @Johan_Jaaffar Berita Harian Online Kolumnis 03/10/2013

Ibadah haji menyatukan umat manusia

"LABBAIKALLAHUMMA labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda, wa ni'mata, laka wal mulk, la syarikalak" (Kami datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah, kami datang menyahut panggilan-Mu. Kami datang memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu. Kami datang menyahut seruan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu).


Inilah seruan yang dikumandangkan oleh seluruh jemaah haji. Seruan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW yang pernah berpesan dalam haji wada' baginda kepada puluhan ribu para sahabat yang menyertai haji perpisahan itu dengan peringatan baginda, bermaksud :

“Hendaklah kamu mengambil dariku cara beribadah (haji) ini kerana aku tidak tahu apakah aku akan menunaikan haji lagi selepas ini."(riwayat Muslim).

Talbiyyah inilah yang menjadi ikrar bagi bagi umat Islam sejak saat itu hingga ke hari ini intinya adalah perjanjian untuk memenuhi panggilan Allah dan menjalankan perintahNya, tanpa menyimpang sedikitpun dari apa yang Allah telah tetapkan.

Menyorot lebih mendalam tentang lafaz talbiyyah ini, ia mempunyai kaitan yang rapat dengan pembinaan Kaabah oleh Nabi Allah Ibrahim selepas roboh disebabkan banjir dan sebagainya. Lebih 3,000 tahun yang lalu, Abul Anbiyak Ibrahim a.s diperintahkan oleh Allah SWT membangunkan Kaabah bagi tujuan menyatukan umat manusia di bawah kalimah tauhid. Firman Allah SWT memperjelaskan perkara ini dalan surah al Hajj ayat 26-27 , maksudnya:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang). Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

Demikian juga Allah menyatakan perkara ini dalam surah al Baqarah ayat ke 125 : “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud".

Sebaik sahaja selesai pembinaan rumah yang penuh kemuliaan ini Allah SWT memerintahkan nabi yang mulia ini untuk menyeru manusia melaksanakan haji ke situ. Baginda bertanya kepada Allah SWT : "Jika aku menyeru maka siapakah yang akan mendengarku wahai Tuhan ? Jawapan Allah SWT : " Bagimu memanggil mereka, tugas-Ku adalah menyampaikan kepada mereka Maka dengan itu Ibrahim menaiki bukit Qubais di bahagian Safa yang kini telah diruntuhkan lantas memanggil manusia melaksanakan ibadah haji ini. Terdapat sebahagian riwayat yang mengatakan bahawa baginda telah menaiki sebuah tempat khas yang kini diabadikan sebagai makam Ibrahim.

Maka seruan baginda telah disampaikan oleh Allah SWT kepada setiap manusia yang masih berada dalam bentuk roh dalam tulang-tulang sulbi bapa-bapa mereka. Malah setiap benda yang bersifat jamad pun turut menyahut panggilan Nabi Ibrahim sebagai talbiyyah yang para jemaah ucapkan pada hari ini hingga ke hari Kiamat. Demikianlah seperti yang diriwayatkan menerusi Ibn Abbas dalam banyak kitab tafsir.

Pada 9 Zulhijjah, semua bakal haji akan diwajibkan hadir ke padang Arafah untuk menjalani ibadah wukuf yang merupakan rukun ke dua selepas niat. Dalam perhimpunan rasmi yang menjadi rukun dasar kepada manasik haji ini, para muslimin diwajibkan memakai ihram iaitu dua helai kain lepas yang tidak berjahit. Mereka akan diperdengarkan dengan khutbah Arafah selepas zuhur.

Doa serta zikir merupakan ibadah yang amat digalakkan memandangkan kepada mustajabnya tempat ini untuk dipanjatkan hajat seperti yang nyata dijanjikan oleh baginda Rasul SAW dalam hadis yang sahih .

Kata Ibnul Qayyim dalam Zadil Ma'ad, bahawa baginda SAW berdoa semasa berada di Arafah, maksudnya : Ya Allah ! bagi-Mu segala puji seperti yang kami ucapkan.Ya Allah ! bagi-Mu solatku, ibadahku, hidupku dan matiku.Kepada-Mu lah tempat kembaliku dan untuk-Mu wahai Tuhanku peninggalanku. Ya Allah ! Aku memohon perlindungan dari-Mu dari azab kubur, kerisauan hati dan kehancuran urusan. Ya Allah ! Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang dibawa oleh angin. ( Riwayat Tirmizi )

Maha suci Allah SWT yang telah mensyariatkan pertemuan terbesar manusia ini tanpa wujud sebarang keistimewaan antara yang berkulit putih mahupun hitam, yang berpangkat dan yang rendah, yang bergelar pemimpin ataupun rakyat semuanya mengadap ke arah yang sama mengharap pahala dan keredaan dari-Nya.

Selain itu, roh kepada ibadah haji juga mengajar kita untuk menanggalkan semua ikatan bersifat jahiliah sama ada berupa ikatan kaum, keturunan, bangsa, negara dan lain-lain.

Dr. Zahazan Mohamed Utusan Malaysia Online Rencana 20131006