October 14th, 2013

Boleh ambil upah mengajar al-Quran

Menggunakan ayat al-Quran sebagai mata pencarian seperti dilakukan sesetengah pihak yang datang ke rumah tertentu lalu membaca ayat al-Quran di muka pintu dengan tujuan meminta sedekah atau duduk di kaki lima kedai sambil membaca ayat al-Quran dan menghulur tangan, sememangnya menimbulkan rasa kurang senang sebahagian kita.

Malah, tindakan itu turut menimbulkan tanda tanya apakah boleh menggunakan ayat al-Quran sebagai mata pencarian kerana sebagai umat Islam kita begitu menjaga kesucian kalam Allah SWT dan tidak mahu ia digunakan secara tidak sepatutnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bahawa sesungguhnya kamu boleh ambil hasil melalui upah mengajar kitab Allah itu.” Maksudnya, orang yang bersusah payah mengajar orang lain membaca al-Quran diharuskan mendapat sedikit upah sekadar diperlukan.


Perubatan guna ayat al-Quran

Namun, ada hadis menyebut: “Bacalah olehmu akan al-Quran dan janganlah kamu mencari makan dengannya”, bermaksud supaya tidak ada orang menjadikan al-Quran (membaca atau mengajarnya) semata-mata sebagai sumber pencariannya.

Kini perubatan menggunakan ayat al-Quran kian popular dalam kalangan masyarakat, begitu juga penjualan produk yang dikaitkan dengan al-Quran secara langsung. Semua itu juga menimbulkan banyak persoalannya.

Tidak dikira berdosa jika al-Quran diamalkan dan digunakan untuk membantu mereka yang berdepan masalah seperti menyediakan khidmat rawatan menggunakan ayat al-Quran kerana sememangnya al-Quran adalah penawar kepada pelbagai jenis penyakit.

Bahkan, membantu orang lain adalah perkara baik dan diberi ganjaran. Apatah lagi jika melalui cara menggunakan ayat al-Quran dapat mendekatkan umat Islam yang selama ini lalai untuk membaca al-Quran.

Rujukan: Furu’ Al-Masail Berita Harian Online Agama 14/10/2013

Pembebasan daripada penindasan

Umat Islam patut hayati roh di sebalik ibadah korban

Aidiladha mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia sedikit berbeza dengan Aidilfitri kerana sambutannya diraikan di seluruh dunia bersamaan waktunya dengan jemaah haji yang berkumpul di Tanah Suci melaksanakan ibadah haji, rukun Islam kelima.

Dalam konteks ini, hari kebesaran Islam tidak sepatutnya diraikan dengan hanya menekankan aspek ritual iaitu menyembelih haiwan korban, tetapi perlu menghayati nilai simbolik dan hakiki daripada disyariatkan Aidiladha.

Aidiladha yang juga dikenali dengan hari raya korban adalah bentuk kepasrahan secara menyeluruh manusia kepada Allah SWT terhadap segala larangan dan perintah-Nya. Perkataan korban yang bermakna mendekatkan diri kepada Allah SWT menuntut kita menghayati dan meneladani perjuangan kemanusiaan Nabi Ibrahim.


Pembebasan manusia

Secara simboliknya, ketaatan Nabi Ibrahim terhadap perintah Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail, tidak hanya diertikan sebagai kepasrahan kepada Allah semata-mata, tetapi mempunyai makna pembebasan manusia dan nilai kemanusiaan daripada penindasan atas manusia yang lemah.

Ketika Allah menggantikan Ismail dengan domba bagi disembelih, tersirat satu mesej bahawa manusia yang kuat tidak boleh bertindak semena-mena dan menginjak-injak terhadap manusia lain.

Peristiwa itu juga ingin menyatakan bahawa Tuhannya Ibrahim bukanlah Tuhan yang dahaga darah manusia, tetapi Tuhan menyelamatkan dan membebaskan manusia daripada tradisi yang tidak menghargai manusia.

Syeikh Mahmud Syaltut menyatakan, keistimewaan Aidiladha dilaksanakan serentak dua perkara iaitu ibadah yang berlainan pada tempat berbeza. Pertama, ia dilakukan khusus di rumah suci Tuhan dan di tempat suci pelaksanaan ibadah haji.

Jemaah haji adalah wakil seluruh dunia Islam yang tawaf di sekeliling Baitullah (Kaabah), berhenti wukuf di Mina dan mempersembahkan sembelihan haiwan (untuk fakir miskin) sebagai tanda syukur. Semua dalam suasana perkenalan, saling bermusyawarah, bantu-membantu, menghormati demi kebaikan dan kemajuan umat Islam seluruhnya.

Kedua, Muslim di seluruh dunia yang jauh mahupun yang dekat melakukan perkara sama, sejak dari pagi fajar menyingsing, hari Arafah sehingga hari keempat, mereka mengucapkan takbir (Allahu Akbar).


Kikis nafsu ego

Semangat inilah yang melahirkan rasa kebesaran nikmat Allah SWT dan tiada sesuatu kekuatan atau kebesaran di hadapan mereka yang dapat menghalang untuk mencapai kemuliaan dan kebesaran di dunia ini.

Mereka beramai-ramai menunaikan solat Aidiladha serta melakukan sembelihan haiwan untuk fakir miskin sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT dan memecahkan nafsu ego mereka untuk membantu sesama umat Islam dengan penuh keikhlasan.

Nabi SAW bersabda: “Tidak pernah syaitan dilihat begitu kecilnya, hina, muram dan dibenci pada hari-hari haji, dimulai dari hari Arafah.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Demikianlah sesiapa yang membesarkan hari-hari kehormatan Tuhan, maka adalah paling baik di sisi Tuhan.” (Surah al-Haj, ayat 30)

Pengorbanan dikaitkan dengan kesediaan menyimpan wang atau bekalan selama bertahun-tahun untuk mengerjakan haji. Jihad itu bukan saja membolehkan kita menunaikan haji, malah akan menghasilkan keuntungan berlipat ganda di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Nafkah mengerjakan ibadah haji adalah seperti nafkah pada sabilillah dengan mendapat pahala berlipat ganda hingga tujuh ratus.”' (Riwayat Ahmad)

Kesulitan dan masalah dihadapi sepanjang perjalanan juga satu pengorbanan apa lagi dengan peraturan bermacam-macam yang harus dilalui baik dari kerajaan Arab Saudi mahupun kerajaan kita sendiri.

Begitu juga suasana di Tanah Suci yang tidak biasa kita hadapi dengan sikap sesetengah manusia yang kasar menggunakan kekuatan badannya untuk berebut tempat bagi memperoleh keselesaan beribadah. Ini semua menuntut kesabaran dan pengorbanan yang setulusnya.

Pengorbanan lain seperti kerelaan Nabi Ismail mengikut perintah Allah SWT. Kedua-duanya, Ibrahim dan Ismail mematuhi perintah Allah ini (iaitu ayah menyembelih anaknya berdasarkan perintah Allah), semata-mata dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ila `llah). Dan ini adalah cermin ketakwaan.

Dapatkah kita memperkuatkan takwa dengan pengorbanan yang dilakukan? Dapatkah kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan ibadah haji? Tentunya kita tidak ingin sekadar mendapat yang zahir saja daripada ibadah itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Daging-daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaanlah yang dapat mencapainya.”' (Surah al-Haj, ayat 37)

Hayati roh ibadah

Sesungguhnya Islam tidak menginginkan pelaksanaan ibadah wajib dan sunah sekadar ritual atau formaliti. Roh dalam ibadah itu yang penting iaitu ikhlas dan takut kepada Allah yang menjadi syarat diterimanya ibadah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama yang lurus.”' (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Sesungguhnya Islam mensyariatkan ibadah itu dengan memberi hikmah dan kerahsiaan yang boleh membawa manfaat, kebaikan jiwa, kebersihan hati dengan kemuliaan akhlak.

Syeikh Mahmud Istanbuli menyatakan, “Ibadah haji adalah sumbangan Islam yang paling positif bagi melahirkan manusia ideal yang bersatu hati dan bersatu amal yang semuanya itu diidam-idamkan oleh ahli falsafah sejak dari zaman Plato atau al-Farabi sehinggalah kini.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Berita Harian Online Agama 14/10/2013

Ibadah korban kena ikhlas

Sunat lihat Ibadah korban kena ikhlas sendiri proses penyembelihan

Nabi Ibrahim bermimpi menyembelih anaknya Ismail, lalu Baginda menceritakan mimpi itu kepada anaknya dan Ismail dengan tenang memberitahu bapanya supaya dilaksanakan seperti dalam mimpinya itu.

Inilah peristiwa popular yang diulang cerita setiap kali menjelaskan mengenai ibadah korban yang menjadi sebahagian syariat Islam. Peristiwa yang disebutkan dalam al-Quran itu membuktikan keteguhan iman Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail yang taat kepada perintah Allah SWT.

Bersedia berkorban

Umat Islam juga ditegaskan supaya bersedia untuk berkorban apa saja demi membuktikan keimanan serta kecintaan kepada Allah SWT. Namun, sejauh mana kisah sejarah ini memberi pengaruh besar kepada umat Islam khususnya yang hidup pada akhir zaman ini, sukar untuk dijelaskan.

Ada yang mengambil bahagian dalam ibadat korban ini kerana ingin menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim membantu saudara seagama yang memerlukan, ada pula hanya mengikut kerana itulah acara wajib pada Aidiladha.

Perubahan gaya hidup serta kejadian berlaku di seluruh dunia turut mempengaruhi pengertian terhadap ibadah korban kerana majlis korban juga dianjurkan di luar negara khususnya di kawasan umat Islam hidup dalam keadaan daif.

Malah, teknologi dalam industri makanan juga digunakan untuk mengetin daging korban supaya lebih tahan lama serta dapat disedekahkan kepada umat Islam yang tinggal di kawasan konflik atau peperangan seperti Palestin dan Syria.

Apa juga sebabnya, hidup manusia tidak akan lepas daripada berdepan situasi di mana mereka perlu melakukan pengorbanan. Justeru, berkorban atau pengorbanan itu memberi maksud yang berbeza.

Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno, berkata penghayatan ibadah korban bergantung kepada niat seseorang melakukan ibadat itu kerana perasaan ikhlas tidak dapat dilihat atau digambarkan oleh ekspresi.


Niat ikhlas

Katanya, niat ikhlas mengeluarkan duit untuk membeli binatang ternakan yang akan dikorbankan dan disedekahkan kepada golongan kurang bernasib baik sudah dikira sebagai pengorbanan. Jika ibadat itu dilakukan ikhlas kerana Allah SWT, dikira sebagai ibadat.

“Penghayatan atau perasaan melakukan ibadat korban memang sukar untuk dihuraikan, tetapi selalunya pihak yang mengambil bahagian dalam ibadat korban tujuannya bagi mendekatkan diri (taqarub) kepada Allah SWT.

“Sebab itu dulu mereka yang berkorban akan menyembelih sendiri binatang itu. Malah, disunatkan pihak yang berkorban melihat proses penyembelihan supaya dapat menghayati pengertian serta pengajaran daripadanya,” katanya.


Perintah laksana ibadah korban

Beliau berkata, walaupun tiada rekod mengenai pensyariatan ibadah korban yang dilaksanakan pada Zulhijjah dan dikaitkan dengan ibadah haji, perintah berkorban sudah ada sejak zaman Nabi Adam membabitkan ibadah korban anak Nabi Adam, Habil dan Qabil.

Asas ibadat itu kemudian diperkuatkan oleh kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang disebut dalam al-Quran, syariat itu kemudian dilaksanakan Nabi Muhammad SAW yang kemudian diamalkan serta diteruskan hingga hari ini.

Ibadah dilakukan nabi adalah daripada Allah SWT dan umat Islam yang mengakui beriman kepada Allah SWT serta rasulNya sudah pasti akan berusaha untuk mengikut perbuatan baik yang dijanjikan ganjaran baik.

Azhar berkata, ibadah korban juga cara hamba bertaqarrub iaitu mendekatkan diri dengan Allah SWT selaras hikmah dan fadilat korban antara lain mendidik jiwa ke arah takwa, mengikis sifat tamak dan mewujudkan sifat murah hati mahu berbelanja harta ke jalan Allah SWT.

Hasliza Hassan| hasliza_hassan@bh.com.my Berita Harian Online Agama 14/10/2013

Aidiladha, memahami erti pengorbanan hakiki

INSYA ALLAH pada hari Selasa akan datang, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut salah satu hari yang paling besar keberkatannya.

Nak tahu apa hari itu? Sudah semestinya Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut meriah pada 10 Zulhijjah 1434 bersamaan dengan 15 Oktober 2013 akan datang.

Setelah setahun meninggalkan kita, maka tirai hari raya korban akhirnya muncul semula.

Pada hari yang mulia itu, umat Islam di seluruh dunia mengucapkan takbir memuji kebesaran-Nya, di samping mensyukuri segala nikmat dan kesempatan yang diberikan untuk turut sama menyambut Aidiladha.

Dari kisah Habil dan Qabil yang merupakan manusia pertama melakukan penyembelihan atau pengorbanan binatang dan begitu juga pengorbanan manusia di muka bumi ini sehingga kisah Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as melakukan pengorbanan diteladani setiap umat Islam demi menghayati 'ruh pengorbanan' yang ada pada hari tersebut.

Generasi-Y hari ini perlu bersedia fizikal dan mental untuk melakukan pengorbanan dari segi jiwa dan rohani dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Tambahan pula, ketika usia menginjak ke alam dewasa, pelbagai tuntutan tanggungjawab perlu digalas golongan ini sebagai seorang pelajar, pekerja, anak, suami atau isteri mahupun bapa atau ibu bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Namun begitu, jangan kita lupa dengan tanggungjawab utama sebagai hamba-Nya untuk mengajak manusia melakukan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Semoga Aidiladha tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya. Marilah kita melangkah ke masjid bersama-sama bertasbih, bertahmid dan bertakbir untuk meraikan hari kemenangan ini. - SYAHRIL



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131012

1.75 juta orang dari 189 negara tunaikan ibadah haji

MASUK sahaja bulan Zulhijjah, umat Islam yang berkemampuan pastinya tidak melepaskan peluang berkunjung ke Mekah Al-Mukarramah.

Di kota inilah terdirinya pusat ibadah umat Islam sedunia iaitu Kaabah yang berada di dalam Masjidil Haram.

Dalam ibadah haji, Mekah menjadi tempat pembuka dan penutup ibadah ini ketika jemaah diwajibkan melaksanakan niat dan tawaf haji.

Haji merupakan Rukun Islam yang kelima setelah syahadat, solat, zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Menunaikan ibadah haji adalah ibadah tahunan yang dilaksanakan umat Islam dari seluruh dunia bagi yang mampu dari segi material dan keilmuan.

Ibadah haji dimulai pada tanggal 8 Zulhijjah ketika umat Islam bermalam di Mina, wukuf di Padang Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah dan berakhir setelah melempar jamrah (melempar batu sebanyak tujuh kali ke tiang sebagai simbolik mengusir syaitan).

Selain itu, sebelum pulang ke negara masing-masing, jemaah melaksanakan tawaf Wada’ (tawaf perpisahan) sebelum meninggalkan Tanah Haram.

Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Muhammad Nayef, selaku Ketua Komiti Haji Arab Saudi mengatakan pada musim haji tahun ini dianggarkan sebanyak 1,752,932 jemaah haji dari 189 negara di seluruh dunia masuk ke Arab Saudi.

“Jumlah jemaah haji tahun ini mengalami penurunan sekitar empat peratus atau 77,968 orang berbanding tahun lalu," jelasnya.

Sementara itu, Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal berkata, pihaknya telah mengerahkan 82,000 petugas keamanan untuk menjamin kelancaran pelaksanaan ibadah haji.

Kerajaan Arab Saudi terpaksa mengurangkan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, berikutan kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang sedang rancak dilakukan di kota suci tersebut.

Kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang bermula pada November 2012, dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun dengan matlamat memastikan lebih ramai umat Islam dapat mengerjakan ibadat haji dalam keadaan selesa.

Kerajaan Arab Saudi juga mengambil berat tentang usaha mempermudahkan operasi haji dan atas faktor itu, pembangunan semula kota Mekah terutama pembesaran Masjidil Haram dilakukan.

Kata Putera Khaled, sebelum ini kawasan laluan ibadah Saie telah dibesarkan sehingga boleh menampung ramai jemaah dan kini kerajaan Arab Saudi sedang menaik taraf tempat ibadat tawaf supaya lebih ramai jemaah dapat melakukan tawaf dalam satu-satu masa, selain pembesaran masjid untuk menampung lebih ramai jemaah memandangkan jumlah orang Islam di seluruh dunia semakin bertambah.

“Sebelum projek pembangunan ini, kira-kira 48,000 jemaah boleh melakukan tawaf dalam tempoh sejam, tetapi berikutan kerja menaik taraf, hanya 22,000 jemaah dapat melakukannya.

“Ini hanya untuk sementara. Selepas pembesaran, sebanyak 130,000 jemaah boleh bertawaf dalam tempoh sejam," katanya.

Selain itu, projek menaik taraf itu juga akan melibatkan kerja merobohkan sebahagian masjid untuk diperbesarkan.

“Demi keselamatan jemaah, kami terpaksa potong kuota haji negara luar sebanyak 20 peratus manakala jemaah dalam negara, 50 peratus.

“Apabila siap kelak, kita akan kembali kepada jumlah asal," katanya sambil menambah ini merupakan peringkat pertama daripada keseluruhan tiga peringkat projek menaik taraf.

Mengulas lanjut, proses merobohkan sebahagian masjid dan membesarkan masjid bertujuan menambah ruang solat, selain membolehkan Kaabah jelas dilihat dari jauh.

“Kerajaan Arab Saudi akan mengeluarkan filem (dokumentari) bagaimana pembesaran Masjidil Haram dibuat. Saya berharap ia dapat ditayangkan kepada umum di seluruh dunia," ujarnya.

Putera Khaled juga berkata, buat masa ini, pengurangan kuota jemaah haji hanya berlaku pada tahun ini dan belum ada kata putus untuk tahun-tahun akan datang.

Selain pembangunan di dalam kota Mekah, kerajaan Arab Saudi juga akan menyiapkan projek kereta api laju dari Madinah ke Kota Mekah untuk memudahkan perjalanan jemaah haji berikutan perjalanan melalui jalan darat kini memakan masa kira-kira lima jam dengan jarak hampir 500 kilometer.

“Ikut perancangan, kereta api laju ini akan siap pada 2015. Ia akan memendekkan masa perjalanan jemaah haji dan umrah," jelasnya.

Dalam soal pengangkutan musim haji kali ini, beliau berkata, kerajaan Arab Saudi melantik tiga syarikat bas tambahan bagi meningkatkan bilangan bas untuk kegunaan jemaah haji. - SYAHRIL



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131012

Menghayati semangat ibadah haji

DI padang yang gersang ini mereka berusaha untuk menghayati wasiat baginda SAW ketika khutbah Hajjatil Wada’ disampaikan lebih 1,400 tahun yang lalu, bermaksud : “Tiada perbezaan antara Arab dan ‘Ajam melainkan dengan taqwa.

Seterusnya apabila berlalu wuquf dan masuk ke maghrib para jemaah akan bergerak ke Muzdalifah untuk mengingati-Nya dan mengutip batu-batu untuk tujuan melontar di Jamrat. Firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat ke 198 yang bermaksud: "Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy‘ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya."

Kemudian para jemaah akan melaksanakan kewajipan melontar di tiga Jamrah bagi menghayati semangat ketaatan tanpa berbelah bahagi yang dipamerkan oleh Nabi Allah Ibrahim ketika diperintahkan oleh Tuhannya untuk menyembelih puteranya Ismail.

Peristiwa ini dirakamkan dalam surah al Saffat menerusi firman-Nya dalam ayat ke 102 yang bermaksud : “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

Beginilah kehidupan seorang kekasih Allah SWT sentiasa dipenuhi dengan ujian yang maha pengasih. Lantaran keyakinan yang tidak pernah surut, Ibrahim sentiasa tabah berkorban. Bagi seorang manusia yang maksum seperti baginda amat meyakini janji Allah SWT seperti yang dinyatakannya pada penghujung surah al Ankabut , bermaksud : “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan)."

Seterusnya antara yang menyempurnakan siri rukun ibadah haji umat Islam di tanah suci akan melaksanakan tawaf sebagai salah satu rukun yang seterusnya dan ibadah sa‘ei. Sa‘ei antara Safa dan Marwah turut mengingatkan pengorbanan isteri Nabi Ibrahim iaitu Hajar.

Ibu yang sangat tabah ini hanya bertemankan bayinya yang masih kecil telah bersifat reda atas ketetapan Allah SWT yang memerintahkan Ibrahim meninggalkannya di lembah kering tanpa penghuni itu.

Setiap yang melaksanakan ibadah umrah ataupun haji disunatkan untuk mengucapkan ayat ke 158 dari surah al Baqarah tentang sejarah yang tersirat di sebalik ibadah sa‘ei. “Ayat itu bermaksud, Sesungguhnya “Safa" dan “Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui."

Akhir sekali para Jemaah haji akan melakukan tahallul iaitu bergunting ataupun bercukur bagi yang lelaki sebagai penutup kepada sekalian rukun dalam ibadah ini. Tahallul juga bermaksud keluarnya dari ihram haji yang menyebabkan perkara-perkara yang selama ini dilarang kini telah menjadi harus kembali.

Semua pantang larang dalam ihram kini telah pun terangkat. Moga dengan ibadah yang melibatkan tenaga dan wang yang bukannya sedikit ini melayakkan seseorang itu kembali dengan haji yang mabrur.

Nabi SAW memberitahu kita dalam salah satu sabda baginda tentang haji yang sempurna ini maksudnya : " Haji yang mabrur itu, tiada balasan baginya melainkan syurga" ( Riwayat Ahmad dan Ibn Khuzaimah)

Mudah-mudahan setiap muslim yang kembali dari tanah suci telah pun menghayati semangat haji meliputi kesamarataannya di sisi Yang Maha Penyayang, sokongannya dan toleransinya yang dibina menerusi hubungan tauhid kepada sesama muslim, pengorbanannya kepada agama Allah SWT

Agar dia dapat beristiqamah dengan aneka kesalihan yang diperbuatnya sepanjang latihan ini berjalan selama sebulan ataupun lebih di bumi yang pernah dihadiri oleh ribuan para Nabi dan salafussoleh.



Dr. Zahazan Mohamed adalah Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Rencana 20131013

Keresahan bakal jemaah menghadapi isu kekangan kuota haji

KETIKA ini kira-kira 2 juta umat Islam yang terpilih dari seluruh dunia berada di Arafah untuk wukuf, sebagai tanda bermulanya musim haji tahun ini. Angka tidak rasmi sebelum ini menunjukkan 1.4 juta umat Islam sudah memasuki kota Mekah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Difahamkan jumlah ini akan mencecah 2 juta orang tetapi tidak menyamai 3.2 juta orang pada tahun lalu. Jumlah itu merosot disebabkan pengurangan kuota yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi berikutan kerja-kerja ubah suai dan menaik taraf kemudahan infrastruktur sekitar Masjidilharam. Bagi rakyat tempatan di Malaysia, mereka amat terasa kesan pengurangan kuota itu. Maka mereka yang sedang berada di tanah suci ketika ini memang bertuah dan merupakan insan-insan yang terpilih.

Sehingga saat-saat akhir sebelum ‘pintu Mekah ditutup’ kepada jemaah haji, masih ramai yang menaruh harapan untuk mendapat undangan menjadi tetamu Allah. Ketidaktentuan ‘penerbangan’ meresahkan mereka yang dikhabarkan mendapat tempat. Bagaimanapun masalah kuota tetap menjadi halangan. Isu kos atau tambang bukan lagi perkara utama yang dihadapi masyarakat Islam khususnya di negara ini. Jika dulu, masyarakat kita terutama di luar bandar ada yang terpaksa ‘bergolok bergadai’ untuk mengumpul wang tetapi hari ini masalah itu tidak timbul lagi. Modal utama yang diperlukan hari ini ialah ‘jemputan rasmi dari Tabung Haji’. Mungkin jika TH menawarkan kepada mereka yang mempunyai wang yang cukup dengan kos sebenar tanpa subsidi (RM15,555), akan ada ramai yang bersedia memenuhi undangan itu asalkan mereka menjadi tetamu Allah.

Peluang untuk menunaikan haji juga semakin mudah apabila pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut diberi peluang mendaftar. Pencarum tidak perlu lagi menunggu simpanan melalui TH untuk kelayakan mendaftar. Namun perjalanan sebenar ke Mekah masih jauh. Seperti yang disebut tadi, bukan modal menjadi penghalang tetapi kuota. Setiap tahun Malaysia merayu untuk menambah kuota yang ditetapkan iaitu seramai 28,000 orang. Malaysia mengharapkan tambahan sebanyak 10,000 lagi setiap tahun walaupun kuota yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara.

Tahun ini jumlah kuota hanya 22,320 orang, berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding pada tahun sebelumnya. Tahun lalu, Selak pernah menyelak isu berkaitan peluang penyimpan di TH menunaikan haji ini. Ketika itu seorang sahabat memberitahu, sejak remaja, beliau memang berhasrat untuk menunaikan haji. Apabila membuka akaun kira-kira 30 tahun lalu, niat mahu menunaikan haji itu sudah ada. Ketika itu tidak terlintas soal dividen atau bonus hasil simpanannya. Setiap bulan, beliau tidak pernah lupa menambah simpanan termasuk melalui potongan gaji. Malangnya beliau tidak mendaftar kerana menyangkakan TH akan menjemputnya apabila simpanannya mencukupi (RM10,000). Ternyata beliau silap. Akhirnya beliau mendaftar dan giliran yang sedang menantinya ialah pada tahun 2045, ketika usianya mencecah 84 tahun. Mengikut rekod TH, ketika ini ada yang perlu menunggu sehingga 49 tahun untuk menunaikan haji.

Berlinang air matanya membayangkan jika diizinkan Allah, apakah ketika itu beliau benar-benar ‘berkemampuan’ ? Adakah ketika itu beliau masih kuat untuk melakukan tawaf di Baitullah serta sai antara Safa ke Marwah? Adakah kesihatannya benar-benar mengizinkan? Atau adakah ketika itu, beliau sudah menghadap Ilahi? Akhirnya beliau pasrah kerana mungkin inilah yang dikatakan ‘jika belum sampai seru!...’ Bukan seru kerana tidak terniat untuk menunaikan haji tetapi seru sesudah namanya dimasukkan dalam kuota.

Dalam hal ini, apakah harapan yang dapat diberikan kepada mereka yang sudah lama menyimpan sedikit demi sedikit tetapi tidak mendaftar? Jumlah mereka yang mendaftar haji pula kini mencecah kepada sejuta orang. Melihat kepada angka ini, TH perlu melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah kuota yang akan terus berkurangan pada tahun depan.

Pengerusi TH, Abdul Azeez Rahim baru-baru ini mencadangkan mahu mengurangkan jumlah kakitangannya untuk dihantar ke Mekah pada musim haji bagi menambah bilangan kuota jemaah. TH akan melantik rakyat Malaysia yang bermastautin di Mekah bagi menggantikan kakitangan yang dihantar. Jika ini dapat dilakukan, TH dapat menambah 600 jemaah lagi. Tidak pasti sama ada langkah ini sebagai salah satu jalan keluar terbaik. Apa yang penting, biar apa juga langkah yang diambil, kita tidak mahu melihat perkhidmatan kepada jemaah di sana terjejas.

Pada masa yang sama TH boleh melihat semula formula dalam memilih jemaah. Kaji dan semak semula sistem siapa daftar dulu akan pergi lebih awal. Berikan pertimbangan istimewa kepada pendeposit yang setia menyimpan sedikit demi sedikit sehingga wangnya mencukupi ketika telah menjangkau usia warga emas. Berilah keutamaan kepada golongan seperti ini yang sebenarnya masih mempunyai tahap kesihatan yang boleh dianggap baik. Bukanlah bertujuan menghalang mereka yang masih muda untuk ke sana tetapi sebagai tanda menghargai kesetiaan mereka (pendeposit) menyimpan dengan TH.

Mungkin bagi yang sudah memasuki usia tua, peluang untuk ke tanah suci amat diharapkan. Eloklah diselak semula hadis daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa hidup sebelum tiba masa mati,’’ (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Tidak dinafikan ada dalam kalangan jemaah yang sudah ke sana berulang kali untuk menunaikan haji. Entah di mana silapnya. Mungkin inilah yang dikatakan apabila tiba seru, tidak kira usia, tidak kira kekerapannya. Jika belum sampai seru, andai anda ada wang berjuta, harta bertimbun, hasrat itu tidak terlaksana. Ada sahaja halangan atau rintangan. Salah satu daripadanya tentulah kuota di samping masalah kesihatan, pengangkutan serta halangan perjalanan disebabkan suasana yang tidak aman, umpamanya peperangan.

Sama-samalah kita berdoa agar tahun depan lebih ramai dapat menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Kepada mereka yang berada di negara ini, bersama-samalah kita melakukan ibadah korban mulai esok 10 Zulhijah dan hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah. Semoga ibadah korban ini mendapat ganjaran yang dijanjikan. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam.



Hassan Mohd. Noor Utusan Malaysia Online Rencana 20131014

Teladani madrasah pengembaraan rohani

HARI ini (9 Zulhijjah) semua umat Islam yang mengerjakan ibadah haji berkumpul di Arafah untuk berwukuf sebelum mabit di Muzdalifah dan bersedia untuk melontar.

Beruntunglah kepada mereka yang berpeluang menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Bahkan ibadah haji ini merupakan antara amalan yang paling utama dalam Islam sebagaimana hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim: Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah ditanya, amalan manakah yang lebih utama? Baginda menjawab: Beriman kepada Allah dan juga kepada Rasul-Nya. Kemudian baginda ditanya lagi. Selepas itu apa lagi? Baginda berkata, berjihad dijalan yang diredai Allah. Kemudian apa lagi? Baginda menjawab, mengerjakan ibadat haji yang diterima oleh Allah (haji mabrur).

Haji yang mabrur yakni haji yang mendapat kebaikan daripada Allah mendorong menjadikan manusia seperti dilahirkan semula hanya untuk membuat kebaikan. Bahkan mencipta kerinduan yang mendalam kepada Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam. Maka yang demikian itulah membezakan antara pangkat haji di pangkal nama dengan sahsiah diri yang terbina daripada ibadah khusus ini.

Benarlah panggilan ke Tanah Suci merupakan jemputan Allah semata-mata. Namun sebagai hamba-Nya kita perlu berusaha menzahirkan keinginan untuk meraih jemputan ini di sebalik segala halangan dan kesukaran.

Halangan tidak hanya wujud dalam bentuk konflik diri sendiri, akan tetapi boleh wujud dalam bentuk kekangan zahir seperti bilangan jemaah haji yang dibenarkan setiap tahun yang jauh daripada kemampuan kita untuk mengatasinya.

Ibadah haji adalah pengajaran kepada semua umat Islam merentasi umur, kemampuan mahupun peluang. Oleh yang demikian, bagi yang belum berpeluang untuk mengerjakan ibadah haji sebenarnya boleh mengambil iktibar akan pengembaraan rohani ini dengan melihat konteks ibadah haji dengan lebih meluas.

Pertama, ibadah haji mengikat manusia kepada fitrah yakni asal kejadian sebagai makhluk berakal yang berpegang kepada agama. Hal ini diterjemahkan dengan terbitnya rasa dan keinginan untuk menunaikan ibadah haji sekalipun tidak mengetahui sama ada berpeluang menunaikannya.

Niat ini hadir setelah kita reda bahawa Islam sebagai cara hidup, Islam sebagai matlamat hidup dan bersedia melafazkan ikrar taat setia kepada Tuhan melalui ibadah yang khusus.

Keinginan kepada kebaikan boleh tercetus kepada sesiapa walaupun kanak-kanak. Di sinilah peranan ibu bapa sebagai madrasah pertama untuk memberi kefahaman kepada anak-anak kecil tentang keindahan ibadah haji agar mereka dapat mempersiapkan diri seumur hidup untuk mencapai matlamat tersebut.

Dalam perspektif yang berbeza, niat juga boleh diterjemah sebagai pengikat iman dan takwa kepada Allah. Iman manusia boleh meningkat dan menurun disebabkan oleh pengaruh sekeliling. Bahkan sebagai manusia yang hidup pada akhir zaman, iman kita tidak mungkin sekuat Nabi Ibrahim, setabah Siti Hajar mahupun seteguh Nabi Ismail. Iman kita ibarat pasir di pantai, andai dibiar ditarik ke laut, andai dilupa terdampar di pantai.

Iman manusia yang lemah boleh membawa kepada kemaksiatan dan kemurkaan Allah. Begitu juga ilmu yang lemah dan tidak benar boleh mengakibatkan nafsu untuk merajai jiwa manusia. Begitulah juga ibadah haji yang bukan semata-mata melaksanakan rukun namun membawa manusia menyusuri satu perjalanan mencari keagungan Tuhan melalui ilmu yang benar dan keimanan yang tinggi.

Kedua, melalui niat yang dizahirkan untuk menunaikan haji, manusia belajar bagaimana untuk mengetepi keinginan material yang sedia ada. Dalam konteks semasa, perjalanan ke Tanah Suci memerlukan manusia berkemampuan bukan dari segi fizikal dan rohani bahkan turut meliputi kemampuan material.

Rangkuman material yang diperlukan juga bukan semata-mata ke atas perbelanjaan diri akan tetapi turut mengambil kira waris dan komitmen lain sepanjang ketidakberadaan diri bersama keluarga. Justeru dedikasi untuk menyimpan sebahagian wang secara konsisten amat penting bagi memenuhi hasrat ini seterusnya memujuk diri menolak kemahuan material lain yang boleh diperolehi andainya wang tersebut dibelanjakan.

Ketiga, pengembaraan rohani ini membawa makna pengorbanan yang tinggi kepada manusia. Pengorbanan bukan semata-mata haiwan yang disembelih bermula pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik. Akan tetapi pengorbanan yang membawa kepada perubahan diri manusia.

Hal demikian termasuklah pengorbanan untuk berusaha memelihara diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar, pengorbanan untuk menghargai insan yang menyumbang dalam kehidupan kita dan yang paling utama pengorbanan untuk memaafkan orang lain, juga memaafkan diri sendiri.

Ibadah haji mengajar manusia untuk bergantung kepada Allah, menyerahkan segala-gala kepada-Nya dan bersedia menerima apa jua yang telah ditentukan.

Sekalipun kita belum berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci hakikatnya kita tidak pernah terlepas untuk mengikuti madrasah pengembaraan rohani ini andainya bersedia untuk kita mengambil iktibar daripadanya.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat, Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Pandangan IKIM Utusan Malaysia Online Rencana 20131014