October 23rd, 2013

Dua bencana ada pada lidah

Bidalan Melayu menyebut ‘lidah tidak bertulang’ bermaksud bebas bercakap jika tidak dikawal. Sebab itu lidah boleh membawa seseorang berada dalam keadaan bahaya dan sebaliknya.

Jika kita mempergunakan lidah untuk membaca al-Quran, berzikir, berdoa kepada Allah, amar makruf dan nahi mungkar, atau melakukan ketaatan kepada Allah, ia adalah bentuk kesyukuran terhadap nikmat pancaindera dikurniakan Allah SWT.

Lidah sebagai alat berbicara umpama senjata bermata dua. Lidah dapat digunakan dalam ketaatan kepada Allah SWT dan juga ketaatan kepada syaitan. Disebabkan kata-kata, seseorang jadi mulia di sisi Allah, tetapi disebabkan kata-kata juga boleh mendapat celaka.


Umumnya, terdapat dua bencana yang ada pada lidah iaitu menyebabkan kerosakan daripada berbicara batil dan mendiamkan diri daripada menyatakan kebenaran sedangkan ia perlu diucapkan demi kepentingan semua.

Orang yang berbicara dengan kebatilan, dia adalah syaitan yang melakukan maksiat kepada Allah SWT. Orang yang diam daripada kebenaran pula adalah syaitan yang bisu dan dia juga bermaksiat kepada Allah SWT.

Orang yang beruntung adalah yang menahan lidahnya daripada kebatilan dan menggunakannya untuk perkara bermanfaat.

Sukar kawal lidah

Anehnya, seseorang itu mudah menjaga diri daripada makanan yang haram, berbuat zalim kepada orang lain, berzina, mencuri, minum arak, melihat wanita tidak halal dilihat, tetapi sukar untuk mengawal lidah daripada membicarakan perkara sia-sia.

Terkadang kita lihat seseorang yang dikenali kerana agamanya, zuhudnya dan ibadahnya, namun masih mengucapkan kalimat yang menyebabkan kemurkaan Allah. Dia tidak memerhatikan perkataan yang keluar daripada mulutnya.

Satu kalimat saja boleh menyebabkan seseorang tersungkur dalam neraka selama 70 tahun seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ada seseorang yang berbicara dengan satu kalimat, dan dia tidak menganggapnya berbahaya, Dengan sebab satu kalimat itu dia terjerumus selama 70 tahun di dalam neraka.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Banyak sekali orang yang menjaga diri daripada perbuatan keji dan maksiat, namun dengan lidahnya mencabul kehormatan orang yang masih hidup atau sudah meninggal.

Rasulullah SAW khuatir terhadap umatnya. Sufyan bin Abdulloh Ats-Tsaqofi berkata: “Aku berkata, wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya! Baginda SAW bersabda: Katakanlah, Rabbku adalah Allah, lalu istiqamahlah. Aku berkata: Wahai Rasulullah, apakah yang paling anda khawatirkan atasku? Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: Ini.” (Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Menyedari hakikat ini, maka awasilah pertuturan dan percakapan kita pada setiap masa dan waktu. Jagalah lidah dan berkata yang baik saja. Kita akan dapat mengalahkan syaitan serta menjadi manusia yang senang di dunia dan bahagia di akhirat.


Berita Harian Online Agama 23/10/2013

Keagungan ayat Kursi

ALLAH, tidak ada Tuhan lain yang patut disembah melainkan Allah. Dia iaitu tuhan yang hidup dan berdiri sendiri. Dia tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur, bagi-Nya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Tidak ada yang sanggup/berupaya memberi syafaat (pertolongan) melainkan dengan izin-Nya jua. Dia mengetahui semua yang telah berlaku dan yang akan berlaku. Tidak ada (makhluk) yang dapat (mempunyai) pengetahuan-Nya kecuali dengan kehendak-Nya. Kursi pemerinthan-Nya meliputi seluruh langit dan bumi. Tidak ada kesulitan bagi-Nya untuk memelihara keduanya (langit dan bumi) dan dia Maha Tinggi lagi Maha Adil.

Demikian bunyi makna ayat Kursi yang merupakan ayat ke-255 daripada 286 ayat dalam surah al-Baqarah, surah kedua selepas surah al-Fatihah dalam susunan surah-surah al-Quran yang mengandungi 114 surat, 30 juzuk 6,236 ayat dengan 4,780 ayat bagi surah-surah Makkiyyah dan 1,456 lagi ayat dalam surah-surah Madaniyyah serta sekitar 1.2 juta huruf al-Quran.

Surah al-Baqarah termasuk dalam bilangan surah-surah Madaniyyah, iaitu surah-surah yang diturunkan di Madinah.

Ayat Kursi mempunyai keagungannya sehingga jika dibaca untuk melawan syaitan dan iblis, nescaya makhluk yang dilaknati oleh Allah SWT itu kerana keangkuhan, kesombongan dan sifat riaknya itu akan terbakar, menjadikan ayat Kursi sangat ditakuti oleh syaitan dan iblis, malah ketika ia diwahyukan kepada Rasulullah SAW seluruh syaitan dan iblis menjadi resah gelisah kerananya.

Ada riwayat mengatakan bahawa ketika membawa wahyu ayat Kursi kepada Rasulullah SAW, malaikat Jibril as. diiringi oleh 40,000 malaikat, manakala ada riwayat lain pula mengatakan Jibril diiringi oleh 80,000 malaikat. Dengan diiringi oleh sedemikian ramai malaikat, maka sudah tentulah ayat Kursi bukan sebarangan ayat, pastinya ada keistimewaan dan kehebatan di sebaliknya.

Sebaik sahaja menerima wahyu ayat Kursi, Rasulullah SAW segera memanggil Zaid bin Thabit untuk menuliskannya.

Pada saat ayat Kursi diwahyukan kepada baginda junjungan besar Nabi Muhammad SAW, syaitan dan iblis menjadi kelam-kabut dan keluh-kesah, malah tidak keruan tanpa diketahui punca yang menyebabkan kejadian begitu.

Lantas ketuanya memerintahkan kepada sekalian syaitan dan iblis menjelajah ke setiap pelosok langit dan bumi bagi mencari punca dan sebab yang menjadikan mereka dilanda kegelisahan dan kepanasan.

Dalam penjelajahan dan penyiasatan yang dibuat, syaitan dan iblis mendapati punca kegelisahan mereka adalah disebabkan daripada bahang panas ekoran turunnya ayat Kursi di Madinah, ayat yang jika umat Islam yang mantap iman dan takwa menjadikannya sebagai senjata melawan syaitan dan iblis, pasti syaitan dan iblis akan tumpas, malah akan terbakar.

Demikianlah betapa agung dan hebatnya ayat Kursi yang patut dijadikan ayat yang semestinya dibaca dalam semua keadaan, kecuali ketika berada di tempat-tempat yang tidak suci.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa membaca ayat Kursi selepas tiap-tiap sembahyang fardu, nescaya Allah mengurniakan mereka hati orang-orang yang bersyukur, amalan orang siddiqin, pahala para nabi dan menghampirkan ke atasnya rahmat dengan limpah kurnia Allah yang mana tiadalah yang menegahnya daripada memasuki syurga selepas mati."

Baginda juga bersabda yang bermaksud: "Tiadalah yang menetap atas amalan membaca ayat Kursi selepas tiap-tiap sembahyang fardu itu melainkan orang-orang siddiqin atau ahli-ahli ibadah" (daripada Ali bin Abi Talib)

Sesungguhnya ada hadis baginda Rasulullah SAW yang menyebutkan bahawa ayat Kursi adalah penghulu kepada ayat-ayat al-Quran. Justeru kenapa kita tidak mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan keagungan dan kehebatan ayat Kursi itu.



RAMLI ABDUL HALIM PENULIS ialah murid tua Madrasah Al-Balaghulmubin Rong Chenak, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131022

Pengkarya berkarakter tersendiri

ABU Abdillah, Iz Ad-Din, Muhammad bin Ibrahim bin Ali bin Al-Murtadha bin Al-Mansur terkenal dengan nama Ibnu Al-Wazir (775-840 Hijrah/1373 - 1436 Masihi) berasal daripada keluarga Al-Wazir - keluarga intelektual yang paling terkenal di Yaman.

Nasabnya bersambung kepada Imam Al-Hadi ila al-Haq Yahya bin Hasan (245-298 Hijrah/859 - 911 Masihi), pendiri negara Zaidiyah di Yemen.

Beliau dilahirkan di kota Hijrat Adh-Dhahran Yemen pada bulan Rejab tahun 775 Hijrah, bersamaan bulan Disember 1373 Masihi.

Dia membesar dalam lingkungan ilmu ketika Yemen menonjol dengan banyaknya ulama dan tokoh.

Bapanya, Sarim Ad-Din, Ibrahim bin Ali (782 Hijrah/1280 Masihi) adalah seorang pembesar ulama mazhab Zaidiyah.

Begitu juga saudara lelakinya yang bertanggungjawab atas pengajarannya, al-Hadi bin Ibrahim (882 Hijrah/1477 Masihi).

Para ulama yang semasa dengannya antara lain Al-Hadi bin Yahya, An-Nasir bin Ahmad bin Al-Mutahhar, Nafis Ad-Din bin Sulaiman al-Alawi, As-Sayyid Al-Wazir bin Al-Murtadha dan Muhammad bin Ali.

Beliau juga sezaman dengan pemuka ulama Yemen dan ahli fiqh, Imam Ahmad bin Yahya bin Al-Murtadha (763-840 Hijrah/1362-1437 Masihi).

Pada masa mencari ilmu dan pembentukan pemikirannya, Ibnu al-Wazir berkesempatan mempertajam arah pandangan, mazhab dan orientasi pemikirannya dengan belajar daripada banyak tokoh ulama dengan aliran mazhab yang berbeza.

Beliau tidak hanya belajar kepada ulama mazhab Zaidiyah dan Yemen sahaja, tetapi juga belajar di Mekah kepada Qadi Al-Qudat Mazhab Syafi'i, Muhammad bin Abdullah bin Abi Dhahirah, Muhammad bin Ahmad, Ath-Thabari, Syaikh Abul Yaman, Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim asy-Syafie, Syaikh Ibnu Mas'ud Al-Ansari Al-Maliki dan lain-lain.

Dari mereka Ibnu al-Wazir mempelajari bahasa Arab, fiqih, hadis, ilmu kalam, dan ilmu-ilmu lainnya.

Sejak awal kehidupan ilmiahnya, beliau lebih menonjol pada kemerdekaan berfikir dan bebas daripada beriltizam dengan satu mazhab tertentu.

Beliau cenderung pada ijtihad dan pembaharuan serta menolak kejumudan dan taklid.

Ketika ustaznya, Muhammad bin Abdullah bin Abi Dhahirah, Qadi Al-Qudat Mazhab Syafie di Mekah mengusulkan padanya untuk bertaklid pada mazhab Imam Syafie (150-204 Hijrah/767-820 Masihi), beliau berkata: "Jika boleh bagiku untuk bertaklid maka saya tidak akan pindah bertaklid kepada kedua-dua datukku Al-Hadi Yahya bin Al-Husein dan Al-Qasim Ar-Rassi kerana kedua-duanya lebih utama untuk ditaklidi daripada selainnya."

Pada ketika kecenderungan para ulama Zaidiyah berkisar antara iltizam (berketetapan) dengan mazhab Zaidiyah atau mencampur antara fiqh Zaidiyah dengan ushul Muktazilah yang lima, maka Ibnu Al-Wazir memperkenalkan langkah berbeza dan baharu dalam pandangan tersebut, kerana ia terbuka bagi ulama Ahlu Sunnah dan mazhab-mazhabnya, terutama ulama ahli salaf dan rijalul hadis.

Namun, hal tersebut tidak menghilangkan garis-garis umum mazhab Zaidiyah.

Beliau seakan-akan menggambarkan untuk keluar daripada mazhab yang sempit dan mengambil yang benar daripada mazhab apa saja, apabila ia benar.

Judul bukunya yang istimewa adalah Itsarul Haq 'alal Khalq fi Raddil Khilafat ilal Mazhab Al-Haq fi Ushulit Tauhid (Mengutamakan Kebenaran Atas Makhluk dalam Mengembalikan Perselisihan kepada Mazhab Yang Benar dalam Prinsip-prinsip Tauhid).

Sebagaimana judulnya, isi buku itu merupakan perwujudan daripada kecenderungan yang penting dan baharu.

Walaupun Ibnu Al-Wazir tidak menyendirikan pemikiran politik pada tempat yang khusus antara karya-karyanya, tetapi kita temukan di antara karya-karyanya tersebut satu kitab yang mengkritik kerangka berfikir Yunani dalam mencapai kebenaran dan membandingkan kerangka dan cara-cara Yunani dengan kerangka dan cara-cara al-Quran dalam berdalil dan berhujah.

Kitab tersebut adalah Tarjih Asalib al-Quran li Ahl Al-Imam 'ala Asalib Al-Yunan fi Ushul Al-Adyan (Kelebihan Cara-cara Al-Quran Bagi Ahli Iman Atas Cara-cara Yunani dalam Dasar-dasar Agama).

Dalam kitab ini, kita mendapati karya pemikiran yang menyerupai kritikan atas projek pemikiran Yunani dan mempersembahkan alternatif qurani.

Kitab tersebut merupakan salah satu cabang dalam falsafah peradaban dan pembebasan logikal Muslim daripada cengkaman pemikiran Yunani yang layak untuk memperoleh perhatian lebih.

Ibnu Al-Wazir telah melahirkan karya-karya pemikiran yang mempunyai perwatakan atau karakteristik tertentu serta amat jelas dalam ijtihad dan pembaharuan.

Dia meninggalkan warisan penting dalam ilmu kalam, musthalah hadis, sejarah, kritik sastera, tafsir, sebagaimana dia adalah penyair dan sasterawan yang syairnya dikumpulkan dalam diwan (buku).

Di samping itu, dia juga menulis tentang ilmu tasawuf, di mana dia mempunyai pengalaman dalam bidang tasawuf di masa akhir hidupnya.

Beliau telah menolak ajakan ustaznya Qadi Al-Qudat Mazhab Syafie di Mekah, Muhammad bin Abdullah bin Abi Dhahirah untuk mengikuti mazhab Imam Syafie, juga membantah Syaikhnya yang bermazhab Zaidiyah, As-Sayyid Ali bin Muhammad bin Abi Al-Qasim yang digelari dengan Jamaluddin, ketika dia bertindak dan bersangka tidak adil terhadap Ahlusunnah.

Beliau membantahnya dengan sebuah kitab yang termasuk salah satu kitab terpentingnya, iaitu Al' Awasim wa Al-Qawasim fi Adz-Dzib 'an Sunnat Abi Al-Qasim.

Dengan demikian, beliau merupakan contoh teladan bagi orang yang ingin mencermati permasalahan secara terperinci dan bertindak secara adil.

Ibnu al-Wazir meninggal dunia pada Selasa, 24 Muharam 840 Hijrah bersamaan Ogos 1436 Masihi.



Utusan Malaysia Online Agama 22/10/2013

Senyum kepada anak berpahala

SEBAGAI seorang ayah, saya sangat terganggu apabila membaca berita jenayah yang berkaitan dengan kanak-kanak. Hati saya terasa dicarik-carik walaupun mangsa bukan keluarga saya, bahkan tidak saya kenali.

Rasa sayang kepada kanak-kanak adalah fitrah semula jadi manusia. Orang yang tidak beragama sekalipun menyayangi anaknya. Bahkan haiwan yang tidak berakal pun sangat sayang kepada anak dan selalu bersiap sedia melindunginya.

Islam ialah agama fitrah. Maknanya, ajaran-ajaran Islam sejalan dengan fitrah manusia yang cinta dan kasih kepada kanak-kanak. Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa bukan hanya menyediakan nafkah zahir bagi anak-anak, tetapi juga mewajibkan kedua-duanya mencurahkan perhatian dan kasih sayang kepada mereka.

Perlakuan kita kepada anak-anak menandakan darjat iman kita. Ketinggian iman selalu beriringan dengan sikap lembut kepada anak-anak kecil. Dan kerendahan iman selalu ditunjukkan dengan sikap keras dan kasar kepada anak-anak.

Satu hari Rasulullah mencium cucunya yang bernama Hasan bin Ali. Melihat perlakuan ini, Aqra bin Habis berkata: "Saya memiliki 10 orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka."

Rasulullah memandang wajah orang ini. Lalu baginda bersabda: "Siapa yang tidak menyayangi, maka ia tidak akan disayangi." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Istimewa

Anak-anak mendapat tempat istimewa dalam Islam. Mereka wajib dilayan dengan baik, didengar keluhan mereka dan dipenuhi keperluannya.

Setiap ibu bapa yang gagal melakukan tugasan ini dikira berdosa.

Rasulullah bersabda: "Cukuplah satu dosa apabila kita mengabaikan orang yang menjadi tanggungan kita." (riwayat al-Bukhari)

Pada saat yang sama, Islam tidak menyukai kekerasan hati. Islam membenci manusia-manusia yang ramah apabila di pejabat, namun bersikap dingin kepada anak isterinya di rumah.

Allah SWT tidak menyukai kaki pukul walaupun ia selalu hadir dalam solat berjemaah dan sentiasa melakukan puasa sunat.

Pernah satu ketika Rasulullah menjadi imam dalam satu solat berjemaah. Apabila beliau sujud, beliau tidak mengangkat kepalanya dalam masa yang cukup lama.

Selepas solat, para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, mengapa tuan memanjangkan sujud? Adakah wahyu telah diturunkan kepada tuan?"

Rasulullah menjawab: "Tidak. Akan tetapi cucuku menaiki bahuku apabila aku tengah sujud. Aku membiarkannya bermain-main hingga ia puas." (riwayat al-Nasa'i)

Hak mereka

Dalam konteks moden di mana kedua-dua ibu bapa bekerja di luar, mereka mesti pandai mengatur suasana hatinya.

Mereka kerunsingan dalam pekerjaan dan ini tidak boleh mempengaruhi perilakunya apabila berinteraksi dengan anak-anak di rumah.

Sepenat mana pun bekerja, kita mesti meluangkan masa untuk mereka bermanja.

Sebab bermanja dan perhatian ialah salah satu hak mereka yang wajib dipenuhi ibu bapa.

Sekali lagi, ibu bapa bukan hanya wajib memberi nafkah zahir, namun juga nafkah batin.

Teladanilah sikap para sahabat Nabi yang bernama Zaid bin Thabit. Al-Zahabi menceritakan bahawa tokoh sahabat ini sangat berwibawa apabila berada di tengah masyarakat. Namun sangat kelakar apabila bersama keluarganya.

Justeru, senyumlah kepada anak sebab ia berpahala.



UMAR MUHAMMAD NOOR PENULIS kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131022

Semangat Arafah harus dicontohi Melayu Islam Malaysia

ARAFAH, Muzdalifah dan Mina amat sibuk minggu lalu. Saya pun turut sibuk. Beribadat, bermabit atau bermalam di situ dan melakukan ritual simbolik mengikut sunnah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW 1,400 tahun lalu.

Kita selalu bercakap mengenai ibadah tawaf di Baitullah, tetapi upacara di ketiga-tiga tempat itu juga cukup signifikan dan mencabar. Bagi sesetengah jemaah, juga orang-orang tua, perjalanan untuk melontar syaitan di Jamrah adalah satu maraton. Perjalanan pergi-balik ialah kira-kira tujuh kilometer.

Perjalanan menerusi Terowong Muasem cukup bersemangat. Pelbagai lapisan masyarakat dunia membawa pelbagai panji-panji berserta zikir dan tahmid memuji Allah, perarakan semangat dalam jumlah ratusan ribu orang secara serentak. Yang longgar lutut boleh naik walkalators (lantai bergerak) yang disediakan.

Ia adalah lokasi keajaiban. Sesuatu doa itu boleh termakbul dengan permintaan yang ikhlas di ketiga-tiga tempat itu. Langit di Arafah sewaktu wukuf terbuka luas untuk menerima doa daripada hamba-hamba-Nya.

Akhbar kelmarin melaporkan, seorang nenek 70 tahun berbangsa Tunisia, Nafeela Al-Qurmazi yang buta akibat serangan strok 18 bulan lalu, celik semula berkat doanya di Arafah.

“Saya tidak putus-putus menaruh harapan kepada-Nya. Saya berdoa semoga dikembalikan penglihatan saya.

“Permintaan saya dimakbul-Nya, saya sudah boleh melihat semula," katanya kepada akhbar Saudi Gazette. Doktor di negaranya yang merawatnya sebelum ini sudah putus harapan untuk memulihkan penglihatan nenek itu.

Itulah satu daripada ribuan kisah keajaiban kebesaran Allah di Arafah, Muzdalifah, Mina, Mekah dan Madinah - yang tidak diceritakan.

Dengan doa ikhlas, perjalanan yang sukar menjadi mudah. Dan, doa itu boleh dilunas secara serta-merta. Apakah semasa berada di Tanah Haram ini kita juga turut bersama-sama para malaikat, yang boleh mendengar rayuan kita?

Perhimpunan haji 1434 tahun ini menuju ke penghujungnya. Lebih 1.3 juta ummah seluruh pelosok dunia mulai pulang dengan satu semangat yang cukup hebat, iaitu atas nama kesatuan.

Kesatuan Islamiah yang membolehkan agama agung ini menjadi terus kukuh. Islam sebenarnya sedang berkembang di seluruh pelosok dunia. Sudah ada jemaah Jepun pun yang mengerjakan haji tahun ini.

Bercakap mengenai kesatuan, saya turut teruja membaca akhbar mengenai tindakan kerajaan Arab Saudi menolak kerusi Majlis Keselamatan PBB kerana protes dengan sikap dwi-standard badan dunia itu dalam menyelesaikan masalah konflik di negara-negara Islam, terutamanya di Asia Barat.

Negara-negara Islam sepatutnya memuji pendirian Arab Saudi ini. Tekanan yang lebih kuat harus dikenakan kepada badan dunia itu yang hanya melihat beribu-ribu nyawa melayang di Syria, Palestin dan beberapa negara Islam lain. Jika konflik itu berlaku di negara bukan Islam, cepat-cepat sengketa mahu ditamatkan.

Malaysia selaku anggota OIC sepatutnya juga menyatakan sokongan ke atas pendirian itu. Akhbar Arab News semalam melaporkan Liga Arab, OIC, Turki, UAE bergabung menyokong tindakan Arab Saudi itu.

Mereka menyifatkan PBB sudah hilang wibawanya. Tidak pasti adakah mereka baru sedar kerana sudah lama Tun Dr. Mahathir Mohamad mengecam sikap pertubuhan itu, semasa beliau menjadi PM dulu.

Tindakan Arab Saudi itu juga turut menunjukkan sikap kesatuan negara ini demi ummah Islam keseluruhannya. Sikap Arab Saudi yang bertungkus lumus menjadi hos terbaik perhimpunan haji ini juga harus dipuji. Pelbagai bantuan kebajikan disediakan kepada jemaah yang daif.

Walaupun umum mengetahui Arab Saudi ialah sekutu Amerika, namun tindakan itu mengkagumkan.

Sikap berdolak-dalik dan berat sebelah PBB harus diajar.

Semangat itu juga harus dibawa pulang ke Malaysia. Ummah Islam Malaysia yang kini berpecah kepada beberapa ideologi politik juga harus bersatu.

Kita harus sedar cabaran untuk menekan Islam amat hebat sekali. Kita di Malaysia tidak boleh alpa. Walaupun kita sedikit lega isu kalimah Allah berjaya diselesaikan melalui mahkamah, tapi cabarannya belum tamat.

Pelbagai usaha akan dilakukan lagi oleh musuh Islam. Kita harus sedar dengan permainan itu. Kecualilah jika kita bersatu, maka usaha jahat itu sedikit sebanyak boleh ditangani dengan lebih baik.

Ingatlah, musuh dalam selimut yang mahu melihat Malaysia porak-peranda sedang memerhati dengan penuh harapan.

Jika kita terus menerus berpecah, maka gembiralah mereka. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Semangat ummah di Arafah, Mekah harus dicontohi oleh kita semua.

“Ya Allah, Kau Satukanlah Hati-hati Kami Semua. Amin".



Zaini Hassan Utusan Malaysia Online Rencana 20131023