October 25th, 2013

Bersedekah lebih baik daripada membazir

Ulama salaf menyedekahkan makanan atau hidangan lazat yang disukai mereka pada masa mereka menginginkan makanan itu kepada fakir miskin, anak yatim dan tawanan dengan alasan golongan berkenaan tidak memperoleh makanan seperti itu.


Pernah Al-Rabi’ bin Khutsaim teringin makan sejenis kuih lalu tukang masak menyediakannya. Kemudian Al-Rabi’ memanggil golongan fakir miskin dan memberikan kuih berkenaan kepada mereka.


Isterinya bertanya: “Kami telah berpenat lelah membuatnya sedang anda tidak turut memakannya. Jawab Al-Rabi’: Siapakah yang memakannya, adakah orang lain? Maksudnya, beliau memperoleh manfaat ganjaran walaupun makanan itu dimakan orang lain.

Ada kalangan salaf yang disediakan makanan untuk mereka dengan susah payah oleh ahli keluarga kemudian disedekahkan kepada fakir miskin. Apabila ditanya perkara itu, jawapan diberikan, jika mereka memakannya akhirnya akan ke tandas, tetapi jika orang lain diberi makan, makanan itu terpelihara di sisi Allah SWT.


Berlumba-lumba beri sedekah

Generasi awal itu berlumba-lumba bersaing bersedekah makanan mereka untuk mendapat ganjaran tinggi di sisi Allah SWT. Malangnya, akhir-akhir ini, ramai antara kita membuang lebihan makanan kerana melebihi keperluan mereka.

Semasa menyediakan makanan untuk majlis atau kenduri, ada yang membuat secara berlebihan dan lebih menyedihkan, mereka tidak berkeinginan untuk mengagihkan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Jika kita dapat mentadbir baik urusan dan perbelanjaan, kita berupaya mengelak berlakunya pembaziran dan pada masa sama, makanan yang disedekahkan membolehkan kita beroleh pahala serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Sesungguhnya kita sudah diingatkan supaya mengelak pembaziran kerana sikap suka membazir adalah amalan syaitan tetapi malangnya perbuatan yang ditegah itu pula yang kerap kita lakukan.

Daripada Amru bin Auf, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (daripada pemberiannya).” (Riwayat Bukhari)


Shadiya Abbas Berita Harian Online Agama 25/10/2013

Kelebihan manusia sebagai khalifah

Penting diri, sombong, penyakit tamak, sifat buruk patut dijauhi

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Ayat al-Quran ini dikemukakan dalam bentuk dialog bertujuan untuk mendekatkan kisah itu dengan cara memberikan pemahaman mengenai manusia serta keistimewaan khusus dimiliki mereka. Allah SWT memberitahu malaikat-Nya iaitu Dia akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi.

Mendengar kenyataan inilah malaikat menjadi hairan kemudian bertanya bagaimana Engkau menciptakan sejenis makhluk yang melakukan kerosakan di muka bumi ini sedangkan tiada batasan yang menghalang mereka daripada melakukan sesuatu perkara.


Hikmah diciptakan makhluk

Allah SWT juga turut memberikan kurniaan kepada malaikat dengan menjelaskan hikmah diciptakan makhluk yang satu ini kepada mereka. Ahli tafsir berpendapat khalifah dalam ayat ini bermaksud tugas pengganti kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan perintah-Nya dalam kalangan manusia.

Allah SWT mencipta manusia daripada Adam dan mengurniakan kepadanya akal fikiran yang dapat memahami semua perkara, tetapi kehebatan manusia tidak dikira kepada kekuatan zahiriah saja, juga dalam mengenali pencipta yang mengangkat mereka dan memberi kedudukan tinggi iaitu Allah SWT.

Manusia seperti inilah apabila mengenal Allah SWT, tunduk kepada-Nya dan membuka kehidupan ini dengan nama-Nya. Ini antara hikmah kewujudan manusia di dunia ini. Kisah kehidupan manusia boleh dilihat dan difahami dari pelbagai sudut seperti nikmat yang diperoleh sejak kejadian mereka lagi.

Hakikatnya, sebutir nasi yang dimakan manusia adalah hasil rangkuman kerja makhluk Allah SWT yang berada di langit dan bumi. Tanah, angin dan hujan yang turun serta cahaya matahari saling bekerjasama menyiapkan makanan, pakaian dan ubat-ubatan yang diperlukan manusia.

Itulah rahsia pembahagian dan pecahan yang banyak yang disebut oleh al-Quran yang membayangkan kehebatan alam ciptaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi angin yang menerbangkan dan menaburkan (debu, biji-bijian benih dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguhnya; Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki); Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya; Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya; (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar.” (Surah az-Zaariyaat, ayat 1-5)


Manusia diberi kelebihan, kenikmatan

Manusia adalah makhluk mulia yang diberi kelebihan dan kenikmatan. Adalah menjadi hak Allah SWT untuk mencela manusia yang tidak menghargai nikmat kurniaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.” (Surah Luqman, ayat 20)

Ini adalah antara sudut kurniaan Allah SWT untuk manusia, manakala satu sudut lagi ialah dalam bentuk rohani atau spiritual iaitu manusia adalah tiupan daripada roh Allah yang Maha Tinggi. Begitulah permulaan ciptaan Adam dan begitulah juga permulaan janin dalam perut ibu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Surah al-Hijr, ayat 29)

Al-Quran memaparkan penghinaan kepada Adam iaitu manusia pertama di sisi Allah SWT adalah satu bentuk penderhakaan terhadap-Nya. Tanpa mengira sama ada iblis berasal daripada malaikat atau jin, hasilnya tetap sama.

Sesiapa yang enggan sujud iaitu sujud penghormatan kepada Adam, maka makhluk itu telah melakukan satu kesalahan yang besar kepada Allah SWT. Ini antara kelebihan lain manusia dan ia menggambarkan kedudukannya di sisi Tuhan iaitu penerimaan taubat seorang hamba kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Taha, ayat 82)


Sifat buruk patut dijauhi

Al-Quran juga terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai sifat buruk yang sepatutnya dijauhi manusia antaranya mementingkan diri yang akhirnya akan melahirkan penyakit rakus, tamak, melampaui batas dan mengambil hak orang lain.

Selain itu, mereka yang mempunyai sifat buruk juga akan menjadi sombong apabila dikurniakan kekayaan, zalim apabila ada kuasa, putus asa apabila gagal serta tewas dalam mengawal hawa nafsu.

Tetapi istimewanya manusia ini setelah al-Quran menyatakan penyakit yang mendatangi manusia, al-Quran juga menyediakan penawarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-‘Asr, ayat 3)

Begitulah sebahagian pandangan al-Quran terhadap manusia mengenai keistimewaan dan kekuatan ada pada mereka. Apa yang jelas, ketundukan manusia akan membawa kepada kedudukan tertinggi manakala kekufuran dan keingkaran menempatkan mereka di tempat yang serendah-rendahnya.

Ahmad Shukri Yusoff ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources. Berita Harian Online Agama 25/10/2013

Membudayakan sistem kerja Islam

TAMADUN Islam suatu ketika dahulu dipandang tinggi oleh masyarakat dunia kerana memberikan contoh tauladan daripada segi kejayaan mentadbir sesuatu organisasi.

Hal demikian boleh dilihat daripada penyusunan organisasi yang mantap selain matlamat gerak kerja berlandaskan ketauhidan kepada Allah SWT dan bermula daripada situlah wujudnya budaya integriti dalam kalangan para pekerja.

Namun selepas jatuhnya khalifah Islam, sistem budaya kerja yang bersadurkan kapitalis, sekular, dan sebagainya diangkat menjadi teori dalam sesuatu badan organisasi.

Celupan berkenaan pada suatu ketika dahulu kononnya memberikan pelbagai kebaikan dalam menyusun sesuatu organisasi, tetapi tidak lama kemudian berlakunya kepincangan, sama ada daripada segi moral dan sebagainya.

Jatuhnya syarikat gergasi korporat dengan mendadak akibat berhadapan krisis diri yang terperangkap dalam arus kemewahan, tamak, dan sebagainya.

Atas kesedaran itu, Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menganjurkan seminar Bekerja Dengan Hati dan Akal di ibu negara, baru-baru ini.

Seminar berlangsung selama dua hari itu dihadiri oleh hampir 100 peserta dalam kalangan kakitangan badan kerajaan, sama ada dari dalam dan luar negara.


AMANAH dan berintegriti merupakan salah satu ciri budaya kerja Islam. - Gambar hiasan

Acara itu berbentuk program dua hala iaitu interaksi antara para peserta dan moderator yang dikendalikan oleh Jaafar Muhammad atau dikenali sebagai Abu Faiz telah berjaya menarik perhatian para peserta untuk menghayati konsep budaya kerja secara Islam.

Jaafar yang merupakan pakar motivasi memulakan seminar itu dengan menceritakan pengalamannya berhadapan sebuah kilang yang bergelut dengan pelbagai krisis termasuklah masalah kewangan.

Namun demikian, akui Jaafar selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan kilang tersebut, membuahkan hasil positif di mana ia berjaya menemui punca dan cara penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Ujar beliau lagi, punca utama masalah kilang itu adalah kurangnya penghayatan keagamaan dan pendedahan elemen ketuhanan dalam kalangan para pekerja.

Setelah diberikan seminar ringkas berkait budaya kerja Islam, selepas beberapa bulan jelas Jaafar, ia telah menampakkan hasil positif apabila produktiviti meningkat, sekali gus berjaya menyekat kilang itu daripada berhadapan dengan kemungkinan terpaksa gulung tikar.

Oleh demikian, Jaafar menambah budaya bekerja dengan hati adalah satu manifestasi untuk menggalakkan para penggerak organisasi tidak menjadikan materialisme sebagai matlamat utama kerja.

"Apabila bertunjangkan materialisme, kita akan mementingkan kepujian. Maksudnya untuk mencapai agenda itu, kita mula terlibat dalam kerosakan nilai integriti seperti rasuah, pecah amanah, mengampu dan sebagainya.

"Jika sandaran berkerja kerana Allah SWT, secara tidak langsung kita akan melihat apakah nasib yang bakal berlaku di akhirat kelak sekiranya amanah diabaikan. Seterusnya produktiviti kerja akan meningkat," kata Jaafar.

Maka dengan sebab itu, Jaafar berkata bekerja dengan hati akan membentuk individu mempunyai jati diri tauhid lebih kuat, keyakinan diri tinggi, beramanah, lebih bertanggungjawab dan menghargai masa.

"Hasilnya adalah kita akan memahami Allah merupakan tuhan sekalian alam dan penyedia segala rezeki di muka bumi ini.

"Untuk mendapat keredaan Allah, segala gerak kerja hendaklah betul dan soal ini termasuklah budaya kerja yang mempunyai integriti yang tinggi," tegas beliau.

Betulkan pandangan

Sehubungan itu, Jaafar menggesa semua penggerak organisasi untuk memperbetulkan pandangan iaitu kepada konsep tauhid. Hal itu ujarnya, dengan menjadikan keimanan hari akhirat sebagai kekuatan jiwa dalam mendorong diri memajukan kehidupan.

Malah kata Jaafar, dunia adalah alat yang perlu dibangunkan kerana ikut kehendak Allah iaitu sebagai amanah khalifah di muka bumi.

"Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 29 bermaksud: Dialah Allah yang menjadikan segala apa di bumi untuk kamu dan dia berkehendakkan di langit, lalu dijadikan tujuh langit.

"Intisari ayat ini bermaksud Allah menjadikan segala ciptaan untuk manusia mentadbir. Jika manusia tidak menguruskannya secara bijaksana selain tidak berpandukan konsep Ilahi, nescaya mendatangkan kemurkaan tuhan," kata Jaafar.

Oleh demikian, Jaafar berkata manusia hendaklah memperbetulkan budaya kerja dengan menukarkan minda agar tidak mengamalkan budaya berlawanan dengan integriti dalam sesuatu organisasi.

"Semua urusan akan disoal Allah di akhirat, maka kita mestilah berhati-hati dalam sesuatu pekerjaan. Jika perkara ini berlaku, Insya Allah masalah rasuah dan pecah amanah tidak berlaku dalam organisasi.

"Mereka akan mengenal Allah sebagai tuhan sekalian Allah yang sentiasa memerhatikan gerak-geri manusia. Walaupun majikan atau pihak berkuasa tidak nampak, tetapi Allah itu sentiasa melihat kita," ujar Jaafar.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Gambar RASHID MAAROF Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131023

Hukum syarak jadi panduan

MAHKAMAH Sivil telah lama mengiktiraf hak harta sepencarian dalam undang-undang adat Temenggung dan Perpatih. Oleh kerana amalan adat ini tidak bercanggah dengan hukum syarak, maka ia diterima sebagai sebahagian daripada Undang-undang Islam.

Dalam Islam, harta sepencarian disebut sebagai harta syarikat. Untuk pertama kalinya, Mahkamah Sivil mengakui bahawa Undang-undang Islam adalah undang-undang tempatan atau undang-undang di Tanah Melayu pada masa itu.

Ini diputuskan dalam kes Laton lwn Ramah 1926, di mana dalam kes ini seorang lelaki telah meninggal dunia dan meninggalkan dua isteri. Suami telah meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang wasiat.

Balunya iaitu plaintif dalam kes ini telah memohon pengisytiharan mahkamah bahawa semua harta yang didaftarkan atas nama si mati semasa kematiannya ialah harta syarikat mengikut Mazhab Syafie.

Oleh itu, plaintif berhak mendapatkan setengah bahagian daripadanya selain bahagiannya dalam faraid. Defendan merupakan isteri si mati yang seorang lagi dan telah menjadi pentadbir harta pusaka si mati.

Plaintif telah mengemukakan keterangan menyatakan bahawa sebelum dia berkahwin dengan si mati, dia telah terlebih dahulu berkahwin dengan lelaki lain dan ketika berkahwin dengan si mati dia telah pun mempunyai banyak harta di Beranang, Selangor.

Harta tanah di Beranang itu telah dijual dan hasilnya mereka telah membeli tanah di Tanjung Malim. Apabila tanah di Tanjung Malim itu dijual kemudiannya, mereka telah mendapat hasil yang lumayan. Hasil itulah yang telah digunakan untuk membeli tanah yang dipertikaikan sekarang ini.

Gompertz HB telah memanggil Kadi Ulu Langat untuk memberikan keterangan. Kadi tersebut telah memetik firman Allah SWT melalui ayat 4 surah An-Nisa dan mengatakan bahawa harta tersebut adalah harta syarikat di dalam Islam. Mahkamah memutuskan bahawa plaintif mendapat haknya terhadap harta sepencarian tersebut.

Satu lagi kes yang menarik ialah kes Re Noorijah 1934, di mana seorang suami telah memohon harta milik isterinya sebagai milik mutlaknya selepas kematian isterinya. Suami adalah kakitangan kerajaan dan ada peraturan yang dia tidak boleh memiliki harta tanah. Maka semua pembelian tanah yang dibuat oleh suami dipindahmilikan kepada isteri.

Mereka tidak mempunyai anak. Semasa berkahwin mereka telah menjual dan membeli tanah-tanah yang lain. Selepas 18 tahun berkahwin, isteri telah meninggal dunia dan meninggalkan sebelas keping tanah. Suami telah menuntut semua harta peninggalan si mati sebagai haknya seorang.

Alasan yang dikemukakan adalah harta berkenaan telah dibeli olehnya seorang diri. Manakala si mati tidak memberi sebarang sumbangan atau usaha selain kerja memasak dan mengemas di rumah. Pemungut hasil tanah telah memutuskan bahawa kerja rumah yang dijalankan oleh si mati itu adalah sumbangan yang bernilai dan mengikut Undang-undang Islam dia berhak mendapatkan sesuku bahagian harta itu sebagai bayaran kepada kerja atau usaha itu.

Hakim Thomas yang telah merujuk kepada fatwa Majlis Diraja Selangor mengatakan bahawa harta peninggalan si mati itu adalah menjadi hak suaminya seorang dan tidak boleh difaraidkan.

Kes ini mengiktiraf sumbangan isteri secara tidak langsung dengan melakukan kerja rumah namun Mahkamah mendapati semua harta adalah milik suami kerana tanah dipindahmilikkan kepada isteri kerana suami tidak boleh memiliki harta.

Tambahan pula dalam kes ini mereka tiada anak dan jika ada anak saya percaya keputusannya agak berbeza.

Seterusnya dalam Hujah Lijah lwn Fatimah 1951. Seorang lelaki telah mewarisi sebidang tanah sebagai harta pusaka peninggalan ibu bapanya sebelum dia berkahwin dengan plaintif (isteri).

Semasa mereka mula berkahwin, plaintif tidak mempunyai harta. Kedua-dua mereka telah sama-sama mengerjakan tanah itu dan daripada hasil yang mereka peroleh serta wang simpanan yang ada, mereka telah membeli harta tanah yang lain.

Apabila suami meninggal dunia, plaintif telah menuntut sebahagian harta peninggalan suami. Mahkamah memutuskan bahawa plaintif berhak mendapat sebahagian daripada harta peninggalan suaminya.

Daripada semua kes di atas didapati hakim-hakim yang memutuskan kes-kes sebelum kemerdekaan lebih cenderung mengikut apa yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Walaupun mereka bukan beragama Islam mereka tidak mempunyai masalah untuk merujuk pandangan pakar undang-undang Islam sebelum memutuskan sesuatu kes.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131023

Sanad Quran satu anugerah

SANAD bacaan al-Quran pada hari ini menjadi perbualan menarik di kalangan pencinta al-Quran. Pelbagai sanad yang dapat dikesan, ada sanad yang berbentuk buku kerana ramainya guru yang disenaraikan sampai ke Rasulullah SAW. Malah terdapat juga sanad yang hanya sehelai kertas seperti sekeping ijazah.

Cara mendapat sanad al-Quran berlainan dengan sanad hadis. Sanad hadis boleh diijazahkan oleh seorang guru dengan membaca beberapa hadis dan mengijazahkan seluruh hadis yang terdapat dalam kitab tersebut. Tetapi sanad Quran, pelajar akan membaca seluruh al-Quran di hadapan guru daripada al-Fatihah hingga ke surah al-Nas.

Dalam sesi talaqqi tersebut, guru akan memastikan seluruh bacaan pelajar adalah tepat daripada sudut makhraj huruf dan sifatnya, hukum-hakam tajwid termasuklah waqaf dan ibtida.

Pernah berlaku pelajar yang telah khatam tetapi guru tidak memberikannya sanad kerana masih terdapat kesalahan dalam bacaan atau bacaannya perlu kepada penambahbaikan.

Di permulaan sanad biasanya ditulis bahawa telah baca di hadapanku pulan bin pulan daripada awal al-Quran hingga akhirnya dan bacaannya menepati hukum-hakam tajwid sebagaimana yang aku terima daripada guruku, maka aku (guru) ijazahkan kepadanya riwayat Hafs daripada gurunya Asim sebagaimana aku talaqqi daripada guruku… disebut satu persatu nama guru sehingga sampai kepada Rasulullah SAW.

Menerima sanad Quran adalah satu anugerah. Bukan semua yang membaca al-Quran daripada guru berjaya mendapat sanad Quran. Namun begitu terdapat juga guru yang mempermudahkan proses memberi sanad. Dengan sekali khatam sahaja sudah boleh menerima sanad.

Secara umumnya, guru yang memberi sanad akan memastikan pelajar sudah khatam al-Quran dan membacanya dengan lidah yang fasih. Menguasai segala hukum tajwid dan memahami kaedah waqaf dan ibtida. Dan sebahagian guru menambah syarat untuk mendapatkan sanad ialah membaca al-Quran dengan secara hafazan bukan melihat kepada mushaf.

Ilmu bacaan al-Quran sememangnya luas dan kitab yang membicarakan permasalahannya begitu banyak, namun hanya sedikit sahaja isu yang dibincangkan di tempat kita. Di Mesir sebagai contoh, jawatan Syeikh Qurra diwujudkan sejak berzaman dahulu. Jawatan tersebut dipegang seorang yang alim dalam bidang al-Quran, alim dalam ilmu Qiraat, banyak sumbangan dalam pengajaran dan penulisan dalam ilmu berkaitan.

Satu jawatan yang amat dihormati dan pemegangnya menjadi rujukan dalam isu berkaitan al-Quran. Jawatan yang sama terdapat di Syria, Lubnan dan Masjid Nabi di Madinah juga terdapat Syeikh Qurra.

Berbalik kepada sanad, sanad al-Quran yang sampai kepada zaman kita hari ini boleh dikatakan kebanyakannya melalui seorang syeikh yang terkenal di Mesir iaitu Syeikh Mutawwali yang meninggal pada tahun 1313 hijrah. Beliau merupakan guru Quran yang tersohor pada zamannya dan muridnya yang terakhir ialah Syeikh Abdul Fattah Hunaidi.

Selain itu, Syeikh Muhamamd Maki Nasr juga merupakan seorang murid Syeikh Mutawali. Beliau telah menghasilkan satu karya yang tersohor dalam ilmu tajwid bertajuk, Nihayah al-Qaul al-Mufid.

Kitab ini mendapat sambutan di kalangan ulama. Seorang ulama Melayu yang tinggal di Mekah al-Mukarramah iaitu Syeikh Abdullah Senggora (meninggal di Mekah pada 1930) telah menterjemah kitab tersebut ke dalam bahasa Melayu dengan tajuknya, Mawrid al-Zam'an.

Pengajian ilmu tajwid di Malaysia merujuk kepada beberapa kitab antaranya ialah kitab Mawrid al-Zam'an. Justeru, limpahan ilmu daripada Syeikh Mutawali melalui muridnya, Syeikh Muhammad Makki Nasr sampai ke Alam Melayu.



DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD  ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Universiti Sains Islam Malaysia. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131023