November 3rd, 2013

Budayakan sifat tolong-menolong

ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah dengan izin-Nya dapatlah penulis kemukakan dalam ruangan ini berkenaan dengan sifat tolong-menolong yang sepatutnya disuburkan dalam masyarakat kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa dan jangan kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan melampau. (al-Maidah: 2)

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk sentiasa tolong-menolong dalam perkara kebaikan, itulah yang disebut dengan al-birru (kebajikan) serta meninggalkan segala bentuk kemungkaran dan itulah dinamakan dengan al-takwa. Allah SWT melarang mereka tolong-menolong dalam hal kebatilan, berbuat dosa dan mengerjakan hal-hal yang haram."

Ibnu Jarir berkata: "al-Itsmu (dosa) bererti meninggalkan apa yang Allah perintahkan untuk mengerjakannya, sedangkan al-Udwan (permusuhan) bererti melanggar apa yang telah ditetapkan Allah dalam urusan agama dan melanggar apa yang telah diwajibkan-Nya kepada kalian dan kepada orang lain."

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Yang bersegera dalam membantu janda dan orang miskin samalah seperti mujahid fi sabilillah atau yang bangun melaksanakan qiamullail dan berpuasa di siang hari. (riwayat al-Bukhari dalam Sahih (10/437) Kitab Adab, Muslim dalam Sahih (4/2286-2287) Kitab Zuhud)

Syeikh Abdullah Nasih Ulwan berkata: Realiti sejarah merupakan saksi terhadap apa yang kita sebutkan. Di bawah ini diterangkan beberapa contoh tentang perlindungan masyarakat Muslim serta simpatinya, kasih sayangnya dan sikap tolong menolongnya:

l Menurut Muhammad bin Ishak: "Ada orang di Madinah yang tidak tahu daripada mana punca nafkah kehidupan mereka? Siapa yang memberi kepada mereka?

Namun apabila Saidina Zainal Abidin bin al-Husyan RA meninggal dunia, maka mereka kehilangan bantuan itu dan barulah mereka mengetahui bahawa selama ini Saidina Zainallah yang membawa kepada mereka pada waktu malam segala keperluan mereka.

Ini dikukuhkan lagi dengan terlihatnya bekas lebam di belakang dan di tengkuknya, kesan daripada memikul guni yang dibawanya ke rumah janda-janda dan anak-anak-yatim.

l Diceritakan bahawa al-Laith bin Saad mempunyai pendapatan daripada hasil tanaman sebanyak lebih daripada 70,000 dinar setahun yang semuanya disedekahkan sehingga orang mengatakan ia tidak pernah sekalipun wajib membayar zakat.

Pada suatu ketika, dia membeli sebuah rumah yang dilelong lalu wakil beliau pun pergi untuk menerima rumah itu. Didapati di dalamnya anak-anak yatim dan kanak-kanak yang masih kecil dan mereka merayu supaya mereka dibenarkan tinggal di rumah itu.

Apabila berita itu diketahui oleh al-Laith, beliau menghantar utusan memberitahu bahawa rumah tersebut adalah hak mereka dan pada setiap hari mereka akan mendapat apa yang mereka perlukan.

l Begitu juga diceritakan bahawa Abdullah bin al-Mubarak, seorang tokoh ilmu hadis, banyak sekali memberikan sedekah sehingga sedekahnya melebihi 100,000 dinar setahun. Pada suatu ketika beliau keluar menunaikan haji bersama beberapa orang sahabatnya. Mereka melalui sebuah daerah dan menemui seekor burung mati.

Abdullah menyuruh burung itu dicampakkan dalam tong sampah di situ. Sahabat-sahabatnya telah mendahuluinya sedang beliau terlewat di belakang. Apabila beliau melintasi tong sampah itu tadi dan melihat seorang perempuan keluar dari rumah yang berdekatan di situ lalu mengambil burung yang mati itu.

Perempuan itu memberitahunya bahawa dia dan saudaranya adalah orang miskin. Keadaan mereka tiada siapa pun yang tahu dan mereka tidak memiliki suatu pun untuk dimakan.

Ibnu Mubarak mengarahkan supaya angkatan khalifahnya kembali semula dan ia bertanya kepada pembantunya: "Berapa banyak perbelanjaan yang ada pada engkau" Jawabnya, "1,000 dinar."

Kata Ibnu Mubarak: "Kira 20 dinar cukup untuk kita sampai ke Bandar Marwi dan bakinya berikan kepada wanita ini. Ia lebih baik daripada kita menunaikan haji pada musim ini." Beliau kembali dan tidak menunaikan haji untuk tahun itu.

Apabila berlaku gabungan tenaga dan usaha daripada kerajaan, masyarakat dan individu untuk mengatasi masalah kemiskinan maka tidak akan wujud dalam masyarakat Islam seorang miskin pun atau seorang yang memerlukan bantuan. Akhirnya umat Islam akan menikmati dan anggota masyarakat pula terselamat daripada faktor-faktor jenayah dan penyelewengan.

Kita akan dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri bendera kemuliaan Islam berkibar tinggi di puncak kemuliaan. Pada hari itu orang-orang mukmin akan merasa gembira dengan pertolongan daripada Allah SWT.

Dengan sikap bertanggungjawab dan prihatin sesama umat sudah pasti membuahkan perasaan rahmat dan kasih sayang seterusnya sifat tolong-menolong dapat disuburkan dalam masyarakat.

Di samping itu, sewajarnya ibu bapa mentarbiah dan mendidik anak-anak supaya mengamalkan sifat suka memberi bantuan kepada sesama manusia.

Jika hal ini dapat disuburkan dan dibudayakan dalam masyarakat, sudah pasti yang susah akan senang, yang miskin akan terbela, yang sakit akan ceria dengan pertolongan daripada golongan yang kaya dan mewah. Ssudah pasti keberkatan Ilahi akan menurun kepada masyarakat yang bersifat seperti ini.

Semoga masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang saling tolong-menolong dan bantu-membantu.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131101

Risau berleluasa jenayah?

PADA hari ini, negara dikejutkan dengan pelbagai insiden seperti rompakan, tembakan rambang, tikam dan sebagainya sehingga mendatangkan kerisauan dalam kalangan orang awam.

Apatah lagi kes tikam berlaku baru-baru ini di tempat awam sehingga meragut dua nyawa dan sehari sebelum itu, seorang pegawai bank ditembak oleh pengawal keselamatan gara-gara kerana ingin merompak wang adalah satu tragedi yang bermain di minda masyarakat sehingga hari ini.

Bermula daripada beberapa siri kejadian itu, orang ramai termasuklah pihak keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan soal waspada agar kes itu tidak berulang kembali.

Mungkin daripada segi waspada, antara tindakan yang boleh dilakukan adalah tidak melalui di kawasan sunyi pada waktu malam, menjauhi individu yang mencuriga kan dan melaporkan segera kepada polis jika situasi tersebut berlaku.

Namun demikian, tindakan berkenaan merupakan adalah satu ikhtiar tetapi segala pokok pangkalnya ialah tawakal kepada Allah SWT iaitu memohon perlindungan kepadanya agar dijauhkan segala bencana dan musibah.

Sehubungan itu, Islam menggariskan panduan kepada umatnya jika berhadapan dengan musibah dan bencana khususnya ketika kes rompakan, rumah dimasuki pencuri dan sebagainya.

Pertamanya, anda tidak perlu gelabah atau kelam-kabut sehingga mendatangkan huru-hara lalu menyebabkan penjenayah mensasarkan kita sebagai mangsa pertama. Ingatlah kepada Allah bahawa hanya dengan bantuannya kita boleh terselamat.

Keduanya, segera menghubungi polis sama ada melalui telefon atau menggunakan beberapa aplikasi seperti RakanCop yang terdapat pada hari ini.

Tetapi biarlah telefon anda disimpan nombor telefon polis berhampiran agar tidak tercari-cari ketika insiden berlaku.

Ketiga, amalkan ayat-ayat al-Quran dan doa Rasulullah sebagai benteng pertahanan diri iaitu:

1Membaca surah al-Fatihah. Dalam satu hadis riwayat Abu Said al-Khudri menjelaskan terdapat satu kumpulan sahabat Rasulullah pergi musafir.

Dalam perjalanan itu, mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi dan meminta makanan kepada kepada para penduduknya, namun enggan memenuhi permintaan itu.

Lalu tidak lama kemudian, ketua kampung telah disengat binatang, akan tetapi usaha mengubatinya gagal walaupun pelbagai kaedah untuk menyembuh dilakukan.

Sesetengah dalam kalangan mereka mencadangkan agar meminta pertolongan kumpulan orang Islam yang singgah di kampung tadi.

Lalu para penduduk menemui anggota rombongan itu untuk meminta hajat itu, lalu kumpulan berjanji akan menolong kecuali setelah berjanji memberi upah.

Rombongan itu bersetuju atas permintaan tadi untuk memberi beberapa ekor kambing. Orang Islam yang berkenaan datang menemui ketua kaum yang sedang sakit, lalu dihembus dengan air ludah pada tempat yang sakit tadi sambil membaca ‘Alhamdulillah.’

Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa doa yang dibaca ialah surah al-Fatihah.

2Membaca surah tiga Kul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Anas. Baginda menggalakkan kita membaca ketiga-tiga surah ini berdasarkan sepotong hadis Riwayat al-Timizi iaitu:

“Setelah turunnya dua surah ini, Rasulullah mencukupkan kedua-duanya dengan Surah al-Ikhlas sebagai bacaan (wirid) untuk membentengi dari pandangan buruk jin maupun manusia."

3Membaca ayat Kursi. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selepas solat, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya dari memasuki syurga." (riwayat an-Nasaie dan at-Tabrani)

4Membaca doa ini, ‘Bismillahillazi La Yadhurru Ma‘asmihi Syai un Fil Ardi Wala Fisamaie, wa huwas Samiul Alim.’

Nabi Muhammad SAW menganjurkan membaca doa ini seperti sabdannya bermaksud: Tiada seorang hamba pun yang berkata setiap pagi dan petangnya. Dengan nama Allah yang tiada siapa mampu memudaratkan dengan nama-Nya sama ada di dunia mahupun langit dan Dialah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui sebanyak tiga kali, kecuali tiada apa yang mampu memudaratkannya." (Sahih Muslim)


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131101

Sistem kewangan Islam buka mata Barat

HAMPIR satu minggu cakap-cakap mengenai sistem ekonomi Islam menguasai kota raya London yang merupakan pusat kewangan, perdagangan dan juga perkembangan budaya moden di Eropah.

Stesen televisyen dan akhbar-akhbar British boleh dikatakan setiap hari memperkatakan akan apa itu sistem kewangan Islam dan saingannya kepada sistem konvensional.

Istilah sukuk yang merupakan bon Islam mula diperbincang dan diperjelaskan dalam program bual bicara termasuk di BBC. Ini termasuk kaedah sukuk itu dikeluarkan dan bagaimana keuntungan dicatatkan.

Jelasnya, masyarakat Barat atau sekurang-kurangnya masyarakat perdagangan dan perniagaan di kota raya London mula membuka mata terhadap sistem kewangan Islam.

Mereka mula mengintai peluang dan potensi yang ditawar melalui sistem itu. Kelebihannya mula diteliti dan dianalisis. Konsep keadilan untuk semua yang dibawa oleh Islam termasuk dalam sistem kewangan telah membuka mata masyarakat Barat yang kini melihatnya sebagai alternatif kepada sistem konvensional yang banyak mendatangkan masalah ekoran terdedah kepada pelbagai spekulasi.

Perkembangan dalam aliran modal dalam kalangan negara dan pelabur Islam juga turut menarik Barat untuk sama-sama terlibat dan mendapat manfaat daripada sistem kewangan Islam.

Sebab itu Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang merupakan hasil inisiatif Malaysia yang dianjurkan buat pertama kali di luar dunia Islam - di London - mendapat sambutan yang amat menggalakkan termasuk daripada peneraju dan ketua-ketua industri di Eropah.

Aliran modal Islam yang semakin berkembang sukar untuk ditolak oleh pusat-pusat kewangan dunia termasuk London yang menawarkan diri untuk menjadi pusat kewangan Islam di luar dunia Islam.

Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron bahawa mereka tidak mahu ketinggalan untuk berkongsi pasaran kewangan Islam yang tumbuh 50 peratus lebih pantas daripada perbankan tradisional.

Aliran pelaburan Islam global yang akan tumbuh kepada kira-kira RM7 trilion menjelang tahun depan juga cukup menggoda negara-negara Barat untuk turut sama menikmati sebahagian daripada pertumbuhan itu.

“Kami mahu memastikan sebahagian besar daripada pelaburan baru itu dilakukan di sini, di Britain," kata Cameron yang secara langsung menunjukkan pengiktirafan dunia Barat terhadap sistem kewangan Islam yang Malaysia merupakan antara pelopornya.

Sebab itu kehadiran WIEF di London turut membuka mata banyak pakar dan penganalisis ekonomi Barat, yang mana ramai juga daripada mereka mengintai untuk melihat dan mencari peluang yang ditawarkan pada platform WIEF.

Di Britain sendiri kewangan dan pelaburan Islam telah memainkan peranan dalam menyumbangkan kepada pembangunan kota raya tersohor itu yang menghasilkan sumber pekerjaan dan kekayaan baharu.

“Pelaburan Islam sebenarnya telah menjadi asas kepada kejayaan kami," akui Cameron.

Cameron membuat pengakuan itu kerana beberapa projek mega di London sebenarnya dibiayai sama ada melalui sistem kewangan Islam atau pun pelaburan Islam.

Pembinaan menara pencakar langit tertinggi di Eropah, The Shard misalnya dibiayai melalui pelaburan dari Qatar.

Begitu juga dengan pembiayaan oleh Emirate untuk membina stadium Arsenal dan Etihad melabur untuk Manchester City.

Malaysia turut menyumbang kepada pelaburan di London melalui pelaburan untuk Battersea Power Station yang bernilai kira-kita RM2 bilion dan Masdar melabur 20 peratus dalam London Array Offshore Wind.

Malah Thames Water, Barclays, Sainsburys, Harrods dan perkampungan Olimpik di London ketika Sukan Olimpik yang lalu semuanya dibiayai oleh pelabur Islam.

Semua itu menunjukkan pelaburan dan kewangan Islam mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing dalam sistem kewangan global.

Biar apa pun pandangan negatif masyarakat Barat terhadap Islam termasuk dikaitkan dengan keganasan dan pelampau, namun ekonomi yang bertunjangkan Islam mempunyai kelebihan tersendiri dan telah membuka mata masyarakat dunia.

Seperti kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, dunia kini menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sistem kewangan Islam.

Pertumbuhan itu katanya, cukup ketara hingga urus niaganya merentasi sempadan dan elemen penting yang menyumbang kepada perkara itu ialah ketelusan dan rasional dalam hukum syariah.

Kos lebih rendah yang ditawarkan melalui sistem kewangan Islam juga antara tarikan kenapa Barat kini turut melihatnya sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme yang dipelopori mereka.

Gabenor Bank Pusat Emeriah Arab Bersatu (UAE), Sultan Nasser Al Suwaidii berkata, untuk memastikan industri berkembang kos pembiayaan perlu dikurangkan.

Katanya, itu yang ditawarkan oleh kaedah kewangan Islam berbanding dengan perbankan konvensional.

Tetapi itu tidak bermakna para penggerak sistem kewangan Islam sudah boleh berpuas hati dan berbangga dengan apa yang telah dicapai.

Usaha perlu terus dilakukan supaya produk kewangan yang mematuhi syariah diterima secara lebih luas dan terbuka di seluruh dunia.

Pengarah Eksekutif untuk Pasaean, Bank of England, Dr. Pauk Fisher berkata, untuk menjadikan sistem kewangan Islam sebagai satu kuasa ia perlu terus diperkembangkan dengan pembabitan lebih ramai pedagang supaya kecairan modalnya lebih tinggi selain penglibatan lebih besar dalam produk berasaskan syariah.

Daripada pengakuan, maklum balas dan reaksi daripada pemimpin dan tokon-tokoh perbankan sepanjang WIEF yang berlangsung di London itu jelas menunjukkan sistem kewangan Islam kini semakin berkembang dan semakin diterima termasuk oleh masyarakat perdagangan bukan Islam.

Malah WIEF yang kini masuk tahun kesembilan dan bakal berkampung di Dubai, UAE tahun depan semakin diperakui peranan dalam mempromosikan bukan sahaja hubungan pelaburan dan perdagangan sesama rantau Islam, tetapi juga sebagai platform untuk dunia bukan Islam terutama Barat mengenali dan seterusnya mengiktiraf sistem dan seterusnya berdagang secara Islam.



Aznan Bakar Utusan Malaysia Online Rencana 20131102

Memikirkan masa depan Mahkamah Syariah negara

PADA satu ketika dulu, banyak pihak yang menganggap Mahkamah Syariah di negara ini sebagai satu “kangaroo court" (berdasarkan pengamatan dan pemahaman penulis).

Ini kerana mengikut persepsi umum, institusi itu tidak ada struktur yang betul dan tidak ada prosedur yang lengkap dan mantap.

Pakar dalam hal ini ( mentor saya, Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim) berpendapat bahawa gerhana Mahkamah Syariah berlaku pada 1948, bila kedudukannya diletakkan di bawah Mahkamah sivil.

Kedudukan ini berterusan selepas merdeka, apabila bidang kuasa Mahkamah Syariah terus di kekang di paras 3:5:6 (iaitu hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah tidak boleh melebihi penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan).

Kini walaupun negara sudah tidak lagi dijajah selama lebih 50 tahun, dan Mahkamah Syariah di negara ini sudah dikatakan “dewasa", had dan batasan yang dikenakan oleh Parlimen itu masih lagi berterusan. Walaupun banyak pihak telah menyeru agar kedudukan ini disemak semula dengan segera, nampaknya semua gesaan ini masih belum berhasil.

Di tahun 70an, undang-undang yang ada (misalnya di negeri asal saya Johor) hanyalah satu, iaitu Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 1978.

Dalam satu Enakmen itulah dimuatkan peruntukan tentang mahkamah syariah negeri, tentang kesalahan jenayah, tentang prosedur, tentang Majlis Agama Islam Negeri, tentang Mufti, dan sebagainya. Saya ibaratkan Enakmen 1978 itu sebagai undang-undang rojak, yang pastinya banyak kelemahan dan kekurangan.

Setelah kerajaan Malaysia membuat dasar mewajibkan semua warga Mahkamah Syariah di negara ini menjalani kurus teori dan amali tentang kehakiman Islam di Universiti Islam Antarabangsa (mulai awal tahun 80an) dan selepas itu Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan, proses transformasi yang dinanti-nantikan akhirnya dapat dilaksanakan.

Beberapa undang-undang baru diluluskan (mengenai struktur dan bidangkuasa Mahkamah Syariah, mengenai prosedur mal, mengenai prosedur jenayah, mengenai kesalahan jenayah syariah, mengenai undang-undang keterangan dan sebagainya) menggantikan undang-undang rojak yang lama.

Proses penstrukturan Mahkamah (kepada tiga tingkat - Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan) juga dilakukan, serentak dengan proses mengasingkan Mahkamah Syariah dari Majlis Agama Islam Negeri dan Pejabat Mufti.

Ini sejajar dan selaras dengan doktrin pengasingan kuasa, bahawa tiga organ kerajaan (badan perundangan, badan kehakiman dan badan eksekutif) mesti diasingkan dan tidak dibenarkan duduk sebumbung. Intipati doktrin pengasingan kuasa ini adalah Mahkamah mestilah bebas dari sebarang pengaruh atau tekanan dari mana-mana pihak.

Kemuncak proses memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini berlaku bila Perkara 121 Fasal (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda, pada 10 Jun 1988. Mula tarikh pindaan itu, sekiranya satu-satu kes itu terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah, kes itu tidak boleh didengar (dibicarakan) di Mahkamah Sivil di negara ini.

Di Kedah (tempat saya tinggal sejak 17 tahun lalu), Mahkamah Syariah negeri mempunyai bangunannya sendiri, di bawah pentadbiran Ketua Hakim Syarie negeri, dan tidak lagi duduk sebumbung dengan Mufti atau Majlis Agama Islam Negeri.

Di negeri asal saya (Johor), Mahkamah Syariah negeri juga mempunyai bangunannya sendiri, diletakkan di bawah pentadbiran Ketua Hakim Syarie, dan tidak lagi terletak di bawah pengawasan atau kelolaan atau pentadbiran Mufti atau Majlis Agama Islam Negeri.

Pada 2007 dan 2008, saya berulang alik ke Bandar Seri Begawan Brunei Darussalam untuk mengendalikan skim latihan amali semua warga Mahkamah Syariah negeri. Di negara itu saya dimaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah juga telah dipisahkan dari Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam.

Dalam portal rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (sila lihat http://jksp.pahang.gov.my/index.php/maklumatkorporat/ sejarah-penubuhan) , saya terbaca kenyataan berikut - “ Secara rasminya, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang telah ditubuhkan pada 19 Januari 1995 yang sebelum itu lebih dikenali sebagai Mahkamah Qhadi di Jabatan Agama Islam Pahang. Dengan penubuhan tersebut, ia terpisah dari pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang dan mempunyai struktur organisasinya sendiri…

Penubuhan Mahkamah Syariah diperuntukan di bawah Seksyen 42 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam No.3 Tahun 1991. Jabatan Kehakiman Syariah diletakkan di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang ( SUK ) dan diketuai oleh Yang Amat Arif ( Y.A.A.) Ketua Hakim Syarie…"

Walaupun rungutan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap Mahkamah Syariah kita terus kedengaran dari semasa ke semasa (misalnya mengenai kelewatan prosiding atau perintah mahkamah yang terus tidak dipatuhi oleh pihak-pihak tertentu), tidak kedengaran lagi cemuhan seperti dulu. Juga tidak kedengaran rungutan mahkamah syariah kita boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak lain.

Disebabkan sudah lebih 10 tahun kini saya tidak lagi aktif mengendalikan apa-apa program latihan untuk warga Mahkamah Syariah, bagi di peringkat pusat mahu pun di peringkat negeri, saya tidak sedar apa yang telah berlaku di sebuah negeri tidak beberapa lama dulu. Khabarnya di negeri itu, Mahkamah Syariah Negerinya dikembalikan “duduk sebumbung" dengan Majlis Agama Islam Negeri.

Anehnya, dalam portal rasmi Jabatan Kehakiman Syariah negeri berkenaan (sila lihat http://syariah.terengganu.gov.my/pendahuluan.php) kenyataan berikut masih kekal lagi tercatat -

“Mulai tahun 1988, Mahkamah Syariah mula diasingkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri-Negeri termasuklah di negeri Terengganu. Mulai tahun 1989 juga penjawat jawatan Pegawai Syariah mulai mengisi jawatan-jawatan di Mahkamah-Mahkamah Syariah dan kemudiannya di lain-lain institusi. Di Terengganu Mahkamah diisi dengan Pegawai Syariah mulai pada 01 November, 1989."

Salleh Buang ialah penganalisis undang-undang. Utusan Malaysia Online Rencana 20131101

Istiqamah lakukan amal salih selepas haji amat dituntut

Sebaik-baik keadaan seorang hamba adalah yang melakukan kebajikan berterusan dan ia kebahagiaan sebenar dalam sebuah kehidupan. Kebajikan adalah manifestasi kepada satu penghijrahan daripada perkara maksiat dan dosa.

Kebajikan akan melipatgandakan pahala sepanjang masa seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan Allah SWT akan menambahkan petunjuk kepada mereka yang mendapat petunjuk. Amal salih yang kekal itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.” (Surah Maryam, ayat 76)

Jemaah haji pulang dengan membawa seribu pengharapan supaya amalan mereka diterima Allah SWT. Amat wajar bagi jemaah haji yang selesai menunaikan rukun Islam kelima ini menterjemahkan segala perilaku ibadat haji selepas mereka pulang.


Berterusan laksana amal

Petanda besar buat mereka yang diterima hajinya ialah menghabiskan baki umur menjurus kepada kebajikan demi kebajikan dan seterusnya mendapat ganjaran syurga. Bagi yang mengulangi haji buat kali kedua, maka ia dikira sunat dan akan ditulis dengan kebajikan yang banyak.

Seharusnya jemaah akan terus memelihara amal salih sehingga akhir hayat demi mencari keredaan Allah SWT. Dosa mereka terhapus sebaik selesai ibadat haji seperti disebut Baginda SAW: “Agama Islam (bagi saudara baru) akan menghapuskan dosa lalu dan haji juga akan memadamkan kesalahan yang lampau.”

Sesungguhnya, beristiqamah meneruskan amal salih selepas haji sesuatu yang sukar bagi mereka yang tidak mendapat pengajaran sebenar daripada ibadat haji itu. Kenyataan ini dapat dilihat dengan komitmen yang diberikan jemaah haji terdahulu selepas mereka pulang.

Ada yang dapat bertahan seminggu atau sebulan saja. Situasi ini amat menyedihkan kerana tarikh luput istiqamah mereka begitu singkat. Persoalan ini pernah dijelaskan Baginda SAW ketika sahabat bernama Sufyan Abdullah bertanyakan mengenai Islam yang tulen di sisi Allah SWT.

Jawab Baginda SAW: “Katakanlah bahawa kamu beriman dan beristiqamah dalam amalan soleh.” (Riwayat Muslim)

Istiqamah kepada-Nya

Saidina Umar ibn al-Khattab mendefinisikan maksud istiqamah ialah mereka yang beristiqamah dalam ketaatan kepada-Nya. Maksudnya, mereka seimbang dari segi ketaatan kepada Allah SWT dengan keyakinan, ucapan mahupun perbuatan.

Istiqamah di sini ialah memelihara kalimah tauhid dengan meninggalkan perkara mungkar dan meneruskan amal soleh seterusnya meneruskan kesinambungan kebencian kita kepada syaitan ketika melontar di tiga jamrah.

Pintu kebaikan yang disediakan Allah SWT kepada kita hendaklah dipelihara dan ditambah walaupun sedikit kerana ia datangnya daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh (beristiqamah) di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang kembali kepada kebenaran mengikutimu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas Allah SWT. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Surah Hud, ayat 112)

Ibadat haji sebenarnya boleh membentuk peribadi Muslim yang dikehendaki oleh Allah SWT. Tanpa peribadi yang luhur selepas haji, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan.

Dunia tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Oleh itu, peribadi soleh sajalah yang boleh menghalang perbuatan mungkar, tidak bertanggungjawab atau tidak menghormati hak orang lain.

Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 03/11/2013

Sikap kepunyaan berciri Islam rahsia kejayaan berganda

Organisasi perlu sedia ganjaran pastikan pekerja beri khidmat terbaik

Semangat kepunyaan atau merasakan organisasi milik kita merupakan tahap emosi dan motivasi kerja yang tinggi. Semangat ini tumbuh daripada perasaan dan tanggapan positif terhadap organisasi seperti kepercayaan, kebanggaan serta keseronokan berkhidmat.

Semangat kepunyaan atau pemilikan adalah salah satu faktor penyumbang kecemerlangan organisasi. Semangat ini adalah naluri yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai kecintaan manusia terhadap kedudukan, pangkat dan harta.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak; harta benda bertimbun-timbun dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang ternak serta kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali Imran, ayat 14)

Keinginan manusia kepada kerja, jawatan, pangkat dan harta digambarkan dengan emas, perak, kebun tanaman serta ternakan. Persoalannya, bagaimana untuk melahirkan semangat kepunyaan ini di kalangan pekerja?

Pupuk semangat kepunyaan

Satu hakikat ialah ia tidak datang dengan sendirinya. Setiap perasaan itu lahir dari dalam jiwa yang dipengaruhi pelbagai faktor dan dilalui pula dalam suatu jangka masa panjang. Beberapa langkah dikenal pasti pengkaji bidang pengurusan organisasi untuk membugarkan semangat kepunyaan.

Ia meliputi kejayaan organisasi menggambarkan hala tuju dan menjelaskan strategi untuk mencapainya. Memberi ganjaran dan penghargaan kepada pekerja yang menunjukkan pencapaian melebihi batas, menjadikan perbincangan serta perdebatan bersifat telus.

Melayan pekerja dan pelanggan seperti seorang pemilik, mewujudkan atmosfera kerja yang menarik lagi kondusif, memberi kepercayaan kepada pekerja untuk bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mengurus dengan komunikasi yang baik dan berhemah, meningkatkan motivasi pekerja melalui latihan serta membuka ruang mendapatkan maklum balas pekerja. Kesemua langkah ini sememangnya menjadi suatu kemestian dalam mengurus organisasi.

Konsisten laksana tugas

Cuma penekanan kepada cara ia dilaksanakan hendaklah dengan kesungguhan, konsisten dan rasa kasih sayang, hormat menghormati seluruh warga organisasi. Bagi pekerja pula, memahami kerja itu suatu amanah dan ibadah pasti berjaya menyuntik rasa bertanggungjawab dan kepunyaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang dikurniakan Allah SWT kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah SWT) seperti mana Allah SWT berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Namun, dalam memupuk semangat kepunyaan serta kecintaan kepada organisasi, Islam menyediakan garis panduan supaya semangat, perasaan dan tindakan kerja itu tidak menjadikan pekerjaan itu sia-sia dan pekerja pula terjebak dengan dosa.

Hendaklah semangat dan kecintaan itu tidak melampaui batas dengan menjejaskan tanggungjawab kepada Allah SWT serta bertentangan prinsip kerja Islam yang mengutamakan nilai benar, amanah, ikhlas dan jujur.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Disebabkan dia melihat dirinya sudah cukup apa dihajatinya.” (Surah al-‘Alaq, ayat 6 - 7)

Semangat kepunyaan yang sihat berasaskan langkah betul dan nilai Islam adalah rahsia kejayaan berganda, iaitu kejayaan kepada organisasi serta pekerja. Organisasi berjaya kerana dapat melahirkan pekerja yang setia dan bersemangat tinggi serta membina imej baik.

Manakala pekerja pula berjaya kerana dapat menyumbang kepada organisasi dengan perasaan gembira dan merasakan organisasi seperti milik sendiri. Kedua-duanya mendapat keberkatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan kami. Dan sungguh, Allah SWT berserta orang yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Berita Harian Online Agama 03/11/2013

Kemelut enakmen syariah

ISLAM merupakan agama rasmi persekutuan Malaysia seperti mana terkandung dalam Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, namun demikian hak-hak agama lain terus dipelihara dengan aman dan damai.

Hal berkenaan boleh diperhalusi dengan meneliti setiap butiran terkandung dalam tafsiran tersebut, sekali gus membawa simbol bahawa Malaysia merupakan sebuah negara unik kerana terdapatnya berbilang kaum dan agama.

Malah penggubalan Perlembagaan Persekutuan merupakan satu Kontrak Sosial iaitu hasil persetujuan pihak-pihak yang berperanan sesama rundingan mencapai kemerdekaan.

Umum diketahui bahawa Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan tanah air adalah cetusan muafakat semua bangsa dan etnik Malaysia dalam menuntut kebebasan dari British.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjamin Islam sebagai agama persekutuan sekali gus memelihara kesuciannya. - Gambar hiasan
Gambar AIZZUL A. MAJID

Persetujuan itu menggambarkan bahawa orang Melayu merupakan penduduk asal negara ini dapat menerima dan mengamalkan prinsip menerima iaitu agama lain boleh diamalkan selagi mana tidak menganggu keharmonian negara.

Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harus berkata agama Islam bukan sekadar bersifat upacara rasmi seperti ditimbulkan oleh sesetengah pihak tetapi lebih daripada itu dengan melihat kedudukan dan keistimewaannya dalam perlembagaan.

Kata beliau lagi, salah satu keistimewaan itu adalah peruntukkan dana awam untuk agama Islam yang tidak terpakai kepada agama lain dan paling penting adalah mengenai kewujudan Fasal (4) Perkara 11.

“Undang-undang tersebut menyatakan orang bukan Islam tidak berhak untuk menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama mereka di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

“Fasal itu merupakan salah satu peruntukkan penting yang berperanan untuk menjaga kesucian agama Islam, melaluinya, sekatan hak kebebasan beragama bagi orang bukan Islam dinyatakan," kata Idrus.

Peguam Cara itu berkata demikian dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Lacuna Dalam Pelaksanaan Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.’

Kertas kerja berkenaan disampaikan oleh Pengarah Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari yang mewakili Idrus dalam Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Namun begitu, Idrus berkata setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agama mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (1) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

Kebebasan Beragama

11. (1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Hak asasi

“Berdasarkan peruntukan tersebut, adalah jelas bahawa kebebasan beragama merupakan hak asasi yang dijamin dan dilindungi di negara ini, bagaimanapun perkara itu tidak boleh ditafsirkan begitu luas.

“Sekatan itu wajar kerana merupakan satu mekanisme penting bagi memelihara kesucian Islam yang diiktiraf sebagai agama bagi persekutuan," jelas Idrus dalam acara berlangsung selama tiga hari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Selaras dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, semua di negeri kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak telah menggubal enakmen bagi menghalang pengembangan agama selain Islam kepada orang Islam.

Tambah Idrus, Terengganu merupakan negeri pertama yang mewujudkan undang-undang itu pada tahun 1980 dan diikuti negara lain.

Secara umumnya, jelas Idrus, Enakmen Kawalan dan Sekatan Negeri-Negeri memperuntukkan antara lain iaitu mengenai kesalahan, pelantikan pegawai diberi kuasa atau bertauliah, kuasa penyiasatan, dan sebagainya.

“Akan tetapi terdapat perbezaan antara Enakmen Kawalan dan Sekatan Negeri-Negeri daripada beberapa aspek lalu menyebabkan kelompangan itu berlaku.

“Walaupun setiap enakmen masing-masing mematuhi prinsip Perkara 11 (4), tetapi setiap negeri berbeza pelaksanaan antara satu sama lain daripada pelbagai sudut," kata Idrus.

Antara perbezaan itu adalah perkataan dan perbahasan dalam Jadual Enakmen dan Sekatan Negeri-Negeri berbeza.

Contohnya Kedah tidak mempunyai peruntukkan mengenai perkara yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam manakala Johor tidak mempunyai jadual mengenai perkataan dilarang digunakan oleh orang bukan Islam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar setiap negeri melakukan semakan semula dan pindaan undang-undang berhubung penggubalan enakmen termasuk melibatkan soal keseragaman.

“Terdapat negeri menggubal enakmen itu dengan tidak melibatkan pihak polis. Namun demikian saya mencadangkan agar penguatkuasaannya berkenaan harus melibatkan pasukan keselamatan kerana soal itu menyentuh kepentingan awam.

“Selain itu, setiap negeri dicadangkan untuk membuat semakan semula dan pindaan undang-undang berhubung dengan keperluan untuk memasukkan peruntukkan mengenai peringkat mahkamah sivil bagi mengelak isu bidang kuasa timbul," jelas Idrus.

Berhati-hati

Dalam pada itu, Idrus menasihatkan supaya proses siasatan dan penguatkuasaan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tersebut perlu dijalankan dengan berhati-hati.

Hal demikian kerana jelas Idrus, untuk mengelakkan timbul sebarang konflik atau kesangsian dalam kalangan penganut agama lain memandangkan melibatkan sensitiviti kepercayaan.

“Sebagai kesimpulan, didapati masih terdapat beberapa lacuna (kelompangan) dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam negeri-negeri yang dilihat boleh menjejaskan pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

“Maka dengan sebab itu, setiap negeri boleh menyemak dan mencadangkan pindaan undang-undang yang bersesuaian terhadap enakmen berkenaan.

“Selanjutnya kerjasama daripada semua agensi seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), majlis agama negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah perlu bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan secara efektif dan berkesan," kata Idrus.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Onlne Bicara_Agama 20131030

Mencari keberkatan adalah kewajipan

BERSEMPENA dengan berakhirnya tahun 1434 hijrah dan kemunculan tahun hijrah yang baru ini ada baiknya jika umat Islam diajarkan cara memenuhi keperluan hidup mereka. Perkara ini merupakan satu isu yang terbukti telah memberikan banyak penyelesaian dan jalan keluar pada generasi salafusalih sebelum kita.

Apabila dikaji dengan mendalam ternyata kualiti hidup yang mereka jalani dengan kaedah-kaedah tertentu itulah telah berjaya 'menjemput' keberkatan sehingga menjadikan umur, harta dan ilmu yang dimiliki mereka memanfaatkan diri dan orang lain.

Sebagai contoh keberkatan hidup seorang sahabat bertaraf saudagar, Abdul Rahman bin Auf hingga menyebabkannya mampu menafkahkan hartanya secara tetap untuk para isteri Nabi SAW malah beliau turut memberikan elaun seperti pencen untuk para sahabat bekas tentera Badar.

Keberkatan yang ada pada ilmu sahabat yang mulia iaitu Ibn Abbas menjadikan setiap jaringan disiplin ilmu yang datang daripada baginda Nabi SAW lalu meneruskannya.

Kualiti hidup atau yang lebih tepat dikenali sebagai berkat ini diambil daripada perkataan Arab iaitu barakah. Inisiatif mengusahakan sesuatu kebaikan pula dikenali sebagai tabarruk.

Firman Allah SWT dalam surah al A'raf ayat ke-96, maksudnya : Dan jika penduduk sesuatu tempat bertaqwa maka Kami akan bukakan untuk mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi.

Sebahagian para ulama tafsir contohnya al Qurtubiy merumuskan bahawa keberkatan yang dimaksudkan dalam konteks ayat ini merangkumi kebahagiaan, pertambahan dan perkembangan.

Ar-Raghib Al-Isfahani, seorang pakar tafsir mendefinisikan berkat sebagai tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu ".

Antara contoh keberkatan yang amat berkaitan dalam hidup yang mampu diusahakan adalah:

1. Keberkatan dalam rezeki

Muslim perlu meletakkan keyakinan bahawa keberkatan harta bukanlah terletak pada jumlahnya tapi pada reda Allah pada apa yang diusahakan olehnya.

Setiap kita bertanggungjawab memastikan bahawa rezeki itu diusahakan daripada sumber yang tidak haram. Rezeki itu dengannya kita mampu membiayai keluarga dan menjaga kebajikan mereka menurut timbangan syariat. Kesan daripada pemerolehan rezeki apabila diusahakan dengan cara yang diredai oleh Allah ialah mempermudahkan kita untuk melakukan taat kepada-Nya.

2. Keberkatan dalam menuntut ilmu

Setiap kita hendaklah meyakini bahawa ilmu adalah milik Allah SWT. Sedikit yang dipelajari dengan ikhlas kerana Allah SWT akan membuahkan lagi ilmu-ilmu lain dan yang lebih penting lagi adalah keikhlasan mencari ilmu akan melahirkan amal saleh.

Ia akan merangsangkan lagi minat untuk beribadat. Lihatlah betapa ikhlasnya para ulama silam dalam menuntut Ilmu membolehkan mereka merantau ke tempat-tempat yang jauh di seluruh pelosok dunia untuk menuntut ilmu walaupun sistem perhubungan yang amat zuhud pada masa mereka.

Lebih mengkagumkan berkat keikhlasan itu Allah SWT telah menjaga ilmu catatan mereka untuk diwarisi, dikembangkan untuk manfaat generasi kepada generasi selepas kewafatan mereka.

3. Keberkatan dalam urus niaga

Muslim yang berniaga hendaklah meletakkan dalam diri bahawa objektif perniagaan yang diusahakan itu adalah untuk menjadikan hidupnya, keluarga dan umat Islam mulia. Ini dapat dilakukan dengan mengeluarkan zakat untuk membantu meringankan kesusahan umat Islam dan menyediakan peluang pekerjaan pada mereka.

Keberkatan dalam perniagaan diperoleh bila adanya kejujuran dan mengutamakan hak-hak Allah SWT. Ingatlah selalu firman-Nya dalam surah al Nur ayat ke-37 yang bermaksud :

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

Menurut para ulama tafsir contohnya Ibn Kathir dalam tafsirnya , golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah para peniaga yang sentiasa menjaga amal ibadah mereka.

4. Mengusahakan keberkatan melalui masa

Setiap muslim wajar mengikat dirinya dengan masa yang berkat di sisi Allah SWT. Keberkatan seperti yang telah difahami sebelum ini adalah merujuk kepada kualiti ataupun nilainya di sisi Allah SWT. Sebagai contohnya adalah berkatnya doa di sepertiga malam yang terakhir seperti yang dinyatakan oleh baginda SAW menerusi hadis yang sahih bermaksud : Rabb kita Tabaaraka wa Ta'ala turun di setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir dan berfirman: "

"Siapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku kabulkan dan siapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku penuhi dan siapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku ampuni." ( Hadis Sahih riwayat al Bukhari)

Demikian juga muslim dituntut merebut peluang mustajabnya doa selepas azan dan sebelum iqamah untuk solat, selepas solat fardu, ketika sujud, pada waktu berpuasa dan hari wuquf.

5. Keberkatan melibatkan tempat

Ternyata dalam hadis juga bahawa Allah SWT memberikan keberkatan melibatkan tempat seperti yang jelas dinyatakan oleh Allah SWT bahawa bumi Syam adalah tempat yang diberkati.

Begitu juga dalam hadis Nabi SAW telah menyatakan keutamaan beribadat di tiga buah masjid iaitu Masjidilharam di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis.

Sabda Baginda SAW maksudnya : Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar (untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali (pergi ) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa di Palestin." Hadis Al-Bukhari.

Selain itu Nabi SAW turut mengajar kita tentang berkatnya berdoa di Padang Arafah ketika wuquf, kelebihan berdoa di Multazam, di Safa dan Marwah, Makam Ibrahim, Telaga Zam-Zam dan kawasan-kawasan haji.


Utusan Malaysia Online Rencana 20131103

Desakan COMANGO jejas Islam, hak orang Melayu

Tuntutan bertentangan Perlembagaan, menyimpang daripada naluri manusia

Pencapaian Malaysia bagi menentukan semua warganya dapat menikmati hak ekonomi, sosial dan kebudayaan serta rancangan membasmi kemiskinan dan menyediakan khidmat kesihatan, selain mendapat pendidikan dipuji pada satu persidangan hak asasi antarabangsa minggu lalu.

Kedudukan hak asasi manusia dalam negara itu dibentangkan Malaysia pada Persidangan Sesi Kedua Semakan Berkala (UPR) di pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada 24 Oktober lalu. Berikutan itu banyak negara ahli mengalu-alukan kedudukan dan usaha Malaysia itu.

Malaysia juga mendapat komen positif terhadap tindakan kerajaan memansuhkan beberapa undang-undang penahanan pencegahan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah (EO). Bagaimanapun, beberapa negara ahli juga menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah (PCA) kononnya ia mundur dan tidak selaras dengan prinsip hak asasi manusia sehingga boleh menggugat hak asasi sesetengah rakyat.

Laporan mengenai kedudukan hak asasi manusia bagi Malaysia hasil daripada semakan UPR itu dijangka diterbitkan hari ini.

Mereka yang menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan PCA itu seolah-olah lebih mementingkan hak orang yang mahu melakukan jenayah daripada mangsa. Maka itulah juga dalam sesuatu kes jenayah di mahkamah misalnya, persepsi ramai ialah hak yang dituduh lebih dipentingkan berbanding memberi pertimbangan terhadap mangsa atau keluarga mangsa.

Tuntutan bertentangan Perlembagaan

Apakah hanya yang dituduh saja perlu dijamin mendapat hak tetapi hak masyarakat dan mangsa atau keluarga mangsa diabaikan? Inilah masalahnya apabila melihat hak asasi sejagat yang dilaungkan serta mahu dipertahankan kelompok hak asasi manusia tertentu padahal ada antaranya jauh menyimpang daripada naluri manusia dan kehendak agama.

Apakah hak ini yang mahu dipertahankan dan dipromosikan?. Mereka memberi gambaran hak individu, hatta hak penjenayah lebih penting daripada hak kumpulan dan masyarakat. Dalam pada itu ada pula pakatan 54 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini yang digelar COMANGO menyampaikan tuntutan terhadap beberapa perkara yang mahu dipertimbangkan UPR mengenai Malaysia.

Jelas beberapa tuntutannya bukan saja menyimpang daripada perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara tetapi juga menyimpang daripada naluri kebiasaan manusia.

Antara tuntutannya ialah mahu Malaysia menandatangani ‘International Covenant on Civil and Political Rights’ termasuk hak kebebasan beragama secara meluas. Ini bermakna pertubuhan itu mahu diwujudkan hak kebebasan untuk memilih agama termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianutinya.

Pengajaran umat terdahulu

Persoalannya apakah tuntutan ini tidak boleh menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara yang mana usaha untuk memurtadkan orang Islam ditegah. Diketahui, walaupun peruntukan demikian wujud, ada usaha pihak tertentu gereja Kristian mahu mengkristiankan orang Melayu dan Islam. Sekiranya desakan mereka itu diterima usaha mengkristiankan orang Islam tentunya akan dipermudahkan.

COMANGO juga mahu Malaysia mendukung International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) yang memberi implikasi terhadap kedudukan hak orang Melayu seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga bermakna mereka mahu kontrak sosial yang sudah dipersetujui menjelang negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dinyahkan saja. Sekiranya hak Melayu mahu digugat, apakah orang Melayu tidak pula boleh mempersoalkan kedudukan bahasa dan sekolah sukuan?

Ini tentunya akan menimbulkan keadaan yang tidak stabil dan pertelingkahan antara kaum dalam negara. Apakah ini yang NGO itu mahu perjuangkan?. Lebih jelek lagi ialah tuntutan mereka mahu negara mengiktiraf hak seksual dan pengenalan gender (SOGI) mencakupi hak hubungan sejenis atau jolokan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender). Apakah mereka ini mahu kerajaan mengiktiraf perkahwinan sejenis seperti yang dibenarkan dan diiktiraf beberapa negara Barat?

Apakah mereka tidak insaf dengan laknat Tuhan terhadap perlakuan songsang yang menyimpang daripada naluri semula jadi manusia seperti yang berlaku pada umat Nabi Luth di Sodom dan Gomorrah?

Inilah yang harus jadi renungan rakyat yang cintakan keharmonian dan kestabilan dalam negara apabila menimbang tuntutan pelbagai hak asasi yang terlalu mementingkan hak individu sehingga mengabaikan hak kumpulan dan hak masyarakat.

Rejal Arbee ialah Felo Kanan di UKM. Berita Harian Online Rencana 01/11/2013

COMANGO cabar kedaulatan Islam di Malaysia

Tuntutan atas dasar kebebasan hak asasi dianggap keterlaluan

Khamis lalu, Malaysia dinilai prestasi hak asasi manusianya pada Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang kedua di Geneva, Switzerland. Proses ini dilalui oleh semua negara dan negara lain yang berminat dibenarkan bertanya serta memberi cadangan kepada Malaysia mengenai hak asasi ini.

Gabungan Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) menghantar 16 wakil rasmi menghadiri proses semakan itu yang mendengar tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

Seramai lima wakil diberi status ECOSOC NGO (Jawatankuasa Ekonomi dan Sosial) iaitu Azril Mohd Amin, Nasharudin Mat Isa, Abdul Rahim Sinwan, Dr Yusri Muhammad dan penulis sendiri. Sementara yang lain dibenarkan sebagai pemerhati.

COMANGO menghantar laporannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengandungi tuntutan yang boleh disifatkan sebagai keterlaluan dan menghakis kedaulatan serta kedudukan Islam dalam negara.

Antara tuntutan COMANGO ialah menuntut kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keislaman seseorang itu.

Menghapuskan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuat kuasa, memberi gambaran buruk terhadap usaha kerajaan menyampaikan dakwah Islam kepada orang asli, mengiktiraf hak pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT); menghalalkan perzinaan atas alasan kedua-dua pihak rela dan bersetuju.

103 negara minta penjelasan

Ketika semakan itu, ada 103 negara yang meminta penjelasan dan mengesyorkan perkara yang pada pandangan mereka dapat meningkatkan prestasi hak asasi Malaysia. ECOSOC NGO atau pemerhati tidak diberikan peluang untuk berucap pada ketika ini.

Namun, ada NGO yang hadir termasuk Muslim UPRo melobi pihak tertentu supaya tekanan yang diberikan terhadap Malaysia dapat diringankan dan pihak kerajaan lain dapat memahami kedudukan Malaysia sendiri. Proses yang berjalan hampir tiga jam setengah bermula dengan pembentangan Ketua Delegasi Kerajaan Malaysia, bekas Duta Malaysia ke Switzerland, Datuk Ho May Yong, diikuti syor sebahagian negara peserta yang dimulakan oleh Arab Saudi serta 51 negara lain.

Sesi kedua pula ialah penjelasan negara mengenai syor yang dikemukakan 52 negara berkenaan yang disampaikan Radhi Haron daripada Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Orang Asli dan wakil kerajaan Sarawak. Selepas itu 51 negara lain pula membuat pengesyoran kepada Malaysia dan dijawab delegasi Malaysia.

Jelas menunjukkan beberapa negara yang diberi peluang memohon penjelasan, ada sebahagian seolah-olah menjadi jurucakap kepada COMANGO dalam mengemukakan cadangan. Cadangan yang dikemukakan itu mirip kepada tuntutan dibuat COMANGO.

Isu berkaitan LGBT, memansuhkan kesalahan terhadap hubungan seks dengan kerelaan oleh orang dewasa, memberi kebebasan total untuk memilih agama termasuk keluar daripada Islam dan dakwaan diskriminasi terhadap golongan minoriti dibangkitkan negara yang menyertai proses ini. Amat jelas mereka mempunyai maklumat berkaitan apa yang dibangkitkan mungkin berdasarkan maklum balas diberikan pihak tertentu.

Malah, COMANGO juga mengadakan acara sampingan bagi menjelaskan tuntutan mereka kepada dunia luar seperti cuba mempengaruhi dunia luar untuk menekan Malaysia dalam pencapaian hak asasi Malaysia. Kehadiran delegasi Muslim UPRo bertujuan memberi pandangan dari perspektif yang sebenar berbeza yang dilaungkan COMANGO. Dalam proses melobi itu pelbagai pertubuhan sudah ditemui dan persepakatan dicapai dalam banyak perkara.

Lobi tentu arah desakan hak asasi manusia

Muslim UPRo dan COMANGO adalah pelobi yang dapat menentukan ke arah mana desakan hak asasi manusia ini akan dikemukakan oleh negara yang menyertai proses ini. Oleh itu, tidak hairanlah ada pelbagai tuduhan dilemparkan oleh COMANGO terhadap Muslim UPRo yang sebenarnya tidak menjawab persoalan dikemukakan Muslim UPRo tetapi lebih kepada mempertikaikan kenapa Muslim UPRo pergi ke Geneva.

Persoalan yang Muslim UPRo kemukakan ialah jika COMANGO boleh pergi ke Geneva, kenapa tidak Muslim UPRo? Adakah Muslim UPRo kehilangan ‘hak asasi’ untuk menyuarakan pandangan mereka? Muslim UPRo amat berharap kerajaan tidak tunduk dengan desakan dan tuntutan yang boleh menjejaskan kedudukan agama Islam di Malaysia. Adalah amat malang jika kerajaan menerima tuntutan tidak masuk akal ini.

Muslim UPRo tidak menentang UPR tetapi apa juga hasilnya nanti, mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Proses semakan itu tidak berakhir pada 24 Oktober lalu, sebaliknya akan bersambung lagi pada penghujung Februari hingga awal Mac tahun depan bagi memberi input atau syor yang akan diterima kerajaan.

Pada sesi itu nanti, NGO yang diakreditasi dibenarkan bercakap. Adalah diharapkan delegasi Muslim UPRo akan dapat menyertai proses itu pada tahun depan untuk menjelaskan kedudukan sebenar undang-undang dan fakta negara.

INFO: Muslim UPRo

Gabungan Pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) menghantar 16 wakil rasmi menghadiri proses semakan itu yang mendengar tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

Seramai lima wakil diberi status ECOSOC NGO (Jawatankuasa Ekonomi dan Sosial) iaitu Azril Mohd Amin, Nasharudin Mat Isa, Abdul Rahim Sinwan, Dr Yusri Muhammad dan Zainul Rijal Abu Bakar.


Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang juga wakil Muslim UPRo di Geneva, Switzerland. Berita Harian Online Rencana 28/10/2013

Bukan semua prinsip hak asasi bersifat sejagat

Gelombang hak asasi berpaksikan akal naluri manusia dan meletakkan kebebasan diri tanpa sempadan agama bagai begitu mendapat tempat dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO).

Perkara ini jelas selepas pembentangan pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, baru-baru ini. Antara lain, kita mengambil maklum bahawa COMANGO dilaporkan sebagai menuntut kebebasan orientasi seksual.

Perlu ditegaskan, tuntutan sebegitu jelas bertentangan dengan kefahaman, pendirian dan prinsip Islam. Begitu juga dengan ketidakselarasan tuntutan itu dengan hala tuju dan ideologi negara.

Kita perlu sedar, itulah hakikat kedudukan hak asasi di Malaysia. Tuntutan itu jelas menunjukkan konflik yang sedang kita hadapi mengenai falsafah atau prinsip hak asasi.

Kita lihat pihak yang menyokong hak asasi berpaksikan akal naluri manusia itu membawa hujah kesejagatan hak asasi. Dalam erti kata lain, hak asasi seperti itu mendapat pengiktirafan dunia. Saya tidak menafikan hujah kesejagatan hak asasi. Ada beberapa perkara yang kita harus terima bahawa hak asasi mempunyai elemen kesejagatan.

Usah ketepi elemen tempatan

Namun, pihak itu harus menerima hakikat hak asasi juga mempunyai elemen tempatan. Tidak semua prinsip dalam hak asasi itu sejagat. Apa yang dimaksudkan dengan hak asasi serta ideologi dan falsafahnya juga perlu diterima masyarakat setempat.

Hak asasi mempunyai nilai tempatan dan perlu boleh diterima oleh masyarakat. Oleh itu ‘paksaan’ ke atas kita untuk menerima hak asasi yang dikatakan sejagat sebenarnya juga satu pencerobohan ke atas hak asasi. Ia pencerobohan untuk kita menentukan hala tuju hak asasi berdasarkan ideologi dan falsafah negara.

Warga Malaysia perlu mengenali dan memahami falsafah negara sendiri. Prinsip Rukun Negara perlu diberi perhatian. Prinsip Rukun Negara adalah penzahiran daripada falsafah dalam Perlembagaan. Oleh itu, menghormati Rukun Negara juga seperti menghormati Perlembagaan yang menjadi sumber ideologi dan sistem pentadbiran negara. Banyak pihak yang sudah menjelaskan Islam adalah ideologi negara dan kedudukan agama lain juga penting bagi mendasari falsafah negara.

Kita juga harus meletakkan satu titik yang jelas dalam konteks hak asasi supaya hujah kesejagatan yang dibawa itu tidak menceroboh hak asasi kita dan seterusnya merosakkan identiti negara.

Satu lagi berkaitan hak asasi ialah perkara kemoralan. Mereka yang mendukung kesejagatan hak asasi mahukan kemoralan menjadi perkara peribadi. Dihujahkan bahawa apa yang bermoral atau tidak bermoral itu terlalu abstrak – berbeza penilaiannya antara seorang dengan seorang lain atau antara satu pihak dengan pihak lain.

Falsafah kemoralan

Soal kemoralan, kata orang, mungkin berubah dari satu masa ke satu masa lain. Soal kemoralan juga mungkin berubah dan berbeza daripada fahaman dan nilai masyarakat yang berlainan. Sebagai hujahan balas, walau apapun perbezaan maksud moral, bagi tujuan sebuah negara, demi kelangsungan sistem dan identiti serta jati diri, kita perlu ‘memaksa’ semua golongan menerima falsafah kemoralan sebagai mana kehendak ideologi atau falsafah negara.

Agak jelas, negara kita menjaga soal kemoralan. Dengan prinsip ‘kesopanan dan kesusilaan’ maka falsafah kemoralan agak jelas kedudukannya dalam sistem perundangan dan sistem sosial negara.

Sudah tiba masa untuk setiap kita warga Malaysia kembali kepada ajaran agama. Sekiranya seorang Islam, kembalilah kepada ajaran Islam sebenar. Jika beragama Hindu, Buddha atau Kristian, kembalilah kepada ajaran sebenar agama masing-masing dan bukan membuat tafsiran agama berdasarkan kehendak peribadi.

Saya percaya, walaupun agama mempunyai falsafah berbeza, semua agama membawa penganutnya ke arah kemoralan yang akan membawa kepada satu hakikat kemoralan yang tidak jauh bezanya antara kepercayaan agama itu – sekurang-kurangnya dalam hal kebebasan orientasi seksual, kita tidak mempunyai banyak perbezaan dalam ajaran agama.

Saya percaya, dalam hal orientasi seksual ini agama ada titik persetujuan bahawa ia perkara tidak bermoral.


Shamrahayu A Aziz Berita Harian Online Rencana 30/10/2013