November 7th, 2013

Maksiat berleluasa berikutan jahil agama

Amar makruf nahi mungkar adalah dasar utama negara, salah satu tiang kesinambungan umat dan tujuan Allah SWT melantik manusia sebagai khalifah di dunia. Hukum mencegah kemungkaran dan menganjurkan melakukan kebaikan adalah fardu kepada semua umat manusia.


Jika jihad fi sabilillah adalah lapangan perjuangan menentang musuh Islam, amar makruf nahi mungkar adalah perjuangan di peringkat individu berbekalkan ilmu pengetahuan untuk membimbing mereka kembali kepada petunjuk Allah SWT.

Kejahilan mengenai agama


Faktor menyebabkan berleluasanya kemaksiatan dan kemungkaran dalam masyarakat Islam ialah disebabkan kebiasaan melakukannya. Ini mungkin berpunca daripada kejahilan mengenai agama di samping pengabaian kewajipan mencegah kemungkaran.

Ada tanggapan mencegah kemungkaran adalah tugas ulama, pemimpin dan badan berkuatkuasa yang dipertanggungjawabkan. Oleh itu, maka berleluasa perkara mungkar apabila tiada usaha yang melihat untuk mencegahnya.

Perlu diketahui, Nabi Muhammad menggesa umat Islam bersegera mencegah kemungkaran sebaik melihat ia berlaku. Jika kita tidak bertindak tegas, dikhuatiri Allah SWT tidak akan memakbulkan doa kita untuk mengatasi kemungkaran itu apabila ia merebak luas.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu hendaklah menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran sebelum kamu berdoa lalu doa kamu tidak akan diperkenankan.” (Riwayat Ibn Majah dan Baihaqi)

Mengabaikan dan meninggalkan amar makruf nahi mungkar menurut Imam al-Zahabi termasuk antara dosa besar memandangkan pentingnya tugas ini serta manfaat kebaikan yang terhasil daripadanya.

Hidup kita ibadat kapal belayar di lautan dan apabila ada yang cuba merosakkan kapal itu sesuka hati mereka, tidakkah penumpang lain bersedia melihat saja. Pastinya yang lain perlu mencegah kerana akibatnya akan menimpa mereka juga.

Berita Harian Online Agama 07/11/2013

Pluralisme cabar kedudukan Islam

Fakta jelas menunjukkan kalimah Allah tiada dalam kitab agama lain


Mahkamah telah memutuskan kalimah Allah adalah eksklusif untuk Muslimin walaupun tidak dinafikan ada pihak tidak berpuas hati dan mempertikaikan keputusan hakim. Mahkamah membuat keputusan kerana mereka telah diminta untuk membuat keputusan.


Oleh itu, tiada gunanya membawa kes ke mahkamah jika keputusan mahkamah tidak diterima, dan pertelagahan tetap mahu diteruskan. Jika semua pihak mahu memahami bahawa isu ini adalah isu terjemahan yang salah, dari awal lagi tiada keperluan untuk membawanya ke mahkamah.

Sudah memadai bagi pihak berkenaan bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apakah terjemahan Melayu bagi kalimah ‘God’, dan mereka akan menjawab: ‘Tuhan’. Alasannya, kalimah Allah adalah nama khas, dan nama khas tidak boleh diterjemahkan kerana akan menimbulkan kekeliruan terhadap maksudnya.

Tidak timbul soal kebebasan beragama, kebiasaannya dalam bahasa Indonesia, kewujudannya dalam Injil bahasa Arab dan meluasnya penggunaan kalimah itu di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Semua itu hanyalah kekeliruan-kekeliruan yang datang kemudian, sama ada disengajakan atau tidak.

Lebih penting adalah supaya masing-masing bertanya kepada diri sendiri apakah sebenarnya hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu.

Bukan semata-mata nama

Kalimah Allah bukan semata-mata nama, kerana ada pihak yang sinis menyindir semua ini hanyalah perebutan nama. Ia nama paling agung kerana merujuk kepada Wujud Yang Teragung, yang telah menzahirkan hakikat-Nya kepada manusia melalui kalimah-Nya yang ditanzilkan kepada Rasul-Nya.

Maka terlebih dulu mesti diakui bahawa kalimah Allah itu ditanzilkan, bukan kata terbitan dari mana-mana bahasa. Maksudnya, Allahlah yang mengkhabarkan kepada manusia bahawa nama-Nya ‘Allah’.

Dengan nama itulah, di samping nama-nama-Nya yang lain yang ditanzilkan, Dia mahu dirinya diseru. Hanya dalam Islam perkara ini berlaku, kerana hanya dalam Islam tanzil itu terpelihara. Dalam agama Kristian, bukan Allah yang mereka sembah.

Tanyakan persoalan ini kepada ahli teologi mereka dan tuntutlah jawapan yang jujur. Mereka tidak menyembah Allah dan tidak pernah merujuknya dengan kalimah Allah. Bagaimanakah boleh berlaku tiba-tiba di Alam Melayu ini mereka mengisytiharkan mereka juga menyembah Allah?

Adakah ini perisytiharan yang jujur dan patut kita semua alu-alukan ataupun Kristian di sini menyembah Tuhan yang berbeza daripada yang disembah di tempat lain? Jika mereka jujur mengakui mereka sebenarnya menyembah Allah, sejak bilakah itu berlaku?

Fakta menunjukkan kalimah Allah tidak wujud dalam kitab utama rujukan mereka, manakala Injil dalam bahasa Arab, hanyalah sebuah kitab terjemahan, bukanlah sumber autoritatif agama Kristian. Jika tidak, kenapa tidak jadikannya rujukan kepada seluruh penganut Kristian, bermula di Vatican.

Persoalan sebenar adalah kejujuran dalam beragama.

Pluralisme pada dasarnya adalah terbit dari sikap anti-ilmu, terutama sekali terhadap ilmu agama yang berpunca dari wahyu. Ia secara halus menafikan kedudukan Islam sebagai satu-satunya agama tanzil ataupun mengaburkan pengertian tanzil hingga meletakkan semua agama setaraf agama tanzil.

Pluralisme mengajarkan kepelbagaian hakikat dan setiap satunya dianggap sama benar sama sah, tidak ada yang lebih benar atau lebih sah daripada yang lain.

Apabila falsafah pluralisme digunakan bagi mentafsirkan agama, maka segala dakwaan dibuat oleh agama yang berbeza itu disamakan taraf dan kedudukannya sebagai dakwaan manusia yang relatif kepada budaya serta sejarah masing-masing.

Agama yang disamakan tarafnya dan tiada memiliki keutamaan serta keistimewaan mengatasi yang lain. Dalam sistem pemikiran sedemikian bagaimanakah boleh diterima kedudukan istimewa agama Islam seperti dinyatakan dalam perlembagaan negara.

Justeru, kita lihat kebelakangan ini betapa giatnya usaha pihak tertentu mencabar kedudukan agama Islam dalam negara ini. Usaha ini adalah tidak lain usaha pensekularan melalui penyebaran ideologi pluralisme.


Golongan pluralis

Golongan pluralis mengajak umat Islam terlebih dulu meragui kebenaran agamanya dan itu akan membuka jalan untuknya berkompromi dalam soal akidah. Keyakinan terhadap sesuatu akidah dimomokkan sebagai punca konflik dan pertikaian yang menumpahkan darah.

Pandangan sebegini amat sukar untuk ditangkis melihatkan kepada senario semasa di mana kepercayaan agama dikaitkan secara langsung dengan keganasan dan pertumpahan darah.

Di negara kita, walaupun kepercayaan agama belum menjadi alasan yang menumpahkan darah, namun kebimbangan tetap wujud kerana semakin meningkatnya anasir pelampau di sana-sini bukan saja dalam kalangan orang Islam termasuk penganut agama lain dan pendokong ideologi sekular.

Kaum pluralis itu adalah pelampau kerana mereka mengajar manusia supaya tidak membezakan antara kebenaran dan kepalsuan demi mencapai perpaduan serta keamanan. Keamanan sebenar berpunca daripada keyakinan hati terhadap kebenaran, itulah cita-cita setiap insan.

Perbuatan pelampau menggunakan alasan agama untuk mencapai cita-cita politik melalui penindasan dan keganasan tidak harus dijadikan hujah untuk mengaitkan agama dengan sikap yang zalim.

Ia sebaliknya menguatkan lagi keazaman pencinta kebenaran untuk mengenali hakikat seperti mana ia. Ia cabaran getir pada zaman di mana maklumat banyak dan mudah diperoleh sedangkan kayu ukur buat menilai maklumat itu tidak dimiliki melainkan oleh sebahagian kecil manusia.

Md Asham Ahmad ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama Perspektif IKIM 07/11/2013

Pilihan di tangan umat Islam

SISTEM perekonomian Islam merupakan salah satu cabang syariat agama seperti mana termaktub di dalam al-Quran dan al-sunnah serta wajib digunakan dalam kehidupan seharian.

Tanpanya, akan berlaku kepincangan urusan jual beli sesama manusia kerana wujudnya penindasan akibat berleluasa perbuatan riba.

Hal ini kerana dalam sektor muamalah, amalan riba dilarang bahkan unsur gharar (ketidaktentuan) juga diharamkan jika terdapat perkara berkenaan dalam urusan jual beli.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 275 surah al-Baqarah yang bermaksud: Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Malah ayat itu telah menjadi asas kepada sistem perekonomian Islam sejak ia diturunkan sehingga ke hari ini.

Bahkan sistem ini turut mendatangkan manfaat kepada umat Islam agar tidak berlaku kezaliman oleh para peniaga mahupun pembeli.

Namun demikian, walaupun syariat Islam itu sudah lama terkandung dalam al-Quran dan al-sunnah di muka bumi ini, namun ramai umat Islam tidak mengetahui dan menguasai ajaran yang terkandung di dalam kedua-dua panduan itu termasuklah sistem kewangan Islam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani, masyarakat Islam hari ini perlu dan wajib melakukan transaksi atas landasan syariah termasuklah daripada sudut penggunaan produk kewangan Islam.

Ujar Badlisyah, malangnya ramai dalam kalangan umat Islam termasuk di Malaysia masih lagi tidak mengetahui produk kewangan Islam serta tidak didedahkan bagaimana untuk melakukannya.

Badlisyah berkata, tanpa disedari sistem kewangan Islam telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu, malah di negara ini telah bertapak ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Terang beliau, hal itu dibuktikan melalui produk wakaf, zakat, mudarabah, ijarah dan sebagainya sehinggalah empayar kerajaan Islam sesuatu ketika dahulu mampu menguasai ekonomi dunia dan serantau.

"Sebenarnya sistem kewangan Islam sudah sekian lama diguna pakai di negara ini, namun ramai di luar sana tidak mengetahui fakta sejarah itu kerana diubah oleh penjajah.

"Alhamdulillah, Malaysia amat bertuah kerana dalam kalangan kita tidak buta sejarah apabila sejurus mencapai kemerdekaan dari British, kerajaan segera memperkenalkan semula sistem kewangan Islam menerusi penubuhan Tabung Haji.

"Akhirnya pada awal 80-an, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Akta Perbankan Islam yang telah diwartakan pada 10 Mac 1983 bagi membolehkan penubuhan institusi perbankan Islam di bawah pengawalseliaan Bank Negara," jelas Badlisah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Simposium Celik Muamalah Peringkat Wilayah Persekutuan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Islam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Badlisyah menambah, ramai tidak menyedari sebelum negara ini memperkenalkan sistem kewangan Islam, beberapa negara seperti di Asia Barat menemui kegagalan kerana wujud kekangan.

"Apa yang diusahakan dan dimajukan sebagai industri kewangan Islam moden di negara ini adalah untuk kebaikan kita semua supaya boleh menjalani kehidupan lengkap sebagai seorang Muslim.

"Berbanding negara-negara lain, kita di Malaysia mempunyai pilihan tulen dalam mengurus kehidupan peribadi, peniagaan serta pelaburan dengan betul berlandaskan syariah," kata Badlisyah.

Kurang sambutan

Namun demikian, Badlisyah menyatakan bahawa perlu diakui bahawa sektor perbankan Islam yang ada sekarang walaupun bertapak di Malaysia hampir 50 tahun, namun masih kurang sambutannya. Ini kerana masih ramai dalam kalangan umat Islam itu sendiri yang memilih menggunakan perbankan konvensional.

Hal ini kerana jelas Badlisyah adalah kesedaran dan pengetahuan mengenai perbankan Islam masih lemah dan cetek, lebih-lebih lagi mereka masih lagi menyimpan di akaun deposit dalam bank selain urus niaga Islam.

Beliau mendedahkan soal itu bukan sahaja melibatkan individu, tetapi secara tidak sedar, institusi keagamaan seperti masjid dan surau turut menggunakan duit hasil riba apabila punca kewangan mereka disimpan di bank konvensional, sebaiknya jika ia menggunakan kaedah perbankan Islam.

"Oleh demikian, menerusi simposium seperti ini, saya berharap semua penggerak organisasi masjid dan komuniti setempat menjadi ejen perubahan dalam memartabatkan sistem kewangan Islam di bumi Malaysia tercinta ini.

"Kita harus menyedari bahawa sistem kewangan Islam bukan khusus untuk umat Islam sahaja tetapi ia meliputi masyarakat berbilang kaum dan agama kerana transaksinya baik untuk semua pihak," terang Badlisyah.

Dalam pada itu, Badlisyah menggesa semua pihak termasuklah pihak berkuasa agama harus memberikan penerangan kepada umum dalam memperbetulkan salah tanggapan terhadap kewangan Islam.

Ujar Badlisyah, salah satu penyimpangan itu adalah menuduh institusi perbankan Islam mengambil kesempatan dengan mengenakan caj kadar berlebihan dan akhirnya dilabel sebagai zalim serta menjalankan penindasan.

"Selalu persepsi ini dengan diuar-uarkan secara membuat perbandingan pembiayaan rumah mengikut sistem Islam dengan kadar tetap (fixed rate) berbanding berubah-ubah (flexible rate).

"Memanglah perbankan Islam menetapkan kadar lapan atau sembilan peratus berbanding konvensional sehingga serendah 3.5 peratus, namun suatu ketika jumlahnya turun naik dan tinggi, akhirnya ramai tidak sedari ia sebenarnya jauh lebih mahal," jelas Badlisyah.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131106

Amanah pemegang sanad Quran

DI Malaysia penyebaran sanad al-Quran dalam kalangan masyarakat masih di peringkat awal. Perbincangan tentang sanad bermula apabila timbul kelas pengajian al-Quran yang menawarkan talaqqi al-Quran bersanad.

Maka mulalah timbul persoalan sanad yang berkisar tentang bagaimana hendak mendapatkan sanad al-Quran dan apakah pentingnya sanad al-Quran ini?

Selain itu, masyarakat awam juga mulalah bertanya kepada guru-guru yang mengajar al-Quran apakah maksudnya sanad al-Quran dan lebih parah apabila mereka meminta sanad daripada guru yang tidak mempunyai sanad. Lanjutan dari itu timbul suasana memperkecil dan memandang rendah kepada guru yang tidak mempunyai sanad.

Bagi pihak guru pula yang bacaannya baik dan menepati segala hukum tajwid tetapi tidak mempunyai sanad secara bertulis akan menjawab apa gunanya sanad jika bacaan salah dan banyak hukum tajwid belum menguasai dan makhraj huruf pun tidak teratur. Lebih-lebih lagi ada yang bertanya kepada mereka yang mempunyai suara yang menarik dan selalu mewakili musabaqah manakah sanadnya?

Soalan sebegini sebenarnya akan merosakkan suasana mahabah (kasih sayang) dalam mempelajari al-Quran. Penulis memetik kalam Ustaz Ashraf Ismail daripada gurunya di Mesir iaitu Syeikh Redha berhubung fungsi sanad, ia ibarat mendaki anak tangga untuk naik ke atas.

Beliau menambah, malangnya hari ini ramai yang mendapat sanad al-Quran tanpa memenuhi syarat yang ketat seperti orang terdahulu. Boleh baca al-Quran lebih kurang dengan sekali khatam sahaja sudah mendapat sanad.

Anugerah tertinggi

Sedangkan pemegang sanad adalah pemegang anugerah tertinggi yang tali-bertali sampai kepada Rasulullah SAW. Justeru, perkara yang perlu dijaga pemegang sanad ialah bertawaduk merendah diri dan selalu bersikap positif dengan memberi sumbangan ke arah perkembangan pengajian Quran.

Setiap guru Quran perlu diberi sokongan untuk terus mendidik masyarakat bacaan al-Quran yang tepat.

Selain itu dalam waktu yang sama, ia juga perlu beramanah dengan sanad yang diterimanya. Jangan sekali menganugerah sanad kepada mereka yang belum layak menerimanya. Pastikan bacaan mereka tepat dengan hukum tajwid dan menguasai dengan baik makhraj serta sifat huruf.

Perkara ini perlu ditekankan kerana terdapat pihak yang menganugerahkan sanad berdasar kepada sumbangan untuk projek tertentu.

Perlu ditegaskan bahawa bacaan al-Quran yang sampai ke tempat kita adalah secara bersanad. Guru Quran terdahulu yang mengajar al-Quran kepada masyarakat Islam di sini sudah tentu memiliki sanad. Hasilnya, ramai yang menguasai bacaan al-Quran yang tepat bahkan sebahagian bacaan dalam kalangan kita mengalahkan bacaan orang Arab.

Pernah penulis bertanya kepada Dr. Ashraf Fuad Tal'at pemegang sanad Quran dan banyak menghasil penulisan berkaitan Quran, tentang sanad guru yang hilang kemudian dia mengijazahkan kepada muridnya secara mulut dengan berkata, "Saya ijazahkan sanad yang saya terima daripada guru saya sehingga kepada Rasulullah SAW kepada kamu semua."

Beliau memberi jawapan bahawa harus menasabkan sanad guru tersebut jika susur galur sanad sampai kepada Rasulullah SAW dapat dikesan.

Isu-isu dalam sanad mendapat perhatian pakar al-Quran di sebelah negara Arab kerana terdapat mereka yang memalsukan sanad. Bagi mengatasi masalah ini satu organisasi yang merakam dan merekod semua sanad Quran di semua negara Arab dilaksanakan secara elektronik. Setiap sanad yang dikeluarkan guru kepada muridnya boleh disahkan melalui badan ini sama ada ia betul atau sebaliknya.

DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131106

Hak isteri dalam harta sepencarian

DALAM artikel lalu saya telah menulis mengenai asal usul harta sepencarian di mana ia datang daripada amalan adat Perpatih dan Temenggung yang ada di Malaysia.

Daripada adat ini amalan pembahagian harta sepencarian diterima pakai sebagai Undang-undang Islam kerana ia adalah 'urf yang tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Pada sebelum merdeka, tuntutan harta sepencarian dibuat di mahkamah sivil yang hakimnya adalah orang Inggeris atau mendapat didikan Undang-undang Inggeris dari England.

Selepas Malaysia merdeka, hal ehwal undang-undang Islam dan orang Islam diletakan di bawah kuasa Dewan Undangan Negeri. Dengan itu, mahkamah syariah diasingkan dan ditubuhkan di semua negeri dalam hierarki berikut:

l Mahkamah Rayuan Syariah

l Mahkamah Tinggi Syariah

l Mahkamah Rendah Syariah

Dengan penubuhan ini semua kes melibatkan Undang-undang Islam dan orang Islam dibawa ke mahkamah syariah. Sebelum 1988, masih ada juga kes orang Islam yang melibatkan Undang-undang Islam dibawa ke mahkamah tinggi sivil kerana mahkamah ini mempunyai bidangkuasa luas yang diperuntukan oleh Akta Mahkamah Kehakiman 1968.

Ia menimbulkan rasa kurang hormat warganegara Malaysia kepada mahkamah syariah dan sering timbul rasa tidak puas hati kerana keputusan kedua-dua mahkamah yang sering bercanggah. Akhirnya Perlembagaan Persekutuan telah dipinda pada 1988 di mana Perkara 121 telah dipinda dan peruntukkan (1A) telah dimasukkan.

Menurut Perkara 121(1A) apa-apa perkara di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi Sivil tidak boleh masuk campur. Untuk pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, Mahkamah Syariah mendapat pengiktirafan dan kedudukan yang setanding dengan mahkamah sivil.

Sejak daripada pindaan tersebut semua kes harta sepencarian orang Islam dibawa ke mahkamah syariah. Dalam masa yang sama Akta atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam telah digubal dan diluluskan di semua negeri di Malaysia mulai 1983. (Akta untuk Wilayah Persekutuan, Enakmen untuk semua negeri kecuali Sarawak dan Ordinan untuk Sarawak sahaja).

Undang-undang Keluarga Islam ini mengkanunkan atau mengkodifikasi hukum Islam mengenai kekeluargaan termasuk mengenai harta sepencarian. Contoh, dalam seksyen 2, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003, "harta sepencarian" ertinya harta yang diperoleh oleh suami dan isteri, sama ada secara langsung atau tidak langsung semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syarak.

Menurut seksyen 122, enakmen yang sama mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu masa perkahwinan dengan usaha bersama dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.

Mahkamah semasa hendak membahagikan aset atau harta tersebut hendaklah mengambil kira;

(a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperoleh aset-aset itu;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak, aset atau hasil jualan aset itu.

Mahkamah juga mempunyai kuasa, memerintahkan supaya apa-apa aset atau harta yang diperoleh semasa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagikan antara mereka dan jika dijual hasil jualan dibahagi antara mereka dan dalam melaksanakan kuasa ini mahkamah terikat dengan perkara seperti sumbangan secara tidak langsung, hutang dan kepentingan anak-anak yang masih kecil.

Walau bagaimanapun, dalam hal ini kerana harta dibeli hasil sumbangan seorang sahaja, pihak yang memberi sumbangan utama akan mendapat bahagian yang lebih besar. Dalam hal ini harta tersebut termasuk harta yang dibeli oleh salah satu daripada pasangan perkahwinan sebelum berkahwin dan dimajukan secara usaha sama.

Prinsip di dalam seksyen ini boleh dilihat penggunaannya di dalam kes Re Hajjah Nek Maimunah bt Salleh 1977 dan kes Tengku Anun Zaharah lwn Dato Dr. Hussein 1980.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131106

Jangan tunduk tuntutan COMANGO

DUA minggu lepas saya menulis mengenai penilaian prestasi Malaysia dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang dijalankan terhadap Malaysia pada 24 Oktober lalu. Saya dan 15 yang lain membentuk suatu gagasan yang dinamakan MuslimUPRo yang bertindak melobi dan menerangkan isu-isu berkaitan kedaulatan negara dan kedudukan istimewa agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan.


Terdapat banyak pandangan yang dikeluarkan secara pro dan kontra mengenai penyertaan MuslimUPRo di sesi Semakan Berkala Sejagat itu. Secara umumnya, terdapat pelbagai pandangan yang sebahagiannya jauh tersasar daripada realiti sebenar.


Sebenarnya MuslimUPRo tidak langsung menentang proses UPR di Geneva. Malah MuslimUPRo ingin secara aktif menyertai setiap proses di UPR kerana ini memberi ruang dan peluang kepada MuslimUPRo untuk mengenengahkan segala pandangan dan penjelasan yang berkaitan dengan kedaulatan negara dan kedudukan tinggi Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan secara tuntas.

Hal yang demikianlah menyebabkan MuslimUPRo yang ditunjangi oleh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengambil inisiatif untuk menyertai proses UPR. Alhamdulillah, lima orang delegasi MuslimUPRo telah diiktiraf dengan status ECOSOC NGO manakala 11 yang lain dibenarkan menjadi pemerhati.

MuslimUPRo juga percaya bahawa adalah menjadi hak asasi manusia bagi suara orang Islam di Malaysia didengar di UPR. Kalangan yang mencemuh MuslimUPRo sendiri sebenarnya tidak mengamalkan hak asasi manusia secara terbuka apabila mengkritik delegasi MuslimUPRo ke Geneva baru-baru ini.

Apa yang lebih menyedihkan ialah kalangan yang mengakui memperjuangkan hak asasi manusia termasuklah kebebasan bersuara ini seolah-olah dilihat menyekat hak orang Islam bersuara.

Persoalan yang timbul ialah apakah hak asasi manusia dalam kebebasan bersuara ini hanya terpakai jika suara mereka disekat tetapi tidak jika menentang sebahagian pandangan mereka?

Fokus MuslimUPRo

COMANGO yang menjadi teras kepada gagasan NGO hak asasi manusia telah mengemukakan laporan mereka kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di dalam proses UPR ini.

Sebagai salah seorang delegasi MuslimUPRo saya mengatakan MuslimUPRo bukanlah menentang COMANGO kerana terdapat beberapa tuntutan COMANGO yang dikongsikan bersama MuslimUPRo seperti penambahbaikan sistem pilihan raya, layanan kepada Orang Asli dan lain-lain. Namun fokus MuslimUPRo adalah berkaitan dengan kedaulatan negara dan kedudukan tinggi Islam di Malaysia.

MuslimUPRo mengenal pasti terdapat enam perkara yang ada dalam tuntutan COMANGO yang menjejaskan kedaulatan negara dan kedudukan istimewa agama Islam di Malaysia.

Saya tidak berhasrat untuk mengolah kembali keenam-enam perkara tersebut kerana saya telahpun menulisnya dengan panjang lebar dua minggu lepas.

Oleh itu, hanya enam perkara fokus ini yang menjadi tajuk utama yang ingin dikemukakan oleh MuslimUPRo berbeza dengan COMANGO. Maka adalah tidak benar jika dikatakan MuslimUPRo menentang COMANGO secara total.

Semasa sesi penerimaan yang dijalankan pada 31 Oktober lalu, Malaysia menegaskan akan mengkaji keseluruhan 232 syor yang dikemuka oleh 104 negara itu. Penerimaan dan penolakan akan dimuktamadkan pada sesi UPR ke-25 yang akan berlangsung pada bulan Mac 2014.

Penulis mendesak Kerajaan Malaysia agar dalam memberi pertimbangan kepada syor-syor yang dikemukakan itu, mengambil kira kedaulatan negara dan kedudukan tinggi Islam di Malaysia.

Congo negara dunia ketiga di Afrika pun dengan tegas menolak syor berkaitan LGBT. Masakan Malaysia sebuah negara Islam yang sering menjadi teladan kepada seluruh dunia Islam boleh menerima cadangan sedemikian.

Daripada kajian MuslimUPRo terdapat persamaan antara tuntutan COMANGO dengan syor-syor yang kemukakan oleh negara-negara lain semasa proses UPR ini khususnya berkaitan LGBT, murtad, pemansuhan kesalahan homoseksualiti dan jenayah syariah.

Tidak keterlaluan negara-negara tertentu, khususnya negara Eropah seolah-olah menjadi jurucakap bagi pihak COMANGO dan mendesak konsep universalisme ini diterap ke dalam negara dengan mengenepikan konsep relativisme di dalam isu hak asasi manusia.



Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131107