November 10th, 2013

Muliakan Rasulullah melebihi diri, keluarga

Sikap dan pendekatan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah sederhana. Mereka mengambil sikap pertengahan dalam mencintai Rasulullah SAW dan menempatkan Baginda pada tempat yang sepatutnya. Mereka tidak menempatkan Baginda sebagai Tuhan melainkan sebagai hamba dan utusan Allah SWT yang hanya menyampaikan ajaran daripada Tuhannya yang tidak boleh memberi mudarat atau mendatangkan manfaat dan yang tidak boleh mematikan atau menghidupkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah beriman salah seorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan manusia seluruhnya.”

Ketika Imam Malik membacakan kitab hadisnya, al-Muwatta’, tiba-tiba kala jengking menyengatnya 13 kali, tetapi ia tidak menghentikan perbicaraannya. Orang ramai kemudian berkata kepada Imam Malik: “Kami melihat wajahmu berubah. Imam Malik menjawab: Kala jengking menyengatku ketika aku sedang membaca hadis Rasulullah SAW. Orang ramai berkata: Mengapa tuan tidak menghentikan perbicaraan? Beliau menjawab: Aneh betul kamu ini! Bagaimana aku boleh menghentikan membaca hadis si kekasih (Rasulullah SAW) hanya untuk menolong diriku sendiri (dari sengatan kala jengking).”

Sa’id al-Musayyab ketika sedang sakit menjelang wafatnya pernah ditanya orang mengenai satu hadis. Maka, ia meminta kepada orang untuk mendudukkannya daripada pembaringan. Mereka berkata “Bukankah engkau sedang sakit wahai Sa’id al-Musayyab? Ia menjawab: Subhanallah. Disebutkan orang nama Rasululllah SAW di hadapanku sedangkan aku tetap berbaring saja.”

Demikian pula ketika Imam Ahmad jatuh sakit, ada orang bertanya kepadanya mengenai Ibrahim Thahman. Maka, ia bangun daripada tidurnya, lalu duduk dengan kaki bersilang di bawah paha sambil berkata: “Tidaklah layak disebutkan mengenai orang soleh kepada kita sedangkan kita masih terus berbaring.”


Hamba wanita dibenar masuk masjid

Ibnu Umar berkata kepada sahabat: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda: Jangan kamu mencegah hamba wanita untuk memasuki masjid Allah. Kemudian, anaknya Bilal yang ketika itu masih muda berkata: “Demi Allah, kami benar-benar akan mencegah mereka. Jangan sampai masjid dijadikan tempat yang dapat dimasuki sembarangan atau tempat penuh sesak dan tidak tertib.”

Mendengar kata-kata itu Ibn Umar marah, lalu duduk di atas kedua lututnya sambil berkata: “Aku hanya menyampaikan hadis Rasulullah SAW. Demi Allah, aku tidak akan berbicara lagi denganmu hingga aku mati.” Benar, sejak kejadian itu Ibn Umar tidak pernah lagi berbicara dengan anaknya hingga ia meninggal dunia.

Ketika Ibn Umar menghadapi sakaratul maut, anaknya (Bilal) datang sambil menangis dan berkata: Ayahku tidak mahu berbicara denganku sehingga ia meninggal dunia. Orang ramai berusaha supaya Ibn Umar mahu berbicara dengan Bilal tetapi hingga meninggal dunia pun ia tetap tidak mahu berbicara dengannya hanya kerana ia membantah hadis yang disampaikan ayahnya.

Bayangkan, apabila kepada anaknya sendiri yang dianggap mencela hadis Rasulullah SAW, Ibn Umar mengambil tindakan memboikot seperti itu, maka apa agaknya tindakan yang bakal diambil olehnya terhadap orang yang dengan terang-terangan menghina Nabi Muhammad SAW.

Rahimi, Hulu Klang, Selangor. Berita Harian Online Agama 10/11/2013

Boleh pandang tanpa disertai nafsu

Menahan pandangan yang diperintahkan Allah SWT bukan memejamkan mata atau menundukkan kepala sehingga tidak dapat melihat seseorang. Ini tidak mungkin dapat dilakukan terutama ketika berurusan. Menundukkan pandangan atau membebaskan pandangan bermaksud tidak mendekati tempat fitnah yang boleh merangsangkan.


Maka, lelaki boleh melihat wanita asal bukan melihat auratnya dan tidak pula dengan syahwat. Jika ia melihatnya dengan syahwat dan bimbang berlaku fitnah atas dirinya, maka tepatlah pendapat yang mengatakan haram. Dalam perkara ini, wanita seperti lelaki boleh melihat dengan beradab dan menahan atau membataskan pandangan kepada lelaki asalkan bukan melihat auratnya.


Imam Ahmad dan lain-lainnya meriwayatkan daripada Aisyah, orang Habsyi pernah bermain-main di sebelah rumah Rasulullah SAW pada hari raya. Kata Aisyah: “Saya melihat dari atas bahu Rasulullah, lalu Baginda merendahkan bahunya kerana saya, kemudian saya melihat mereka dari bahu Baginda sehingga saya puas, kemudian saya berpaling.”

Sebahagian ulama Syafi’iyah berpendapat lelaki tidak boleh melihat kepada wanita dan wanita tidak boleh melihat kepada lelaki berdasarkan hadis riwayat al-Tirmizi daripada Ummu Salamah dan Maimunah (iaitu dua orang isteri Baginda SAW) bahawa Rasulullah SAW menyuruh mereka berhijab dari Abdullah Ummi Maktum. Lalu kedua-duanya berkata kepada Baginda: “Bukankah dia itu buta yang tidak dapat melihat kami? Baginda menjawab balik: Apakah kamu berdua juga buta? Bukankah kamu berdua dapat melihat?”

Hadis ini tidak dapat dijadikan hujah oleh golongan yang berpendapat demikian kerana hadis itu tidak selamat daripada cela (cacat) iaitu cacat pada sanad dan dilalahnya. Bagaimanapun, hadis ini tidak mendapat darjat seperti hadis yang diriwayatkan dalam Sahihain yang membolehkan melihat.

Antaranya, hadis Fatimah Qais yang menyebutkan, Rasulullah SAW menyuruhnya beriddah di rumah Ibnu Ummi Maktum dan berkata: “Sesungguhnya dia (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta yang engkau boleh saja meletakkan pakaianmu di sisinya.”


Perintah berhijab

Al Hafiz Ibnu Hajar berkata: “Sesungguhnya perintah berhijab daripada Ibnu Ummi Maktum itu boleh jadi kerana dia seorang yang buta yang mungkin saja ada bahagian tubuhnya yang terlihat dengan tidak disedarinya, sedangkan kebanyakan orang Arab biasanya tidak memakai seluar.”

Imam Abu Dawud menjadikan hadis Ummu Salamah dan Maimunah ini khusus untuk isteri Nabi SAW, sedangkan hadis Fatimah Qais dan hadis lain yang sama makna dengannya untuk wanita secara umum.

Pendapat Abu Dawud ini dipandang baik oleh Ibn Hajar dan pendapat ini juga dipilih oleh Dr Yusuf Qaradawi kerana isteri Nabi SAW mempunyai kedudukan khusus yang akan mendapat azab Allah SWT dua kali ganda bagi mereka yang melakukan perbuatan keji dan mendapat pahala dua kali ganda bagi mereka yang berbuat kebajikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita.” (Surah al-Ahzab, ayat 32)

Allah SWT menjadikan hukum-hakam yang khusus untuk isteri Nabi kerana kedudukan mereka dan kerana status keibuan ruhiyyah mereka bagi kaum mukminin.

Halim, Seremban, Negeri Sembilan.

Zahazan Mohamed
Berita Harian Online Agama 10/11/2013

Semakin kaya semakin dekat dengan Allah

APABILA kita sihat, spiritual kita kuat, silaturahim kita terjalin erat, satu perkara lagi yang perlu kita cari dan pelihara adalah kekayaan. Kita perlu kaya kerana dengan kekayaan itu, kita dapat menjamin keselesaan hidup berkeluarga, keselesaan hubungan dengan Tuhan dan dapat membantu orang.

Memang benar kekayaan bukan jaminan kebahagiaan; kerana wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya perlukan wang.

Lantaran itulah sebagai manusia kita mesti berusaha untuk mempertingkatkan kedudukan ekonomi kita.

Selain kita kena berani membuat pilihan, kita juga kena berani membuat perubahan, dengan mencuba bidang baharu dan mungkin asing bagi kita. Contohnya daripada selesa “menjemput rezeki" dengan bekerja makan gaji, mungkin kita cuba ceburi bidang perniagaan pula.

Memulakan “menjemput rezeki", (bukan “mencari makan") dalam bidang perniagaan, merupakan satu cara untuk meningkatkan pendapatan kerana mempercayai bahawa sembilan daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan, mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Apakah perbezaan antara “menjemput rezeki" dengan “mencari makan"? Dalam Kamus Dewan, “menjemput" bermaksud, menyambut atau mengambil sesuatu yang pasti ada, sedangkan “mencari" adalah berusaha mendapatkan sesuatu yang tidak pasti dan tidak tahu di mana ia berada.

“Rezeki" pula bermaksud, segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani. Misalnya, makanan, ilmu dan sebagainya. Oleh itu, pilihan kata yang tepat untuk kita, sebagai manusia adalah “menjemput rezeki" bukan “mencari makan".

Hal ini adalah kerana, “mencari makan" lebih sesuai untuk dunia haiwan, seperti burung yang keluar dari sarangnya dengan perut yang kempis dan kembali ke sarang dengan perutnya yang kembung.

Sedangkan kita manusia, tanggungjawab kita selain “menjemput rezeki" untuk makanan fizikal, kita juga bertanggungjawab untuk mengambil makanan kerohanian untuk beribadah kepada Allah.

Oleh itu betulkan pilihan kata kita dan niat kita, “Saya mencari rezeki halal, dengan duit ini insya-Allah saya tidak berhutang dan meminta-minta, dapat membuat simpanan, dan insya-Allah saya akan menunaikan fardu haji.

Saya mencari rezeki untuk membiayai pelajaran duniawi dan akhirat anak-anak, agar mereka menjadi anak yang baik dunia dan akhirat, dan mereka menjadi ‘pencen kubur’ saya nanti.

Saya mencari rezeki untuk membeli rumah yang selesa dan kereta yang selesa, supaya saya selesa beribadah. Semua rezeki saya, akan saya gunakan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT."

Tentukan setiap perbelanjaan daripada rezeki kita itu hanyalah untuk Allah. Kalau kita berfikir begitu, kita tidaklah akan teragak-agak untuk mengeluarkan harta daripada rezeki yang kita cari dan kumpulkan itu untuk membelanjakannya kerana Allah, contohnya bersedekah.

Dengan bersedekah rezeki kita akan berlipat ganda lagi diganti Allah, selain kita memperoleh pahala sedekah. Ingatlah, bahawa kita ini hanyalah tempat “lalu" rezeki Allah, bukan tempat untuk “simpan" rezeki Allah.

Kalau kita simpan atau terlalu kedekut, takut harta kita terluak atau habis, tidak akan datang lagi rezeki Allah kepada kita; Kerana janji Allah, semakin banyak kita memberi, semakin luas Allah bukakan rezeki kepada kita.

Bersesuaian dengan hadis daripada Rasulullah SAW, “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur, mencegah daripada mati dalam keadaan buruk dan dengan sebab bersedekah itu Allah menghapus sikap takbur, sombong dan membanggakan diri."

Dengan kekayaan, jadilah kita orang yang bermurah hati. Apabila memberi mestilah ikhlas kerana Allah, bukan bertujuan mendapat penghargaan manusia.

Berilah kepada orang yang tidak tahu siapa yang memberi kepadanya dan tidak mampu membalasnya.

Semakin kita kaya, semakin dekatlah kita dengan Allah supaya kita tidak menyesal kemudian hari. Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud, “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya. Kalau tidak, maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, ‘Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau engkau lambatkan (kedatangan ajal matiku) - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula menjadi orang yang soleh."

Manfaatkan kehidupan ini sepenuhnya untuk mengabdikan diri kepada Allah dan berbuat baik kepada sesama insan. Seperti kata ilmuwan Islam,

“Alangkah ruginya orang yang masa mudanya tidak menolong orang, orang yang ketika ada duit tidak bersedekah kepada orang, orang yang ada ilmu tidak mengajar orang, dan orang yang masa ada kuasa tidak memudahkan urusan orang."

Jadikanlah kekayaan itu sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah, bukan menjauhkan lagi diri dari-Nya.

Dalam surah (al-Munafiqun) ayat 9 pula bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi."

Buatlah pilihan yang betul dalam hidup kita kerana pilihan itu menentukan pencapaian kehidupan kita untuk masa hadapan.

Dalam membuat pilihan untuk satu keputusan hidup, jauhi diri daripada terperangkap dengan “dua pencuri". Pertama, pencuri masa lalu, yakni penyesalan masa lalu. Kedua, pencuri masa hadapan, yakni kebimbangan masa hadapan.

“Penyesalan" menyebabkan kita tidak ada masa hendak menggunakan masa sekarang dengan sebaik-baiknya, kerana asyik mengenang masa silam yang kelam dan menyeramkan.

Lupakan masa silam yang gelap itu, tetapi bayangkan masa hadapan yang terang benderang bagi mengatasi rasa “kebimbangan". Dengan cara ini kita akan sanggup menghadapi semua cabaran kehidupan yang mendatang dengan penuh semangat dan kecekalan.

“Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

- PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS). Utusan Malaysia Online Rencana 20131110