November 15th, 2013

Fasakh melalui tekanan mental

PEMBINAAN sesebuah rumah tangga tentunya dengan hasrat untuk meneruskan kehidupan bersama pasangan dengan rasa kasih dan suasana harmoni. Suami isteri yang hidup dengan sejahtera tentunya akan memungkinkan tujuan Syariah (maqasid al-Shariah) lebih mudah untuk dicapai.

Walau bagaimanapun tidak dinafikan wujudnya suasana perkahwinan yang tidak memberikan kedamaian. Amatlah malang sekiranya pernikahan yang termeterai rupa- rupanya tidak memberikan kebahagiaan tetapi penderitaan. Ada jiwa malang yang terpenjara di sebalik mahligai perkahwinan yang indah. Umpamanya wanita yang dipaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak mampu dicintainya. Ada juga wanita yang meronta-ronta untuk keluar dari kemelut perkahwinan tetapi tidak menemui jalan keluar.

Ada juga kalangan wanita yang mati akal kerana sukar untuk menyediakan bukti dalam tuntutan pembubaran perkahwinannya melalui fasakh. Bertambah malang lagi bukan semua lelaki bersikap budiman dan mempunyai rasa simpati atau empati. Malah ada kalangan suami yang menjadikan fasakh sebagai gelanggang untuk menyeksa jiwa isteri. Bagai satu kepuasan melihat isteri turun naik mahkamah dengan tempoh yang lama dan mentalnya berterusan terdera. Siapa yang tahu kalau suami itu yang sebenarnya “psycho", dan bukan isterinya?

Tekanan mental dalam rumah tangga akan berlaku dalam krisis rumah tangga yang berpanjangan, walau apa pun puncanya. Selagi ia tidak diselesaikan atau dileraikan maka tekanan mental akan terus berlaku dan menjadi lebih buruk.

Tekanan mental sememangnya bertentangan dengan tujuan Syariah yang antaranya adalah bagi pemeliharaan akal. Ia merupakan sebahagian daripada darar iaitu mudarat. Al-Syatibi mendefinisikan darar dalam perkahwinan sebagai penganiayaan suami terhadap isteri melibatkan lima perkara asas yang wajib dijaga-maslahah daruriyyah-agama, nyawa, keturunan, harta benda dan termasuklah akal isteri.

Imam al-Dardir pula menerangkan darar (dalam perkahwinan) sebagai perlakuan suami yang tidak diharuskan oleh syarak terhadap isterinya seperti meninggalkan isteri secara sewenang-wenangnya, memukul tanpa sebab, menghina isteri atau keluarga isteri. Tanggungjawab suami bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, makan minum atau pakaian semata-mata, malahan juga bertanggungjawab memelihara kesejahteraan emosi isteri sebagai amanah Allah SWT.

Pada ketika agama Islam mengiktiraf maslahah akal, The American Institute of Stress-AIS pula menyenaraikan sekurang-kurangnya 50 simptom biasa stres. Kesan tekanan mental atau stres terhadap kesihatan seseorang adalah pelbagai. Dengan erti kata lain, walaupun penderaan oleh mana-mana suami terhadap isteri masing-masing dengan bentuk yang sama, tetapi mangsa mungkin mengalami simptom atau tanda yang berbeza.

Sesetengah mangsa akan sentiasa rasa berdebar-debar, sementara yang lain mengalami hipertensi, ciri-birit atau gatal-gatal kulit. Kesan terhadap otot badan (musculoskeletal effects) seperti kejang otot atau sakit belakang juga merupakan antara kesan tekanan mental.

Reaksi juga boleh berlaku dalam bentuk fisiologi atau neurofisiologi termasuklah perubahan dalam sistem hormon tubuh badan, neurotransmitters otak dan saraf serta sistem imunisasi. Oleh yang demikian, tidak menghairankan jika ada kalangan mangsa yang menghadapi masalah ingatan. Jika tekanan mental mereka lebih berat, mereka tidak akan mampu untuk melalui perbicaraan di mahkamah sebagaimana kalangan yang sihat mental dan emosinya.

Jika tuntutan mereka dibantu oleh peguam, mungkin mangsa mendapat sedikit kelegaan. Malang bagi mereka yang berjuang sendirian untuk mendapatkan kebebasan, apatah lagi ketika berhadapan dengan soalan-soalan yang berbentuk provokatif daripada pihak satu lagi. Dalam keadaan mereka kehilangan daya tumpuan dan ingatan, tidak berupaya untuk membuat keputusan secara konkrit, perbicaraan di dalam mahkamah hanyalah penyeksaan.

Perbicaraan yang mengambil masa juga akan memburukkan keadaan mental mereka. Situasi ini disebut sebagai faktor pengekal (perpetuating). Sudah tentu mustahil tekanan mental akan menyusut, sekurang-kurangnya tahap tekanan mental itu adalah kekal dan biasanya ia boleh meningkat, iaitu menjadi lebih buruk.

Banyak tuntutan pembubaran perkahwinan melalui fasakh menyertakan tekanan mental sebagai alasan sama ada sebagai alasan tunggal ataupun menyertakan alasan lain. Walau bagaimanapun, pada lebih 20 kes fasakh dengan alasan berkenaan yang pernah disemak, hanya satu menyertakan dokumen daripada Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental yang terdapat di hospital- hospital kerajaan. Sekiranya mereka menjalani kaunseling dan rawatan dengan pihak yang mempunyai autoriti, ia lebih memudahkan hakim bicara untuk membuat pertimbangan.

Sehubungan dengan perkara ini, pengamal-pengamal perundangan seperti pihak hakim dan peguam, perlu mempunyai serba-sedikit pengetahuan berkaitan kesihatan mental. Penuntut yang membuat permohonan fasakh dengan alasan tekanan mental sekali gus merupakan mangsa deraan mental. Tentunya kalangan ini perlu lebih dibantu ketika mendapatkan perkhidmatan di mahkamah.

Hakim bicara juga harus sensitif melihat sikap dan tingkah laku pihak penuntut. Keengganan menjawab soalan umpamanya, tidak seharusnya cepat ditafsir sebagai enggan bekerjasama dengan mahkamah, tetapi individu berkenaan kemungkinan mengalami kekeliruan untuk menjawab ataupun tidak mempunyai keupayaan untuk menjawab soalan-soalan tertentu.

Dalam satu kes yang hanya diputuskan selepas beberapa tahun tuntutan dibuat, mangsa telah pun menjalani sesi kaunseling selama beberapa tahun sebelum membuat tuntutan di mahkamah. Ketika sesi kaunseling berlangsung, mangsa telah menyatakan ketidaksanggupannya untuk meneruskan perkahwinan dan berasa amat terseksa, merayu supaya ada pihak yang boleh membebaskannya daripada kemelut perkahwinan tersebut. Andaian saya terhadap senario ini, dia barangkali boleh dikategorikan sebagai orang yang tidak upaya.

Secara konsepnya, orang kurang upaya atau orang tidak upaya perlu dibantu supaya berupaya untuk menjalani kehidupan seperti orang normal yang lain. Dalam kes ini, apa yang ingin dicapai adalah untuk hidup sebagai orang yang merdeka sedangkan ia merupakan hak asasi seorang manusia. Yang lebih menyayukan, perkara ini dihadapi oleh individu saudara baharu.

Alangkah baiknya sekiranya pihak kaunselor yang menyediakan kaunseling kepada mangsa bertindak dengan membantu mangsa mendapatkan rawatan di hospital. Tahap tekanan mental mangsa boleh didiagnosis dan pegawai perubatan boleh menyediakan dokumen yang relevan. Malahan, pegawai berkenaan boleh dijadikan sebagai saksi yang berotoriti dalam perbicaraan.

Tekanan mental sebenarnya boleh dijadikan sebagai alasan tunggal bagi pembubaran perkahwinan melalui fasakh jika pihak penuntut dibantu dengan bantuan yang sewajarnya. Inisiatif yang boleh disediakan oleh pihak mahkamah dan mereka yang relevan dengan situasi ini.



Siti Shamsiah Md. Supi ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Pandangan IKIM Utusan Malaysia Online Rencana 20131115

Masjid institusi masyarakat, bukan ibadah semata-mata

SAYA seringkali berpesan kepada pelajar saya bahawa masjid seharusnya berfungsi sebagai institusi pendidikan dan bukannya hanya sebagai tempat solat semata-mata.


Adalah satu kerugian ruang masjid yang begitu besar dan luas hanya digunakan untuk solat semata-mata dan pada waktu tertentu sahaja.


Pada petang minggu yang lalu, saya bersama keluarga keluar dan singgah untuk menunaikan solat di Masjid Negeri Perak di Ipoh (Masjid Sultan Idris).

Ketika tiba di halaman masjid, saya memerhatikan perilaku yang ganjil antara seorang lelaki kulit putih yang menumpang duduk dengan pengawal masjid negeri yang sedang memperkatakan sesuatu kepadanya.

Saya menghampiri mereka dengan tujuan untuk mendengar dengan jelas bual bicara antara mereka.

Lelaki yang berasal dari Finland ini membawa bersama beg galas yang besar dan sebuah botol air 5 liter bersamanya menumpang di kaki lima masjid.

Pengawal keselamatan bertugas memperkatakan sesuatu dengan jelas membawa maksud "Sila keluar dari kawasan masjid dan stesen kereta api berada di hadapan sana".

Saya agak terkesima kerana bahasanya dengan mudah difahami bahawa dia sedang 'berusaha keras' mengusir lelaki asing itu dari kaki lima masjid.

Saya menghampiri lelaki tersebut, memperkenalkan diri dan menawarkan bantuan, dia kelihatan teruja.

                Masjid institusi masyarakat, bukan ibadah semata-mata



 Masjid perlu menjadi institusi yang mesra masyarakat dan peranannya perlu mencakupi pelbagai sudut dan bukannya sekadar tempat beribadat semata-mata. - Gambar Hiasan

Dari perbualan dengan lelaki ini fahamlah saya bahawa dia telah ditipu oleh sindiket penjual tiket dan kehilangan sejumlah wang untuk perjalanan seterusnya.

Dia tiada tempat menginap dan ingin menumpang meletakkan beg galasnya di masjid untuk mendapatkan kemudahan internet.

Niatnya dihalang oleh pengawal bertugas dan hubungan ini menjadi sangat tidak mesra.

Sesekali kedengaran soalan: "Adakah anda Muslim?"

Saya sangat terasa hati apabila dalam keadaan sedemikian kita masih mempersoalkan apakah agamanya.

Saya menawarkan bantuan untuk penginapannya tetapi ditolak dengan baik.

Persoalan saya ialah ;

l Apakah rumah Allah khusus untuk umat Islam sahaja?

l Bukankah rumah Allah merupakan tempat perlindungan?

l Adakah menjadi satu kesalahan memberi sumbangan kepada golongan bukan Islam daripada dana masjid?

Saya berkesempatan tinggal di Indonesia selama dua tahun melihat bagaimana rumah Allah dimakmurkan.

Begitu juga bagaimana gereja-gereja dimasyarakatkan. Saya berpandangan, rumah Allah tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai tempat menunaikan solat tetapi berfungsi sebagai institusi kepada masyarakat di kawasannya.

Masjid menjadi saranan asas perlindungan ketika bencana, menjadi tempat pendidikan dan veberlangsungnya proses ilmu pengetahun.

Jika urusan menumpangkan beg galas dan duduk di kaki lima masjid masih menjadi kekangan dan persoalan kepada kita, maka kita masih jauh ketinggalan dalam urusan mengimarahkan masjid sebagai sarana kemudahan masyarakat.

Saya menyeru kepada semua badan dan agensi pengurusan masjid agar lebih memahami fungsi masjid sebagaimana peranan masjid di zaman Rasulullah SAW.

Saya beranggapan bahawa secara reka bentuknya Masjid Sultan Idris Shah ini telah berfungsi dengan baik sebagai sarana perlindungan serta rasa selamat. Jika tidak, masakan seorang lelaki yang dalam kesusahan memilih masjid ini untuk menumpang teduh ketika ditimpa bencana penipuan.

Bagaimanapun yang masih belum sempurna pada fikiran saya adalah akhlak kita terhadap orang asing.

Dengan rendah hati saya mohon maaf atas pandangan ini. Yang menjadi pentadbir, yang menjadi pengawal rumah Allah dan seni bina Islam perlulah 'lebih Islam' dari bangunan yang dijaga.

Masjid mesti menjadi sebuah institusi yang penting dan bukan hanya tempat solat semata-mata.



AZIZUL AZLI AHMAD, Universiti Teknologi Mara, Perak' Seri Iskandar Utusan Malaysia Online Forum 20131114

Haram berjual beli setelah azan Jumaat dilaungkan

Apabila sesuatu itu diharamkan dalam Islam, ia juga akan menyebabkan pengharaman perkara yang boleh mendorong terjadinya perkara haram itu. Maka, Islam menutup pintu atau perkara yang boleh membawa kepada haram.

Dr Yusuf alQaradhawi dalam bukunya, Al-Halal Wal Haram Fil Islam, menegaskan perkara ini dengan mengemukakan kaedah yang dipersetujui ulama Fiqh iaitu perkara yang boleh menyebabkan berlakunya sesuatu yang haram, maka perkara itu juga adalah haram.

Maka, kaedah ini boleh dilihat berlaku kepada pengharaman jalan ke arah perzinaan, riba, judi dan sebagainya. Demikian juga yang berlaku kepada solat Jumaat. Haram bagi umat Islam melalaikan diri dengan berlengahlengah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid.

Haram ke atas lelaki

Rentetan daripada itu, Allah SWT mengharamkan berjual beli ketika azan Jumaat. Pengharaman ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah AlJumuah, ayat 9)

Ulama sepakat merumuskan, haram melakukan urusan jual beli setelah azan Jumaat dikumandangkan.

Walau bagaimanapun, pengharaman ini hanya dikenakan ke atas lelaki saja kerana hukum menunaikan solat Jumaat hanya wajib ke atas lelaki.

Justeru, jika urus niaga berlaku antara wanita dengan wanita, maka ia tidak termasuk dalam pengharaman itu. Tidak termasuk juga dalam pengharaman ini ialah kaum lelaki yang gugur syarat wajib menunaikan solat Jumaat seperti kanak-kanak belum baligh, orang gila dan orang yang uzur.

Namun, ulama berbeza pandangan dalam membincangkan masa bermulanya pengharaman itu, sama ada pada azan pertama atau yang kedua. Pada zaman Uthman bin Affan, beliau telah memperkenalkan azan sebanyak dua kali.

Azan sebanyak dua kali ini agak berlainan dengan kaedah azan Jumaat pada zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar bin AlKhattab kerana pada zaman Khalifah Uthman berlaku perluasan kuasa dan umat Islam bertambah ramai sehingga menyukarkan mereka untuk berpusu-pusu ke masjid dan meninggalkan urusan mereka dengan segera.

Justeru,bagi memudahkan umat Islam bersedia dan tidak tergesa-gesa ke masjid, maka diperkenalkan azan yang kedua berdasarkan ijtihad Uthman dan sahabat lain.

Ulama telah melakukan ijtihad sama ada pengharaman jualbeli itu untuk azan pertama atau kedua. Semua bersepakat mengatakan adalah haram untuk meneruskan urus niaga apabila dikumandangkan azan kedua.

Imam AtTohawi AlHanafi menegaskan, azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal seperti mana Jumaat pada zaman Baginda Nabi SAW.

Namun, mereka berbeza pandangan berkenaan urus niaga pada azan pertama. Jumhur ulama mengharuskan urus niaga ketika azan pertama. Tetapi, majoriti dalam mazhab Hanafi berpandangan pengharaman itu bermula ketika azan pertama.

Maka, adalah lebih baik mereka yang terbabit dengan urus niaga, menghentikan urusannya apabila dikumandangkan azan pertama sebagai langkah berjagajaga (ihtiyat). Janganlah kerana asyik berniaga sehingga sanggup mengetepikan hukum Allah SWT.

Urusan merangkumi seluruh aspek muamalat

Ulama juga turut membahaskan apakah hukum ini hanya merangkumi urusan jual beli saja tanpa membabitkan urusan lain? Kebanyakan ulama melihat pengharaman ini bukan untuk urusan jual beli saja, bahkan merangkumi seluruh aspek muamalat yang menyentuh hubungan manusia dalam kehidupan.

Ini termasuklah aktiviti pinjaman, sewaan, gadaian, pelaburan dan sebagainya kerana semua aktiviti dan urusan ini mempunyai illah atau sebab yang sama iaitu boleh melalaikan daripada menunaikan solat fardu Jumaat.

Ini perlu dijadikan pedoman untuk mengelakkan diri daripada terbabit urusan yang boleh menjejaskan kesempurnaan solat Jumaat. Jangan sampai ada golongan peniaga yang mengambil kesempatan dengan kehadiran jemaah yang ramai ke masjid sehingga menyebabkannya lupa tanggungjawabnya terhadap Allah SWT.


Wan Jemizan W Deraman Dan Ahmad Termizi Mohamed Din Berita Harian Online Agama 15/11/2013

Peribadi Rasulullah contoh akhlak al-Quran

Satu rahsia kehebatan dan kemuliaan al-Quran, ia diturunkan oleh Allah SWT kepada sebaik-baik rasul iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW dipilih Allah SWT sebagai sebaik-baik dan semulia-mulia rasul walaupun Baginda diutuskan sebagai rasul terakhir.

Kebenaran Nabi SAW sebaik-baik rasul dirakamkan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al- Anbiya’, ayat 107)

Ayat ini jelas menunjukkan pengiktirafan Allah SWT khusus kepada Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam, yang tidak diberikan kepada nabi dan rasul yang lain.

Rasulullah SAW juga sebaik-baik dan semulia-mulia rasul kerana akhlak Baginda ialah akhlak al-Quran itu sendiri.

Tiada keindahan dan kemuliaan akhlak yang lebih baik daripada keindahan akhlak al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Peribadi terpuji Rasulullah

Ini selari dengan beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ketika ditanya mengenai akhlak Nabi Muhammad SAW. Maka Saidatina Aisyah menjawab: “Sesungguhnya akhlak Baginda ialah al-Quran)” (Riwayat Muslim)

Imam Ibn Katsir menjelaskan, ini menunjukkan Nabi SAW sebagai manusia yang patuh semua perintah dan larangan Allah SWT dalam al-Quran dengan penuh sabar dan berakhlak. Jika al-Quran memerintahkan sesuatu maka Rasulullah SAW menurutinya.

Jika al-Quran menegahnya maka Rasulullah SAW meninggalkannya.

Inilah peribadi Nabi Muhammad SAW yang telah dibentuk oleh Allah SWT daripada akhlak yang mulia seperti sifat malu, kemuliaan hati, keberanian, pengampunan, kelembutan dan seluruh akhlak yang cantik.

Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan akhlak yang baik dan Allah SWT memperbaiki akhlak Baginda.

Doa mohon keindahan akhlak

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah berdoa: Ya Allah seperti mana Engkau telah memperelokkan penciptaanku, maka perelokkanlah akhlakku.” (Riwayat Imam Ahmad) Sebagai umat Islam kita wajib meyakini Rasulullah SAW adalah sebaik-baik dan semulia-mulia insan yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam.

Baginda juga membawa sehebat-hebat ajaran iaitu ajaran al-Quran untuk sekalian umat manusia.


Berita Harian Online Agama 15/11/2013