November 16th, 2013

Wasatiyyah dalam hubungan kaum

BAGI menentukan hala tuju ummah dalam menghayati 1Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan pendekatan Wasatiyyah iaitu pendekatan sederhana, pertengahan, berimbang dan adil.

Jika kita meneliti dari segi bahasa, perkataan wasatiyyah bererti sederhana, pertengahan, berimbang (al-tawazun) dan 'adil (al-adlu). Perkataan lain yang digunakan dalam bahasa Arab iaitu i'tidal bererti tidak melampau yakni tidak rigid atau ketat dan tidak pula longgar atau cuai.

Justeru Allah SWT mengisyarat penggunaan pertengahan dalam al-Quran, Surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebih, dan tidak (pula) bakhil, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian".

Begitu juga dalam athar yang sahih ada diriwayatkan "Sebaik-baik perkara itu ialah yang paling pertengahan". Pendekatan wasatiyyah adalah amat digalakkan oleh Islam, kerana melakukan perbuatan yang lebih daripada sepatutnya dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang daripada sepatutnya dianggap kecuaian. Justeru, orang Islam tidak boleh rigid dan ekstrem, begitu juga tidak boleh terlalu bebas tanpa ikatan dan sempadan.

Allah SWT telah memartabat umat Islam sebagai ummatan wasata iaitu umat pertengahan, terpilih, adil dan mampu memberi keterangan tentang kebenaran kepada manusia sejagat. Perkara ini dirakamkan dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud: "Dan demikianlah pula Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) "ummatan wasata" (satu umat yang pilihan, cemerlang dan adil), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…"

Dalam ayat di atas Allah SWT menyebut umat Islam sebagai ummatan wasata (umat pertengahan). Para ulama tafsir menjelaskan umat pertengahan di sini ialah umat yang adil, mengamalkan cara hidup berdasarkan ajaran Islam secara tepat, tidak melampau lebih dan melampau kurang dalam urusan duniawi dan ukhrawi, tetapi seimbang antara kedua-duanya.

Pada zaman permulaan Islam, umat Islam masa itu masih terpengaruh dengan cara kehidupan dan amalan dua golongan masyarakat. Golongan pertama ialah orang-orang Yahudi dan Musyrikin yang cenderung kepada kepentingan duniawi dan jasmani semata-mata. Golongan kedua pula ialah orang-orang Nasrani dan al-Sabi'in yang lebih mementingkan kerohanian sehingga mengabaikan hal-hal keduniaan.

Apabila Islam datang ajarannya telah mengharmonikan dua keadaan yang ekstrem itu dengan meletakkan kepentingan urusan dunia dan akhirat, serta rohani dan jasmani secara seimbang dan bersepadu, selain memberi hak dan keperluan kemanusiaan secara adil.

Dalam surah al-Qasas, ayat 77, Allah SWT menggesa umat Islam supaya jangan melampau dalam melakukan ibadah semata-mata untuk akhirat dengan mengabaikan urusan dunia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang dianugerahkan Allah kepada mu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu".

Mengambil maklum dan iktibar daripada dalil-dalil ini, maka dapatlah ditegaskan bahawa wasatiyyah ialah pendekatan bersifat komprehensif yang sangat dituntut oleh Islam dan mampu menyelesaikan tuntutan serta permasalahan ummah.

Kepelbagaian (plurality) adalah satu realiti yang diakui oleh Islam. Kepelbagaian adalah sunnatullah yang harus diuruskan dengan penuh bijaksana, supaya ia boleh menjadi faktor kekuatan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada kerukunan dan keharmonian hidup orang ramai.

Dalam sejarah tamadun Islam mencatatkan pengalaman yang sangat hebat dalam menangani masalah masyarakat majmuk. Sejak awal penubuhan negara Islam di Madinah, Rasulullah SAW membuat perjanjian untuk menangani kemajmukan supaya dapat diwujudkan kerukunan dalam masyarakat Madinah. Perjanjian ini dikenali sebagai Sahifah (Piagam) Madinah. Pada masa itu masyarakat Madinah merupakan masyarakat majmuk daripada Muhajirin dan Ansar (Aus dan Khazraj), kaum Yahudi terdiri daripada Bani Qainuqa', Bani Quraizah dan Bani Nadir dan orang-orang Arab menyembah berhala (musyrikin).

Kitab Sirah ada mencatatkan tidak kurang dari 12 ayat dalam Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan kaum Yahudi. Sebagai contoh salah satu fasal perjanjian itu: "Bangsa Yahudi dari Bani 'Auf merupakan kaum bersama orang-orang yang beriman (Muslim), bagi bangsa Yahudi agama mereka dan bagi umat Islam agama mereka…".

Sebenarnya semangat dan nilai-nilai pendekatan wasatiyyah telah lama diamalkan di Malaysia. Proses meninggikan syiar Islam dengan menggunakan pendekatan wasatiyyah terserlah dengan cara yang lebih jelas selepas mencapai kemerdekaan.

Asasnya, Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas memperuntukkan agama Islam sebagai agama Persekutuan selari dengan sejarah dan amalan yang ada di negara ini. Walaupun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian dalam Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tanpa melupakan peranan bahasa-bahasa lain; dan kedudukan istimewa kaum Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak tanpa menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Persoalannya, mengapa orang boleh keluar dari mengikuti landasan yang sederhana, pertengahan dan berimbang ini kepada mengamalkan sifat-sifat keterlaluan, berlebih-lebihan, melampau dan ekstrem?

Dalam masyarakat Islam di Malaysia, walaupun majoritinya menganut fahaman sederhana, namun ia diasak dan dihimpit oleh dua aliran pemikiran iaitu aliran terlalu ketat dan aliran yang terlalu longgar. Bagi golongan pengetat agama mereka mengeluarkan pandangan dan hukum hakam yang berat serta melampau. Sementara itu, golongan yang terlalu longgar pandangan mereka amat terbuka dan kadang-kadang bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Islam. Oleh itu umat Islam tersepit antara dua ekstrem; yang pertama terlalu ketat dan berlebih-lebihan dan yang keduanya terlalu longgar dan berlebih-lebihan liberal.

Di sinilah letaknya kepentingan konsep wasatiyyah perlu disebar-luaskan supaya berkembang dalam masyarakat sebagai satu manhaj untuk mencari jalan yang sederhana, berimbang dan pertengahan antara dua pandangan yang ekstrem tersebut.

Di dalam mengurus perhubungan kaum dan agama di Malaysia, kerajaan sejak merdeka lagi memilih untuk mengamalkan dasar integrasi berbanding asimilasi. Perbezaan antara kedua-dua dasar ini amat besar. Integrasi bermakna kepelbagaian dihormati, dikekalkan seterusnya diraikan.

Ia selaras dengan prinsip ajaran Islam yang menegaskan tiada paksaan di dalam beragama dan kepelbagaian adalah asas untuk kenal-mengenal sebagai satu kerahmatan. Berbeza dengan asimilasi yang menggabungkan perbezaan bagi tujuan mencipta identiti yang sama. Malaysia menolak dasar ini bagi membina negara kerana tidak bersesuaian dengan realiti di Malaysia.

Sebelum kita dapat melaksanakan wasatiyyah dalam hubungan kaum, kita perlu mewujudkan perpaduan ummah atau persaudaraan Islam terlebih dahulu sebagai asas kepada perpaduan nasional atau perpaduan antara kaum dan etnik di Malaysia. Orang Melayu-Islam perlu mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan antara mereka, kemudian barulah diperkukuhkan perpaduan antara kaum.


TAN SRI DR. ABDULLAH MD. ZIN ialah Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131116

Garis panduan etika bernegara

AGAMA Islam merupakan suatu cara hidup yang syumul dan menyeluruh dalam memberikan panduan dan etika terhadap kehidupan manusia, sama ada daripada segi dunia dan akhirat.

Hal ini termasuklah soal kenegaraan dengan meliputi pentadbiran dan pengurusan yang dinyatakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, sekali gus ia mengambarkan bahawa Islam bukan agama bersifat ritual semata-mata tetapi holistik.

Oleh itu, empayar Islam dalam peta dunia pada suatu ketika dahulu begitu luas kerana para pemerintah mengurus berorientasikan panduan Islam, malangnya setelah khalifah Uthamaniah jatuh, fahaman bertunjangkan Barat menguasai seluruh wilayah.

Pun begitu, negara kita Malaysia bernasib baik kerana dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam merupakan agama persekutuan selain para pemimpin mentadbir berasaskan Maqasid Syariah.

Sehubungan itu, sebuah buku bertajuk Indahnya Kenegaraan Islam tulisan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir merupakan satu mutiara ilmu dalam mengetahui dan mendalami isu-isu politik, pentadbiran dan sistem negara berdasarkan hasil ijtihad para ulama.

Dalam buku setebal 167 muka surat itu, Mohammad Nidzam menerangkan soal kenegaraan Islam yang dipecahkan kepada sembilan bab yang antaranya menyentuh akhlak berpolitik, hak kewarganegaraan dan Maqasid Syariah.

Kupasan berdasarkan hujah al-Quran dan al-Sunnah serta pendapat ulama terkemuka, buku terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. itu sebenarnya telah memenuhi kehendak para pembaca dalam mengetahui selok-belok pentadbiran negara mengikut acuan Islam.

Bahkan dalam buku berkenaan, konsep negara Islam tidak hanya untuk memelihara umatnya sahaja tetapi sistem itu menjamin hak-hak penganut agama selain Islam dan soal ini menepati suruhan Nabi Muhammad.

Dengan harga RM22 orang ramai boleh mendapatkan karya itu di pasaran berhampiran anda atau menghubungi Telaga Biru selaku penerbit menerusi talian 03-6275 4070 untuk maklumat lanjut.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysa Bicara_Agama 20131115

Pengiktirafan institusi keluarga

MAJLIS Anugerah Ibu Mithali anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) merupakan salah satu pengiktirafan yang dinantikan oleh kaum hawa sejak diperkenalkan pada 1980 lagi malah ia merupakan anugerah paling lama diwujudkan di negara ini.

Sehingga kini, Yadim telah berjaya menganjurkan 10 kali Anugerah Ibu Mithali yang sekali gus membuka dimensi berbeza bagi mengiktiraf pengorbanan wanita khususnya yang bergelar ibu.

Seiring dengan peredaran masa, Yadim mengambil inisiatif untuk mengembangkan anugerah ini dengan memperkenalkan pula Anugerah Keluarga Mithali mulai tahun hadapan dalam memberi pengiktirafan lebih besar kepada seluruh institusi kekeluargaan, bukan sahaja ibu tetapi termasuk bapa dan anak.

Anugerah Keluarga Mithali pada kali ini mempunyai empat kategori anugerah iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Ibu Mithali, Anugerah Bapa Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan.

Kesemua anugerah ini diwujudkan khusus untuk memberi pengiktirafan kepada keluarga-keluarga cemerlang di negara ini dengan harapan ia mampu menjadi suri teladan kepada seluruh anggota masyarakat.

Selain itu, penganjurannya bertujuan untuk memberi contoh kepada semua masyarakat pembentukan sebuah keluarga cemerlang dan sekaligus dapat mencapai hasrat membentuk masyarakat berakhlak mulia yang selama ini kita idam-idamkan.

Proses pemilihan untuk calon-calon Anugerah Keluarga Mithali ini akan melalui beberapa proses iaitu pencalonan, penilaian atau pemilihan dan majlis penganugerahan.

Pada peringkat pertama iaitu pencalonan penerima anugerah, Yadim akan mengedarkan borang-borang ke seluruh negara melalui agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, wakil rakyat dan sebagainya. Malah, sesiapa yang berminat untuk menamakan calon perlu mengisi borang ini dan dihantar ke sekretariat. Borang ini juga boleh dimuat turun melalui laman web Yadim, iaitu www.yadim.com.my.

Pencalonan ini akan dibuka sehingga 31 Disember ini dan selepas itu satu jawatankuasa dilantik akan menyenaraikan permohonan-permohonan untuk dinilai seterusnya dengan melihat kriteria asas ditetapkan untuk pencalonan anugerah ini ialah keluarga rabbani yang terserlah dengan akhlak, sahsiah dan jati diri terpuji.

Antara ciri lain adalah keluarga berkenaan perlulah keluarga yang cemerlang dalam pendidikan atau bidang-bidang lain yang diceburi sekaligus memberikan sumbangan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Dalam fasa pemilihan, ahli-ahli jawatankuasa bertanggungjawab akan pergi ke rumah setiap keluarga yang disenarai pendek itu untuk melihat secara dekat dan menemubual keluarga berkeaan.

Orang ramai boleh memberi sumbangan dengan mengetengahkan calon-calon yang boleh diangkat sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali.

Selain itu, beliau berkata, mana-mana pihak terutama pihak swasta tampil ke hadapan bagi memberikan tajaan kepada program ini kerana agar memastikan Yadim dapat memberikan penghargaan yang terbaik kepada para pemenang.

Sebarang maklumat lanjut mengenai program ini, boleh dibuat melalui talian di talian 013-3710733 atau 019-2810323.



Utusan Malaysia Bicara_Agama 20131115

Sifat orang yang berhijrah

BERSEMPENA dengan awal Muharam 1435 Hijrah. Penulis memulakan dengan mengucap Selamat Tahun Baru Hijrah dan insya-Allah penulis ingin mengajak para pembaca untuk mengambil inspirasi hijrah Baginda SAW. Fokus kita dalam kolum Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul di ruangan Utusan Malaysia ini berkaitan dengan isu hijrah. Penulis mengemukakan sebuah ayat berkenaan dengan sifat orang yang berhijrah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)

Ibnu Jarir berkata: "Sesungguhnya mereka yang membenarkan Allah dan Rasul-Nya kemudian berhijrah daripada golongan musyrikin ke tempat lain seperti yang dilakukan oleh sahabat Rasulullah SAW. Ini kerana mereka enggan berada bersama golongan musyrikin kerana tiada aman daripada fitnah mereka."

left
MENCARI rahmat Allah SWT itulah matlamat dalam kehidupan setiap hamba-Nya. €“ Gambar hiasan

Ibnu Sa’di: "Tiga amalan di atas (iman, hijrah dan jihad) merupakan alamat kebahagiaan dan paksi pada Ubudiyyah."

Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-Uyun berkata: "Ayat ini diturunkan kepada orang Islam yang berbincang berkenaan dengan Abdullah bin Jahsin dan yang bersama dengannya. Kalau mereka tiada sebarang ujian dan tribulasi ketika hijrah, maka ia dianggap tidak mendapat pahala, sedangkan bukan begitu."

Sayyid Quthub berkata: "Harapan seorang mukmin terhadap rahmat Allah tidak sekali-kali dikecewakan Allah. Kumpulan mukmin yang ikhlas kepada Allah dan sanggup berhijrah meninggalkan negeri Mekah telah mendengar janji yang benar ini, lalu mereka berjihad untuk sabilullah sehingga Allah memenuhi janji-Nya terhadap mereka dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid atau kedua-duanya merupakan kebaikan dan rahmat belaka."

Sebelum dilebarkan lagi berkenaan dengan rahmat Allah yang sentiasa diharapkan oleh golongan yang berhijrah amat baik jika kita dapat melihat sepintas lalu berkenaan dengan definisi hijrah.

Perpindahan

Pada bahasa, ia memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah SAW menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: "Orang yang berhijrah itu ialah dengan meninggalkan larangan Allah SWT."

Pada istilah terbahagi kepada dua iaitu:

- Berpindahnya Rasulullah SAW daripada Mekah ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda.

- Perpindahan ini kerana semata-mata agama bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.

Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika sekiranya niat kerana Allah SWT, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syarak.

Ibnu Rajab al-Hanbali berkata: Asal perkataan hijrah ialah meninggalkan negara syirik dan berpindah ke negara Islam, seperti mana para Muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Mekah ke Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh an-Najasyi.

Pentingnya mencari dan mendapat rahmat Allah SWT dalam kehidupan adalah antara matlamat utama kita sebagai hamba-hamba-Nya.


Akidah kepercayaan

Menjadi sunnatullah di bumi ini, menjadikan kekuatan rohani yang ternukil di dalam akidah kepercayaan yang sihat dan agama yang benar itu sebagai pengawal kepada kekuatan dalaman dan material. Suatu umat yang begitu tebal dan kaya dengan tatasusilanya yang sihat, begitu teguh berpegang dengan ajaran Islam di kala itu juga kekuatan materialnya, seperti negara, harta benda dan pangkat akan kekal lebih utuh dan kukuh.

Andai kata ia papa kedana dan miskin daripada segi akhlak, tidak betul dalam kepercayaan akidahnya, maka kekuatan materialnya juga turut lemah dan tergugat. Telah kita tegaskan bahawa sejarahlah yang menjadi saksi utama tentang kebenaran perkara itu.

Ustaz Mahibuddin al-Khatib berkata: Sesungguhnya jiwa Islam mahukan agama Islam hidup dalam suasana berperaturan dan hukum bagi memudahkan kefahaman hidayah Islam. Justeru, tempat yang baik dan subur tanpa kekangan, tentangan dan sekatan yang berlaku di Kota Mekah tidak berlaku di Kota Madinah. Bahkan penduduk mereka saling berlumba-lumba untuk menolong dan infak pada jalan Allah SWT.

Semoga rahmat Allah SWT sentiasa melimpahi kepada kita terutamanya dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh cabaran kehidupan ini. Amin



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131115

Sambut Muharam dengan puasa, rai keluarga

Rujuk perlakuan Baginda SAW sambut perayaan

Masa berlari begitu pantas. Kini kita berada di pertengahan Muharam iaitu permulaan bagi kalendar 1435 hijrah. Bulan yang dimuliakan ini menyimpan begitu banyak peristiwa penting bagi umat Islam terutama sirah penghijrahan Rasulullah SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah.

Di samping peristiwa penting berlaku dalam bulan ini, Muharam juga mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri. Bulan ini adalah satu daripada empat bulan yang dimuliakan dan diberkati seperti termaktub dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati dikenali sebagai bulan yang dihormati (arba’atun hurum). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Empat bulan haram

Diriwayatkan oleh Abu Bakrah, Rasululah SAW bersabda: “(Ketahuilah) Sesungguhnya, zaman beredar seperti mana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan Rejab diapit oleh Jamadilakhir dan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, sambutan peristiwa hijrah juga sebagai gambaran kebanggaan bagi umat Islam kerana kita mempunyai kalendar sendiri dan lebih relevan dari segi ketepatan hitungannya.

Contohnya, seorang ahli falak terkenal iaitu Almarhum Syekh Mahmud Basya yang menilai ketika Baginda SAW menerima wahyu pertama telah menganggarkan umur Baginda SAW ketika itu ialah 40 tahun, tiga bulan lapan hari berdasarkan kiraan kalendar Islam. Mengikut kalendar masihi, umur baginda 39 tahun, enam bulan, lapan hari. Menunjukkan usia kita lebih jika dihitung mengikut kalendar Islam.

Bulan dimuliakan Allah

Muharam juga bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Lafaz “maka janganlah kamu menganiayai diri kamu” bermaksud jangan menganiayai diri kamu dalam bulan mulia ini kerana dosa yang dilakukan dalam bulan ini lebih besar berbanding bulan lain.

Ibn Abbas berkata, ayat itu merujuk kepada semua bulan, kemudian empat bulan ini diasingkan dan dimuliakan. Justeru, dosa dilakukan dalam bulan ini adalah lebih serius dan amalan baik dilakukan akan diberikan ganjaran pahala yang besar.

Menunjukkan pengiraan mengikut kalendar Islam sesuai kerana setiap bulan mempunyai kelebihan tersendiri dan semuanya menganjurkan kita ke arah kebaikan. Namun, bagi yang masih tercari-cari apakah amalan sesuai dilakukan pada bulan ini boleh merujuk kepada perlakuan Baginda SAW.

Terdapat beberapa hadis Nabi SAW yang menganjurkan berpuasa sunat dalam bulan Muharam. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa yang lebih utama selepas puasa Ramadan ialah puasa di bulan Allah iaitu Muharam, manakala solat yang lebih utama selepas solat fardu adalah solat malam.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

Sebutan ‘bulan Allah’ yang menghubungkan nama bulan kepada nama Allah menunjukkan keakraban bagi membuktikan kepentingan bulan itu di sisi Allah SWT. Ada berpendapat lafaz zahir maksud hadis adalah berpuasa pada keseluruhan Muharam.

Namun, sudah dibuktikan Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa penuh sebulan selain Ramadan. Oleh itu, hadis ini mungkin bertujuan menggalakkan memperbanyakkan puasa pada Muharam bukannya berpuasa pada keseluruhan bulan.

Hal ini diperkuatkan oleh satu riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah sebahagian daripada bulan Muharam dan tinggalkanlah daripada sebahagian yang lain (diucapkan tiga kali).” (Riwayat Abu Daud)

Perbaharui tanggungjawab

Selain berpuasa, kita juga disarankan memperbaharui tanggungjawab terhadap keluarga yang menjadi kealpaan pada kebanyakan kaum lelaki. Wujudkan semula kesegaran dalam berumahtangga dengan menggembirakan ahli keluarga.

Jika perkara itu bertepatan pada Muharam, alangkah beruntungnya kita dengan ganjaran yang dijanjikan. Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Bar dengan sanad yang jayyid (elok) daripada Saidina Jaabir bin Abdullah: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang meluaskan (melapangkan atau menyenangkan) atas dirinya dan ahli keluarganya pada hari Asyura (10 Muharam), Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun. Saidina Jabir berkata: Kami telah mencubanya dan memperoleh yang sedemikian tadi (apa yang dinyatakan tadi).” (Kitab Tuhfatul Muhibbin)

Baginda juga menyarankan kita sentiasa berbuat baik kepada keluarga khususnya isteri yang sentiasa memelihara kebajikan tanpa mengenal penat dan jemu. Layan mereka sebaik-baiknya melalui pengalaman dan kebijaksanaan.

Sabda Baginda SAW: “Aku berwasiat dengan kebaikan dan kebijaksanaan kalian dalam menghadapi kaum wanita, kerana sesungguhnya wanita berasal dari tulang rusuk yang bengkok. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Apabila engkau luruskan nescaya ia patah. Dan apabila engkau biarkan ia tetap bengkok, kerana itu berbuat baiklah dalam menghadapi kaum wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika dua perkara kebajikan iaitu berpuasa dan menggembirakan keluarga dapat dilaksanakan pada bulan mulia ini, maka kita telah mencapai matlamat kebajikan Muharam. Peluang yang disajikan Allah SWT hendaklah direbut kerana kita berada di penghujung jalan menuju akhirat.

Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 16/11/2013

Suara dari awan sebut nama petani

Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Pada suatu masa ada seorang lelaki berjalan di tanah lapang yang gersang. Kemudian dia terdengar suara dari awan: Sirami kebun si fulan itu.

Awan itu kemudian bergerak menuju tempat kebun itu lalu turunlah hujan lebat ke atas tanah gersang yang hitam batunya itu.

Kemudian, air hujan itu mengalir ke dalam alur yang menuju ke satu arah. Lelaki itu berjalan mengikuti arah aliran air hujan itu. Tiba-tiba dia terpandang seorang petani sedang menggunakan cangkul bagi mengalirkan air ke dalam kebunnya. Lelaki itu bertanya kepada si petani: Siapakah nama saudara.

Nama saya si fulan, jawab petani itu. Nama itu sama dengan nama yang didengarnya dari dalam awan tadi. Kemudian petani itu bertanya: Mengapa tuan bertanyakan nama saya?

Lelaki itu berkata: Percayalah, tadi saya terdengar suara dari dalam awan yang membawa air hujan ini. Siramilah kebun si fulan itu. Nama itu sama benar dengan nama saudara. Ceritakanlah apa yang saudara lakukan.

Jawab petani itu: Kerana saudara ingin tahu, saya sebenarnya selalu menghitung baik-baik hasil keluaran kebun ini. Sepertiga saya sedekahkan. Sepertiga lagi saya makan bersama keluarga saya. Sepertiga lagi saya tanam semula sebagai benih.” (Riwayat Muslim)

Kita dituntut supaya menjadi orang yang murah hati dan suka membelanjakan harta pada jalan yang baik mengharapkan keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki antara hamba-Nya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Serta apa saja yang kamu dermakan, Allah menggantikannya dan Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Sabak, ayat 39)


Berita Harian Online Agama 16/11/2013