November 20th, 2013

Keadilan pengampunan sentiasa mengimbangi

Menghukum pesalah normal dalam perundangan syariah, beri kemaafan ada kala digalak

Kemaafan adalah elemen dalam perbincangan akidah dan perundangan Islam. Ia berperanan melepaskan seseorang daripada hukuman, liabiliti sivil, serta kesalahan dalam neraca agama.


Al-Quran menjelaskan bahawa Allah SWT bersifat Maha Pengasih serta Maha Adil. Persoalannya, bagaimanakah syarak mengimbangi antara kedua-dua objektif ini? Bagaimanakah juga masyarakat boleh bersikap belas kasihan dan memberi kemaafan apabila jenayah diperlakukan kepada mereka?

Afwa (kemaafan) adalah tema di dalam al-Quran yang mempunyai kedudukan istimewa. Kitab suci ini memuji pihak yang sentiasa memberikan kemaafan, serta menyatakan bahawa `Afwa adalah manifestasi kepada ihsan seperti yang diutarakan dalam surah al Baqarah, ayat 178.

Di sini, Allah SWT, menyatakan kasih sayang-Nya terhadap pihak yang memberikan kemaafan, khususnya mereka yang ingin membalas dendam.

Bagaimanapun, Islam turut meletakkan keadilan pada kedudukan yang tinggi serta memerlukan ketegasan dalam pelaksanaannya.

Jelaslah bahawa keadilan dan pengampunan sentiasa mengimbangi antara satu sama lain.

Firman Allah dalam Surah an-Nahl menyatakan: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat,”

Lengkap nilai ihsan

Ayat ini menunjukkan bahawa keadilan semata-mata tidak semestinya wajar pada semua keadaan. Ia hendaklah dilengkapi dengan nilai ihsan dalam situasi tertentu, dalam konteks ini iaitu kemaafan.

Menghukum pesalah adalah sesuatu yang normal dalam perundangan syariah. Namun memberi kemaafan ada kalanya lebih digalakkan.

Prinsip Islam ini mampu berperanan dalam situasi pasca-konflik seperti di Iraq, Afghanistan, serta di negara Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan rakyat. Penyelesaian konflik menitikberatkan kepentingan menggabungkan pelaksanaan keadilan bersama elemen afwa dan ihsan. Firman Allah dalam surah al Imran ayat 34 menyebut, “orang-orang yang menahan kemarahannya, serta yang memaafkan kesalahan orang,”

Al-Quran juga menyentuh mengenai kesamarataan dalam hukuman, namun turut menggandingkannya dengan elemen kemaafan.

Firman Allah dalam surah Asy Syuura ayat 40 menyebut, “Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”


Keampunan, kebaikan saling melengkapi

Justeru, keampunan dan kebaikan saling lengkap-melengkapi. Seseorang individu disarankan berpaling daripada provokasi golongan jahil yang melakukan kesalahan ke atasnya. Rasulullah SAW sendiri memuji sikap memberi kemaafan:

“Kemaafan tidak pernah gagal membawa kehormatan kepada seorang hamba Allah apabila dia melakukannya (demi mendapat keredaan-Nya),”

Rasulullah SAW sendiri, ketika pembukaan Makkah mengampunkan kesemua penduduk Makkah termasuk musuh Baginda yang pernah menzaliminya dan ahli keluarganya.

`Afuww (Maha Pemurah) juga adalah Nama Allah Yang Agong (Asma` al-Husna):

”Atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa,” (Surah al-Nisaa’ ayat 149).

Memberi kemaafan juga keistimewaan para rasul. Jabir bin` Abd Allah meriwayatkan seorang wanita Yahudi Khaibar menghidangkan daging beracun kepada Nabi SAW.

Baginda memakan sedikit daripadanya, manakala selebihnya dimakan oleh para sahabat, sehingga mereka jatuh sakit. Nabi SAW bertanya perempuan tersebut “Adakah kamu meletakkan racun ke dalam daging itu?” dia menjawab: “Ya”.

Para sahabat yang hadir bertanya kepada Nabi : “Tidakkah sewajarnya dia dibunuh?” Nabi SAW melarang, malah memaafkan perempuan tersebut. Dua peristiwa seterusnya juga amat menarik perhatian saya.

Jabir bin Abd Allah meriwayatkan ketika pulang dari peperangan, Baginda SAW berehat di bawah sebuah pokok dengan menggantungkan pedang pada dahannya.

“Dan kami semua tertidur. Kemudian Nabi SAW mengejutkan kami apabila Baginda menangkap seorang Badawi yang mengambil pedang Baginda dan mahu menyerangnya. Nabi SAW bangun menyoal siasat lelaki itu, kemudian Baginda memaafkan dan melepaskannya.

Diriwayatkan daripada `Abd Allah ibn Mas`ud, Nabi SAW tercedera di dalam peperangan Uhud. Sambil menyapu darah pada wajahnya, Baginda bersabda : “Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui,” iaitu perkataan yang pernah diucapkan Nabi Nuh a.s.

Penelitian menyeluruh terhadap mesej ini memberikan kefahaman berbeza terhadap imej Islam yang sering digambarkan sebagai keras dan penuh dengan hukuman.

Prof Mohammad Hashim Kamali Berita Harian Online Agama 20/11/2013

Individu pendengki adalah golongan lemah

Sifat hasad dengki banyak berlaku dalam masyarakat Islam hari ini dan seperti amat sukar untuk dikikis daripada kehidupan mereka.

Perangai hasad dengki dapat dilihat dalam masyarakat seperti perbuatan jatuh menjatuh, pulau memulau, memfitnah, mengumpat dan mengadu domba.

Hasad dengki adalah sifat utama syaitan. Syaitan tergolong sebagai hamba yang ingkar disebabkan adanya perasaan dengki dengan keistimewaan yang Allah SWT berikan kepada manusia.


Permulaan perasaan dengki syaitan terhadap manusia bermula apabila Adam (manusia) dilantik menjadi khalifah di muka bumi. Iblis berdengki kerana merasakan dia dan generasinya lebih layak untuk tanggungjawab itu. Sebelum itu, iblis adalah hamba yang patuh dan taat kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah ketika Kami berkata kepada malaikat: Sujudlah kepada Adam, lalu ia sujud kecuali iblis yang enggan dan bersikap angkuh. (Dengan sebab itu) maka jadilah mereka dari golongan yang kufur terhadap Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 45).

Syaitan enggan sujud kepada Adam

Keengganan syaitan sujud kepada Adam menyebabkan mereka menjadi golongan hamba tidak beriman dan dikeluarkan dari syurga.

Kerana sifat dengki pada syaitan itu, ia berusaha menggoda Adam dan Hawa sehingga kedua-duanya terpedaya lalu menerima hukuman dengan diperintahkan keluar dari syurga dan diturunkan ke dunia untuk menjalani kehidupan penuh cabaran.

Imam Nawawi menulis di dalam Riyadhus Solehin menjelaskan erti hasad ialah “Seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut orang dengki.”

Sikap pendengki jika ada pada seseorang menunjukkan orang itu lemah, maruah peribadinya rendah. Orang yang dikuasai hasad dengki sentiasa mencari peluang untuk melakukan perbuatan buruk terhadap orang lain bagi mencapai matlamat diri dan kumpulannya.

Pada masa sama pihak yang dianiaya pula akan membalas perbuatan itu. Akibatnya, berlakulah perselisihan, dendam dan permusuhan yang berterusan.

Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram dan pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Dia sentiasa memikirkan jalan untuk memusnahkan orang lain.

Sifat dengki turut diturunkan di dalam al-Quran dalam surah al-Falaq yang bermaksud: “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Surah al-Falaq, ayat 5)

Elak perasaan hasad dengki

Untuk mengelak perasaan hasad dengki menjadi punca permasalahan lain, sesiapa yang menjadi mangsa perbuatan dengki, perlu banyaklah bersabar dan sentiasa mengingati Allah SWT.

Mangsa dengki tidak perlu membalas perbuatan itu kerana ia ditegah agama. Hanya Allah SWT akan memberi pembalasan setimpal kepada pendengki dan pada masa sama melimpah kurnia-Nya kepada hamba yang sabar.

Allah SWT memberi peringatan kepada manusia mengenai niat syaitan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang jauh-jauh.” (Surah an-Nisa, ayat 60).

Ayat itu memberi peringatan kepada manusia agar menghindarkan diri daripada menjadi sesat akibat hasutan syaitan.

Lazimnya, individu yang tidak mempunyai pegangan iman kuat mudah dipengaruhi syaitan agar mengamalkan sifat dengki dan melakukan pelbagai kejahatan lain.

Masalah hubungan sesama manusia banyak berpunca daripada sikap dengki. Malah, sejarah pembunuhan pertama sesama manusia adalah berpunca sifat dengki.

Qabil membunuh Habil kerana berasa dengki terhadap Habil yang dapat mengahwini kembar Qabil yang cantik, sedangkan dia terpaksa berkahwin dengan kembar Habil yang hodoh.

Begitulah buruknya akibat sifat dengki. Oleh itu umat Islam ditegah sama sekali dari mengamalkan sifat dengki.


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 20/11/2013

Kembara Kegemilangan Islam

BUMI Andalusia bukan sahaja merupakan tempat sejarah kegemilangan ketamadunan Islam tetapi lokasi itu mempunyai keunikan tersendiri dengan menyaksikan pelbagai keindahan serta keunikan menerusi hasil seni bina kawasan itu.

Tempias itu akibat kesan penguasaan kerajaan Islam di bumi Andalusia seperti Sepanyol pada suatu ketika dahulu lalu menyebabkan seni bina di persekitaran kawasan itu menarik dan indah sehingga menjadi tumpuan sektor pelancongan pada hari ini.

Kehebatan berkenaan tidak hanya dengan kesan daripada unsur elemen Islam diterapkan selain menjadi saksi terhadap kelahiran pelbagai cabang ilmu seperti perubatan, sains, matematik dan sebagainya yang muncul dari bumi itu.

Atas sandaran itu memberi inspirasi kepada Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor untuk mengajak orang ramai termasuk para peminatnya untuk peluang bercuti bersamanya ke Sepanyol dan Morocco selama 12 hari 11 malam bermula 26 Disember ini sehingga 6 Januari 2014.

Bertujuan untuk mengajak masyarakat menghayati kesan ketamadunan Islam, Sheikh Muszaphar berkata selain itu orang ramai boleh melancong selain menimba ilmu sejarah setiap tempat yang dilawati malah mengenali budaya masyarakat setempat.

Peluang berlancong itu merupakan kali ketiga selepas Krabi, Thailand pada tahun lalu dan bumi Baitulmaqdis, pada Mei lalu.

"Saya percaya tempat-tempat ini mempunyai sejarah keislamannya yang tersendiri dan boleh menjadi contoh pemeliharaan warisan yang boleh menggunakan untuk pemuliharaan sejarah kita sendiri.

"Malah saya melihat Kembara Kegemilangan Islam sebagai satu cara untuk mempelajari sejarah tokoh-tokoh terdahulu yang menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan penyelidikan mereka," ujar Sheikh Muszaphar.

Berbekalkan pengalaman melihat kebesaran Allah SWT di angkasa lepas, idola negara itu berkata sudah tiba pada masanya kita mengkaji dan membongkar tokoh ketamadunan Islam dahulu yang telah menjadikan ilmu sains sebahagian cabang agama Islam.

"Saya melihat sendiri mengapa kita bertawaf mengelilingi Kaabah lawan arah jam dan melalui asas itulah saintis barat mengkajinya dari perspektif sains sedangkan benda itu sudah berlaku sekian lama.

"Melalui kembara ini, saya ingin membuka minda umat Islam agar lebih ke hadapan dalam menceburi ilmu sains dan teknologi dengan menyaksikan bukti teknologi dan seni bina ditunjukkan menerusi bangunan sekitar Bumi Andalusia," terang angkasawan negara berkenaan.

Tawaran hebat

Sepanjang pengembaraan itu, rombongan akan dibawa ke pelbagai lokasi menarik dan indah yang bermula di Madrid, seterusnya Granada, Cardoba, Gibraltar dan pelbagai lagi serta berakhir di Casablanca sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

Antara tempat dilawati adalah Masjid Cardoba, Istana al-Hambra, Stadium Real Madrid dan lain-lain yang dimana anda bakal merinduinya setelah pulang kelak nanti.

Malah rombongan bakal dibawa menaiki feri ke kawasan-kawasan tertentu selain menaiki pesawat dan bakal menjanjikan pengembaraan bersama angkasawan negara itu, hebat dan menyeronokan.

Berharga RM12,700 (dewasa) dan RM12,200 (kanak-kanak), percutian selama 12 hari itu meliputi hotel empat bintang, sajian makanan halal, caj masuk ke kawasan pelancongan, tiket penerbangan dan feri serta lain-lain.

Memandangkan tempat adalah terhad untuk 30 orang, untuk sebarang maklumat atau penempahan, anda boleh menghubungi al-Kawsar Travel & Tours Sdn. Bhd. menerusi talian 03-5510 9448 atau Mohd. Yusaini Mohd. Hassan (016-333 4010) dan Wany Idris (017-305 2663).

Sepanjang lawatan, rombongan akan menaiki kapal terbang sebanyak empat kali untuk ke lokasi berbeza.

Selain itu, untuk ke Maghribi rombongan bakal menyelusuri Lembah Pergunungan Gibraltar sebelum tiba di lokasi.

Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bakal bersama rakyat Malaysia dalam majlis yang akan diadakan di pejabat Kedutaan Malaysia di negara-negara berkenaan.

Peluang membeli-belah di Dataran Djemaa El Fna yang merupakan kawasan pasar terkenal di Marrakech.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131120

Penggunaan telekung dalam solat

Menutup aurat adalah salah satu syarat sah solat. Aurat dalam solat ialah bahagian tubuh yang wajib ditutup ketika bersolat. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan apa yang ditegaskan Allah SWT di dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).

Ibnu Abbas mentafsirkan perkataan zi-na-ta-kum sebagai pakaian yang wajib dipakai ketika bersolat. Kajian ahli fikah menggariskan aurat wanita ketika bersolat ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua pergelangan tangan. Ketetapan ini bersumberkan beberapa hadis Rasulullah SAW.

Oleh itu. wanita yang menutup auratnya ketika solat, maka sah solatnya. Pakaian apa yang dipakainya untuk memenuhi syarat ini tidak diambil kira. Apabila seorang wanita memakai jubah atau baju kurung atau seluar yang memang menutup aurat dan memakai stoking atau kainnya labuh hingga menutup kaki, solatnya sah.

Penggunaan telekung hanya terkenal dalam kalangan muslimah Nusantara dan tidak digunakan di negara-negara lain. Ia bukan satu kewajipan. Sudah tentu sukar untuk sentiasa membawa telekung, terutama ketika bermusafir atau bekerja.

Oleh itu, memadai bersolat dengan pakaian yang dipakainya dengan syarat pakaian tersebut menutup aurat dan bersih.

Utusan Malaysia Onine Bicara_Agama 20131120

Pengasas mazhab Maliki

IMAM Malik ibnu Anas, pengasas suatu aliran dalam perundangan Islam yang terkenal dengan nama Mazhab Maliki.

Nama penuhnya Abu Abdullah Malik bin Anas bin Abi Amr bin Haris bin Gaiman bin Kutail bin Amr bin Haris al-Asbahi.

Berasal dari negeri Yaman. Salah seorang datuknya berpindah ke Madinah. Beliau seorang tokoh ilmu fikah yang terkemuka di Hijaz.

Banyak ulama besar yang mempelajari hadis daripada beliau. Mereka datang dari segenap wilayah Islam pada waktu itu.

Imam Malik dilahirkan di Madinah pada 94 Hijrah/716 Masihi dan tidak pernah meninggalkan kota itu hingga beliau meninggal dunia pada 179 Hijrah/795 Masihi, ketika berusia sekitar 85 tahun.

Ketinggian ilmu beliau dalam urusan fikah dan hadis telah diakui oleh semua ulama. Keimanannya sangat kuat. Tidak gentar kepada pemerintah. Sentiasa mengeluarkan pendapat bagi kepentingan ilmu dan agama, walaupun menyebabkan orang marah.

Kitab al-Muwattak karangannya adalah yang terbaik dalam bidang fikah dan hadis. Kitab inilah yang pertama mengumpulkan hadis-hadis ulama Hijaz, pendapat-pendapat sahabat dan tabiin. Beliau menyusunnya secara susunan kitab fikah. Dinamakan al-Muwattak, mungkin kerana para ulama masa itu telah sepakat tentang kebenaran isinya.

Khalifah Harun ar-Rasyid pernah meminta Imam Malik supaya pergi ke Iraq agar beliau dapat memerintahkan rakyat mengikut isi al-Muwattak seperti Khalifah Uthman memerintahkan seluruh rakyat memakai mashaf yang dibukunya.

Perintah ini ditolak oleh Imam Malik dengan alasan: "Menyuruh seluruh rakyat mengikut isi al-Muwattak adalah perkara yang tidak wajar, kerana para sahabat sesudah Rasulullah SAW wafat berselerak ke serata pelosok. Mereka telahpun meriwayatkan hadis di tempat mereka berada."

Oleh itu, berkemungkinan di tempat mereka itu ada ilmu yang tidak ada dalam al-Muwattak. Pergi mengikut perintah khalifah pun tidak mungkin dilakukan, kerana Nabi SAW pernah berkata: “Ada orang kelak yang meninggalkan Madinah kerana kepentingan dunia, sedangkan Madinah lebih baik bagi mereka jika mereka mengetahui.”

Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131120

Karamah pendamping al-Quran

PEMBACA al-Quran atau dalam bahasa dikenali sebagai qurra mempunyai banyak kelebihan. Selain pahala yang berlipat ganda, mereka juga mendapat ketenangan jiwa dan rasa damai. Berapa ramai orang yang menghadapi masalah yang berkaitan keluarga, kewangan dan lain-lain dapat mengatasinya dengan membaca al-Quran.

Jika melihat lembaran sejarah, guru al-Quran yang berkhidmat mengajar dan hidup bersama al-Quran telah diberikan anugerah yang tidak terlintas pada akal manusia biasa. Istilah yang sesuai digunakan untuk perkara seperti itu ialah karamah.

Karamah daripada sudut bahasa adalah kemuliaan. Istilahnya ialah sesuatu perkara luar biasa yang berlaku daripada keikhlasan seorang hamba yang telah jelas kebaikannya kerana ketekunan di dalam mengikuti syariat nabi dan mempunyai akidah yang benar.

Apa yang ingin dibawakan dalam perbincangan ini ialah anugerah dan kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada hamba-Nya yang selalu berdampingan dengan al-Quran. Cerita yang pelik ajaib berkaitan qurra sebenarnya banyak dicatat oleh Imam Ibnu al-Jazari melalui beberapa penulisannya antaranya Ghayah al-Nihayah fi Tabaqat al-Qurra.

Berbau wangi

Sebagai permulaan, saya membawa satu kisah berkaitan seorang guru Quran terkenal di Madinah al-Munawarrah iaitu Imam Nafei’ al-Madani. Selain mengajar al-Quran beliau juga adalah imam di Masjid Nabi selama 70 tahun. Sumbanganya cukup besar dan salah seorang muridnya ialah Imam Malik Ibnu Anas pengasas mazhab Maliki.

Karamah atau kemuliaan yang Allah SWT berikan kepadanya ialah mulutnya sentiasa berbau wangi sehingga mereka yang berada di sekelilingnya merasakan Imam Nafei’ memakai wangian sebelum sesi pengajaran. Lantas beberapa muridnya bertanya soalan dan beliau menjawab: “Aku tidak pernah menyentuh wangian tetapi aku melihat Rasulullah SAW dalam mimpiku membaca al-Quran dan menghembus ke arah mulutku. Semenjak itu mulutku berbau wangi.”

Buta tapi terang hati

Perkara pelik sebegitu tidak boleh berlaku kepada kebanyakan orang walaupun mereka berusaha mendapatnya, tetapi ia anugerah Allah SWT.

Bagi Imam Syatibiy yang meninggal pada 590 Hijrah, walaupun beliau adalah seorang yang cacat penglihatan tetapi hatinya begitu terang dan bersih. Hatinya mampu melihat apa yang tidak nampak oleh mata.

Setiap hari Imam Syatibiy mengajar al-Quran. Ramai yang datang untuk bertalaqqi dan musyafahah dengan beliau. Memandang kepada ramainya yang datang, Imam Syatibiy menggunakan kaedah sesiapa yang datang awal, dialah orang yang pertama membaca. Setiap kali sesi pengajarannya, beliau akan menyebut perkara itu.

Terjadi kisah seorang pelajar yang ingin menjadi orang pertama membaca di hadapan Imam Syatibiy. Tetapi beliau telah berhadas di waktu malamnya. Dek ingin membaca tempat yang pertama, pelajar tersebut terlupa untuk mengangkat hadasnya. Ketika Imam Syatibiy mengambil tempatnya untuk memulakan sesi pengajaran Imam Syatibiy mengubah skrip yang selalu diucap sebelum pengajaran dengan berkata siapa yang datang kedua membaca dahulu.

Si lelaki yang datang pertama merasa pelik dengan arahan Imam Syatibiy dan melakukan muhasabah apakah dosa yang telah dilakukan sehingga gurunya tidak menyuruhnya membaca dahulu. Lantas beliau teringat peristiwa semalam dan bergegas pergi mengangkat hadas.

Selepas siap semuanya, Imam Syatibiy pun berkata siapa yang datang pertama membaca dahulu. Lihat bagaimana karamah atau kemuliaan yang Allah berikan kepada Imam Syatibiy yang boleh merasakan di hadapannya orang berhadas yang tidak boleh membaca al-Quran.

Kehebatan tersendiri

Cerita karamah sebegini adalah untuk memberi maklum kepada kita bahawa al-Quran adalah kalam Allah SWT yang mempunyai kehebatannya yang tersendiri. Mereka yang memahaminya dan berkhidmat untuknya diberikan kelebihan. Namun begitu mereka yang tidak diberi karamah walaupun banyak membaca al-Quran sebenarnya tersilap tafsir.

Hakikatnyanya membaca al-Quran itu adalah satu ibadat yang besar nilainya dan perlu selalu berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberikan masa yang cukup untuk membaca al-Quran pada siang dan malam hari. Sebagaiman doa yang selalu dinasyidkan: “Ya Allah kurniakanlah kepada kami untuk membaca al-Quran sepanjang malam dan siang, Amin ya rab al-Alamin.”

DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131120

Beri hak kepada yang berhak

HARI ini rata-rata pasangan suami isteri muda berhutang untuk hidup mewah. Duit plastik (kad kredit) sangat popular dalam kalangan pasangan muda di mana apabila berbelanja, mereka berbelanja secara sewenang-wenangnya. Apabila kerak lebih besar daripada periuk, tentulah ia terkeluar dan menyusahkan.

Kemewahan mereka ini sering saya curigai, adakah daripada pinjaman keluarga atau meminjam daripada ah long atau yang sewaktu dengannya, maka pasangan muda ini akan menghadapi masa depan yang payah dan menyedihkan.

Hari ini ramai isteri yang diceraikan suami terkapai-kapai tidak keharuan. Walaupun isteri bekerja, namun jika perbelanjaan keluarga dikongsi maka apabila bercerai isteri akan merasa terbeban. Lebih menyedihnya, ramai isteri yang membayar rumah dan kereta kerana pinjaman dibuat atas namanya dan ini tidak termasuk jika dia juga berbelanja menggunakan kad kredit atas namanya sendiri. Apabila bercerai, suami cuci tangan dengan mengatakan ia hanya akan membayar nafkah saraan untuk anak yang jumlahnya tidak sampai RM1,000 pun.

Jika pasangan suami isteri bekerja dan membeli harta bersama, pada pandangan saya sekiranya mereka bercerai, isteri boleh menuntut rumah tempat tinggal sebagai satu-satunya harta sepencaraian dan bahagian suami diserahkan kepada isteri sebagai mutaah. Ini bermakna, bayaran ansuran bulanan terus dibayar suami sebagai pemberian mutaah atau nafkah.

Suami pula tidak perlu membayar nafkah kerana nafkahnya ialah harga rumah. Jadi, isteri mempunyai baki wang gaji untuk menyara dirinya dan anak-anak. Jika tidak, isteri perlu menjual rumah, mencari rumah yang lebih murah untuk membolehkannya menggunakan baki wang jualan rumah itu untuk menyara mereka anak-beranak. Malah rumah baharu itu pula sepatutnya dibeli dengan harga tunai supaya isteri tidak menanggung bebanan hutang.

Harta sepencarian adalah hak isteri namun jika mahu menuntutnya, ia perlu dibuat secara bijak dan berhikmah. Suami pula jangan menggunakan harta sepencarian sebagai cara menyeksa isteri dan anak-anak. Beri hak kepada yang berhak.

HARTA sepencarian adalah harta yang diperoleh oleh pasangan suami isteri, sama ada atas usaha perseorangan atau usaha bersama dalam tempoh perkahwinan mereka. Harta yang dimaksudkan boleh jadi harta suami yang dibelinya semasa pasangan belum berkahwin dan kemudiannya apabila berkahwin, pasangan terus tinggal di rumah tersebut.

Rumah dibesarkan, ditambah itu dan ini dan akhirnya selepas 10 tahun perkahwinan, pasangan berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa. Rumah lama milik suami disewakan sehinggalah suami meninggal dunia selepas 40 tahun berkahwin. Wang sewa rumah digunakan sepenuhnya untuk membiaya perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.

Apabila suami meninggal dunia, isteri berhak menuntut rumah suami tadi sebagai sebahagian daripada harta sepencarian walaupun harta tersebut dibeli sebelum berkahwin, Ini telah menjadi harta perkahwinan. Sama juga dengan harta isteri yang dikembangkan oleh suami. Misalnya, isteri mendapat harta pusaka daripada ibunya sebelum beliau berkahwin. Harta itu sebidang tanah seluas tiga ekar. Selepas berkahwin suami membangunkan sebuah kilang dan menanam pokok buah-buahan.

Hasil kilang yang lumayan dijadikan sumber kewangan keluarga yang dikongsi bersama. Jika pasangan ini bercerai atau isteri meninggal dunia, suami berhak menuntut harta sepencarian daripada hasil kilang dan bukan tanah pusaka isteri.

Mahkamah Syariah dalam penghakiman menentukan jumlah yang boleh diberikan sebagai harta sepencarian dengan meminta pihak yang menuntut membuktikannya.

Kemungkinan mahkamah memberikan hak hasil sama rata kerana tanah hak isteri dan kilang diusahakan bersama. Perkara yang perlu diambil kira oleh suami dan isteri apabila membuat tuntutan harta sepencarian ialah, pastikan harta tidak dijual atau terjual.

Hari ini harga rumah sangat tinggi terutama di kawasan bandar. Flat biasa juga mahal. Apatah lagi pangsapuri atau kondominium serta rumah teres.

Jika sepasang suami isteri berkahwin selama 15 tahun dan telah membeli rumah di Petaling Jaya. Rumah tersebut dibeli pada harga sekitar RM600,000. Selepas 15 tahun harga rumah tersebut terus melompat kepada RM1.5 juta. Pasangan ini bercerai dan mereka mempunyai anak.

Jika isteri menuntut hak harta sepencarian terhadap rumah, rumah perlu dijual dan RM1.5 juta itu akan dibahagi sama rata iaitu RM750,000 seorang.

Dengan duit ini isteri perlu berpindah ke rumah lain kerana ia telah dijual. Ini juga bermakna anak-anak yang tinggal bersamanya juga perlu berpindah ke tempat yang dia lebih mampu.

Seandainya pasangan ini mempunyai tiga orang anak yang dianggarkan berada di peringkat menengah rendah. Proses perceraian dan perpindahan serta pertukaran cara hidup memberi kesan besar kepada anak-anak.

Dalam kes ini, jika mereka duduk di Kuala Lumpur, lokasi rumah sama ada di pinggir kota atau di luar Kuala Lumpur perlu dicari kerana faktor harga yang jauh lebih murah.

Malah lebihan daripada hasil jualan itu juga boleh digunakan untuk membesarkan rumah, persekolahan atau pendidikan anak-anak kerana nafkah anak memang selalu terabai.

Dalam contoh yang saya berikan ini juga, harta sepencarian yang selalu dituntut ialah rumah, diikuti dengan tanah, kedai, kereta dan wang simpanan. Isu wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga sering dibangkitkan dalam pertikaian harta sepencarian serta wang saham dan perlaburan lain.

Namun bagi pasangan yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, selepas perceraian tiada apa-apa tuntutan yang dibuat oleh isteri kerana tiada apa yang hendak dituntut.

Apatah lagi, ramai pasangan suami isteri hari ini masih duduk menyewa kerana tidak mempu membeli rumah. Jika mereka bercerai dalam tempoh lima tahun perkahwinan, yang ada hanya harta milik bank atau institusi kewangan kerana semua harta dibeli melalui pinjaman.

Ada pasangan yang telah 20 tahun berkahwin dan memiliki dua buah rumah, tetapi rumah masih milik bank atau kerajaan (pinjaman kerajaan) kerana masih dibayar.

Jadi jika baru berkahwin antara lima ke 10 tahun dan masih belum memiliki rumah, apabila bercerai tiada apa yang boleh dituntut kecuali hutang.

Ada kes pasangan muda yang baru lima tahun berkahwin, mereka baru membeli dan mengambil kunci rumah. Rumah dibeli dengan pinjaman bersama. Mereka berpindah dan belum sempat membuat kenduri rumah baharu, telah berlaku pergaduhan antara mereka. Suami buat perangai dan isteri memohon cerai. Isteri beranggapan dia akan boleh terus tinggal di rumah tersebut.

Apabila kes perceraian selesai diurus, isteri mendapati suami telah membuat persetujuan untuk menjual rumah. Jika rumah itu baru dibeli dengan harga RM360,000, potongan harga rumah yang baru dibuat satu tahun tidak membolehkan jumlah hutang menurun. Rumah perlu dijual dan harganya mungkin menjadi RM450,000 tetapi hutang di bank mungkin melebihi harga tersebut. Kemungkinan pasangan ini bukan sahaja kerugian di mana mereka kehilangan sebuah rumah yang mereka beli menggunakan wang bersama tetapi juga akan berkongsi hutang.

Jika rumah dijual dengan harga RM450,000 dan hutang di bank masih berbaki RM500,000 maka pasangan perlu melunaskan lagi baki RM50,000 bagi membolehkan rumah itu dijual. Akhirnya kedua-dua tidak berumah dan tiada berharta dan anak-anak tiada tempat tinggal malah perlu membayar hutang.

Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131120

Kerapuhan iman remaja

Rumah adalah tempat pertama untuk mendidik anak-anak. Rumah tangga yang tidak selesa penuh dengan kebencian dan ketidakselesaan akan menyebabkan penghuninya, terutamanya anak-anak remajanya mengambil tindakan suka berfoya-foya di luar rumah.

Kes anak remaja lari dari rumah sering berlaku seperti yang dipaparkan melalui media massa.

Jika seseorang remaja itu lemah imannya, terutama bagi remaja perempuan dia akan mudah terjebak dengan gejala lari dari rumah iaitu mengikut kawan-kawan atau kekasihnya yang belum tentu boleh menjamin masa depan mereka. Bagi remaja lelaki pula mereka lebih cenderung terlibat dengan gejala merokok, lumba haram, penagihan dadah dan kes ragut.

Ibu bapa mestilah mendidik anak supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: "Barang siapa takut kepada Allah, maka Allah menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Barang siapa tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikannya takut kepada segala sesuatu."(riwayat Al-Baihaqi)

Oleh itu, melalui pendidikan yang berkesan dalam rumah tangga, ibu bapa dapat menerapkan hala tuju remaja dalam kehidupan mereka. Ibu bapa boleh menjelaskan bagaimana untuk menjadi remaja yang berjaya iaitu melalui ilmu, pelajaran, kemahiran dan akhlak yang baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW menjelaskan yang bermaksud, "Puncak kebijaksanaan ialah takut kepada Allah. Sebaik-baik yang tertanam dalam hati adalah keyakinan. Keraguan (dalam beriman) termasuk kekufuran. Keremajaan (remaja) termasuk kelompok kegilaan (radikal).

Orang bahagia adalah yang dapat mengambil pelajaran daripada (peristiwa) orang lain dan orang yang sengsara ialah yang sengsara sejak dalam kandungan ibunya. Tiap perkara yang akan datang adalah dekat."(riwayat Al-Baihaqi)

Ingin mencuba

Beberapa faktor yang menyebabkan remaja terlibat dengan gejala lari dari rumah antaranya, remaja memiliki sikap ingin mencuba. Oleh itu, remaja mestilah dipupuk dengan nilai positif, sekali gus bakal mencorakkan dan mewarnai masa depan negara.

Tanpa pasakan nilai positif ini, akhirnya remaja mudah terjerumus dalam anasir gengsterisme, hedonisme dan lari dari rumah. Lebih membimbangkan, remaja yang bermasalah ini juga mudah terjebak dengan gejala penagihan dadah, seks bebas dan mengandung anak luar nikah.

Kelemahan dan kerapuhan iman remaja adalah disebabkan kurangnya didikan agama dan asuhan moral. Ini berpunca daripada pengabaian ibu bapa terhadap remaja. Akhirnya memesongkan minda remaja dan menanamkan unsur negatif dalam pemikiran mereka.

Pengaruh luar yang negatif menyebabkan ibu bapa yang terlalu mengongkong kebebasan, keadaan rumah yang sempit dan serba kekurangan.

Akhirnya anak yang sudah meningkat remaja mengambil tindakan lari dari rumah mengikut kawan-kawan.

Pengaruh rakan sebaya meracuni minda remaja. Tawaran kehidupan yang bebas di luar berbanding dengan di rumah. Remaja yang tersilap langkah dan terpesona dengan janji manis rakan di luar mudah meninggalkan atau lari dari rumah.

Krisis antara anggota ahli keluarga serta krisis kewangan juga menyebabkan kemahuan remaja mendapat tentangan daripada ibu bapa. Lantaran itu, mereka lebih mudah terpedaya dengan pujukan teman lelaki yang kononnya menjanjikan pelbagai kehidupan mewah yang mempesonakan. Namun realitinya kosong belaka.

Motivasi

Remaja yang bermasalah perlu diberikan motivasi dan bimbingan. Malahan keluhan remaja terbabit perlu didengar dan diambil cakna oleh ibu bapa.

Di pihak ibu bapa pula, mereka perlulah mendidik anak-anak secara lembut, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Kejatuhan atau kemunduran sesuatu ummah antara lain adalah disebabkan pendidikan ummah itu dalam melahirkan masyarakat madani dan pemimpin akan datang tidak dipedulikan. Oleh itu, didiklah anak-anak dengan pergaulan yang baik di rumah.

Justeru, Sayidina Umar bin al-Khattab pernah menyatakan: "Sewaktu bergaul di rumah, seseorang bapa perlulah menyesuaikan diri sebagai anak-anak dengan beramah mesra dan berlemah-lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya dilakukan bersama anak cucu di rumah, di mana akan muncullah tokoh dalam sebuah keluarga itu."

PENDIDIKAN anak cemerlang mestilah dilakukan menurut acuan al-Quran dan sunnah. Anak-anak mestilah dididik sejak kecil lagi melaksanakan solat, membaca al-Quran dan melaksanakan ibadah lain bagi mengukuhkan iman dan memupuk ketakwaan.

Sebagai ibu bapa melalui pengalaman hidupnya yang luas seharusnya menceritakan kepada anak-anak kesan buruk akibat daripada perlakuan tidak elok anak-anak seperti lari dari rumah, akan mendatangkan bahawa bukan sahaja kepada diri para remaja tetapi juga boleh mengancam maruah serta nyawa mereka. Natijah yang tidak diingini ini boleh diperkukuhkan dengan cara ibu bapa membuktikannya melalui paparan akhbar atau kisah benar daripada sanak saudara dan jiran tetanga.

Kehebatan ibu bapa banyak terletak pada cara dan gaya mendidik iaitu lembut dalam memberikan nasihat dan tegas dalam melarang perkara mungkar. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah kamu membiarkan anak-anak keluar dari rumah pada waktu senja, disebabkan pada waktu itu syaitan sangat suka berkeliaran (mencari mangsanya). (riwayat A-Hakim)

Islam mendidik dan menghendaki anak-anak berada di dalam rumah pada waktu senja. Tetapi pada waktu inilah paling ramai kelihatan anak-anak dara dan teruna Islam berkeliaran di padang permainan, di tasik, dan taman serta di pasar raya-pasar raya dan di perhentian bas dengan melepak dan memadu kasih.

Memantau

Ibu bapa juga perlu meneliti dan memantau sebahagian permainan di Internet yang bercorak ilmiah yang boleh membantu memperkembangkan mental dan mengasuh bakat anak di mana mereka dapat bermain-main di rumah dan memperoleh kebaikan daripada permainan tersebut.Selain itu ibu bapa jangan membenarkan orang lain campur tangan dalam mendidik anak-anak. Anak-anak sendiri adalah tanggungjawab ibu bapa dan guru di sekolah mendidiknya. Pendidikan yang berkesan akan dapat membentuk dan membangun akal budi seseorang individu, ahli keluarga, masyarakat dan negara.

Bidang pendidikan terutama pendidikan anak-anak remaja antara program yang paling penting diberikan perhatian oleh ibu bapa dan masyarakat Islam dalam menangani apa juga masalah berkaitan anak-anak remaja Islam, terutama kes anak lari dari rumah yang boleh memporak-perandakan keluarga dan masyarakat.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131120