November 22nd, 2013

Khutbah Jumaat: Cuti sekolah masa lakukan terapi bina insan cemerlang

Ibu bapa digalak hidupkan budaya ilmu, akhlak baik dalam kehidupan anak


Musim cuti sekolah sudah tiba, yang paling seronok ialah anak-anak kita. Cuti panjang hadir selepas anak-anak bertungkus lumus menghadapi sesi pengajian, peperiksaan dan kokurikulum yang diwajibkan.


Inilah masa untuk melarikan diri buat sementara daripada alam persekolahan. Anak-anak memang mahu bebas daripada belenggu buku sekolah, mereka mahu berseronok setelah penat mentelaah pelajaran sepanjang tahun.

Tentunya bercuti adalah terapi paling mujarab untuk menghilangkan segala tekanan dihadapi setiap pelajar. Sebenarnya sebagai ibu bapa, seharusnya kita mengajar anak-anak kita supaya menggunakan masa dengan bijak.

Cuti sekolah bukan semata-mata untuk berseronok dan melupakan terus pelajaran. Sebagai ibu bapa perlulah mengambil peluang ini untuk mengatur program bermanfaat untuk anak-anak.

Rancang aktiviti untuk anak

Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak. Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan mereka sendiri menguruskan masa cuti tanpa sebarang pemantauan atau panduan daripada ibu bapa kerana dalam usaha kita membina insan cemerlang, maka setiap masa itu perlulah dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak pemerintah, pihak sekolah dan ibu bapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6, maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakar dari manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Dengan demikian mimbar menasihatkan jemaah sekalian bahawa dalam tempoh kritikal ini, awasilah dan pantau apa yang mereka lihat serta tidak mengelak daripada tanggungjawab mendidik anak-anak walau apa juga sekalipun dan jadilah model ikutan terbaik untuk anak-anak kita.

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qardawi, kesan paling menonjol akibat kelemahan kualiti keibubapaan hari ini ialah apabila tercabutnya akhlak mulia anak-anak yang memudahkan mereka terdedah dalam krisis gejala sosial.

Pencapaian prestasi anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu bapa sendiri. Dalam hal ini ibu bapa perlulah membudayakan ilmu dan akhlak dalam kehidupan seharian anak-anak.

Petunjuk tentukan hala tulu

Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu bapa menentukan kejayaan pendidikan anak, maka mimbar menasihatkan ibu bapa sekalian menetapkan beberapa petunjuk sebagai ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh anak-anak kita antaranya seperti berikut:

* Memastikan anak-anak menunaikan solat fardu lima waktu kali sehari secara konsisten sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Daud yang bermaksud: “Latih dan didiklah anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukul mereka ketika mereka berumur 10 jika mereka enggan menunaikan sembahyang dan pisahkan tempat tidur mereka.”

Sebagai bapa, berusahalah untuk berjemaah bersama anak dan jadilah imam ketika bersolat agar terserlah kepemimpinan kita sebagai ketua keluarga seterusnya dapat memantau kualiti solat anak dan mengukuhkan ikatan kasih sayang dengan mereka.

* Memastikan anak mempelajari dan memahami al-Quran setiap hari.

* Memastikan anak mendapat makanan halal, berzat dan memenuhi keperluan vitamin. Waktu makan juga boleh dimanfaatkan untuk mendidik anak agar berdisiplin, beradab sopan dan berakhlak mulia seperti membaca doa sebelum makan, memberi sebahagian lauk kepada adik beradik yang makan bersama, mengambil makanan sedikit demi sedikit, mengelakkan sifat tamak dan menunggu ibu bapa sebelum makan.

* Menyemak buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran.

* Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak.

* Mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan guru kelas sekurang-kurangnya sekali dalam setiap semester atau penggal bagi mendapat maklum balas prestasi pembelajaran dan tahap sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.

Sebagai ibu-bapa, kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita sudah menunaikan kewajipan dan hak anak apabila mereka dihantar ke sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang.

Tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Sebagai ibu bapa, kita digalakkan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan anak, kerana doa ibu-bapa boleh menyebabkan kehidupan anak dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada segala bencana.

Khutbah sumber dari JAKIM Berita Harian Online Agama 22/11/2013

Antara hukuman hudud, tahalluf siyasi

KENYATAAN Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengenai kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan melaksanakan hukuman hudud menjelang Muktamar Pas hari ini dan esok (22 dan 23 November) tidak dilihat terjadi secara kebetulan atau dilihat sebagai bermotif politik.

Pas yang bercita-cita menegakkan negara Islam dan hukuman hudud tidak memberikan reaksi yang bulat terhadap kenyataan itu. Puluhan tahun Pas Kelantan telah menuntut pelaksanaan hukuman hudud sehingga Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 diluluskan.

Alasan Timbalan Menteri Besar Kelantan ialah isu Perlembagaan Persekutuan dan pakar undang-undang belum memberi maklum balas dari sudut perlembagaan mengenai Enakmen Hudud itu.

Ia pasti akan menjadi isu dalam Muktamar Pas kali ini di samping isu-isu yang lain. Isu yang melatari pelaksanaan hukuman hudud ini memberi kesan terhadap pendekatan tahalluf siasi yang sedang berjalan.

DAP melalui kenyataan Pengerusinya Karpal Singh tidak akan menerima pelaksanaan hudud dengan menyatakan "langkah mayatku dulu" sekiranya ingin melaksanakan hudud.

Anwar Ibrahim dalam Majlis Makan Malam dan Dialog Bersama dengan Pemimpin Masyarakat Cina di Subang Jaya pada 8 November 2011 menyatakan isu hudud tidak berbangkit dalam keputusan ketua-ketua pakatan. Kata Anwar lagi, hudud bukan ditentukan oleh satu parti tetapi ia adalah kesepakatan semua parti. Dalam isu hudud beliau berpegang kepada Perlembagaan Negara.

Sekiranya DAP tidak bersetuju, pakatan pembangkang tidak boleh mengambil keputusan sepakat. Pendirian Anwar juga banyak bergantung kepada pendirian DAP. Kalau begitu apa jadi pada tahalluf siasi Pas sedangkan cita-cita perjuangannya tidak difahami oleh rakan pakatan yang lain.

Perjuangan Pas ke arah Negara Islam dan pelaksanaan hudud adalah inti. Melunakkan Pas dengan perjuangan Negara Berkebajikan hanya suatu strategi. Sehingga kini Negara Berkebajikan tidak diperinci apakah ia didukung oleh faktor syariah atau ia Negara Berkebajikan seperti negara-negara lain di Eropah tanpa asas syariah.

Hal ini penting bagi perjuangan Pas. Tanpa Negara Islam dan pelaksanaan syariah Pas bukanlah parti yang memperjuangkan Islam. Kalau begitu apa faedah Pas bersama dengan PKR dan DAP sekiranya mereka tidak jelas atau menentang hudud.

Tahalluf siasi mengambil kaedah Rasulullah SAW dalam membangun Sahifah Madinah meletakkan Rasulullah SAW dan kepimpinan Islam dominan. Ternyata Muafakat dengan Nasrani, Yahudi dan Majusi memberi faedah berbanding yang lebih kepada Islam.

Tetapi tahalluf siasi yang sedang dilakukan oleh Pas menyebabkan parti itu hilang perjuangan Negara Islam dan hudud dan digantikan dengan Negara Berkebajikan yang tidak tercatat dalam Perlembagaan Pas. Kalau dikaji untung rugi, Pas telah banyak rugi. Dari segi kerusi Parlimen Pas merosot.

Haji Hadi Awang terpaksa berkorban dalam penggunaan kalimah Allah meski kepimpinan ulamanya tidak bersetuju. Apakah persetujuan Hadi pada 8 Januari 2013 kerana serba salah kepada Anwar Ibrahim atau menerima kenyataan Lim Guan Eng dari DAP pada 24 Disember 2012 bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang Kristian.

Muktamar kali ini yang bakal membuat pilihan kepimpinan sudah tentu akan membahaskan isu hudud dan dalam masa yang sama mengambil hati rakan dalam pakatan. Sekiranya menjaga hati rakan dalam pakatan itu jauh lebih utama, isu hudud bakal tenggelam, ahli Pas tidak berani membincangkannya lagi dan ia menggambarkan kelompok 'liberal' semakin menguasai Pas.

Sebaliknya ketampilan barisan ulama di peringkat Timbalan Presiden dan Naib Presiden berdepan dengan calon-calon yang orientasinya berbeza sudah tentu bakal memberi kesan kepada perjuangan Pas jangka panjang.

Penulis percaya isu tahalluf siasi akan tetap menjadi isu pokok kerana khalayak sedang memerhati tahap kejayaan Pas dalam tahalluf ini dan jangka panjang perjuangan Pas untuk memartabatkan Islam dan hukumah Islamiah.

Oleh itu kenyataan Ketua Hakim Syarie adalah cabaran bagi Pas. Kalau Pas tidak mengambil pendirian yang jelas tahalluf siasi adalah beban bagi perjuangan Pas.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131122

Fadilat orang berhijrah

ALLAH telah berfirman yang bermaksud: Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam) dan yang terbunuh (gugur syahid dalam Perang Sabil) - Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala daripada sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh). (Ali Imran: 195)

Ibnu Jarir berkata: "Mereka yang berhijrah daripada kaumnya di kalangan orang kafir semata-mata kerana Allah SWT menuju kepada saudaranya dalam kalangan orang beriman dan mereka dikeluarkan dari kampung halaman maka Allah SWT menjanjikan balasan di sisinya."

Ibnu Kathir berkata: "Ini kerana mereka meninggalkan negeri syirik dan datang ke negeri iman."

Sayyid Quthub: “Dahulu inilah gambaran para pendakwah yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka bagi pertama kalinya, iaitu mereka yang berhijrah dari Mekah, mereka yang diusir dari kampung halaman mereka kerana akidah, mereka yang ditindas kerana agama Allah SWT dan bukannya kerana sesuatu sebab yang lain. Dan mereka yang berperang dan yang gugur dalam peperangan."

Tetapi sebenarnya itulah gambaran para pejuang dakwah di mana-mana pun di atas muka bumi ini serta di mana-mana zaman. Itulah gambaran akidah yang tumbuh di dalam jahiliah. Apa sahaja bentuk jahiliah yang tumbuh di bumi yang menentangnya, sama ada yang wujud di tengah-tengah kaum yang berseteru dengannya, tidak kira kaum apapun, lalu mereka merasa tidak senang dan bosan terhadapnya, kerana tamak haloba dan nafsu keinginan mereka tergugat akibat akidah itu dan dari sinilah akidah mulai ditindas dan diburu, sedangkan para pejuangnya pada permulaan perkembangannya itu hanya merupakan satu kumpulan yang lemah.

Kemudian pokok akidah yang subur itu terus berkembang walaupun ditindas dan diburu. Selepas itu ia mendapat kekuatan untuk melawan dan mempertahankan diri lalu terjadilah peperangan dan berlakulah pembunuhan di medan perang. Oleh kerana perjuangan yang gigih dan pahit, ia telah menghapuskan dosa dan dikurniakan balasan dan pahala.

Inilah jalan yang ditempuh oleh sistem hidup rabbani yang telah diputuskan Allah SWT agar ia diterapkan dalam realiti hidup manusia dengan usaha perjuangan manusia sendiri, iaitu ia harus dikukuhkan melalui usaha perjuangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang fisabilillah demi mencari keredaan Allah SWT.

Inilah tabiat sistem hidup Ilahi, nilai-nilainya dan tugas-tugasnya, kemudian inilah juga methodologi atau kaedah didikan dan bimbingan untuk beralih dari peringkat keinsafan setelah memikirkan kejadian-kejadian Allah SWT kepada peringkat tindakan yang positif untuk melaksanakan sistem yang dikehendaki oleh Allah SWT itu.”

Nikmat Allah

Betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada mereka yang berhijrah dengan keampunan dan dikurniakan syurga di samping pahala yang dikurniakan-Nya. Penulis mengakhiri perbincangan ini dengan sebuah hadis sabda Rasulullah SAW kepada Amru bin al-‘As r.a yang bermaksud: Apakah kamu tahu bahawa Islam boleh menghapuskan dosa sebelumnya, hijrah boleh menghapus dosa semuanya dan haji boleh menghapus dosa sebelumnya. (riwayat Muslim)

Imam Nawawi berkata: Ini menunjukkan besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji. Dan dalam setiap satunya boleh menghapuskan sebarang dosa yang dilakukan sebelumnya. (rujuk syarah Muslim 2/497)

Semoga Alllah kurniakan kepada kita pelbagai kebaikan dalam kehidupan dan menjadikan kita orang yang berhijrah kepada-Nya.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131122
 

Wang kutu kena zakat

IBU saya menyertai skim kutu bersama kawan-kawannya dan dijangka pada hujung tahun ini dia bakal mendapat bahagian kutunya itu yang berjumlah RM12,000. Adakah ibu saya wajib mengeluarkan zakat pendapatan atas wang kutunya itu? Ibu saya juga mempunyai banyak barangan kemas daripada emas, tetapi telah dipinjam oleh kakak-kakak saya dan mereka tidak memulangkannya kembali kepada ibu, walaupun sudah lebih 10 tahun meminjamnya. Selama itu juga, ibu saya tidak mengeluarkan zakatnya ke atas emas perhiasan itu atas alasan tidak ada sempurna milik. Adakah betul tindakan ibu saya tersebut? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Semoga kondisi saudara dan ibu serta kita semua berada dalam kasih-sayang dan rahmat daripada Allah SWT dan mudah-mudahan mendapat taufik dan hidayah-Nya, Amin. Saya juga berharap semoga jawapan yang bakal saya sajikan ini dibimbing Allah SWT dan mampu menghilangkan rasa kegalauan di hati kita semua, insya-Allah.

Baiklah, di dalam persoalan yang telah diberikan di atas, ada dua perkara yang berbeza sebenarnya yang diajukan. Pertama, soalan mengenai wang kutu dan kedua, soalan mengenai zakat ke atas emas perhiasan yang dipinjamkan kepada orang lain. Bagi soalan yang pertama, untuk menilai adakah kutu itu suatu pendapatan atau tidak, maka kita mestilah melihat kepada definisi pendapatan terlebih dahulu.

Merujuk kepada keputusan mengenai Zakat Pendapatan telah yang dikeluarkan oleh pihak Jawatan kuasa Fatwa Selangor pada 2010, pendapatan itu sendiri merujuk kepada semua jenis sumber penghasilan atau pendapatan, dan tidak semata-mata daripada sumber gajian. Maknanya, boleh jadi wang itu adalah hasil daripada (1) sumber pekerjaan, (2) bukan daripada pekerjaan dan (3) hasil sewaan.

Maka, jika dirujuk kepada takrifan pendapatan di atas, adakah benar bahawa wang kutu itu termasuk dalam kategori zakat pendapatan? Ini kerana ada juga pihak yang menyatakan bahawa wang kutu ini, hakikatnya adalah satu bentuk simpanan, kerana masing-masing menabung dalam satu tabungan yang dinamakan ‘skim kutu.’ Oleh itu, mari pula kita telusuri makna ‘kutu’.

Alhamdulillah, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, pakar kewangan Islam di dalam laman sesawangnya ada memetik tafsiran kutu sebagaimana yang dijelaskan di dalam Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, iaitu:

“Kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada pelbagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.

Terkumpul

Menurut perbahasan Dr. Zaharuddin lagi: “Sebenarnya wang diperoleh oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara ‘in advance’ disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan.

Pembayaran ‘in advance’ ini daripada sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah daripada semua ahli kumpulan. Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.” (rujuk www.zaharuddin.net)

Maka, saya bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr. Zaharuddin, bahawa wang kutu itu hakikatnya adalah suatu bentuk wang pinjaman. Apabila ia berbentuk pinjaman (in advance), maka di sisi keputusan fatwa di Selangor, wang yang diperoleh itu dikira sebagai satu bentuk pendapatan juga. Ini kerana, si pemilik wang kutu itu mempunyai sempurna milik ke atasnya. Oleh itu, wajiblah ia dizakatkan sebagai zakat pendapatan.

Untuk mentaksirkannya, maka campurkanlah wang kutu itu dengan semua pendapatan lain yang telah diperoleh pada tahun semasa, sekiranya sudah melebihi nisab maka buatlah tolakan sebagaimana yang dibenarkan dan dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.

Bagaimana halnya jika ibu saudara bermain kutu dan dia memasukkan wang daripada lebihan gajinya yang sudah dizakatkan ke dalam kutu berkenaan? Saya berpandangan, dia masih wajib berzakat ke atas wang kutunya bagi jumlah RM11,000. Yakni tidak diambil kira jumlah RM1,000 daripada dirinya sendiri. Ini kerana, jumlah RM11,000 itu adalah dari poket orang lain yang dipinjamkan kepadanya.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my untuk maklumat lanjut.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131122

Anak perisai api neraka

DARIPADA Aisyah r.ha katanya: "Datang ke rumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (dari rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda: “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik, adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian

Orang Islam disuruh memenuhi hajat orang yang meminta sekali pun dengan pertolongan yang sedikit.

Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya.

Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anaknya dengan sempurna dijamin bebas daripada api neraka.

Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan. Ia akan menjadi perisai daripada api neraka jika dilakukan seperti yang diperintah Allah SWT dan rasul-Nya.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131122