November 25th, 2013

Amalan jadi penentu kedudukan di syurga

Benar. Hal ini berdasarkan riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Di syurga terdapat seratus tingkat yang setiap tingkatnya berjarak seratus tahun perjalanan.”


Abu Sa’id al-Khudri ra berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Akan dikatakan kepada seorang hafiz al-Quran ketika akan memasuki syurga, ‘bacalah dan naiklah!’, lalu dia membaca al-Quran dan naik satu tingkat setiap selesai membaca satu ayat. Demikianlah seterusnya hingga dia membaca ayat terakhir, yang ia hafal.”


Sebanyak bilangan al-Quran

Berdasarkan hadis ini jumlah tingkatan syurga adalah sebanyak bilangan ayat-ayat al-Quran. Pada riwayat lain disebutkan bahawa Aisyah ra berkata: “Sesungguhnya jumlah tingkat syurga adalah sejumlah bilangan ayat-ayat al-Quran. Maka siapa yang masuk syurga dari penghafal al-Quran, nescaya tidak ada orang yang melebihi (tingkatnya) di syurga.” (Riwayat Ahmad)

Menurut Ibn Hajar kalimah “..seratus tingkat…” ini tidak menunjukkan erti bahawa jumlah itu adalah jumlah keseluruhan syurga. Menurutnya lagi, tingkat atau darjat yang dimaksudkan dalam hadis memiliki dua makna. Pertama, makna secara kasar iaitu tingkat yang jarak antara satu tingkat ke tingkat berikutnya sama dengan jarak perjalanan seratus tahun atau sama dengan jarak antara langit dan bumi. Kedua, pengertian maknawi iaitu tingginya kedudukan seseorang pada pandangan Allah.”

Dalam hadis riwayat Ahmad daripada Abu Sa’id al-Khudri ra berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya para penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh para penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang bertebaran di ufuk langit…”


Miliki kenikmatan berbeza

Kenikmatan yang akan diperoleh penghuni satu tingkat dengan tingkat syurga yang lain tidaklah sama. Setiap tingkat memiliki kenikmatan tertentu yang tidak terdapat pada tingkat di bawahnya. Dalam erti kata lain, semakin tinggi tingkat seseorang di syurga, maka semakin banyak pula kenikmatan yang diperolehnya.

Ada hadis yang menyebut bahawa serendah-rendah kedudukan penghuni syurga adalah mereka yang mempunyai isteri dua orang bidadari.

Abu Sa’id al-Khudri ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya penghuni syurga yang paling rendah kedudukannya adalah seorang yang wajahnya dipalingkan dari neraka ke arah syurga dan diberi Allah sebuah pohon yang sangat rendang daunnya, lalu ia berkata, “Allah telah memberiku sebatang pohon tempatku berlindung ini…(dan seterusnya).”

Disebutkan pada ayat berikutnya: “Lalu Allah mengingatkannya, Mintalah ini dan itu! Dan ketika keinginannya habis, Allah berkata: “Itu semua untukmu, selain sepuluh kali ganda lagi seumpamanya.” Kemudian Rasulullah melanjutkan sabdanya: “Lalu ia memasuki rumahnya (di syurga itu). Dan menyusul kemudian dua orang isterinya dari para bidadari syurga seraya berkata: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanmu untuk kami dan yang telah menghidupkan kami untukmu. Kemudian Rasulullah SAW berkata: Maka orang itu berkata, Tidak ada seorang pun yang menerima pemberian sepertiku ini.” (Riwayat Muslim). Demikianlah, wallahua’lam.

Zahazan Mohamed http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Amalanjadipenentukedudukandisyurga/ArticleBerita Harian Online Agama 24/11/2013

Usah abaikan solat sunat rawatib

Untuk Maghrib tidak ada solat sunat qabliyah rawatib (sebelum solat fardu) yang muakkad. Solat sunat rawatib yang muakkad berdasarkan riwayat Ibnu Umar dan lain-lainnya daripada Nabi Muhammad SAW ada 10 rakaat iaitu dua rakaat sebelum Subuh, dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah Zuhur, dua rakaat sesudah Maghrib dan dua rakaat sesudah solat Isyak. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Itulah 10 rakaat solat sunat rawatib yang selalu dilakukan dengan tetap oleh Rasulullah SAW yang disebut sebagai sunat muakkad, di samping solat witir.

Namun, ada juga dalam beberapa hadis disebutkan bahawa sunat muakkad sebelum zuhur boleh dua rakaat dan boleh empat rakaat.

Solat sunat rawatib ini sepatutnya dipelihara dengan baik oleh setiap Muslim dan janganlah sampai diabaikan. Ini kerana solat sunat itu dipandang sebagai penyempurnaan solat fardu serta menggantikan kekurangan dan ketidaksempurnaan solat fardunya ketika dihisab pada hari pembalasan kelak.

Selain itu terdapat hadis Abdullah bin Mughaffal bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Antara tiap-tiap dua azan ada solat.” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan Ashabus Sunan)


Tiada larangan


Yang dimaksudkan dengan dua azan, di sini, ialah azan dan iqamat. Dengan demikian, solat dua rakaat sesudah azan dan sebelum iqamat itu disyariatkan dan mustahab (disukai). Maka, jika ada orang yang melakukannya sebelum solat maghrib iaitu sesudah dikumandangkan azan Maghrib tidak dilarang seperti halnya orang yang masuk masjid melakukan solat dua rakaat sebagai penghormatan terhadapnya.

Tetapi apabila imam terus melakukan solat Maghrib selepas selesai azan sehingga tidak ada masa bagi seseorang untuk melakukan solat tahiyyatul masjid dua rakaat kerana ia mesti terus ikut melakukan solat Maghrib, maka solat fardu yang ia tunaikan dalam keadaan seperti ini dilihat mencukupi untuk solat tahiyatul masjid.

Ini kerana solat tahiyatul masjid tidaklah dituntut ke atas seseorang Muslim kecuali ia mempunyai kesempatan mengerjakannya pada ketika masuk masjid.

Dua rakaat yang dikerjakan seseorang ketika memasuki masjid disebut solat tahiyatul masjid, sedangkan bagi orang yang sudah duduk di dalam masjid lalu ia melakukan solat dua rakaat, maka solat itu adalah solat nafilah (solat sunat) yang disukai.

Adapun bagi imam, hendaklah ia tidak melakukan solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib secara terus menerus. Hendaklah melakukannya selama beberapa hari dan meninggalkannya selama beberapa hari kerana solat ini tidak disyariatkan untuk dilakukan secara tetap. Perkara ini hendaklah dijaga supaya orang lain tidak menyangka bahawa ia sebagai solat sunat muakkad, lebih-lebih lagi imam, yang ahli ilmu yang menjadi ikutan orang lain.


Boleh tinggal solat sunat

Muhaqqiq dari kalangan ulama menegaskan supaya imam meninggalkan solat mustahab seperti ini pada waktu tertentu kerana dibimbangi orang lain menganggapnya wajib. Bahkan, mereka dibolehkan meninggalkan solat sunat muakkad sekali sekala dengan maksud seperti tadi. Seperti mana halnya Imam Malik menyukai imam yang sekali sekala tidak membaca surah as-Sajdah ketika solat Subuh pada Jumaat, meskipun membaca surah itu disunatkan.

Kalau kita lihat di beberapa tempat, sebahagian orang menganggap sujud tilawah pada solat Subuh hari Jumaat sebagai sesuatu yang wajib. Mereka berkata: “Sesungguhnya solat Subuh pada Jumaat terdapat satu rakaat dengan tiga kali sujud.” Mereka beranggapan bahawa sujud tilawah ini wajib ditunaikan dalam solat Subuh pada Jumaat.

Mereka mengingkari imam yang tidak sependapat demikian dan menganggap solat itu tidak sah jika tidak disertai sujud tilawah. Oleh kerana itulah Imam Malik dan lainnya menyukai imam yang menjadi rujukan sekali-sekala meninggalkan hal yang mustahab (digalakkan) supaya orang lain memahami hukum yang sebenarnya. Demikianlah, wallahua’lam.


Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama 24/11/2013

Tegas tangani ajaran sesat

KEWUJUDAN kumpulan ajaran sesat di negara ini bukanlah perkara baharu kerana masalah berkenaan telah lama berlaku sejak sebelum merdeka dengan kemasukan pengaruh dari luar seperti Qadiani dan Bahai.

Kumpulan ini dikategorikan sebagai pengamal ajaran sesat kerana berpegang kepada fahaman yang menyimpang daripada Islam.

Pengikutnya menganggap setiap perkataan yang keluar daripada mulut pemimpin mereka sebagai benar walaupun tidak masuk akal.

Qadiani misalnya yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di India mendakwa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinagar, India.

Fahaman yang turut dikenali dengan nama Ahmadiyah di Indonesia dibawa masuk ke negara ini pada 1949 oleh Maulana Muhammad Sadiq Barakatullah.

Mereka beriktikad bahawa Mirza Ghulam adalah Imam Mahdi, nabi dan jelmaan Krisna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu).

Bahai yang diasaskan oleh beberapa individu termasuk Mirza Ali Muhammad di Iran pula dibawa masuk ke negara ini oleh kartunis kaum Cina, Yan Kee Leong pada 1953.

Ajaran Bahai disebarkan dalam kalangan Orang Asli dan juga kepada penduduk di Seremban, bandar Melaka, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Kumpulan ini beriktikad bahawa kitab agama mereka iaitu Al-Bayan memansuhkan semua kitab suci agama lain, mendakwa terdapat kod 19 dalam al-Quran, berpuasa selama 19 hari, solat sebanyak sembilan rakaat dan dikerjakan tiga kali sehari serta berwuduk dengan air mawar.

Dalam pada itu, antara kumpulan ajaran sesat tertua yang berasal dari dalam negara adalah ajaran Taslim yang diasaskan oleh Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

Ajaran ini mula dikesan sekitar 1870-an di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan kemudiannya berkembang ke Kampung Tasik, Segamat dan Kampung Telok Sari, Mersing, Johor pada 1940-an.

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim yang diamalkan secara rahsia sehingga sukar dikesan pihak berkuasa adalah beriktikad bahawa Allah berada dalam diri setiap manusia manakala solat lima waktu dan berpuasa boleh dikerjakan secara niat sahaja.

Kumpulan berkenaan turut mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin bagi menarik pengikut.

Selepas itu, muncul banyak lagi kumpulan ajaran sesat seperti Nasrul Haq, Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana, Hassan Anak Rimau, Tarikat Aurad Ismailiah dan Kumpulan Anti Hadis.

Antara yang mendapat publisiti meluas adalah kumpulan yang diketuai oleh Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad, yang mengaku dirinya adalah tuhan di perkampungan 'Kerajaan Langit' di Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

Antara fahaman kumpulan berkenaan adalah sembahyang lima waktu boleh digantikan dengan berzikir serta kiamat tidak akan berlaku kerana Allah tidak bodoh menjadikan alam dan merosakkannya kembali.

Pengaruh kumpulan itu mula lemah setelah pihak berkuasa merobohkan replika cerek dan payung gergasi serta dewan perhimpunan di perkampungan itu pada 2005 serta mendakwa pengikutnya di mahkamah. Ayah Pin pula telah menghilangkan diri bersama-sama empat isterinya.

Terdapat juga kumpulan ajaran sesat yang mengambil masa lama untuk dibanteras kerana mempunyai latar belakang ekonomi kukuh, beroperasi atas nama syarikat dan bijak menggunakan pelbagai kaedah bagi menyebarkan dakyah.

Antaranya, adalah Al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad yang juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah pada 1968. Ketika waktu kemuncaknya, ia dikatakan mempunyai 6,000 pengikut tegar.

Ajaran ini difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994 kerana pengikutnya percaya pengasas Aurad Muhammadiah, Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal dunia pada 1925 tidak mati, sebaliknya masih hidup.

Mereka percaya Syeikh Muhammad adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin umat Islam dan beliau juga dikatakan boleh datang menolong apabila diseru namanya.

Setelah kematian Ashaari pada 2010, balu beliau, Hatijah Aam atau lebih dikenali dengan gelaran Ummu Jah cuba meluaskan pengaruh kumpulan itu ke luar negara khususnya di Mekah dengan membuka perniagaan restoran dan rumah rehat.

Bagaimanapun, pada 8 November lalu, Hatijah telah melafazkan taubat nasuha bersama-sama 400 pengikutnya dengan janji tidak mengulangi perbuatan mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.

Modus operandi sama digunakan oleh kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun yang yang diasaskan oleh Harun Mat Saat, 47.

Selain mengaku dirinya adalah tuhan dan Imam Mahdi, Harun turut mendakwa berkuasa mengalih posisi bulan, bintang dan matahari.

Kumpulan ajaran sesat berkenaan memperoleh dana dengan menganjurkan skim cepat kaya dan mengutip deposit secara haram yang dianggarkan sebanyak RM200 juta daripada orang ramai.

Mereka juga pernah menganjurkan konsert rock yang disertai ramai artis terkenal tempatan pada 2009 dan menerbitkan album lagu berunsur dakwah bagi mengembangkan pengaruh.

Sementara itu, yang cukup membimbangkan adalah apabila kumpulan ajaran sesat terbabit turut berubah menjadi militan.

Dalam sejarah Malaysia, antara kumpulan ajaran sesat bercorak militan adalah Kumpulan Mohd. Nasir Ismail dari Kemboja yang mengaku dirinya Imam Mahdi dan mendakwa tidak perlu solat Jumaat.

Kemuncak aktiviti kumpulan itu adalah apabila Mohd. Nasir dan 14 pengikutnya yang memakai jubah putih menyerang balai polis, pejabat kadi dan mahkamah rendah di Batu Pahat dengan menggunakan pedang pada 1980.

Dalam kejadian itu, 23 orang termasuk 14 anggota polis cedera parah manakala lapan pengikut kumpulan itu ditembak mati.

Satu lagi contoh kumpulan ajaran sesat bercorak sedemikian adalah Al-Maunah Malaysia yang diketuai oleh Mohammad Amin Razali.

Antara fahaman kumpulan itu adalah orang telah mati boleh menjadi perantara, percaya kepada konsep angka-angka tertentu pada ayat-ayat al-Quran dan mempercayai tangkal boleh memberi kesan.

Pada tahun 2000, kumpulan berkenaan telah merompak lebih 100 senjata api, 9,000 peluru, 26 benet dan 60 bom tangan dari Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Gerik.

Peristiwa itu berakhir apabila 27 anggota kumpulan tersebut termasuk 15 yang merompak senjata api berkenaan menyerah diri kepada pasukan keselamatan di tempat persembunyian di Hutan Bukit Jenalek, Sauk, Perak.



NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 20131123

Teliti kelemahan diri bukan canang kelemahan orang

ENAM minggu yang sudah, saya telah membicarakan tentang betapa pentingnya membuat pilihan dalam penentuan keputusan kehidupan kita. Pilihan itu melibatkan lima perkara iaitu kesihatan, kerohanian/spiritual, silaturahim, kekayaan dan minda/fikiran.

Sekarang dengan menggunakan konsep pemikiran “Reset Minda", kita akan memulakan langkah kehidupan positif kita dengan melihat diri sendiri atau refleksi diri. Kualiti hidup bergantung pada kualiti fikiran dan emosi. Cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara atau seseorang, menentukan emosi kita dan akhirnya itulah yang akan menentukan magnet diri kita. Jom lihat semua perkara dan lihat semua orang dengan kasih sayang dan kesyukuran, jauhi prasangka dan buruk sangka.

Dalam konsep pemikiran “Reset Minda", pertama yang mesti kita lakukan adalah lihat, renung dan kenali diri sendiri dahulu. Lihat diri kita di cermin. Siapakah diri kita yang sebenar? Adakah kita yang sedang berdiri di hadapan cermin (saya yang melihat) atau kita yang dibiaskan/direfleksikan oleh cermin (saya yang dilihat).

Hakikatnya, kita lihat dalam cermin itu ialah diri kita yang telah berubah dari segi fizikal. Yang kekal ialah roh kita, roh kita hanya satu, tidak akan berubah walaupun usia kita berubah dan fizikal kita berubah. Oleh itu diri kita yang sebenar ialah “saya yang melihat" di cermin, bukan “saya yang dilihat" di cermin.

Roh kita sangat perlukan makanan rohani. Bagi mendapat ketenangan, banyakkan bertaubat, berselawat dan beramal. Sikap (dalaman) yang positif akan memberikan refleksi atau gambaran fizikal (luaran) diri yang positif.

Sebab itulah, dalam “Reset Minda" menekankan konsep “dunia dalaman" (hati naluri/kerohanian) menentukan “dunia luaran" kita. Jika “dunia dalaman" kita positif kita akan beri kebaikan kepada orang (dunia luaran), dan akhirnya kita akan dapat semula balasan kebaikan kita itu (kebahagiaan). Iaitu formula “ADA - BERI - DAPAT". Sebaliknya kalau “dunia dalaman" kita negatif tindak-tanduk kita kepada orang (dunia luaran) juga negatif dan kita akan dapat (kebencian) orang kepada kita.

Pilihan juga menentukan hasil kehidupan dunia dan akhirat. Lihat hasil kehidupan kita, jika tidak seperti yang kita mahukan, hentikan menyalah orang lain, ambil tanggungjawab dan buat pilihan yang berbeza untuk hasil yang berbeza.

Pernahkah kita berhadapan dengan situasi, apabila kita ada masalah, kita lihat dan cari kesilapan diri sendiri serta hendak membetulkan diri kita dahulu? Yang sering berlaku, kita asyik sibuk hendak membetulkan orang. Selalunya kita menjadi susah atau bermasalah, sebab kita tidak boleh menerima keadaan dan kita hendak dunia berubah macam yang kita hendak. Sedangkan pada waktu sama, kita tidak mahu berubah daripada situasi yang kita ada.

Hakikatnya, bolehkah kita nampak diri kita sendiri? Bukankah kita tidak boleh melihat diri kita sendiri? Kedua-dua belah mata kita, tidak mampu melihat diri kita sendiri, tanpa bantuan cermin kita tidak dapat melihat diri kita sendiri. Hanya mata orang lain yang dapat melihat kita dan menilai siapa kita di matanya.

Begitulah lazimnya kehidupan, perkara dan hal-hal yang terlampau dekat dengan kita, kita tidak nampak, tetapi kita nampak perkara dan hal-hal yang jauh dari kita, dan itulah yang sibuk hendak kita perkatakan dan perbetulkan.

Maka itu, tengok diri kita dahulu, jangan cepat menuding jari ke arah orang, yakni nampak kesalahan orang lain sahaja. Kita pernah dengar orang berkata, “Kalau satu jari kita tunjuk kepada orang, tiga jari lagi akan menuding kepada kita." Lihatlah dan auditlah diri sendiri dahulu sebelum melihat dan mengaudit orang lain! Reset Minda!

Cara untuk kita sentiasa sibuk melihat diri sendiri dan kurang melihat dan mencari aib orang, adalah dengan cara selalu fikirkan tentang kematian, “Kalau saya mati macam mana? Di alam barzakh nasib saya macam mana? Kehidupan semula saya selepas bangkit kembali untuk kehidupan kedua nanti macam mana?"

Apabila kita sibuk menjaga perkara-perkara yang asas seperti teras akidah, kita tidak akan ada masa untuk memikirkan hal-hal yang remeh-temeh, malah hal-hal yang kecil tidak nampak besar dan tidak rumit di mata kita.

Refleksi, jom buat perjanjian dan kenyataan bahawa, saya akan menyerah diri kepada Allah dan memberikan manfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Jom audit diri. Apabila iman masuk di jiwa dan kita hidup mengikut hukum dalam al-Quran, maka indahlah kehidupan. Jika hidup bermasalah, audit diri dan iman serta audit sebanyak mana kita telah memberi manfaat yang diberikan kepada diri dan masyarakat.

Jika tertekan, audit iman kita kepada Allah dan hari kiamat, serta lihat amalan kita. Mengadu kepada Allah apabila ada masalah bukan bercerita kepada orang lain. Allah Maha Besar. Orang mukmin ialah orang yang boleh dipercayai.

Jom audit diri dan refleksi diri. Jom audit diri sama ada kita telah melakukan semua rukun iman dan lihat amalan kita, lihat percakapan dan lihat pemikiran kita. Henti melihat orang dan jom audit diri.

Semua orang mahu hidup yang lebih baik. Bagaimanapun, jika tidak mengubah fikiran, tidak menjaga emosi dan tidak mengawal tindakan dan tidak akan berlaku perubahan kehidupan, sila audit diri dan refleksi diri, carilah masa untuk hal itu.

Jom belajar merayu hanya kepada Allah. Refleksi diri! Semoga kita menganggap semua yang berlaku kepada kita, sebagai cerminan diri kita. Insya-Allah akan hilang segala perasaan saling menyalahkan, sebaliknya akan mengambil tanggungjawab.

Anggap semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. Reset Minda dan refleksi diri. Sibukkanlah diri kita untuk meneliti dan mencari kelemahan diri sendiri, hingga tidak sempat untuk melihat dan mencanang kelemahan orang. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili. Utusan Malaysia Online Rencana 20131124

Azab orang mengamalkan riba cukup dahsyat

TIDAK dinafikan, sudah diketahui umum, syirik adalah dosa terbesar di dalam Islam. Ia disebutkan dengan jelas dari ayat ertinya, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan barang siapa yang mensyirikkannya, dan (Allah) akan boleh mengampunkan dosa-dosa yang lebih rendah dari syirik."

Namun, setelah memikirkan berkali-kali baris-baris ayat itu, saya tidak boleh menunggu lagi kecuali mesti segera menghebahkan kepada sekalian umat berkenaan betapa dahsyatnya hukuman bagi kesalahan ini.

Ertinya, "Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya." ( Al-Baqarah : 275).

Itulah kengerian hukuman Allah SWT terhadap satu dosa selain syirik. Itulah pengamal riba setelah pengharamannya. Cuba kita sama-sama menghayati petikan penutup ayat di atas ertinya, " Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya."

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan lafaz ini menyebut, "Lafaz "barang siapa mengulangi" ertinya kembali terlibat dengan riba hingga terjebak dalamnya walaupun setelah datangnya hukum larangan Allah darinya, hasilnya wajiblah bagi mereka hukuman keras" (Tafsir al-Quran Al-'Azim, 1/328).

Berdasarkan dalil-dalil hadis, para ulama membuat kesimpulan bahawa setiap umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, sebanyak manapun dosa yang dilakukan di atas dunia, mereka akan dihumbankan ke dalam neraka, terkurung di dalamnya untuk satu tempoh yang layak bagi dosa mereka, kemudian mereka akan dikeluarkan darinya dengan syafaat Nabi Muhammad SAW dalam keadaan mati, kemudian ditempatkan di dalam sungai kehidupan, lalu hiduplah kembali.

Semua ini dicatatkan dalam hadis. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 3/36. Selanjutnya Imam An-Nawawi mengulas terdapat lima jenis syafaat yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak iaitu ( Syarah Sohih Muslim, 3/36):

1 Memberi tenang dan rehat dari hiruk pikuk mahsyar dan menyegerakan seseorang untuk masuk ke syurga. Syafaat ini khusus untuk Nabi Muhammad SAW.

2 Memasukkan seseorang ke syurga tanpa hisab, peruntukan syafaat ini juga terdapat untuk Nabi Muhammad SAW.

3 Kaum yang wajib dihumban di neraka boleh diselamatkan oleh Nabi Muhammad SAW.

4 Mengeluarkan kaum yang sedang diazab di neraka untuk kembali ke Syurga kecuali bagi mereka yang mati dalam keadaan kafir.

5 Peningkatan darjat di syurga agar mendapat tahap syurga yang lebih baik.

Namun sedarkah kita dan mereka di sekeliling kita, keluarga, rakan dan lainnya bahawa, berterusan dalam dosa riba boleh menyebabkan seseorang itu dianggap menghalalkan riba setelah pengharamannya lalu jatuh kafir tatkala itu matinya mereka adalah dengan hati kekafiran hingga terkeluar dari senarai mereka yang boleh mendapat syafaat nabi Muhammad SAW.

Berhati-hatilah dan amat wajib bagi semua muslim yang meyakini ada maut untuk menjauhi riba. Kita amat bimbang, ketidakperdulian itu adalah merupakan satu keingkaran terhadap hukum haramnya.

Seterusnya boleh menjatuhkan seseorang dalam kekafiran tanpa sedar hingga melayakkan seseorang itu kekal di neraka. Nabi juga tidak mempunyai peruntukan untuk memberi bantuan (syafaat) kepada golongan sebegitu. Moga kita semua dipelihara oleh Allah SWT.

PENULIS adalah pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Presiden MURSHID. Utusan Malaysia Online Rencana 20131124

Ubay Ka’ab antara 25 sahabat Nabi hafal al-Quran

Beliau berasal dalam golongan Ansar daripada suku Khazraj. Ketakwaan beliau yang tinggi dipamerkan dengan linangan air mata setiap kali mengingati Allah SWT dan hari akhirat. Ayat al-Quran yang didengar atau dibaca menggetarkan hati dan seluruh badannya.


Demikian tingginya ketakwaan seorang sahabat Rasulullah SAW, Ubay Ka’ab yang turut serta dalam Perjanjian Aqabah, Perang Badar dan peperangan lain yang penting dalam sejarah Islam.


Bukan itu saja, beliau antara 25 sahabat yang menghafal dan memahami al-Quran selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Beliau mencapai kedudukan tinggi dan darjat mulia dalam kalangan Muslimin angkatan pertama, hingga Saidina Umar sendiri pernah menyatakan mengenai dirinya: “Ubay adalah pemimpin kaum Muslimin.”

Pernah satu hari Rasulullah SAW bertanyakan kepadanya: “Hai Abu Mundhir (Ubay), ayat manakah dari Kitab Allah yang teragung?” Beliau menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.”

Nabi SAW mengulangi pertanyaannya, “Abu Mundhir, ayat manakah dari Kitab Allah yang teragung?”

Beliau menjawab: “Allah tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Pengatur.” ( Al-Baqarah ayat 255).

Rasulullah SAW pun menepuk dadanya dan dengan rasa bangga yang tergambar pada wajahnya, Baginda SAW bersabda: “Hai Abu Mundhir, selamat bagimu atas ilmu yang kau capai.”


Penulis wahyu dan surat

Ubay bukan saja seorang hafiz tetapi juga memahami kandungan kitab suci itu. Ubay seorang daripada penulis wahyu dan penulis surat.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Hai Ubay Ka’ab, aku dititahkan untuk menyampaikan al-Quran padamu.” Ubay maklum bahawa Rasulullah SAW hanya menerima perintah itu daripada wahyu.

Dengan keadaan cemas beliau menanyakan perkara itu kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, ibu bapaku menjadi tebusan tuan! Apakah kepada tuan disebut namaku?”

Rasulullah SAW menjawab: “Benar! Namamu dan keturunanmu di tingkat tertinggi.”

Seorang Muslim yang mencapai kedudukan seperti ini di hati Nabi Muhammad SAW pastilah beliau seorang Muslim yang mulia. Beliau sentiasa menjadi pengawas kepada kaumnya. Sentiasa mengingatkan kaumnya supaya memperteguhkan iman, menerapkan sifat zuhud dan meningkatkan akhlak walaupun selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Antara ucapannya mengagumkan daripadanya adalah: “Selagi kita bersama Rasulullah SAW tujuan kita satu. Tetapi selepas pemergian (kewafatan) Rasulullah tujuan kita bermacam-macam, ada yang ke kiri dan ada yang ke kanan.”

Bercakap mengenai dunia, Ubay pernah menggambarkannya seperti: “Sesungguhnya makanan manusia itu sendiri dapat diambil sebagai perumpamaan bagi dunia. Sama ada dikatakan enak atau sebaliknya, tetapi apa yang penting adalah kesudahannya.”

Apabila Ubay berucap di hadapan khalayak ramai, orang ramai akan terpukau dan tertarik kerana apa yang diucapkan hanyalah mengenai agama Allah tanpa berselindung dan tidak bimbang dengan sebarang ancaman.

Di saat wilayah Islam mula berkembang dan luas, sebahagian kaum Muslimin mula menyeleweng dengan membodek pembesar dan Ubay tampil dengan kata-kata: “Celaka mereka, demi Tuhan! Mereka celaka dan mencelakakan! Aku tidak menyesal melihat nasib mereka, cuma aku sayangkan ialah kaum Muslimin yang celaka disebabkan mereka.”

Perkara yang paling ditakuti Ubay adalah apabila datang generasi umat Islam yang saling berbantah antara satu sama lain. Beliau sering bergantung dan berdoa kepada Allah SWT. Berkat kurnia dan rahmat-Nya, dia mengadap Allah SWT dalam keadaan beriman.


Berita Harian Online Agama 25/11/2013

Anggap kerja sebagai sedekah suntik semangat

Perkhidmatan cemerlang lagi berkualiti adalah matlamat umum yang perlu dicapai setiap organisasi. Tidak syak lagi matlamat ini akan tercapai hanya jika setiap warganya turut mempunyai matlamat yang sama khasnya dengan kedatangan tahun baru hijrah.

Namun, dalam melaksanakan tugas seharian sebagai pekerja kita juga tidak dapat lari daripada berhadapan dengan emosi diri yang lemah dan motivasi yang rendah walaupun berada dalam suasana kerja yang baik dengan imbuhan memuaskan.


Kajian semasa menunjukkan pelbagai faktor dalaman dan luaran boleh menyumbang kepada timbulnya sifat negatif di tempat kerja. Ini termasuk faktor kesihatan, interaksi, komunikasi, persekitaran, kemudahan pejabat dan faktor sikap. Adakalanya pekerja berasa malas dan kurang bersemangat untuk menunaikan amanahnya.


Justeru, satu daripada kaedah dan pendekatan Islam untuk mengatasinya ialah dengan menghayati kerja atau perkhidmatan itu sebagai suatu sedekah.

Kefahaman yang jelas serta penghayatan mendalam terhadap ‘sedekah perkhidmatan’ ini mampu menyuntik malah mengembalikan semangat bekerja dalam diri agar memberi perkhidmatan terbaik.


Balasan infak keringat

Kefahaman ini adalah bertitik-tolak daripada Firman Allah SWT bermaksud: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh biji benih, pada tiap-tiap satunya seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

Walaupun ayat ini menunjukkan balasan Allah SWT kepada mereka yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT, namun ulama juga mengaitkan balasan ini dengan apa juga bentuk harta termasuk harta badaniyyah daripada usaha dan keringat.

Bentuk sedekah dalam Islam bukan semata-mata pada harta dan wang ringgit, tetapi meliputi pelbagai tindakan bermanfaat. Ini termasuk usaha daripada titik peluh sendiri, menyampaikan kata-kata yang baik termasuklah ucapan salam, memberi nasihat, penghargaan dan pujian, menyampaikan teguran dengan berhikmah, mendoakan orang lain, membuat kebaikan dengan mententeramkan orang lain, membawa berita menggembirakan, memudahkan sesuatu urusan, tolong- menolong, memberikan pandangan, membantu dengan memberikan jalan penyelesaian serta menampilkan wajah yang manis dengan senyuman.

Dari Abu Zar al-Ghifari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjukkan seseorang yang sesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, dengan memahami bahawa semua amal kebaikan sebagai sedekah akan menambah lagi motivasi diri. Tetapi dengan syarat piawaian bahawa ia tidak dirosakkan nilainya dan menghilangkan ganjarannya di sisi Allah SWT iaitu dengan mengungkit, menyakiti hati dengan kata-kata kasar atau kesat, merendah rendahkan penerima atau pelanggan atau kerja dan perkhidmatan yang dilakukan tanpa keikhlasan iaitu untuk kemegahan dan kesombongan.


Keredaan Allah

Sebaliknya, hendaklah apa yang diusahakan itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah SWT seperti yang digambarkan dalam Surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud: “Orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

Secara mudahnya juga, piawaian bagi perkhidmatan terbaik itu boleh direnungi melalui Athar yang menyebutkan bahawa “berkhidmatlah untuk manusia sebagai mana kamu suka orang berkhidmat ke atas kamu”.


Berita Harian Online Agama 25/11/2013