November 27th, 2013

Ajaran sesat membentuk pemikiran radikal

AJARAN sesat merupakan virus yang boleh merosakkan jiwa dan pemikiran umat Islam. Penularan ajaran sesat di Malaysia adalah berkaitan dengan beberapa faktor yang kurang disedari oleh masyarakat Islam.

Pertama, sikap umat Islam yang terlalu memuja pemimpin agama yang bertopengkan Islam tanpa mengkaji latar belakang pendidikan agama dan keperibadian pemimpin tersebut. Kejahilan dalam konteks ajaran Islam menyebabkan umat Islam mudah tunduk kepada individu yang sering menonjolkan perwatakan sebagai orang alim dan bertakwa.

Umat Islam yang tergolong dalam kumpulan ini sering menjadi orang yang fanatik kepada ketua dan berfikiran sempit. Mereka akan mentaati setiap arahan daripada ketua mereka tanpa mempersoalkan arahan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam atau nilai kemanusiaan.

Sikap taqlid (menganuti ajaran secara membuta tuli) begini boleh menyebabkan umat Islam hilang pertimbangan akal apabila mereka diarahkan oleh ketua kumpulan bertindak terhadap individu-individu yang dianggap musuh kepada pergerakan mereka.

Faktor kedua yang boleh menyebabkan umat Islam terjebak dalam ajaran sesat ialah sikap terlalu ghairah ingin menjadi jaguh dalam bidang ilmu Islam sedangkan ilmu Islam yang dimiliki oleh mereka tidak mencukupi untuk meletakkan diri mereka sebagai sarjana dalam ilmu wahyu.

Apabila individu-individu begini menampilkan diri mereka sebagai sarjana Islam atau tokoh ilmuwan Islam maka pelbagai kekeliruan dan salah tafsir ayat-ayat al-Quran dan hadis akan dipertontonkan kepada masyarakat.

Mereka mudah mempengaruhi umat Islam dengan pelbagai idea yang bertentangan dengan konteks ajaran Islam. Umat Islam yang dipengaruhi oleh golongan ini sering mengeluarkan idea-idea yang terlalu liberal sehingga mengetepikan asas atau fundamental ajaran Islam seperti akidah dan syariah.

Faktor ketiga yang mudah mendorongkan umat Islam terjebak dalam ajaran sesat ialah berkaitan dengan kekosongan jiwa di kalangan umat Islam. Umat Islam yang berada dalam suasana begini sering terumbang ambing dalam arus kehidupan yang liar dan hedonisme kerana ingin mencapai kepuasan hidup yang berbentuk material dan hawa nafsu.

Dalam suasana begini kumpulan ajaran sesat begitu aktif menggunakan pendekatan dakwah secara berkesan mendekati kumpulan yang dahagakan kerohanian. Hasil daripada kegigihan berdakwah secara mendekati remaja begini maka mereka berjaya menambahkan ahli kumpulan mereka.

Sikap perihatin, tolong menolong dan kasih sayang yang dipertonjolkan kepada ahli kumpulan maka mereka berjaya membentuk sifat taat setia dan patuh kepada arahan kumpulan.

Pengalaman penulis menemu bual dan melawat salah satu pusat pemulihan ajaran sesat memberi satu gambaran yang jelas bahawa antara pergerakan sesat di Malaysia adalah dikuasai oleh golongan profesional yang berkelulusan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara.

Malah mereka juga berjaya mempengaruhi umat Islam dari negara Barat menyertai kumpulan mereka terutamanya dari Australia. Keperibadian dan sifat tawaduk serta pengorbanan wang dan masa dalam kalangan ahli-ahli kumpulan bagi memperkukuhkan kekuatan organisasi dan menambahkan bilangan ahli amat dikagumi.

Hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama ahli kumpulan berteraskan kepada prinsip saudara sesama Islam tanpa mengira perbezaan keturunan merupakan salah satu faktor kejayaan mereka menarik remaja yang dahagakan kerohanian menyertai kumpulan mereka.

Oleh itu apabila pergerakan mereka diharamkan maka ia merupakan satu tamparan yang hebat kerana pergerakan mereka dianggap sebagai pusat perlindungan dan keprihatinan remaja yang terbiar dan terumbang ambing dalam arus kekosongan jiwa.

Berdasarkan kepada pemantauan begini maka kerajaan Malaysia perlu mempertingkatkan pendidikan agama dan kerohanian kepada kanak-kanak dan remaja Islam negara ini. Pelajaran agama perlu dijadikan salah satu mata pelajaran yang diwajibkan kepada pelajar Islam dalam peperiksaan dari peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Melalui peperiksaan ini kanak-kanak dan remaja Islam akan membaca dan mempelajari agama Islam secara tekun melalui guru-guru agama yang bertauliah.

Mengetepikan pelajaran agama seperti tidak mewajibkan para pelajar lulus dalam peperiksaan merupakan satu tindakan yang kurang bijak dalam sistem pendidikan dan syiar Islam.

Sebagai negara Islam kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada aspek keagamaan dan kerohanian seiringan dengan pendidikan konvensional.

Pengabaian dalam aspek ini memberi peluang yang paling baik kepada pergerakan sesat mempengaruhi jiwa dan pemikiran remaja Islam menyertai pergerakan mereka.

Pemantauan penulis terhadap pergerakan sesat dalam negara ini menunjukkan pergerakan tersebut amat gigih menyebarkan ajaran mereka melalui media elektronik dan bahan-bahan penerbitan berkaitan dengan agama yang boleh menarik perhatian para pembaca dan penonton sama ada kanak-kanak atau remaja.

Tidak kesemua ajaran sesat dalam negara ini menggunakan kekerasan bagi melindungi pergerakan mereka. Kesesatan mereka adalah berkaitan dengan salah faham terhadap akidah dan syariah Islam. Dalam aspek keperibadian dan akhlak tidak dinafikan bahawa mereka memiliki nilai akhlak yang tinggi terutama berkaitan dengan hubungan manusia sesama manusia.

Keperibadian dan pengorbanan wang dan tenaga yang diamalkan oleh pemimpin dan ahli-ahli pergerakan ajaran sesat sukar untuk dibandingkan dengan sebahagian golongan pendakwah yang memiliki ilmu agama yang tinggi.

Realiti yang wujud dalam masyarakat Islam hari ini ialah kejaguhan pendakwah Islam berbicara di khalayak ramai sering dinilai dengan wang ringgit dan layanan istimewa.

Hakikatnya, umat Islam lebih tertarik kepada keperibadian para pendakwah yang mempunyai keterampilan yang sederhana dan tawaduk bukan perwatakan yang terlalu gemar kepada kemewahan dunia dan gaya hidup yang bertentangan dengan etika pendakwah Islam yang sebenar.

Masyarakat Islam terutamanya yang jahil terhadap ilmu wahyu mudah tertarik kepada keperibadian dan akhlak para pemimpin dan ahli pergerakan ajaran sesat. Oleh itu pengaruh ajaran sesat semakin hari kian bertambah walaupun pelbagai usaha kerajaan dilakukan untuk membanteras kegiatan ini.

Bagi mengatasi permasalahan ini kerajaan dan umat Islam sepatutnya mengkaji kelemahan dalaman umat Islam sebelum membuat tindakan yang keras terhadap ajaran sesat yang menular dalam negara ini. Dalam era globalisasi setiap individu mempunyai kebebasan tanpa batasan dalam penyebaran maklumat melalui media elektronik.

Jika pergerakan ajaran sesat diharamkan dan tindakan kekerasan dilakukan maka pergerakan mereka tetap beroperasi melalui saluran elektronik yang lebih pantas menyebarkan maklumat melangkaui sempadan geografi.

Oleh itu penekanan terhadap pendidikan agama Islam secara serius perlu dijadikan agenda utama kerajaan yang menerajui negara Islam. Pengabaian terhadap pendidikan agama dan penekanan terhadap ilmu konvensional semata-mata bukan sahaja boleh menyebabkan umat kian hilang ilmu akidah Islam malah ia juga boleh menjadikan negara Islam sebuah negara sekular walaupun dihuni oleh majoriti umat Islam.



PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131127

Tanda-tanda cinta kepada Rasulullah SAW

Qadhi Iyadh dalam kitab Assyifa mengatakan bahawa terdapat lapan tanda-tanda cinta Rasul;

Pertama, Berusaha mengikuti akhlak Nabi, mengikuti sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan mengcegah diri daripada larangannya. (rujuk Ali Imran: 31)

Sementara dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa Rasulullah berkata kepada Anas bin Malik: Wahai anakku, bila engkau sanggup melepaskan dendam di hatimu terhadap siapa pun juga pada pagi hari dan malam hari, maka lakukanlah." Kemudian Rasullulah menambah: “Wahai anakku, itu (tidak dendam kepada siapa pun) adalah sunnahku. Barang siapa yang menghidupkan sunnahku maka dia sungguh telah mencintaiku dan barang siapa yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di dalam syurga." (riwayat Tirmidzi).

Daripada hadis ini terlihat, sunnah nabi bukan terbatas kepada pakaian, janggut, serban dan jubah, tetapi lebih kepada akhlak, sebagaimana nabi nyatakan dalam hadis ini bahawa tidak dendam kepada siapa pun adalah sunahku.

Kedua, Menyukai segala hukum-hukum yang ditetapkan oleh Rasulullah daripada peraturan, hukum yang dibuat oleh hawa nafsu dan keinginan sendiri. (rujuk Ahzab: 36)

Malah mereka harus lebih mencintai apa yang disampaikan nabi itu daripada keinginan dirinya sendiri, sebagaimana kaum Ansar lebih mencintai nabi dan Muhajirin daripada diri mereka sendiri (rujuk Al-Hasyr: 9)

Ketiga, Selalu mengingat dan menyebut-nyebut namanya. Hasan bin Ali menceritakan bahwa Rasulullah bersabda: “Di manapun kamu berada, maka berselawatlah kamu kepadaku, kerana sesungguhnya selawat kamu itu akan disampaikan kepadaku." (riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Nasai). “Barang siapa melupakan selawat kepadaku maka dia telah melupakan jalan menuju syurga." (riwayat al- Baihaqi ). Begitu juga dengan hadis bermaksud: “Orang bakhil adalah orang yang tidak mengucapkan selawat kepada Nabi ketika mendengar namaku disebutkan kepadanya." (riwayat Tirmidzi, Baihaqi dan Nasai)

Keempat, Memuliakannya dengan ketundukan hati untuk melaksanakan segala perintahnya dan merasakan kerendahan diri walaupun ketika mendengar namanya. Sejarawan Islam Ishaq menceritakan: Sebaik sahaja sahabat mendengar nama Nabi disebutkan setelah kewafatan baginda, maka mereka merasakan kerendahan diri, sehingga badan mereka gemetar."

Kelima, Cinta kepada al-Quran, sebagaimana dinyatakan oleh Sahal ibnu Abdilah: “Tanda cinta kepada Allah adalah mencintai al-Quran. Tanda cinta kepada al-Quran adalah cinta kepada Rasulullah. Tanda cinta kepada Rasulullah adalah mencintai sunnah-sunnahnya. Tanda mencintai sunnah-sunnahnya adalah mencintai kehidupan akhirat. Tanda mencintai kehidupan akhirat adalah kebencian (tidak tergoda) oleh kehidupan dunia. Tanda benci dunia adalah engkau tidak menyimpannya kecuali untuk bekal hidup di dunia sehingga engkau datang dengan selamat dalam kehidupan akhirat."

Keenam, Cinta kepada keluarga nabi dan sahabat-sahabatnya. Nabi bersabda: Barang siapa mencintai mereka (Hasan dan Husein, cucu nabi), sesungguhnya telah mencintai aku. (riwayat Bukhari)



Uutusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131126

Cintai nabi atasi segalanya

CINTA kepada rasul merupakan syarat keimanan seorang Muslim. Oleh sebab itu dalam hadis yang disampaikan oleh Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seseorang di antara kamu tidak menjadi orang yang beriman sampai dia itu lebih sayang kepadaku daripada sayangnya kepada anak-anaknya, ayahnya dan daripada semua orang lain. (riwayat Bukhari, Muslim dan Nasai)

Malahan dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa cinta rasul adalah cara untuk mendapatkan kemanisan iman. Anas menceritakan Rasulullah SAW bersabda: Ada tiga hal yang menyebabkan setiap orang mencari perlindungan kepadanya akan merasakan manisnya iman, iaitu apabila Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya daripada apa pun juga, apabila dia mencintai sesuatu hanya kerana Allah dan apabila dia tidak menyukai kekafiran sebagaimana dia tidak ingin dilemparkan ke dalam api neraka. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada suatu hari Umar bin Khattab berkata kepada Rasulullah: Aku mencintaimu lebih daripada segalanya, kecuali jiwaku sendiri. Baginda menjawab: Tidak seorang pun di antara kamu yang beriman sehingga aku lebih dicintainya daripada jiwanya sendiri." Umar segera menjawab: Demi Dzat yang menurunkan kitab suci al-Quran ini kepadamu, aku mencintaimu melebihi cintaku kepada diriku sendiri.

Rasulullah menjawab: Wahai Umar, sekarang kamu telah mendapatkannya. (riwayat Bukhari)

Malahan menurut Anas, pernah seorang lelaki datang kepada Nabi dan bertanya: Ya Rasulullah, bilakah hari kiamat?"

Nabi menjawab: Apakah yang telah kamu persiapkan untuk itu? Orang itu menjawab: Aku belum mempersiapkan diri dengan banyak solat atau amal sedekah, tetapi aku telah mencintai Allah dan rasul-Nya. Nabi bersabda: Engkau akan bersama-sama orang yang engkau cintai. (riwayat Bukhari)

Cinta bererti selalu merindukan orang yang dicintai. Sebab itu dalam sebuah riwayat, Ibnu Ishaq menyebut ada seorang perempuan yang kehilangan ayahnya, saudara laki-lakinya dan suaminya yang syahid dalam perang Uhud. Sewaktu berita kesyahidan keluarganya disampaikan kepadanya, dia tidak sedih malah bertanya: "Apa yang terjadi dengan Rasulullah? Semoga Allah memberkatinya dan melimpahkan kedamaian kepadanya.” Si penyampai berita berkata: “Alhamdulillah, Nabi dalam keadaan baik.” Perempuan itu belum yakin dengan jawapan itu dan berkata: “ Tunjukkan dia (Rasulullah) kepadaku hingga aku dapat melihatnya.” Ketika wanita itu melihat Rasulullah, dia berkata: “Semua penderitaanku tidak ada ertinya lagi sekarang ini, sebab engkau telah selamat Ya Rasulullah.”

Ketika Bilal bin Rabah hendak meninggal dunia, isterinya berkata: “Betapa sedihnya perasaanku.” Mendengar itu, Bilal membalas: “Alangkah bahagianya aku, sebab sebentar lagi aku akan menjumpai orang yang paling aku cintai, iaitu Rasulullah dan sahabat-sahabat yang telah mendahuluiku.” ungkapan Bilal menggambarkan cintanya kepada Nabi SAW.

MUHAMMAD ARIFIN ISMAIL ialah Panel Jawatankuasa Pemikir Islam Isu Semasa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan merupakan Pengarah ISTAID (Institute of Islamic Thought anda Information for Dakwah), Medan, Indonesia. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131126

Penyair Rasulullah

SALAH seorang daripada tiga penyair Rasulullah SAW adalah Abu Abdillah atau nama lengkapnya Ka’ab bin Malik bin Amr bin Qain Al-Anshari As-Salami Al-Khazraji. Beliau termasuk salah seorang penyair terkemuka Rasulullah SAW.

Mengenai syairnya, Rasulullah SAW pernah mengatakan kepada Ka’ab: “Kamu benar-benar memiliki syair yang sangat bagus,” dan “Sungguh syairmu ini lebih dahsyat daripada tikaman anak panah.”

Tatkala turunnya firman Allah SWT dalam surah asy-Syu’ara, ayat 224 yang bermaksud: Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat- tidak berketentuan hala. Menyedari akan perkara itu, maka Ka’ab dengan segera menemui Rasulullah SAW dan bertekad untuk berhenti melantunkan syair kerana takut akan kesalahan syairnya mengenai kebenaran sirah Rasulullah SAW.

Lalu Rasulullah SAW mengatakan kepadanya: “Seorang mukmin itu dapat berjuang dengan pedang dan lisannya.”

Turunnya firman Allah SWT (asy-Syu’ara ayat 224) ini adalah kerana menerangkan perbezaan di antara Rasulullah SAW yang benar serta mendapat wahi Allah SWT dan ayat-ayat sambungan daripada surah tersebut bahawa al-Quran bukanlah syair dan Baginda yang menyampaikan bukanlah sebagai seorang penyair sebagaimana dituduh oleh kaum kafir musyrik kerana lazimnya penyair-penyair tidak berasaskan kebenaran dan mereka menjadi ikutan bagi orang-orang yang sesat.

Walau bagaimanapun, pada ayat 227 surah asy-Syu’ara menerangkan bahawa bukan semua syair dan ahli-ahli penyair itu keji, bahkan ada di antaranya yang terpuji dan diredai Allah SWT iaitu syair-syair yang dicipta oleh penyair yang beriman dan bertakwa serta berdasarkan kebenaran Rasulullah SAW, kebenaran Islam dan hidayah petunjuk-Nya sebagaimana penyair-penyair Islam di zaman Rasulullah SAW.

Antara yang pernah mendengar syair Ka’ab bin Malik adalah Ibnu Sirin yang mengatakan; “Aku pernah mendengar berita bahawa kabilah Dus masuk Islam kerana takut dengan ucapan Kaab dalam bait syairnya yang berbunyi: “Kami telah membinasakan penduduk Tahamah dan Khaibar. Kemudian kami kumpulkan semua pedang (senjata) milik mereka.”

“Kami bertanya kepada pedang-pedang itu, seandainya pedang-pedang itu dapat berbicara, maka mereka menjawab akan menebas leher orang-orang Dus dan Tsaqif.”

Semasa perang Uhud, Ka’ab bin Malik mengenakan perisai milik Rasulullah SAW yang berwarna kuning. Ka’ab bin Malik terkena sebelas luka sewaktu mempertahankan Islam.

Kaab bin Malik juga pernah mengikuti perjanjian Ba’it Aqabah II bersama orang-orang Ansar dan Rasulullah SAW mempersaudarakannya dengan Thalhah bin Abdullah.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131126

Doa agar dapat tidur malam

MAKSUDNYA:“Ya Allah, telah malap bintang-bintang, dan telah tenang mata-mata manusia dan Engkau Maha Berkuasa, Wahai Yang Maha Berkuasa, lelapkanlah mataku dan tenangkanlah malamku ini.” (riwayat al-Tabrani dan Ibnu Sunni no 749 tahqiq Ahmad Tahir)

Keterangan dan petua beramal

Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan Ibnu al-Sunni daripada Hajjaj bin Imran al-Sadusiy, daripada Amru bin al-Husain, daripada Muhammad bin Abdillah, daripada Thaur bin Yazid, daripada Khalid bin Ma’dan, daripada Abdul Malik bin marwan bahawa bapanya pernah mengatakan bahawa Zaid bin Thabit pernah mengadu kepada Nabi SAW tentang penyakit tidak boleh tidur malam yang menimpanya, lalu baginda SAW mengajarnya doa di atas.

Menurut hadis riwayat Ibnu Sunni, Zaid bin Thabit r.a yang mengalami masalah sukar untuk tidur (insomnia) akhirnya dapat tidur dengan nyenyaknya berkat beramal dengan doa yang diajar oleh Nabi SAW itu. (rujuk al-Azkar: Bacaan apabila gelisah tidak dapat tidur)

Menurut pengarang buku, Doa dan Rawatan Penyakit, dia ini boleh dibacakan kepada pesakit dan air. Caranya ialah dengan meletakkan tangan kanan pada dahi pesakit semasa membaca doa, lalu tiup kedua-dua belah matanya. Air yang telah dibacakan doa itu tadi boleh digunakan untuk minum dan mandi. (rujuk buku karangan Prof. Dr. Harun Din, Doa & Rawatan Pesakit, bab masalah tidak dapat tidur malam)

Menurut Tiki Kustenmacher terdapat beberapa petua untuk mudah tidur, iaitu: (rujuk buku beliau bertajuk, How To Simplify Your Life hlm. 152-154. Walaupun artikel difokuskan pada tidur sebentar (nap) tetapi penulis mendapati ada fakta yang sesuai untuk tidur yang lain)

- Berfikir positif terhadap tidur itu sendiri, tanpa rasa bersalah melakukannya. Kajian yang dilakukan di Madical School, University of Athens menunjukkan mereka yang tidur pada waktu tengah hari dapat mengurangkan kebarangkalian ditimpa sakit jantung sebanyak 30 peratus.

- Biasakan tidur mengikut jadual.

- Buat satu peraturan yang tetap, contohnya tidur di tempat yang sama, biasakan menutup televisyen, telefon, gosok gigi dan lain-lain. (dicadangkan supaya melakukan adab-adab yang dianjurkan dalam Islam sebelum tidur.)

- Tidurlah dalam suasana yang tenang dengan kadar kegelapan yang sesuai, suhu yang selesa supaya tidak terlalu panas.

- Tidur yang berkualiti lebih baik daripada tidur yang panjang tetapi tidak menghilangkan rasa penat.

- Dengan kepada sesuatu hingga ada rasa penat.

- Makan makanan yang tinggi karbohidrat agar anda dapat tidur yang lebih berkualiti. Kurangkan minum air yang boleh mengganggu tidur.

- Bangun tidur dengan beransur-ansur, tarik dan hembus nafas.

Petikan daripada buku, 101 Doa daripada Hadis-hadis Sahih, Telaga Biru Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131126

Bergurau biar berpada

MANUSIA bukan mesin yang boleh melakukan perkara yang sama secara berterusan. Sesekali kita ingin berehat dan berhibur untuk meringankan tekanan dan melepaskan keletihan.

Sebagai agama fitrah, Islam tidak melarang kita bergurau senda. Bahkan Rasulullah SAW dan para sahabat pun bergurau dan tertawa bersama-sama. Islam hanya melarang gurauan melampau yang berpotensi melahirkan dendam dan permusuhan.

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Azkar: “Gurauan yang dilarang ialah yang dilakukan secara melampau dan terlalu sering. Perbuatan ini akan melahirkan tertawa, mengeraskan hati dan melalaikan daripada mengingat Allah SWT dan memikirkan perkara penting dalam agama. Perbuatan ini juga sering kali mengesalkan, melahirkan dendam dan menghilangkan wibawa.”

Gurauan melampau

Mengikut pandangan Imam al-Nawawi tadi, gurauan melampau hukumnya makruh. Perbuatan itu boleh menjadi haram apabila mengakibatkan kemudaratan seperti histeria, kerugian material dan sebagainya.

Salah satu bentuk gurauan melampau ialah yang sengaja direka untuk mengejut dan menakutkan orang lain. Contoh gurauan sebegini terkadang dapat kita lihat dalam sebahagian rancangan televisyen dan radio. Bentuk gurauan ini sangat dibenci dan seboleh mungkin mesti dihindari.

Suatu hari Nabi dan para sahabat berada dalam satu perjalanan. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka tertidur. Seorang sahabat yang lain mengambil anak panah milik orang yang tertidur itu untuk bergurau. Apabila terbangun daripada tidurnya, sahabat itu terkejut dan mencari-cari barang miliknya. Semua sahabat yang melihatnya menjadi tertawa-tawa.

Rasulullah bertanya kepada mereka: “Mengapa kalian tertawa?”

Apabila diceritakan apa yang baru sahaja berlaku itu, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal bagi bagi seorang Muslim menakutkan Muslim yang lain.” (riwayat Abu Dawud)

Termasuk dalam kategori gurauan yang melampau ialah apabila mempersendakan salah satu agama yang menjadi ikutan masyarakat, sama ada Islam ataupun selainnya.

Begitu juga gurauan yang mempersendakan bangsa dan warna kulit seseorang. Gurauan seperti ini sangat buruk dan tidak melucukan.

Malah ia mampu melahirkan kebencian dan menyemai perpecahan di kalangan anggota masyarakat.

Jaga pertuturan

Di samping itu, guruan dusta juga tergolong dalam bentuk-bentuk gurauan yang melampau. Sebagai seorang Muslim yang selalu menjaga kata-katanya, dusta tidak patut dilakukan walaupun dalam gurauan. Sebab sekali kita berdusta, maka berkuranglah kepercayaan orang lain kepada kita.

Kita tentu ingat kisah serigala dan penggembala biri-biri yang sarat pengajaran itu.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Celakalah bagi seseorang yang berdusta untuk membuat manusia tertawa. Celaka baginya, celaka baginya.” (Abu Dawud)

Juga termasuk gurauan melampau ialah apabila kita bergurau tanpa memperhatikan konteks dan suasana orang yang kita guraukan. Seseorang yang sedang dalam situasi kesakitan dan kemalangan tidak patut kita jadikan ia satu gurauan. Orang yang tengah galau (kacau) dan susah hati, juga tidak patut kita jadikan itu gurauan. Sebab pada saat itu mereka memerlukan bantuan dan nasihat, bukan gurauan.

Pendek kata, kita mesti pandai menempatkan diri dan ucapan. Pada masa-masa serius, kita mesti serius. Dan pada kondisi santai, bolehlah kita bergurau. Sungguh tepat ucapan orang tua-tua kita dahulu: “Kalaupun bergurau, biarlah berpada-pada.” Wallahu a’lam.

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131126

Lokek belanja harta, hidup tidak berkat

Rasulullah SAW bersabda: “ Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” (Riwayat Ahmad)

Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya.


Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakannya ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undangundang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-Nya.” (Surah al- Israk, ayat 30)

Adil dengan diri sendiri

Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap Muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat individualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.


Berita Harian Online Agama 27/11/2013