November 30th, 2013

Solat tiada kompromi

IBADAH solat merupakan tuntutan yang sangat tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT sehingga diperintahkan setiap umat Islam agar memeliharannya dan menjaganya dengan sempurna kerana amalan itu merupakan tiang dan tunjang agama Islam.

Malah solat merupakan penghubung di antara Allah SWT dengan hamba-Nya sebagai Nabi Muhammad menerima ibadah itu secara langsung ketika bertemu Ilahi sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj.

Maka menjadi tanggungjawab dan amanah bagi setiap insan untuk menunaikan ibadah solat dalam apa jua keadaan sekalipun dan situasi walaupun berhadapan dengan kesulitan. Hal ini diterjemahkan dengan kemudahan menunaikan solat ketika musafir, peperangan, sakit dan sebagainya.

Namun demikian, paling menyedihkan apabila umat Islam mengambil mudah soal solat sehingga melaksanaka tuntutan berkenaan ketika berhadapan kesulitan hal ini kerana tidak mengetahui cara melakukannya dan kurang kesedaran kepentingan ibadah berkenaan.

Bagi mengambil inisiatif menerapkan kepentingan solat kepada umum, Telaga Biru Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah buku bertajuk Solat Emergency sebagai bahan rujukan untuk tatapan masyarakat.

Tujuh bab dikemukakan dalam setebal 145 muka surat itu yang antaranya mengupas kepentingan solat seperti, cara bertayamum, solat ketika sakit, musafir, qada sembahyang dan sebagainya. Setiap butiran diterangan dengan secara teori dan praktikal panduan ibadah pesakit selain dilengkapi gambar cara pelaksanaan.

Penulis, Fauzi Abdul Hamid menerangkan setiap bab secara terperinci tetapi melalui cara mudah difahami yang dilihat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan masyarakat khususnya kepada generasi muda.

Berharga RM20, anda boleh mendapatkannya di pasaran berhampiran anda atau menghubungi Telaga Biru selaku penerbit menerusi talian 03-6275 4070 untuk maklumat lanjut.

PLURALISME agama adalah satu aliran pemikiran yang melihat kewujudan pelbagai agama sebagai penzahiran tidak balas manusia yang pelbagai terhadap hakikat mutlak sama.

Antara premis utama falsafah ini adalah semua tradisi keagamaan adalah setaraf selain mengatakannya semuanya adalah sama dan mendakwah ianya adalah terhad serta boleh mengubah mengenai hakikat ketuhanan.

Oleh sebab itu, perbahasan mengenai pluralisme agama walaupun agak baru di Malaysia tetapi soal berkenaan telah mendapat perhatian terutama dalam kalangan masyarakat prihatin terhadap pemikiran dan kefahaman agama.

Walaupun begitu, penerangan pluralisme perlu dilakukan dengan teliti dan ilmiah agar tidak timbul perdebatan tidak berfaedah hingga mendatangkan sentimen perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia lalu menimbulkan huru-hara kepada tanah air.

Sehubungan itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerbitkan sebuah buku bertajuk, Pluralisme Agama Satu Penelitian Islami bagi menghuraikan falsafah berkenaan berdasarkan hujah dikemukakan menerusi al-Quran, al-Sunnah serta hujah ulama muktabar terdahulu.

Buku itu lahir daripada kertas kerja para felo IKIM sendiri termasuk ahli akademik terdiri daripada pelbagai lapisan dalam Seminar al-Quran dan Cabaran Pluralisme Agama yang diadakan pada tiga tahun lalu.

Sebanyak lapan kertas kerja yang dibahagikan kepada beberapa tajuk tertentu mengemukakan pandangan kritis terhadap fahaman pluralisme agama selain diketengahkan secara ilmiah berdasarkan hujah-hujah bernas serta bebas daripada sentimen dan emosi.

Secara kesimpulannya adalah buku terbitan IKIM itu perlu dilihat sebagai karya harus difahami, diteliti dan diambil pengajaran dalam mendepani fahaman pluralisme. Bermula daripada istilah pluralisme sehinggalah menganalisa bentuk-bentuk penentangan dikemukakan menerusi buku setebal 265 muka surau itu.Untuk mendapatkan buku Pluralisme Agama Satu Penelitian Islami, anda boleh mendapatkannya di IKIM selaku penerbit atau menghubungi nombor telefon 03-6204 6200 untuk maklumat lanjut.

TERMAKTUB dalam al-Quran dan hadis, bangsa Yahudi adalah bangsa yang banyak melakukan kerosakan di bumi. Bangsa berketurunan Nabi Yaaqub a.s ini seringkali dikaitkan dengan pemalsuan, pemesongan akidah, malah mereka juga membunuh nabi-nabi yang diutuskan kepada mereka.

Sejarah juga membuktikan, bangsa ini memainkan peranan yang begitu penting sebagai perancangan utama dalam pertembungan antara timur dan barat seperti kejatuhan Empayar Uthmaniah, peperangan, penjajahan era Perang Dunia Pertama dan Kedua serta yang terkini penyembelihan umat Islam di Palestin, Syria, dan Mesir.

Malah, isu ini tidak akan lengkap perbincangan ia sekiranya tidak mengaitkan dengan peranan Syiah di rantau Asia Tengah.

Siapakah Yahudi dan Syiah yang sebenar? Apakah perkaitan antara kedua-dua golongan ini dengan Dajal? Apakah kesesatan dan keburukan yang dibawa oleh mereka?

Buku bertajuk, Yahudi, Syiah, dan Dajal Penyebar Fitnah, Pemesong Akidah terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. dikeluarkan untuk memperkenalkan kelompok manusia yang suka melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah SWT ini, sehingga menjadi fitnah kepada orang yang beriman.

Penulis, Sabarudin Hussein mengupas tajuk itu dengan pelbagai sudutnya adalah konspirasi Yahudi-Eropah bermula di Palestin, asal usul Zionis: Empayar Khazar, Abdullah bin Saba’ dan Perpecahan Terserlah dan sebagainya.

Setebal 344 muka surat, buku berharga RM20 (Semenanjung Malaysia) atau RM22 (Sabah dan Sarawak) boleh didapati di pasaran berhampiran anda atau boleh menghubungi penerbit, PTS Islamika Sdn. Bhd menerusi talian menerusi talian 03-6188 0316 untuk maklumat lanjut.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131129

Zakat duit pemberian suami

SAYA merupakan seorang isteri yang berkelulusan tinggi tetapi atas kehendak suami saya tidak bekerja dan diminta menguruskan keluarga. Setiap bulan, suami saya hanya mengambil RM1,000 sebulan dari gajinya dan dan telah menyerahkan seluruh baki gajinya kepada saya untuk tujuan perbelanjaan keluarga seperti membayar bil utiliti, pinjaman rumah, kereta dan keperluan rumah lainnya. Soalan saya, bolehkah saya menggunakan wang itu untuk diberikan kepada ibu bapa dan juga bersedekah kepada orang tertentu dan juga berzakat? Ini kerana, saya rasa seperti tidak amanah pula jika saya melakukannya?

Jawapan:

Segala puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kita nikmat yang begitu banyak. Tahniah saya ucapkan kepada puan, justeru telah mendapat seorang suami yang begitu baik, kerana telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada puan dalam urusan kewangan. Saya berdoa semoga rumah tangga puan kekal aman hingga ke hujung usia, amin.

Baiklah, apabila membaca soalan puan, maka suka saya nyatakan bahawa suami puan sebenarnya memahami peranan seorang isteri di dalam rumah tangganya. Ini kerana, secara dasarnya memang menjadi peranan si suami untuk bekerja di luar rumah untuk mencari rezeki, demi menafkahi anak-anak dan isterinya.

Manakala di sisi isteri pula, memang menjadi peranannya untuk bekerja di dalam rumahnya, menguruskan segala keperluan keluarga termasuklah yang paling utama mendidik anak-anak. Atas sebab itulah, kita akan berjumpa dengan banyak hadis yang memerihalkan dua kondisi yang berbeza bagi suami dan isteri ini.

Hakim bin Mu’awiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar yang ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah bersabda: “Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (riwayat Abu Daud)

Manakala dalam hadis yang lain pula, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumah tangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya." (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kedua-dua hadis di atas menjelaskan bidang tugas lelaki dan perempuan dalam rumah tangga, sesuai dengan fitrah kejadian mereka.

Amanah

Maka, apabila puan diamanahkan menguruskan keluarga, ia bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Malah, dengan kecekapan puan menguruskan keluarga maka membolehkan suami untuk mencari rezeki dengan senang dan mudah. Rumah tangga yang aman dan bahagia, menjadi motivasi terbaik buat suami bekerja. Sebaliknya, jika rumah tangga porak peranda, ia akan menjejaskan kualiti kerja suami di luar.

Maka, atas dasar itulah Islam tidak memandang sebelah mata akan peranan seorang ibu dan isteri. Malah, di Malaysia pihak berkuasa agama Islam telah mewujudkan sebuah undang-undang yang mengiktiraf pekerjaan seorang suri rumah apabila pada 1982 Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memperkenalkan konsep Harta Sepencarian.

Dengan adanya peruntukan ini, maka biarpun si isteri hanya menguruskan keluarga di rumah, namun dia masih berhak mendapat sebahagian daripada harta yang diperoleh selama mana usia perkahwinannya itu didirikan jika ditakdirkan berlaku perceraian.

Sekarang, saya ingin mengaitkan isu pemberian harta suami puan ini dengan niat puan sendiri yang mahu menafkahkannya kepada jalan-jalan yang baik, sama ada diberikan kepada ibu bapa, bersedekah dan berzakat.

Hakikatnya, semuanya adalah baik di sisi Islam. Memberikan kepada ibu bapa itu lebih dituntut dalam Islam, apatah lagi jika mereka memang termasuk dalam kalangan orang yang memerlukan. Demikian jugalah dalam urusan memberikan sedekah dan zakat, ia adalah suatu suruhan Allah SWT kepada semua orang yang mengaku beriman.

Maka, di sini sebenarnya wang itu biarpun asalnya milik suami puan, namun di satu sisi yang lain, ia telah pun diserahkan kepada puan. Ia bermakna, corak penggunaannya adalah terserah pulalah kepada kebijaksanaan puan dalam mengagihkannya, sama ada untuk keperluan asasi mahupun memberi sedekah dan zakat.



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131129

Ujian hijrah

ALHAMDULILLAH pada ruangan tafsir kali ini, saya akan mengemukakan sebuah nas al-Quran berkaitan dengan ujian hijrah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. (al-Anfal: 72)

Ibnu Jarir berkata: "Dua kumpulan ini, Muhajirin dan Ansar antara satu sama lain saling membantu dan bekerjasama dalam menentang golongan musyrikin."

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT menyebut golongan yang beriman dan membahagikan mereka kepada Muhajirin yang keluar dari rumah dan kampung halaman serta harta benda mereka. Mereka datang untuk menolong Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dalam membelanjakan harta mereka. Seterusnya golongan Ansar yang berada di Madinah menyambut kedatangan Muhajirin dengan menawarkan rumah mereka serta berkorban harta mereka."

Sayyid Quthub berkata: “Hukum ini merupakan suatu hukum yang logikal yang sesuai dengan tabiat agama ini dan dengan metodologi pergerakannya yang realistik kerana individu-individu ini bukan warga-warga dalam masyarakat Islam. Oleh sebab itu, tidak ada tanggungjawab perlindungan di antara mereka dengannya, walaupun di sana ada hubungan akidah namun begitu hubungan sahaja tidak mengakibatkan tanggungjawab-tanggungjawab ke atas masyarakat Islam terhadap mereka kecuali mereka dicerobohi kerana agama mereka. "

Misalannya mereka ditindas kerana agama mereka dan dalam kes ini apabila mereka meminta pertolongan kaum Muslimin yang berada di dalam negara Islam, maka wajiblah mereka menolong dalam perkara itu sahaja. Malah pertolongan itu juga bersyarat iaitu ia tidak merosakkan mana-mana perjanjian kaum Muslimin dengan pihak lain.

Sunggupun pihak ini menceroboh individu-individu yang beriman itu kerana agama mereka, namun yang menjadi dasar yang perlu dipelihara di sini ialah kepentingan masyarakat Islam dan rancangan pergerakannya yang melahirkan hubungan dan perjanjian yang harus diutamakan.

Ayat ini menyatakan kepada kita sejauh mana kepentingan yang diletakkan oleh agama ini ke atas tatacara pergerakan yang menggambarkan kewujudannya yang hakiki.

Menekuni peristiwa hijrah

Pada ruangan kali ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk menekuni peristiwa dengan disekalikan fikah hijrah dalam episod tersebut.

Rasulullah SAW meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun 14 kenabian bersamaan 12/13 September 622 (M).

Baginda terus menuju ke rumah sahabatnya Abu Bakar r.a. Kemudian mereka berdua meninggalkan rumah Abu Bakar menggunakan pintu belakang menuju ke Mekah secara segera dan bersembuni sebelum fajar menyinsing.

Nabi SAW menyedari bahawa orang-orang Quraisy akan berusaha keras mencarinya dan jalan yang akan menjadi tumpuan ramai ialah jalan utama ke Madinah menuju ke utara, maka Baginda mengambil jalan yang bertentangan sama sekali daripada pandangan pihak Quraisy iaitu memilih memilih laluan di selatan Mekah yang menuju ke arah Yaman.

Lantas, Baginda terpaksa merentasi jalan ini sejauh lima batu sehingga sampai ke sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Thur. Bukit ini agak tinggi dengan batu-batuan yang keras serta laluan yang sukar untuk didaki sehingga kaki Baginda SAW melecet.

Dikatakan bahawa Nabi SAW sengaja berjalan menggunakan hujung kaki sepanjang perjalanan untuk menghilangkan kesan tapak kakinya. Abu Bakar memapah Rasulullah SAW dengan bersusah payah hingga sampai ke puncak bukit yang terdapat sebuah gua yang dikenali Gua Thur. (rujuk Rahmah Li al-Alamin 1/95. Abdullah al-Najdi hal. 167)



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131129

Sifat angkuh ilmu menjurus perdebatan

Ilmu tasawuf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin dalam membersihkan hati dengan sifat mahmudah (mulia) dan menghindari daripada sifat mazmumah (sifat keji dan tercela). Ilmu tasawuf bertujuan mendidik nafsu dan akal sentiasa berada dalam peraturan hukum syariat Islam sebenar sehingga mencapai taraf nafsu mutmainnah (terpelihara).

Asal ilmu tasawuf serentak dengan wujudnya tarikat sufiyyah seperti dalam kalangan angkatan salaf umat Islam terdahulu dan tokoh besar mereka yang terdiri daripada sahabat, tabi’in dan tokoh selepas mereka.


Segala-galanya bersumberkan al-Quran dan sunah serta mendapat pengiktirafan daripada Baginda SAW walaupun ia belum dinamakan tasawuf. tasawuf sebenar adalah mengimbangi antara kehidupan dunia dan akhirat seperti yang dianjurkan agama Islam.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ada dalam kalangan mereka orang yang memohon kepada Allah, ‘kurniakanlah kebaikan kepada kami di dunia dan akhirat.” (Surah al-Baqarah, ayat 201)

Ilmu tasawuf juga menyentuh mengenai amal, bagaimana cara memperbaiki amalan atau meningkatkannya menjadi sebaik-baik amalan dengan berteraskan keikhlasan. tasawuf menjelaskan cara memperbaiki amal ialah dengan cara memperbaiki hal keadaan hati.

Tarikat dan tasawuf adalah istilah sama yang tidak dapat dipisahkan dengan syariat. Ingatlah ujian bukan saja akan menimpa orang kebanyakan malah ulama tidak terlepas daripada ujian Allah SWT, malah terkadang ia lebih hebat dan mencabar mengikut tahap keimanan masing-masing.

Ilmu anugerah Allah SWT yang perlu dijaga dan dipelihara. Disiplin dan tanggungjawabnya mesti dihormati serta dijaga. Sifat sombong dan angkuh dengan ilmu pengetahuan dikurniakan akan menjurus kepada perdebatan tidak kesudahan dan membawa kesan negatif kepada masyarakat.

Walaupun Islam membenarkan ikhtilaf tetapi wajib kita menjauhinya jika ia mendatangkan mudarat lebih besar. Janganlah kita berasa hairan jika terdapat golongan ilmuwan yang menolak tasawuf disebabkan kesombongan mereka terhadap ilmu dikurniakan.

Benarlah kata ulama sufi, Abu Hassan as-Shazili: “Orang yang paling ramai terhijab daripada (ilmu yang terbaik) ialah ulama, Maha Suci Allah yang menghijab ulama dengan (hijab) ilmu mereka sendiri.”


Zamanuddin JusohBerita Harian Online Agama 30/11/2013

Aliran tasawuf terpesong tanpa ilmu fiqah

Usaha dekatkan diri kepada Illahi perlu mengikut neraca syariat

Ilmu yang benar akan membawa kita lebih mengenali seterusnya ke tahap lebih dekat dengan Allah SWT. Di sinilah bermulanya lonjakan pengiktirafan Allah SWT terhadap seseorang hamba.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Diangkatkankan darjat orang yang beriman dan mereka yang berilmu pula, ada beberapa darjat yang khusus.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)


Ilmu bermanfaat ialah ilmu yang mengunjurkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat serta takut kepada Allah SWT.

Mereka juga meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat, mendampingi orang awam, memuliakan kekasih Allah SWT dalam kalangan orang berilmu dan menyibukkan diri kepada apa yang lebih diutamakan.

Kita sering didedahkan dengan ilmu tasawuf atau ilmu tarekat dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, ilmu tasawuf atau tarekat mestilah dipertimbangkan mengikut neraca syariat. Ajaran yang mendorong kepada sifat pemencilan diri yang meragukan serta menyempitkan ibadat kepada Allah SWT, maka ia perlu perhatian serius.

Sesuatu bercanggah dengan syariat adalah ilmu yang menyimpang daripada jalan-Nya. Jika ada yang mendakwa kita tidak mampu menyesatkan sesiapa melainkan Allah SWT, namun garis panduan telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah ukuran untuk menilai sesuatu ajaran.

Banyak ilmu dan pelajaran yang menyimpang daripada landasan sebenar. Nabi Isa berkata: “Alangkah banyaknya pohon kayu, tetapi tidak semuanya berbuah; alangkah banyaknya buah-‘buahan, tetapi tidak semuanya baik;, alangkah banyaknya ilmu, tetapi tidak semuanya berfaedah.”

Buka pintu perdebatan

Ketika ini kita dapati ramai menutup pintu amal sebaliknya membuka pintu ‘jidal’ (perdebatan) dengan cara yang buruk. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berbangga dengan ilmu yang ada.

Namun, mereka yang benar-benar berada pada aliran tasawuf akan berusaha menutup pintu jidal itu dengan membuka pintu amalan atau pengabdian melalui ibadat dengan sebanyak-banyaknya.

Imam al-Ghazali dan pengarang sufi lain mentafsirkan pengertian ilmu, fadilat ilmu, fadilat mempelajari ilmu dan fadilat mengajar serta menyiarkan ilmu pengetahuan hendaklah mengikut apa yang diambil daripada al-Quran, hadis, kias dan ijmak ulama. Ditambah pula kisah hidup sahabat serta ahli sufi yang penuh dengan pengajaran dan perangsang.

Ilmu tasawuf dalam sejarah penyebaran, pengajaran dan penghayatannya disebut juga dengan pelbagai istilah lain seperti ilmu ihsan, iman, batin, hati, khusyuk, tarekat, hikmah, i sirr (rahsia), suluk (jalan), adab atau ilmu akhlak.

Sebahagian ulama berpendapat ilmu tarekat adalah jalan yang membolehkan dan menyampaikan seseorang mukmin mencapai darjat ihsan iaitu satu daripada tahap dalam tasawuf. Ihsan juga disebut dengan istilah tasawuf atau suluk.

Namakanlah ihsan itu dengan nama apapun, semuanya adalah perkataan yang berlainan sebutannya tetapi membawa maksud yang sama iaitu takut kepada Allah SWT.

Sahabat Baginda SAW mempunyai ciri ahli sufi yang dapat dijadikan teladan dalam semua aspek iaitu syariat, hakikat, akhlak, akidah dan ibadat. Mereka tidak digelar sebagai sufi kerana gelaran sahabat itu menjadi gelaran terunggul serta mengatasi semua gelaran lain.

Maka Islam dapat dilihat daripada sudut ilmu merangkumi tiga jenis ilmu iaitu ilmu fiqah, tauhid dan tasawuf. Ketiga-tiga itu adalah ilmu asas dalam Islam. Menurut ahli sufi, ilmu wajib atau fardu ain hendaklah dipelajari dan diamalkan dengan ilmu tauhid, fiqah dan tasawuf.

Ia juga disebut ilmu syariat, ilmu tarekat (jalan menuju Allah SWT), ilmu hakikat (mengenal dengan cara lebih tepat) dan ilmu makrifat (jauh ke dalam semua ilmu terdahulu). Sebab itu ilmu tasawuf seperti yang kita ketahui dikenali juga sebagai ilmu hikmah ketuhanan.

Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai ihsan lalu Baginda menjawab: “Ihsan adalah melakukan ibadat seolah-olah kamu melihat Allah SWT. Jika kamu tidak dapat melihat-Nya, maka Dia sentiasa melihat akan kamu.”

Ulama terkenal, Sheikh Najm al-Din yang juga ulama sufi berkata, syariat itu umpama sebuah kapal, manakala tariqah pula umpama lautan dan hakikat itu seperti mutiara. Sesiapa yang mahukan mutiara itu, mestilah menaiki kapal kemudian ia belayar mengharungi lautan itu.

Menebalkan iman dalam hati

Kemudian baru ia sampai kepada mutiara. Sesiapa yang meninggalkan urutan perjalanan ini, ia tidak akan sampai kepada mutiara itu. Tujuan bertarekat untuk menebalkan iman dalam hati supaya tiada yang lebih indah dan dicintai selain Allah SWT.

Kecintaan itu akan menyebabkan kita terlalu asyik sehingga melupakan diri dan dunia. Dalam perjalanan meraih tujuan itu, manusia perlu ikhlas, bersih segala amal dan niatnya, muraqobah (mendekatkan diri dengan Allah SWT) dan merasakan dirinya sentiasa diawasi Allah SWT.

Mereka yang mengamalkan ilmu tasawuf dikenali sebagai ahli sufi, manakala yang mengamalkan syariat dipanggil ahli fikah. Perlu diingat bahawa mereka yang cuba untuk masuk aliran tasawuf, mesti mengetahui selok-belok ilmu fiqah.

Tanpa ilmu fiqah, akan memesongkan aliran tasawuf itu sendiri. Setelah kedua-dua ilmu ini dipelajari, maka ruang pertelingkahan dapat dikurangkan. Justeru, kita dapat merealisasikan tuntutan Baginda SAW supaya mengurangkan ruang perdebatan yang kurang memberi faedah.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun berasa dirinya megah (lebih bangga diri) daripada orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)

Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 30/11/2013