December 3rd, 2013

Larangan pulau saudara seagama lebih daripada tiga hari

Anas berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Saudara sekalian jangan saling membenci, jangan dengki mendengki, saling tidak menghiraukan dan memutuskan hubungan. Saudara sekalian jadilah hamba Allah yang bersaudara antara satu sama lain. Orang Islam tidak dibenarkan memulaukan saudaranya lebih daripada tiga hari.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kebebasan hak asasi manusia yang kini terus diperjuangkan pihak tertentu sewajarnya menjentik pemikiran kita terhadap kewajipan menjaga hubungan serta silaturahim sesama manusia tidak kira latar belakangnya.


Manusia semakin penting diri

Kebebasan yang dilaungkan menyebabkan manusia semakin mementingkan diri dengan menganggap mereka bebas melakukan apa saja, malah ada yang merasakan diri mereka kebal hingga tergamak melukakan pihak lain.

Justeru, dalam memenuhi kehendak diri, kita perlu beringat bahawa orang lain juga mempunyai hak mereka dan ada antaranya perlu diberi oleh kita. Oleh itu, hakikat sebenarnya ialah tiada siapa memiliki hak kebebasan yang mutlak.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis lalu diampunkan dosa setiap hamba Allah yang tidak menyekutukan Allah dengan apa sekali pun. Kecuali orang yang ada konflik dengan saudaranya, dikatakan: Tunggu sehingga mereka berdua berdamai. Tunggu sehingga mereka berdua berdamai.” (Riwayat Muslim)


Berita Harian Online Agama 03/12/2013

Elak 'berperang' dalam media sosial

Pengguna perlu ada ciri muraqabah, jaga adab, maruah ketika berinteraksi

Kehidupan kita pada zaman ini yang banyak bergantung kepada teknologi termasuklah dalam aspek pergaulan atau mualamat. Interaksi bersemuka yang sudah sebati dalam kehidupan kini diambil alih oleh teknologi jaringan sosial yang boleh dilakukan secara maya.


Manusia di seluruh dunia sudah melewati tahap ketagihan penggunaan aplikasi seperti Facebook, Twitter dan WhatsApp. Dalam keghairahan menggunakan aplikasi itu, kita wajar memelihara adab sopan di media sosial.



Setiap patah perkataan ditulis serta gambar dimuat naik dalam media sosial mencerminkan keperibadian seseorang individu. Apabila adab tidak dipelihara, maka timbullah kejadian seperti perang mulut di Facebook membabitkan serangan peribadi dan menjatuhkan air muka.

Elak perkara negatif

Perkara negatif sebegini perlu dielakkan oleh sesiapa saja, khususnya orang Islam. Menjadi pengguna media sosial yang diberkati Allah SWT, kita seharusnya memiliki ciri muraqabah iaitu sentiasa beringat diri di bawah pengawasan-Nya.

Ciri-ciri ini berkait rapat dengan ihsan iaitu kerendahan hati seorang manusia kepada Allah SWT (Pencipta-Nya) seolah-olah dia melihat Allah SWT. Jika dia tidak dapat melihat Allah, maka yakinlah bahawa Allah melihat dirinya, penyembahannya dan mengetahui isi hatinya.

Jiwa yang sering mengingati Allah dan menyedari kehadiran Allah SWT sepanjang masa akan menggerakkan pemikiran serta hati seorang manusia supaya sentiasa berkelakuan positif walaupun ketika ketiadaan manusia di sekelilingnya.

Satu kisah teladan yang berlaku pada zaman Saidina Umar al-Khattab harus dijadikan pengajaran umat Islam hari ini supaya dapat mempertingkatkan rasa ihsan dalam kehidupan. Satu hari, Saidina Umar melalui sebuah perkampungan dan menjumpai seorang anak kecil mengembala ternakan.

Saidina Umar bertanya kanak-kanak itu jika dia dapat menjualkan ternakan itu kepadanya. Lalu anak kecil itu menjawab: “Di manakah Allah, tidakkah Dia melihat?” Soalan anak kecil ini sungguhpun ringkas, tetapi membuatkan Saidina Umar menitiskan air mata.

Anak kecil itu mempunyai iman yang kuat dan yakin adanya Allah yang sedang memerhatikannya. Dialog antara Saidina Umar dan kanak-kanak pengembala itu adalah gambaran yang sesuai dijadikan kayu ukur sifat muraqabah dalam diri kita.

Perasaan kehadiran Allah SWT sebagai pemantau amal perbuatan akan timbul hanya selepas kita merenungi tanda kekuasaan Allah SWT. Perkara utama yang perlu direnungi ialah kejadian diri kita selaku manusia.

Mata, tangan main peranan

Dalam isu penggunaan media sosial, tubuh badan yang terbabit ialah mata dan tangan. Mata digunakan untuk membaca maklumat atau menonton bahan multimedia yang dihantar menerusi media sosial. Tangan pula memainkan peranan untuk kita menulis sesuatu yang ingin dikongsikan bagi tatapan rakan media sosial. Memandangkan dua anggota badan ini besar peranannya dalam penggunaan media sosial, kita harus mengelak menyalahgunakan nikmat Allah SWT. Jangan menulis kata-kata lucah atau menonton video yang bercanggah dengan syariat.

Bagi menguatkan sifat muraqabah dalam diri, cubalah renungi firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, sementara tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa-apa yang dulu mereka kerjakan.” (Surah Yasin, ayat 65). Justeru, didiklah jiwa dan nafsu supaya jangan alpa dengan seksaan pedih yang bakal menanti di akhirat kelak bagi tubuh badan yang mengkhianati amanah Allah.


Muhammad Nizam Ab Ghani Berita Harian Online Agama 03/12/2013