December 4th, 2013

Hargai alam sekitar

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memberikan segala yang membawa kebaikan padanya. (al-A’raf: 56)

Hal yang demikian menunjukkan anugerah alam semula jadi dan alam sekitar yang Allah SWT berikan ini amatlah bernilai kepada kesejahteraan dan kehidupan manusia. Kita banyak bergantung kepada sumber-sumber semula jadi di muka bumi ini.

Allah SWT telah menciptakan alam yang kita diami ini seimbang untuk kemakmuran manusia. Bumi yang terhampar luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-ganang, bukit-bukau sebagai pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan. Demikian juga dengan pelbagsi jenis haiwan dan hidupan di lautan dan sungai serta tasik juga danau dan sebagainya untuk faedah manusia. Firman Allah yang bermaksud: Dia (Allah) menjadikan kamu daripada bumi (tanah) dan menjadikan pemakmurannya. (Hud: 61)

Alam sekitar yang bersih dan indah serta sedap mata memandang memberikan kita suasana yang selesa dan menyamankan hati nurani. Sebaliknya akan terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembangunan sekiranya alam sekitar tidak dipelihara dan dikawal dengan baik.

Kita sering menyaksikan tanah-tanah menggelongsor, bangunan-bangunan mencakar langit rebah ke bumi, sungai-sungai tercemar akibat perbuatan ganas dan rakusnya manusia. Alam sekitar dan manusia adalah sahabat baik dan mesra alam tetapi manusia yang membinasakannya asbab kepada rasa tamak haloba.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Barang siapa yang membunuh seorang manusia dan membuat kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan barang siapa memelihara kehidupan manusia, maka seolah-olah dia memelihara kehidupan manusia seluruhnya. (al-Ma’idah: 32)

Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar lagi menyihatkan. Udara yang bersih merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi tumbuhan yang segar menghijau.

Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan tubuh badan kita mendapat bekalan oksigen sebaik-baiknya. Justeru, pembakaran terbuka secara meluas serta tanpa pengawalan boleh merebak menjadi jerebu yang sering kita alami. Ini menyebabkan udara yang disedut menjejaskan kesihatan dan boleh mengundang pelbagai penyakit. Memelihara dan menjaga alam sekitar seperti juga kita menjaga tubuh badan kita agar sentiasa bersih dan sihat. Nabi SAW selalu menyebutkan, kebersihan itu tanda orang yang beriman.

Melalui persekitaran yang segar dan bersih juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan marah dan tidak selesa. Aktiviti riadah yang dijalankan dalam keadaan selesa akan meningkatkan tahap deminsi kesihatan kita.

Di samping itu, penanaman pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan yang kita lakukan juga bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida dan dapat menstabilkan ekosistem persekitaran. Pokok-pokok dan tumbuhan-tumbuhan yang ditanam di tepian pantai dapat mengawal dan mengurangkan ancaman tsunami, manakala pokok-pokok dan tumbuhan yang ditanam di kampung-kampung dan bandar-bandar boleh menahan bahaya banjir.

Alam sekitar yang bersih dan nyaman dapat mengelakkan pembiakan serangga yang mampu membawa pelbagai panyakit. Persekitaran yang bersih mampu menghalang haiwan seperti lalat, nyamuk, tikus dan sebagainya daripada membiak dan menyebarkan penyakit kepada manusia. Dengan demikian dapat melindungi makanan kita daripada dicemari, seterusnya menghindarkan daripada berlakunya masalah keracunan makanan.



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131203

Isu pameran jin, hantu dan alam misteri

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa pameran jin, hantu dan keranda serta alam misteri adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh mendatangkan mudharat pada akidah umat Islam. Manusia tidak dapat mencapai hakikat sebenar alam misteri, jin, hantu dan umat Islam tidak perlu dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini.

Keterangan, hujah

i. Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri memberikan gambaran nyata bahawa makhluk halus boleh ditangkap dalam bentuk asal mereka. Perkara ini amat diragui dan boleh dikategorikan sebagai muslihat sekiranya bukti hanya berasaskan andaian atau khayalan semata-mata. Malah kajian saintifik oleh Pensyarah Forensik Universiti Sains Malaysia, Kampus Kubang Kerian, Kelantan Dr Zafarina Nordin melalui ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan mendapati ianya tidak benar dan meragukan.

ii. Mengenai bahan-bahan pameran yang ditonjolkan seperti toyol, jenglot dan seumpamanya ia merupakan pemujaan ke atas janin manusia oleh orang-orang tertentu untuk melaksanakan kerja-kerja kejahatan seperti mencuri dan sebagainya. Perkara ini membayangkan sikap dan kejahatan manusia yang memuja makhluk berkenaan untuk kepentingan dirinya semata-mata, tanpa melihat kesan kepada orang lain.

iii. Perbahasan mengenai hal-hal ghaib seperti jin dan syaitan sewajarnya merujuk kepada sumber ilmu yang sahih. Perbincangan mengenainya perlu diadakan secara tertutup kerana ditakuti ianya akan didongengkan bagi tujuan untuk mendapat hasil kekayaan secara mudah seperti melalui pameran-pameran dan seumpamanya. Perkara-perkara ini boleh membawa kepada khurafat dan tahyul, sekaligus membawa kerosakan kepada akidah serta pegangan umat Islam.

iv. Persoalan jin dan syaitan adalah perkara ghaib yang hanya dapat diketahui dengan perantaraan wahyu Allah s.w.t. iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu umat Islam seharusnya mengasaskan sebarang kepercayaan atau perbincangan mengenai jin dan syaitan berdasarkan kepada dua rujukan tersebut.

v. Ayat al-Quran menjelaskan bahawa kelebihan mengawal angin, mengawal, menangkap atau membelenggu jin yang derhaka hanyalah mukjizat istimewa yang khusus hanya untuk Nabi Sulaiman a.s. Mukjizat ini tidak dimiliki orang lain walaupun Nabi Muhammad SAW.

vi. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW tidak mampu untuk mengurung jin yang mengganggunya kerana kelebihan itu jelas hanya menjadi mukjizat istimewa Nabi Sulaiman a.s. Siapalah kita sebagai manusia biasa jika hendak dibandingkan dengan kedua-dua Rasul Allah itu.

vii. Isu pameran jin, hantu, keranda dan alam misteri yang dikemukakan merupakan isu yang jelas penyelewengannya dalam akidah Islam. Perkara seumpama ini perlu disekat dengan segera supaya umat Islam tidak terus terjebak dalam penyelewengan ini.

viii. Masyarakat Melayu memang mudah terpengaruh dengan cerita-cerita khurafat dan tahyul seumpama ini dan kita tidak mahu masyarakat kita khususnya generasi muda dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul ini.

ix. Hakikat jin, hantu, keranda, dan alam misteri merupakan perkara yang di luar kemampuan akal kita untuk mencapainya apatah lagi untuk mengajarkannya kepada orang lain.

x. Pameran jin, hantu, keranda, dan alam misteri boleh membawa mudharat kepada akidah umat Islam dan ia perlu dicegah dengan segera.

Petikan dari Portal Rasmi Fatwa Malaysia (e-Fatwa), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131203

Keunikan kaedah Al-Jazari

MEMBACA kitab suci al-Quran dengan lancar bersama hukum tajwid dan bacaan yang merdu menjadi idaman setiap umat Islam yang bertakwa kepada Allah SWT.

Setiap bacaan yang mengikut tajwid dalam al-Quran dikira satu ibadah yang besar pahalanya. Sebab itu belajar membaca al-Quran amat dituntut sejak dari kecil agar amalan di kemudian hari tidak sia-sia hanya kerana tersalah hukum tajwid dalam pembacaan.

Antara kelebihan dan ganjaran membaca al-Quran adalah seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Masud bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan 10 pahala. Aku tidak berkata (alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” (riwayat Al-Tirmizi).

Manakala riwayat daripada Abu Umamah Al-Bahili pula, beliau berkata: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya." (riwayat Muslim).

Mempelajari ilmu tajwid adalah fardu kifayah bagi umat Islam dan menjadi fardu ain pula ketika hendak membaca al-Quran.

Menurut pensyarah di Universiti Antarabangsa Madinah (MEDIU), Shah Alam, Anas Naji, sebagai seorang pensyarah yang mengajar pelajar-pelajar membaca al-Quran dengan betul dan mengikut tartil, beliau menggalakkan guru-guru yang mengajar al-Quran mengikuti kursus membaca yang diperkenalkan beliau di negara ini.

"Sistem pengajaran membaca al-Quran adalah satu transformasi pembelajaran al-Quran berupa sistem berteknologi gabungan kaedah asal dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Bagi mewujudkan kaedah pembelajaran al-Quran yang lebih sistematik, diperkenalkan sistem pembelajaran al-Quran berasaskan teknologi ICT yang lebih mudah.

"Sistem ini merangkumi cara sebutan huruf daripada makhraj yang tepat beserta ilmu tajwid,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kata Anas, melalui gabungan sumber asal ilmu pembacaan al-Quran dan tajwid serta teknologi terkini dapat memaparkan imej makhraj yang interaktif. Jelasnya, kaedah yang dipanggil Al-Jazari itu adalah gabungan usaha bersama ulama tersohor iaitu Syeikh Ahmad Al-Suwaidi bersama tenaga pakar teknologi ICT.

"MEDIU telah menyalurkan kaedah ini secara sah dengan penjelasan yang tersusun dan mudah untuk difahami yang akan disampaikan oleh pensyarah dalam bidang pengajian al-Quran dan qiraat.

"Sehubungan itu, melalui program khidmat masyarakat, MEDIU menjemput guru-guru al-Quran, guru-guru Pendidikan Islam, guru-guru J-QAF, Institusi Pendidikan al-Quran, Institusi Pendidikan Tahfiz al-Quran, lepasan institusi pengajian Islam dan para pendakwah untuk hadir bagi mengikuti kursus berkenaan,” katanya.

Kursus tersebut diadakan secara percuma pada 5 Disember pukul 2 petang bertempat di Shah Alam, Selangor.

Untuk pendaftaran dan pengesahan sila emelkan maklumat peribadi ke jamaluddin.hussain@mediu.edu.my atau kirimkan mesej pesanan ringkas (SMS) ke 012-249 6956.



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131203

Saintis Muslim tersohor

ABD. ar-Rahman Al-Sufi, salah seorang ahli sains Islam tersohor, merupakan seorang ahli astronomi Parsi (Iran) yang juga dikenali sebagai Abd al-Rahman Abu al-Hussain. Di Barat beliau dikenali sebagai Azophi.

Lahir pada 7 Disember 903 dan meninggal dunia pada 25 Mei 986, AL-Sufi tinggal di kawasan Emir adud ad-Daula di Isfahan.

Beliau melakukan tugas menterjemah dan mengembangkan kerja-kerja ahli astronomi Greek, terutama Ptolemy.

Sebagai seorang ahli astronomi terkenal pada zaman pertengahan, Al-Sufi melakukan beberapa sumbangan dengan membetulkan senarai bintang Ptolemy dan melakukan anggaran magnitud dan kejelasan yang menyimpang daripada kerja Ptolemy.

Beliau mengenal pasti Awan Besar Magellanic yang kelihatan di Yaman dan bukan di Isfahan yang tidak dapat dilihat atau ditemui oleh bangsa Eropah sehingga pengembaraan Ferdinand Magellan pada abad ke-16.

Penterjemah

Al-Sufi merupakan penterjemah utama ke Bahasa Arab mengenai Astronomi Hellenistic yang berpusat di Iskandariah.

Beliau memerhatikan dan dapat mengira panjangnya tahun tropika dan menerangkan mengenai bintang, posisi, magnitud dan warna dan menghasilkan keputusan mengenai buruj demi buruj. Bagi setiap buruj, beliau menghasilkan dua lukisan, satu daripada luaran cakerawala dan satu lagi dari sebelah dalam yang dilihat dari Bumi.

Al-Sufi juga menulis mengenai astrolab dan mencari beberapa kegunaan mengenainya. Beliau menerbitkan buku yang terkenal Book of Fixed Stars pada 964 Masihi yang memaparkan kerjayanya dalam bentuk teks dan gambar.

Dalam keterangan dan gambar mengenai Andromeda, beliau memasukkan A Little Cloud yang sebenarnya adalah Andromeda Galaxy M31. Beliau menggambarkannya berada dalam mulut ikan yang besar, yang merupakan buruh Arab dan ‘awan’ berkenaan telah dikenali oleh ahli astronomi di Isfahan sebelum 905 Masihi.

Dalam bukunya, beliau juga menerangkan mengenai gugusan Omicron Velorun IC 2391 sebagai bintang nebulous di Vulpecula, satu gugusan atau asteris yang kini dikenali sebagai Al-Sufi atau Gugusan Brocchi atau Collinder 399.

Beliau juga menggambarkan Awan Magellan sebagai Al-Bakr, lembu jantan putih di selatan Arab yang mana ia tidak kelihatan dari utara Arab kerana latitudnya. Al-Sufi menyediakan carta langit daripada pemerhatiannya dan mengubah mengubah magnitudnya dengan cermat.

Bukunya, Kitab al-Kawatib al-Thabit al-Musawwar merupakan hasil karya yang unggul dalam astronomi stellar. Bukunya boleh didapati dalam Bahasa Arab dan diterjemah ke Bahasa Peranchis oleh Schjellerup dan dikatakan penting sehingga kini bagi kajian pergerakan dan kepelbagaian. Kerja-kerja Al-Sufi tidak diketahui di Eropah.

Pada masa penciptaan teleskop, Andromeda Nebula telah ditemui oleh Simon Marius pada 1612 menggunakan teleskop. Al-Sufi juga menjelaskan mengenai warna Sims (satu bintang) tidak berubah yang kemudian disahkan melalui pemerhatian.

Seneca melaporkan melihat Sirms berwarna merah di Rom, Ptolemy pula melihat warna kemerahan di Iskandariah dan Schmidt pada 1841 nampak warna putih selepas warna kuning beberapa hari sebelumnya. Warna yang berlainan dianggap hasil daripada perubahan cuaca dari satu tempat ke tempat lain.

Kawah Azophi

Oleh sebab sumbangannya yang besar dalam bidang astronomi, sebuah kawah di bulan dinamakan Kawah Azophi yang mempunyai diameter 47 kilometer dalam sembilan bahagian peta bulan dan terletak 22.1 selatan 12.7 timur. Bear dan Madler dalam tugasannya terkenal Der Mond pada 1837 menyebut kawasan permukaan bulan sempena nama al-Sufi (Azophi).



Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131203

Melancong bersyariat

PADA saat ini kita telah memasuki musim percutian. Saya pasti ramai yang telah ataupun tengah mempertimbangkan untuk keluar melancong bersama keluarga.

Seiring ekonomi yang membaik, minat melancong juga turut berkembang. Selain destinasi pelancongan negara, umat Islam ramai juga memilih bercuti ke luar negara.

Sebuah kajian tentang pasaran pelancongan global pada 2011 menunjukkan bahawa umat Islam membelanjakan USD126,076 juta untuk melancong. Dijangkakan jumlah ini terus bertambah dari tahun ke tahun.

Dengan aliran dana sebesar ini, pelancong Muslim sebenarnya memiliki kuasa tuntut yang tinggi. Sangat wajar jika meminta perkhidmatan yang patuh syariah. Dan kita tidak patut berasa takut menunjukkan identiti keislaman kita yang menjadikan takwa sebagai panduan.

Sebagaimana sabda Rasulullah: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada.” (riwayat al-Tirmizi)

Hukum melancong pada asalnya ialah harus. Namun ia boleh menjadi haram apabila aktiviti dan destinasi perlancongan itu berkaitan dengan perkara yang diharamkan. Tempat-tempat yang terkenal dengan aktiviti haram seperti judi, arak dan zina tidak patut dijadikan destinasi pelancongan Muslim.

Hukum percutian boleh menjadi sunat apabila aktiviti ini dapat meningkatkan iman.

Misalnya apabila pelancongan itu membawa kita untuk bertafakur tentang kekuasaan Allah SWT, memberi keinsafan dan pengajaran daripada umat-umat terdahulu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu. (al-Naml: 69)

Percutian juga bernilai pahala apabila dijadikan medium untuk menjalin kasih sayang suami-isteri atau mengeratkan tali silaturahim antara ahli keluarga.

Justeru, program percutian sedapat mungkin dirancang bukan untuk keseronokan belaka, akan tetapi untuk mencapai salah satu daripada objektif seperti di atas.

Memilih destinasi

Apabila memilih destinasi pelancongan, alangkah baiknya kita pastikan terlebih dahulu beberapa perkara untuk menjamin keselesaan bercuti keluarga Muslim.

Antara kemudahan yang mesti ada ialah khidmat makanan halal. Perkara ini sangat penting untuk dipastikan sebab makanan halal merupakan satu aspek terpenting dalam Islam.

Seorang Muslim tidak boleh memakan makanan haram melainkan apabila darurat. Dan tiada darurat dalam satu pelancongan yang bebas kita pilih destinasi dan pakej aktivitinya.

Lagi pula, pada hari ini makanan halal sangat mudah diperoleh di pelbagai belahan dunia.

Bukan hanya di negara-negara Islam, malah makanan halal dapat ditemukan di negera-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam seperti di Britain, Austria, Jerman dan lain-lain.

Selain itu, kita wajib memastikan tempat percutian tersebut menyediakan fasiliti ibadah yang selesa, terutamanya wuduk dan solat. Sebab solat tetap wajib dilaksanakan meskipun seorang Muslim sedang dalam melancong. Seorang musafir hanya diberikan keringanan jamak dan qasar solat, bukan menggugurkan kewajiban solat sama sekali.

Tidak disyaratkan destinasi pelancongan itu menyediakan tandas yang menyediakan air untuk beristinja. Sebab tisu kertas boleh digunakan sebagai ganti.

Namun jika ada kemudahan ini di sebuah destinasi pelancongan, ia menjadi satu nilai tambah yang sangat disukai.

Semua ini hanya beberapa hukum-hakam berkaitan pelancongan Muslim.



UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor . Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131203

Istiqamah dalam beribadah tingkat keimanan

Abdullah in Amru bin al-‘As berkata, “Rasulullah berkata kepada saya: Wahai Abdullah! Janganlah saudara menjadi seperti si fulan itu. Dulu beliau suka berdiri kerana sembahyang pada waktu malam, tetapi kini beliau meninggalkan sembahyang pada tengah malam itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Tidak dinafikan agak sukar untuk istiqamah dalam perkara baik dan kerana itu Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam supaya banyak bersabar menempuh dugaan terutama hasutan syaitan yang memang kerjanya menyesatkan manusia.


Rugi jika lalai jaga ibadah

Sementara itu, rugilah bagi yang sebelum ini menjaga ibadah mereka, tetapi akhirnya tewas dan lalai pula dalam usaha mendapatkan ganjaran baik serta keredaan Allah SWT. Sepatutnya iman mereka semakin meningkat.

Namun, itulah ujian perlu dihadapi hamba Allah SWT dan fitrah manusia, ada masa takwa mereka berada di tahap teratas dan ada kalanya, hati seperti malas untuk menunaikan kewajipan ditetapkan agama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang yang diberikan Kitab sebelum mereka, selepas orang itu melalui masa yang lanjut, hati mereka menjadi keras.” (Surah al-Hadid, ayat 16)

Umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan kitab diturunkan kepada Rasulnya, tetapi pada akhir usianya mula meninggalkan kewajipan ditetapkan. Alangkah ruginya kerana untuk meraih syurga Allah SWT memerlukan komitmen tinggi.

Justeru, berdoalah semoga kita sentiasa ditetapkan hati untuk melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah SWT serta terus istiqamah menunaikan ibadah kerana-Nya dan jangan sekali hati kita dibalikkan daripada mengingati Allah Yang Maha Esa.


Berita Harian Online Agama 04/12/2013

Masyarakat dunia perlu sokong nilai wasatiyah

Masyarakat dunia harus menyokong nilai wasatiyah atau kesederhanaan bagi memastikan kelangsungan kestabilan dunia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah membuktikan nilai itu sebagai yang terbaik bagi mengekalkan keamanan masyarakat serta perniagaan dan ia harus disokong dengan integrasi, saling menghormati dan persefahaman walaupun berlainan agama serta bangsa.


Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu yang ditubuhkan 67 tahun lalu sudah membuktikan wasatiyah bukan setakat memajukan negara dan membawa kemakmuran hanya untuk masyarakat Melayu, malah kepada bangsa dan agama lain, sejajar konsep kerjasama erat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kita bertanggungjawab mencari ruang untuk berkongsi dengan pihak lain dan menggunakan akal untuk mencipta keterbukaan,” katanya ketika menutup Forum Antarabangsa - Kesederhanaan Politik Ke Arah Keamanan dan Kestabilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di PWTC, semalam.

Forum dua hari itu dihadiri 121 peserta dari kalangan diplomat asing dan pemimpin politik dari 25 negara termasuk Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal; calon Presiden Indonesia mewakili GOLKAR, Aburizal Bakrie; bekas Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoka dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun.


Kadar pengangguran kekal rendah

Muhyiddin berkata, kesederhanaan politik diamalkan pemimpin BN berjaya mengatasi pelbagai cabaran dalam masyarakat dan ia diperkukuhkan dengan pelbagai transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Sejak ETP dilancarkan, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta pelaburan swasta sentiasa meningkat,” katanya sambil menambah, kejayaan transformasi ekonomi menyediakan persekitaran positif untuk pelabur asing terus menanam modal di Malaysia yang baru-baru ini diiktiraf antara 10 negara mesra perniagaan.

Beliau berkata, bagi mengekalkan keamanan, masyarakat dunia harus sentiasa berfikir ke arah menyediakan lapangan sama rata dan mencipta peluang untuk manusia mencapai impian tanpa mengira latar belakang ekonomi masing-masing.

Dengan memahami dan mengamalkan konsep berkenaan, katanya, umat Islam secara langsung tidak akan terbabit dalam fahaman radikal kerana agama suci itu mahu umatnya mengamalkan kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan.


Berita Harian Online Agama 04/12/2013