December 8th, 2013

Al-Quran sebagai panduan ummah sepanjang zaman

Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu sebagai panduan hidup manusia jika ia tidak benar-benar mempunyai tujuan yang tersendiri. Sudah menjadi sunnah kehidupan, manusia memerlukan panduan dan petunjuk dalam kehidupan mereka.

Begitu juga dengan penurunan al-Quran kepada manusia. Allah SWT dengan penuh hikmah dan tujuan tertentu untuk menjaga seluruh kepentingan manusia supaya mereka berada dalam keadaan terpimpin.


Inilah tujuan sebenar al-Quran yang menjadi rahmat dan petunjuk untuk seluruh manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu) dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita menggembirakan bagi orang Islam.” (Surah an-Nahl. ayat 16)


Al-Quran sebuah perlembagaan

Al-Quran sebagai sebuah perlembagaan utama bagi manusia yang menjadi pelengkap terhadap kehidupan beragama. Firman Allah SWT menggambarkan peranan al-Quran sebagai hidayah dan petunjuk.

Maknanya, al-Quran hadir sebagai jawapan dan penyelesaian bagi semua kemusykilan atau persoalan dulu, kini serta masa mendatang. Justeru, al-Quran wajar menjadi kitab yang didampingi setiap hari sebagai rujukan.

Kelebihan al-Quran terlalu banyak dan sewajarnya direbut umat Islam yang mengharapkan kehidupan baik bukan saja di dunia, juga akhirat. Malah, bagi hati yang sedang gusar, al-Quran adalah penawar terbaik buat mereka.

Al-Quran berperanan menjaga kehidupan individu beragama dari segi jiwa, hak pemilikan, hal berkaitan keaibannya, keharusan berkahwin, kebebasan bersuara serta berfikir. Semuanya untuk memperbaiki hidup manusia melalui prinsip dan batas syariah yang ditetapkan.

Selain memperbaiki kehidupan individu, al-Quran juga menjaga kehidupan bermasyarakat supaya sentiasa terpimpin. Tanpa batas yang dipandu al-Quran, masyarakat menjadi pincang dan boleh memberi mudarat besar kerana ia membabitkan kehidupan setiap manusia, bukan dirinya saja.

Petikan Ensiklopedia Al-Quran Berita Harian Online Agama 07/12/2013

Belas kasihan bukti kesempurnaan iman

Layanan baik bertimbang rasa sesama manusia suburkan perasaan rahmat

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)


Rasulullah SAW menganjurkan supaya setiap daripada umatnya menunjukkan belas kasihan dan menjadikannya sebagai satu bukti atas kesempurnaan iman seseorang. Kesannya, apabila bertemu sesiapa saja di hatinya terpendam rasa simpati dan perasaan hendak berbakti untuk melegakan kesempitan dan meringankan beban dipikul saudaranya.


Menjadi suatu kebiasaan jika seseorang itu senyum dan gembira apabila berjumpa kawan-kawannya atau bermanja dengan anak-anaknya. Walau bagaimanapun, Islam menuntut supaya setiap Muslim mempunyai rahmat lebih luas dan lebih besar daripada itu.

Sabda Rasulullah SAW: “Kamu tidak sekali-kali dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Sahabat berkata: Semua kita bersifat rahmat. Jawab Baginda: Bukan maksudku rahmatmu terhadap kawanmu, malah ia adalah rahmat kepada umum.” (Riwayat At-Tabrani)

Sifat rahmat bukanlah perasaan belas kasihan tanpa perkiraan, keadilan dan disiplin, malah ia sifat yang memelihara segala-gala hak itu. Memang kita rasa belas mendengar ada yang dihukum gantung, tetapi jika perbuatan jenayah tidak dibendung, lebih banyak kejadian buruk berlaku.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dalam kisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang yang berakal, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 179)

Sifat kekerasan dibenci

Sifat kekerasan yang dibenci dan dimurkai Allah SWT timbul daripada perasaan kasar yang tidak mengenal logik dan keadilan, ia adalah perasaan jahat dan keji yang mencari kepuasan dengan menyakiti orang lain.

Sedangkan rahmat adalah satu unsur daripada keindahan Allah SWT yang terletak pada tabiat manusia yang merindui kerja-kerja kebaikan dan tetap tenang di saat kesusahan melanda diri.

Daripada Ibnu Syihab, sesungguhnya Sa’id bin al-Musayyab menceritakan kepadanya, Abu Hurairah berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah membuat kasih sayang sebanyak 100 bahagian, lalu Allah memegang 99 bahagian dan menurunkan satu bahagian kasih sayang ke dunia, sehingga semua makhluk saling mengasihi, termasuk seekor binatang mengangkat kakinya kerana khuatir anaknya akan terpijak.” (Riwayat Muslim)

Seperti ilmu pengetahuan dapat menyuburkan akal, begitu juga perasaan rahmat dapat disuburkan dengan pelbagai cara. Islam mengingatkan ada golongan manusia yang sepatutnya diberi perhatian dan belas kasihan berlipat ganda antaranya belas kepada kaum kerabat serta saudara mara.

Maka menjadi kewajipan seorang Muslim menyempurnakan hak kewajipan terhadap kerabatnya dengan sentiasa mengukuhkan hubungan terutama hubungan dengan kedua-dua ibu bapa.

Pandangan rahmat untuk anak yatim

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata); Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah Al-Isra’, ayat 24)

Tidak harus bagi seorang Muslim menutup pintu hati dan pintu rumahnya kepada kaum kerabat serta saudara-mara, memutuskan hubungan atau tidak menghiraukan mereka ketika dilanda kesusahan dan kepayahan dalam hidup.

Antara kalangan orang yang harus diberi pandangan rahmat ialah anak yatim kerana berbuat baik kepada mereka boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Abu Hurairah menceritakan seorang lelaki mengadu mengenai hatinya yang keras lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sapulah kepala anak yatim dan berilah makan kepada fakir miskin.” (Riwayat At-Tabrani)

Sikap dan sifat yang buruk dapat diperbetulkan dengan menunjukkan belas kasihan kepada anak yatim. Hati akan menjadi keras jika seseorang berada dalam limpahan kemewahan, keseronokan dan hiburan.

Beri layanan baik

Mereka tidak akan mempedulikan keperitan hidup orang susah dan terlantar kerana kesenangan serta kemewahan membalut hati mereka dengan selaput yang menyebabkan mata hatinya tertutup untuk melihat penderitaan orang lain.

Rahmat juga seharusnya dihulurkan terhadap orang sakit dan kurang upaya. Mereka menghadapi kehidupan dengan serba kekurangan. Kesabaran menanggung kesakitannya menjadikan dia berdamping dengan Allah SWT dan layak mendapatkan rahmat-Nya.

Jika seorang mukmin terpijak duri dan kesakitannya dapat mengurangkan dosanya, apatah lagi orang yang kurus kering menanggung kesakitan yang dideritainya.

Bukti rahmat daripada seseorang terpancar apabila dia memberi layanan yang baik kepada orang bekerja di bawahnya, sentiasa bertimbang rasa apabila menyuruh mereka melakukan pekerjaan serta memaafkan mereka terhadap kesalahan kecil dilakukan.


Berita Harian Online Agama 07/12/2013

Antara curi tabung masjid dan jenayah kolar putih

ADAKAH sesetengah daripada kita sudah hilang perikemanusiaan dan sanggup membelasah orang yang lemah hingga menemui ajal? Adakah ini cara rejim Taliban yang kejam mempengaruhi kita dalam menangani masalah sosial?

Inilah yang barangkali bermain di fikiran kita apabila seorang remaja lelaki berusia 20 tahun maut dipukul Selasa lalu. Dia dibunuh kerana didakwa hendak mencuri duit tabung masjid di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Walaupun dia didakwa hendak mencuri duit tabung masjid tetapi ini memberikan imej buruk kepada Islam.

Perbuatan menghukum membabi buta bukan menunjukkan Islam tegas melarang umatnya mencuri, sebaliknya memberi gambaran salah seolah-olah Islam kejam dan tidak ada perikemanusiaan.

Seolah-olah dalam Islam tiada ruang budi bicara dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa oleh sesiapa sahaja atas nama membela kesucian Islam kerana mencuri duit masjid.

Sebenarnya ini tidak ada kena mengena dengan Islam walaupun dipukul hingga mati dalam kawasan masjid, tempat ibadat orang Islam. Sebaliknya mencalarkan imej Islam yang membuka luas ruang budi bicara dalam menangani kes-kes seperti ini.

Tulisan ini bukanlah membela orang yang mencuri. Tetapi pada masa sama kita kena melihat juga sudut lain terutama dari kompas kemanusiaan dan faktor yang mendorong perbuatan itu. Salah tetap salah tetapi salah juga ada tinggi dan rendahnya.

Tentulah suatu yang sangat kejam apabila seorang dipayung oleh undang-undang dibunuh sesuka hati oleh orang yang tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

Adakah kerana remaja ini bukan "siapa-siapa", maka dia menjadi tempat rakyat "psiko" melepaskan kemarahan terhadap sekian banyak "kecurian" yang tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak tertentu?

Memang benar remaja itu bukan "siapa-siapa", dia bukan anak orang berpengaruh yang barangkali boleh digunakan untuk menyelamatkan daripada dihukum.

Mengikut laporan, mangsa adalah anak yatim piatu yang telah lama kehilangan ayah dan lima bulan lalu ibunya pula meninggal dunia. Pada usia semuda itu dia kehilangan penunjuk arah dan kasih sayang daripada ibu dan ayah. Rakan mangsa memberitahu media, mangsa kemurungan selepas ibunya meninggal dunia.

Dia mungkin tercicir dari alam persekolahan, menjadi liar apa lagi tidak ada ayah dan ibu yang boleh membendung dirinya. Orang begini berhak mendapat bantuan tidak kira sama ada moral atau material daripada pihak tertentu, bukan dihukum mati.

Dalam sistem sosial di negara ini, kita mempunyai organisasi dan agensi untuk mengeluarkan rakyat daripada belenggu masalah sosial. Tentulah tidak adil untuk mempersoalkan sejauh manakah berkesannya agensi tertentu dalam menangani krisis sosial seperti remaja ini.

Walaupun negara ini khususnya Kuala Lumpur telah menjadi bandar raya maju yang dihuni oleh masyarakat moden tetapi nampaknya masih ada yang primitif, mengunakan undang-undang rimba siapa kuat dialah berkuasa.

Memanglah mencuri itu satu kesalahan. Tetapi kesan daripada perbuatan remaja ini sekiranya dia mencuri semua duit dalam tabung masjid itu sekalipun tidaklah memberi mudarat yang besar kepada orang ramai berbanding perbuatan yang sama tetapi saiz berbeza yang dilakukan oleh sesetengah golongan kolar putih.

Perbuatan "mencuri" oleh kolar putih termasuk yang beragama Islam, bukan sahaja memberi kerosakan kepada jiwanya malah menjejaskan seluruh sistem yang mempunyai hubungan dengan rakyat. Misalnya kerajaan menyediakan banyak peruntukkan bagi membantu rakyat tetapi kerana tiris di sana sini, tidak semua sampai kepada rakyat. Itu juga "mencuri" wang yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat. Tetapi caranya mungkin kelihatan mulia walaupun perbuatannya hina.

Tidak lama dulu sebuah video di Youtube memaparkan sengsara seekor kucing yang dipotong kedua-dua kakinya kerana mencuri ikan. Nampaknya remaja yang dibunuh ini senasib dengan kucing kerana dihukum oleh manusia yang hilang kemanusiaannya.



Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Online Rencana 20131208

Didik anak sejahtera dunia dan akhirat

KATA Imam al-Ghazali, "Yang singkat itu adalah waktu, yang menipu itu adalah dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu adalah amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah membuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering kita lupa adalah bersyukur." Cuba kita renung kata-kata hikmah ahli tasawuf ini, semua yang disentuhnya adalah perkara yang berlaku dalam hidup kita, sama ada secara kita sedari atau tidak?.

Waktu yang singkat selalu membataskan kita melaksanakan tanggungjawab kita dalam mendidik anak-anak dan berasa amat berat memikul amanah itu. Kita selalu menyerahkan anak, yakni amanah Allah itu di tangan orang lain. Cuba kita renungkan, berapa lamakah masa kita sebagai ibu bapa dihabiskan untuk anak-anak.

Oleh sebab itu, dalam waktu cuti sekolah yang panjang inilah, masa yang sepatutnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh ibu bapa, untuk mendidik anak-anak dengan sabar dan memberikan kasih sayang yang ikhlas. Hidup kita ini sejahtera kalau kita ikhlas, dan rasa keikhlasan itu datang dari hati. Sebab itu kita selalu mendengar orang berkata, "Apa-apa yang kita hendak buat mesti 'sampai ke hati', tidak pernah orang berkata 'sampai ke akal' dan itulah makna keikhlasan".

Keikhlasan sulit dilaksanakan bagi orang yang berpenyakit hati, (riak, sombong, menunjuk-nunjuk, dendam, marah dan takbur). Orang yang mempunyai anak mesti menjaga dirinya daripada memiliki sifat penyakit hati ini. Tanyalah kepada diri kita, "Kita hendak ada anak untuk apa? Adakah kita hendak ada anak supaya anak itu dijadikan saham akhirat untuk kita, yang akan mendoakan kita apabila kita meninggal dunia nanti, atau hanya untuk memberikan kebanggaan duniawi kepada kita, ibu bapanya?

Sesiapa yang sudah ada anak, marilah merenung kembali sikap kita terhadap amanah Allah ini. Sudahkah kita mendidik anak-anak kita dengan bekalan ilmu duniawi dan akhirat yang cukup? Seandainya, kita mati hari ini agak-agaknya, apakah yang kita boleh harapkan daripada anak-anak kita? Adakah kita hanya mengharapkan anak-anak kita boleh menolong kita meneruskan perniagaan kita sahaja? Kalau perniagaan kita menjurus ke arah perniagaan yang mengajak ke arah kebaikan dan menjauhkan daripada perkara mungkar, Alhamdulillah.

Tetapi, kalau perniagaan itu hanya untuk duniawi sahaja dan kita tidak mendidik kerohanian anak kita agar menjadi "pencen kubur" kita, tentu kita menjerit-jerit menangis di dalam kubur, mengharapkan doa daripada mereka, apabila kita meninggal dunia. Adakah kita mahukan, anak-anak yang kita tinggalkan dengan harta benda yang bersusah payah kita mencarinya semasa hidup kita itu, tidak memberikan apa-apa makna buat diri kita di sana.

Ada sembilan tip untuk mendidik anak yang sejahtera dunia dan akhirat. Pertama, dalam mendidik anak-anak gunakan bahasa yang memberatkan kepada timbangan dosa atau pahala; taat atau maksiat, Allah reda atau Allah murka. Sentiasa KPI kita berfikir tentang dosa pahala. Jangan asyik risaukan anak kita tidak mahu makan dan tidak mahu belajar, tetapi lebih-lebihkan risau tentang akidah dan ibadah anak-anak kita yang tidak mencukupi. Oleh itu berikan penekanan tentang akidah dan ibadah kepada mereka.

Kedua, betulkan dan jaga kualiti solat anak-anak kita. Sebab orang yang menjaga solat, dia menjaga waktunya. Apabila anak-anak bersolat, roh dan hati anak bersih. Oleh sebab itu senang mereka mendengar kata ibu bapa.

Ketiga, tunjukkan contoh yang baik. Kawal hati dan akal anak-anak agar tindakannya betul. Anak-anak akan "ikut" apa yang ibu bapanya "buat" dan bukan "dengar" apa yang ibu bapanya "cakap". Jika kita seorang ibu dan bapa yang baik dari segi akidah dan akhlak, anak kita akan membesar dengan ketakwaan dan mengikut apa yang kita amalkan dan lakukan.

Keempat, jangan marah anak tetapi nasihatkan anak. Jangan menghukum dan melabelkan serta mencerca anak dengan kata-kata yang kesat. Marah anak merosakkan imej diri anak. Tingkatkan imej diri anak dengan puji-pujian. Kalau sebelum ini kita suka berkeras dan memarahi anak, minta maaf kepada anak, tolong bertaubat serta ajak anak bertaubat dan sama-sama betulkan kesilapan diri. Orang yang bijak dia tidak akan menyalahkan orang tetapi dia melihat kesilapan diri sendiri.

Kelima, menjaga niat. Berapa orang daripada kita menjaga niat kita, hendak mendidik dan menjaga dengan baik kerana Allah, yakni memegang amanah Allah dengan sebaiknya. Orang yang bijak dia sentiasa menjaga niat dalam setiap kerja yang dilakukannya.

Keenam, pastikan siapakah kawan anak-anak kita? Anak kita akan pilih kawan yang sama dengan perangainya dan kita akan dapat apa yang kita buat kepada orang. Maknanya kalau anak-anak kita positif sikapnya, magnet positifnya itu akan menarik kawan-kawan yang positif sama sepertinya, dan demikianlah sebaliknya. Kalau kita membuat jahat kepada orang, kita akan mendapat balasan yang buruk juga daripada orang.

Ketujuh, kalau ibu bapa hendak memanjakan anak, dengan memberi mainan yang dimintanya, beritahu anak, bahawa dia berhak mendapat imbuhan itu kerana sebagai penghargaan kerana sikap baiknya yang menjaga hubungan dengan sesama manusia dan Allah. Maknanya anak-anak tahu dengan sebab dia baik serta menjaga akidah dan amalan ibadahnya, dia dapat balasan yang baik daripada ibu bapanya. "Fokus kepada akhirat dunia datang dengan sendiri," ajar selalu kepada anak konsep ini, supaya akan mendahului dan mencintai hal-hal akhirat.

Kelapan, jika ayah mendidik anak dengan tegas dan ibu pula mendidik anak dengan lembut, untuk mengelakkan anak-anak naik kepala atau keliru, ayah mesti beri tahu kepada anak, bukan dia tidak sayang anak sehingga dia memarahi anak, tetapi dia cuma marahkan perangai anak. Ibu pula mesti menjelaskan hal yang sama, yakni sama seperti ayah. Setiap kali ibu atau bapa membuat sesuatu kekasaran kepada anak, niatkan untuk mendidik bukan melepaskan kemarahan dan tekanan perasaan. Bukan menghukum anak, tetapi menegur anak.

Kesembilan, gunakan cara metafizikal. Sebelum tidur sedekahkan surah al-Fatihah kepada roh anak dan bayangkan anak kita berada di hadapan kita, dan kita cakap kepada anak apa yang kita hendak anak kita buat seperti yang kita harapkan.

Kualiti hidup kita bergantung kepada emosi kita. Emosi kita adalah di hati kita (minda bawah sedar atau minda segar). Berikhlas hatilah menjaga anak-anak di rumah, sebagai tanda kita bersyukur dengan anugerah besar Allah itu.

Jom fokus kepada apa yang kita ada, bukan fokus kepada apa yang kita tidak ada, insya-Allah dengan cara ini kita menjadi orang yang bersyukur. Sebenarnya emosi yang paling bagus dalam kehidupan manusia ini adalah bersyukur dan kasih sayang.

Kajian menunjukkan emosi yang paling besar di dunia ini adalah kasih sayang, jom marilah kita menyemarakkan kasih sayang seisi keluarga kita. Kualiti emosi kita bergantung kepada kualiti fokus kita. Maknanya kalau kita fokus kepada perkara yang membahagiakan kita, dan apabila kita boleh bersyukur maka emosi kita lebih kepada kesyukuran.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131208

Islam terzahir di Malaysia

Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang berakhir semalam cukup istimewa apabila turut dihadiri Imam Masjidil Haram atau dikenali dengan Imam Haramain iaitu Sheikh Dr. Khalid Ali Al-Ghamidi.

Sepanjang hampir seminggu berada di Malaysia, Sheikh Khalid serta rombongannya berpeluang melihat secara umum pelaksanaan syariat Islam di negara ini selain bertemu beberapa pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau turut diberi penghormatan menjadi imam dan khatib Jumaat di surau ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena perhimpunan itu.

Sebelum berangkat pulang ke Arab Saudi petang semalam, Sheikh Khalid bersama Profesor Akidah di Universiti Ummul Qura, Mekah, Lutfullah Khaujah meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu media tempatan untuk berkongsi pandangannya khususnya mengenai Islam di negara ini.

Berikut sedutan sidang akhbar beliau yang turut dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD.




Wartawan Mingguan Malaysia, Saifulizam Mohamad (kiri) dalam satu pertemuan Imam Besar Masjidil Haram Mekah Sheikh Dr. Khalid Ali (dua dari kanan) sambil di perhatikan oleh Kaunselor Islam di Kedutaan Arab Saudi di Malaysia Dr. Abdul Rahman M. Albellaihi (dua dari kiri), Prof. Aqidah Universiti Umul Qura Mekah Prof. Lutfullah Khaujah (tiga dari kiri) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, semalam.

APA pandangan Sheikh terhadap usaha kerajaan memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan Malaysia?

SHEIKH KHALID: Saya memuji tindakan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta semua kepimpinan kerajaan terhadap usaha itu. Ini merupakan tindakan sangat besar terutama sumbangan terhadap Islam. Ini adalah pertolongan daripada Allah SWT keatas mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini juga hidayah dan petunjuk daripada Allah kepada Presiden dan pucuk pimpinan parti secara khususnya dan negara secara umumnya. Dalam hadis yang panjang, Rasulullah SAW bersabda, "umat akan berpecah kepada 73 kelompok. Kesemuanya di dalam neraka kecuali satu sahaja. Rasulullah menyebut al-jamaah. Siapa jamaah ini? Rasulullah merujuk kepada 'apa yang aku dan para sahabatku berpijak dan berdiri di atasnya hari ini'. Ini juga merujuk kepada salafatul ummah iaitu generasi para sahabat diikuti tabiin dan tabiin-tabiin. Sudah tentu tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan ini akan memberi kesan yang sangat baik dalam konteks Malaysia dalam usaha menyelamatkan negara ini daripada ajaran-ajaran yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan moga-moga apa yang dilakukan ini dapat juga dilaksanakan di negara-negara lain.

LUFTULLAH: Dari segi istilah sunah itu bermaksud perbuatan, perkataan dan pengakuan Rasulullah SAW. Sesuatu yang datang daripada perbuatan, perkataan dan pengakuan Rasulullah maka itu adalah agama. Perkataan al-Jamaah pula merujuk kepada kumpulan yang mengikut sunah Rasulullah. Kumpulan yang mengikut sunah Rasulullah, pertama merujuk kepada kesemua sahabat nabi. Ringkasnya, al-Jamaah itu merujuk kepada perpaduan yang terbina atas asas sunah Rasulullah.

Adakah Perlembagaan Arab Saudi turut dimasukkan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

SHEIKH KHALID: Di Arab Saudi perkara itu termaktub. Di dalamnya ditulis atas asas manhaj salafussaleh. Salaf itu merujuk kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Walau bagaimanapun, situasi di negara kami berbeza dengan Malaysia. Arab Saudi merupakan tempat turunnya wahyu. Gerakan permulaan penubuhan negara kami adalah berasaskan al-Quran dan sunah. Ini berbeza dengan Malaysia dan negara-negara lain. Di negara-negara lain kemungkinan akan berlaku kekeliruan. Oleh itu, perlu ada satu usaha untuk menghilangkan kekeliruan tersebut antaranya dengan memasukkan perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Perlembagaan.

Pandangan Sheikh terhadap cara Islam dilaksanakan di Malaysia?

SHEIKH KHALID: Secara umumnya Islam itu terzahir dalam konteks Malaysia. Saya hargai kepimpinan negara ini dalam usaha mempertingkatkan lagi pelaksanaan syariat Islam negara ini secara berperingkat-peringkat. Segala sesuatu itu hendaklah dibuat secara berperingkat. Ini harapan saya.

Adakah tidak cukup pelaksanaan Islam sekiranya tidak dilaksanakan hukum hudud?

SHEIKH KHALID: Dalam tempoh 13 tahun di Mekah terdapat banyak perkara yang Rasulullah tidak sampaikan. Rasulullah tawaf di sekeliling Kaabah dalam keadaan Kaabah itu di sekelilingnya ada 360 berhala. Namun adakah ini bererti Nabi ketika itu tidak melaksanakan Islam, jawapannya tidak. Rasulullah melaksanakan syariat Islam secara berperingkat. Maka, kesannya itu lebih besar sehingga melahirkan insan-insan sempurna seperti para sahabat.

LUFTULLAH: Kita perlu sedar pada hari ini manusia jauh daripada agama. Apabila manusia jauh daripada agama, cara untuk kita memperbetulkan keadaan adalah dengan kembali seperti mana zaman Rasulullah ketika manusia jauh daripada agama. Syariat pada masa itu turun kepada Rasulullah secara berperingkat. Sebagai contoh pengharaman arak. Pengharaman itu berlaku secara berperingkat-peringkat. Pertama dikatakan arak ini ada kesan baik dan kesan buruk. Kemudian dikatakan orang yang minum arak tidak boleh bersolat dan akhirnya arak itu diharamkan sepenuhnya. Amalan agama perlu kepada peringkat demi peringkat.

Jika datang secara keras, datang secara kasar dan paksaan, tidak mustahil manusia akan meninggalkan agama kerana berasa berat dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Daripada kita tinggalkan semua, lebih baik ambil sedikit demi sedikit. Laksanakan secara berperingkat. Mudah-mudahan atau lama-kelamaan Islam akan dapat diamalkan secara keseluruhan. Islam itu bukan agama yang datang dalam bentuk paksaan dan kekasaran tetapi Islam itu datang memberikan penjelasan, mengajar, mendidik masyarakat dan rakyat.

Apakah nasihat Sheikh kepada pemimpin dan rakyat negara ini?

SHEIKH KHALID: Bertakwalah kepada Allah. Pemerintah hendaklah sentiasa melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat dan ummah. Sentiasalah berusaha untuk memperkasakan kedudukan Islam di dalam negara. Realisasikanlah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Malaysia. Pemimpin juga sudah tentu perlukan kepada kekuatan untuk menyempurnakan syariat Islam, insya-Allah secara keseluruhan pada satu hari nanti. Namun tidak dinafikan, mana mungkin kita boleh menemui manusia yang sempurna. Sudah tentu ada kelemahan dan kekurangan. Walau apa pun saya menghargai usaha-usaha kebaikan dilakukan oleh pemerintah pada hari ini.

Kepada rakyat, bertakwalah kepada Allah. Bantulah pemerintah dalam usaha-usaha kebaikan dan usaha-usaha memartabatkan Islam. Jangan sama sekali keluar daripada pemerintah iaitu menentang pemerintah dalam hal-hal kebajikan dan hal-hal pensyariatan Islam. Hendaklah bersama-sama dengan pemerintah dalam hal-hal tersebut. Realitinya kecenderungan rakyat Malaysia terhadap agama itu tinggi. Maka, perlu ada keseimbangan antara pemerintah dan rakyat. Jika pemerintah cenderung kepada agama sudah pasti rakyat juga akan cenderung kepada agama. Rakyat perlu menyokong pemerintah dalam pelaksanaan Islam dalam konteks Malaysia.

Semoga Allah memberkati rakyat Malaysia. Saya juga kagum dengan rakyat Malaysia dari segi sensitiviti dan kefahaman. Kerajaan Malaysia yang ada pada hari ini juga sensitif dengan isu-isu semasa yang berlaku dan sangat berusaha untuk memahami apa yang berlaku dalam konteks negara. Sedarlah, musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang untuk memecah-belahkan umat Islam secara khususnya. Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan atau kepentingan politik, apabila tiba isu untuk kita mendepani musuh-musuh Islam, perlu ada kesepakatan antara rakyat dan pemerintah. Kita perlu bersatu menghadapi mereka. Musuh-musuh Islam sentiasa mencari lompong serta ruang untuk memecah-belahkan golongan muslimin dan membawa penyelewengan kepada agama Islam.

Apa pandangan Sheikh mengenai fahaman Wahabi serta dakwaan solat Jumaat yang diimamkan oleh Sheikh semalam tidak sah?

SHEIKH KHALID: Sesungguhnya tiada istilah Wahabi dalam Islam. Ini satu pengistilahan yang disalahgunakan. Jika kita merujuk kembali di Arab Saudi, kami mengamalkan mazhab Hambali. Imam Ahmad Hambal merupakan Ahli Sunnah, Imam Shafie juga dalam kalangan Ahli Sunnah, begitu juga imam-imam yang lain.

Tiada satu perkara yang baharu pun sebaliknya kesemuanya berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Itu pegangan kerajaan Arab Saudi serta pegangan dan pendirian saya. Adapun Sheikh Muhammad Abdul Wahab yang disandarkan kepada perkataan Wahabi tidak mendatangkan perkara-perkara baharu pun. Sebaliknya apa yang didatangkan berasaskan kepada al-Quran dan sunah. Adapun Wahabi itu merupakan hal yang tidak benar. Solat Jumaat semalam, saya Ahli Sunnah, Perdana Menteri Ahli Sunnah dan kita semua Ahli Sunnah.

LUFULLAH: Umat Islam adalah umat yang satu. Agama kita satu, Nabi (Muhammad) kita satu. Kita semua mengikut jejak semua sahabat Rasulullah. Adapun wujudnya istilah-istilah seperti Wahabi merupakan perkataan baharu yang tidak pernah ada di dalam kamus dan diari. Sebenarnya apa yang berlaku ini merupakan kegembiraan bagi syaitan yang mana syaitan sangat suka kepada perpecahan golongan muslimin. Syaitan inginkan perpecahan. Sesungguhnya tidak dinafikan berlaku kekhilafan dalam masalah-masalah furuk tetapi masih banyak perkara yang boleh kita sepakat khususnya dalam berhadapan golongan yang jelas musuh-musuh Islam. Kita sepatutnya fokus kepada perkara-perkara yang kita sepakat. Bagi perkara-perkara yang khilaf kita berlapang dada dan saling menghormati antara satu sama lain.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131208