December 10th, 2013

Kedudukan tinggi ibu dan bapa

SABAN hari, banyak kes melibatkan anak dan ibu bapa disiarkan di dada akhbar. Sebelum ini negara digemparkan dengan kes anak memukul, mencuri harta ibu bapa,. Bahkan ada yang membunuh ibu bapa sendiri. Sukar dibayangkan seorang anak yang dahulu kecil tidak berdaya, dibesar dan didik oleh ibu bapa, akhirnya sanggup melakukan perbuatan yang keji terhadap mereka.

Islam amat meninggikan kedudukan ibu bapa sehingga perintah menghormati mereka tercatat di dalam al-Quran al-Karim sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

Islam menyuruh umatnya menghormati ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan mereka dari kecil sehinggalah dewasa. Hendaklah seorang anak itu menjaga tutur kata dengan ibu bapa.

Malah mengeluh dengan mengatakan “ah” sahaja tidak dibenarkan, apatah lagi meninggikan suara atau menengking mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra’: 23)

Dimuliakan

Demikianlah tingginya kedudukan ibu bapa di sisi Islam. Merekalah yang perlu dimuliakan selepas Allah dan Rasul-Nya. Jika mereka menyuruh untuk menyekutukan Allah SWT, maka tidak perlu taat kepada perintah mereka lagi, namun Islam masih menyuruh berbuat baik kepada mereka.

Firman Allah SWT: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Luqman: 25)

Kedudukan ibu tiga kali ganda lebih utama daripada ayah. Ini sesuai dengan pengorbanan seorang ibu menanggung kesusahan mengandung dan melahirkan seorang anak. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang kepada siapakah yang paling berhak dia berbakti. Baginda menjawab kepada ibu sehingga tiga kali kemudian yang keempatnya barulah kepada ayah. (riwayat Al-Bukhari)

HARAM menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam. Menderhaka kepada mereka termasuk dalam dosa-dosa besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian derhaka kepada ibu bapa. (riwayat Muslim no. 593)

Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: Mahukah kalian aku beritahu tentang dosa yang paling besar? Para sahabat menjawab, Ya. Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, membunuh orang dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa. (riwayat Al-Bukhari)

Antara perbuatan yang dilarang ialah mencela atau mengejek ibu bapa orang lain. Ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutama yang masih bersekolah. Mencela atau mengejek ibu bapa orang lain dianggap sama seperti mencela ibu bapa kandung mereka sendiri.

Baginda melarang perbuatan seperti ini kerana akan membawa kepada tabiat yang buruk dan tiada berkesudahan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara dosa besar adalah seorang mencela kedua orang tuanya. Para sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, Adakah seorang lelaki mencela orang tuanya? Beliau menjawab: Ya. Dia mencela bapa seseorang lalu orang tersebut (membalas) mencela bapanya, lalu dia mencela ibunya, lalu orang tersebut (membalas) mencela ibunya. (riwayat Muslim)

Umat Islam hendaklah menekankan didikan terhadap anak mereka mengenai adab terhadap ibu bapa sejak kecil lagi. Masalah derhaka kepada ibu bapa bukanlah sesuatu yang remeh. Sebaliknya ia hendaklah dibendung dengan menekankan aspek keagamaan seawal yang mungkin. Wallahua’lam.



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR dari Kuliyyah Islamiyyah ‘Alamiyyah Gombak, Pengajian Islam Kontemporari. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131210

Kelebihan masyaqqah

MASYAQQAH yang bererti kesukaran atau kesulitan. Maksudnya kesukaran yang dihadapi oleh mukalaf dalam melaksanakan tanggungjawab agama (taklif Ilahi). Orang Islam yang menghadapi masyaqqah diberi beberapa keringanan atau kelonggaran (rukhsah) dalam menyempurnakan tanggungjawab ibadah.

Masyaqqah boleh dibahagikan kepada tiga. Pertama, masyaqqah berat seperti sakit tenat yang boleh membawa kepada kematian. Orang yang menghadapi keadaan seumpama ini diberi kelonggaran dalam menunaikan ibadah. Contohnya ibadah puasa. Waktu ini bolehlah dia tidak berpuasa. Apabila dia berpuasa sehingga dia mati kerananya maka dia berdosa (al-Baqarah: 286 dan al-Taghabun: 16)

Kedua, masyaqqah ringan. Keadaan ini terserlahlah kepada orang yang berkenaan memilih di antara menggunakan rukhsah atau kelonggaran hukum yang diberi atau tidak.

Ketiga, masyaqqah biasa (masyaqqah mu’ataddah), iaitu masyaqqah yang terdapat dalam suruhan dan larangan Allah SWT. Masyaqqah sumpama ini masih dalam batas-batas keampunan dan kesanggupan (istitaah).

Amalan ibadah dalam Islam tidak bermaksud membuat kesukaran ketika melaksanakannya, kerana Allah SWT menghendaki kemudahan dalam melaksanakan taklifnya.

Allah SWT menegaskan dalam al-Quran melalui ayat-ayat yang mengatakan demikian (al-Baqarah: 185, 286, al-A’araf: 157 dan al-Haj: 78)



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131210

Gigih dalami al-Quran

SUDAH menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, subjek pendidikan Islam pertama yang diajar kepada anak-anak ialah membaca al-Quran. Perkara ini akan berterusan sehingga mereka khatam al-Quran bermula dengan mengajar membaca al-Quran samada melalui kaedah Iqra’, kaedah Qiraati, kaedah Baghdadi dan seterusnya membaca al-Quran. Setelah khatam Quran kebiasaanya mereka tidak lagi membaca di hadapan guru.

Berlainan dengan pendidikan al-Quran di Tanah Arab. Mereka membaca al-Quran dan mempelajarinya di peringkat rendah. Di peringkat menengah mereka terus mendalami ilmu bacaan al-Quran dengan bertalaqqi daripada guru. Realitinya, hukum-hakam tajwid mudah difahami dan dikuasai dengan sebutan yang tepat ketika dewasa.

Perjalanan hidup

Meneliti perjalanan hidup guru-guru al-Quran dan cabaran yang mereka hadapi dalam mendalami ilmu al-Quran boleh memberi semangat kepada kita. Seorang tokoh al-Quran yang bernama Abdul Rahman al-Yamani yang meninggal dunia pada 1050 Hijrah menerima pendidikan al-Quran daripada beberapa guru yang hebat pada zamannya. Guru yang banyak mencurahkan ilmu kepadanya ialah ayahnya sendiri.

Beliau membaca juzuk demi juzuk sehingga sampai kepada ayat 41 surah al-Nisa yang bermaksud: Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak) apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri manjadi saksi terhadap perbuatan mereka) dan Kami datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umat ini?

Selepas membaca ayat ini, ayahnya meninggal dunia. Namun beliau tidak patah semangat. Abdul Rahman al-Yamani meneruskan talaqqi al-Quran dengan memulakan surah al-Fatihah hingga khatam al-Quran kepada murid ayahnya iaitu al-Syihab Ahmad Ibnu Abdul Haq al-Sinbati.

Hakikatnya, kematian guru bukan penghalang untuk terus mencari ilmu. Cabaran seperti ini banyak hikmah bukannya menjadi penghalang untuk mereka menjadi ulama yang tersohor.

Talaqqi

Bagi Syeikh Qurra Mesir iaitu Syeikh Amir Uthman meninggal pada1988 di Madinah. Antara guru yang banyak berjasa kepadanya ialah Syeikh Ali Ibnu Abdul Rahman al-Subayyi’. Syeikh Amir membaca al-Quran di hadapannya secara talaqqi dari awal al-Quran hingga ke surah Hud, ayat 41 yang bermaksud: Dan ketika itu berkata lah Nabi Nuh kepada pengikut-pengikutnya yang beriman: Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata, Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya, sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Sampai ke ayat ini, gurunya Syeikh Subayyi’ meninggal dunia.

Syeikh Amir meneruskan talaqqi al-Quran dengan memulakan surah al-Fatihah kepada murid gurunya iaitu Syeikh Humam Qutb Abdul Hadi. Beliau juga talaqqi Qiraat Sepuluh sehingga berjaya khatam dan dianugerahkan sanad.

Saya membawa dua cerita berkaitan guru al-Quran yang tersohor menghadapi cabaran dengan kematian guru ketika talaqqi. Perkara ini tidak menjadi halangan kepada mereka untuk terus mendalami ilmu al-Quran. Bahkan mereka bangkit dan seterusnya menjadi pakar rujuk dalam bidang al-Quran.

Walaupun kita tidak mengenali susuk tubuh Syeikh Amir Uthman namun hasil didikannya berjaya melahirkan beberapa qari yang masyhur dan bacaan al-Quran mereka yang selalu kita dengar, seperti Syeikh Khalil al-Husari, Syeikh Mustafa Ismail, Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan lain-lain.

Membaca al-Quran dan mendalaminya perlu berterusan. Ia juga memerlukan guru yang mahir dan tidak memadai dengan seorang guru sahaja.


*DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131210

Teladan dari kisah ulama

AGAMA bukan hanya hukum dan ritual, akan tetapi juga akhlak. Tidak sempurna seorang Muslim sebelum ia menghiasi perilakunya dengan akhlak mulia.

Apabila akhlak terpisah daripada ilmu, lahirlah pelbagai fenomena yang sering kita lihat pada masa ini iaitu perdebatan yang tidak membuahkan apa-apa melainkan perpecahan dalam masyarakat.

Para ulama terdahulu memang berdebat. Namun perdebatan itu berasaskan ilmu dan dihiasi dengan adab sehingga membuahkan manfaat bagi generasi selanjutnya.

Mengikut para ulama, akhlak dapat kita pelajari melalui pengamatan. Justeru, kita dianjurkan untuk berdamping dengan orang soleh dan beradab. Pada masa orang seperti ini sangat jarang ditemui, membaca kisah ulama terdahulu menjadi satu alternatif yang boleh kita lakukan.

Berkata Imam Abu Hanifah: “Kisah-kisah yang menceritakan kehidupan dan akhlak para ulama lebih aku sukai daripada memperbanyak perbahasan fiqh. Sebab kisah-kisah seperti ini berisi pengajaran adab mereka.”

Bukan sekadar hiburan

Membaca kisah para ulama bukan hanya menghiburkan, malah memberikan manfaat yang sangat banyak. Ianya sangat kaya dengan pelbagai ilmu dan pengajaran. Berikut ini ialah beberapa manfaat di antaranya:

Ketenangan hati

Manfaat ini sangat jelas terasa. Setiap tulisan yang menyebutkan kisah ulama lebih menyentuh hati dibandingkan tulisan yang tidak memuatnya. Begitu juga ceramah dan tazkirah yang menceritakan kisah pada ulama.

Itu kerana rahmat diturunkan apabila kita berbincang tentang orang soleh untuk menjadi ikutan. Berkata Sufyan bin ‘Uyainah: “Apabila diceritakan kisah orang-orang yang soleh, maka turunlah rahmat.”

Seolah berziarah

Membaca kisah hidup seorang ulama terdahulu hakikatnya kita tengah melakukan “ziarah intelektual” kepada mereka. Jiwa kita berkenalan dengan jiwa mereka. Hati kita lalu terbuka untuk menerima nasihat-nasihat mereka.

Berkata Imam Ahmad bin Ali Al-Mayurqi: “Siapa yang membaca sejarah hidup seorang ulama seolah-olah ia tengah berziarah kepadanya.”

Imam Al-Nawawi berkata: “Mengenal para ulama adalah menjalin silaturahim kepada mereka. Pada hari kiamat, ia akan menjadi sebab untuk mendapatkan syafaat mereka.”

Meneguhkan hati

Dalam himpitan musibah, membaca kisah ketabahan ulama menjadi ubat bagi hati yang sedih dan terluka. Sikap mereka mengajarkan kita untuk menerima musibah itu dengan berlapang dada.

Berkata Junaid Al-Baghdadi: “Kisah ialah tentera Allah untuk meneguhkan hati hamba-hamba kesayangan-Nya.”

Seseorang bertanya: “Apa dalil ucapanmu ini?”

Junaid menjawab: Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan semua kisah rasul-rasul ini kami ceritakan kepadamu agar kami teguhkan dengannya hatimu. (Hud: 120)

Demikian antara manfaat membaca kisah-kisah para ulama. Mulalah membaca buku-buku seperti ini dan kongsikan dengan keluarga dan kenalan kita. Insya-Allah akhlak Islami akan tersebar dalam masyarakat.

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131210

Mesir miliki peradaban tertua

NADI kehidupan Mesir adalah Sungai Nil. Sejak dahulu Mesir menjadi titik strategik perjuangan pelbagai bangsa untuk menguasai dunia. Napoleon pernah berkata bahawa Mesir adalah negara terpenting di dunia.

Mesir memiliki sejarah panjang, mulai dari masa Firaun, khalifah hingga zaman republik. Kejayaan Mesir Kuno masih berdiri kukuh dengan peninggalan piramid serta Spinks. Pada masa itulah lahirnya Nabi Musa a.s.

Kini negara itu merupakan negara republik yang dalam bahasa Arab disebut Jumhuriyyah Misr al-Arabia.

Mesir bersempadan dengan Laut Merah (timur), Libya (barat), Laut Tengah (utara) dan Sudan (selatan). Majoriti penduduk Mesir ialah Badwi dan Nubia; berbahasa Arab dan beragama Islam (Sunni).

Islam masuk ke Mesir sejak zaman Khalifah Umar pada abad ke-7. Sumbangan dan penglibatan Mesir bagi tamadun Islam amat besar, khususnya di bidang ilmu dan pendidikan.

Mesir Kuno merupakan salah satu daripada peradaban tertua dunia. Sejak 4,000 tahun Sebelum Masihi (SM), Mesir telah memiliki peradaban tinggi sehingga menjadi penting dalam sejarah perkembangan Islam. Pada abad ketiga SM, peradaban Mesir mencapai kemajuan luar biasa. Ini terbukti daripada pembinaan piramid.

Piramid

Giza adalah piramid paling terkenal yang dibina bersama spinks, iaitu patung berbadan singa dan berkepala manusia. Piramid terdiri di atas ribuan blok batu, masing-masing sekitar 2 tan. Salah seorang Firaun terkenal adalah Ramsess II (1300-1234 SM). Nabi Musa a.s lahir pada masa Ramses II ini.

Besar kemungkinan bahawa Ramsess II (sumber lain: lahir, putera Ramsess II) inilah yang mengejar Nabi Musa serta Bani Israel ketika menuju Kanaan. Rombongan Musa berjaya menyeberangi Laut Merah dengan selamat. Sedangkan Firaun serta pasukannya tenggelam ditelan Laut Merah.

Nil, sungai terpanjang di dunia (6, 690km), berperanan penting bagi kehidupan Mesir. Nama Nil berasal daripada bahasa Mesir Kuno yang bererti air. Daripada kata tersebut muncullah kata nahal (Arab), neilos (Yunani) dan nilus (Latin) yang bererti air, sungai atau lembah.

Orang Mesir Kuno menyebut sungai ini sebagai Ar Kem, Kemi dan Aigyptos. Ekonomi Mesir amat tergantung pada Sungai Nil yang menunjang sektor pertanian, menghasilkan kapas, padi, sayur-sayuran, tebu dan buah-buahan.

Di daerah aliran sungai ini tumbuh papyrus yang dijadikan kertas pada zaman Mesir Kuno dan terbina banyak bangunan peninggalan masa silam seperti piramid.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131210