December 12th, 2013

Meratapi kematian perbuatan jahiliah

Hampir sebahagian besar kita pernah merasai kehilangan insan tersayang. Titisan air mata dan tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah sedikit sebanyak yang meredakan kepiluan.


Namun, umat Islam tidak boleh meratapi kematian iaitu menangis sehingga mengeluarkan suara keluhan dan katakata kesal atas apa yang berlaku.


Diriwayatkan daripada Anas, apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan Baginda menghembuskan nafas terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. Lalu Abdurrahman bin Auf bertanya: Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat. Kemudian Rasulullah SAW menyambung: Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim. (Muttafaq alaih)

Menangis keterlaluan haram

Perlu diingatkan bahawa meratapi serta menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang telah ditakdirkan Allah SWT adalah perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam.

Daripada Abdullah, Nabi SAW bersabda: Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah. (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Ada yang bersedia, ada tidak menduga, yang pasti tiada siapa gembira kerana pemergian mereka dikasihi adalah kepulangan hakiki dan tidak akan kembali ke dunia lagi. Kematian adalah penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh sementara menunggu dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.


Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya.

Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya. (Surah Ali-Imran, ayat 185)

Apabila mengetahui mengenai kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentu kita mendoakan roh si mati dicucuri rahmat serta keluarga dilimpahi pahala berganda selain digantikan dukacita dengan sebaik-baik hiburan.

Antara ucapan sering diucapkan ialah, Mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.

Berkongsi dukacita

Bukanlah sia-sia kepada orang yang turut berkongsi dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberikan ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Lebih baik dihadiahkan bacaan ayat al-Quran dan Yasin serta tahlil kepada arwah semoga Allah mengurniakan rahmat.

Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Orang yang bersabar menghadapi kematian sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT dan mendapat petunjuk-Nya daripada kesesatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah al- Baqarah, ayat 156-157)

Kematian sepatutnya telah cukup menjadi iktibar untuk kita sentiasa beringat mengenai kehidupan yang sementara cuma, tiada apa yang dibanggakan dengan kehidupan dunia, sebaliknya ibadah dan takwa merencanakan kebahagiaan di akhirat.

Bersyukurlah kita dengan apa yang ada, tidak riak, ingkar dengan perintahnya, berdoa serta bertawakal semoga kebahagiaan, kerahmatan dan keberkatannya sentiasa abadi dalam kehidupan kita.


Nik Salida Suhaila Berita Harian Online Agama 12/12/2013

Ketarasedar mampu tangani stres

JALAN sesak, terbangun lambat, ketip mesin perakam waktu dan menghadiri mesyuarat merupakan rutin harian setiap daripada kita yang boleh membawa kepada stres atau tekanan. Malahan stres tidak mengenal usia, pangkat, bangsa, kaum dan agama. Mereka yang berkerjaya dikatakan mengalami stres dua kali ganda kerana perlu membahagikan dua tanggungjawab.

Menghampiri penghujung 2013, semakin banyak laporan organisasi yang perlu disiapkan mengikut tarikh akhir yang diberikan. Pada masa yang sama anak-anak telah mula bercuti dan mengajak ibu bapa mereka beriadah di tempat-tempat pilihan peranginan. Kesemua ini menambah lagi tahap stres dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pernahkah anda mendengar teknik ketarasedar mampu menangani masalah stres ini? Bagi membantu orang ramai di luar sana, Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI), baru-baru ini telah menganjurkan bengkel Menangani Stres: Teknik Ketarasedar di Kota Kinabalu, Sabah.

Seramai 35 orang peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari sektor kerajaan dan swasta telah mengikuti bengkel tersebut.

Topik ketarasedar mula diperkenal oleh Institut Kefahama Islam Malaysia (IKIM) pada 2008. Sejak itu, beberapa seminar dan bengkel mengenai perkara ini telah dianjurkan dan terkini, teknik ketarasedar telah digunakan sebagai salah satu cara untuk menangani stres. Melalui teknik ini, para peserta diajar menggunakan sepenuhnya minda, pancaindera, emosi dan alam persekitaran dalam menangani stres.

Walaupun program ini merupakan satu proses untuk berkongsi mengenai cara mengurus stres dengan para peserta, namun belum Modul 1 bermula, para peserta dan urusetia telah diuji dengan satu keadaan yang menimbulkan stres.

Betapa tidak, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, 14 bagasi kumpulan ini, tidak mendarat sama.

Maka, bermulalah pelbagai persoalan yang menimbulkan stres di kalangan ahli kumpulan terbabit. Persoalan ini pula menimbulkan pelbagai reaksi seperti resah gelisah, marah dan hilang kesabaran.

Begitu pun, dengan profesionalisme yang ada pihak urusetia, para peserta dapat ditenangkan dan program diteruskan mengikut jadual. Secara tidak langsung, para peserta telah mendapatkan pelajaran pertama mengenai pengurusan stres iaitu, dalam keadaan stres kita perlu bertenang supaya punca stres dapat dikenal pasti dan penyelesaian terbaik dapat dicari.

Dalam Modul 1 yang bertajuk, Menangani Stres: Teknik Ketarasedar yang disampaikan Pengarah PPLI, Siti Fatimah Abdul Rahman, menjelaskan ketarasedar atau mindfulness adalah satu keadaan di mana wujud kesedaran yang penuh dalam diri individu.

Individu tersebut pula sedar dan tahu apa yang dilakukannya. Kenapa dia melakukannya dan kesan daripada perbuatan tersebut. Hanya apabila seseorang individu itu telah memikirkan kesemua faktor tersebut, barulah dia boleh membuat keputusan atau tindakan yang terbaik.

Ketiadaan ketarasedar akan menyebabkan kita menghadapi masalah apabila ditimpa stres dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Lebih teruk lagi apabila stres menjejaskan kehidupan seharian dan produktiviti di tempat kerja.

Sejauh mana stres akan menjejaskan kehidupan seseorang individu itu bergantung kepada cara ia berfikir, personaliti, emosi dan gaya hidupnya. Teknik ketarasedar menuntut seseorang individu untuk sedar dan faham mengapa ia melakukan sesuatu perkara.

Lima modul lain yang telah dikongsi dengan para peserta bengkel Menangani Stres: Teknik Ketarasedar di Kota Kinabalu, baru-baru ini ialah Teknik Ketarasedar: Penggunaan Deria dan Pernafasan oleh Felo PPLI , Zarita Kassim. Manakala modul Teknik Ketarasedar: Jiwa dan Rasa dan Sesi Praktikal: Terapi Jiwa dan Rasa dikendalikan oleh pakar motivasi, Idzhar Jumali.

Pada hari kedua, para peserta telah dibawa ke Pulau Manukan bagi sesi terapi jiwa dan rasa.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk berkongsi cara menangani stres melalui interaksi dengan alam semula jadi ciptaan Allah SWT.

Untuk ke pulau ini, sekali lagi para peserta didedahkan dengan keadaan yang menimbulkan stres.

Menaiki bot laju menempuh ombak besar Laut Cina Selatan mungkin merupakan pengalaman yang menyeronokkan bagi sesetengah orang, tetapi mungkin mencemaskan bagi yang lain.

Dalam keadaan sebahagian peserta menikmati perjalanan dengan bot laju itu dengan penuh keterujaan, sebahagian yang lain sedang menguasai rasa takut, cemas dan gementar dengan pengalaman tersebut.

Namun, semua resah gelisah itu terubat apabila kaki memijak ke bumi Pulau Manukan yang cantik dan indah. Di pulau itu, para peserta didedahkan dengan cara untuk menikmati alam dan bagaimana ia boleh memberi ketenangan dan mengurangkan stres yang dialami.

Salah seorang peserta yang juga adalah Pembantu Tadbir di Jabatan Kerja Raya, Esther Jaumi mengakui sebagai peserta bukan Islam beliau gembira kerana bengkel tersebut telah mendedahkannya kepada teknik mengatasi stres. Di samping itu, beliau juga mulai sedar mengenai peranan agama dalam membantu individu untuk menghadapi tekanan, baik di tempat kerja mahupun dalam kehidupan seharian.

Peserta dari Sabah, Rais Rajjing menyuarakan kegembiraannya kerana bengkel itu berjaya mengupas tajuk dengan baik sekali dan beliau akan berkongsi ilmu itu dengan warga kerja di organisasinya.

Sama ada sebagai individu, ibu, bapa atau pekerja, terdapat pelbagai cara untuk kita menangani stres. Antaranya memperbanyakkan membaca al-Quran, kitab agama, solat, zikir, beriadah dan bersukan, berkongsi masalah dengan orang lain dan bercuti bersama keluarga. Pokoknya, untuk menangani stres, kita perlu terima dengan reda akan semua yang berlaku dan dari situ, carilah jalan penyelesaiannya.

Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131212