December 13th, 2013

Khutbah Jumaat: Usah anggap zakat bantuan seumur hidup

Zakat, salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan setelah cukup syarat-syaratnya. Seorang Muslim yang sempurna segala syarat-syarat wajibnya, tetapi masih enggan dan gagal menunaikan ibadah zakat diancam oleh Allah SWT dengan ancaman yang keras.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah al-Taubah, ayat 34-35)


Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi menyatakan, ayat ini memberikan ancaman keras kepada mereka yang tidak membayar zakat atas sebab dua perbuatan keji dalam menguruskan harta iaitu perbuatan menyimpannya dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah.

Orang yang tidak membayar zakat hakikatnya dia tidak membelanjakan hartanya pada jalan Allah. Lazimnya, pada penghujung tahun, ramai mengambil kesempatan menunaikan tanggungjawab membayar zakat.

Peningkatan kutipan zakat

Ini terbukti dengan peningkatan jumlah kutipan zakat yang mendadak oleh pusat kutipan zakat di seluruh negara pada Disember setiap tahun berbanding bulan lain. Ini menunjukkan kesedaran umat Islam menunaikan zakat dan petanda kehidupan masyarakat bertambah baik.

Malah kenyataan ini selari dengan makna zakat iaitu tumbuh, bersih, suci, berkembang lagi diberkati. Justeru, tidak hairanlah jika terdapat perniagaan milik individu Muslim yang kurang berjaya, berubah menjadi semakin maju dan berkembang hasil kepatuhan membayar zakat.

Umat Islam diingat supaya jangan terlalu boros dan bakhil. Titik antara keduanya adalah kesederhanaan yang dituntut yakni pemurah. Yakinlah, dengan lebihan wang yang disumbangkan pasti boleh menyuburkan kasih sayang dan ikatan positif sesama insan.

Jangan pula kedekut untuk memeriahkan hubungan persaudaraan. Percayalah, bukan harta atau wang ringgit yang mempertautkan kasih sayang, tetapi hati yang jujur dan ikhlas. Sebarkanlah kefahaman dan penghayatan hikmah zakat yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Natijahnya, agihan zakat kepada golongan asnaf juga akan bertambah. Secara tidak langsung menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan ummah sejagat.

Hari ini pembayaran zakat boleh ditunaikan dengan begitu mudah dan cepat. Selain dibayar melalui kaunter bayaran di pejabat kutipan zakat, pembayaran juga boleh dilakukan melalui sistem online bank, ATM, SMS dan perkhidmatan kaunter bergerak.

Transformasi tingkat kesedaran

Bagi penjawat awam dan pekerja swasta, boleh dibuat melalui sistem potongan gaji berjadual dengan mengisi borang khas yang disediakan pusat kutipan zakat negeri masing-masing. Transformasi ini telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan kewajipan zakat.

Melalui kemudahan yang ada ini, tiada lagi alasan bagi sesiapa saja yang telah memenuhi syarat berzakat untuk tidak menunaikannya. Sempurnakanlah kewajipan dan tanggungjawab agama ini sebelum terlambat dan menyesal di kemudian hari.

Kesedaran, kesungguhan serta keikhlasan pembayar zakat perlu dihargai. Harapan mereka ialah supaya wang zakat disalurkan kepada asnaf yang benar-benar layak dan berhak terutama kepada golongan asnaf fakir dan miskin.

Kita yakin dan percaya Majlis Agama Islam Negeri mengambil berat dan sentiasa memandang serius supaya penerima bantuan zakat yang layak tidak tercicir. Walau bagaimanapun, kerjasama dan keprihatinan kepimpinan masyarakat setempat diharapkan untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan benar mengenai asnaf yang perlu dibantu.

Bukan bantuan seumur hidup

Sementara itu, golongan asnaf perlu sedar bahawa bantuan zakat yang diterima bukanlah bantuan seumur hidup sehingga menjadikan golongan ini malas berusaha dan hanya mengharapkan bantuan orang lain.

Mereka mesti berusaha sedaya upaya untuk membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan dengan bekerja mencari rezeki halal bagi menyara kehidupan. Apabila hal ini dapat dilakukan, bantuan khusus secara berkala kepada golongan miskin tegar dapat diminimumkan.

Hasil kutipan zakat boleh dimanfaatkan untuk keperluan menjana potensi pembangunan ummah secara kolektif misalnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan lain-lain.

Sehubungan itu, semua pihak terutama pentadbir zakat, ulama dan ahli akademik perlu terus duduk semeja berbincang dengan lebih terperinci bagi menghasilkan suatu dimensi baharu agihan zakat di Malaysia.


Berita Harian Online Agama 13/12/2013

Menerokai surah al-Quran

SEPANJANG tempoh cuti sekolah ini, ramai kanak-kanak menghabiskan masa lapang mereka dengan menonton rancangan televisyen dan tidak kurang pula melayari laman sosial selain permainan video.

Malah terdapat juga dalam kalangan mereka mengambil kesempatan lepak di pusat membeli-belah lalu menyebabkan elemen negatif menguasai jiwa golongan muda pada hari ini sehingga menaikkan kadar indeks jenayah negara.

Sehubungan itu, penyelesaian terbaik masalah itu adalah penerapan pendidikan agama seperti mana digariskan menerusi al-Quran dan al-Sunnah.

Oleh demikian, bagi mengisi ruang itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah buku bertajuk X-Plorasi Surah-Surah Al-Quran berbentuk permainan asah minda kreatif.

Buku itu sarat dengan permainan dan soalan-soalan menguji minda tetapi disampaikan dalam bentuk sangat krearif dan mampu menghiburkan pembaca dengan cara seorang ilmuwan al-Quran.

Permainan asah minda yang disediakan mampu meningkatkan kepintaran pembaca khasnya anak-anak sekali gus memberikan daya ingatan yang kuat tentang surah-surah terdapat dalam al-Quran.

Bukan sahaja permainan, tetapi karya Muhammad Luqman Makhtar menawarkan petua dan cara-cara menghafal al-Quran yang tidak membosankan dengan para pembaca perlu menjawab soalan-soalan yang diutarakan dengan cara lebih kreatif dan menghiburkan.

Sesuai dijadikan bacaan untuk setiap lapisan masyarakat khususnya para kanak-kanak ketika waktu cuti persekolahan ini dalam mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah khususnya menerusi pendidikan agama.

Dengan harga RM10, buku setebal 523 muka surat itu boleh didapati di pasaran berhampiran anda atau boleh menghubungi Telaga Biru selaku penerbit menerusi talian 0362754070 untuk maklumat lanjut.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131213

Kelayakan janda dan anak yatim

ISU anak-anak yatim yang terbiar, ibu tunggal dan warga emas yang tidak terbela banyak dimainkan di media sosial dan media massa. Oleh itu, saya ingin mendapatkan kejelasan daripada pihak ustaz, kenapakah masih ramai dalam kalangan armalah (ibu tunggal), warga emas, anak-anak yatim dan orang-orang yang sebatang kara yang tidak disantuni dengan wang zakat di negara ini? Harap pencerahannya.

Jawapan:

Alhamdulillah, diucapkan terima kasih dan tahniah di atas keprihatinan saudara dalam mengikuti isu dan perkembangan semasa. Tidak dinafikan, memang ada kes warga emas yang diabaikan dan anak-anak yatim yang diambil kesempatan di mana-mana. Namun persoalannya, adakah benar mereka ini asnaf zakat dan semuanya layak mendapat zakat?

Oleh itu, moga-moga juga jawapan yang saya sajikan ini mampu memberikan sedikit pencerahan dan kejelasan terhadap kekeliruan dalam memahami siapakah yang disebut sebagai asnaf atau mustahiq (mereka yang berhak) ke atas zakat, sebagaimana yang sepatutnya, sesuai dengan apa yang dikehendaki di dalam ajaran Islam itu sendiri, insya-Allah.

Sebelum itu, suka dinyatakan di sini bahawa memahami siapakah yang dianggap mustahiq atau asnaf zakat itu adalah amat penting. Ini kerana, dengan memahami siapakah asnaf, maka ia dapat mengelakkan masyarakat awam daripada membuat kenyataan yang salah dek kerana tanggapan yang salah.

Tidak disangkal, memang ramai orang awam yang telah memberikan komen dan teguran, kenapakah pihak institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak memberikan perhatian yang lebih kepada kalangan insan istimewa seperti di atas. Mereka menyatakan, ibu tunggal dan anak-anak yatim sepatutnya diberikan wang zakat, kerana status mereka tersebut.

Hakikatnya, ramai umat Islam yang gagal memahami bahawa wang atau harta zakat bukanlah boleh disalurkan mengikut sekehendak hati kita. Ini kerana, di sana sudah ada asnaf atau mustahiq yang wajib dipatuhi dalam pengagihannya. Sebab itulah, bagi orang yang memahami hukum zakat, maka mereka sedar, tugas mengagihkan zakat kepada mustahiqnya adalah jauh lebih sukar berbanding mengutip zakat.

Ini kerana, sebelum wang zakat itu boleh diberikan kepada mereka yang mengaku dirinya asnaf zakat, maka mereka hendaklah dipastikan terlebih dahulu memang benar-benar merupakan asnaf yang layak di sisi syarak. Kelalaian sehingga menimbulkan kegagalan dalam mengenal pasti kelayakan itu, boleh menyebabkan wang zakat tersalah sasarannya. Maka kesalahannya akan terbeban di bahu para amil zakat.

Hal ini bukanlah sesuatu yang enak untuk dipikul, kerana hakikatnya ia akan menyebabkan para amil akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak. Anas bin Malik r.a meriwayatkan perihal seorang lelaki telah mendatangi Nabi Muhammad SAW dan menanyakan kepada baginda, apakah dikira masih terhutang zakatnya kepada Allah SWT, seandainya pihak yang menguruskan zakatnya gagal berlaku amanah atau menyeleweng?

Lalu Nabi menyatakan, dia tidak akan menanggung sebarang hutang zakat kepada Allah SW, kerana kegagalan itu bukan salahnya, tetapi ia akan dipertanggungjawabkan kepada mereka yang telah menyelewengkannya. Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad.

Maka, menjadi kewajipan kepada LZS misalnya, untuk wajib berusaha memastikan hanya mereka yang benar-benar berstatus asnaf atau mustahiq yang berhak mendapat haknya di sisi zakat dan disantuni dengan sewajarnya. Ertinya, zakat tidak mengira status, tidak semestinya ibu tunggal, anak yatim dan orang tua itu mesti diberikan zakat, kerana tidak semestinya mereka itu sudah termasuk ke dalam kelompok asnaf yang lapan.

Hal ini bersandarkan kepada sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Qabishah bin Muharik al-Hilali, iaitu Nabi SAW pernah memberitahu kepadanya: Wahai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (haram), kecuali untuk tiga golongan (dan salah satunya, orang yang ditimpa kemiskinan, (dan disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin), maka orang itu boleh meminta-minta, sampai dia memperoleh sumber penghidupan yang layak bagi dirinya. Selain daripada tiga golongan itu, haram baginya meminta-minta, dan haram pula baginya memakan hasil meminta-minta itu. (riwayat Imam Muslim)

Nota: Jawapan disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan boleh diemailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my/ untuk maklumat lanjut.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131213

Berita gembira daripada Allah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar. (Taubah: 20-22)

Ibnu Jarir berkata: Orang yang beriman membenarkan dengan tauhidnya. Berhijrah dan berjihad menentang orang Musyrikin pada agama Allah dengan harta benda dan jiwa mereka. Itulah sebesar-besar darjat dan setinggi-tinggi kedudukan berbanding dengan hanya pemberi minum bakal haji, pemakmur Masjidil Haram daripada kalangan Musyrikin.

Sayyid Quthub berkata: “Selepas pengumuman pemutusan hubungan dengan kaum Musyrikin, maka tidak ada apa-apa keuzuran dan alasan lagi bagi mereka yang tidak mahu berperang dengan kaum Musyrikin. Begitu juga di sana tidak ada sebab yang membuat mereka teragak-agak untuk menafikan kaum Musyrikin daripada mengunjungi Baitullah dan mengimarahkannya walaupun kerja-kerja ini telah dilakukan oleh kaum Musyrikin pada zaman Jahiliah.

Di sini rangkaian ayat-ayat ini menolak kaum Musyrikin sebagai golongan manusia yang berhak mengimarahkan rumah-rumah Allah, kerana hak ini adalah khusus untuk mereka yang beriman kepada Allah dan melaksanakan segala tugas-tugas yang diwajibkan ke atas mereka. Pengendalian kaum Musyrikin mengimarahkan Baitullah di zaman Jahiliah dan menguruskan bekalan air kepada jamaah haji tidak dapat mengubahkan dasar ini.

Ayat ini menghadapi perasaan-perasaan yang tidak sihat yang berkecamuk di dalam hati sesetengah Muslimin yang belum mempunyai pandangan yang terang terhadap dasar agama.”

Penulis merasa terpanggil untuk membincangkan sedikit berkaitan pembahagian hijrah. Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah membahagikan hijrah kepada beberapa jenis. Ini yang dinyatakan oleh Ibnu Daqiq al-‘Id iaitu nama perkataan hijrah diberi kepada beberapa bahagian atau perkara:

Hijrah pertama ke Habsyah ketika golongan kufar menyakiti para sahabat.

Hijrah kedua dari Mekah ke Madinah.

Hijrah ketiga iaitu hijrah pelbagai kabilah dan kaum kepada Nabi SAW untuk mempelajari hukum syarak. Kemudian mereka pulang ke halaman masing-masing dan mengajar kaum mereka sendiri.

Hijrah keempat iaitu hijrah siapa yang memeluk Islam di kalangan penduduk Mekah datang mengunjungi Nabi SAW kemudian pulang semula ke Mekah.

Hijrah kelima iaitu sesiapa yang berhijrah daripada segala larangan Allah. (Lihat Ihkam al-Ahkam 1/11)

Sementara itu, Ibnu al-Qayyim menyebut Hijrah terbahagi kepada dua:

Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.

Hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah kepada cinta kepada-Nya. Daripada ubudiyyah selain-Nya kepada ubudiyyah Allah. (Lihat al-Risalah al-Tabukiah hal. 24-25)



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara Agama 20131213

Didik hati jaga lidah

MENDIDIK hati adalah pendidikan diri yang paling penting dalam kehidupan setiap manusia. Kalangan orang tua-tua dahulu selalu menasihatkan generasi sesudahnya agar didik hati supaya sentiasa istiqamah dan berbudi bahasa. Pendidikan hati dengan keimanan dan ketakwaan akan menjurus kepada kesederhanaan dan keinsafan.

Hati yang baik akan menjauhi segala dosa terutama yang melibatkan perkataan dan perbuatan. Justeru, kalangan remaja masa kini sewajarnya mendidik hati supaya segala tindak-tanduk kita sentiasa terpelihara dan tidak dimurkai Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: “ Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah maka Allah akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan, maka Allah akan merahsiakannya, maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya (terang-terangan).” (riwayat Al Hakim)

Justeru, taubat, istighfar, zikrullah, tilawatil Quran, solat fardu dan nawafil serta amal soleh yang lain merupakan kunci yang terbaik ke arah mendidik dan membentuk hati, perasaan dan jiwa ke arah menjadi Mukmin yang mendapat hidayah, keampunan dan rahmat Allah SWT.

Hati dikatakan tempat bertapaknya segala hasad dengki, sombong, bakhil, riak, munafik (nifak), bangga diri (ujub), putus asa, cintakan dunia, perasaan dukacita, mengikut hawa nafsu, buruk sangka, enggan bertaubat daripada dosa, benci sesama Muslim, kufur terhadap Allah, tidak menyedari kejahilan diri, malas melaksanakan ibadah, ragu-ragu terhadap kebenaran ajaran Islam bermula.

Semua sifat ini bermula daripada hati. Kemudian memantulkan kepada percakapan dan perbuatan. Islam melarang keras semua perasaan ini wujud di hati kita kerana ia merupakan dosa hati yang boleh membinasakan diri dan dibenci oleh Allah SWT dan rasul-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: Adakah patut mereka dengki kepada manusia atau nikmat yang Allah berikan kepada mereka daripada kurnia-Nya. (an-Nisa: 54)

Menurut Imam al-Ghazali tujuh perkara yang tercela yang boleh merosakkan diri sendiri. Antaranya; suka kepada permusuhan, merasakan kemuliaan diri, takbur, mengagumi diri sendiri, takut hilang cita-cita yang diinginkan, suka menjadi ketua dan jiwanya jahat dan kikir.

Oleh itu, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat perlu ditekankan kembali melalui didikan hati di rumah dan di sekolah. Melalui pendidikan hati akan menjadikan budi bahasa lebih terpuji dan berfikir sebelum sesuatu perbuatan yang dilakukan.

Lantaran itu, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang soleh Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)

Ini akan menjadikan kehidupan dalam masyarakat lebih tenteram dan tidak akan berlaku perbuatan yang menjurus kepada kesombongan, hasad dengki, riak, cintakan dunia dan bangga terhadap kelulusan, rupa paras serta kedudukan.



DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131213