December 17th, 2013

Musibah, kesenangan ujian bagi Mukmin

Golongan beriman reda hadapi kesedihan dan bersyukur dilimpahi rahmat

Kehidupan setiap manusia tidak dapat lari daripada sebarang ujian mahupun dugaan. Inilah lumrah perjalanan kehidupan yang perlu dilalui dan ditempuhinya. Kehidupan ini ibarat roda yang berputar, ada kala seseorang itu mampu berada di atas dan apabila tiba masa tidak mustahil dia akan rebah dengan segala ujian di dunia. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud: “Dan begitulah hari-hari (kegembiraan dan kesedihan) yang telah kami silih-gantikan dalam kalangan manusia.” (Surah Ali Imran: 140).


Sesungguhnya kehidupan orang yang beriman tidak sunyi daripada dugaan Allah SWT. Malah barangkali ujian yang datang ini akan sentiasa ditempuhinya. Namun beliau tahu segala ujian ini adalah daripada Allah untuk melihat tahap keimanan di dalam jiwanya. Beliau tahu bahawa kekuatan iman itu akan bertambah melalui kesabaran dan kebergantungannya kepada Allah. Malah Allah tidak akan sama sekali membiarkan seseorang hamba-Nya itu mendabik dada dengan menzahirkan keimanan tanpa sebarang ujian. Apabila datang ujian dunia dan dia mampu menghadapinya dengan iman di dada, maka ketahuilah bahawa imannya kepada Allah SWT telah menjadi lebih kuat dan kental. Firman Allah SWT bermaksud: “Adakah manusia itu menjangka bahawa mereka akan dibiarkan untuk berkata kami beriman sedangkan mereka masih belum diuji?” (Surah al-‘Ankabut: 2).



Kemewahan dunia buat manusia leka

Ada pelbagai ujian dan rintangan yang akan dilalui oleh setiap manusia. Tiada siapa boleh menjamin bahawa kehidupan mereka akan sentiasa ceria dan bahagia. Kekayaan yang disangkakan oleh manusia mampu memberikan kebahagiaan sudah tidak sama sekali mampu memenuhi kehendak hatinya. Malah acap kali kemewahan dunia yang menyebabkan manusia leka, malah hidup mereka semakin tertekan dan amat jauh daripada kebahagiaan yang diharapkan. Walaupun makanannya sedap, pakaiannya cantik, rumahnya besar dan keretanya mewah, namun selalunya bukanlah itu penyebab kebahagiaan. Malah kadangkala kemewahan ini memberi tekanan kepada mereka. Lantaran itu Allah SWT berpesan kepada hamba-Nya supaya lebih berhati-hati dengan tipu daya harta, firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang beriman janganlah harta benda dan juga anak pinak merosakkan kamu untuk tidak mengingati Allah dan sesiapa yang berbuat demikian maka dia termasuk dalam golongan orang yang rugi”. (Surah al-Munafikun: 9).

Antara ujian lain yang dihadapi oleh setiap manusia ialah ujian cinta kepada manusia. Setiap manusia punyai rasa cinta kepada manusia lain. Cintakan ibu bapa, anak-anak, sahabat taulan, suami isteri dan juga kekasih hati. Namun, selagi mana dinamakan cinta dunia ketahuilah bahawa setiap daripada kita akan berpisah dengannya sama ada secara rela atau terpaksa. Sesungguhnya setiap yang kita cintakan itu adalah makhluk yang bernyawa dan setiap yang bernyawa pasti akan kembali menemui Pencipta. Kadangkala sesuatu yang amat menyedihkan apabila ada dalam kalangan manusia yang menjadikan cinta sesama manusia itu lebih tinggi nilainya daripada cinta kepada Allah SWT dan juga Rasul-Nya. Malah, apabila hilangnya cinta manusia, dia akan menderita dan kadangkala menyalahkan takdir Ilahi. Ketahuilah bahawa cinta kepada manusia itu suatu hari nanti pasti akan layu dan sudah tiada lagi harum bau wangiannya. Oleh itu hargailah cinta seadanya dan teguhkan cinta kita hanya kepada Allah SWT. Dalam memperkatakan tentang nilai cinta sebenar ini Nabi SAW sering berdoa kepada Allah dengan berkata: “Ya Allah sesungguhnya aku mengharapkan cinta-Mu, cinta kepada mereka yang menyintai-Mu dan cinta kepada amalan yang mendekatkan diriku kepada cinta-Mu”. (Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmidhi).

Tidak mudah melatah

Manusia yang beriman ialah manusia yang reda dengan setiap ketentuan Ilahi. Apabila beliau diduga dengan sesuatu perkara maka dicari apakah hikmah Ilahi di sebalik ujian itu. Beliau tidak mudah melatah dengan ujian kesedihan, malah tidak mula mudah mendabik dada dengan ujian kesenangan di dunia. Malah beliau tahu bahawa setiap ujian mampu mempertingkatkan keimanan dan keyakinan beliau kepada keesaan Allah SWT. Inilah sifat Mukmin yang beriman. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda: “Sungguh mengagumkan urusan seseorang Mukmin itu kerana segala urusan hidupnya itu dirasakan baik untuk dirinya. Perkara ini tidak akan berlaku kecuali dalam kehidupan seseorang Mukmin. Apabila dia diberikan sesuatu perkara yang menggembirakan, maka dia akan bersyukur kerana dia yakin bahawa itu adalah yang terbaik baginya dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia akan bersabar kerana itu juga adalah yang terbaik untuk hidupnya”. (Hadis direkodkan oleh Imam Muslim).

Setiap daripada manusia perlu sedar bahawa perjalanan hidup ini tidak selama-lamanya dirintangi dengan jalan penderitaan. Malah Allah SWT telah berjanji bahawa setiap kesulitan itu pasti digantikan dengan berita kegembiraan.

Kehidupan manusia tidak sentiasa kering, tetapi pasti ada hujan kegembiraan dan juga pelangi rahmat daripada Allah SWT. Maka sebagai hamba yang beriman, kita perlu yakin dan berbaik sangka dengan Allah. Kita perlu tahu bahawa setiap ujian itu pasti ada gantian yang lebih baik untuk kehidupan masa hadapan kita. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya setiap kesulitan itu pasti akan kesenangan”. (Surah al-Syarh: 5).

Dalam Islam kita dituntut untuk reda dengan setiap ujian daripada Allah SWT. Kita juga digalakkan untuk memohon doa kepada Allah agar setiap musibah yang dilalui ini akan digantikan oleh Allah SWT dengan sesuatu perkara yang lebih baik untuk kebaikan agama dan juga kehidupan kita.

Iman Muda Asyraf Berita Harian Online Agama 17/12/2013

Fahami hikmah ibadah lahir insan cemerlang

Amal ibadah seseorang hamba Allah terbahagi kepada wajib (fardu) dan sunat (nawafil). Kedua-dua jenis amalan ini menjadi asas kekuatan iman seorang Muslim selagi mana menepati rukun dan syaratnya. Antara contoh ibadah fardu ialah solat lima kali sehari semalam, puasa Ramadan dan mengeluarkan zakat fitrah. Hakikatnya Allah SWT yang zatnya Maha Sempurna dan Maha Besar tidak sekali-kali berkehendakkan sebarang balasan daripada makhluk-Nya. Namun begitu, pensyariatan sesuatu ibadah oleh Allah SWT mengandungi rahsia yang tersendiri untuk kebaikan hamba-Nya. Inilah keindahan agama Islam yang bukan bersifat ritual, tetapi mengajar penganutnya menghayati nilai yang tersirat dalam setiap amal ibadah.

Penghayatan hikmah setiap ibadah hanya boleh dilakukan melalui proses berfikir menggunakan akal serta sentiasa muhasabah diri sebagai seorang hamba Allah SWT. Justeru pelaksanaan seorang Muslim yang menunaikan ibadah bukanlah sekadar untuk mencukupkan syarat supaya dia bergelar orang Islam. Usaha untuk memahami falsafah ibadah seperti solat mempunyai manfaat yang besar kepada individu Muslim.


Peranan solat bukan saja membantu kita meningkatkan keyakinan kepada Allah SWT. Solat juga menerapkan nilai disiplin seperti menepati waktu, tertib dalam setiap pergerakan dan menjaga kebersihan. Nilai yang disebutkan ini apabila dihayati dalam kehidupan secara keseluruhan akan melahirkan insan yang cemerlang.



Utama bincang mengenai fadilat amalan

Malangnya, kebanyakan umat Islam hari ini lebih gemar menghabiskan masa bagi membincangkan fadilat sesuatu amalan hingga terabai memikirkan apakah iktibar yang akan diperoleh apabila ibadah itu diamalkan. Keadaan ini mewujudkan jurang antara kualiti dan kuantiti dalam ibadah. Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas umat Islam perlu memberikan keutamaan kepada kualiti bukannya kuantiti sesuatu ibadah. Tidak salah untuk melakukan sesuatu amalan secara berdikit-dikit, tetapi konsisten berbanding melakukan banyak ibadah sekali gus, tetapi berkesudahan dengan perasaan bosan. Sekiranya kita tidak mampu melaksanakan pelbagai amal ibadah janganlah sampai kita tinggalkan terus amalan berkenaan. Sebagai contoh dalam ibadah qiamullail (bangun malam) kita boleh membiasakan diri dengan menunaikan solat sunat dua rakaat seperti tahajud terlebih dulu setiap malam. Selepas kita istiqamah bangun malam barulah kita tingkatkan ibadah qiamullail dengan memperbanyakkan solat sunat lain seperti solat tasbih.

Dalam menunaikan ibadah, perkara penting ialah keazaman yang tinggi serta tidak berputus asa mengharapkan rahmat Allah SWT. Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT supaya jiwa kita sentiasa optimis dan berasa ringan melaksanakan ketaatan. Oleh yang demikian sama-samalah kita amalkan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW bagi memudahkan jiwa dan fizikal kita dalam melakukan ibadah seperti yang diriwayatkan oleh An Nasa’i dan Ahmad: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu, serta agar dapat beribadah dengan baik kepada-Mu)”.


Muhamad Nizam Ab Ghani Berita Harian Online Agama 17/12/2013

Wasatiyyah jamin keharmonian hidup ummah

Malaysia mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri dalam membina perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama. Resipi utama yang menjadi pemangkin kepada perpaduan rakyat ialah sikap kesederhanaan atau wasatiyyah yang diamalkan rakyat di negara ini.

Daripada amalan inilah lahirnya sikap saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan antara kaum. Pun begitu, apa yang dinikmati itu tetap ada cabarannya seperti berlakunya beberapa krisis perkauman seperti 13 Mei 1969.


Namun, ia banyak mengajar dan mematangkan sikap pemimpin dan rakyat untuk sentiasa memperteguhkan komitmen perpaduan serta berkongsi kemakmuran.

Hakikatnya, rakyat menolak suara ekstremis berasaskan perkauman dan agama. Apa yang kita dambakan ialah satu masyarakat yang bersikap moderat atau sederhana supaya Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang harmoni dan aman.

Gagasan 1Malaysia

Justeru, berlandaskan keyakinan itulah, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia sebagai komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh perpaduan rakyat supaya terbina satu bangsa Malaysia yang kukuh dan padu.

Pengalaman negara dalam mengamalkan sikap kesederhanaan dalam konteks interaksi kaum kini cuba dipromosikan Najib di pentas global. Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sesi ke-65 pada 27 September 2010, Najib menyeru anggota dan pemimpin agama utama dunia mengecam dan menolak pelampau di negara masing-masing dan bersama-sama menyokong 'Gerakan Kesederhanaan Global' (GMM). Ia mendapat sokongan ramai pemimpin dunia termasuk Amerika Syarikat dan Britain.

GMM adalah satu inisiatif untuk mempromosi pendekatan bukan keganasan dalam menyelesaikan konflik. Kesungguhan kerajaan memperjuangkan konsep kesederhanaan terserlah apabila Najib mengumumkan penubuhan Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) ketika perasmian Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global (ICGMM) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 17 hingga 19 Januari 2012.

Yayasan itu menjadi pusat bagi menyebarkan maklumat mengenai konsep kesederhanaan. Untuk memastikan GMM dapat diterima oleh masyarakat dunia, Najib terus memperjuangkan idea itu di pentas berprestij antarabangsa seperti di Pusat Pengajian Islam Oxford, East-West Center, Mesyuarat Asia-Eropah, Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel. Hasilnya, konsep GMM diterima secara rasmi di Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh pada 3 April 2012.

Hidup secara aman

Selain itu, beberapa program seperti Syarahan Tokoh Terkemuka dan Sidang Meja Bulat Kesederhanaan Global akan dianjurkan dari semasa ke semasa. Antara perkara yang diberi penekanan oleh GMM termasuklah hidup bersama secara aman, demokrasi dan kedaulatan undang-undang, kewangan dan ekonomi, pendidikan, dan penyelesaian konflik.

Baru-baru ini, Najib sekali lagi menyatakan pendiriannya mengenai kesederhanaan dalam Persidangan Dialog ke Atas Kepelbagaian Diplomasi dan Keamanan anjuran ASEAN Peace And Reconciliation Council (APRC) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) yang diadakan di Putrajaya. Najib mengajak golongan majoriti senyap bangun menentang dan menolak sebarang bentuk keganasan dan fahaman ekstremis.

Pernah dalam satu syarahannya di New York bertajuk The New Meetings, Moderation: The New Modernity, Najib mengajak masyarakat dunia menolak nazisme, militan dan pemikiran ekstremis dan menjadikan dialog serta rundingan sebagai jalan untuk menyelesaikan masalah dunia.

Sekat suara ekstremis

Ia penting supaya suara ekstremis tidak mempunyai ruang untuk mendominasi sistem politik secara berterusan bagi mengelakkan wujudnya konflik berpanjangan.

Perbezaan warna kulit, etnik, agama, kepercayaan dan ideologi politik tidak seharusnya menjadi landasan konflik yang berpanjangan. Semua pihak harus mengutamakan dialog dan rundingan berbanding mengamalkan sikap konfrontasi dan kekerasan.

Bagaimanapun, menurut Najib ia memerlukan kebijaksanaan dalam tindakan kerana dikhuatiri kesan yang lebih buruk akan berlaku.

Justeru, cara terbaik ialah mengenal pasti mengapa mereka bertindak sedemikian dan kerajaan tidak harus takut untuk menggunakan kaedah nasihat atau pujukan bagi menghadapi golongan terbabit.

Dalam konteks ini, dialog adalah jalan terbaik bagi menyuarakan perbezaan pendapat. Pendekatan ini dapat menumbuhkan sikap kesederhanaan.


Mohd Ayop Abd Razid Berita Harian Online Rencana 17/12/2013

Menjana pewaris beridealisme Islam

UMNO bukti agenda agama, bangsa dibela

Kelangsungan sesuatu organisasi amat tergantung kepada sejauh mana generasi pewaris benar-benar menjiwai matlamat dan idealisme perjuangannya. Malah Islam juga amat menitikberatkan pembinaan generasi yang mampu menggalas amanah dan meneruskan tanggungjawab kekhalifahan di atas muka bumi Allah ini.


Kegagalan mempersiapkan generasi pelapis yang berwibawa dan berkualiti hanya akan mengundang kemurkaan Allah seperti amaran-Nya dalam Surah An-Nisa yang bermaksud: “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah”. (An-Nisa:9)


Menyedari hakikat inilah maka Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak turut menggariskan agenda pengkaderan sebagai salah satu teras perjuangan buat UMNO untuk melangkah ke hadapan dengan lebih berkesan.

Yang dimaksudkan dengan pengkaderan bukan sekadar program menarik lebih ramai warga masyarakat khususnya dari kalangan generasi muda untuk menyertai UMNO. Pengkaderan juga tidak hanya berbentuk program indoktrinasi parti secara melulu agar pendukung berterusan taksub dan bersetia dengan parti.

Jiwai perjuangan parti

Sebaliknya program pengkaderan yang dicetuskan Presiden UMNO adalah satu pendekatan segar, dinamik dan komprehensif untuk melahirkan lebih ramai pewaris perjuangan parti yang benar-benar mampu menjiwai perjuangan berteraskan agama, bangsa dan tanah air.

Penjanaan generasi pelapis dan pewaris yang kuat memerlukan penggemblengan usaha berterusan bagi menjana generasi muda yang terbangun di atas dinamika ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental. Generasi muda yang dibangunkan di atas dasar tauhid pasti akan lebih memahami dan menjiwai amanah perjuangan umat yang bakal diwariskan kepada mereka.

Keterikatan kepada prinsip dan nilai agama pastinya akan membenteng mereka daripada segala bentuk penyimpangan yang boleh memporak-perandakan agenda besar perjuangan bangsa dan negara.

Generasi berkualiti seperti ini jelas ternukil dalam al-Quran yang bermaksud: “Generasi yang tidak mudah dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli (untuk mengaut keuntungan duniawi) daripada mengingati Allah. Mereka mengerjakan solat dan membayar zakat. Mereka sentiasa gentar kepada hari yang pada ketika itu hati dan penglihatan mereka bergoncang”. (An-Nur: 37)

Demikianlah generasi Quranik yang menyepadukan unsur duniawi dan ukhrawi, rohani dan jasmani, iman dan amal, ilmu dan akhlak sehingga segala strategi hidupnya sentiasa berpaksikan Islam. Pembabitan dalam politik mahupun kegiatan ekonomi bukan hanya didorong oleh keserakahan nafsu tetapi dirangsang oleh prinsip agama dan nilai kehambaan jitu pada yang Maha Esa.

Kefahaman yang jitu dan penghayatan yang kukuh pada idealisme perjuangan berteraskan Islam ini juga mampu membangunkan generasi pejuang parti yang berjiwa besar dan sanggup berkorban mahupun terkorban demi sebuah perjuangan yang luhur dan suci.

Sebaliknya kegagalan melahirkan generasi pejuang yang beridealisme Islam sejati akan hanya mengakibatkan parti dikuasai petualang berjiwa rakus yang sentiasa bersiap-siaga menghidu peluang dan ruang untuk memuaskan serakah nafsu yang tidak pernah kenal erti puas.

Perjuangkan Melayu-Islam

Sememangnya agenda dan idealisme Islam ini bukanlah asing dalam perjuangan UMNO. Sejak awal penubuhan UMNO sendiri sudah terpahat agenda memartabatkan Melayu-Islam sebagai teras perjuangannya.

Yang dimaksudkan dengan agenda Melayu-Islam tentunya meletakkan agama Islam sebagai teras perjuangan bangsa Melayu dalam konteks negara Malaysia. Inilah sebenarnya keunikan dan kedinamikan perjuangan kebangsaan di Malaysia yang tidak boleh terpisah daripada unsur pengintegrasian antara elemen kaum dan agama.

Takrif Melayu itu sendiri menurut Perlembagaan Persekutuan ialah seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu. Tanpa Islam, Melayu akan kehilangan segala-gala termasuk keperibadiannya. Sebarang usaha menanggalkan Islam juga bererti menghilangkan nilai keMelayuan itu sendiri.

Sebab itulah dalam konteks Malaysia, perjuangan mengangkat martabat Melayu itu dengan sendirinya membawa makna memperkasakan perjuangan Islam. Melayu yang cuba dipisahkan dengan Islam bererti hilanglah maruah dan jati diri yang mengangkat martabat Melayu itu sendiri.

Ini samalah dengan bangsa Arab yang satu ketika langsung tidak punya kualiti keinsanan dan maruah yang boleh dibanggakan. Namun kehadiran Islam telah mengangkat martabat bangsa Arab hingga dihormati seantero dunia suatu ketika seperti kata-kata masyhur Saidina Umar al-Khattab RA: “Kami adalah kaum yang diangkat martabatnya kerana agama Islam.”

Demikian jugalah dalam konteks Melayu Nusantara. Islamlah yang telah melakukan transformasi kejiwaan Melayu hingga punya martabat dan jati diri yang kental. Malah Islam adalah satu-satunya benteng ketahanan umat Melayu. Sepanjang sejarah perjuangan Melayu, Islam sentiasa menjadi sumber dinamika dan daya juang setiap pendukungnya. Malah Islamlah yang menerasi keperibadian, watak dan pemikiran Melayu.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Berita Harian Online Rencana 17/12/2013

Bagi mengelak peranan mendidik murid penyimpang daripada matlamat asal

KEBANYAKAN ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau maahad tahfiz dengan harapan yang besar agar zuriat mereka menjadi insan yang soleh dan dapat berbakti kepada agama dan negara apabila menamatkan pengajian mereka kelak.

Harapan yang tinggi oleh ibu bapa ini akan menjadi sia-sia jika proses pembelajaran di institusi pengajian tahfiz tidak kondusif serta gagal menzahirkan keindahan nilai-nilai Islam yang antara lain perlu menekankan pembentukan akhlak dan keyakinan diri.

Kes terbaru seorang ustaz yang memukul muridnya di sebuah sekolah tahfiz di Pahang hingga berada dalam keadaan kritikal dan mengeluarkan darah beku adalah satu keadaan yang menyedihkan.

Seorang ustaz memang boleh menghukum anak muridnya dengan nawaitu untuk memberi peringatan atau ajaran tetapi ia bukan tiket untuk menghukum sesuka hati sampai tahap cedera parah.

Perkembangan terbaru ini pasti mencemaskan para ibu bapa yang mempunyai anak di sekolah tahfiz atau sedang menimbangkan untuk menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.

Sebelum ini telah timbul beberapa kes salah laku guru sekolah tahfiz terhadap murid mereka.

Kita tidak boleh membiarkan anak-anak yang menerima pendidikan di sekolah tahfiz terdedah kepada risiko ancaman guru yang tidak ada perikemanusiaan ini.

Kebanyakan sekolah tahfiz adalah institusi pengajian milik persendirian. Pengasas sekolah tahfiz lazimnya adalah individu yang bergelar ustaz dan mendakwa diri mereka memiliki ijazah daripada pelbagai universiti di Timur Tengah seperti Al-Azhar dan Universiti Islam Madinah.

Dalam masyarakat Melayu Muslim apabila kita mendengar seseorang itu graduan dari universiti-universiti terkemuka berkenaan pasti mempunyai rasa kagum dan tiada keraguan untuk menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz kendalian mereka.

Walau bagaimanapun penyampaian ilmu tidak boleh semata-mata bergantung kepada kelayakan atas kertas yang dimiliki oleh ustaz-ustaz tersebut.

Perlu ditimbulkan di sini sejauh manakah guru-guru yang mengajar di sekolah tahfiz ini telah diberikan pendidikan tentang teknik mengajar atau pedagogi.

Hal ini kerana sukatan pengajian di sekolah tahfiz tidak terhad kepada sesi menghafal al-Quran semata-mata, malah turut mendedahkan para pelajarnya kepada mata pelajaran akademik dan ilmu-ilmu Islam yang lain.

Kita khuatir sekiranya para ustaz di sekolah tahfiz itu tiada pendedahan tentang kemahiran mengajar yang kontemporari maka mereka gagal untuk membentuk generasi hari ini yang mempunyai daya intelek yang lebih kehadapan kerana terdedah kepada kepesatan kecanggihan teknologi maklumat.

Selain kelayakan profesional tenaga pengajar di sekolah tahfiz satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah sikap sesetengah pentadbir sekolah tersebut yang mempergunakan para pelajar bagi tujuan kutipan derma atas alasan bagi kegunaan sekolah tahfiz mereka.

Benarkah wang berkenaan digunakan untuk maslahat sekolah tahfiz tersebut dan mengapakah para pelajar dikerah untuk mengutip derma sedangkan masa mereka sepatutnya berada di dalam bilik darjah.

Sehubungan itu, kewujudan pelbagai sekolah tahfiz persendirian yang tumbuh bagai cendawan ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa.

Kebanyakan negeri meletakkan bidang kuasa mendaftarkan sekolah agama di bawah tanggungjawab Majlis Agama masing-masing.

Memang setiap negeri telah menggubal enakmen khusus yang mewajibkan setiap sekolah agama persendirian didaftarkan.

Namun langkah-langkah penambahbaikan perlu dilakukan untuk memastikan penguatkuasaan yang lebih ketat diambil terhadap mana-mana sekolah tahfiz yang gagal beroperasi dengan baik.



MD NIZAM GANY Kelantan Utusan Malaysia Online Forum 20131217