December 19th, 2013

Kealimannya jadi sebutan

NAMA penuh Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad Ibn Ali Ibnu Yusuf al-Jazari. Beliau dilahirkan di Damsyik pada 751 Hijrah. Ayahnya amat mengambil berat tentang pendidikan agamanya dan mula memberi pendidikan sejak kecil lagi.

Pada usia 13 tahun, beliau telah berjaya menghafaz seluruh al-Quran. Seterusnya beliau mendalami ilmu syariat, ilmu lughah dan mendalaminya daripada beberapa tokoh ulama tersohor ketika itu. Begitu pun Imam Ibnu al-Jazari lebih cenderung mendalami ilmu Qiraat dan masyhur dengan sumbanganya dalam ilmu tersebut.

Menyelusuri guru-guru yang pernah Ibnu al-Jazari bertalaqqi sudah pasti akan terjawab kenapakah beliau menjadi amat masyhur sehingga ke hari ini. Di Damsyik, Ibnu al-Jazari bertalaqqi dengan beberapa guru yang terkenal. Antaranya ialah Syeikh Abu Muhammad Abdul Wahhab ibn al-Sallar, Syeikh Ibrahim al-Humawi, Abi al-Muali Muhammad Ibnu Ahmad al-Lubban.

Pada 768 Hijrah, Ibnu al-Jazari pergi ke Mekah bagi menunaikan haji. Ketika berziarah di Madinah, Ibnu al-Jazari telah berjumpa dengan Imam Masjid Nabi iaitu Abi Abdillah Muhammad Ibn Salih al-Khatib dan bertalaqqi denganya. Pada tahun berikutnya, Ibnu al-Jazari pergi ke Mesir dan mendalami ilmu Qiraat dengan guru-guru yang masyhur di sana. Antaranya ialah Syeikh Abi Bakr Abdullah al-Jundi, Abi Abdillah Muhammad Ibnu al-Saigh dan Abi Muhammad Abdul Rahman Ibnu al-Baghdadi.

Ibnu al-Saigh dan Ibnu al-Baghdadi mengajar kepada Ibnu al-Jazari kitab-kitab Qiraat seperti al-‘Unwan, al-Taisir dan al-Syatibiyyah. Selepas khatam dengan dua guru yang hebat ini, beliau kembali ke Damsyik. Kali kedua ke Mesir, Ibnu al-Jazari masih mendalami Qiraat dengan Ibnu al-Saigh menerusi beberapa kitab lain seperti al-Mustanir, al-Tazkirah, al-Irsyadain dan al-Tajrid. Manakala melalui gurunya, Ibnu al-Baghdadi, Ibn al-Jazari mendalami Qiraat 14 kecuali al-Yazidi.

Sememangnya, Mesir kaya dengan ilmu Qiraat. Ramai ulama yang mahir dan menguasai ilmu tersebut dengan cara talaqqi dan musyafahah daripada ulama terdahulu dan bersambung sanad hingga Rasulullah SAW.

Sebab berkembangnya Qiraat di Mesir ialah usaha dan sumbangan besar yang dilakukan Imam Syatibiy yang mewariskan kitabnya, al-Syatibiyyah kepada segologan muridnya yang menjadi ulama. Mereka aktif dalam pengajaran dan secara langsung kitabnya itu terus menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Kali ketiga Ibnu al-Jazari ke Mesir, beliau membaca beberapa kitab Qiraat yang lain seperti al-I’lan kepada gurunya, Syeikh Abdul Wahhab al-Qurawi dan beberapa guru yang lain. Selain Qiraat, Ibnu al-Jazari juga mendalami ilmu fikah. Beliau mendapat ijazah untuk berfatwa daripada gurunya, Abu al-Fida Ismail ibnu Kathir iaitu pada 774 Hijrah. Syeikh al-Islam al-Bulqini juga memberikan ijazah kepada Ibnu al-Jazari iaitu pada 785 Hijrah.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131218

Jadi hebat dengan ilmu

ISLAM sebuah agama yang berlandaskan ilmu dan bukan sekadar teori mahupun falsafah semata-mata. Umat Islam zaman-berzaman diperintahkan untuk mendalami ilmu agar menjadi seorang Muslim yang sejati.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)

Oleh itu, umat Islam hendaklah menuntut ilmu berkaitan syariat Islam sebelum mampu beramal dengan baik. Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqra’, yang bermaksud bacalah daripada surah al-Alaq yang merupakan ayat fi’il amar (kata perintah) yang memberi maksud umat Islam perlu sentiasa membaca dan menuntut ilmu.

Ayat ini didahulukan daripada perintah dan kewajiban yang lain seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa pentingnya membaca dan menuntut ilmu kerana ibadah tidak akan dapat dilakukan tanpa ilmu mengenainya.

Allah SWT berfirman dalam surah az-Zumar ayat kesembilan: Katakanlah, adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Al-Quran turut memerintahkan umat Islam agar sentiasa berdoa memohon kepada Allah SWT supaya diberikan ilmu dan kefahaman. Firman Allah yang bermaksud: Janganlah kamu tergesa-gesa (membacakan) al-Quran sebelum ia selesai diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan katakanlah: Ya Rabbku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan. (Taha: 144).

Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa memohon kepada Allah SWT agar ditambahkan ilmunya sehinggalah baginda wafat. Jika seorang nabi sentiasa berdoa agar diberikan ilmu, maka kita sebagai manusia biasa hendalkah lebih memohon diberikan ilmu dan kefahaman.

Islam mengangkat nilai ilmu ke suatu posisi yang tinggi, sama ada ilmu berkaitan dengan syariat Islam atau ilmu duniawi. Kedua-dua cabang ilmu ini penting untuk kehidupan seorang Muslim di dunia dan akhirat. Selain menjadi aset manusia di dunia, ilmu juga menjadi saham yang terus mengalir walaupun telah meninggal dunia.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia maka terputuslah semua (pahala) amalannya kecuali sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakan untuknya. (riwayat Muslim)

Umat Islam yang berilmu bukan sahaja mendapat manfaat kepada dirinya sendiri, bahkan turut memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Begitu juga jika umat Islam jahil, ia bukan sahaja memberikan keburukan kepada dirinya bahkan mungkin akan memudaratkan orang lain atas kejahilan dirinya.



MOHAMAD DHIYAUDDINABDUL KADIR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131218

Jebakan hamil luar nikah

DUA minggu lalu saya telah menyingkap cerita wanita dan undang-undang jenayah yang mana saya telah menceritakan tiga kategori wanita yang terlibat dengan jenayah iaitu wanita yang ditangkap kerana memilik dadah, ditangkap kerana melakukan pembunuhan atau kecederaan terhadap penderanya dan Keldai dadah.

Kali ini saya ingin menerangkan dua kategori lagi itu wanita dan kehamilan luar nikah sertaPembuangan bayi.

Isu wanita dan kehamilan luar nikah dalam kalangan orang Islam bukanlah perkara baru. Di Malaysia bilang wanita/gadis hamil sebelum nikah meningkat sejak 2000. Tambah menyedihkan, bilangan paling ramai adalah wanita/gadis beragama Islam.

Islam melarang keras perbuatan zina dan itu adalah satu dosa besar. Hukuman bagi penzina adalah jelas dalam Islam iaitu direjam atau dirotan. Di Malaysia oleh kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau rotan tidak melebih enam kali sebatan (yang sering disebut sebagai bidangkuasa 3,5,6 ini), maka penzina boleh dikenakan hukuman maksimum ini.

Dalam menghukum seorang penzina mahkamah mempunyai budi bicara yang luas untuk menimbang hukuman yang sesuai mengikut kes. Kebanyakan kes hamil luar nikah melibatkan gadis belasan tahun antara 13 hingga 21 tahun.

Yang paling ramai ialah antara uumur 15 hingga 19 tahun.

Kehamilan luar nikah kerana wanita/gadis mengadakan hubungan seksual sebelum bernikah yang mengakibatkan mereka mengandung.

Apabila ditanya kenapa mereka melakukan seks sebelum bernikah, majoriti (80 peratus) menjawab kerana ingin tahu, ingin mencuba dan suka-suka.

Hampir 50 peratus pula kerana cinta dan desakan pasangan lelaki. Hanya sejumlah kecil kehamilan luar nikah diakibatkan oleh rogol atau sumbang mahram.

Kehamilan luar nikah adalah kesalahan jenayah syariah sahaja. Mengadakan hubungan seks antara lelaki perempuan yang belum berkahwin tidak dilarang oleh undang-undang sivil kecuali ia dilakukan dengan gadis berumur bawah 16 tahun.

Di bawah Kanun Keseksaan, perbuatan mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah 16 tahun adalah rogol.

Hari ini walaupun pendakwaan dibuat terhadap mereka yang hamil luar nikah ini di Mahkamah Syariah namun bilangannya masih kecil jika dibandingkan dengan kadar atau jumlah kelahiran anak luar nikah.

Jika kajian dibuat terhadap jumlah kelahiran anak luar nikah di sesebuah negeri, jauh lebih besar daripada jumlah pendakwaan terhadap penzina.

Antara faktor kurangnya pendakwaan ialah umur penzina wanita tersebut. Bagi penzina lelaki pula ramai yang didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol terhadap gadis bawah 16 tahun.

Kesalahan ini terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam namun yang ramai didakwa adalah orang Islam.

Jika perogol adalah seorang kanak-kanak di bawah 18 tahun, maka kanak-kanak itu biasanya dijatuhkan hukuman dengan diletakkan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun.

Jadi, bagi kesalahan mengandung dan melahirkan anak luar nikah, jika yang mengandung bawah 16 tahun, kemungkinan besar ia tidak didakwa kerana perbuatan itu walaupun dilakukan suka sama suka, kerana faktor umur dan kematangan hanya kepada lelaki yang akan didakwa.

Jika lelaki yang menyebabkan wanita itu mengandung berumur bawah 18 tahun, biasanya ia dihantar ke Henry Gurney. Bagi pesalah dewasa, hukuman maksimum ialah 20 tahun penjara.

Bagi wanita pula, jika berumur di bawah 16 tahun, mereka dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dan selepas bersalin, mereka meneruskan kehidupan.

Kebanyakan mereka menyambung pelajaran dan ramai juga terus berhenti dan menjalani kehidupan terasing dan diasingkan daripada keluarga. Tidak kurang juga terus menerus terjerumus ke lembah kehinaan kerana terlalu malu dan kecewa dan tiada yang dapat membantu.

Anak yang mereka lahirkan diserahkan kepada rumah kebajikan untuk dijadikan anak angkat. Bagi wanita dewasa, semasa melahirkan anak tanpa suami, kes mereka boleh dipanjangkan ke pejabat agama untuk siasatan dan daripada situ pendakwaan yang dibuat oleh pengawai pendakwa melalui maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat agama.

Kebiasaannya hanya wanita sahaja yang dikenakan hukuman kerana dalam kebanyakan masa anak gadis ini tidak tahu siapa bapa anak itu. Ini kerana mereka menjalin hubungan dengan ramai lelaki sehingga tidak tahu siapa yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung.

Jika seorang lelaki dinamakan sebagai orang yang menyebabkan dia mengandung, lelaki tersebut boleh mengutarakan pelbagai dalihan dan kemungkinan meminta ujian DNA dibuat untuk menentukan bapa anak.

Ini memakan masa dan wang. Ada juga tidak dapat membawa lelaki yang menyebabkan dia mengandung kerana tidak kenal dengan lelaki tersebut.

Ada kes yang mana seorang gadis kenal lelaki tidak sampai seminggu sudah mengadakan hubungan seks beberapa kali. Dia hanya tahu nama lelaki itu tanpa tahu di mana dia tinggal dan bekerja.

Malah ramai anak gadis hanya tahu nama boyfriend dengan nama timang-timangannya dan bukan nama sebenarnya.

Akhirnya apabila dia mengandung dan mencari lelaki tersebut, dia masih tidak tahu latar belakang lelaki tersebut.

Saya sering mengingatkan anak gadis dalam ceramah-ceramah saya supaya meminta kad pengenalan lelaki yang baharu dikenali. Ini memastikan bahawa lelaki itu bukan kasanova atau buaya darat yang sering mencari mangsa.

Bagi wanita, bukti jelas dia melakukan zina ialah apabila melahirkan seorang anak dan dia tiada surat nikah yang sah atau dia tidak dapat membawa ke mahkamah, lelaki yang menyebabkan dia mengandung kerana tidak tahu siapa lelaki itu atau tidak tahu namanya atau tidak tahu di mana lelaki itu berada.

Gadis seperti ini ada yang didakwa dan menjalani hukuman penjara sehingga 18 bulan kerana melahirkan anak luar nikah.

Mereka juga perlu disedarkan bahawa perbuatan yang dilakukan adalah dosa besar dan mereka perlu sedar tentang kesilapan yang telah lakukan.

Jika dipenjara tidak ada proses memberi kesedaran secara Islam, maka mereka ini akan terus hanyut kerana selepas menjalani hukuman, mereka tetap mempunyai perasaan marah kepada yang mendakwa dan kepada lelaki yang meninggalkannya.

Jika dia sedar bawah dia dipenjara kerana kesalahan berzina yang dilarang Allah SWT tentu dia akan cuba bertaubat dan memperbaiki sahsiah dan akhlaknya semasa di dalam penjara. Namun, kebanyakan pesalah seperti ini, hanya boleh bertaubat dan sedar jika ditahan di tempat khas untuk memulih akhlaknya.

Ada juga gadis yang menjalani hukuman dipenjara bukan kerana kehamilan luar nikahnya tetapi kerana kesalahan jenayah buang anak. Ini adalah kesinambungan kesalahan hamil luar nikah.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131218