December 20th, 2013

Takwa perlukan pembuktian bukan sekadar bercakap

“Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ketakwaan bererti takut kepada Allah SWT, iaitu melakukan apa disuruh dan menjauhkan perbuatan yang dilarang.

Tahap ketakwaan menjadi penentu sama ada seseorang mampu menempuh kehidupan berdasarkan apa ditetapkan syariat atau terjerumus ke dalam kehidupan yang dipengaruhi oleh syaitan.

Dengan kata lain, kekuatan ketakwaan akan mempengaruhi corak kehidupan manusia dalam melaksanakan tuntutan agama seperti terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis.

Kekuatan takwa dari dalam diri mendorong kekuatan fizikal untuk menempuh kesukaran melaksanakan perintah Allah SWT.

Ia juga menjadi penentu nilai kehidupan manusia di sisi Allah SWT sentiasa diingatkan kepada setiap Muslim agar sentiasa menjaga iman masing-masing.

Memang sikap manusia perlu diingatkan mengenai perkara itu agar tidak mudah dilalaikan oleh hasutan syaitan daripada melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Syaitan sentiasa mendorong manusia melakukan dosa dan kejahatan agar bersama-sama mereka mendiami neraka di akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu. Maka itu, musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6) Manusia yang tidak bertakwa akan terikut-ikut dengan ajakan syaitan.

Mereka tidak takut melakukan perkara ditegah dan penderhakaan terhadap Allah SWT. Syaitan menjadi tuan kepada mereka yang tidak bertakwa.

Takwa perlukan pembuktian

Sesungguhnya soal takwa bukan perkara kecil dan sekadar ucapan di mulut. Takwa memerlukan pembuktian melalui tindakan, pelaksanaan dan rasa di dalam hati dengan bersungguh-sungguh.

Imam Ghazali berkata tiga elemen takwa ialah takut, taat dan hati yang bersih. Ketiga-tiga asas itu membantu Muslim memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat. Mereka takut melakukan perbuatan ditegah, taat melakukan perkara disuruh dan hati yang bersih daripada sifat buruk.

Ada juga orang mengaku bertakwa dan beriman, tetapi masih melakukan dosa. Perkara ini berlaku disebabkan apa yang diucapkan tidak dengan kesungguhan hati.

Mereka tidak bertakwa dan beriman seperti maksud yang sebenarnya.

Sebab itu, jangan mudah mengaku diri sudah termasuk golongan orang yang benar-benar bertakwa sedangkan sifat dan perlakuan membuktikan sebaliknya.

Maka itu, Allah SWT menegaskan agar pengakuan itu dibuktikan dengan sepenuhnya. Ia hendaklah dilakukan dengan sebenar-benarnya mengikut apa yang ditetapkan. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa”. (Surah Ali Imran, ayat 102).

Untuk mendapat kejayaan hidup di dunia dan akhirat perlu berdasarkan kepada konsep ketakwaan.

Sesungguhnya, mereka yang mengikut jalan ditentukan oleh agama tidak akan sesat sepanjang perjalanan hidup di dunia ini kerana peraturan agama adalah petunjuk terbaik untuk panduan hidup seluruh manusia.

Sesungguhnya, ketakwaan memberi keyakinan bahawa apa yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah SWT.

Capai kejayaan hidup

Pengabdian diri kepada Allah SWT memberi kelebihan mencapai kejayaan hidup. Perjalanan hidup dipenuhi kedamaian, kejayaan dan diredai kerana segala tindakan baik secara rohani dan fizikal berdasarkan kehendak takwa.

Manusia sukar memberi tumpuan kepada perintah Allah SWT disebabkan sentiasa diuji dengan hasutan syaitan. Ganjaran besar diberikan kepada sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripada hasutan syaitan.

Kemuncak kejayaan insan bertakwa ialah mereka dijanjikan syurga yang penuh kenikmatan oleh Allah SWT. Inilah matlamat terakhir yang diidam-idamkan oleh setiap manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “(Syurga) itu disediakan untuk orang bertakwa”. (Surah Ali Imran, ayat 133).


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 19/12/2013

Boleh belanja wang gaji tanpa mohon kebenaran suami

Harta menjadi keperluan pada zaman ini. Bersama ahli panel, Nurul Hidayah Kamarudin dari Pusat Zakat Kuala Lumpur, program Fiqh Wanita yang bersiaran jam 1 petang di TV3 hari ini, membawa penonton memahami lebih lanjut persoalan pembahagian harta pusaka secara faraid.

Isu yang dibincangkan termasuk harta perolehan isteri yang bekerja kerana perkembangan hari ini menunjukkan wanita tidak dapat lari daripada keinginan mencari harta, memiliki dan membelanjakan harta mereka.


Persoalan sering ditanya adakah isteri boleh membelanjakan harta seperti gaji diterima tanpa pengetahuan atau perlu meminta kebenaran suami. Jawapannya pasti buat wanita tersenyum kerana mereka boleh dengan syarat untuk memenuhi keperluan asas, tidak membazir dan melanggar syarak.

Harta bukan milik mutlak

Hidayah juga menekankan kepentingan umat Islam menyedari bahawa harta bukan milik mutlak seseorang, sebaliknya ia adalah amanah Allah SWT yang akan disoal nanti bagaimana dibelanjakan.

Diingatkan juga dalam harta yang dimiliki ada hak orang lain yang dikeluarkan untuk membayar zakat.

Islam juga tidak menghalang umatnya mencari harta serta berusaha menambah melalui pelaburan.
Namun, perlu mengikut syarat, ia bukan pelaburan yang meragukan (syubhah) dan patuh syariah.

Bagi wanita, pemilikan harta boleh diperoleh daripada pelbagai punca seperti nafkah yang diberikan suami, mutaah, harta sepencarian, pewarisan dan gaji diterima daripada pekerjaan dilakukan. Ada juga harta dimiliki secara warisan.

Di sinilah hukum pembahagian secara faraid perlu difahami demi kepentingan memelihara hak waris.

Tidak dinafikan ada yang melihat hukum faraid tidak adil kerana wanita menerima bahagian kurang daripada lelaki.

Diskusi Fiqh Wanita bertujuan menyedarkan masyarakat terutama wanita supaya memiliki harta dengan jalan yang benar dan diredai Allah SWT. Memakan harta dengan cara yang batil adalah berdosa besar dan kesannya sehingga ke hari kiamat.

Yang pasti, ada hikmah di sebalik peraturan ditetapkan Allah SWT dan untuk mengetahuinya perlu difahami secara mendalam. Jika ingin mengetahuinya, semua itu bakal dirungkai panel program Fiqh Wanita.


Shadiya Abbas Berita Harian Online Agama 20/12/2013

Keseimbangan dunia dan akhirat generasi Y

SAMBUTAN tahun baru 2014 sudah pasti disambut dengan gembira dan duka oleh rakyat negara ini. Gembira mungkin pada sesetengah wakil rakyat dan pemimpin di beberapa buah negeri mendapat kenaikan gaji dan elaun.

Episod duka mungkin bertandang di hati rakyat marhaen kerana terpaksa membayar harga cukai pintu dan tol yang lebih akibat kenaikan dua perkara itu di sesetengah wilayah menjelang mentari tahun 2014.

Namun dalam kita terlalu mengukur kehidupan dengan petunjuk ekonomi dan angka sebagai sandaran kemajuan, jangan pula kita melupakan fakta penting bahawa kita meminjam dunia ini dari generasi masa depan. Adakah kita mahu anak-anak kita dibayangi hidup mereka dengan faktor keduniaan hingga mereka melihat hidup mereka adalah untuk memenuhi nafsu material bersifat kewangan semata-mata.

Hari ini insya-Allah anak kita menerima keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 namun kita lupa adakah anak kita sudah lulus UPSR, PMR, SPM, STPM dan MBA untuk persediaan mereka ke dunia akhirat kelak.

Memang peperiksaan yang dinyatakan di atas, kebanyakan dari kita sudah mengambilnya namun di sebalik peperiksaan tersebut tersimpan makna dan hikmah untuk dihayati bagi memastikan kita melahirkan generasi masa depan yang mampu mewarisi negara ini dengan acuan dukhrawi (dunia dan ukhrawi).

Pastikan anak kita lulus dalam Usaha Praktikkan Sunnah Rasullullah (UPSR) iaitu menjadi seorang manusia yang bersifat jujur dan bijaksana dalam menjalani kehidupan dalam dunia di hujung jari. Biarlah amalan mereka bersandarkan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam menghadapi godaan dunia internet yang ada kalanya lebih bersifat merosakkan daripada memberi kebaikan.

Dengan kemunculan laman sosial sejak muncul Myspace, Internet Relay Chat @ IRC (laman sembang), Facebook, Twitter, Instagram dan blog-blog interaktif cabaran mendidik anak-anak muda semakin rumit. Oleh itu adalah penting untuk sistem pendidikan kita dan ibu bapa sendiri memantau pergerakan anak-anak semasa melayari laman-laman sosial tersebut. Anggaplah perkara-perkara tersebut sebagai pisau yang tajam. Boleh membunuh dan memotong sayur untuk dimasak. Terpulang kepada ibu bapa mendidik anak cara 'menggunakan' pisau dengan sebaiknya.

Selain 'UPSR' tersebut pastikan anak kita lulus PMR iaitu Puasa Masa Ramadan. Dengan amalan berpuasa diamal dengan sempurna ia mampu membentuk generasi yang empati terhadap nasib orang miskin dan kelaparan. Puasa atau As-Siyam dalam bahasa arab juga banyak hikmahnya dari sudut kesihatan. Selama hampir 336 hari kita menyumbat segala jenis makanan dalam perut, hanya untuk 30 hari kita berpuasa demi memenuhi rukun Islam yang ketiga.

Setelah lulus UPSR dan PMR pastikan anak kita lulus SPM untuk akhirat iaitu Solat Pada Masanya. Dengan mengerjakan amalan solat wajib lima kali sehari, anak-anak kita akan dididik menjadi manusia yang menepati masa dan menghargai setiap 86400 saat yang diperuntukkan dalam 24 jam sehari. Solat adalah perkara wajib yang tinggi ganjarannya jika dilakukan berjemaah. Solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak masing-masing mempunyai fadilatnya yang tersendiri.

Bagi memperbanyakkan amal umat Islam boleh menunaikan solat sunat sebanyak mungkin. Sebagai tiang agama jika anak kita berjaya lulus SPM versi akhirat ini sudah pasti kita mempunyai generasi akan datang yang akan melakukan kerja dan menyiapkan projek mengikut jadual dan akan menjimatkan kos.

Kejayaan dalam SPM tersebut akan memungkinkan kita mewujudkan generasi yang mampu lulus STPM dan MBA. STPM adalah Siapkan Tabungan Pergi Mekah (STPM), pergi bukan setakat pergi melancong tetapi menunaikan haji atau umrah demi memperkukuhkan diri sebagai seorang muslim yang sejati.

Rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji di baitullah perlu dihayati sebelum lulus kesemua 'peperiksaan' ini. Setelah lengkap kesemua sijil tersebut barulah layak mengambil MBA bukannya Sarjana Pentadbiran Perniagaan tetapi Mesti Bersihkan Aset dengan menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadan dan zakat harta jika cukup syaratnya.

Dalam meraikan kejayaan anak-anak kita lulus peperiksaan ingatlah bahawa anak-anak kita inilah yang akan menjadi kita di masa depan. Jika kita asyik memberi galakan untuk lulus peperiksaan akademik semata-mata tetapi alpa dengan peperiksaan melibatkan solat, puasa, haji dan zakat anak-anak maka kita sedang mencipta anak-anak yang hanya pandai bertanya khabar ibu bapa dengan whatsApp dan bertemu di laman sembang semata-mata.

Justeru, kita perlu mempersiapkan masa depan anak kita hari ini, kerana kita tidak mahu terus melahirkan generasi masa depan yang hanya mahu cemerlang sebagai pelajar tetapi tidak sebagai anak, umat Islam yang kukuh akidah dan amalan selaras Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jangan pula kita lupa pinjaman masa hari ini wajib dibayar pada masa depan oleh generasi yang kita didik hari ini. Oleh itu jangan pula generasi terdahulu marah kepada generasi hari ini yang terlalu banyak diberi kebebasan di dunia maya.


ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

Malapetaka berlaku angkara manusia

HASIL kajian global yang dilakukan oleh seorang ahli geofizik dari Britain, Chrsitian Klose yang diterbitkan dalam Journal of Siesmology dan kemudiannya dipetik sebagai laporan berita Agensi pada 17 Disember 2013 memberi makna yang jelas bahawa 92 gempa bumi yang kuat adalah disebabkan oleh manusia.

Bukan sahaja gempa bumi yang berlaku akibat kegelojohan manusia, bahkan lain-lain malapetaka alam turut membawa kepada suatu kesimpulan, kebanyakannya berlaku akibat kerakusan manusia.

Manusia bukan sahaja berperanan sebagai pencipta teknologi dan menguruskan kehidupan di muka bumi, malah manusia jugalah yang menjadi punca berlakunya malapetaka, yang akhirnya turut memusnahkan kehidupan itu sendiri.

Malapetaka berlaku angkara manusia



Sebahagian daripada kawasan tragedi banjir lumpur membabitkan rumah dan
kenderaan dihanyutkan air deras di kawasan penempatan berdekatan
Sungai Bertam, Cameron Highlands, baru-baru ini.


Beberapa tahun lalu, kita dilaporkan berlakunya fenomena perubahan cuaca sehingga menyebabkan Dataran Irrawadi (lembah subur di Myanmar) ditenggelami banjir besar; Bangkok mengalami kerugian berjuta dolar kerana ditenggelami banjir; begitu juga apa yang berlaku di Pakistan, sehingga menyebabkan imej Perdana Menterinya, Asif Zadari tercalar kerana tidak dapat melakukan apa-apa bagi mempercepatkan proses air surut kerana hampir sepertiga negara itu ditenggelami air lebih seminggu.

Seperti dipercayai bahawa kedudukan fauna dan flora, bukit dan laut adalah dalam keadaan yang seimbang. Apabila kedudukan yang seimbang itu dikhianati, maka alam dikatakan bertindak balas kerana kedudukannya yang tidak stabil. Kesannya, malapetaka akan terjadi manakala kekuatannya mungkin berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Berdasarkan teori itulah para saintis meneroka beberapa kajian bagi mencari punca kepada fenomena yang boleh mengakibatkan kerosakan dan kematian berlaku. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan Taufan Haiyan yang berlaku di Filipina sehingga mengakibatkan puluhan kampung musnah manakala puluhan ribu rakyat terpaksa mengalami trauma dan pengalaman pedih, termasuk sebahagiannya akan menyambut ketibaan perayaan Krismas.

Beberapa bulan lalu, berlaku banjir lumpur menimpa beberapa buah rumah di Ringlet, Cameron Highlands kerana curahan air hujan yang banyak tidak lagi dapat ditampung akibat penggondolan tanah tinggi dilakukan tanpa kompromi. Demi untuk mengaut keuntungan dan menjana sumber kewangan yang besar, manusia sanggup menarah bukit-bukit walhal secara fitrahnya, bukit-bukit itu juga merupakan faktor keseimbangan ekosistem dan biodiversiti.

Dari sudut pandangan ajaran agama, misalnya agama Buddha terdapat satu frasa yang mengajar setiap penganutnya bahawa "segala sesuatu yang timbul kerana sesuatu sebab, di dalamnya pun terdapat sebab yang membuat ia musnah kembali." Ini bermakna, segala sesuatu yang berlaku dan yang hadir dalam kehidupan ada peranan, dan jika peranan itu dilanggar, maka ia menimbulkan kesan yang besar ke atas kehidupan.

Dalam cerita legenda, gempa bumi atau malapetaka dikaitkan dengan raksasa yang bangkit dari tidur. Raksasa itu setelah beberapa lama mendiamkan diri (tidur), sampai ketikanya akan bangun dan ketika raksasa bangun itulah menyebabkan terjadinya gempa bumi akibat hayunan anggota badannya. Manusia yang merasakan gegaran, ramai-ramai akan keluar berteriak sebagai isyarat bagi menghentikan pergerakan raksasa.

Menurut Ensiklopedia Dunia (DBP, 2005, Jilid 7), gempa bumi ialah gegaran bumi yang disebabkan oleh rekahan dan penganjakan sebahagian besar lapisan luar batuan bumi secara tiba-tiba. Gempa bumi yang kuat mampu membebaskan tenaga 10,000 kali ganda lebih banyak daripada tenaga yang dibebaskan oleh ledakan bom atom yang menghancurkan Hiroshima pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945 di Jepun.

Kekuatan gempa bumi diukur dengan menggunakan alat yang dipanggil Skala Richter yang digredkan antara satu hingga sembilan. Ini bererti, gempa bumi yang terkuat pernah dicatatkan berlaku ialah di Sendai, Jepun pada 11 Mac 2011 dengan 9.1 menurut Skala Richter, dan kedua ialah di Aceh sembilan tahun lalu. Gempa bumi tektonik ini menyebabkan ratusan ribu penduduk di sekitar Fukushima dan Tokyo mengalami kerosakan. Ia dianggap paling dahsyat dalam sejarah 140 tahun Jepun. Gempa bumi di Aceh pula mengakibat hampir 200,000 orang mati dan kesan Tsunami turut dirasai di Malaysia, terutama sekitar Pulau Pinang, Thailand, Sri Lanka dan beberapa buah pulau di sekitar Lautan Hindi turut menerima akibat tsunami, bahkan kawasan pelancongan di Phuket menjadi begitu ngeri sekali.

Untuk memahami fenomena ini kita perlu menggunakan analogi. Misalnya, apabila kita menggunakan alat pengering pakaian, alat tersebut mengeluarkan bunyi bising ketika mula beroperasi. Ia kemudiannya semakin perlahan kerana kedudukan pakaian di dalamnya semakin seimbang, atau tidak dalam keadaan yang baik. Kedudukan itu menyebabkan alat pengering bergoncang dan menghentam dindingnya.

Keadaan yang sama berlaku kepada bumi. Bumi tidak pernah berhenti berpusing setiap saat, 24 jam sehari, 7 hari seminggu sejak dikatakan wujud 4.54 bilion tahun lalu. Bumi berputar dengan kelajuan 1,000 batu sejam. Selagi bumi dan keseimbangannya tidak terganggu, ia tidak akan menimbulkan masalah. Tetapi, apabila keseimbangannya terganggu, maka berlakulah gempa bumi sama ada lemah atau kuat.

Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang fenomena penciptaan-Nya. Jika kedudukan bumi tidak stabil atau terganggu, ia seolah-olah berlakunya amukan yang boleh memusnahkan manusia. "Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-ganang yang kukuh supaya bumi itu (tidak) bergoncang bersama mereka, dan telah Kami jadikan di bumi itu jalan-jalan yang luas agar mereka mendapat petunjuk." (a-Anbiya: 31).

Oleh kerana manusia melihat apa yang ada di atas permukaan bumi dan di perut bumi itu sebagai sumber kekayaan, manusia mula tamak untuk menakluki dan mengeksploitasinya. Dengan menggunakan pelbagai alasan sama ada atas nama pembangunan dan sumber ekonomi, manusia meneroka sumber-sumber itu tanpa melihat kerosakan yang bakal berlaku, termasuk kes perlombongan pasir secara haram yang sedang diperkatakan oleh masyarakat Lembah Klang. Selangor pernah disifatkan sebagai sebuah negeri berlubang, kerana semua pasir dilombong untuk kegunaan pembinaan bangunan dan menambak laut, dan ini telah mengganggu keseimbangannya.

Berdasarkan beberapa kes kemusnahan kehidupan itu jelaslah bahawa tangan manusia sendirilah yang menyumbang kepada kerosakan dan malapetaka. Maka kesimpulan yang dilakukan oleh Christian Klose itu adalah benar, dan tentunya dapat menolak faktor semula jadi lebih besar menyumbang kepada terjadinya malapetaka.

Rumusan Christian Klose itu menepati apa yang diberikan amaran keras oleh Allah SWT: "Telah nampak kerosakan di darat dan di laut akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)" (ar-Rum:41)

Fenomena tersebut turut dikaitkan sebagai salah satu tanda kecil kiamat. Ini kerana sikap manusia yang bermegah-megah dan berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit, bakal menyebabkan kedudukan bumi tidak seimbang manakala ruang udara semakin terganggu.

Di dalam al-Quran beberapa tanda dan proses terjadinya kiamat digambarkan dengan fenomena langit yang tidak seperti biasanya. Seperti langit yang terbelah, langit digulung seperti menggulung lembaran-lembaran kertas, bintang-bintang berjatuhan, matahari dan bulan dikumpulkan, matahari dipadamkan, matahari terbit dari arah barat dan sebagainya.

Para ilmuan muslim berpendapat dari hasil penelitian para ahli astronomi menunjukkan bahawa berbagai fenomena kiamat yang disebut al-Quran itu adalah sesuatu yang benar-benar akan terjadi pada objek-objek luar angkasa, seperti bintang, galaksi, planet, asteroid, meteor, komet, dan termasuk bumi dan tatasuryanya. "Dan pada hari itu terjadilah Hari Kiamat" (Al-Quran Surah Al-Haqqah ayat 15) .

Sepatutnya, sebagai penganut Islam, kita mempertingkatkan iman dan melaksanakan kehidupan dengan sederhana. Tidak meletakkan tamak dan kerakusan menguasai sumber kekayaan sebagai faktor yang boleh dianggap tergesa-gesa jadi kaya dalam hidup. Inilah sikap yang amat bahaya dan merugikan manusia sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Sudah merasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat kamu ditelan bumi ketika tiba-tiba ia tergoncang?" [al-Mulk: 16).


Mohd Shauki Abd. Majid PENULIS ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

Fahaman ASWJ harus diperkukuh dalam sistem pendidikan

TERLALU banyak isu mengenai aliran fahaman keagamaan yang berbangkit di Malaysia. Terdapat puluhan ajaran sesat yang berkembang mempengaruhi dan menyimpang daripada akidah Islam yang sebenar.

Dari Qadiani, al-Arqam, Tuhan Harun dan terkini Syiah, timbul pertanyaan apakah kurikulum agama Islam yang diajar dalam sistem pendidikan kita asasnya tidak kuat menyebabkan para pelajar yang tamat pengajian masih tidak mempunyai pegangan yang kukuh dan mudah terpengaruh dengan fahaman dan aliran yang menyimpang.

Lazimnya pendekatan Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) dijadikan asas mendidik para pelajar sama ada dalam sistem pendidikan formal dan swasta di Malaysia. Isu pokok yang ditanamkan adalah isu akidah. Apakah isu akidah meletakkan ikatan dengan Allah SWT sebagai sesuatu yang paling utama, hubungan dengan Rasul sebagai lanjutan, hubungan dengan para sahabat, tabi'e at tabieen serta ulama muktabar sebagai landasan membangun tasawwur Islami.


Sunnah ka ni ?

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam tradisi pendidikan harus mampu membentuk asas ini supaya aliran fahaman yang bercanggah dapat ditolak sejak awal lagi. Ia menuntut maklumat berbanding dari para pendidik supaya tasawwur ASWJ difahami benar dan ia menjadi benteng yang teguh dari dirempuh oleh fahaman yang lain.

Binaan asas ini sangat penting supaya landasan tauhid para pelajar jelas dengan segala implikasinya. Faktor syariah dan fikah merujuk kepada sumber nas iaitu dari al-Quran dan sunnah. Kalau berlaku ijtihad ia terbina dari tradisi ulama yang muktabar.

Perbezaan akidah ASWJ dan Syiah umpamanya harus diperkenalkan secara ilmu supaya para pelajar faham dan para pelajar memiliki kekebalan dari pengaruh Syiah itu sendiri.

Harus dididik dalam kalangan para pelajar bahawa al-Quran adalah terpelihara dan bebas daripada kekurangan mahupun penyelewengan. Fahaman Syiah berpendapat al-Quran yang ada sekarang ada kekurangannya dan perlukan penambahan.

Fahaman ASWJ beriktikad bahawa penafsiran al- Quran hendaklah berpandukan apa yang datang daripada Nabi SAW dan para sahabat serta ahli Bayt Rasulullah SAW. Penganut faham Syiah berpendapat al-Quran hendaklah berpandukan daripada apa yang telah diriwayatkan Ahli Bayt dengan riwayat-riwayat yang mencela para sahabat dan mendakwa Imam Ali sebagai Tuhan serta iman selepasnya.

ASWJ meyakini al-Quran diturunkan sepenuhnya ke atas Rasulullah SAW, tiada kekurangan padanya dan tiada kitab lain selepasnya. Sebaliknya mereka yang berpegang kepada fahaman Syiah beriktikad bahawa mereka memiliki mashaf Fatimah binti Rasulullah SAW dan kononnya mengandungi 40 juzuk.

Sunnah Nabi adalah apa sahaja yang datang daripada Nabi amal perbuatan, percakapan mahupun perakuan. Sedangkan Syiah mendakwa kenyataan Imam 12 setaraf firman Allah dan Sabda Rasulullah SAW. Meriwayatkan daripada mereka sama seperti meriwayatkan hadis daripada Nabi kerana mereka juga maskum.

Menerima semua hadis yang diriwayatkan oleh ulama ASWJ seperti Imam Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasaie dan lain-lain. Sebaliknya pihak Syiah tidak menerima periwayatan ASWJ kecuali dari Ali Bayt Rasulullah SAW sahaja.

ASWJ berpegang dengan al-Quran dan As-Sunnah dan ijmak sebagai prinsip asas kepada syariat Islam dengan Syiah menolak ijmak dan Qias dalam penentuan hukum syarak.

Tradisi ASWJ berpendirian tiada yang maksum melainkan Rasulullah SAW, para anbia dan rasul-rasul terdahulu. Syiah berpendirian para imam mereka dianggap maksum dan kemaksuman mereka adalah perkara dasar dalam prinsip imamah.

Tiada yang mengetahui perkara-perkara ghaib melainkan Allah SWT sedangkan Syiah berpendirian imam memiliki keistimewaan untuk mengetahui perkara-perkara ghaib.

Yang disebutkan di atas adalah sedikit contoh dari banyak contoh lain dari sudut akidah percanggahan yang sangat nyata antara fahaman ASWJ dan juga Syiah.

Hal ini harus dinyatakan dengan jelas secara berbanding kepada para pelajar supaya mereka dilatih memahami akidah secara ilmu dengan merujuk nas atau al-Quran dan As Sunnah.



Utusan Malaysia Online Rencana 20131220

Dana zakat dan Melayu Islam muflis

Pada 13 Disember lalu, akhbar ini (Utusan Malaysia) ada melaporkan mengenai program bantuan perkahwinan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mana pada tahun ini seramai 1,310 orang asnaf dengan jumlah RM1,624,300 telah menerima bantuan tersebut.

Tujuan inisiatif ini adalah bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf terutamanya golongan fakir, miskin dan mualaf yang ingin mendirikan rumah tangga.

Usaha dan kreativiti dalam mengagihkan bantuan zakat seperti ini adalah amat baik terutamanya bagi mengurangkan masalah peningkatan kes pembuangan bayi yang disebabkan oleh pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita. Justeru, ia wajar diteruskan pada masa hadapan dan dikembangkan lagi dalam aspek yang lain pula.

Atas dasar tersebut, penulis ingin mencadangkan bahawa transformasi agihan dana boleh dilakukan bagi tujuan membayar hutang bagi pihak penghutang-penghutang Melayu Islam yang telah diisytihar sebagai muflis untuk membantu mereka keluar daripada masalah tersebut.

Dana zakat dan Melayu Islam muflis



Umum mengetahui bahawa kutipan zakat telah meningkat dari setahun ke setahun. Peningkatan jumlah zakat yang begitu banyak telah menyebabkan ketidakseimbangan antara jumlah yang dikutip dan jumlah yang diagih kepada asnaf. - GAMBAR HIASAN

Asas kepada cadangan ini ialah masalah muflis di kalangan Melayu Islam semakin membimbangkan mutakhir ini. Mengikut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), seramai 9,471 orang telah diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga tahun 2012. Satu laporan menunjukkan bahawa setiap hari seramai 41 belia diisytihar muflis.

Dalam kes peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman pelajaran dan berdepan dengan tindakan disenarai hitamkan, kaum Melayu Islam mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 328,550 diikuti Cina (55,445) dan India (28,250). Mereka ini akan berdepan dengan risiko muflis jika masih gagal menjelaskan hutang pada masa hadapan. Masalah muflis ini akan berlarutan jika tiada penyelesaian holistik dicari.

Umum mengetahui bahawa kutipan zakat telah meningkat dari setahun ke setahun. Peningkatan jumlah zakat yang begitu banyak telah menyebabkan ketidakseimbangan antara jumlah yang dikutip dan jumlah yang diagih kepada asnaf. Natijahnya, berlaku lebihan dana yang tidak diagihkan.

Dana zakat boleh digunakan bagi penyelesaian masalah ini berdasarkan kepada dua asas, iaitu orang yang berhutang adalah asnaf zakat dan objektif sebenar zakat adalah untuk pembangunan ekonomi ummah.

Pertama, di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 60 yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan".

Seperti yang terkandung di dalam ayat di atas, satu daripada golongan masyarakat yang layak menerima duit zakat ialah orang-orang yang berhutang atau al-gharimin. Siapakah yang termasuk di dalam golongan ini?

Maklumat yang diperolehi daripada Portal Rasmi Fatwa Malaysia yang dikelola oleh Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui laman sesawang www.e-fatwa.gov.my, al-Gharimin merupakan orang-orang berhutang yang layak menerima zakat, iaitu orang yang berhutang untuk faedah awam seperti untuk menghapuskan persengketaan antara dua pihak dan sebagainya.

Menurut fatwa itu lagi, bagi individu yang berhutang untuk tujuan peribadi, mereka hanya boleh dimasukkan ke dalam asnaf ini dengan syarat seseorang individu mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang mencukupi (haddul kifayah).

Maksud golongan yang berhutang ini jika diaplikasikan dalam konteks semasa adalah meliputi golongan masyarakat yang membuat pinjaman yang tidak bercanggah dengan syarak. Tujuan sesuatu hutang yang dibuat akan menjadi penentu sama ada orang yang berhutang tersebut layak atau tidak menerima dana zakat bagi membayar hutangnya.

Sebagai contoh, peminjam PTPTN yang tidak mempunyai sumber dana bagi menjelaskan pinjaman pelajaran boleh tergolong sebagai al-gharimin. Peminjam yang menggunakan kad kredit untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang bukan bertujuan untuk bermegah-megah juga tergolong dalam golongan asnaf ini.

Maksud golongan ini boleh juga dikembangkan kepada orang-orang yang berhutang dengan 'ah long'. Umum mengetahui betapa kejamnya 'ah long' menyeksa mereka yang tidak mampu membayar hutang. Seksaan dan ancaman yang diberikan amat dahsyat dan tidak berperikemanusiaan.

Golongan ini wajar dibantu di bawah asnaf al-gharimin dengan syarat hutang yang dibuat mestilah untuk tujuan baik bukannya untuk berjudi atau melakukan maksiat.

Kedua, membantu golongan asnaf al-gharimin akan mencapai objektif sebenar zakat. Satu daripada objektif zakat ialah untuk pembangunan ummah. Ummah akan membangun apabila ekonomi dijana dengan baik dan pendapatan orang-orang Islam meningkat.

Jika ramai orang Islam muflis, bagaimana ekonomi ummah dapat diperkasakan? Penulis bersetuju dengan pandangan bahawa "orang muflis umpama hidup dalam 'koma', masih 'bernyawa' tapi tak mampu berbuat apa-apa".

Dalam konteks ini, semakin banyak orang Melayu Islam yang muflis, semakin sukar untuk ummah membangun. Justeru, membebaskan orang Islam daripada muflis merupakan antara jalan bagi terus memperkasa ekonomi bumiputera.

Institusi zakat negeri-negeri boleh mengambil contoh daripada tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam. Penulis dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa dana zakat di sana digunakan untuk membantu penghutang kad kredit membayar hutang bagi mengelak masalah muflis.

Pembiayaan dilakukan hanya sekali sahaja bagi setiap penghutang. Langkah yang diambil tersebut mungkin boleh dipelajari dan dikaji dengan lebih menyeluruh jika ingin dilaksanakan di negara kita.

Justeru, penulis merasakan sudah tiba masanya dana zakat diperluaskan penggunaannya bagi membantu orang Islam yang muflis untuk keluar daripada masalah tersebut.

Membebaskan mereka daripada muflis bererti pembangunan ekonomi Melayu Islam akan bertambah baik. Walaupun inisiatif ini mungkin bakal mengundang pelbagai kontroversi, namun setidak-tidaknya tulisan ini diharap mampu membuka jalan kepada pihak berwajib untuk merencana satu kaedah efektif bagi menyalurkan dana zakat kepada Muslim muflis.



RAM AL JAFFRI SAAD PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20131220