December 22nd, 2013

Laksana ibadat wajib bukti keimanan

Muaz berkata, “Rasulullah mengutuskan saya ke Yaman. Baginda berkata: Saudara akan dihantar ke Yaman. Pergilah menemui golongan ahli kitab, iaitu orang Yahudi dan Kristian. Ajak mereka supaya mengakui tiada Tuhan selain Allah dan saya ini adalah utusan Allah. Apabila mereka mahu mengakuinya, beritahu juga Allah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam.


Apabila mereka sanggup melakukannya, beritahu pula Allah mewajibkan zakat dengan cara mengagihkan harta orang kaya kepada golongan fakir miskin. Apabila mereka menunaikannya, berhati-hatilah saudara dengan harta itu. Jangan ambil kesempatan dengan bertindak zalim dan menganiaya. Takutlah saudara kepada doa orang yang dianiaya kerana doa orang yang teraniaya tidak ada halangan. Pasti dikabulkan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Mengakui Islam bermakna kita bersedia mengikut segala perintah agama dan mengelak daripada melakukan perkara boleh menyebabkan keimanan dipersoalkan. Malangnya, kini ramai yang mengaku Islam tetapi tidak bersedia menunaikan ibadat wajib.


Zakat menyucikan harta

Sebagai amalan yang pertama ditanya di akhirat nanti, umat Islam perlu memelihara solat wajib kerana itulah tiang agama yang menentukan sama ada keimanan seseorang itu kukuh atau sebaliknya.

Begitu juga dengan ibadat wajib lain seperti mengeluarkan zakat kerana masih ramai dalam kalangan masyarakat enggan menunaikan zakat dengan alasan mereka tidak layak disebabkan kedudukan kewangan yang sering tidak cukup.
Sedangkan Allah SWT sudah menjelaskan hikmah mengeluarkan zakat sebagai menyucikan harta dan menghubungkan silaturahim. Andainya kita yakin jika kita memberi Allah SWT akan menambah harta dimiliki, pasti ramai bersedia berkongsi kekayaan dengan golongan memerlukan.

Syaqiq bin Abdullah at-Tabi’i berkata: “Sahabat Nabi Muhammad berpendapat, hanya ibadah sembahyang saja yang apabila ditinggalkan menjadikan seseorang itu kafir.” (Riwayat Tirmizi)


Berita Harian Online Agama 22/12/2013

Petunjuk wahyu pandu akal mengenal Tuhan

Manusia diberikan kelebihan akal yang membezakan mereka dengan makhluk lain. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, kerohanian manusia merangkumi nafsu dan hati. Ketiga-tiga komponen spiritual ini pemberian Allah SWT yang mempunyai fungsinya tertentu.

Sudah pasti pemberian ini akan membawa manusia untuk mengenal Penciptanya. Melalui naluri itu, jiwa manusia terdorong untuk memenuhi keinginan memperhambakan diri kepada suatu kuasa yang lebih tinggi sebagai tempat bergantung dalam kehidupan.


Apabila disemak kembali sejarah, amalan ritual manusia wujud kerana pengharapan untuk dijauhkan daripada bencana. Contohnya, penyembahan berhala bermula sejak zaman Nabi Nuh, penyembahan matahari oleh kaum Saba, penyembahan api oleh penganut Majusi, malah tidak kurang juga penyembah manusia seperti berlaku pada zaman Firaun.

Semua ini bermatlamatkan untuk keselamatan diri sendiri dan menghapus dosa. Walau bagaimanapun, keinginan amalan penyembahan berhala atau taghut tidak berasaskan petunjuk dan bimbingan yang benar.


Penyembahan ikut nafsu

Penyembahan dilakukan itu semata-mata menurut kehendak nafsu mereka. Malah mereka sekadar mengikut amalan nenek moyang mereka secara bertaklid. Secara rasionalnya, adakah sesuatu pegangan itu dikatakan benar apabila manusia melantik batu diukir manusia, api, matahari dan makhluk lainnya untuk disembah dan menjadi tempat memohon pertolongan?
Justeru, Allah SWT memberi analogi bahawa golongan yang memohon pertolongan daripada makhluk seperti labah-labah yang membuat sarang sangat rapuh. Jelaslah dorongan nafsu yang tidak berpaksikan akal sihat untuk menilai hakikat kebenaran mengakibatkan mereka berada pada landasan yang salah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bandingan orang yang menjadikan yang lain daripada Allah sebagai pelindung, adalah seperti labah-labah yang membuat sarang, sesungguhnya sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah sekiranya orang yang mengetahui. Sesungguhnya Allah mengetahui (kepalsuan) apa juga yang mereka sembah selain daripadanya dan Allah juga yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Ankabut, ayat 41-42)

Daripada konteks peranan akal untuk mengenal Tuhan dapat dilihat dengan teknik ahli falsafah Yunani silam seperti Aristotle. Meskipun beliau bijak menganalogikan kewujudan Tuhan, namun kekuatan inteleknya masih tidak mampu mencapai hakikat kekuasaan Tuhan menciptakan segala yang ada di langit dan bumi.


Aristotle bataskan skop ‘tuhan’

Aristotle membataskan skop ‘tuhan’ sebagai kuasa yang tidak mengambil tahu mekanisme alam semesta selepas Ia menciptakannya. Pendapat itu untuk meluaskan peranan dan kemampuan akal melebihi segala-galanya.

Situasi ini lebih membimbangkan dengan hujah rasional ahli sains yang mahu menolak kewujudan Tuhan pada zaman ini. Skop perbincangan intelek manusia juga lebih bersifat materialistik sehinggakan mereka tidak menghiraukan perkara berhubung spiritual.

Malah, akal manusia juga dinis-bahkan kepada otak. Menyempitkan fungsi akal kepada fungsi otak manusia menyebabkan akal yang sepatutnya menjadi alat untuk memahami alam dan mengakui kebesaran Tuhan menjadi sebaliknya.

Hal ini boleh dilihat melalui kenyataan Profesor Stephen Hawking, ahli kosmologi terkenal dalam bukunya bertajuk The Grand Design, menyatakan sains moden tidak meninggalkan ruang untuk kewujudan Pencipta.

Malah bagi beliau, sains itu sendiri boleh menjelaskan asal-usul alam semesta kerana terdapatnya undang-undang seperti graviti dan sebagainya. Justeru, kekaguman ahli sains kepada penemuan sains moden semata-mata menjadikan akal mereka tidak mampu berfungsi untuk meyakini kewujudan Tuhan.


Perlu panduan wahyu

Oleh itu, manusia memerlukan panduan wahyu daripada Tuhan yang Maha Benar (al-Haq). Hakikatnya, Allah SWT tidak membiarkan hamba-Nya tersesat dalam kekaburan nafsu dan akal untuk mengenal Tuhan sebenar.

Allah SWT mengutuskan Rasul sebagai penyampai risalah kebenaran kepada manusia. Risalah kebenaran terbahagi kepada dua iaitu al-Quran dan hadis. Sememangnya wahyu sumber yang tepat dalam memberitakan mengenai perkara ghaib dan alam malakut (metafizik).

Manusia seharusnya meletakkan al-Quran dan hadis sebagai sumber yang menjadi pembimbing kepada akal dan nafsu. Wahyu tidak bertentangan dengan akal manusia kerana akal digunakan untuk memahami ayat al-Quran dan saranan hadis.


Membimbing nafsu

Nafsu pula bukanlah perkara yang perlu dihapuskan tetapi ia suatu entiti dalam kerohanian manusia yang perlu dididik. Malah, cara mendidik nafsu banyak diterangkan dalam al-Quran dan hadis.

Akal perlu dipandu dan nafsu manusia perlu ditarbiah dengan petunjuk wahyu dalam memahami fitrah bertuhan yang hakiki. Fitrah bertuhan berasaskan wahyu inilah yang dapat membangunkan insan yang mempunyai hala tuju dan matlamat hidup yang jelas iaitu mencapai keredaan Allah SWT.


Berita Harian Online Agama 22/12/2013

Bersedekah tanda orang bermurah hati

PEPATAH Melayu ada mengatakan, “Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa." Orang yang baik budi ialah orang yang suka memberi dan kalau kita payah hendak memberi, bermakna kita orang yang kurang kasih-sayang. Alangkah ruginya orang yang tidak menghargai dan tipis rasa kasih-sayang, kerana kasih-sayang adalah kunci penyelesaian kepada banyak masalah kehidupan.

Kita biasanya suka memberi kepada orang yang kita kenal dan suka. Tetapi, sebenarnya kita kena biasa-biasakan diri kita, memberi kepada orang yang kita tidak kenal dan orang yang tidak pernah baik dengan kita tetapi sangat memerlukan pertolongan kita. Ini yang dinamakan dalam Islam, sedekah.

Bagi membicarakan topik sedekah ini kita kena gunakan analogi antara “saham dunia" dengan “saham akhirat". Formula ekonomi dan saham kehidupan di dunia, “kita dapat 100 simpan 10". Tetapi, untuk ekonomi dan saham akhirat, “kita beri 90 simpan 10". Maknanya kita belanjakan untuk manfaat di akhirat 90 peratus, 10 peratus sahaja yang kita gunakan untuk diri kita.

Lebih jelas lagi maksudnya, walaupun kita memiliki banyak duit, tetapi duit itu bukan untuk melabur melayan hawa nafsu kita sahaja, seperti hendak membeli barang-barang mewah yang bukan barang keperluan, tetapi kita manfaatkan duit kita untuk membangunkan ummah dan membantu orang serta memudahkan orang. Kemurahan hati, bermula dengan lima aspek utama dalam kehidupan manusia (emosi, fizikal, intelektual/minda, kewangan dan kerohanian).

Setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing seperti mempunyai tubuh badan yang sihat, mempunyai banyak wang, dan ada pula yang bijak. Oleh sebab itu bermurah hati atau bersedekah bukan hanya dalam bentuk wang ringgit sahaja, tetapi boleh dalam apa-apa bentuk bergantung kepada kemampuan dan kelebihan diri masing-masing yang boleh disumbangkan manfaatnya kepada orang yang memerlukan.

Bermurah hati adalah sifat Rasulullah dan banyak hadis yang memperkatakan tentang sifat mulia ini. “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah." “Siapa yang bersedekah satu ada tujuh cabang atau tangkai yang menyertai satu sedekahnya." Bayangkan kita bersedekah pada pagi hari boleh mengelakkan musibah sepanjang hari. Sebab itulah, bagi orang yang musafir, petua untuk perjalanannya selamat dan dipermudahkan Allah banyakkan bersedekah.

Tukar fahaman kita tentang konsep bersedekah ini. Lazimnya kita memahami proses bersedekah ini akan berlaku hanya apabila kita bertemu dengan peminta sedekah yang berbaju comot dan kotor, duduk menadah tangan di tepi jalan. Maknanya jika kita bertemu dengan orang yang begitu, kita memberi atau bersedekah setelah diminta. Tetapi, konsep bersedekah yang dimaksudkan adalah “mencari" peluang untuk bersedekah kepada orang yang tidak meminta dan mengharapkan apa-apa pun daripada kita.

Contoh yang paling bagus adalah bersedekah kepada pencuci tandas. Kerja yang paling kita tidak suka buat adalah mencuci tandas, tetapi kita mahukan tandas yang bersih? Oleh itu hargai pencuci tandas. Jadikan amalan setiap kali kita hendak masuk ke tandas awam, siapkan duit untuk kita berikan kepada pekerja pencuci tandas, sebagai menghargai mereka, orang yang sanggup membuat kerja yang ramai orang tidak mahu buat.

Tetapi, ingat jangan kita bersedekah kepada orang, sehingga orang itu berasa dirinya terhina. Bagaimanakah caranya untuk mengelakkan perasaan negatif orang yang menerima sedekah kita? Pertama, jangan memberi dengan perasaan sombong dan kasar. Kalau orang meminta kepada kita dan kita enggan memberi, tolaklah permintaan mereka itu dengan lembut, jaga akhlak jangan sampai orang tersinggung.

Kedua, apabila kita memberi kepada orang miskin atau kepada pencuci tandas, katakanlah kepada mereka, “Tolong doakan saya selamat dalam perjalanan." Apabila kita memberi kepada orang yang kita mengharapkan doanya, maknanya dia berasa dihargai dan dekat dengan Allah.

Islam menggalakkan umatnya bermurah hati sebab orang yang paling bermanfaat, ialah orang yang lebih banyak memberi daripada banyak menerima. Jadilah pemberi bukan penerima kerana orang yang bermurah hati tanda orang yang tinggi budi. Dalam Islam, orang pertama yang kita mesti memberi atau bersedekah adalah kepada saudara-mara kita dahulu, kerana menjaga silaturahim.

Kita tidak akan sempurna selagi kita tidak membuat dua perkara ini. Pertama, tolong orang yang tidak boleh membalas kebaikan dan pertolongan kita. Kedua, bantu dan memberi kepada orang tidak kenal siapa yang memberi kepadanya; tangan kanan memberi tangan kiri disembunyi.

Ikhlas apabila kita memberi, dengan melupakan semua kebaikan kita kepada orang dan lupakan semua kejahatan orang kepada kita. Apabila ingat, semua kebaikan orang kepada kita dan lupakan semua kejahatan orang kepada kita, kita akan menjadi seorang yang sangat ikhlas dan tidak mengungkit.

Kalau hendak tolong orang, tolong betul-betul. Kalau kawan-kawan berniaga, beli barang jualannya tanpa tawar-menawar atau mengharapkan potongan harga, dengan niat kita menyokong usaha mencari rezeki tambahan melalui perniagaan secara kecil-kecilan. Itulah salah satu cara kita membahagiakan kawan-kawan kita.

Kita mesti bahagia apabila melihat orang lain bahagia. Tidak pernah ada orang yang murah hati tidak bahagia. Kalau kita susah hati tengok orang lain senang dan kita senang tengok orang lain susah, inilah yang dikatakan dengki. Didiklah hati kita menjadi orang yang suka tengok orang suka atau bahagia melihat orang bahagia. Sikap bermurah hati ini kita didik kepada anak-anak. Masukkan nilai murah hati kepada anak. Ajar anak kita berkongsi dan memberi dengan sesama adik-beradiknya sejak mereka kecil lagi. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".



Dr. Muhaya Mohamad Utusan Malaysia Online Rencana 20131222