December 23rd, 2013

Pencegahan jenayah syariah

SAYA berpeluang menghadiri Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Syariah (SKPJS 2013) pada 16 Disember lalu di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor. SKPS 2013 adalah anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan telah dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis yang sama, Jamil Khir turut melancarkan Pelan Pencegahan Jenayah Syariah Malaysia yang mengandungi tujuh teras strategik iaitu, Peningkatan Penghayatan Agama, Penyelidikan Terencana, Penyelarasan Maklumat Jenayah Syariah, Pemerkasaan Pendidikan, Pemantapan Institusi Keluarga, Pengukuhan Undang-Undang dan Kolaborasi Strategik Inter Agensi.

Namun di dalam ruangan ini saya tidak berhasrat untuk memperincikan teras-teras strategik tersebut kerana ia boleh dibaca oleh pembaca. Apa yang saya ingin paparkan di dalam ruangan ini adalah berkaitan dengan tanggungjawab mencegah jenayah dan persepsi salah golongan liberal terhadap usaha mencegah jenayah syariah yang dilaksanakan oleh agensi agama seluruh negara selama ini.

Saya tertarik dengan ucaputama yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz yang bertajuk, Mencegah Jenayah Mengislah Ummah. Di dalam ucaputamanya, Shamrahayu memperkatakan tentang prinsip al hisbah yang dirangkumi di dalam frasa al amr bi al maaruf wa al nahy an al munkar yang bermakna menyuruh melakukan perbuatan baik dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.

Menyeru kepada berbuat baik dan mencegah kepada kemungkaran adalah dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Ia mestilah seiring bagi membentuk ummah yang sejahtera.

Prinsip mencegah kepada kemungkaran ini dapatlah dilihat di dalam aspek undang-undang jenayah dan penguatkuasaannya. Menjenayahkan sesuatu perbuatan yang tidak bermoral atau kesalahan yang melibatkan hak orang lain ataupun hak Allah adalah juga salah satu bentuk pencegahan.

Oleh itu, terdapat banyak undang-undang jenayah yang digubal oleh pihak kerajaan sebagai langkah pencegahan kerana prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati atau memperbaiki sesuatu kerosakan.

Segala bentuk pencegahan ini sebenarnya berpaksikan kepada maqasid al shariah ataupun objektif syariah itu sendiri iaitu melindungi agama, nyawa, akal, kehormatan serta keturunan dan harta benda. Maqasid al shariah ini tidak boleh dilunturkan kerana ia adalah tujuan ataupun matlamat syariah itu sendiri walaupun keadaan atau masa berubah. Maqasid al shariah akan kekal utuh dan mantap walaupun keadaan masyarakat menjadi lebih kompleks berbanding sebelum ini.

Sama ada sesuatu masyarakat itu menjenayahkan atau menyahjenayahkan sesuatu perbuatan atau tindakan itu sebenarnya banyak bergantung kepada maqasid al syariah itu sendiri. Ujian yang paling utama ketika ingin memutuskan sesuatu tindakan atau perbuatan itu adalah suatu jenayah yang memerlukan pencegahan adalah bergantung kepada maqasid al shariah sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Walaupun ada sebahagian daripada golongan yang agak liberal tidak mahu kesalahan moral dikawal oleh pemerintah, namun hakikatnya, kesalahan-kesalahan moral tersebut adalah tidak selari dengan maqasid al shariah itu. Malah prinsip kepentingan umum perlu lebih diberi keutamaan berbanding kepentingan peribadi. Pun begitu hal kedua ini juga hendaklah diambil kira kerana kehendak atau kemahuan masyarakat ataupun grundnorm of the society ini seharusnya menjadi tanda aras kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat itu sendiri.

Jika kehendak individu yang diberikan keutamaan akan muncul suatu ketika nanti segala bentuk kehendak dan kemahuan individu ini akan bercanggah antara satu sama lain dan masyarakat sudah tidak dapat berperanan di dalam strukturnya sendiri.

Oleh hal yang demikian, di dalam Islam mencegah jenayah sama ada besar atau kecil adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan ummah. Ia merupakan tanggungjawab setiap orang mukmin selaras dengan hadis nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya jika dia tidak berupaya maka hendaklah dia mencegahnya dengan mulutnya dan sekiranya masih tidak berupaya hendaklah ia mencegahnya dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman.”

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR  ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131219

Bayar zakat untuk elak cukai

ADAKAH salah andai saya meniatkan zakat pada akhir tahun ini untuk mendapatkan faedah dunia yang lain, misalnya memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan, mendapat hadiah atau cenderamata pembayaran daripada pihak institusi zakat dan sebagainya lagi?

Jawapan

Terima kasih kerana mengemukakan persoalan di atas. Tidak dapat dinafikan bahawa, sememangnya pada setiap tahun ada dua bulan yang menjadi 'bulan puncak' dalam kutipan zakat, iaitu pada bulan Ramadan dan juga bulan Disember. Bulan Ramadan menjadi pilihan para pembayar zakat, justeru ramai orang ingin merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang bersedekah dan berzakat pada bulan Ramadan.

Manakala, bulan Disember pula menjadi rebutan pembayar zakat kerana ia adalah waktu yang sesuai bagi menunaikan zakat dan memperoleh rebat atau pelarasan ke atas cukai pendapatan seseorang. Ini kerana, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya menerima pembayaran zakat yang dilakukan pada tahun semasa untuk rebat cukai pendapatan pada tahun berkenaan. Seandainya seseorang terlewat menunaikan zakatnya sehingga masuk tahun hadapan (katakanlah 1 Januari 2012), maka ia sudah tidak boleh direbatkan lagi ke atas cukai pendapatan bagi tahun 2011.

Petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3): “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib (zakat) dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu.”

Menjaga niat

Dalam hal niat pula, sudah semestinya seseorang itu mestilah menjaga niat asalnya dalam berzakat hanya semata-mata sebagai memenuhi ibadah wajib lagi fardu kepada Allah SWT. Apabila seseorang melakukan ibadah tetapi demi maksud atau atas niat yang lain daripada Allah SWT, hakikatnya dia telah meletakkan sesuatu yang lain lebih besar daripada Allah SWT. Sedangkan, perbuatan itu adalah ibadah. Hal ini pastilah menyalahi perintah agama.

Di dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari daripada amirul mukminin Saiyidina Umar al-Khattab r.a, Nabi Muhammad SAW pernah menegaskan: "Sesungguhnya setiap amal perbuatan tergantung pada niat dan setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang dia niatkan."

Oleh itu, seandainya seseorang membayar zakat demi mendapatkan rebat cukainya semata-mata, maka hanya itu sahajalah dia akan memperolehnya. Sedangkan, sepatutnya dia juga turut memperoleh pahala yang bakal dibalas syurga di akhirat kelak. Inilah mafhum kepada hadis di atas.

Namun begitu, fuqaha memang ada membicarakan perihal niat dalam beramal. Di sisi Imam al-Ghazali, beliau menyatakan: “Jika seseorang melakukan amalan dan jika niat atau tujuan keduniaannya lebih menonjol, maka rosaklah pahala amal itu. Jika niatnya jelas untuk ibadah (ikhlas), maka amal itu diterima. Jika bercampur niat keduniaan dan niat ibadah dalam sesuatu amal, maka ia tidak memperoleh pahala."

Manakala pada sisi Imam Abu Ja’afar at-Tobari pula: “Ia dilihat kepada permulaan ibadahnya atau amalnya. Jika pada permulaan amal ia niatkan ikhlas kerana Allah, maka amal itu tidak dirosakkan dengan percampuran niat selepas itu kerana niat dilihat pada permulaannya." (Rujuk: Fath al-Bari, cetakan al-Ahram Mesir, tahqiq Syeikh Sayyid Saqr Jilid 2/16)

Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa, sesuatu amalan itu hendaklah dilakukan dengan niat hanya semata-mata kepada Allah, khususnya pada awal perbuatannya. Kemudian, jika ada niat sampingan yang lain – misalnya mendapat hadiah atau rebat cukai – maka ia hendaklah dikemudiankan. Berdasarkan pandangan ulama, ia tidak akan merosakkan amalan tersebut, melainkan jika seseorang itu lebih mengutamakan niat sampingan berbanding niat ibadah kepada Allah SWT.

Hal ini disamakan seperti seseorang yang mengamalkan puasa sunnah dan dalam masa yang sama, mereka berniat atau berhajat untuk mendapatkan kesihatan yang baik dan dapat menurunkan berat badannya. Maka, selagi mana orang berkenaan mendahulukan Allah SWT, insya-Allah dia akan mendapat pahala di samping beroleh faedah dunia, yakni kesihatan yang baik dan badan yang ramping.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131220

Tiada kerugian bagi yang berhijrah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (al-Nahl: 41)

Ibnu Jarir berkata: "Mereka yang berpisah dengan kaumnya dan meninggalkan tanah watan kerana permusuhan semata-mata kerana Allah SWT nescaya akan ditempatkan Allah di dunia di mana mereka reda dengannya."

Ibnu Kathir berkata: "Balasan bagi golongan Muhajirin semata-mata kerana mengharapkan pahala dan balasan Allah SWT."

Sayyid Quthub berkata: "Kemudian di sini pula Allah SWT bentangkan perihal golongan yang menjadi lawan kepada golongan pengingkar yang tidak beriman. Manakala golongan para Mukminin yang yakin dan percaya kepada Allah SWT dan hari akhirat itulah yang telah mendorong mereka selain sanggup meninggalkan kampung halaman dan harta benda semata-mata kerana Allah SWT dan kerana Sabilullah."

Orang yang telah meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka, melucutkan milik mereka daripada segala sesuatu yang dimiliki dan disayangi mereka, mengorbankan rumah kediaman, hubungan kekeluargaan yang rapat dan hubungan kasih sayang daripada kenangan mereka, dengan harapan mendapat ganti rugi di akhirat kelak. Malah mereka telah menderita kerana kezaliman, penindasan dan telah kehilangan serta kerugian atas meninggalkan kampung halaman mereka."

Kelebihan hijrah

Saya suka menyebut beberapa kelebihan orang yang berhijrah berdasarkan nas hadis antaranya.

Sabda Rasulullah SAW kepada Abi Fatimah al-Dhumari r.a yang bermaksud: "Hendaklah kamu berhijrah kerana ia tiada tandingannnya." (riwayat al-Nasaie 7/465)

Ini menunjukkan betapa kedudukan hijrah diangkat oleh baginda seolah-olah tiada tandingannya. Hal ini jelas membuktikan pengorbanan yang terpaksa dilalui oleh golongan yang melakukan hijrah.

Di samping itu, Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud: Yang menjadi imam dalam kalangan kamu ialah yang paling baik bacaan Quran dan didahulukan yang banyak mengingatnya, jika ingatan atau bacaannnya sama, maka yang jadi imam dalam kalangan mereka yang dahulu berhijrah, jika hijrah pun sama, maka yang layak menjadi imam ialah yang paling tua dalam kalangan mereka. (riwayat Muslim 673)

Berdasarkan kedudukan kelayakan dan keutamaan imam, baginda meletakkan salah satu cirinya golongan yang perlu dikedepankan, antaranya orang yang terdahulu berhijrah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Maka siapa yang melakukan demikian itu di kalangan mereka iaitu yang Islam berhijrah dan berjihad kemudian mati, menjadi hak ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga atau dibunuh ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga. Jika sekiranya dia lemas, maka menjadi hak ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga atau dipijak oleh binatang maka menjadi hak ke atas Allah memasukkannya ke dalam syurga." (riwayat Ahmad 3/483 dan al-Nasaie 6/21)

Rombongan baginda disambut meriah

PENULIS cuba membayangkan bertapa indahnya hijrah Rasulullah SAW. Dalam buku fiqh al-Hijrah antara lain menyebut sambutan yang meriah ditunjukkan oleh penduduk Madinah menunjukkan cinta mereka kepada Rasulullah SAW tidak kira lelaki mahupun wanita, tua dan muda, dewasa dan kanak-kanak kepada Rasulullah SAW.

Menunggu kehadiran rombongan Muhajirin tanpa menghiraukan menunggu lama di bawah panahan cahaya matahari. Apabila terbenam matahari mereka pulang dengan harapan keesokan hari pula dapat bertemu Rasulullah SAW.

Apabila Rasulullah SAW dan para sahabat Muhajirin tiba, perasaan penduduk Madinah begitu gembira. Rombongan Nabi SAW disambut dengan lagu-lagu dan qasidah yang menggambarkan kegembiraan mereka menerima ketibaan baginda. Nabi Muhammad SAW dengan senyum bertanya kepada wanita Bani al-Najjar yang mengalunkan nasyid dan lagu-lagu menyambut kedatangan Baginda: "Apakah kamu cintakan aku? Demi Tuhan sesungguhnya hatiku cintakan kamu sekalian." Segalanya membuktikan bahawa kasih Rasulullah SAW bukanlah semata-mata mengikutnya, tetapi perasaan cinta itu adalah asas dan motif ke arah mentaati segala suruhan yang lain.

Andai kata tanpa perasaan cinta yang berakar umbi daripada dasar hati maka tidak akan timbul keinginan untuk menjalankan suruhan yang lain. Alangkah sesatnya golongan yang menganggap apa yang dikatakan cinta Rasulullah SAW itu semata-mata mengikut dan berpandu dengan ajaran atau amalan Baginda SAW sahaja dengan tidak disertai satu perkataan pun.

Sebenarnya, mereka sudah terlupa bahawa mengikut dan mentaati yang sebenarnya tidak akan wujud tanpa didorong perasaan atau didesak tekanan, maka tidak akan wujud keinginan untuk mematuhi suruhan tanpa cinta yang menggoncang seluruh perasaan.

Oleh itu Rasulullah SAW memperkenalkan kita satu sukatan atau ukuran keimanan dengan Allah ialah kasih dan cinta-Nya itu mengatasi segala cinta, mengatasi cinta terhadap anak, ibu bapa dan manusia lain.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131220

Musim masuk jawi

KELAZIMANNYA dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia setiap kali tibanya musim cuti sekolah pasti akan diadakan majlis berkhatan berama-ramai bagi para pelajar sekolah. Malah ada juga ibu bapa yang memilih untuk melakukan khatan anak mereka secara bersendirian dengan pergi ke hospital atau klinik yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Berkhatan dalam bahasa Arab bererti tindakan memotong kulit yang menutupi hujung alat kelamin lelaki.

Dalam bahasa Arab disebut sebagai qulfah dan dalam bahasa Latin disebut praeputium glandis atau dalam bahasa kita disebut sebagai bersunat. Dalam bahasa kampung di Kelantan disebut sebagai ‘jawi’.

Berkhitan merupakan ajaran warisan Nabi Ibrahim a.s, namun agama-agama Samawi selain Islam, Nasrani dan Yahudi sebenarnya juga mengajarkan penganutnya untuk melaksanakan berkhatan tersebut.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dinyatakan: Nabi Ibrahim melaksanakan berkhatan ketika berumur 80 tahun menggunakan kapak. Dalam Islam, berkhatan berlaku untuk lelaki dan perempuan. Namun para ulama berbeza pendapat akan perkara ini.

Masuk Jawi ... Potong Anu ...


Berkhatan

Menurut mazhab Hanafi, Maliki, salah satu pendapat Imam Syafie dan salah satu riwayat Hanbali mengatakan bahawa berkhatan hukumnya sunat bagi lelaki dan keutamaan bagi perempuan. Pendapat ini didasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berkhatan itu sunat bagi lelaki dan keutamaan bagi wanita. (riwayat Baihaqi)

Manakala pendapat lainnya, mazhab Syafie dan Hanbali serta ulama Malikiyah mengatakan bahawa berkhatan hukumnya wajib bagi lelaki dan perempuan. Pendapat ini dilandaskan kepada ayat yang memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar mengikuti ajaran Nabi Ibrahim a.s. Pendapat ketiga, diriwayatkan oleh Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni bahawa berkhitan hukumnya wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan.

Adapun waktu berkhatan bagi mazhab Syafie dan Hanbali adalah ketika baligh, kerana kegunaan berkhatan adalah menyempurnakan taharah (bersuci) dalam beribadat. Namun disunatkan ketika berumur tujuh hari, kerana Rasulullah SAW telah melaksanakan akikah dan berkhatan untuk kedua-dua cucunya, Hasan dan Husain di hari ketujuh (riwayat Baihaqi). Pendapat lain menyatakan, berkhatan dilakukan ketika berumur antara tujuh hingga 10 tahun.

Selaras dengan perkembangan semasa dan ilmu pengetahuan sains dan teknologi, metodologi (kaedah/cara) berkhatan juga mengalami perkembangan moden. Kalau dahulu berkhatan dengan menggunakan bilah bambu yang tajam untuk memotongnya dan pengkaedahan sekarang sudah semakin canggih iaitu dengan menggunakan laser serta dikenalikan prosedur tersebut oleh doktor di hospital. Teknik paling tua (lama) adalah guilotine atau sayatan pancung.

BERKHATAN bermanfaat untuk menjaga kebersihan dan kesihatan organ kemaluan. Setelah berkhatan akan menjadi lebih mudah untuk membersihkan kotoran putih (smegma) yang sering berada di leher kemaluan. Bahkan pada 2006 lalu, suatu penelitian menunjukkan, lelaki yang berkhatan terbukti jarang terkena jangkitan penyakit berbahaya. Dalam persidangan antarabangsa ke-25 tentang AIDS di Bangkok, dilaporkan hasil penelitian, berkhatan boleh mengurangi peningkatan HIV dan siplis pada alat kelamin.

Prof. Brian Morris dari Universiti Sydney, Australia dalam kajiannya menyatakan, berkhatan sangat bermanfaat bagi kesihatan.

"Lelaki yang berkhatan, risiko HIV dan virus lain termasuk beberapa infeksi menular seksual bakteria jauh lebih rendah dibandingkan dengan lelaki yang tidak berkhatan. berkhatan juga dapat menurunkan risiko kanser kemaluan dan kemungkinan kanser prostat," kata Brian.

Brian turut mengungkapkan, manfaat berkhatan tidak hanya untuk lelaki tetapi juga untuk wanita yang pasangannya 'berkhatan' dan risiko terkena kanser dan jangkitan seperti HPV jauh lebih rendah serta mencegah daripada bahaya penyakit.

Suatu kajian lain secara signifikan menyebutkan, bahawa berkhatan dapat memberikan kepuasan. Dalam masa kajian selama 24 bulan, 99.9 peratus mereka yang berkhatan merasa kepuasan, bahkan 72 peratus mengatakan sensitiviti meningkat.

Selain itu, kemudahan mencapai orgasme (kemuncak) juga lebih meningkat pada mereka yang berkhatan mencapai 63 peratus, berbanding mereka yang tidak berkhatan yang hanya mencapai orgasme sekadar 22 peratus.

Sebelum ini, kelompok doktor kanak-kanak Amerika Syarikat yang berpengaruh mengatakan, berkhatan terhadap bayi yang baharu lahir memberi manfaat kesihatan yang jauh lebih baik berbanding risikonya.



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131220