December 24th, 2013

Wuduk sempurna mudahkan kita dilihat di akhirat

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah pergi ke sebuah kubur dan mengucapkan: Selamat sejahtera untuk saudara semua yang menjadi penghuni rumah orang beriman. Kami menjejaki saudara semua dengan izin Allah. Kami berharap dapat bertemu dengan saudara sekalian.


Sahabat berkata: Wahai utusan Allah! Bukankah kami ini juga saudara kamu? Baginda berkata: Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Manakala saudara-saudaraku belum datang lagi. Mereka bertanya lagi: Bagaimana tuan boleh mengetahui berkenaan orang yang belum ada, wahai utusan Allah?







Baginda berkata: Jika seorang lelaki mempunyai seekor kuda putih dari kepala hingga kakinya, dan kudanya itu berada bersama seekor kuda hitam, tidakkah beliau mengenali kudanya sendiri? Mereka menjawab: Sudah tentu beliau mengenalinya wahai utusan Allah.

Rasulullah meneruskan: Sebenarnya, saudara-saudaraku yang datang itu adalah bercahaya wajahnya dan putih bersih kulitnya dengan sebab mereka berwuduk. Saya pun mendahului mereka pergi ke Telaga Kauthar di dalam syurga.” (Riwayat Muslim)

Hapus kesalahan, naikkan darjat

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Adakah saudara semua suka jika saya tunjukkan satu amalan yang dapat menghapuskan semua kesalahan dan menaikkan darjat? Sahabat menjawab: Ya, beritahulah kami berkenaan amalan itu wahai utusan Allah. Baginda berkata: Amalan itu adalah berwuduk dengan sempurna walaupun saudara terpaksa melakukannya seperti ketika mendapat air yang terlalu sejuk.
Amalan seterusnya, banyakkanlah melangkah kaki ke masjid. Tunggulah waktu solat walaupun baru selesai menunaikannya. Itulah yang disebut ribat, iaitu perjuangan menahan nafsu demi memperbanyakkan ketaatan kepada Allah.” (Riwayat Muslim)

Wuduk yang sempurna akan memudahkan kita dilihat di akhirat nanti melalui raut wajah yang bercahaya. Oleh itu, pastikan wuduk yang diambil bagi membolehkan kita menunaikan ibadat sempurna mengikut sunnah Rasulullah.

Selain wajah yang bercahaya, wuduk yang sempurna juga mampu menjadi penyejuk kepada hati yang sedang marah dan kerana itu kita disaran mengambil wuduk ketika marah. Mungkin tidak ramai menyahut saranan itu tetapi bagi yang melaluinya, terbukti ia berkesan.


Berita Harian Online Agama 24/12/2013

Dakwah tuntut pengorbanan diri

Diwajibkan ummah berusaha tinggikan syiar Islam

Dakwah adalah usaha yang berpanjangan dan berterusan sama panjangnya dengan pertarungan antara hak dengan yang batil. Seorang pendakwah perlu terus berusaha sebaik mungkin serta meletakkan kepentingan umat dan Islam mengatasi dirinya.


Allah SWT telah mewajibkan setiap hambaNya melakukan dakwah Islam dalam konteks kemampuan diri masing-masing.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah mengenai orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Hadid, ayat 25)


Tiga kemungkinan

Oleh itu, apabila seseorang itu tidak melakukan sebarang usaha dakwah dalam kehidupan dirinya, ada tiga kemungkinan akan berlaku, iaitu mereka menjadi penghalang kepada usaha dakwah dengan memberikan kelemahan atau pelbagai masalah.

Disebabkan tiada pembabitan dalam usaha dakwah, ini akan memperkuatkan musuh-musuh Islam. Caranya, mereka yang tidak berdakwah, sebaliknya mendukung ideologi musuh Islam malah mereka bekerjasama dengan musuh untuk menyerang dan melemahkan Islam secara sengaja atau tidak.

Ketiga, mereka yang tidak berdakwah akan mempengaruhi orang lain mengikut cara mereka dengan memberikan pelbagai alasan dan kepentingan bagi menutupi kekecewaan diri. Umumnya ketiga-tiga golongan yang disebutkan itu menjadi penghalang kepada usaha dakwah.

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat golongan itu seperti diceritakan mengenai tiga orang yang tidak ikut serta dalam Perang Tabuk iaitu Kaab bin Malik, Murrah bin Rabi’ dan Hilal bin Umayyah. Ketiga-tiga mereka telah dihukum oleh Nabi akibat kegagalan untuk turut sama berperang mempertahankan Islam, iaitu aspek dakwah yang penting pada waktu itu.

Selain itu, kisah Hatbib bin Abi Baltaah yang telah membocorkan rahsia negara serta melakukan pengkhianatan besar terhadap Islam sehingga Allah SWT menurunkan wahyu memberi peringatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita rahsia orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu, mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah SAW dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul. Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).” (Surah al-Mumtahanah, ayat 1-2)

Enam ciri individu

Fathi Yakin dalam bukunya Apa erti saya menganut Islam, menjelaskan terdapat enam ciri individu dalam organisasi dakwah yang boleh melemahkan usaha dakwah iaitu individu yang tidak berdisiplin, takut mati dan takut miskin, ekstrim yang berlebihan, mengambil mudah dalam setiap perkara, cepat berputus asa dan cemburu kepada orang lain.

Selain itu, banyak ayat al-Quran dan hadis nabi mengingatkan mengenai perlakuan individu yang boleh merosakkan atau merencatkan usaha dakwah sama ada dalam organisasi atau masyarakat. Oleh itu, penting untuk memperkemaskan pengurusan dakwah dalam organisasi.

Masalah yang berlaku dalam kalangan individu terbabit dengan dakwah juga menjadi faktor berjaya atau gagalnya usaha dakwah dilaksanakan.

Hassan Al-Banna dalam bukunya, Risalah Dakwah menyebut, Allah SWT mencela orang Islam yang meninggalkan kewajipan berdakwah. Sesungguhnya Allah telah mengingatkan tidak rugi bagi orang yang terbabit dalam usaha dakwah dan meninggikan syiar Islam.


Bersifat ikhlas, yakin

Sirah juga membuktikan orang yang bersifat ikhlas dan yakin akan terus berjuang demi menegakkan syiar Islam. Hamzah bin Abdul Muttalib rela berjuang kerana Allah SWT walaupun tubuhnya dicincang di medan jihad dalam Perang Uhud, Nabi Ibrahim rela dicampakkan dalam api, Nabi Ayub sabar dan tabah menderita diserang penyakit, Nabi Yusuf mengalami pelbagai dugaan sehingga dipenjara kerana mempertahankan keyakinannya kepada keesaan Allah SWT.

Ternyata semua mereka mempunyai keyakinan terhadap Allah SWT dan terus berdakwah walaupun menghadapi pelbagai rintangan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh daripada kalangan orang yang bersalah dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi penolong (bagimu terhadap mereka).” (Surah al-Furqan, ayat 31)

Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 24/12/2013

Hindari gangguan syaitan

MAKSUDNYA: Aku berlindung kepada Allah untukmu berdua dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat (yang akhirnya mengakibatkan sakit). (riwayat al-Bukhari no. 1535)

Keterangan dan Petua Beramal

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Pandangan mata itu adalah benar." (riwayat Ibnu Majah no 3508. Sahih. Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah no. 737)

Dalam hadis sahih yang lain, Nabi SAW meminta seorang hamba perempuan di rumah Ummu Salamah ditangkalkan kerana terkena pandangan mata jahat. (Al-Azkar: Bab Pandangan Mata Yang Jahat)

Sebagai seorang Muslim, kita dibekalkan dengan pelbagai maklumat penting untuk hidup dengan aman dan selamat di atas muka bumi Allah SWT. Menyedari hakikat al-wiqayah khairun minal ilaj (mencegah lebih baik daripada merawat), maka Nabi SAW mengajar kita agar membaca doa ini, memohon kasih-sayang Allah agar dipelihara cahaya mata kita daripada kejahatan-kejahatan yang tidak mampu terfikir dalam fikiran kita.

Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan kalimah di atas untuk meminta Allah SWT perlindungan cucunda bagindaHassan dan Husin daripada gangguan jin dan syaitan serta pandangan mata yang jahat (al-Ain). (riwayat al-Bukhari no 1535)

Walau bagaimanapun, kita perlu menukarkan penggunaan ganti nama (kaf mim) dalam perkataan (yang merujuk kepada dua orang lelaki atau perempuan) kepada (ka) jika merujuk kepada seorang lelaki (kamu) dan (ki) untuk seorang perempuan (kamu).

Sekiranya terdiri daripada ramai orang pula (kamu semua) kita hendaklah menggunakan (kum) dan (kunna) untuk ramai perempuan (kamus semua). Dalam kes tersebut golongan lelaki dan perempuan pula kita hendaklah mengekalkan penggunaan ganti nama (kum). Wallahu a’lam.

Petikan daripada buku, 101 Doa daripada Hadis-hadis Sahih, Telaga Biru Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131224

Pelaburan akhirat

ABDULLAH bin Al-Mubarak seorang ulama yang luar biasa. Selain menguasai ilmu, beliau juga seorang usahawan yang berjaya. Setiap tahun beliau mengeksport barangan dari Khurasan ke Mekah dan meraih keuntungan yang banyak.

Berbeza dengan kebanyakan usahawan lain, Ibnu Al-Mubarak mempunyai motivasi niaga yang sangat luhur. Motif perniagaannya bukan untuk mengumpulkan harta kekayaan. Akan tetapi menurut beliau perniagaan ialah jalan untuk membina kehidupan akhirat yang lebih selesa.

Fudail bin ‘Iyad berkata kepadanya: “Engkau selalu memerintahkan kami untuk berzuhud, meninggalkan dunia dan bekerja untuk akhirat. Namun mengapa engkau sendiri sibuk dengan perniagaan yang besar ini?”

Ibnu Al-Mubarak menjawab: “Aku berniaga untuk menjaga air wajahku, memelihara kehormatanku dan membantuku dalam mentaati tuhanku.”

Tujuan sebenar harta

Ucapan Ibnu Al-Mubarak ini mengingatkan kita tujuan sebenar harta yang berada di tangan kita. Allah SWT menitipkan harta kepada kita bukan untuk membiayai nafsu serakah kita, akan tetapi untuk mencapai tiga tujuan penting.

Pertama, menutupi hajat manusiawi kita sehari-hari seperti makan, minum dan menyara keluarga.

Kedua, untuk menjaga kehormatan kita agar tidak meminta-minta kepada orang lain.

Ketiga yang tidak kalah pentingnya, harta sangat penting untuk memungkinkan kita melakukan amal ibadah yang lebih banyak.

Siapa yang memiliki kelebihan harta, maka ia memiliki peluang lebih besar untuk menyumbang kepada Islam. Dengan harta, ia boleh melakukan pelbagai ibadah yang tidak dapat dilakukan orang miskin seperti haji, zakat dan sedekah. Lebih penting daripada itu, Muslim yang berharta akan mampu membuat perubahan bagi umat dengan hartanya.

Itu sebabnya Rasulullah SAW memuji harta yang banyak apabila berada di tangan yang tepat. Baginda Nabi SAW bersabda kepada ‘Amr bin Al-‘As: Wahai ‘Amr, betapa bagusnya harta yang baik bagi laki-laki yang soleh. (riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad)

Umar Muhammad Noor  kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131224

Kembangkan dakwah Islam

RABITAH al-Alam al-Islami (ringkasnya dikenali sebagai Rabitah) merupakan sebuah pertubuhan Islam yang merentasi sempadan negara dan bangsa. Matlamatnya mengembangkan dakwah Islam dan menentang kegiatan atau fahaman yang merugikan ummah.

Pertubuhan ini juga dikenali sebagai Liga Dunia Islam ditubuhkan pada 1962 dalam satu pertemuan intelektual Muslim di Mekah (pada musim haji).

Mereka mengkaji pelbagai persoalan di dunia Islam, terutama ancaman komunisme secara umum dan ideologi Nasserisme yang berkembang di Mesir secara khusus.

Pada 18 Mei 1962, peserta pertemuan tersebut telah mengumumkan penubuhan Rabitah.

Namun, Rabitah dianggap lebih banyak berperanan sebagai jurucakap pemerintah Arab Saudi (yang ketika itu bermusuhan dengan Mesir) daripada sebagai pertubuhan bebas.

Setelah permusuhan antara Arab Saudi dengan Mesir berakhir, Rabitah berkembang menjadi pertubuhan antarabangsa yang aktif dalam bidang dakwah dan rangkaian Islam.

Sejak tamatnya perang dingin di antara Arab Saudi dengan Mesir (1957-1967), Rabitah perlahan-lahan mengubah sasarannya.

Selepas pembentukan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Rabitah mula menonjol identitinya sebagai pertubuhan yang menjangkaui sempadan dan bebas, selain OIC.

Pertubuhan ini lebih menumpukan perhatian pada usaha membangunkan rangkaian politik Islam. Sejak 1970-an, kegiatannya lebih tertumpu pada bidang penyelarasan dakwah dan kesejahteraan sosial.

Rabitah juga mengembangkan kegiatan dalam kemasyarakatan dan kesejahteraan sosial, khususnya masyarakat Islam.

Badan yang menangani bidang ini ialah Pertubuhan Bantuan Islam (Islamic Relief Organization). Bersama-sama pelbagai universiti Islam di Arab Saudi, Mesir dan negara Teluk, pusat latihan pendakwah yang dibentuk oleh Rabitah mengadakan pendidikan para pekerja sosial Islam yang sekali gus berfungsi sebagai pendakwah.

Majlis Masjid Sedunia

Pada 1975, Rabitah membentuk Majlis Masjid Sedunia, yang menumpukan perhatian pada penyelarasan kegiatan dakwah. Badan ini mengawas pelbagai majlis masjid di peringkat rantau dan tempatan.

Semasa Rabitah dibentuk, Arab Saudi sedang bermusuh dengan Mesir yang menganuti ideologi “Nasserisme” suatu fahaman sekular yang berasal daripada gerakan pan-Arabisme yang dikembangkan oleh Gamal Abdel Nasser (Presiden Mesir ketika itu) untuk membebaskan bangsa Arab dan Afro-Asia daripada penjajah Barat.

Dalam permusuhan ini, Rabitah diarahkan supaya menyokong politik perpaduan Islam seperti yang dikembangkan oleh Raja Fahd (raja ke-5 Arab Saudi sejak 1982) di Arab Saudi.

Dalam rangka memperkuat rangkaiannya, Rabitah mengembangkan program penerbitan. Pada 1963, ia mula menerbitkan majalah bulanan Majallat Rabitah al- ‘Alam al-Islami, yang sejak 1987 disebut sebagai al-Rabitah.

Selain itu, pada 1973 Rabitah mula menerbitkan majalah berbahasa Inggeris Journal of the Muslim World League dan akhbar mingguan, Akhbar Al-‘Alam al-Islami, yang sejak 1991 ditukar namanya menjadi Al-‘Alam al-Islami sahaja.

Rabitah seringkali dianggap sebagai pertubuhan kebudayaan Islam, pertubuhan masyarakat Islam dan pertubuhan yang ingin mengabdi kepada kepentingan masyarakat dan tidak bertindak sebagai agen pemerintah.

Kuatnya pengaruh Arab Saudi dalam Rabitah juga dapat dilihat pada jawatan Setiausaha Agungnya yang biasanya dipegang oleh rakyat Arab Saudi.

Antaranya ialah Muhammad Surur al-Sabban (1962-1972), Muhammad Salih al-Qazzaz (1972-1976), Muhammad Ali al-Harkan (1976-1983) dan ‘Abd Allah ‘Umar Nasif (sejak 1983).

Disediakan oleh Bahagian Analisis dan Penyelidikan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia   Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131224

Bijaksana hadapi bencana

SUATU ketika dahulu, stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan rakaman gelombang tsunami yang telah meranapkan harta benda dan alam persekitaran, juga mengorbankan tidak sedikit penduduk bumi di kawasan terlibat. Antara negara yang menerima malapetaka ini ialah Jepun. Mangsa yang terlibat menempuh kesengsaraan yang bukan kepalang.

Namun di sebalik menghadapi dugaan besar itu, terbukti penduduk Jepun tidak kehilangan nilai dan moral. Menonton liputan-liputan yang memaparkan sikap mangsa yang tenang mencari-cari orang yang tercinta serta sabar dan berdisiplin semasa beratur menunggu keperluan asas mengingatkan kita bahawa dalam apa sahaja keadaan kita sewajarnya tidak hilang pertimbangan. Kini mereka hampir pulih dan bangun semula dengan gagah kerana sikap positif dan bijaksana dalam melihat pengajaran yang tersurat di sebalik bencana yang melanda.

Hari ini, masyarakat di Malaysia sedang berdepan dengan banjir, tanah runtuh dan pelbagai ujian alam ekoran perubahan cuaca yang memang sudah dimaklumi sebelum ini. Begitu juga bencana sosial yang semakin parah, di mana pembuangan bayi berleluasa. Kenaikan harga barang, persengkataan politik dan memuncaknya jenayah telah menjadi warna dominan di dalam media cetak mahupun elektronik.

Sebagai manusia beragama, semua bencana dan ujian yang menimpa seharusnya menjadikan sesuatu bangsa lebih celik agama dan bijaksana, iaitu kembali kepada sistem dan cara hidup yang dituntut. Masyarakat yang diuji sewajarnya bermuhasabah bagi mengenal pasti kelemahan dan kepincangan yang menyebabkan berlakunya bencana. Bukan semua bencana itu takdir tetapi merupakan peringatan daripada Yang Maha Kuasa.

Manusia hebat

Menyorot sejarah manusia hebat dalam menghadapi ujian, kita boleh mengambil panduan daripada tindakan dan sikap Khalifah Umar Abdul Aziz dalam kejadian gempa bumi yang sangat kuat mengegarkan bandar Damsyik dan dataran Syam pada zaman pemerintahan baginda.

Baginda terus mengutus surat kepada gabenor seluruh jajahannya dan berpesan, “Sesungguhnya gempa bumi ini adalah suatu amaran Allah SWT kepada sekelian hamba-Nya”.

Khalifah Umar memerintahkan supaya rakyat jelatanya keluar beramai-ramai ke tempat lapang untuk solat pada suatu hari yang ditetapkan. Sebelum itu baginda menyarankan kepada mereka yang berharta supaya mengeluarkan sedekah dan menyebut nama Allah SWT lalu mengerjakan solat.

Baginda juga memerintahkan supaya mereka menyebut doa istighfar tiga orang nabi terdahulu iaitu Adam, Nuh dan Yunus a.s, di mana nabi Adam a.s berdoa seperti mana dalam surah al-A’raf: 23 yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampun kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi.

Angkara manusia

Sesungguhnya terdapat sebahagian bencana yang berlaku adalah balasan atau reaksi alam kepada kerosakan yang dilakukan manusia. Di dalam al-Quran, setidak-tidaknya ada dua ayat penting yang berbicara tentang musibah (bencana alam). Ini membuktikan bahawa bencana sebagaimana yang seringkali berlaku telah diingatkan oleh Allah SWT. Mereka yang sering menaakul pergerakan alam dan berfikir tentang ayat-ayat Allah SWT sudah menjangka akan kejadian ini.

Dalam surah as-Syura ayat 30 Allah berfirman yang bermaksud: Dan apa jua musibah yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.

Justeru, manusia diperintahkan agar sentiasa bermuhasabah dan kembali kepada perintah agama dalam mengenalpasti punca bencana dan untuk menguatkan mental setiap kali mendepani bencana. Selain sedar dan memperbetulkan diri, kita disarankan agar bersabar dan berdoa setiap kali diuji. Bersabar tanpa disusuli usaha dan doa juga tiada guna kerana umat Islam perlulah dinamik dalam hidupnya.

ADALAH sangat merugikan sekiranya sikap menyalahkan sesama-sendiri atau menuding salah kepada pihak-pihak tertentu diamalkan dalam keadaan kepayahan menghadapi bencana sebagaimana yang berlaku baru-baru ini. Sewaktu sesetengah pihak sedaya-upaya berusaha menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan dan Kemaman, ada suatu pihak lain pula secara semberono menuduh mereka tidak berbuat apa-apa untuk membantu mangsa. Sikap mempersoalkan usaha orang lain tanpa inisiatif ini sangat memburukkan keadaan.

Sikap sebegini bukan sahaja tidak boleh menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh mencetuskan pergaduhan dan masalah lain pula, sedangkan Allah SWT menurunkan segala bentuk ujian, bencana dan bala untuk mengembalikan manusia kepada agamanya. Maka sangatlah rugi jika tiada pengajaran yang dapat dihadam daripada kejadian bencana yang menimpa.


ROZAIS AL-ANAMY ialah Eksekutif Kanan Kawalan Kandungan di Jabatan Pembangunan Kandungan & Penyelidikan Program di TV AlHijrah. Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20131224