December 25th, 2013

Rahsia solat sunat malam

Abdullah bin Amru berkata, “Rasulullah bersabda: Sembahyang sunat waktu malam dan puasa yang disukai Allah adalah sembahyang dan puasa dilakukan oleh Nabi Daud. Baginda tidur separuh malam. Kemudian satu pertiga malam baginda bersembahyang sunat. Manakala satu perenam lagi baginda tidur. Baginda juga puasa dengan berselang seli.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Kelebihan menghidupkan malam dengan beribadah banyak dan umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Keheningan malam yang mendamaikan jiwa boleh mencetuskan semangat untuk beribadat dengan tenang.


Ketika orang lain enak diulit mimpi, mereka yang terjaga sepatutnya mengambil kesempatan itu bangun menunaikan solat bukan menarik selimut kerana ketika itu malaikat turun untuk mencari hamba Allah SWT yang berdoa kepada Tuhannya.

Jabir berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sebenarnya pada setiap malam ada satu waktu yang istimewa. Apabila ada seorang muslim memohon kebaikan untuk dunia atau akhirat pada waktu itu, pasti Allah akan memperkenankan doa orang itu. Waktu istimewa itu ada pada setiap malam.” (Riwayat Muslim)

Dijadikan amalan harian

Justeru, tidak kira apa sebabnya kita bersolat malam sama ada untuk memohon hajat, meminta dimudahkan urusan atau bertaubat kepada Allah SWT, yakinlah usaha itu mendapat perhatian istimewa dan Allah SWT akan memperkenankan permintaan itu.

Namun, jika tidak juga termakbul perkara dihajati, ada sebab yang hanya Allah SWT Maha Mengetahui. Namun, itu bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya amalan solat malam wajar dijadikan amalan harian.

Mereka yang sudah terbiasa bangun untuk menunaikan solat malam boleh menceritakan kenikmatan dirasai serta perubahan dilalui berbanding sebelum mereka mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui ibadat solat sunat pada tengah malam.

Alangkah indahnya jika suami yang terbangun untuk menunaikan solat sunat turut mengajak isteri kerana Abu Hurairah dan Abu Said berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang suami bangun pada waktu malam dan mengejutkan isterinya kemudian mereka berdua melakukan sembahyang sunat dua rakaat, Allah menyenaraikan mereka berdua dalam senarai orang yang mengingati Allah.” (Riwayat Abu Daud)


Berita Harian Online Agama 25/12/2013

Hak persaudaraan wajib ditunai umat Islam

Sifat tolong-menolong dapat pelihara ummah daripada ditimpa malang, bahaya


Salah satu sifat utama yang mencerminkan keperibadian Muslim sejati, di samping memperkukuhkan tali persaudaraan sesama Islam ialah tolong-menolong. Allah SWT sendiri amat menganjurkan umat Islam menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian.


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 2)


Sepanjang kehidupan manusia, terhampar pelbagai kesulitan dan kesukaran yang menguji ketahanan serta keperibadian diri. Walaupun begitu, seorang manusia selamanya tidak mampu untuk bertahan keseorangan menghadapi segala bentuk kepayahan dan kesulitan yang merintangi dirinya.

Oleh sebab itulah, dia amat memerlukan pertolongan rakannya. Maka, benarlah pepatah Arab yang menyatakan: “Seorang itu amat sedikit (tenaga kekuatannya) apabila berseorangan, dan akan menjadi bertambah banyak jika dia berada bersama-sama saudaranya.”


Tak mengira masa

Hak persaudaraan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap saudaranya ialah hendaklah dia menolong saudaranya baik masa senang atau susah, pada setiap saat dan ketika. Barangkali inilah maksud yang cuba diungkapkan Rasulullah SAW dalam sabda: “Ibarat seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang setengah bahagiannya menegakkan bahagian yang lain.” (Riwayat Bukhari)

Justeru, persaudaraan Islam yang tulen adalah satu nikmat Ilahi yang tiada ternilai. Sehubungan itu, seorang Muslim wajib bersama saudaranya untuk mempertahankan kebenaran Islam dalam apa juga keadaan, menunjuk jalan kepadanya jika dia tersesat dan mencegahnya jika dia terlajak.

Sabda Rasulullah SAW: “Tolonglah saudaramu sama ada dia seorang penganiaya ataupun yang kena aniaya! Jawab sahabat: Menolongnya sewaktu dia teraniaya, fahamlah kami, maka bagaimana mungkin pula menolongnya bila dia yang menganiayai? Ujar Rasulullah: Kamu mencegahnya daripada perbuatan aniaya itulah erti kamu telah menolongnya.” (Riwayat Bukhari)


Peranan Muslim

Selain itu, setiap Muslim wajib menolong saudara semuslim berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Jika dia seorang pemimpin yang berkuasa, maka dia berkewajipan menolong rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan menyediakan keperluan asas kehidupan rakyatnya.

Kuasa adalah satu amanah Allah SWT yang cukup berat pada bahu seseorang pemimpin. Jika dia melaksanakan amanah dengan ikhlas dan baik, insya Allah dia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Sebaliknya jika dia cuai memikul amanah itu dan dijadikan alat untuk mencari kekayaan serta menambah koleksi harta peribadinya, bukannya untuk menolong rakyat, maka dia hanya menempah tempat dalam api neraka.

Seorang Muslim yang berada dan kaya pula, maka dia berkewajipan membantu saudaranya dari sudut kewangan. Sudah menjadi sunnatullah ada yang kaya dan ada pula yang miskin.

Alangkah baiknya harta orang kaya dinafkahkan kepada orang memerlukan terutama fakir miskin, pesakit kronik yang memerlukan dana perbelanjaan untuk menanggung kos pembedahan, ibu tunggal, anak yatim dan mangsa musibah.

Perlu ditegaskan bahawa amalan menafkahkan harta pada jalan Allah SWT bukan hanya terhad kepada membelanjakan hartanya pada jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma dan menumbang untuk maslahah umum.


Berdasar kemampuan, daya

Selain itu, ulama atau guru pula boleh membantu umatnya dengan sumbangan ilmu yang berharga. Seorang yang sihat dan gagah perkasa boleh menolong saudaranya dengan meringankan beban yang ditanggungnya.

Pendek kata, setiap Muslim boleh menolong saudara berdasarkan kemampuan dan daya upaya yang ada padanya. Sifat tolong-menolong inilah yang menjadi asas keperibadian Muslim sebenar dan tonggak utama yang menegakkan binaan persaudaraan Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Budi kebajikan (tolong menolong) itu akan memelihara seseorang daripada ditimpa malang dan bahaya yang mendatang, bersedekah (membantu meringankan beban saudaranya) dalam keadaan sulit atau tersembunyi daripada pengetahuan umum akan menghapuskan kemurkaan Tuhan, dan menjalinkan atau mengeratkan tali silaturahim (dengan sifat tolong menolong) akan melanjutkan usia seseorang.” (Riwayat Tabrani)

Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi Berita Harian Online Agama 25/12/2013

Bolehkah sambut Krismas?

KEISTIMEWAAN Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan adat resam menjadikan ia satu kelebihan yang membanggakan di mata dunia.

Demi memperkukuhkan semangat persefahaman dan kesatuan dalam kepelbagaian tersebut, setiap tahun pelbagai sambutan dan perayaan diadakan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan juga Krismas.

Hari ini, iaitu bersamaan 25 Disember merupakan hari penting bagi penganut agama Kristian, bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia akan menyambut hari penting tersebut iaitu perayaan Krismas.

Namun, sebagai umat Islam dinasihatkan agar mengelakkan daripada menyambut perayaan Krismas dengan pelbagai cara termasuk menyerupai ikon bagi sambutan tersebut.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Dr. Irwan Mohd. Subri kerana dikhuatiri dapat menjejaskan akidah umat Islam dan secara langsung membawa semua kepercayaan agama adalah sama.

Bagaimanapun tambahnya, umat Islam diharuskan untuk menziarahi serta memberi ucapan selamat sekiranya perbuatan tersebut sebagai tanda toleransi dan mengeratkan hubungan kemasyarakatan demi perpaduan sesama bangsa.

“Pada asasnya, prinsip menyambut perayaan agama lain di sisi Islam adalah haram, lebih-lebih lagi apabila membabitkan soal kepercayaan. Ini kerana ia dibimbangi boleh menggugat akidah sebagai umat Islam.

“Oleh itu, seboleh-bolehnya kita perlu mengelakkan daripada terlibat dalam upacara sambutan tersebut kerana dikhuatiri dengan tanpa kita sedari perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan ditegah,” katanya ketika dihubungi Mega, Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Irwan berkata, tidak menjadi kesalahan dalam agama Islam untuk memperagakan apa jua jenis pakaian termasuk pakaian Santa Claus selagi mana menutup aurat.

“Isu memakai pakaian yang menjadi simbolik sesuatu agama seperti memakai Sari bagi kaum India pada dasarnya tidak menyalahi agama Islam, begitu juga pakaian Santa Claus yang menjadi ikon bagi sambutan perayaan Krismas.

“Tetapi penting bagi kita untuk mengkaji semula sejarah pakaian tersebut. Jika ia ternyata mengikhtiraf dan memuliakan upacara sesuatu agama, ia dilarang sama sekali dan menyalahi menurut ajaran Islam.

“Dan dalam isu ini, umat Islam sebolehnya perlu mengelakkan daripada memakai pakaian tersebut bagi mengelakkan fitnah dan perkara buruk terhadap individu dan agama Islam,” jelasnya.

Perkara sama juga katanya mengucapkan selamat dan tahniah kepada masyarakat bukan Islam yang ingin menyambut perayaan mereka adalah harus.

“Namun, dengan syarat ucapan itu bukan berniat meredakan, atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut,” ujarnya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131225

Menangani kemelut akidah

DEWASA ini, isu-isu melibat akidah umat Islam semakin hangat diperdebatkan dalam kalangan rakyat negara ini sehingga mencetuskan polemik yang tiada kesudahan.

Bagi umat Islam, soal akidah perlu dipertahankan kerana itu merupakan asas pegangan bagi seseorang individu yang mengaku beriman kepada Allah SWT, apatah lagi itu tanda hubungan manusia dan pencipta.

Namun demikian, mengapa masih ramai mempertikaikan soal akidah selaku isu agama di negara ini? Sedangkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia menerusi Perkara 3 jelas menyatakan Islam merupakan agama persekutuan.


SYIAH menerapkan elemen keganasam dalam kehidupan mereka. - Gambar hiasan

Bagi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, takrifan itu membawa maksud luas jika dibandingkan istilah Islam sebagai agama rasmi, dengan beliau mengatakan konteks itu meliputi segenap aspek soal pentadbiran negara ini.

Terang beliau, jika Islam sebagai agama rasmi maka ia lebih berbentuk ritual seperti membaca doa dalam acara rasmi kerajaan. Malah terangnya lagi, kandungan Perlembagaan Persekutuan merupakan Kontrak Sosial yang disepakati oleh semua agama dan kaum sebelum digubal sehingga diguna pakai sampai ke hari ini.

“Oleh demikian, saya merasakan pertikaian soal akidah dan agama Islam tidak wajar berlaku dengan melaungkan soal kebebasan beragama dan hak asasi, tetapi idea mereka tidak relevan dengan apa terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Maka soal sama dilontarkan oleh sesetengah golongan yang mendakwa pihak berkuasa agama Islam tidak mengamalkan hak asasi kerana tidak membenarkan dan menyekat penyebaran kepercayaan mereka.

“Memang tindakan dilakukan pihak berkuasa adalah betul kerana agama dan kepercayaan lain boleh mengamalkan kepercayaan tanpa sekatan tetapi mereka tidak dibenarkan menyebarkannya kepada umat Islam. Hal ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui oleh semua kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan,” ujar Asyraf Wajdi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangannya pada forum khas bertajuk, Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam Wacana Pemantapan Akidah Mendepani Ancaman Kritianisasi, Liberalisme dan Syiah anjuran Yadim dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi, baru-baru ini.

Mengenai persoalan mengapa akidah ASWJ harus dipertahankan, beliau menjawab jika akidah seseorang umat Islam benar, maka perkara lain turut jelas.

Maka dengan sebab berkenaan, Asyraf Wajdi berkata, akidah ASWJ harus dipertahankan kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa pada akhir zaman, akan wujud pelbagai perbezaan, namun baginda berpesan agar berpegang kepada sunnahnya dan khalifah al-rasyidin.

“Oleh demikian, mengapa umat Islam kini berpecah belah, porak-peranda dan sebagainya kerana kefahaman kita terhadap akidah masih tidak betul dan jelas lagi. Sebab itu mudah anasir luar menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat negara ini.

“Malah bukan sekadar difahami dalam soal akidah sahaja, tetapi hadis disebutkan tadi perlu dihayati dalam tafsiran meluas iaitu mencontohi akhlak Nabi dan sebagainya,” ujar Asyraf Wajdi.

“JIKA diteliti takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah bermaksud sekumpulan umat Islam yang mengambil cara dan pengamalan yang diambil daripada Rasulullah dan diteruskan oleh para Khalifah al-Rasyidin sehinggalah ke ulama hari ini. “Istilah itu berbeza apa yang diterjemahkan oleh ajaran lain yang taksub kepada ketua mereka seolah individu berkenaan seperti nabi.”

- Datuk Mokhtar Syafie Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

€œMENERUSI wacana seperti ini, kita akan mengetahui cabaran dan ancaman kepada kita untuk mendepani masa akan berlaku di hadapan kita. “Maka diharapkan para hadiran dapat mengambil ikhtibar daripada ilmu yang disampaikan oleh para pembentang kertas kerja.

- Halim Mokhta Warga Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor JUANI MUNIR ABU BAKAR
Gambar Azlan Hadi Abu Bakar Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131225

Janganlah menyakiti jiran tetangga

JIRAN tetangga ialah orang yang tinggal bersebelahan atau berhampiran dengan kediaman kita. Sejak zaman-berzaman, manusia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan berjiran yang membentuk suatu komuniti. Hidup berjiran merupakan amalan yang mulia serta memberi banyak manfaat kepada manusia.

Islam sebagai sebuah agama yang syumul (menyeluruh) dan lengkap turut menitikberatkan adab-adab terhadap jiran tetangga. Inilah keistimewaan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana ia bukan sahaja menekankan aspek ketuhanan, bahkan turut merangkumi aspek sesama manusia.

Bagi sesetengah orang, jiran tidak lebih sekadar mereka yang tinggal berhampiran rumah dan tidak ada kaitan dengan hidupnya. Tidak perlu menghormati mereka, apatah lagi mengambil berat dan beradab sesama jiran. Pandangan seperti ini sebenarnya jauh tersasar kerana Allah SWT sendiri memerintahkan umat Islam saling berbuat baik kepada jiran tetangga.



Firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. (an-Nisa’: 36)

Menurut Ali bin Abi Talhah, Mujahid dan Qatadah, maksud jiran tetangga yang dekat dalam surah an-Nisa’ di atas ini ialah orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita. Sedangkan maksud jiran tetangga yang jauh bermaksud mereka yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita.

Hubungan kekeluargaan

Pendapat lain daripada Abu Ishaq mengatakan bahawa jiran tetangga yang dekat tersebut bererti jiran tetangga yang dekat itu ialah orang Islam sedangkan jirang tetangga yang jauh itu ialah orang bukan Islam.

Berdasarkan definisi ini, jelas menunjukkan kewajiban melakukan kebaikan terhadap jiran tetangga, baik mereka ahli keluarga atau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan sekalipun mereka bukan Muslim. Beginilah keindahan yang ditekankan oleh Islam agar manusia saling hidup dengan aman dan sejahtera.

Rasulullah SAW turut mengingatkan kita semua terhadap kepentingan menjaga hubungan kejiranan dan adab-adab terhadap mereka. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa jiran tetangga itu termasuk ahli waris. (riwayat Al-Bukhari no. 6014)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW sentiasa dipesan oleh Malaikat Jibril untuk berbuat baik kepada jiran tetangga. Baginda menyangka jiran termasuk ahli waris kerana Malaikat Jibril kerap berpesan supaya berbuat baik terhadap jiran. Seperti yang kita ketahui, orang yang layak mewarisi harta ialah mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pewaris. Bayangkanlah nasihat Malaikat Jibril ini kepada Nabi, sehingga Baginda menyangka jiran itu umpama ahli keluarga kita sendiri.

DALAM sebuah hadis lain, Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa mereka yang membuatkan jiran tetangga berasa tidak selesa dengannya sebagai orang yang tidak sempurna imannya.

Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah tidak sempurna imannya. Demi Allah tidak sempurna imannya. Beliau ditanya siapakah ya Rasulullah? Baginda menjawab: Orang yang mana jiran tetangganya tidak merasa aman kerana gangguannya. (riwayat Muslim no. 46)

Sebahagian umat Islam zaman kini mengabaikan hak-hak jiran tetangga sehingga menimbulkan rasa kurang selesa jiran tetangga.

Contohnya tidak menjaga kebersihan sehingga menyebabkan jiran terganggu dengan bau busuk atau terlalu bising di rumah sehingga mengganggu ketenteraman jiran terdekat.

Perkara sebegini wajib dielakkan bukan sekadar menunjukkan tanda keimanan bahkan supaya hubungan silaturrahim dengan jiran dapat dipelihara sebaiknya.

Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jiran tetangganya. (riwayat Al-Bukhari no. 6136)

Menyakiti jiran bukan hanya bermaksud mencederkan tubuh badan mereka sebaliknya ia juga bermaksud menimbulkan rasa tidak selesa, tidak tenteram dan kurang senang dengan sikap kita yang berjiran dengannya. Semoga kita semua sentiasa menjaga adab-adab berjiran yang ditekankan oleh Islam sebaik-baiknya. Wallahu a’lam.



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131225