December 27th, 2013

Raikan perayaan pelbagai agama bukti kita harmoni

Kebebasan beragama membenarkan pelbagai pihak menyambut perayaan masing-masing mengikut garis panduan yang ditetapkan perundangan dan Perlembagaan. Penganut Kristian yang hampir 10 peratus di Malaysia hari ini turut merayakan sambutan Krismas dalam suasana aman dan meriah. Ia membuktikan Malaysia sebuah negara yang memberi hak kepada semua rakyat melaksanakan kepercayaan mereka walaupun Islam diperakui sebagai agama Persekutuan mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.


Tradisi kebebasan beragama adalah sesuatu yang unik dan semua pihak bebas mengamalkan kepercayaan mereka, asalkan tidak mengganggu gugat penganut agama lain. Penganut Kristian tentu sedar betapa mereka hidup dalam masyarakat majmuk dengan kepelbagaian bangsa dan resam.

Justeru, sikap saling menghormati dan memahami amat diperlukan bagi mengelakkan pelbagai kesan buruk yang mungkin berpunca daripada faktor yang remeh-temeh. Perkara inilah yang mereka amalkan sebelum ini yang menyebabkan Malaysia kekal aman dan rakyat bebas melakukan pelbagai aktiviti kehidupan. Keadaan ini juga yang mendorong pelbagai penganut agama boleh hidup bersama tanpa sebarang prasangka yang boleh menjejaskan keharmonian kaum.

Kita yakin sebahagian besar penganut Kristian tidak mudah terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang cuba menjadikan isu agama sebagai wadah politik.

Isu kalimah Allah yang sengaja disuarakan pihak berkenaan sebelum ini adalah percubaan mempolitikkan agama bagi kepentingan tertentu. Hal ini tidak wajar berlaku kerana sejarah dan tradisi membuktikan kalimah Allah digunakan umat Islam sekian lama dan sebarang percubaan memesongkan fakta boleh menguji makna kebebasan beragama di Malaysia.

Kita wajar berterima kasih kepada sebahagian besar rakyat yang cintakan keamanan dan bersedia untuk menjadikan perayaan agama untuk keraian bersama. Semangat dan persefahaman yang ada perlu dipertingkatkan kerana imej perpaduan wajar dipertahankan semua pihak.

Sambutan Krismas dan tahun baru 2014 yang hampir tiba adalah detik menguji rakyat Malaysia dengan pelbagai cabaran pada masa akan datang. Jika selama ini kita bersatu hati membina negara dengan semangat perpaduan, kita juga wajar bersama membawa Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.


Cita-cita ini hanya tercapai jika semua pihak bersatu hati dan menjadikan perbezaan agama untuk saling lebih mengenali. Kita wajar mengambil teladan daripada beberapa negara yang bermasalah kerana perbezaan agama. Kejadian letupan bom di Selatan Thailand dan krisis berpanjangan di Myanmar adalah bukti nyata perlunya persefahaman di antara agama menjadi panduan untuk masa depan yang lebih gemilang.


Minda Pengarang Berita Harian Online Rencana 27/12/2013

Zakat bukan cukai

APAKAH kedudukan zakat dan cukai di dalam Islam? Bagaimanakah perspektif cukai pada zaman dahulu dan apakah sewajarnya sikap umat Islam di Malaysia, khususnya dalam mendepani situasi zakat dan cukai ini? Harap penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, mudah-mudahan jawapan yang disediakan ini mampu memberikan kelegaan kepada kita dalam meraikan kedua-dua perkara, zakat dan cukai ini. Apatah lagi menjelangnya bulan Disember, umat Islam wajar sedar bahawa tarikh untuk mendapatkan rebat ke atas cukai pendapatan melalui zakat yang ditunaikan juga kian berakhir.

Zakat adalah rukun Islam. Ia adalah ketetapan yang mutlak (qatie). Cukai pula perkara baharu, ia mendatang sifatnya dan hanya bersifat ijtihadi. Zaman dahulu, umat Islam hanya diwajibkan menunaikan zakat, tidak diwajibkan membayar cukai. Manakala, orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan membayar zakat; maka mereka dikenakan cukai.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah: 277)

Oleh itu, interaksi umat Islam dan zakat adalah amat intim. Tidak sempurna keislaman seseorang tanpa menerima adanya zakat. Menolak zakat sebagai elemen syariat, membawa kepada kekufuran di sisi Allah SWT. Orang yang kufur atau murtad, wajib kembali kepada Islam, menerima kefarduan zakat dan tunduk patuh kepada hukum-hakam yang telah ditetapkan Allah SWT.

Ketinggian zakat

Di samping itu, tindakan segelintir manusia yang menyamakan zakat sebagai elemen cukai dalam Islam juga merupakan suatu kesalahan. Zaman silam, seperti mana pernah dikupas di dalam kitab tafsir, ada orang Islam yang telah menyamakan zakat sebagai cukai dan akibatnya mereka dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Maka, keimanan seseorang Muslim itu tertakluk kepada keimanannya kepada zakat. Zakat mesti diyakini, difahami dan diamalkan. Tanpa zakat, seluruh keimanannya akan tertolak. Inilah ketinggian zakat di sisi umat Islam.

Atas nama menjaga ketinggian itu jugalah, Abu Bakar as-Siddiq pernah bertegas dalam hal ini saat mendepani sikap segelintir umat Islam yang enggan menyerahkan zakat kepadanya setelah kewafatan Rasulullah. Kata Abu Bakar: “Akan aku perangi orang-orang yang enggan menyerahkan zakatnya kepadaku, sebagaimana dahulunya mereka menyerahkan zakat kepada Rasulullah SAW.”

Namun, sejarah juga menyaksikan betapa Islam tidak menolak sistem cukai secara total. Ini kerana, Islam bukanlah sebuah agama paksaan kepada semua orang. Allah SWT menegaskan, hanya yang menerima Islam sahaja wajib tunduk kepada zakat. Maka, bagaimana pula bagi mereka yang tidak menganuti Islam tetapi mendapat ketenteraman di dalam sebuah negara Islam? Apakah sumbangan mereka?

Maka, lewat zaman keagungan Islam lebih 1400 tahun dahulu, Nabi Muhammad SAW telah menerima sistem cukai ini, iaitu jizyah (cukai individu) dan kharaj (cukai tanah) yang berbentuk cukai yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang mendapat perlindungan di dalam negara Islam (disebut kafir zimmi).

Tidak membebankan

Cukai-cukai ini sebenarnya, menjadi sebahagian daripada mekanisme menambah pendapatan negara demi kebaikan seluruh rakyat. Ia juga seiring dengan zakat yang dikenakan ke atas umat Islam. Kadar jizyah dan kharaj juga tidak banyak bezanya dengan zakat, yakni tidak membebankan.

Di dalam kitab Al-Amwal oleh Abu Ubaid, beliau meriwayatkan daripada az-Zuhri yang mengatakan: “Rasulullah SAW menerima jizyah daripada orang Majusi Bahrain.” Az-Zuhri menambah lagi: “Siapa sahaja di antara mereka yang memeluk Islam, maka keIslamannya diterima dan keselamatan diri dan hartanya akan dilindungi melainkan tanah. Kerana tanah tersebut adalah tanah fai’ (rampasan) bagi kaum muslimin, kerana orang itu tidak menyerah diri sejak awal, sehinggalah dia terlindungi.” Maksudnya sehingga mereka di lindungi oleh kaum Muslimin.

Rasionalnya, zakat tidak boleh dikenakan kepada golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai cukup syarat, iaitu mesti beragama Islam untuk menunaikan zakat. Namun, mereka tetap perlu memberikan sumbangan kepada negara melalui jizyah atau kharaj kepada pemerintah negara. Menurut Mohammad Assad di dalam bukunya, Islam at the Crossroads, konsep zakat dan jizyah ini adalah sama, iaitu sebagai sumbangan kepada negara.

Perkembangan negara Islam, khususnya pasca kewafatan Rasulullah SAW dan Abu Bakar as-Siddiq, amat memberangsangkan. Umar al-Khattab r.a telah berjaya mengembangkan Islam sehingga ke luar perbatasan sempadan tanah Semenanjung Arab dan menyaksikan banyak juga negara yang menerima ketuanan dan mengiktiraf Islam, tetapi mereka masih enggan memeluk Islam.

Maka, lahirlah beberapa jenis cukai lain dan pemerintah Islam meraikan perkembangan itu. Misalnya, cukai usyur telah diperkenalkan bagi mengutip cukai ke atas kapal-kapal milik pedagang bukan Islam yang menjalankan perniagaan di negara Islam. Begitu juga dengan cukai kharaj yang dikenakan oleh pemerintah Islam kepada orang-orang bukan Islam yang mengerjakan tanah atau pertanian, ia semakin meluas dilaksanakan.

Nota: Jawapan disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan boleh diemailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari http://www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my/ untuk maklumat lanjut.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131227

Balasan orang bersabar

DAN sesungguhnya Tuhanmu (pelindung) bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cubaan, kemudian mereka berjihad dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Nahl: 110)

Ibnu Jarir berkata: “Sesungguhnya Tuhanmu wahai Muhammad bagi sesiapa yang berhijrah dan berpindah ke negeri Islam selepas berada dalam fitnah golongan musyrikin sudah pasti akan mendapat kebaikan daripada Allah SWT."

Ibnu Kathir berkata: “Di sana terdapat golongan mustadafiin tinggal di Mekah dalam keadaan hina dan terdedah daripada fitnah.”


MASJID Quba' di Madinah merupakan masjid yang terawal dibina atas dasar takwa.

Sayyid Qutub berkata: “Mereka adalah terdiri daripada orang-orang Arab yang lemah. Mereka ditindas oleh kaum Musyrikin yang zalim supaya meninggalkan agama Islam yang telah dianuti mereka. Mereka ditindas dengan azab seksa dan lainnya, tetapi mereka telah berpindah dari Mekah selepas penindasan-penindasan itu setelah mereka mendapat peluang berbuat begitu dan setelah keIslaman mereka mencapai tahap yang baik. Mereka telah berjihad kerana agama Allah dengan sabar dan gigih memikul tugas-tugas dakwah. Oleh itu, Allah menyampaikan berita kepada mereka bahawa Dia akan mengurniakan keampunan dan limpah rahmat-Nya kepada mereka.”

Saya ingin mengemukakan satu episod hijrah baginda SAW ketika singgah di Quba’ dan memasuki kota Madinah.

Pada hari Isnin 8 Rabiulawal tahun 14 Kenabian, tahun pertama hijrah bersamaan 622M, baginda tiba di Quba’. (rujuk Rahmah Li al-Alamin 1/102.)

Pada hari tersebut genaplah usia Rasulullah SAW 53 tahun, sementara kenabiannya genap 13 tahun. Ini berdasarkan pendapat yang mengatakan baginda dilantik menjadi Nabi pada 9 Rabiulawal tahun 41 Tahun Gajah.

Urwah bin al-Zubair berkata: “Orang-orang Islam di Madinah mendengar Rasulullah SAW telah keluar dari Mekah. Setiap pagi mereka akan keluar ke padang lapang untuk menanti ketibaan NAbi SAW. Apabila panas semakin terik, mereka pulang dan terus menanti dengan penuh kehampaan setiap kali menunggu. Setelah pulang ke rumah masing-masing, seorang lelaki Yahudi mendaki salah sebuah tembok kepunyaan mereka untuk melakukan sesuatu tugas. Tiba-tiba, dilihatnya Rasulullah SAW dan sahabatnya berpakaian putih terlindung oleh fatamorgana.”

Dia tidak dapat menahan perasaannya lalu bersuara: “Hai sekalian orang Arab, inilah pemimpin kamu yang dinanti-nantikan. Lalu orang Islam segera keluar dengan membawa senjata masing-masing.” (rujuk Sahih al-Bukhari 1/55)

Ibnu Qayim berkata: “Kedengaran bunyi riuh-rendah dan takbir di perkampungan Bani ‘Amru bin Auf dan orang-orang Islam turut bertakbir lantaran terlalu gembira dengan kedatangan Baginda SAW. Mereka segera keluar untuk bertemu Rasulullah SAW dan mengalu-alukan kedatangan seorang Nabi. Mereka mengelilingi Baginda dan berpusing di sekitarnya.”

Ketenangan menyelubungi diri baginda lantas turun wahyu Allah SWT yang bermaksud: Kerana sesungguhnya Allah adalah Pembelanya, dan selain daripada itu Jibril serta orang-orang yang soleh daripada kalangan orang-orang yang beriman dan malaikat-malaikat juga menjadi penolongnya. (al-Tahrim: 4)

Urwah bin al-Zubair berkata: “Mereka bertemu Rasulullah SAW dan Baginda mengambil kedudukan di sebelah kanan mereka sehingga Rasulullah SAW berhenti di tempat Bani Amru bin Auf. Hari tu ialah hari Isnin, bulan Rabiulawal. Kemudian Abu Bakar r.a bangun mengadap manusia sementara Baginda berdiam diri. Orang Ansar yang tidak pernah melihat Rasulullah SAW segera mengalu-alukannya.”

Dalam riwayat lain menyebutkan: “Mereka segera datang kepada Abu Bakar r.a dan apabila matahari terik mengenai Rasulullah SAW, lantas Abu Bakar r.a tampil menaungi Baginda dengan kain selendangnya. Justeru, tahulah mereka yang mana satu Rasulullah SAW.” (rujuk Sahih al-Bukhari 1/555)

Semua penduduk Madinah bergegas menyambut kedatangan Nabi SAW. Tatkala itulah orang Yahudi melihat sendiri benarnya perkhabaran Nabi Habquq dalam kitab mereka: “Sesungguhnya Allah datang dari Tayman dan Quddus datang dari bukit-bukit Faran.” (rujuk Sahifah Habaquq 3/3)

SEMASA di Quba’, Rasulullah SAW singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. Ada pendapat mengatakan: Bahawa baginda singgah di rumah Sa’ad bin Khaithamah. Pendapat yang pertama adalah lebih thabit dan kuat. Ali bin Abu Talib r.a pula berada di Mekah selama tiga malam. Sehingga dapat menyelesaikan semua barang-barang amanah orang yang disimpankan kepada baginda. Kemudian, dia berhijrah dengan berjalan kaki sehingga menemui Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a di Quba’ dan dia singgah di rumah Kalthum bin al-Hadam. (rujuk Zad al-Ma’ad 2/54, Sirah Ibnu Hisham 1/493 dan Rahmah Li al-Alamin 1/102)

Di Quba’ Rasulullah SAW menetap selama empat hari iaitu pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Baginda membina Masjid Quba’ dan bersembahyang di dalamnya. Itulah masjid pertama dibina atas dasar takwa selepas baginda menjadi Nabi. Pada hari Jumaat dengan perintah Allah SWT, baginda bergerak menuju Madinah bersama Abu Bakar.

Baginda menghantar utusan kepada Bani al-Najjar yang merupakan kaum kerabat bapa saudara baginda sebelah ibu. Kemudian mereka datang dengan membawa pedang. Baginda bertolak menuju ke Madinah dan waktu solat Jumaat, Baginda sampai di kampung Bani Salim bin Auf. Di situ, baginda bersolat berjemaah dengan 100 orang lelaki. (rujuk Sahih al-Bukhari 1/555, 560. Zad al-Ma’ad 2/55. Sirah Ibnu Hisham 1/494. Rahmah Li al-Alamin 1/102)

Tiada tandingan

Berdasarkan pengamatan, jelas menunjukkan hijrah mempunyai pelbagai kelebihan yang tiada tandingan dan bandingan. Isu pengorbanan merupakan perkara pokok dalam hijrah yang telah dijelmakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Penulis menukilkan dari buku Mengenali Rasulullah SAW antara lain menyebut: Allah SWT mensyariatkan prinsip berkorban dengan harta dan tanah air demi mepertahankan akidah dan agama apabila diperlukan.

Dengan pengorbanan ini sebenarnya umat Islam telah memelihara harta, negara dan kehidupan walaupun kelihatan pada awalnya mereka kehilangan segala-galanya.

Tidak syak lagi di dalam usaha melaksanakan ajaran Ilahi, ukhuwah dan sikap saling membantu merupakan asas pertolongan dan kemenangan umat Islam pada setiap masa. Sebaliknya kecuaian dalam menjalankan perintah Allah, inilah merupakan punca kemerosotan umat Islam dan perpecahannya. Hinggakan mereka seperti boleh dikoyak-koyakkan oleh seterunya (musuh Islam) di mana-mana sahaja.

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20131227