December 31st, 2013

Muzakarah untuk mencari titik persamaan

Kelmarin seorang lelaki lingkungan usia 50-an datang menyapa penulis di sebuah majlis anjuran YADIM. Bersungguh-sungguh beliau berhujah mahukan UMNO dan PAS duduk semeja berbincang mengenai masa depan Islam di negara ini. Kata beliau: “Tolonglah usahakan agar tahun 2014 sebagai tahun penyatuan antara UMNO dan PAS.”

Mungkin kata-kata ini tampak bagaikan fata morgana yang jauh daripada realiti. Namun, bagi penulis bukan sangat isu penyatuan UMNO-PAS sebagai dua parti terbesar mewakili bangsa teras negara iaitu Melayu-Islam yang didambakan tetapi sekurang-kurangnya kesediaan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk duduk bermuzakarah.


Ramai yang salah tanggap apabila isu muzakarah ini dicetuskan. Berkali-kali penulis menyatakan bahawa muzakarah bukan bermatlamat untuk meleburkan identiti mana-mana parti. Muzakarah juga tidak perlu sehingga menjurus kepada matlamat penyatuan parti.

Sebaliknya, muzakarah yang dihajati ialah agar kedua-dua parti politik ini dapat duduk bersemuka dan berbincang mengenai agenda yang menjadi asas kepentingan bersama iaitu Islam, Melayu dan negara.

Cari titik persamaan

Seharusnya muzakarah memfokuskan kepada usaha mencari titik-titik kesamaan, sekali gus mencanai formula kerjasama atas perkara yang disepakati. Inilah bezanya muzakarah dengan mujadalah. Mujadalah adalah istilah Arab yang bermaksud saling berdebat untuk menzahirkan kekuatan sendiri dengan menelanjangkan kelemahan pihak bertentangan.

Sedangkan muzakarah berasal daripada kata dasar bahasa Arab iaitu zakara atau yuzakiru dengan makna yang cukup kudus dan luhur. Muzakarah lebih bersifat perbincangan dan saling memperingati ke arah kebaikan. Malah ia terkait dengan perkataan ‘zikr’ yang mengikat perbincangan itu atas landasan mengingati dan mentaati Allah SWT.

Ternyata jika kita berfikir secara objektif dan mencari titik persamaan antara kedua-dua parti yang mewakili kelompok terbesar rakyat Malaysia iaitu Melayu-Islam, pasti kita dapati terlalu banyak persamaan antara kedua-duanya.

Pertama, UMNO dan PAS menyatakan memperjuangkan Islam. Perlembagaan serta pernyataan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti jelas menzahirkan iltizam memperjuangkan Islam. Bahkan tidak pernah berlaku di negara Islam lain dua parti politik berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang lebih berupaya melaksanakan Islam.

Kedua, akidah yang dipegang kedua-dua parti juga adalah sama iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Syafie. Baik UMNO mahupun PAS, solat dengan cara yang sama dan tiada beza pegangan fekah masing-masing. Kalaupun ada seorang dua pimpinan atau pengikut yang terjebak dengan ajaran sesat seperti syiah atau penyakit liberalisme dalam agama, tidaklah sesekali mewakili dan menggambarkan pendirian organisasi.


Menjunjung Perlembagaan

Ketiga, kedua-dua parti menjunjung dan menghormati Perlembagaan. UMNO dan PAS memperakui Perlembagaan Persekutuan sebagai sistem undang-undang tertinggi negara. Tidak timbul lagi isu dan tohmahan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara sekular sebagai mana momokan segelintir pemimpin dan pengikut PAS dulu hingga ada yang tergamak mengkafirkan UMNO kerana kononnya mengekalkan perlembagaan penjajah.

Keempat, kedua-dua parti juga memperakui identiti kemajmukan negara yang memerlukan pertimbangan dan kerjasama politik antara pelbagai parti yang mewakili kepentingan kaum masing-masing. Malah PAS yang pernah menyesatkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir, khususnya MCA dan MIC, kini sudah terbuka melalui kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

Kelima, UMNO juga tidak boleh lagi berhujah menggunakan alasan bahawa PAS tidak pandai mentadbir kerana tiada pengalaman. Hakikatnya, PAS berpengalaman memerintah Kelantan melebihi 23 tahun dan pernah mentadbir Kedah dan Terengganu.


Banyak persamaan diperjuangkan

Banyak lagi jika hendak digariskan satu persatu persamaan antara UMNO dan PAS selain daripada lima yang disebutkan di atas. Ternyata tidak banyak perbezaan antara UMNO dan PAS jika hendak dibandingkan dengan persamaan yang semakin menyerlah kini.

Justeru, apa salahnya UMNO dan PAS memfokuskan kepada titik persamaan dalam usaha memulakan muzakarah. Hakikatnya, majoriti rakyat sudah mulai cemuh dengan pertelingkahan politik yang kadangkala begitu sengit dan tegang hingga melangkaui sempadan akhlak dan nilai keagamaan.

Kena ada batas dan sempadannya dalam berpolitik dan berparti. Apa yang penting kedua-dua parti harus bersedia bermuafakat memperjuangkan agenda Islam dan membanteras sebarang bentuk anasir yang kini semakin berani mempertikai dan memperlekeh kedudukan Islam dan Bumiputera sebagai mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Berita Harian Online Rencana 31/12/2013

Guna saluran betul suarakan rasa tak puas hati

Abu Hunaidah atau nama sebenarnya Wail bin Hujr berkata, “Pada suatu masa, Salamah bin Yazid al-Ju’fi bertanya Nabi Muhammad: Wahai utusan Allah, bagaimanakah pendapat tuan jika kami diperintah oleh beberapa pemimpin yang selalu memaksa kami memberikan hak mereka, tetapi mereka tidak memberikan apa yang menjadi hak kami”.

Nabi Muhammad memalingkan mukanya. Kemudian Salamah bin Yazid mengulangi pertanyaannya. Nabi Muhammad bersabda: “Saudara sekalian, dengarlah arahan pemimpin itu dan taatlah. Mereka bertanggungjawab atas apa yang diamanahkan kepada saudara.” (Riwayat Muslim)


Tidak dinafikan ada tindakan kerajaan yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat, namun itu tidak bermakna rakyat boleh melakukan apa saja penentangan terhadap keputusan pemerintah itu. Rakyat tetap perlu akur terhadap ketetapan dibuat pemimpin.


Pertimbangkan keresahan rakyat

Namun, pada masa sama, rakyat perlu menggunakan saluran yang ada bagi menyuarakan rasa tidak puas hati. Pemimpin juga sewajarnya memberi peluang itu kepada rakyat dan mempertimbangkan keresahan mereka.

Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Percayalah selepas saya sudah tiada nanti, timbul cara bagaimana pemimpin mementingkan diri sendiri dan timbul perkara yang saudara tentang.

Sahabat Baginda bertanya: “Wahai Rasulullah jika begitu keadaannya, apakah perintah tuan kepada kami apabila bertemu dengan keadaan seperti itu?” Baginda berkata: “Saudara perlu menunaikan hak orang yang menjadi tanggungjawab saudara. Mintalah kepada Allah apa yang sepatutnya menjadi hak saudara.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Disebabkan rasa tidak puas hati, banyak kita baca di blog dan laman sosial yang melemparkan kemarahan menggunakan kata-kata kesat serta bersifat biadap. Mungkin peringatan Rasulullah SAW boleh dijadikan sandaran.

Abu Bakrah berkata, “Saya mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang merendah-rendahkan pemimpin negara, dia direndahkan oleh Allah.” (Riwayat Tirmizi)


Berita Harian Online Agama 31/12/2013

Demonstrasi budaya liar wajib dijauhi

Undang-undang diperkenalkan demi mewujudkan situasi aman, harmoni dan tenteram dalam kalangan masyarakat. Islam memberi perhatian utama kepada seluruh umatnya supaya berusaha membina kehidupan masyarakat dan negara dalam keadaan aman.

Namun, sejak kebelakangan ini ada kalangan umat Islam sudah terpengaruh tanggapan bahawa perbuatan mengucar-kacir situasi perkara remeh sehingga sanggup bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan hubungan sosial dalam negara.


Antara perbuatan itu adalah melakukan demonstrasi atau berhimpun secara haram tanpa keizinan pihak berwajib. Sesetengah pihak menganggap perbuatan sebegini tidak bertentangan dengan Islam kerana berpegang atas dasar hak kebebasan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pemerintah.


Islam tegah usaha cetus kucar-kacir

Sesungguhnya apa saja bentuk perbuatan ke arah memecahkan perpaduan masyarakat dan mencetuskan suasana kucar-kacir sangat ditegah dalam Islam. Tiada sesiapapun boleh mewajarkan dirinya menjadi dalang kepada perbuatan yang memudaratkan keamanan negara.

Sebab itulah dasar Islam jelas mengarahkan umatnya sentiasa akur terhadap undang-undang demi keharmonian dan kesejahteraan sosial. Mentaati peraturan dan undang-undang adalah cermin ketaatan terhadap pemerintah, salah satu tonggak ajaran Islam yang luhur.

Menurut Imam Al-Qurtubi, jika anggota masyarakat gagal menunjukkan ketaatan terhadap pemerintah bermakna akan timbul bibit perpecahan seterusnya mencetuskan api permusuhan yang membawa kehancuran ummah.

Malah Ibnu al-Mubarak mengatakan, sesungguhnya hidup bersatu dalam satu jemaah Islamiah adalah tali Allah, kerana itu berpegang teguhlah dengannya.

Berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, umat Islam sentiasa diwajibkan bersatu hati dan bergerak dalam prinsip sederap bersama selain ditegah sama sekali menimbulkan atau memulakan percikan api persengketaan dalam masyarakat.

Abdullah bin Umar berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujah (alasan) dan sesiapa yang meninggal dalam keadaan tidak ada baiah di tengkuknya, meninggal dia itu adalah dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Imam Muslim)

Jelas kesungguhan Baginda memandu kita supaya tidak terkeluar daripada ketaatan terhadap pucuk pimpinan negara. Ini tidak, ada saja sesuatu isu yang tidak puas hati, terus ambil langkah singkat tanpa memikirkan baik-buruknya impak perbuatan itu terhadap kemaslahatan orang lain.

Bayangkanlah betapa banyak gangguan jika sesuatu perhimpunan haram atau demonstrasi diadakan. Lalu lintas awam terganggu dan peniaga takut membuka premis. Tidakkah semua itu perbuatan wajib dielakkan dan Islam menganjurkan kita memberi manfaat kepada insan lain.

Hakikat sebenarnya, sesetengah umat Islam begitu senang mengikuti budaya liar masyarakat luar tanpa memikirkan apakah amalan diikuti itu mempunyai rasional dan hujahnya dari sudut ajaran Islam sebenar.

Perhimpunan haram, demonstrasi, melakukan rusuhan semuanya budaya liar yang bertentangan tata susila kehidupan orang beriman. Islam memandu kita amal perbuatan berhemah, lemah-lembut dan penuh sopan.

Inilah akhlak Islam yang semakin terhakis sebaliknya akhlak penuh emosi amarah ditunjukkan dengan sewenang-wenang.

Islam begitu halus dan murni sifatnya sehingga meluahkan rasa tidak senang terhadap sikap pemerintah harus dilakukan dalam kerangka ditetapkan. Ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah sepakat mengatakan bahawa menasihati dan menegur kesilapan pemerintah adalah kewajipan ummah.

Namun, kaedah menegur dan menasihat itu perlu mengikut cara yang wajar iaitu tidak sesekali di khalayak ramai. Menegur pemimpin atau pemerintah di khalayak umum salah satu bentuk sikap buruk dan tidak sopan, malah ia menyalahi sunnah.

Imam Al-Syawkani mengemukakan fatwanya, orang yang menyedari sebahagian daripada kesalahan pemimpin atau pemerintah, hendaklah berusaha menasihatinya, tetapi tidak boleh disebarkan untuk pengetahuan awam.


Tak boleh rendahkan maruah pemerintah

Sebaliknya hendaklah melakukan perbincangan secara baik, tidak boleh sesekali merendahkan maruah dan imej pemerintah itu. Lihatlah bagaimana ulama berpegang pada prinsip yang benar dan malang sekali segala sunnah Rasulullah SAW kita tinggalkan satu persatu.

Kesannya, kita boleh saksikan sendiri bagaimana buruk dan hodohnya corak kehidupan bersosial dan bernegara di sesetengah negara Islam .Tiada lagi wajah perwatakan keindahan Islam yang ditunjukkan, sebaliknya perbuatan berpaksikan tuntutan hawa nafsu yang dipamerkan.

Justeru, usahlah kita terpengaruh dengan apa saja amalan buruk yang jelas bertentangan kehendak agama dan norma sosial bermasyarakat kerana impaknya amat buruk dan akan menghakiskan nilai akal budi serta adat murni.

Sebaliknya, dalam apa juga situasi, gunakan pertimbangan akal waras dengan utamakan kepentingan masyarakat dan negara supaya corak kehidupan dapat terus diwarnai dengan gaya kehidupan diredai Tuhan.

Keamanan juga adalah nikmat paling berharga yang Allah kurniakan kepada kita dan jangan sampai diambil kembali oleh-Nya lantaran sikap buruk kita.


Wan Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 31/12/2013