January 1st, 2014

Mengimarahkan ucapan salam

KEHIDUPAN manusia tidak dapat tidak, memerlukan penghormatan. Sikap hormat-menghormati sesama insan adalah asas kepada pembentukan masyarakat harmoni dan sejahtera. Ia juga adalah tunjang untuk melahirkan masyarakat yang makmur dan utuh tali persaudaraan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 80 yang bermaksud: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan (memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya dengan cara yang sama. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

Pada era jahiliah, masyarakat pada masa tersebut memberi penghormatan dengan ucapan hayyakallah apabila berjumpa sesame mereka. Perkataan ini bermaksud “Moga Tuhan memelihara hidup kamu dan memanjangkan umur kamu.”



Fadilat ucapan salam telah banyak kali dirakamkan di dalam al-Quran, antaranya firman Allah SWT di dalam surah ar-Ra’d ayat 23 dan 24 yang bermaksud: Syurga-syurga yang kekal, yang akan mereka masukinya bersama-sama orang-orang yang beramal soleh daripada ibu bapa, isteri dan anak-anak mereka, sedang para malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu (memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu dengan berpanjangan disebabkan kesabaran kamu.

Allah SWT melihat segala tindak-tanduk dan perilaku hamba-hamba-Nya termasuklah dalam etika perhubungan dan pergaulan sesama mereka. Semuanya tidak terlepas daripada mendapat hitungan Allah SWT. Ayat di atas memberi penekanan agar kita mengambil berat tentang cara kita berhubungan dengan cara lebih baik, berkesan dan diberi pula ganjaran daripada-Nya.

Posisi istimewa

Salam berada pada posisi istimewa dalam amalan hidup umat Islam. Rasulullah SAW pernah menyatakan hal ini melalui sebuah hadis riwayat Abdullah bin Salam yang bermaksud: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkanlah silaturrahim dan bangunlah solat malam pada masa manusia sedang nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamatnya.”

Hukum mengucapkan salam adalah sunat, manakala menjawabnya adalah wajib. Seseorang Islam yang tidak menjawab salam dianggap sebagai satu penghinaan kepada orang yang memberi salam. Menjauhkan diri daripada perbuatan hina adalah wajib di sisi Allah SWT.

WAN MARZUKI WAN RAMLI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140101

Membangunkan generasi muda

GENERASI muda adalah pewaris negara. Begitulah ungkapan yang seringkali dinyatakan bagi menggambarkan peri pentingnya pembentukan generasi muda bagi memastikan kelangsungan sesebuah negara itu.

Hal ini juga ditegaskan oleh ulama tersohor, Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”

Begitulah yang boleh disimpulkan mengapa proses pembentukan generasi muda ini sangat penting dan memerlukan perancangan mantap sehingga mampu menzahirkan apa yang dicita-citakan itu.

Perkara inilah yang tersirat dalam Program Kepimpinan Muda Islam (QiYADI) yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Melalui QiYADI seramai 2,100 fasilitator bakal dilahirkan melalui 21 siri program yang akan diadakan mulai Januari 2014 hingga 2017.

Perjanjian persefahaman di antara kedua-dua belah pihak bagi melaksanakan program ini telah termeterai pada 10 Disember lalu di Putrajaya.

Objektif program ini amat jelas, iaitu menyediakan rangka kerja antara KBS dan Yadim dalam usaha membina generasi muda Islam Malaysia daripada aspek idealisme, kemahiran dan kerohanian.

Menurut Yang Dipertua Yadim, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, program ini amat penting kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah beberapa kali menyatakan akan kepentingan mewujudkan sesuatu bentuk program untuk membangunkan generasi muda.

“Bagi Yadim yang perlu dilakukan adalah membangunkan generasi muda yang tidak boleh dipisahkan daripada aspek atau elemen keagamaan. Fokus Yadim adalah kepada pembangunaan generasi muda yang mempunyai idealisme Islam yang luhur,’’ katanya.

Prinsip asas Islam

Namun kata Asyraf Wajdi, pembentukan generasi muda hari ini perlu berasaskan kepada prinsip asas Islam iaitu berteraskan kepada akidah yang benar iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berasaskan rangka kerja maqasid syariah atau matlamat syarak.

“Islam pada hari ini ditampilkan dengan pelbagai versi dan kadangkala versi-versi ini membimbangkan kerana ia bersifat doktrin kejumudan dan ketaksuban yang melulu dan membawa kepada suatu pemikiran yang sebenarnya merbahaya dalam soal membangunkan negara pada masa hadapan.

“Islam juga seolah-olah ditampilkan dalam kerangka hukum halal-haram, betul atau tidak betul serta salah atau benar. Seolah-olah Islam itu bersifat menghukum, walhal falsafah Islam itu sebenarnya lebih besar daripada itu.’’ katanya.

Beliau berkata, sebaliknya Islam perlu tampil sebagai ajaran yang bersifat kasih sayang, menyeru kepada perpaduan, menyeru kepada kedinamikan kehidupan, kontemporari serta sentiasa sesuai dalam keadaan mana sekalipun tanpa mengira zaman berubah atau tempat yang berbeza-beza.

Menurutnya, hal demikian adalah perkara yang penting yang mahu dicanaikan dalam program pembangunan kepimpinan muda ini, iaitu menekankan pengisian (substance) dan bukan bentuk (form).



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140101

Apa dicari dalam perkahwinan?

BIASANYA pada musim cuti persekolahan di bulan November hingga Disember sehingga cuti tahun baru, majlis yang paling banyak diadakan ialah majlis perkahwinan. Ini kerana percutian yang panjang membolehkan sanak-saudara yang jauh datang bertandang untuk memeriahkan majlis.

Bahkan, cuti yang panjang membolehkan semua anak-anak dibawa bersama balik ke kampung, seringkali ia dianggap sebagai misi percutian. Sedikit sebanyak majlis walimatul urus yang diadakan dapat menyambung semua hubungan silaturrahim yang mulai renggang atau mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan.

Hari ini dengan kesibukan, ahli keluarga dapat berkumpul setahun sekali atau dua kali kecuali jika ada majlis perkahwinan. Namun jika majlis dibuat di hotel atau di dewan yang jumlah jemputan dikira mengikut kepala, maka tidak semua ahli keluarga dapat hadir atau boleh hadir.

PERNIKAHAN bukan sekadar penyatuan dua orang insan tetapi mendekatkat dua buah keluarga supaya
masing-masing saling kenal-mengenali serta hidup dalam aman dan harmoni. - Gambar hiasan


Majlis perkahwinan berbeza dengan majlis-majlis lain. Orang sanggup berbelanja beribu ringgit demi sebuah majlis perkahwinan yang ingin dikenang sepanjang hayat. Ada yang membuat pelbagai gimik seperti diarak di atas skuter atau pengantin terjun dengan payung terjun dan entah apa lagi, semata-mata mahukan hari istimewa itu benar-benar unik serta lain daripada majlis orang lain.

Malah tidakurang juga pasangan mempelai yang memilih tarikh-tarikh istimewa, seperti 11.12.13 atau 13.12.13 atau 14.1.14 dan sebagainya. Maka itu, majlis perkahwinan telah dirancang awal dan disusun rapi supaya tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Bergolok-bergadai

Demi sebuah pernikahan, ada pasangan dan keluarga sanggup bergolok-bergadai untuk memastikan ia menjadi satu hari yang tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila. Selepas majlis pula, pasangan telah menyiapkan destinasi bulan madu. Hakikatnya, mereka mahu menikmati “malam pertama” dengan penuh kenangan manis.

Islam amat menganjurkan pernikahan seperti dalam firman Allah yang bermaksud, ...maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan... (al-Nisa’: 3) dan Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan... (al-Nur: 32)

Islam juga mengariskan hukum perkahwinan daripada wajib, sunat, makruh dan haram. Sebenarnya berapa ramai pengantin dan bakal pengantin tahu mengenainya? Hari ini generasi Y ini mengambil mudah isu perkahwinan sehinggakan semua urusan diurus keluarga dan ditanggung keluarga. Orang dahulu, tidak akan berkahwin jika anak lelaki tidak bekerja atau tidak cukup wang yang dikumpul hasil titik peluh mereka sendiri. Malah ibu bapa malu pergi meminang kerana takut pinangan ditolak dek kerana si teruna belum bekerja.

Hari ini, ramai dalam kalangan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT) telah berkahwin sebelum memiliki pendapatan sendiri dan ada yang berkahwin menggunakan wang pinjaman pengajian dan berharap akan menanggung isteri menggunakan wang tersebut. Alasan yang diberikan ialah untuk mengelak daripada berzina atau melakukan perkara mungkar sedang Nabi SAW telah bersabda: Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia berkahwin, sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa akan dapat menahan nafsunya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Tanggungjawab

Jika diamati ramai yang merasakan ia mampu berkahwin kerana desakan nafsu namun tidak ramai yang terfikir, tanggungjawab perkahwinan itu termasuk memberi isteri nafkah zahir dan batin bagi lelaki dan bagi isteri, mentaati suami. Semasa saya belajar di luar negara, ramai dalam kalangan kawan-kawan yang berkahwin semasa belajar kerana takut berzina. Di luar negara keadaannya berbeza. Kita tidak tinggal di asrama seperti di Malaysia. Mereka menyewa rumah beramai-ramai dan mengurus kehidupan seharian sendiri seperti memasak, membasuh dan mengemas rumah serta mengikuti kuliah.

Perbezaan tanggungjawab dan keperluan, menjadikan ramai pelajar di luar negara lebih matang. Kematangan ini menyebabkan mereka merasa ada keinginan berumah tangga ditambah pula tiadanya sekatan adab susila seperti di Malaysia. Di luar negara, pelajar bebas tinggal dengan siapa yang mereka mahu. Tiada pegawai pencegah maksiat yang akan menangkap pasangan yang bersekedudukan. Kekuatan iman dan keyakinan tentang dosa pahala adalah satu-satunya pendinding diri daripada melakukan maksiat. Sebab itulah, saya memahami mengapa mereka berkahwin semasa belajar. Ia kerana takut terjerumus ke kancah maksiat. Bagi yang perempuan pula, mereka perlukan pelindung daripada insan yang bernama suami.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140101

Rujuk sirah Rasulullah atasi permasalahan

Jangan jadikan perbezaan pendapat meleraikan kasih sayang sesama ummah


Perasaan kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah SAW akan wujud dalam hati apabila seseorang itu memahami keistimewaan Baginda sebagai 'rahmat kepada sekalian alam' melalui sirah hidup Baginda yang diutuskan Allah SWT sebagai Nabi terakhir.


Ditekankan lagi, dengan syarat memahami sirah Rasulullah SAW iaitu perjalanan hidup Baginda, bukan biografi Nabi Muhammad SAW seperti anggapan kebanyakan umat Islam kerana sirah dan biografi tidak sama.


Sirah bermaksud perjalanan hidup, maka sirah Rasulullah SAW merujuk kepada perjalanan hidup Baginda. Justeru, jika kita faham sirah Rasulullah SAW, kita akan faham segala-galanya dan sedar bahawa kehidupan kita sebenarnya sangat berkait dengan sirah Rasulullah SAW.

Andai hidup kita tidak terkait dengan sirah Rasulullah SAW, maka itulah yang dimaksudkan sebagai biografi iaitu kisah yang dibaca atau sekali sekala dirujuk ketika sambutan Maulidur Rasul.

Begitulah pengenalan ceramah khas bertajuk ‘Rasulullah SAW - Rahmat untuk sekalian alam’ yang disampaikan Sheikh Abdul Aziz Ahmed Fredericks.

Penceramah berasal dari Nottingham, United Kingdom dan kini menetap di Glasgow, Scotland, itu berjaya menarik minat hadirin yang memenuhi Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan menyuntik perasaan kasih serta cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Rahmat untuk sekalian alam adalah perkataan menarik kerana jika ada planet atau dunia lain, ia termasuk dalam alam itu kerana Muhammad dihantar ke dimensi ini bukan hanya untuk manusia, haiwan, juga makhluk lain,” katanya.

Kasih sayang asas hubungan

Beliau memberi contoh menarik yang mudah difahami berhubung inti pati ceramahnya iaitu kasih sayang yang menjadi asas kepada pemahaman yang benar terhadap ajaran agama Islam dibawa Rasulullah SAW.

Katanya, kisah Rasulullah SAW bercakap dengan unta, memeluk pokok, mengutip batu yang bertasbih serta perjalanan Israk dan Mikraj dengan Jibril, bukan hanya cerita keajaiban tetapi menjelaskan hubungan sesama makhluk yang dijadikan Allah SWT berasaskan kepada kasih sayang.

Sheikh Abdul Aziz berkata, Nabi Muhammad SAW satu-satunya yang membolehkan manusia mendapat kasih sayang Allah SWT kerana kehidupan seharian manusia tidak dapat lari daripada sirah Baginda.

Maknanya, setiap amal, perbuatan dan arah tuju kehidupan manusia perlu selari dengan apa yang dilalui atau dilakukan Baginda sepanjang hayatnya baik dari sudut keimanan, cara beribadah serta bermuamalah.

“Nabi Muhammad beritahu, jika ingin Allah SWT sayangkan kamu, ikutlah aku. Bagaimana hendak menunaikan haji, Nabi kata ambil daripadaku cara buat haji. Begitu juga solat, tidak ada alternatif lain melainkan mengikut cara Nabi bersolat,” katanya.

Katanya, istimewanya perasaan cinta dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW, hingga ia boleh mengubah cita rasa seseorang terhadap makanan kerana apabila seseorang mencintai seorang lain, dia ingin sekali menyukai apa saja disukai orang yang dicintai.

Anas bin Malik mempunyai hubungan istimewa dengan Rasulullah SAW kerana beliau membesar dalam rumah Baginda. Anas tidak suka zukini tetapi disebabkan Rasulullah SAW mencampurkan zukini dalam masakan Baginda dan memakannya, maka Anas merasa nikmat memakan zukini.

Maknanya, makanan juga merasa sedap hanya kerana makanan itu dimakan Rasulullah SAW dan itulah yang dikatakan sebagai rahmat kasih sayang. Kata Anas, “Saya tidak suka kau (zukini), tetapi Nabi suka. Sejak itu, saya suka zukini.”

Sheikh Abdul Aziz turut mengulas isu dibangkitkan kepadanya mengenai perselisihan mengenai perbezaan mazhab yang berlaku dalam kalangan umat Islam di negara ini yang penting untuk dikaitkan dengan sirah.

Katanya, mazhab bukan masalah ummah tetapi apa yang dibincangkan dalam mazhab menimbulkan masalah walaupun Rasulullah SAW sudah menegaskan dalam sabda Baginda supaya umat Islam mengambil apa yang benar daripada Baginda.

“Sahabat selepas menunaikan haji datang berjumpa Rasulullah SAW dan berkata dia melontar tetapi tidak buat itu, seorang lagi datang dan beritahu dia melontar, tawaf dan saie tetapi tidak buat yang lain. Nabi berkata, jangan bimbang buat saja.

“Oleh itu, jika kita melihat orang solat lain sikit, jangan terus marah kerana itulah rahmat Rasulullah SAW kepada sekalian alam. Baginda ingin mereka gunakan intelek dalam situasi tertentu dan Baginda membenarkan kerana ingin memudahkan umatnya,” katanya.

Beliau turut memberi contoh sahabat yang dihantar kepada Bani Khuraizah yang mengkhianati Islam dengan pesanan supaya tidak berhenti untuk solat Asar, tetapi ada sahabat yang berhenti menunaikan solat. Apabila kembali, mereka berjumpa Baginda.

Tenangkan ketegangan

Jawapan diterima akhirnya menenangkan ketegangan yang dirasakan sahabat kerana gusar apakah tindakan mereka menunaikan dan tidak menunaikan solat itu betul. Nabi berkata kedua-dua mereka benar.

Sheikh Abdul Aziz berkata, dalam ibadah juga ada rahmat kerana apa yang dilakukan sahabat adalah apa yang mereka lihat Rasulullah SAW lakukan. Justeru, perbezaan tidak sepatutnya dijadikan isu kerana apabila menjadi isu, ia akan menimbulkan konflik.

Konflik hanya akan memecahbelahkan ummah dan tindakan perlu diambil ialah memperbetulkan keadaan dengan merujuk kepada sirah. Bagaimanapun katanya, kita bukan saja memerlukan orang yang hanya tahu sirah saja tetapi faham situasi sebenarnya.

Mungkin kisah diceritakan beliau boleh memberi kefahaman kepada kita. Rasulullah SAW ketika sampai ke Makkah terus menunaikan solat Zuhur. Baginda boleh memusnahkan berhala yang ada di sekitar Kaabah sebelum menunaikan solat, sebaliknya Baginda tidak melakukannya.

Kini, sebahagian umat Islam minoriti di Barat berdepan masalah mencari tempat untuk menunaikan solat seperti pelajar yang bersekolah di sekolah awam. Bolehkah mereka menunaikan solat sedangkan ada patung Mother Mary dalam premis itu?

Jika merujuk kepada sirah Baginda, adakah wajar tindakan orang Islam memusnahkan patung penganut agama lain sekarang ini sedangkan tindakan itu hanya akan menimbulkan konflik antara masyarakat pelbagai agama? Bersamalah kita fikirkan.


Hasliza Hassan Berita Harian Online Agama 01/01/2014

Perkukuh rohani, jasmani ummah tempuhi 2014

Sekularisme, hedonisme jejas akidah cabaran utama pertahan kesucian Islam

Salam tahun baharu 2014 kepada semua pembaca. Dengan ujian mencabar sepanjang 2013, saya singkapkan perkara penting berkaitan umat Islam dalam mendepani 2014 yang kita doakan menjadi lebih baik dan sejahtera.


Sesungguhnya kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara adalah cita-cita dan hasrat kita semua. Melaksanakan hasrat itu bukan mudah dalam hakikat semasa. Mencari dan mengajak kepada mardhatillah (keredahaan Allah) banyak liku, cabaran dan juga ancaman. Cabaran dan ancaman kepada kedudukan agama Islam itu sendiri, syariahnya dan juga syiarnya sudah agak jelas kita tempuhi sepanjang 2013.


Oleh itu, kita memerlukan tenaga yang kuat dan strategi yang tepat untuk menjadikan 2014 sebagai tahun sejahtera bagi rohani dan jasmani, jiwa dan raga seluruh warga Malaysia dan umat Islam khususnya.

Sekularisme gugat Islam

Kita hendaklah kuat dan kukuh dalam menjaga agama Islam serta syariah dan syiarnya. Andainya tidak, sekularisme akan mengambil tempat. Sekularisme akan melemahkan ikatan persaudaraan orang Islam daripada berpegang kepada tali Allah dan mengikis kesucian Islam dalam jiwa raga umat Islam.

Sekularisme memusnahkan imej Islam dalam pemikiran umat Islam sendiri. Sekularisme menjajah minda umat Islam. Sekularisme menggunakan kesamarataan antara agama dan menjadikannya nilai pembaharuan. Ia menjadikan umat Islam lupa neraca dan nilai agamanya sendiri, bahkan lebih berbangga dengan neraca dan metodologi sekularisme.

Penemuan sains dan hujah logik memenuhi ruang dan alam pemikiran umat Islam. Kesannya peta pemikiran umat Islam bertukar arah. Kompas kepercayaan dan keimanan umat Islam yang menghala ke arah kerohanian diubah dengan meletakkan dan membuka ruang logik yang lebih besar. Sekularisme, secara tegar atau anjal, adalah sepenuhnya berdasarkan kehendak manusia dan meletakkan akal manusia pada tempat yang lebih tinggi daripada kepercayaan agama.

Seterusnya, cabaran dan ancaman sepanjang 2013 ialah liberalisme agama yang terangkum juga pluralisme menyanggah bahawa al-Quran itu adalah wahyu dan secara teologinya menganggap penganut semua agama adalah sama dan setaraf dan seterusnya membawa kepada penolakan kepada hukum syariah. Pluralisme agama dianggap sebagai penyelesaian kepada konflik agama.

Ancaman pluralisme ini merebak di serata dunia Islam dan Malaysia juga merasai kesannya. Pluralisme agama, iaitu fahaman bahawa semua agama adalah sama dan menolak ketinggian agama Islam berbanding agama lain mengancam akidah umat Islam. Bagi akidah umat Islam, Islam adalah satu-satunya agama yang sempurna dan diredai Allah SWT. Andainya pluralisme agama tidak dihapuskan, kesejahteraan kita tidak dapat disandarkan kepada paksi agama yang tepat dan kukuh.

Sekularisme, liberalisme dan pluralisme agama berkait rapat antara satu sama lain. Apabila agama dipisahkan daripada kehidupan, maka ia membebaskan manusia daripada kepercayaan agama. Ia menganggap semua agama adalah sama. Seterusnya, liberalisme memuliakan kebebasan seksual dan hedonisme, iaitu budaya hiburan melampau.

Di depan mata kita lihat kebebasan seksual dan hedonisme dengan begitu jelas. Kita dapati beberapa kumpulan giat mempromosi, atas tiket memberi faham kepada masyarakat, perkara berkaitan lesbian atau gay contohnya. Gerakan untuk menyemak semula undang-undang berkaitan kemoralan seperti kelucahan melampau dan liwat. Amat menyerlah dan jelas ialah laporan COMANGO kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan ini bukan sesuatu yang tersorok lagi. Kelantangan suara kumpulan ini begitu terserlah tahun ini.

Disogok hiburan Barat

Dalam konteks hedonisme, orang Islam disogok dengan hiburan Barat yang sudah tentu bercanggah dengan nilai agama Islam. Berleluasanya pengambilan arak dan hiburan melampau yang bukan saja melalaikan, tetapi memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal boleh dilihat dipelbagai tempat dan keadaan. Ia bukan rahsia lagi, bahkan perlahan-lahan menjadi cara hidup masyarakat. Penajaan yang tinggi oleh syarikat tertentu bagi tujuan hedonsime juga sudah begitu jelas dan nyata.

Bagi menghadapi 2014, perkara ini perlu diberikan perhatian serius di samping meletakkan tanggungjawab kepada setiap individu untuk menjaga diri sendiri, Raja-raja, barisan pimpinan kerajaan, pemimpin politik (parti pemerintah atau pembangkang), pembuat polisi dan pimpinan masyarakat juga memikul tanggungjawab utama. Saraf dan kekuatan umat Islam, iaitu akidah dan pemikiran, terletak di atas bahu sekalian pemimpin.

Shamrahayu A. Aziz ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM. Berita Harian Online Rencana 01/01/2014

Jangan perjudi nyawa kandungan

BARU-BARU ini, dunia perubatan negara dikejutkan dengan kes kematian seorang ibu muda di Selangor akibat komplikasi ketika melahirkan anak di rumahnya sendiri.

Ibu malang itu hanya ditemani seorang 'jurulatih' tidak bertauliah tanpa sebarang pengawasan dan bantuan oleh kakitangan perubatan.

Difahamkan, ibu muda tersebut terpengaruh dengan jurulatih berkenaan yang berasal dari sebuah gerakan terkini di negara kita yang giat mempromosi kelahiran secara alami dan semulajadi termasuklah menolak campur tangan perubatan dan rawatan moden serta keterlibatan pihak hospital.

Gerakan yang tertumpu di sekitar ibu kota dan utara tanah air ini beroperasi dengan mengadakan kelas-kelas yang dibuka kepada ibu-ibu mengandung atau pasangan yang berhasrat mendapatkan anak.

Modus operandinya, mereka menggunakan ayat-ayat berbentuk Islamik untuk mempengaruhi dan meyakinkan ibu-ibu ini bahawa proses kelahiran merupakan sesuatu yang fitrah, tidak memerlukan sebarang keterlibatan pihak perubatan, tidak perlu menghadiri pemeriksaan di hospital dan klinik, serta proses melahirkan anak boleh dilakukan di mana-mana sahaja termasuk di rumah, walaupun tanpa kehadiran petugas kesihatan.

Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjadikan kadar kematian ibu mengandung (maternal mortality rate) sebagai antara penanda aras kemajuan sesebuah negara, masih ada rupanya sesetengah individu yang menginginkan agar kita kembali ke situasi puluhan tahun lalu, di mana kematian ibu ketika melahirkan anak merupakan satu kebiasaan tatkala infrastruktur kesihatan terhad pada zaman tersebut.

Statistik menunjukkan pengurangan maternal mortality rate dari 59 kes bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 1990, kepada hanya 29 kes bagi setiap 100,000 kelahiran pada tahun 2010.

Keberkesanan program pengurusan kesihatan ibu mengandung yang dijalankan Kementerian Kesihatan menjadi contoh kepada negara-negara membangun dan kelas ketiga yang lain.

Proses kelahiran bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan, meskipun alami dan fitrah, ia datang bersama seribu satu kemungkinan dan komplikasi buruk termasuk melibatkan kehilangan nyawa ibu atau anak dalam kandungan.

Inilah yang terjadi baru-baru ini apabila seorang ibu disyaki mengalami serangan eklampsia (sawan) dan pendarahan tidak berhenti akibat uri yang tidak dikeluarkan dari rahim atas saranan jurulatih dari gerakan yang dimaksudkan.

Menurut gerakan berkenaan, uri perlu dibiarkan keluar secara sendiri (fitrah), namun umum dalam bidang perubatan mengetahui, uri yang ditinggalkan lama di dalam rahim ibu akan menyebabkan pendarahan yang tidak akan berhenti.

Akibat terlalu meletakkan kepercayaan kepada jurulatih berkenaan, meskipun beliau langsung tidak memiliki tauliah dan ijazah apatah lagi pengalaman dalam bidang perubatan, si ibu membayar harga yang sangat mahal berupa nyawa dan mengakibatkan anak yang baru dilahirkan, terus menjadi yatim.

Apa yang lebih mengecewakan, jurulatih berkenaan hanya menganggap tragedi yang menimpa ibu muda ini hanya sebagai sebuah 'kematian yang fitrah', tanpa ada sebarang rasa bersalah malah kini kian giat menyambung mempromosi kelas-kelas latihannya.

Beliau juga tidak boleh didakwa sebagai 'kecuaian' bukan berdaftar sebagai pengamal perubatan, serta berselindung di sebalik 'keizinan' yang diberikan oleh pasangan malang tersebut.

Kes seperti ini kemungkinan besar boleh dielakkan sekiranya ibu tersebut memilih untuk melahirkan anak di hospital, iaitu tempat yang terkawal persekitarannya, dipenuhi dengan kakitangan berpengalaman dan bertauliah, serta yang terpenting, mempunyai akses kepada tabung darah, bilik bedah, pakar kanak-kanak sekiranya berlaku keadaan kecemasan atau komplikasi yang berat.

Walaupun kebanyakan hospital kerajaan di negara kita tidak mampu menawarkan perkhidmatan setanding dengan kelahiran di rumah, seperti sofa lembut atau televisyen di setiap katil, namun kita dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan yang penting bagi menjamin keselamatan nyawa setiap pesakit di hospital.

Difahamkan, ini merupakan kali kedua dalam tahun ini, kematian ibu mengandung ketika melahirkan anak akibat dari gerakan tidak bertauliah dan tidak dinaungi oleh Kementerian Kesihatan.

Pihak berwajib termasuk polis dan pengamal undang-undang digesa mengambil tindakan keras ke atas individu terbabit yang bertanggungjawab secara langsung menyebabkan kematian ibu tersebut.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan bertanggungjawab memberi pengumuman dan amaran kepada masyarakat awam dan orang ramai akan bahaya gerakan sebegini.

Kementerian Kesihatan juga perlu mewajibkan semua pihak yang ingin turut serta dalam pengurusan kehamilan dan kelahiran ibu mengandung agar mempunyai lesen/perakuan amalan bagi membuktikan mereka benar-benar bertauliah.

Hal ini penting bagi memastikan kejadian malang seperti ini tidak lagi berlaku di masa akan datang.

Bagi orang awam khususnya ibu-ibu mengandung yang bakal melahirkan anak, persoalan yang perlu anda fikirkan apabila berbuat keputusan mengenai cara kelahiran anak anda adalah, apa sebenarnya yang anda mahukan?

Adakah anda mahukan keselesaan, ketenangan dan keindahan saat bersalin namun dibayar dengan harga risiko nyawa diri dan anak dalam kandungan, atau anda mahukan kelahiran yang selamat bagi kedua-dua diri anda dan anak anda seterusnya mengecapi masa depan yang indah buat kalian berdua?

Apa yang menjadi taruhan bukan sekadar nyawa anda sendiri, malah nyawa anak yang dikandung sembilan bulan oleh anda.

Jangan letakkan ia ke tangan sebarangan orang.



DOKTOR PRIHATIN Kuala Lumpur Utusan Malaysia Online Forum 20140101

Nilai semula agenda sambut tahun baharu

SABAN tahun, sambutan di ambang tahun baru disambut oleh pihak kerajaan sehingga ia sudah menjadi acara tahunan negara. Berikutan sambutan tersebut, peruntukan tadbir urus sebelum dan selepas acara pastinya menelan belanja yang banyak.

Seringkali justifikasi perbelanjaan sambutan dikaitkan dengan sumbangan atau tajaan pihak tertentu yang tiada kaitan dengan dana kerajaan atau demi menggalakkan sektor pelancongan.

Persoalannya adakah bijak sekiranya kera di hutan mati kekenyangan sedangkan anak di rumah mati kelaparan. Tambahan pula tahun 2014 seakan-akan menjanjikan keperitan melanda kebanyakan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Berdasarkan pengalaman lepas, kita dapat baca dan tonton laporan media tempatan tentang peningkatan kadar jenayah dan longgokan sampah sarap di beberapa jalan utama Kuala Lumpur selepas sambutan tahun baharu.

Ini sepatutnya sudah menjadi dalil aqli yang qat'i atau putus menunjukkan program tersebut tidak banyak mengundang manfaat kepada rakyat dan seharusnya dinilai atau dimansuhkan daripada kalendar acara tahunan kerajaan.

Dengan kata lain, sambutan tersebut hanya berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang tidak produktif pada keesokan harinya kerana kekurangan waktu tidur serta longgokan sampah yang bertimbun di merata tempat.

Longgokan sampah ini jelas buruk kepada sektor perlancongan. Tambah menyedihkan lagi ramai juga orang Islam yang mungkin terlepas untuk bersolat Subuh pada pagi 1 Januari 2014 kerana lewat tidur gara-gara menunggu saat jam berdetik melangkah ke tahun baharu.

Persoalannya apakah manfaat daripada sambutan tersebut lebih besar diperolehi oleh seluruh rakyat Malaysia berbanding masalah sosial yang melanda. Lihat saja berapa banyak NGO Islam yang telah merangka program dakwah pada malam tahun baharu untuk mendekati para pengunjung yang beragama Islam bagi memastikan mereka tidak terbabas dan melangkau jauh daripada sempadan ajaran Islam dan nilai ketimuran masyarakat Malaysia. Itu belum lagi mengambil kira aspek keselamatan dan penglibatan pihak polis.

Tanpa perlu menggunakan kebijaksanaan tahap universiti pun, ramai yang tahu program sedemikian adalah suatu pembaziran dan lebih banyak mengundang masalah kepada negara. Bayangkan berapa banyak masa dan wang yang perlu dihabiskan oleh pihak kerajaan selepas sambutan itu untuk membersihkan segala sampah sarap yang ditinggalkan oleh pengunjung serta menjamu pesalah malam tahun baharu di lokap-lokap polis.

Berapakah pula nilai wang yang telah dihabiskan pada letupan mercun di beberapa lokasi utama di ibu negara hanya semata-mata untuk menjamu mata para pengunjung sambutan itu. Seolah-olah seluruh nasib rakyat Malaysia yang miskin dan mengamalkan falsafah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sudah benar-benar terbela.

Kalau si miskin boleh bersuara, mereka akan berkata: "Janganlah diletupkan wang rakyat pada sambutan itu, berikanlah kepada kami agar kami dapat mengubah nasib yang melanda kami". Tambahan pula jangkaan kenaikan harga barang pada tahun 2014 semakin rancak diperkata.

Selain itu, budaya berkonsert dan menunggu detikan loceng jam pada waktu tengah malam sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah manusia. Lihat sahaja masalah sosial yang timbul di celahan percampuran lelaki dan perempuan yang menghadiri konsert tersebut.

Cuba perhatikan berita bayi yang dibuang seperti sampah selepas sembilan atau sepuluh bulan sambutan di ambang tahun baru diadakan. Remaja lelaki dan perempuan yang bersama dan bukan mahram pada malam tersebut selewat jam 12 malam pastinya tidak singgah di masjid atau surau untuk mengisi malam tersebut dengan solat malam.

Berjaga malam selewat jam 12 tengah malam juga bertentangan dengan galakan kerajaan agar warga Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat. Mana mungkin mendapat hidup yang sihat sekiranya waktu tidur kita terganggu dengan pesta sedemikian.

Selain itu, budaya berjaga malam untuk berpesta juga bertentangan dengan fitrah malam yang dijadikan khusus untuk manusia berehat sebagaimana firman Allah:

Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya) (Yunus[10:67]).

Firman Allah lagi; Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur (al-Qasas[28:73]).

Penulis merasakan sudah sampai masanya autoriti agama tertinggi di Malaysia seperti Majlis Fatwa Kebangsaan bersuara dalam kerangka yang lebih menyeluruh bagi menjelaskan hukum sambutan ini. Jika Majlis Fatwa Kebangsaan berasa isu ini terlalu remeh untuk dibincangkan, amat wajar rasanya para intelektual Malaysia dalam semua bidang seperti agama, perubatan, psikologi, sosial dan sebagainya tampil memberikan buah fikiran yang bernas tentang tata cara terbaik menyambut tahun baharu sekiranya dirasakan sambutan ini merupakan satu tuntutan yang amat diperlukan oleh negara. Tetapi biarlah sambutan itu dalam acuan kita sendiri bersesuaian dengan status Malaysia sebagai Negara Islam.

Budaya menunggu jam selewat 12 malam bukanlah satu kayu ukur kemajuan yang perlu dibanggakan akibat keinginan meletakkan bangsa Malaysia setanding dengan masyarakat Barat. Yang pasti rakyat Malaysia masih tetap gembira dan produktif untuk menghadap tahun baharu walaupun tanpa sambutan sedemikian.



ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ ialah Pensyarah Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Utusan Malaysia Online Rencana 20140101