January 5th, 2014

Muslim berakhlak dikasihi semua

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah, jika benar kamu mengasihi Allah SWT, ikutilah daku, nescaya Allah SWT mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali-Imran, ayat 31)


Tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya banyak dan kita digalakkan supaya berakhlak sedemikian kerana matlamat hidup hamba di dunia ialah untuk mendapatkan cinta daripada Allah SWT.


Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT yang Maha Tinggi menerangkan: Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, Aku isytiharkan perang kepadanya. Perbuatan hamba yang paling Aku suka bagi mendekatkan dirinya kepada-Ku adalah mengerjakan perkara yang Aku wajibkan kepadanya. Kemudian hamba-Ku selalu mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan sunat hingga Aku kasih kepadanya. Apabila Aku kasih kepadanya, Aku menjadi telinganya yang mendengar, matanya yang melihat, tangannya yang memegang dan kakinya yang melangkah. Apabila dia meminta, Aku berikan kepadanya dan apabila dia meminta perlindungan daripada-Ku, Aku akan melindunginya.” (Riwayat Bukhari)


Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya Allah SWT mengasihi seorang hamba-Nya, Allah SWT menerangkan kepada Jibril: Sesungguhnya Allah SWT mengasihi si fulan, hendaklah kamu mengasihinya. Jibril pun mengasihi orang itu. Kemudian Jibril berkata kepada seluruh penduduk langit: Sesungguhnya Allah SWT mengasihi si fulan, hendaklah kamu semua mengasihinya. Seluruh penduduk langit mengasihi orang itu. Kemudian, Allah SWT menjadikan orang itu turut dikasihi oleh hamba Allah yang baik di muka bumi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Istiqamah tunai tanggungjawab

Andainya kita adalah hamba yang dicintai dan dikasihi oleh Allah SWT kerana kesungguhan kita menunaikan tanggungjawab dengan istiqamah, maka kita akan dikasihi semua makhluk malah, malaikat juga mengasihi kita. Alangkah bertuahnya kita.

Namun, bukan mudah untuk kita meraih cinta dan kasih Allah SWT. Bagaimanapun, ia tidak mustahil kerana Allah SWT sudah memberi panduan yang perlu diikut oleh kita semua iaitu menunaikan ibadat wajib, ibadat sunat serta berbuat baik kepada sesama makhluk.


Berita Harian Online Agama 29/12/2013

Islah diri seiring tahun baharu

Islam menganjurkan umatnya berubah bina kualiti kemanusiaan

Beberapa hari lagi kita semua akan menyambut tahun baharu masihi 2014. Ini bermakna masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak, kita akan terus tertinggal, malah cabaran baru kian menghimpit.


Menyedari perkara ini, Islam menyarankan umatnya sentiasa peka dan bersedia menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Kepemimpinan negara menyarankan kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.


Transformasi dalam Islam disebut sebagai islah yang bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Islam menetapkan transformasi kehidupan insan sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian, segala bentuk perubahan atau pembaikan bertujuan membina kualiti kemanusiaan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran menyentuh akidah, hukum, akhlak, sirah, sains dan teknologi. Semua aspek itu disebut Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban manusia.

Ini jelas seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’du, ayat 11)

Perubahan diri dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran untuk melakukan perubahan. Ini disebut sebagai muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan pembaikan diri.

Amat sedih sekali kerana ramai dalam kalangan umat Islam hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga gagal menemukan kelemahan diri sendiri.

Oleh itu, dalam hal ini kita perlu mengingati apa yang disebut Khalifah Umar al-Khattab, hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung. Walaupun ramai mentafsirkan peringatan itu merujuk kepada persiapan kematian, tetapi muhasabah perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Muhasabah diri

Bermuhasabah dan tindakan perlu dimulakan oleh diri sendiri seperti saranan Rasulullah SAW. Perlu kita sedari umat Islam tidak akan terjatuh ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam.

Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa jika umat Islam gagal mengambil ajaran Allah SWT sebagai petunjuk dan panduan kehidupan. Berdasarkan itu, beberapa tindakan untuk memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan.

Perbetul visi

Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan visi keislaman yang jelas, akidah murni, ibadah kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap. Jika ini dapat dilakukan, ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.

Seorang Muslim yang baik, tidak pernah dalam dirinya bersifat statik melakukan perubahan diri. Pada asasnya, kehidupan hari ini perlu lebih baik dari semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik dari hari ini.

Jika berlaku keadaan statik atau jumud, ini bererti sudah berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan menjadi bertambah buruk serta menuju kehancuran. Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat supaya menjadi umat yang sederhana.

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dicapai, sudah pasti umat Islam menjadi pemimpin dunia yang bukan saja menguasai politik, juga dalam segala aspek kehidupan dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Transformasi sistem kehidupan mendorong manusia saling berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi ini, manusia memerlukan peraturan dan sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik serta sempurna.

Sehubungan itu, Islam sudah mengatur sistem kehidupan manusia secara jamaie untuk membentuk sistem hidup sempurna. Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan jinayat.

Aspek kepemimpinan

Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepemimpinan kerana manusia bukan haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma tertentu. Dalam sistem kehidupan berperaturan dan bersistem, memerlukan kepemimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah lebih baik.

Sirah Nabawi mencatatkan, terdapat dua Nabi yang membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua pemimpin itu mengajak manusia melakukan ketaatan kepada Allah SWT berlandaskan sistem Islam yang dibawa mereka.

Membina sistem kehidupan bertujuan membentuk manusia ke arah lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah, kehidupan bermasyarakat dan peraturan ditetapkan Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh.

Manusia umpama benih yang perlu ditanam di tanah yang subur untuk pertumbuhan benih yang baik. Benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah gersang atau kering. Walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik, kita tidak boleh mengharapkan pokok tumbuh dengan subur.


Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 29/12/2013

Syarat solat jenazah 4 takbir

Bagaimana caranya melaksanakan solat jenazah dengan betul. Jika ustaz tidak keberatan, mohon ditulis bacaan dalam solat jenazah. Saya lihat solat jenazah hanya mengangkat takbir. Solat jenazah berjemaah tetapi jika masuk lambat dan terlepas beberapa takbir bersama imam adakah perlu digantikan. - Ghazali, Ampang, Selangor.


Solat jenazah tidak ada rukuk, sujud, azan dan iqamat.

Cara mengerjakannya hendaklah berdiri, mengangkat takbiratul ihram (dengan mengucapkan Allahuakbar) berserta niat mengerjakan solat jenazah sambil meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas perut.

Kemudian hendaklah membaca surah al-Fatihah, kemudian takbir dan membaca selawat sekurang-kurangnya “Allahumma solli ‘ala Muhammad.”

Sebaik-baiknya hendaklah membaca, “Allahuamma solli ‘ala Muhammad wa’ala aali Muhammad, kama sollaita ‘ala Ibrahim wa’ala aali Ibrahim, wabaarik ‘ala Muhammad wa’ala aali Muhammad kama baarakta ‘ala Ibrahiim wa’ala aali Ibrahiim fil ‘alamiina innakahamidum majid.”

Syarat solat

Kemudian terus takbir lagi dan membaca doa “Allahummaghfir lahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu.” Sebaik-baiknya membaca: “Allahuammaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu ‘anhu wa akrim nuzulahu wawassi’ madkhalahu waghsilhu bil maa’i wassalji walbaradi wanaqqihi minal khataya kama yunaqqas saubal abyadu minaddanasi waabdilhu daaran khairan min daarihi wa ahlan khairan min ahlihi wa zaujan khairan min zaujihi waqihi fitnatal qabri wa ‘azabin naar.”

Kemudian terus takbir lagi dan membaca sekurang-kurangnya “Allahumma la tahrimna ajrahu wala taftinna ba’dahu waghfir lana walahu.”

Lebih baik lagi jika membaca “Allahumma la tahrimna ajrahu wa taftinna ba’dahu waghfir lana walahu wali ikhwaninal lazina sabaquna bil imani wala taj ‘al fi qulubina ghillan lillazaina aamanu rabbana innaka ra ufun rahiim.” Kemudian memberi salam, maka selesailah solat jenazah.

Menghadap kiblat

Sebelum itu perlu diingat syarat-syarat solat jenazah seperti solat yang lain, perlu menutup aurat, suci dari hadas besar dan kecil, suci badan, pakaian dan tempatnya serta menghadap kiblat. Kedua, mayatsudah dimandikan dan dikafankan.

Ketiga, letakkan jenazah menghadap kiblat kecuali solat dilakukan di atas kubur atau solat ghaib.

Jika seseorang lambat masuk solat jenazah yang dilakukan berjemaah dan terlepas beberapa takbir, maka dia hendaklah mengikut imam sekadar yang dia sempat. Selepas imam memberi salam, dia hendaklah menyempurnakan takbir yang tertinggal.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Bersolatlah kamu semua (mengikut imam) sekadar yang kamu sempat dan sempurnakanlah apa yang kamu tertinggal.” (Riwayat Abu Dawud)


Ustaz Zahazan Mohamed Berita Harian Online Agama 05/01/2014

Amal rosak kerana riak

ALLAH berfirman, “Sesiapa yang ingin bertemu Allah, hendaklah dia beramal soleh. Dan dalam amal solehnya itu janganlah dia mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun." (Surah al-Kahfi 18 :110)

Beribadat dan beramal soleh merupakan tuntutan daripada Allah kepada hamba-hambanya, kerana tujuan kita diciptakan di atas muka bumi ini adalah kerana ingin beribadat kepada Allah. Tetapi syarat supaya sesuatu amalan itu diterima ialah tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.

Amal ibadat akan berubah menjadi cacat sekiranya dicemari dengan dua jenis virus iaitu sifat riak dan sum‘ah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi: “Aku paling tidak memerlukan sesuatu. Sesiapa yang mengerjakan suatu amal yang dicampuri dengan perbuatan syirik kepada-Ku, maka Aku tiada kaitan dengannya dan membiarkannya dengan orang yang dia sekutukan." (Riwayat Muslim)

Jenis riak

Apakah itu riak? Istilah riak berasal daripada kata akar “lihat". Orang yang riak ingin “memperlihatkan" ibadatnya kepada orang untuk mendapat sanjungan, pujian dan penghargaan. Dalam erti kata lain, riak ialah sifat “menduakan" Allah dalam melakukan kebaikan.

Imam al-Ghazali berkata: " Riak ialah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebaikan."

Imam Habib Abdullah al-Haddad pula berkata: “Riak ialah menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat."

Menurut pandangan ulama, berikut merupakan dua jenis riak:

1- Riak Akbar (Riak Besar) : Seseorang yang melakukan ibadat semata-mata untuk mendapat sanjungan manusia dan bukanlah untuk mendapat keredaan Allah. Riak jenis ini adalah berpaling secara keseluruhan daripada Allah. Riak beginilah yang paling buruk, jika tidak kerana manusia, maka dia tidak akan beramal.

2- Riak Asgar (Riak Kecil) : Tujuan dia melakukan ibadat bercampur-campur antara tujuan mendapat keredaan Allah dan juga penghargaan manusia. Riak jenis ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana masih mengharap keredaan Allah tetapi pada masa yang sama mengharap juga penghargaan dari manusia.

Risiko penyakit riak

Ramai yang tidak menyedari bahawa riak hakikatnya cuba menipu Allah. Percubaan menipu Allah tidak akan berjaya bahkan mengundang bahaya yang paling besar. Malahan al-Quran dan hadis banyak sekali memuatkan ancaman riak. Riak bukan sekadar dosa kecil, bahkan termasuk dalam dosa-dosa besar. Berikut antara bahaya riak yang dinyatakan oleh al-Quran dan hadis:

n Riyak lebih bahaya dari fitnah dajal. Rasulullah bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian sesuatu yang lebih aku takutkan terhadap kalian daripada kedatangan dajal?" “Bahkan, kami mahu!", jawab para sahabat. Maka Rasulullah bersabda, “Syirik khafi; iaitu seseorang solat, lalu menghiasi solat, kerana seseorang yang memperhatikan solatnya." (Riwayat Ibnu Majah)

n Amal tidak akan berkesan. Allah berfirman: “Maka celakalah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya, orang yang berbuat riak dan mencegah iaitu menolong dengan barang yang berguna." (Surah al-Ma‘un 107: 4-7)

n Riyak akan menghapus dan membatalkan amalan. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan menyebut-nyebut dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah, Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang kafir." (Surah al-Baqarah : 264)

Penawar Riak

Jadi bagaimana mahu mengatasi rasa riak ini? Adakah orang yang riak ini akan berterusan tenggelam dan syok sendiri dengan amalannya yang tidak membuahkan hasil? Sudah tentu sekali tidak. Maka riak dapat ditangani sekiranya mereka beringat bahawa apa yang dicari pada manusia akan punah, dan yang kekal hanyalah Allah. Firman Allah: “Apa yang ada di sisi Allah jua yang kekal." (Surah an-Nahl :96)

Yakinilah bahawa riak hanya akan membawa kepada kehinaan, dan amalan orang yang riak ini langsung tidak akan mendapat ganjaran di akhirat. Tanya diri kita, mahukah kita berpenat lelah mengerjakan segala amal kebajikan di atas dunia ini, lantas di akhirat kita hanya menjadi seorang yang papa kedana? Fikirkan juga betapa riak akan menghapuskan pahala dan menambah dosa. Pada hari kiamat kelak Allah akan berfirman: " Pergilah kepada mereka yang kamu perlihatkan amalan untuknya. Tengoklah adakah pahala pada mereka? " (Riwayat Ahmad)

Apabila terdetik sahaja rasa riak, segeralah ingat kepada Allah dan berlindung daripada godaan syaitan. Hadapkan hati dan wajah kepada Allah dengan mengenangkan segala sifat keampunan dan kasih sayang dari-Nya, dan bayangkan aib diri akan didedahkan kepada seluruh manusia sekiranya kita beribadat hanya mengharap pujian manusia.



Dr. Zahazan Mohamed Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20140105