January 7th, 2014

Isu kalimah Allah terus dipolitikkan

PADERI Lawrence Andrew, Pengarang The Herald dikatakan membuat kenyataan supaya semua gereja Katholik di Selangor terus menggunakan kalimah 'Allah' dalam perhimpunan mingguan mereka.

Dalam pada itu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah bertindak merampas 351 naskhah bible versi Bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah 'Allah' dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Kenyataan Andrew telah membangkitkan protes dalam kalangan umat Islam di Selangor. Sebanyak 22 bahagian UMNO membuat laporan polis berhubung kenyataan paderi berkenaan yang dilihat sebagai provokatif. Pihak polis akan memanggil beliau bagi membantu siasatan.

Pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan membuat keputusan tidak membenarkan majalah mingguan The Herald menggunakan kalimah 'Allah' dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan itu.


Sultan Selangor sebagai Ketua Agama negeri Selangor telah mengeluarkan titah supaya tidak berlaku salah guna kalimah 'Allah' dan kalimah-kalimah yang lain yang telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Selangor.

Ia melanggar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 yang digubal selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Sudah tentu ada maksud yang tersirat mengapa kepimpinan Kristian Katholik berkeras mahu menggunakan kalimah 'Allah' ini dalam penerbitan sama ada bible versi bahasa Melayu atau risalah The Herald walaupun ia dilihat sensitif bagi orang Islam.

Apakah terdapat sebilangan pemimpin politik Islam bersetuju dengan penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan orang Kristian menyebabkan tampil keberanian untuk menentang undang-undang dan tidak merasa sensitif dengan perasaan orang Islam sendiri.

Secara ilmiah isu kalimah 'Allah' telah dikupas dengan baiknya oleh banyak pihak bersandarkan nas-nas al-Quran dan analisis bandingan. Kalimah 'Allah' bukan sekadar suatu istilah tetapi ia memberi makna dan hakikat kepada kepercayaan mengenai keesaan Allah iaitu tauhid. Ia tidak sama dengan konsep triniti yang didukung oleh penganut Kristian.

Apakah ini cerminan daripada anutan faham pluralisme agama yang dianut oleh sesetengah orang politik yang berkepentingan menganggap "semua agama itu sama" atau pendekatan golongan liberalis yang mempunyai kefahaman yang longgar mengenai Islam dan perubahan.

Pada prinsipnya Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Dalam tradisi Islam proses islah dan tajdid sering terjadi. Tetapi islah dan tajdid berlaku dalam tasawur atau Pandangan Semesta yang tidak bercanggah dengan syariat. Asas ini penting kerana syariat dan maqasid syariah dalam Islam jelas batasan dan skopnya.

Sekiranya isu kalimah 'Allah' terus dipolitikkan ia akan memberi kesan tidak baik terhadap hubungan orang Islam dan Kristian apalagi realiti Sabah dan Sarawak. Isu agama jika dipolitikkan boleh juga membawa kesan yang buruk kepada keamanan dan kestabilan negara.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan amat jelas mengenai kedudukan Islam dan bukan Islam. Peruntukan dalam Majlis Agama Islam Negeri-negeri juga mengukuhkan lagi Perlembagaan Persekutuan. Raja, Sultan dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai bidang kuasa sebagai ketua agama negeri masing-masing.

Kalau peruntukan ini tidak dihormati, isu agama boleh membawa konflik. Pemahaman yang tinggi, kesedaran yang mendalam amat diperlukan supaya maslahah bernegara berjalan mengikut landasan undang-undang dan etika keagamaan yang memberikan asas kefahaman dan toleransi.

Seperti kata Tun Mahathir dipetik daripada AIDC (1 Januari 2014), "Selama ini kita tidak pernah berbalah tentang kalimah 'Allah' kerana mereka (penganut Kristian di Semenanjung) tidak pernah menggunakan kalimah 'Allah' itu. Jadi kenapa perlu menyakiti hati orang lain. Tidak menggunakan kalimah 'Allah' tidak memudaratkan mereka".

Sedih sekali perkara pokok mengenai kalimah 'Allah' menyebabkan orang Islam berpecah. Ia dipertajamkan lagi dengan orang politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Tidak hairanlah mengapa orang lain tidak menghormati Islam kerana tokoh Islam sendiri ramai yang membisu dan kaku.



Utusan Malaysia Online Rencana 20140107

Keharmonian kaum asas ajaran agama

PERSELISIHAN di antara penganut agama Islam dan Kristian dalam negara ini berkaitan dengan kalimah Allah tercatat dalam bible sepatutnya tidak berlanjutan sehingga ke tahap yang boleh mengeruhkan keamanan negara.

Perkara berkaitan isu agama sepatutnya dibincang secara berhemah dan hikmah. Dalam menyelesaikan persengketaan berkaitan dengan keagamaan, mutual understanding amat diperlukan.

Pengalaman penulis sebagai pelajar teologi di sebuah universiti di England selama enam tahun dan penglibatan dalam kegiatan dialog agama sejak 1989 di negara Barat dan di Vatican (1992, 1997,1999) semasa John Paul II mendapati bahawa hubungan umat Islam dengan Kristian adalah terlalu mesra terutamanya apabila Vatican memperakui agama Islam, Kristian dan Yahudi sebagai Abrahmic Religions dan penganut ketiga-tiga agama ini sebagai Abrahamic Brothers.


Orang ramai dan NGO berhimpun di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya sejak awal pagi pada 14 Oktober tahun
lalu di mana keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam majalah mingguan
The Herald.


Agama Islam mengkategorikan agama Kristian dan Yahudi sebagai agama Samawi kerana ketiga-tiga agama tersebut menerima wahyu daripada Ilahi. Islam tidak memperakui agama Kristian dan Yahudi sebagai Islam kerana kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa dan Isa telah dipinda dan diubah keasliannya oleh para ulama agama setelah Nabi Musa dan Nabi Isa meninggal dunia .

Selain itu, agama Kristian mengaitkan Isa dengan ketuhanan yang mana kepercayaan ini bertentangan dengan konsep tauhid mutlak (pure monotheism) yang merupakan pengajaran fundamental akidah agama Islam. Agama Yahudi juga tidak diterima oleh Islam kerana mereka tidak mempercayai Nabi Isa dan Nabi Muhammad sebagai Rasul Allah. Sedangkan penganut agama Samawi wajib memperakui kerasulan 25 orang Rasul seperti dinyatakan oleh Allah SWT di dalam kitab Taurat, Injil dan al-Quran. Penafian kenabian ini menyebabkan orang Yahudi terkeluar daripada agama Islam.

Berdasarkan penerangan di atas maka penganut ketiga-tiga agama tersebut sepatutnya memahami perbezaan di antara satu sama lain berkaitan kepercayaan. Penafsiran kitab-kitab suci agama sepatutnya bertepatan dengan konteks ajaran agama masing-masing. Penggunaan nama 'Allah' dalam kitab suci agama selain agama Islam hanya diguna pakai oleh penganut agama Kristian di negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan seumpamanya.

Pengalaman penulis sebagai pelajar teologi yang sering mengikuti program di gereja di negara England, Jerman, Austria dan Itali serta menghadiri Papal Audience di Vatican jelas menunjukkan bahawa perkataan 'Allah' tidak disebut oleh paderi dan Pope John Paul II ketika bersembahyang dan memberi ucapan. Perkataan 'God', 'Father', 'Son' dan 'Jesus' merupakan perkataan yang sering diungkapkan oleh ketua agama Kristian ketika bersembahyang dan memberi syarahan agama.

Dialog agama di antara sarjana Islam dan Kristian merupakan salah satu aktiviti yang aktif di Vatican dan negara-negara Barat. Hasil daripada dialog antara agama dan seminar akademik di antara para ilmuan Kristian dan Islam yang begitu aktif sejak John Paul II sepatutnya boleh mempengaruhi pemikiran sarjana Kristian di Vatican supaya menukar perkataan 'God' dalam bible dengan perkataan 'Allah'. Hakikatnya sehingga kini perkataan 'God' masih digunakan oleh Vatican. Ini menunjukkan bahawa tanpa menggunakan perkataan 'Allah' agama Kristian tidak akan tergugat fundamental akidahnya.

Persoalannya, kenapa perkataan 'Allah' masih ingin digunakan dalam penulisan dan penerbitan ajaran bible walaupun ia boleh menggugat keharmonian kaum. Penganut agama Islam dan Kristian diajar oleh agama mereka erti keharmonian, kasih sayang terhadap manusia dan memuliakan jiran. Mereka diajar supaya berkompromi dalam pelbagai kegiatan hidup dengan penganut agama lain selama mana kegiatan itu tidak menggugat fundamental akidah agama mereka.

Dilema yang wujud dalam negara ini masa kini adalah jika perkataan 'Allah' digunakan dalam penulisan penerbitan agama Kristian, ia boleh mengelirukan penganut agama Islam yang kurang arif mengenai akidah Islam. Salah faham terhadap konsep tauhid mutlak ini boleh menggugurkan akidah umat Islam. Ini merupakan satu kebimbangan umat Islam dalam negara ini. Penganut agama Kristian pula ingin membuat pembaharuan dalam tafsiran bible mereka mengenai God dengan menterjemahkannya dengan perkataan 'Allah'. Dari aspek kemanusiaan umat Islam tidak berhak mencampuri urusan keagamaan penganut agama Kristian. Tetapi dalam konteks negara yang dihuni oleh pelbagai agama dan kaum maka perasaan curiga dan prasangka terhadap perubahan bible itu boleh menimbulkan perselisihan kaum dan agama. Perkara begini jika tidak dibendung boleh menggugat keharmonian kaum dan prejudis agama yang amat berbahaya kepada negara.

Berdasarkan kepada suasana begini maka para sarjana Islam dan Kristian sepatutnya berfikir dan merenung sejauhmanakah mereka mengamalkan konsep kasih sayang dan kecintaan terhadap kedamaian yang menjadi asas ajaran agama Samawi. Al-Quran secara jelas menggalakkan umat Islam supaya bersahabat dengan penganut agama Kristian kerana mereka adalah orang yang merendah diri dan penuh kasih sayang serta bertolak ansur. Ajaran Kristian menggalakkan penganutnya bertolak ansur dan berkorban sehingga ke tahap jika 'pipi kiri ditampar maka beri pula pipi kanan'.

Demi keharmonian kaum dan keamanan negara maka sikap bertolak ansur dan berkompromi amat diperlukan. Ahli agama sering dilihat sebagai orang paling bertolak ansur kerana mereka merupakan orang yang paling menghampiri Tuhan. Perselisihan sering membangkitkan emosi yang sukar dikawal dan dibendung. Jika gagal dikawal ia boleh mengundang kepada kemusnahan dan permusuhan.

Orang yang patuh kepada agama sering berusaha mengelakkan perpecahan dan perselisihan kerana peranan utama mereka ialah mendidik dan mengasuh penganut agama mereka menyemarakkan kasih sayang dalam bentuk universal. Bertolak ansur dan berkompromi bukan bererti lemah dan kalah tetapi ia merupakan hikmah dalam kehidupan manusia.

Apabila kuasa politik digunakan untuk menyelesaikan perselisihan agama maka suasana menjadi semakin kemelut. Sebagai pemimpin dan peneraju negara, keamanan dan keharmonian dalam negara merupakan asas penting dalam sistem pemerintahan negara. Jika perselisihan menjadi semakin membara maka tindakan yang keras menjadi pilihan untuk membendung permasalahan.

Oleh itu ahli-ahli agama dalam negara ini sepatutnya menggunakan pendekatan yang berhemah bagi menyelesaikan permasalahan salah faham dan prejudis agama supaya setiap kaum yang berbeza agama dalam negara ini menghormati antara satu sama lain.


PROF. MADYA DR. SAODAH ABD RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 20140107

Tiada cacat cela, kenapa perlu pinda?

BARU-BARU ini, tiga wakil rakyat DAP di Selangor dilaporkan mencadangkan supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda atas alasan menjaga hak bukan Islam di negeri ini.

Cadangan itu dinyatakan Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran dan Lau Weng San yang masing-masing mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama, DUN Bukit Gasing dan DUN Kampung Tunku.

Mereka mengusulkan pindaan dibuat terhadap Sub-Seksyen 9 enakmen terbabit susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 , ada menyatakan seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan Allah atau 34 perkataan Arab termasuk Hadis, Syariah, Khalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam.

Selain itu, mereka memberikan hujah kononnya seksyen tersebut bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan beragama.

Salehuddin Saidin























Pakar undang-undang

Sungguhpun begitu, timbul persoalan mengapa ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan beria-ia mencadangkan pindaan dibuat ke atas enakmen tersebut walhal tindakan yang dilakukan JAIS melakukan serbuan dan merampas bible di premis pertubuhan berkenaan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, adalah tidak wajar apabila tindakan JAIS tersebut dikaitkan kononnya mahu mencampuri urusan agama lain.

Ini kerana di bawah enakmen itu, penggunaan kalimah Allah serta 34 perkataan Arab lain dalam mana-mana penerbitan agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali di negeri ini dan selaku badan yang menguatkuasakan enakmen tersebut, JAIS sememangnya mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Mengapa pula tiga wakil rakyat terbabit menuding jari kepada JAIS dan mencadangkan pindaan enakmen tersebut dibuat?

Sepatutnya mereka perlu bertanyakan kepada Pertubuhan Bible Malaysia mengapa tidak mematuhi enakmen yang jelas melarang penggunaan kalimah Allah dalam apa jua penerbitan di negeri ini termasuklah dalam bible sendiri?

Bagi pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin, alasan wakil-wakil rakyat berkenaan kononnya Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 itu adalah bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat sama sekali.

Sebaliknya menurut beliau, enakmen tersebut sebenarnya diwujudkan berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

"Maka perlu difahami bahawa Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 itu dibuat berasaskan lunas undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan. Asasnya dibuat undang-undang (enakmen) ini adalah untuk mengawal perkembangan agama bukan Islam ke atas orang Islam di Selangor.

"Sehubungan itu, undang-undang (enakmen) ini adalah dibentuk berlandaskan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) JAIS dalam tindakannya tidak perlu dipersoalkan kerana badan itu menguatkuasakan enakmen yang telah sedia ada," jelas beliau.

Malah, Sallehuddin turut menyatakan tidak ada cacat-celanya enakmen tersebut termasuklah tindakan JAIS menyerbu dan merampas naskah bible di premis persatuan berkenaan sehingga memerlukan pindaan dibuat.

Walau bagaimanapun, beliau memberikan pandangan bahawa sekiranya enakmen itu memerlukan pindaan, boleh dilakukan hanya dengan matlamat untuk memantapkan lagi kawalan pengembangan agama bukan Islam ke atas orang Islam tanpa adanya sebarang pemansuhan mana-mana sub-seksyen di bawah enakmen itu.

Berdasarkan pandangan Salehuddin itu, ketiga-tiga wakil rakyat terbabit sepatutnya faham terlebih dahulu peruntukan undang-undang yang sedia ada dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu 'mencari undi' di kalangan pengundi bukan Islam.

Jika itu yang bermain di fikiran tiga wakil rakyat terbabit, adalah tidak salah rasanya tindakan mereka boleh dianggap sengaja mencetuskan provokasi di antara penganut Kristian dan Islam khususnya di negeri ini.

Ini kerana berdasarkan perkembangan ketika ini, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang mewakili umat Islam dilihat secara terbuka melahirkan kemarahan serta rasa tidak puas hati mereka terhadap ketiga-tiga wakil rakyat DAP itu ekoran cadangan tersebut.

Bagi NGO-NGO terbabit, cadangan itu merupakan satu penghinaan terhadap Islam selain menyifatkannya sebagai satu usaha untuk memurtadkan penganut agama itu.

Sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan memberikan alasan kononnya tidak tahu hukum-hakam Islam, mengapa rakan sekutu beragama Islam daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak 'mentarbiah' mereka sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan agama Islam?

Hakikatnya, isu kalimah Allah serta larangan pengunaan kalimah-kalimah Arab lain yang telah termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 tidak sewajarnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak dalam usaha untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama khususnya di Selangor.

Ini kerana, matlamat enakmen itu sendiri adalah untuk memelihara keharmonian masyarakat dan sepatutnya dihormati semua pihak.

Adalah amat tidak bertanggungjawab jika ada pihak cuba menjadi 'jaguh' dengan mempersoalkan enakmen tersebut.



Abdul Yazid Alias Utusan Malaysia Online Rencana 20140107

Mencapai garis Mukmin

Nilai adalah ukur tara mengenai baik buruk sesuatu tindakan dilakukan sama ada melalui percakapan, perlakuan dan amalan. Nilai lazimnya bersumberkan kepada agama, budaya, tradisi, falsafah atau sesuatu kepercayaan.


Fitrah manusia memang suka mencontohi perkara baik, tetapi naluri dan dorongan nafsu boleh menjadikan mereka sebaliknya. Jika terdapat dalam kalangan manusia cenderung melakukan keburukan, ada kemungkinan nilai kepada perbuatan itu adalah hasil didikan diterima dan pengaruh.


Umumnya, setiap tindakan dan pemikiran manusia ditumpukan kepada penghayatan nilai murni akan menjamin kepada kejayaan bukan saja di dunia, tetapi mendapat kerahmatan di akhirat kelak.

Perkara ini ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran yang memberi garis panduan kepada kerangka pembentukan domain nilai murni yang menjadi pedoman kepada manusia.

Secara fitrahnya, manusia yang mengaplikasikan nilai murni dalam ruang lingkup hidupnya digambarkan hadis Nabi Muhammad SAW: “Orang Muslim itu ialah orang yang sejahtera dalam kalangan semua orang Islam daripada bencana lidah dan tangannya. Dan orang muhajir ialah orang yang berhijrah (meninggalkan) segala larangan Allah.” (Riwayat al-Bukhari)

Ahmad ‘Abd al-‘Aziz al-Hadad, dalam karyanya ‘Akhlaq al-Nabi SAW fi al-Qur’an wa al-Sunnah’ merumuskan antara hikmah perutusan Baginda SAW di muka bumi ini ialah untuk membersihkan jiwa manusia daripada akhlak keji dan menyuburkan nilai rohaniah yang murni dalam setiap jiwa manusia.

Proses penyucian jiwa

Proses penyucian jiwa manusia ini perlu disaring dengan nilai yang luhur seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang yang berserah diri kepada-Mu, dan jadikanlah keturunan kami umat yang berserah diri kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 129)

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat ini bertujuan untuk menyempurnakan doa Nabi Ibrahim kepada penduduk tanah haram Makkah, maka ia berdoa ke hadrat Allah SWT supaya diutuskan seorang Rasul yang akan memimpin manusia dengan ajaran yang diredai Allah SWT.

Sejak diciptakan, manusia tidak pernah sunyi dengan pedoman dan bimbingan daripada wahyu. Namun, apabila tamadun manusia semakin berkembang dan bertambah kompleks, maka Allah SWT mengutuskan perutusan-Nya dengan syariat yang relevan dan bersesuaian keperluan realiti semasa dan sentiasa memelihara naluri semula jadi manusia yang mengutamakan nilai luhur.

Imam al-Ghazali melalui penulisannya Mukashafah al-Qulub al-Muqarrib ila Hadrah ‘Allam al-Ghuyub menegaskan bahawa mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah SWT adalah kemuncak kepada segala kebajikan.

Kecenderungan manusia kepada sifat itu akan mencerminkan nilai murni yang terpuji dalam dirinya iaitu nilai taat yang tinggi kepada Allah SWT. Manusia berada pada tahap itu, sentiasa kasih kepada Allah SWT melebihi segala-galanya dengan melazimkan diri mengabdi dan mengikat jiwa kepada Pencipta-Nya.

Perasaan cinta kepada Allah SWT dizahirkan dengan cara tidak pernah berputus asa mengharapkan keredaan dan mensyukuri segala nikmat yang telah dianugerahkan. Jiwa manusia yang disinari makrifat suci ini secara fitrahnya cenderung mengutamakan tingkah laku nilai terpuji dalam seluruh aspek kehidupan sama ada batiniah atau zahiriah.

Asasnya, golongan manusia yang didominasi nilai murni sentiasa menjauhkan diri daripada perbuatan yang dikategorikan sebagai dosa, sama ada bersifat lahiriah atau batiniah. Ini kerana unsur perlakuan itu boleh menjauhkan mereka daripada mencapai rahmat Allah SWT.

Oleh itu, sikap menafikan kepentingan penghayatan nilai murni dalam tingkah laku boleh mengundang kepada perbuatan menderhaka nikmat yang telah dikurniakan Allah SWT. Contohnya, menggunakan anggota tubuh badan untuk melakukan maksiat atau perkara ditegah oleh Allah SWT.

Pada hal, Allah SWT menciptakan anggota tubuh badan untuk beribadah kepada-Nya. Sebaliknya ia disalahgunakan oleh manusia untuk kepentingan hawa nafsunya semata-mata. Ia jelas berlaku pencerobohan terhadap amanah dikurniakan Allah SWT dan secara tidak langsung adalah kemuncak kepada pengkhianatan.

Garis panduan Mukmin bertakwa

Bagi memenuhi tujuan itu Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang diterjemah Bimbingan Mencapai Insan Mukmin telah menggariskan panduan untuk mencapai tingkatan Mukmin yang bertakwa.

Beliau memberikan fokus kepada pemeliharaan anggota zahiriah dan batiniah seperti memelihara mata, telinga, lisan, perut, kemaluan, anggota dan kaki daripada melakukan perkara berunsurkan mazmumah.

Oleh kerana nilai murni terikat dengan lokus kawalan ajaran agama, sudah tentulah ia melahirkan keinsafan dalam ufuk kalbu manusia. Atas kesedaran inilah, jiwa manusia yang dikoordinasikan dengan nilai murni sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduk supaya terarah kepada perlakuan yang boleh memberi manfaat.

Keyakinan kepada unsur nilai murni inilah menjadi benteng konkrit menghapuskan fenomena al-fasad seperti rasuah penyelewengan, kerosakan, penindasan, kezaliman dan nilai negatif yang lain.

Justeru, paradigma nilai murni yang didasari prinsip Islam menjadi asas kepada pembentukan citra hati budi individu Muslim dan sekali gus dapat menghindarkan daripada sindrom penyakit yang menyumbang kepada kemuflisan moral.

Shuhairimi Abdullah Berita Harian Online 07/01/2014

Impian jadi kenyataan

IMPIAN jadi kenyataan. Demikian yang dirasai oleh enam sekeluarga rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) yang berjaya melakar sejarah menamatkan perjalanan darat sejauh 25,500 kilometer (km) dari UK untuk pulang ke tanah air dalam tempoh 155 hari.

Jurutera mekanikal, Jamalullail Ismail, 44, dan isterinya, Sofinee Harun, 38, serta anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, yang menetap di Seaham, Sunderland, UK sejak 15 tahun lepas, memulakan perjalanan By Road to Malaysia itu pada 13 Julai lalu bersamaan 4 Ramadan.

Setelah mengharungi pelbagai pengalaman indah, peristiwa menarik dan saat-saat cemas serta mencabar menjelajah 26 negara, akhirnya kenderaan karavan Mercedes Sprinter 1998 yang mereka naiki tiba di sempadan Malaysia di Bukit Kayu Hitam pada pukul 12.30 tengah hari, Sabtu, 14 Disember lalu.


Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengucapkan tahniah kepada Jamalullail Ismail
yang menaiki karavan bersama keluarganya untuk pulang ke tanah air dari UK dalam majlis ringkas mengadap baginda di Kangar.

Pengembaraan jalan darat seumpama itu bersama keluarga termasuk anak-anak dan isteri belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak dan ternyata memberi pengalaman berharga kepada keluarga berkenaan malahan turut mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Jamalullail berkata, di setiap negara dilawati mereka akan bergaul dengan penduduk tempatan, mempelajari budaya dan perkara berkaitan negara asing itu, menimba pengalaman baharu, memerhatikan keindahan alam dan mempromosikan Malaysia.

Bagi Jamalullail, pengembaraan adalah universiti terbaik bagi menimba pengalaman dalam keadaan sebenar depan mata, membuka minda dan pada masa yang sama mendidik dan membentuk jiwa agar hampir kepada Allah.

Lelaki berasal dari Teluk Intan, Perak itu berkata, pengembaraan mengajar sifat lebih bersyukur, sabar, tabah dan banyak bertawakal kepada Allah selain mengeratkan hubungan sesama manusia, bertukar-tukar pandangan dan ukhuwah Islam di negara asing.

"Ini memberi peluang untuk kita belajar banyak perkara dengan lebih real lagi. Kalau kita setakat membaca sahaja mungkin maklumat itu tidak seperti yang digambarkan," katanya kepada Mega di Jitra, baru-baru ini.

Dengan pemanduan sekitar kelajuan 80 km sejam, karavan seberat kira-kira empat tan itu bergerak dalam lingkungan 300 ke 400 km sehari yang mengambil masa antara enam hingga lapan jam sehari untuk meredah benua ke benua beriklim ekstrem sejuk mahu pun panas melampau.

Rata-rata di setiap tempat yang dilalui atau kawasan tempat berhenti, mereka mendapat layanan baik dan mesra daripada masyarakat setempat. Lebih-lebih lagi selepas diberitahu mereka adalah orang Islam dari Malaysia.

Lebih istimewa, tambahnya, kebesaran Allah cukup dirasai apabila menyaksikan keindahan dan keunikan sesuatu tempat sama ada pemandangan, penduduk, budaya, cuaca, situasi dan sebagainya.

"Melihat keindahan alam ciptaan Allah adalah suatu anugerah kepada kami," katanya.

Bagaimanapun, tidak dinafikan mereka turut menghadapi beberapa kesukaran seperti kesulitan kerenah birokrasi beberapa negara, perubahan cuaca yang ekstrem, pengalaman disamun dan kewangan yang terhad.

Beliau mengambil contoh, di Turmenistan ada tempat dipanggil neraka dunia. Manakala di Kyrgyzstan ada tempat minyak diesel menjadi gel akibat suhu terlalu rendah manakala musim panas di Itali mencecah 50 darjah Celsius.

"Semasa di Turki, kami membuat urusan visa untuk masuk ke China, tetapi dasar negara itu ialah visa hendaklah dibuat di negara datang iaitu di UK atau negara tanah air pemohon iaitu di Malaysia.

"Maka ia menimbulkan kesulitan kerana mustahil kami kena balik semula ke UK. Tetapi alhamdulillah Kedutaan Malaysia di sana dapat selesaikan melalui saluran diplomatik," jelasnya.

Walaupun di Iran mereka dirompak sebanyak dua kali dan hampir diculik, namun peristiwa itu dilihat memberi pengajaran berguna agar lebih berhati-hati pada masa depan.

"Kami bersyukur kepada Allah kerana memelihara keselamatan dan sebarang kesulitan yang timbul menyebabkan kami lebih bertawakal dan berserah kepada kekuasaan Allah.

"Alhamdulillah semua perkara dipermudahkan Allah. Kami belajar bahawa hanya kepada Allah tempat bergantung. Malahan kami tidak mengalami masalah kesihatan sepanjang perjalanan," katanya sambil menambah apabila masalah timbul mereka akan segera bersolat hajat, berzikir dan berdoa kepada Allah.

Suatu ketika di Kyrgyzstan, katanya, spring kiri serta kanan kenderaannya rosak. Apabila dihantar ke bengkel didapati kos membaiki terlalu mahal kerana alat ganti perlu dipesan dari Jerman dan memerlukan lebih 10 hari untuk barang sampai dan kerja pemasangan disiapkan.

"Disebabkan masalah itu kami pergi ke masjid untuk bersolat hajat dan rupa-rupanya dipertemukan dengan mekanik Islam tempatan yang kebetulan berada kawasan masjid dan dia bersedia untuk membantu.

"Mekanik itu membaiki hanya dalam tempoh empat jam dengan kos yang 10 kali ganda lebih murah," jelasnya yang menyifatkan kejayaan pengembaraan itu adalah berkat doa daripada ramai orang.

Sofinee yang berasal dari Beseri, Perlis berkata, layanan mesra penduduk setempat sebaik sahaja mengetahui mereka adalah orang Islam dari Malaysia amat menyentuh perasaan.

Katanya, pengembara Islam mempunyai banyak kelebihan kerana ikatan persaudaraan di mana-mana negara cukup erat. Ini banyak membantu memudahkan urusan.

"Kami rasa berbangga kerana di mana-mana tempat ada orang Islam dan masjid. Apabila sebut kita orang Islam dari Malaysia maka mereka sangat hormat... mereka akan peluk, cium dan jemput datang rumah menjamu makanan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun persiapan dan persediaan sebelum memulakan perjalanan amat penting seperti dari segi teknikal, laluan perjalanan, sistem navigasi, mempelajari birokrasi, permohonan visa negara-negara dilawati, tukaran wang asing, promosi dan sebagainya.

"Selepas semua rancangan dan persediaan dilakukan, maka kami bertawakal dan di situ lah kami dapat belajar meningkatkan keyakinan bahawa Allah berkuasa, manakala makhluk tiada kuasa," katanya.

Kisah pengembaraan mereka boleh diikuti dengan lebih lanjut di <a style="text-decoration:none' data-cke-saved-href=" http:=" href=" www.byroadtomalaysia.com"="" lj-cmd="LJLink2">http://www.byroadtomalaysia.com atau di laman Facebook, byroadtomalaysia.

<a style="text-decoration:none' data-cke-saved-href=" http:=" href=" www.byroadtomalaysia.com"="" lj-cmd="LJLink2">

SAHBULAH DARWI Gambar KAMAL BASIR Utusan Malaysia Online Bicara_Agama 20140107

Menghukum atas yang benar

DARIPADA Ummu Salamah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Bahawasanya aku adalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu semua telah membawa pertelingkahan kepadaku. Barangkali sesetengah kamu ada yang lebih cerdik mengemukakan hujah serta alasannya daripada sesetengah yang lain. Maka aku akan menghukum mengikut apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku putuskan untuknya mendapat kemenangan, sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah hak kepunyaan saudaranya, maka sesungguhnya aku tentukan untuknya sepotong daripada api neraka. (riwayat Muttafaqun A’laih)

Huraian:

Janganlah menghukum suatu perkara dengan tidak mengikut hukum Islam sedangkan kamu mengetahui, kerana itu menjadikan kamu akan dihumbankan ke dalam api neraka.

Jauhkanlah sifat-sifat menyakiti hati manusia yang menyebabkan Allah SWT murka.

Buatlah keputusan mengikut apa yang dibenarkan Allah dan jangan buat keputusan mengikut apa yang tidak diredai Allah SWT.

Rasulullah SAW ialah seorang manusia. Harus bagi dirinya sifat-sifat manusia kecuali apa yang dipelihara Allah SWT daripadanya. Rasulullah SAW terpelihara daripada tersalah dalam menyampaikan risalah termasuklah aqidah dan syariat, dan terpelihara daripada perbuatan haram dan keji.

Seorang hakim menjatuhkan hukuman berdasarkan keterangan dan hujah yang dapat diterima seperti saksi, sumpah dan lain-lain. Dia tidak boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan pengetahuannya.

Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim tidak menghalalkan yang haram walaupun hukum itu dilaksanakan pada zahir. Oleh itu, sesiapa yang memperoleh sesuatu melalui perintah mahkamah sedangkan dia mengetahui sesuatu itu bukan haknya maka tidak harus ia mengambilnya.

Petikan daripada koleksi Senarai Hadis dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140107

Populariti Tafsir Jalalain

TAFSIR Jalalain merupakan kitab tafsir karya Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli (791 Hijrah - 864 Hijrah) dan Abu al- Fadl Abdur Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad Jalaluddin as-Suyuti (849-911 Hijraj). Ia disebut Jalalain yang bererti dua (ulama tafsir bernama) Jalal.

Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Jilid pertama yang memuat mukadimah dan tafsir surah al-Baqarah hingga akhir surah al-Isra’ merupakan karya Jalaluddin as-Suyuti.

Jilid kedua memuatkan tafsir surah al-Kahfi hingga akhir surah an-Nas, surah al-Fatihah yang diletakkan sesudah surah an-Nas dan tatimmah (penutup). Kecuali bahagian penutup, jilid kedua merupakan karya Jalaluddin al-Mahalli. Bahagian penutup merupakan karya Jalaluddin as-Suyuti.

Penulisan Tafsir Jalalain dilatarbelakangi oleh dua perkara. Pertama, merosotnya bahasa Arab yang disebabkan oleh perhubungan yang terjadi antara bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain yang tidak berbahasa Arab, seperti Parsi, Turki, dan India.

Akibatnya, bahasa Arab tidak mudah lagi dimengertikan oleh orang-orang Arab asli kerana susunan kalimatnya mulai berbelit-belit mengikuti susunan bahasa ajam. Hal ini juga melanda kosa kata bahasa Arab.

Semakin hari, semakin banyak kosa kata ajam yang masuk ke dalamnya. Keadaan tersebut dikenal dengan istilah zuyu’ al-Lahn (keadaan ketika penyimpangan mudah ditemui). Banyak kaedah-kaedah nahu (gramatik) dan saraf (morfologi) dilanggar.

Kedua, adanya keyakinan bahawa al-Quran adalah sumber bahasa Arab yang paling autentik. Kerana itu, untuk mendapatkan kaedah-kaedah bahasa yang benar, pengkajian dan pemahaman terhadap al-Quran harus dilakukan.

Tafsir Jalalain telah dikenal di alam Melayu sejak abad ke-17, bahkan ada kemungkinan tafsir itu telah popular pada abad itu. Hal ini terbukti daripada banyaknya manuskrip tafsir tersebut di Muzium Nasional Jakarta.

Populariti Tafsir Jalalain di alam Melayu secara tidak langsung ditandai pula daripada kemunculan kitab tafsir Murah Lubaid li Kasyf Ma'na al-Quran al-Majid (Kitab yang Tebal Isinya untuk Mengungkap Makna Al-Quran al-Majid), yang merupakan karya Imam Muhammad Nawawi al-Bantani atau dikenal juga dengan Syeikh Nawawi al-Jawi (1813-1897).

Kaedah penafsiran

Di Indonesia kitab tafsir ini dikenal dengan nama Tafsir al-Munir. Tafsir ini terhitung tafsir menengah dan banyak dipelajari di Indonesia dan Malaysia.

Tafsir al-Munir melengkapi dan memperluas cara penafsiran Tafsir Jalalain dengan merujuk pada kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah (Keterbukaan Ilahi) karya al-Jamal (Sulaiman bin Umar al-Ujaili al-Azhari) – berisi komentar tentang Tafsir Jalalain.

Selain Futuhat, kitab-kitab lain yang menjadi rujukan Imam Nawawi adalah Mafatih al-Gaib (Pembuka Keghaiban), karya Fakhruddinn ar-Razi dan lain-lain.

Di samping itu, terdapat pula kitab tafsir Hasyiyyah al-Allamah as-Sawi yang biasa dikenali dengan Tafsir as-Sawi. Kitab tafsir karya Syeikh Ahmad as-Sawi al-Maliki ini berisi komentar yang cukup luas atas Tafsir Jalalain. Tafsir as-Sawi banyak dipelajari di Tanah Melayu, khususnya Indonesia.

Sehingga sekarang, Tafsir Jalalain masih banyak dipelajari di Malaysia dan Indonesia. Banyak pondok pengajian yang masih menggunakannya sebagai kitab pelajaran asas.

Penterjemahan terhadap tafsir ini telah banyak dilakukan dan dicetak berulang kali, baik dalam bahasa Indonesia mahupun bahasa daerah.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140107

Kurangkan bicara, lebihkan amal

KHALIFAH Umar bin Abdul Aziz terkenal sebagai penguasa yang berkarisma. Selain itu, beliau juga sangat alim dan zuhud. Pada masa pemerintahan beliau, tiada orang miskin yang berhak menerima zakat. Semua hidup makmur kerana keadilan khalifah yang soleh ini.

Suatu hari Umar bin Abdul Aziz duduk dalam sebuah majlis perjumpaan. Beliau lalu berbicara dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati. Semua orang di majlis itu menjadi sangat khusyuk. Bahkan, sebahagian daripada mereka turut mengalirkan air mata.

Apabila Umar melihat seseorang daripada hadirin mengusap air matanya, beliau pun menghentikan perbincangan.

Maimun bin Mahran yang hadir dalam majlis itu berkata: "Wahai Amirul Mukminin, lanjutkanlah perbincangan tuan. Saya yakin ramai yang mendapat manfaat daripada perbincangan ini."

Umar mengisyaratkan dengan tangannya sambil berkata: "Menjauhlah daripadaku. Berbicara merupakan satu fitnah dan ujian. Berbuat lebih bermanfaat bagi seseorang daripada berbicara." Kisah ini diceritakan oleh al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab al-Iman.

Rahsia kejayaan

Generasi umat Islam terdahulu tidak suka berlebih dalam berbicara. Walaupun perbicaraan mereka sangat menginsafkan dan mendekatkan pendengarnya kepada Allah SWT. Bagi mereka, berbicara mesti secukupnya dan kerja nyata yang mesti diperbanyakkan.

Dasar 'sedikit bicara banyak berbuat' ini menjadi rahsia kejayaan umat Islam pada masa itu. Mereka mencapai kemajuan dalam aspek politik, ekonomi dan sains. Mereka telah menjadi penguasa dunia apabila bangsa-bangsa yang lain masih dalam kemunduran.

Dasar ini berlaku di semua lapisan masyarakat sama ada ahli politik, agamawan dan rakyat biasa. Tiada tempat bagi orang yang banyak berbicara namun sedikit berbuat. Apa lagi orang yang percakapannya tidak serupa bikin.

Hasan al-Basri berkata: "Terlebih banyak bicara daripada berbuat ialah satu aib. Terlebih banyak berbuat daripada berbicara ialah satu kemuliaan."

Sementara, Fudail bin ‘Iyad berkata: "Seorang mukmin sedikit bicara, banyak bekerja. Seorang munafik banyak berbicara, namun sedikit bekerja."

Perdebatan

Berbicara sangat mudah, orang jahil sekalipun boleh melakukannya. Bahkan semakin jahil seseorang, semakin mudah ia mengucapkan sesuatu yang dikehendakinya. Apabila orang bijak berfikir dahulu sebelum berbicara, orang jahil berbicara dahulu sebelum berfikir.

Selain itu, perbicaraan yang tidak terkawal akan membawa impak negatif yang sangat banyak. Salah satunya ialah, perdebatan dan pergaduhan. Pergaduhan yang merebak dalam masyarakat akan melahirkan gejala perpecahan yang akan melemahkan masyarakat itu sendiri. Pada masa yang sama mereka akan disibukkan daripada melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi masyarakat.

Berkata Ma’ruf al-Karkhi: “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba, maka akan dibuka bagi pintu amal dan ditutup bagi pintu perdebatan. Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi seseorang, maka dibukakan untuknya pintu perdebatan dan ditutup pintu amal.”

Oleh yang demikian, mari kita lakukan perubahan dalam diri kita. Kurangkan bicara, lebihkan beramal. Apabila sifat ini telah menyebar dalam masyarakat, insya-Allah kejayaan akan kembali ke tangan kaum Muslimin. Wallahu a’lam.

UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/ umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140107

Bersatu pertahan kalimah Allah

KALIMAH Allah wajib dipertahankan hanya untuk umat Islam sahaja dan agama lain sewajarnya patuh dengan hak umat Islam serta menjaga sensitiviti kaum di dalam soal keagamaan.

Pemimpin dan ulama serta seluruh umat Islam tidak kiralah apa parti mereka dan apa juga kedudukan seseorang itu hendaklah bersatu mempertahankan kalimah Allah.

Itu adalah maruah dan hak kita yang tidak boleh dipertikaikan. Cara terbaik untuk menyelesaikan isu sensitif ini adalah dengan mengadakan perjumpaan di antara ketua agama agar jalan penyelesaian dapat dicari tetapi mestilah dengan hormat menghormati dan saling faham memahami 'ibarat menarik rambut dari dalam tepung, tepung tidak berselerak rambut dapat dikeluarkan'.

Saya berharap kalimah Allah, dalam konteks Malaysia ini tidak terus dipersenda dan disalah guna oleh agama lain kerana rakyat Malaysia yang beragama Islam sangat sensitif apabila ada orang menyentuh agamanya.

Inilah yang membimbangkan kita dan mungkin selepas ini tuntutan yang akan dibuat ialah untuk meletakkan kalimah Allah di atas pintu gereja pula dan tidak mustahil jika dibiarkan akan terbinanya gereja Melayu Kristian.

Difahamkan sudah ada Paderi Melayu dari negara jiran memberikan 'khutbah' mereka di sini dan sudah ada orang yang berkulit sawo matang dan wajahnya menyerupai Melayu dari luar negara telah mulai berkunjung ke gereja setiap pagi Ahad.

Oleh itu, saya seru semua orang Islam termasuk pemimpin apa juga parti dan pertubuhan hendaklah bersatu hati mempertahankan kalimah Allah. Masih belum terlewat lagi untuk kita ambil tindakan sewajarnya secara berhikmah dan mengikut saluran yang betul agar tidak mengeruhkan lagi suasana.

Ikutlah kaedah Rasulullah SAW menangani kaum Yahudi semasa Baginda mentadbir Madinah dengan piagam atau perjanjian Madinah.



SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL Persatuan Jamalullail Perak Utusan Malaysia Online Forum 20140107