January 9th, 2014

Mencontohi Rasulullah melalui muamalah Islam

LAZIMNYA, umat Islam di negara ini meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan berarak sambil mengalunkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Sambutan sebegini agak stereotaip dan telah diadakan sejak sekian lama sehingga ada segelintir yang terlupa apakah sebenarnya tersirat di sebalik makna sambutan perayaan ini.

Maulidur Rasul sebenarnya bertujuan membawa umat Islam memahami dan menyelami seluruh keperibadian Rasulullah. Lantas, baginda menjadi role model terbaik manusia seluruh alam. Namun berapa ramaikah umat Islam sekarang yang benar-benar menghayati keperibadian Rasulullah?

Untuk melihat keperibadian Rasulullah, umat Islam perlulah memahami makna muamalah Islam yang merupakan manifestasi kepada keperibadian Rasulullah. Ini kerana, muamalah adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia termasuk tatacara atau peraturan dalam perhubungan sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah. Ringkasnya, muamalah melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam.

Dalam konteks ekonomi, sememangnya, manusia disuruh memiliki harta yang disediakan oleh Allah melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dianugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia bagaimanapun, adalah sebagai pemegang amanah Allah dan bertanggungjawab terhadap harta tersebut.

Ini dijelaskan oleh Allah dalam Surah al-Mulk ayat ke-15 yang bermaksud: ''Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan ingatlah kepada Allah SWT jualah (tempat kembali kamu) dibangkitkan (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)."

Biarpun Islam telah menggariskan kaedah yang terbaik dalam semua aspek kehidupan, ironinya, masih ramai yang tidak memahaminya dengan mendalam. Ini terbukti apabila masih ada segelintir umat Islam yang tidak menggunakan sistem perbankan Islam serta ada pula terlibat dalam pelaburan yang meragukan.

Ini menunjukkan bahawa kefahaman umat Islam terhadap muamalah Islam itu masih belum begitu memuaskan. Seharusnya, bidang ini perlu difahami dengan sedalam-dalamnya kerana ia melibatkan segenap aspek kehidupan termasuk halal haram dalam perniagaan dan makan minum.

Justeru, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pusat Zakat Melaka serta TV Al Hijrah dalam menganjurkan Karnival Muamalah Islam dan Kempen Jom Berzakat bersempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Melaka, selama lima hari bermula esok.

Yang Dipertua Yadim, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, karnival yang dianjurkan ini adalah unik kerana ia lari daripada stereotaip perayaan Maulidur Rasul yang biasa, sebaliknya turut mengetengahkan dimensi-dimensi lain seperti keilmuan, kekeluargaan, perniagaan dan hiburan berlandaskan Islam.

''Inilah cuba digambarkan melalui karnival ini iaitu cara hidup Islam yang holistik atau muamalah Islam. Walaupun masih ada acara perarakan namun sepanjang karnival ini pelbagai acara dalam bentuk keilmuan, kekeluargaan dan sebagainya turut diadakan.

''Idea penganjuran program ini adalah kerana menyedari betapa ceteknya fahaman sesetengah umat Islam itu mengenai muamalah Islam sedangkan dalam konteks syariah, muamalah adalah sama pentingnya dengan ibadah," katanya.

Beliau berkata, sememangnya karnival ini diadakan bersempena Maulidur Rasul bagi mencerminkan keperibadian Rasulullah dan ajaran Islam yang holistik dan komprehensif serta sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Buat pertama kalinya juga Yadim akan mengetengahkan felo-felo dakwah Yadim seperti Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Dr. Mohd. Izhar Arif Mohd. Kashim dan Dr. Nik Salida Nik Salleh dalam program-program keilmuan pada karnival ini.

Dalam aspek ekonomi, Yadim juga menganjurkan Simposium Muamalah Islam dengan kerjasama CIMB Islamic yang menampilkan penceramah-penceramah dari pelbagai industri berkaitan kewangan Islam yang akan menyentuh empat aspek penting perbankan Islam, takaful, pelaburan dalam Islam dan pengurusan kewangan Islam.

Keempat-empat elemen ini adalah penting terutama dalam mendepani kemelut ekonomi sekarang yang menuntut setiap individu menguruskan kewangan mereka dengan baik.

Apa yang jelas, penganjuran Karnival Muamalah ini mampu menonjolkan cara Nabi Muhammad bermuamalah sekali gus mengetengahkan segenap aspek kehidupan seorang Islam. Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat ke-21 yang bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah".

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah ialah model ikutan (role model) bagi kita umat Islam.

Baginda ialah contoh seorang pemimpin, bapa, suami, jiran, peniaga dan sahabat yang terbaik. Justeru, umat Islam tidak perlulah mencari-cari peribadi atau tokoh-tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain Rasulullah. Ini kerana umat Islam telah pun dibekalkan dengan contoh keperibadian terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad SAW.



MOHD. YUSWANDI ABDUL MAJID ialah Pegawai Perhubungan Awam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 20140109

Kebangkitan al-Qaeda kerana dasar AS

BUKAN satu perkara yang pelik jika ada pihak yang mempersoalkan kaedah tadbir urus Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengendalikan sesuatu konflik kerana lazimnya keputusan yang dibuat beliau tidak membuahkan hasil seperti yang dikehendaki.

Bermula dengan konflik di Afghanistan dan Iraq yang dicetuskan oleh bekas Presiden George W. Bush dan disusuli pula oleh fenomena Arab Spring di beberapa negara Arab dan paling terkini peperangan di Syria, nampak gayanya setiap dasar luar yang diamalkan White House disifatkan sebagai tersilap langkah.

Laporan risikan (NIE) terbaru yang mengumpulkan maklumat dari 16 agensi perisikan AS antaranya Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) telah mendedahkan bahawa kumpulan Taliban di Afghanistan dengan mudah akan menawan beberapa wilayah negara tersebut sebaik sahaja tentera AS dan British berundur.

Perlu ditekankan dasar pengunduran tentera AS dari Afghanistan ini dibuat oleh pentadbiran Obama walaupun tidak dipersetujui oleh pemimpin tertinggi Pentagon.

Kepincangan tadbir urus konflik White House terserlah lagi apabila bekas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang pernah berkhidmat selama dua tahun setengah dalam pentadbiran Obama mendedahkan bagaimana tiada keyakinan pemimpin tertinggi AS terutama sekali strategi yang melibatkan perang di Afghanistan dan Iraq.

Gates dalam buku memoir yang bertajuk Duty: Memoirs of a Secretary at War turut mempamerkan bagaimana Obama sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera AS juga tidak mempunyai keyakinan terhadap komander angkatan tentera yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Afghanistan dan Iraq.

Kekalutan Obama mengendalikan situasi konflik mula terbukti kesahihan dan kesannya apabila dua bandar utama di Iraq di wilayah Anbar iaitu Fallujah dan Ramadi jatuh ke tangan kumpulan pengganas al-Qaeda beberapa hari lepas. Peristiwa ini dikatakan penting kerana kedua-dua bandar tersebut merupakan simbol kekuatan tentera AS ketika berjaya menggulingkan rejim Presiden Saddam Hussein pada 2003.

Kumpulan al-Qaeda dikatakan sudah hampir lumpuh bermula dengan pencerobohan tentera AS di Afghanistan pada 2001 dan selepas itu ramai pemimpin tertinggi kumpulan itu berjaya dihapuskan. Walaupun konflik di Iraq sedikit sebanyak menghidupkan kembali aktiviti kumpulan ini, tetapi ia berjaya dikekang dengan kehadiran tentera AS.

Tetapi dasar luar AS yang tidak mahu campur tangan dalam konflik di Syria dan pengunduran berkala tentera bersekutu dari Iraq yang bermula pada 2011 bagaikan telah memberi nafas baharu kepada kumpulan al-Qaeda.

Konflik di Syria yang telah berlarutan selama tiga tahun bagaikan tiada penyudah kerana kedua-dua pihak yang bertentangan iaitu tentera kerajaan Bashar al Assad dan pemberontak adalah sama kuat. Ada yang mengandaikan tanpa kuasa besar barat yang terlibat secara langsung, konflik di Syria adalah perbalahan proksi iaitu antara Arab Saudi dan Iran.

Iran adalah penyokong kuat kerajaan Bashar sementara Arab Saudi pula menyalurkan bantuan kepada pemberontak. Kemelut timbul apabila beberapa kumpulan pemberontak tersebut merupakan sekutu kuat al-Qaeda yang secara tidak langsung telah memberi kekuatan dan nafas baharu kepada kumpulan pengganas tersebut.

Kumpulan pemberontak ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) ialah antara kumpulan sekutu al-Qaeda dan kumpulan ini jugalah yang telah menawan Fallujah dan Ramadi di Iraq. ISIS sememangnya sudah wujud ketika mula AS menceroboh Iraq tetapi kekuatan ISIS pada ketika itu mudah dipatahkan oleh tentera AS.

Tetapi sejak ISIS terlibat dalam konflik Syria dan tentera AS mula mengurangkan tentera di Iraq, kumpulan ini telah menjadi kumpulan pemberontak utama bukan sahaja di Syria tetapi juga di Iraq.

Lebih membimbangkan lagi konflik di Syria, Iraq dan juga Lebanon telah merebak menjadi perbalahan sesama Islam tetapi pegangan mazhab yang berlainan. Bukan menjadi rahsia lagi Arab Saudi membantu pemberontak Syria kerana mahu menghapuskan rejim Bashar yang berpegang pada aliran Syiah. Begitu juga bantuan AS$3 bilion kepada kerajaan Lebanon oleh Arab Saudi adalah usaha untuk menghapuskan kumpulan Hizbullah yang mendapat sokongan Iran.

Sementara pemberontak Syria dari aliran Sunnah pula terlibat dalam pemberontakan di Iraq kerana ingin menghapuskan pemerintahan kerajaan Iraq di bawah pimpinan Perdana Menteri Nuri al Maliki yang berpegang kepada amalan mazhab Syiah.

Jika dikaitkan semua kemelut yang sedang melanda negara Islam Asia Barat terdapat bagaikan satu perancangan teratur untuk mempergunakan perbezaan mazhab dan juga suku kaum sebagai senjata utama untuk mencapai agenda masing-masing. Memang benar perbezaan ini sudah wujud buat sekian lama di rantau tersebut, tetapi dengan campur tangan kuasa besar asing dengan agenda yang tersendiri dan ditambah pula dengan pemerintahan autokrat, persefahaman amat sukar untuk dicari.

Kebangkitan al-Qaeda di Syria, Iraq dan juga Lebanon adalah satu manifestasi jelas bagaimana perbezaan dua mazhab utama Syiah dan Sunnah bakal menghasilkan konflik yang tiada kesudahannya. Jika ada pemimpin negara barat pada satu ketika dahulu mempergunakan perbezaan pegangan Katolik dan Protestan untuk memenuhi agenda nasionalis masing-masing, tiada bezanya apa yang sedang melanda negara Islam Asia Barat.



Azmi Hassan ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.Utusan Malaysia Online Rencana 20140109

Pendekatan sesuai didik kanak-kanak

Menghukum dengan cara merotan tindakan terakhir bagi memberi pengajaran

Sepanjang tahun lalu banyak juga laporan akhbar menyentuh mengenai pendekatan keras segelintir guru terhadap anak didik mereka sama ada di sekolah rendah, menengah, agama, termasuklah pondok tahfiz.

Antaranya, murid tahun dua didakwa ditampar sehingga pekak, murid tahun satu ditendang guru matematik, pelajar sekolah agama ditendang guru, dibaling kunci oleh guru. Sebabnya, tidak menyiapkan kerja rumah, tidak menghafal sifir, datang lambat ke sekolah, berbuat bising dalam kelas, tidak menghafal ayat al-Quran, tidak fokus kepada penerangan guru dan bergaduh.


Dari satu segi, pendekatan keras kepada murid bertujuan menjadi pengajaran, menyedarkan murid mengenai kesilapan mereka dan membuatkan mereka berubah sikap kepada lebih baik.



Apabila ditampar atau dihukum berdiri atas kerusi diharapkan mereka akan menjadi rajin menyiapkan kerja rumah. Dengan ditarik telinga kerana bising, diharapkan murid akan diam dan berubah sikap menjadi taat serta memberi tumpuan dalam kelas.

Namun, dari sudut lain, pendekatan sebegini menimbulkan banyak persoalan lain dan kesan sebaliknya. Apakah kesalahan tidak membuat kerja rumah, datang lambat, tertinggal buku wajar dihukum sebegitu? Apatah lagi yang melakukannya adalah budak kecil darjah satu atau tiga?

Pendekatan keras

Apakah dengan pendekatan kasar dapat mengubah sikap kanak-kanak menjadi prihatin, berminat mencari ilmu, membuat kerja rumah kerana cintakan ilmu dan tidak akan cuai menyelesaikan latihan diberikan. Atau sebenarnya membina rasa tidak yakin diri, takutkan dan tidak suka belajar.
Mungkin pendekatan keras berguna dalam keadaan tertentu, tetapi tidak dalam semua perkara. Apatah lagi kepada kanak-kanak kecil di sekolah rendah. Ia tidak selari dengan pendekatan pendidikan umum yang Nabi SAW tunjukkan.

Pendekatan Rasulullah SAW adalah indah, cantik, lembut, bertimbang rasa, memuji, mengajar dengan perlahan, sedikit demi sedikit, tidak mendesak sehingga memaksa seseorang memahami sesuatu sebelum masanya, menanam rasa cintakan ilmu, kurang mengherdik dan banyak memuji.

Pendekatan keras hanya datang sebagai alternatif terakhir kepada kesalahan berat yang melayakkan hukuman sebegitu iaitu apabila keadaan sangat memerlukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun.” (Riwayat Abu Daud)

Sebelum sampai umur tujuh tahun lagi ibu bapa sebenarnya sudah diminta menunjuk ajar, memujuk, mengajak anak mengerjakan solat bersama dan memuji apabila mereka melakukannya dengan baik.

Anak dididik dengan lembut, ajakan membina, diberi galakan dan pujian dari kecil sehingga berumur tujuh tahun, mereka akan berada dalam situasi mengerjakan solat adalah sebahagian daripada cara hidup.

Apabila sudah sebati dalam diri rasa cinta melakukan solat kerana faham kepentingan solat, maka pendekatan keras seperti menengking dan memukul tidak perlu digunakan. Jika selepas berumur 10 tahun, mereka meninggalkan solat dengan sengaja selepas dididik, maka barulah rotan hadir sebagai alat terakhir dalam mendidik. Itupun bukan untuk mencederakan, tetapi memberi pengajaran.

Ia juga menunjukkan menghukum kanak-kanak dengan rotan atau pukulan untuk kesalahan yang dianggap ‘berat’ tidak dilakukan sebelum umur 10 tahun. Bahkan pukulan tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka. Justeru, guru menampar anak murid bercanggah dengan sunnah.

Apabila cucu Rasulullah SAW memakan buah kurma yang diserahkan Baginda sebagai hasil zakat, Baginda tidak menggunakan kekerasan, sebaliknya mengambil balik kurma daripada dalam mulut cucunya dan berkata dengan lembut, “Tidakkah kamu tahu bahawa kita tidak boleh memakan barang zakat? (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pendekatan kasih sayang tegur kesilapan

Rasulullah SAW turut menjelaskan kenapa ia dilarang secara ringkas kepada cucunya yang masih kecil itu. Baginda tidak memukul cucunya atas kesalahan, tetapi menunjukkan ‘kasih sayang’ adalah asas untuk membetulkan kesilapan.

Jika sesuatu larangan dikenakan kepada mereka, ia juga perlu diberi rasionalnya supaya larangan bukan semberono tanpa alasan. Rasional larangan wajar diberitahu mengikut tahap kemampuan berfikir.

Jika dengan ahli keluarga kita diminta bercakap dengan lembut, mendekati dan membetulkan mereka dengan pendekatan berhikmah, positif dan kasih sayang, maka begitulah juga dengan orang lain, termasuklah murid yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka.

Ilmu ingin diajar kepada murid-murid seumpama barang berharga yang ditawarkan kepada mereka. Bagaimana mungkin pengguna suka menerima sesuatu jika ditawarkan dengan kasar, penuh kemarahan dan tiada kasih sayang.

Kita perlu menerima hakikat cabaran dilalui kanak-kanak hari ini dengan konsep dunia terbuka, media sosial dan cara hidup berbeza memerlukan guru mencari pendekatan pendidikan yang jauh lebih baik daripada sebelum ini.

Kata-kata Umar al-Khattab, “Ajarilah anak-anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi zaman kamu.”


Dr Nurhidayah Hashim Berita Harian Online Agama 09/01/2014

Iran haram sembang sosial bukan mahram: Majlis Fatwa digesa turut wartakan pengharaman

Kuala Lumpur: Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei, semalam mengeluarkan fatwa terbaru bahawa perbualan atau bersembang di media sosial antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah haram kerana boleh mendorong perbuatan maksiat.

Fatwa itu disokong Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, yang menurut mereka perbualan bukan muhrim menerusi media sosial tanpa batasan hingga mendorong perlakuan maksiat, adalah haram.


Sehubungan itu, mereka mahu Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa dan menyediakan garis panduan mengenai perbuatan ini bagi mencegah penularan pelbagai kegiatan bertentangan Islam yang turut dikesan menjadi faktor keruntuhan institusi perkahwinan umat Islam.

Langgar hukum Islam

Abdul Rahman berkata, masyarakat hari ini berpandangan pergaulan bukan muhrim di media sosial tanpa batasan tidak melanggar hukum Islam kerana ia tidak membabitkan pertemuan secara fizikal.

Namun, katanya, pergaulan tanpa tujuan dan asas yang kukuh sehingga mendorong kepada perlakuan maksiat atau gejala bertentangan Islam juga dilarang dalam Islam walaupun di media sosial.

Contoh mudah adalah memberi salam. Jika tidak ada tujuan dan disalah guna untuk permulaan perbualan kurang berfaedah, ia tidak wajib dijawab.


Melihat pasangan yang bukan muhrim tanpa ikatan sah di media sosial juga tidak dibenarkan. Perbuatan ini dilarang dalam Islam kerana boleh mengundang nafsu, katanya ketika dihubungi BH, semalam bagi mengulas fatwa terbaru Khamenei itu.

Hassan pula berkata, wujud keperluan untuk melarang perbualan bukan muhrim terutama menerusi media sosial jika isi kandungannya berbaur maksiat.

Malah, katanya, perbualan yang bertujuan untuk menyebarkan dakyah dan perkara yang bercanggah dengan Islam juga wajar diberi perhatian supaya mengekang penularan ajaran sesat yang dilihat semakin berleluasa.

Haram bibit maksiat

Kalau perbualan antara lelaki dan perempuan bukan mahram itu ada bibit-bibit maksiat memang wajib difatwakan haram. Tetapi jika ia sekadar untuk bertukar pendapat dan ke arah kebaikan, tiada masalah.

Sebaiknya, fatwa untuk melarang gejala maksiat dan bertentangan dengan Islam seperti ini dilaksana dengan terperinci supaya masyarakat tidak keliru dan boleh mempraktikkannya, sejajar dengan seruan Allah supaya menentang kemungkaran, katanya.

Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji keperluan untuk mewartakan fatwa supaya melarang perbualan berbaur maksiat.


Luqman Arif Abdul Karim Berita Harian Online Nasional 09/01/2014

Medium dakwah terbuka luas

DAKWAH berasal daripada perkataan bahasa Arab Da'a yang bermaksud menyeru atau mengajak. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, dakwah bermaksud kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Dakwah di sisi Islam menurut Syaikh Abdul Karim Zaidan, bermaksud menyeru kepada Allah SWT dan agama-Nya.

Tugas dakwah merupakan perkara yang penting agar ajaran Islam dapat terus-menerus berkembang. Para pendakwah di jalan Allah SWT merupakan penyambung tugasan para nabi-nabi terdahulu, iaitu menyampaikan Islam dan isi kandungannya.

Allah SWT memerintahkan agar sebahagian umat Islam menyeru kepada Islam secara khusus sebagaimana firman-Nya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan. (ali Imran: 104)

Ayat ini bukanlah bermaksud tugas dakwah itu hanya untuk orang-orang tertentu sahaja. Banyak hadis-hadis yang menyebut kepentingan berdakwah bagi setiap Muslim. Menurut Ad-Dahhak ayat ini bermaksud para sahabat, orang yang berjihad dan para ulama yang bergiat secara khusus dalam mengembangkan ajaran Islam.

Secara asasnya, setiap Muslim bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dakwah bukanlah semestinya seseorang itu belajar hingga menjadi ustaz dan ustazah, tetapi setiap seruan ke arah kebaikan dan mencegah keburukan telah dianggap sebagai berdakwah.

Allah SWT berfirman: Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik. (an-Nahl: 125) Menurut Tafsir Al-Tabari, ayat ini memerintahkan agar menyeru ke arah mentaati Allah SWT melalui syariat-syariat yang telah diturunkan-Nya dalam al-Quran dan as-sunnah. Kedua-dua ini merupakan hujah yang mengandungi banyak pelajaran buat umat manusia sekalian alam.

Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Ali r.a ketika perang Khaibar: Maralah dengan penuh waspada hingga engkau masuk ke perkampungan mereka. Seterusnya, serulah mereka untuk memeluk Islam lalu beritahulah kepada mereka tentang hak Allah yang mesti mereka tunaikan. Demi Allah, jika Allah member petunjuk kepada seseorang itu melalui perantaraan dirimu, itu lebih baik bagimu daripada kekayaan yang sangat berharga. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tujuan hidup

Tujuan dakwah dilakukan supaya manusia mengetahui tujuan hidup mereka untuk beriman kepada Allah SWT dan beribadat kepada-Nya sesuai dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Selain itu, dakwah juga menyeru agar manusia kembali ke jalan yang benar, menjadi manusia yang lebih baik dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan ke arah cahaya.

Orang yang menyeru kepada kebaikan akan mendapat ganjaran pahala sebagaimana melakukan kebaikan yang ditunjukinya itu begitu juga dengan keburukan. Semakin banyak seruan ke arah kebaikan dan orang yang mengikutinya, semakin banyak pahala yang diperolehnya. Begitulah tingginya ganjaran mereka yang berdakwah di jalan Allah SWT dengan ikhlas dan benar.

Diriwayatkan daripada Jarir bin Abdullah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: Dalam Islam, sesiapa yang memberikan tauladan sesuatu kebaikan maka dia akan memperoleh pahala, sama seperti orang yang diperoleh oleh mereka yang mengikutinya tanpa dikurangkan pahala mereka (yang mengikuti itu) sedikit pun. Dan sesiapa yang memberikan tauladan sesuatu keburukan dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa, yang sama seperti orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan dosa mereka (yang mengikuti itu) walaupun sedikit. (riwayat Muslim)

Dakwah memerlukan teknik dan ilmu yang berkaitan dengannya agar ia disampaikan dengan baik, jelas dan benar. Para pendakwah baik yang digelar daie, mubaligh atau apa jua gelarannya hendaklah mengambil pelajaran daripada teknik Rasulullah SAW menyampaikan dakwah kepada manusia. Baginda SAW merupakan sebaik-baik contoh dan model dalam berdakwah.

Medium dakwah di zaman ini terbuka luas. Dakwah di hadapan masyarakat melalui ceramah, kuliah, dakwah jalanan atau aktiviti kemasyarakatan perlu diteruskan dan disokong baik usaha ini. Di samping itu, dakwah melalui penulisan, sama ada buku, akhbar dan alam maya juga penting agar Islam terus tersebar luas seiring dengan perkembangan teknologi dan zaman.

Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab dan medium dakwah tersendiri yang perlu dilakukan agar Islam terus berkembang sepanjang zaman.



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR sedang mengikuti Pengajian Islam Kontemporari di Kuliyyah Islamiyyah 'Alamiyyah di UIAM Gombak.Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20140109